Taman Negara Marin Miri-Shibuti


Wujud 30 tapak selaman
Oleh Abd Rahman Adam dan Suliati Asri

Ada apa di Taman Negara Marin Miri-Sibuti? Mungkin itulah pertanyaan yang terpacul dari mulut penggemar aktiviti selam skuba mengenai kewujudan destinasi tapak selaman itu di Bumi Kenyalang.

Mana tidaknya, rata-rata penyelam skuba tidak begitu mengetahui lokasi selaman di Taman Negara Marin Miri-Sibuti yang mempunyai banyak lokasi terumbu karang cantik.

Kebanyakan kaki selam skuba juga lebih tertumpu melakukan aktiviti kegemaran mereka itu di pantai timur Semenanjung atau Sabah.

Perairan Miri ini mungkin tidak setanding Pulau Sipadan di Sabah, tetapi lokasi selam skuba yang ditawarkan tidak lokek dengan kekayaan khazanah laut berbanding pulau lain di negara ini.
Foto

SALAH seorang penyelam ketika di Kenyalang Wreck.


Aneka terumbu batu karang

Berbanding destinasi selam skuba lain, ramai masih tidak tahu kewujudannya walaupun lokasi selaman ini memiliki 30 tapak selaman.


Terumbu batu karang unik dasar laut

Lebih menarik, terumbu karang dan spesies hidupan laut di perairan itu masih belum diterokai sepenuhnya.

Justeru, ia pastinya memberikan pengalaman berbeza kepada penyelam skuba yang mahukan kelainan.

Kepelbagaian dan kemudahan akses untuk melihat sendiri keindahan terumbu karang dan hidupan laut di sini menjadikannya antara lokasi yang terbaik di rantau ini.

Keunikan dasar laut Miri

Terumbu lembut dan keras yang menghiasi dasar laut dengan koleksi gorgonians, sea-whips, anemones, sponges dan crinoids yang di perairan ini nyata menakjubkan.

Angel fish, ikan bagang, delah, kerapu, pari, trigger fish, ikan bayan dan wrasses adalah antara pelbagai spesies hidupan laut yang boleh ditemui di sini dan dilaporkan penemuan lebih daripada 40 spesies nudibrankia dicatat.

Khazanah laut yang disajikan di perairan Miri cukup mempesona dan pasti memberikan keterujaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Justeru, diuar-uarkan keindahan dasar laut yang dimiliki di perairan Miri ini serta memperkenalkan lokasi ini kepada penggemar aktiviti selam skuba, Tourism Malaysia mengadakan program ‘Sarawak Dive Adventure’, baru-baru ini.

Program yang disertai 30 peserta membabitkan media, penyelam berpengalaman dan operator pelancongan di perairan Miri ini membawa peserta menerokai kawasan selaman yang sememangnya menjanjikan keindahan dasar laut yang mempesona.

Sepanjang program, peserta bukan saja didedahkan mengenai tarikan tapak selaman di perairan Miri, tetapi peluang menyelam di beberapa tapak selaman terpilih sepanjang program berlangsung.

Penyelam berpengalaman, Clement Lee, 62, berkata, perairan Miri termasuk lain-lain lokasi selaman di Sarawak sudah lama wujud, namun hanya kebelakangan ini ia mendapat perhatian.

Menurutnya, kawasan ini berpotensi menjadi destinasi popular kepada penggemar aktiviti selam skuba, lebih-lebih lagi ia mempunyai lokasi terumbu karang yang ‘sihat’, selain keunikan hidupan lautnya terutama membabitkan spesies mikro.

“Rangkaian batu karang di Miri adalah khazanah alam semula jadi yang bebas daripada aktiviti pencemaran manusia dan banyak lagi hidupan lautnya yang masih belum diteroka,” katanya.

Tapak selaman di Miri ini adalah destinasi terawal di Sarawak yang dikenal pasti untuk aktiviti selam skuba selain di perairan Kuching.

Menariknya, terdapat spesies mikro diperairan Miri ini yang boleh ditemui dan ada antaranya sukar ditemui di tempat lain.

Tapak selam skuba yang paling dekat dengan pantai Miri ialah Eve’s Garden, Azam’s Reff, Seafan Garden, Anemone Garden, Hatano Point, Sunday, Siwa, Tusan, Lakim, Atagomaru Wreck, New Reef V dan Siwa Oil Rigs.

Tempat lain yang boleh diterokai termauklah Pelantar Minyak Tukau, Barracuda Point, Sri Gadong Wreck, Beting Niah, Batu Butik, Berabok Bubble, Gorgonian Paradise, Santak Point, Robert’s Reef dan Batu Tar.

Jarak penglihatan dalam air antara 10 sehingga 30 meter dan musim yang terbaik untuk mengunjungi destinasi selaman ini pada Mac hingga September dan November.

Selain kawasan menyelam semula jadi, perairan ini turut menghidangkan tapak selaman kapal karam dan tukun tiruan.

Tapak selaman tukun tiruan iaitu Kenyalang Wreck adalah salah satu lokasi tercantik di perairan ini dan ia dibangunkan tujuh tahun lalu melalui usaha sama antara Shell dan PETRONAS.

Ismadi Ismail, 38, dari Dive Serantau berkata, perairan Miri sesuai dijadikan kunjungan alternatif kepada penggiat aktiviti selam skuba sekiranya inginkan kelainan.

“Biasanya, ketika musim tengkujuh di pantai timur Semenanjung, penyelam skuba beralih ke Sabah untuk melakukan selaman.

“Kini, tiba masanya penggemar aktiviti menyelam mempertimbangkan untuk menyelam di Miri dan Kuching,” katanya.

Menceritakan pengalaman melakukan selam skuba di Miri, Ismadi berkata, perancangan cukup penting sebelum membuat selaman memandangkan jarak penglihatan yang boleh berubah dalam sekelip mata bergantung kepada cuaca.

“Ia penting terutama kepada jurugambar dasar laut yang mahu merakamkan gambar landskap dan pemandangan laut, jarak penglihatan yang terhad menyukarkan
rakaman gambar diambil.

“Namun, jika jurugambar merancang mengambil gambar spesies mikro, ia tidak menjadi masalah, tambahan pula perairan Miri memiliki variasi spesies ‘nudibranch’ yang menarik,” katanya.

Sempena Tahun Melawat Malaysia kali ini, Tourism Malaysia menawarkan pakej menarik untuk penyelam skuba berkunjung ke perairan ini termasuk di Kuching.

Pengunjung berpeluang memilih sama ada pakej selaman di kawasan kapal karam di Kuching atau pakej di Miri.

Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata, pihaknya bekerjasama dengan operator pelancongan tempatan untuk memastikan Sarawak menjadi antara destinasi utama selam skuba di negara ini.

“Tahun lalu, lebih 800,000 pengunjung ke Taman Laut dan 300,000 daripada mereka adalah penyelam skuba.

“Saya percaya pakej selaman di Sarawak yang ditawarkan pada harga RM748 sehingga RM2,400 menjadi tarikan kepada penyelam scuba,” katanya.

MyMetro



Syurga penggemar skuba
Oleh RANIA PARAN


 Kepelbagaian hidupan laut dan terumbu karang di perairan Miri menjadikannya salah satu lokasi menyelam antarabangsa. -utusan/RANIA PARAN

MIRI 28 Jun - Taman Negara Marin Miri-Sibuti yang baru diwartakan memiliki salah satu tapak terumbu karang yang tercantik di rantau ini selain kaya dengan kepelbagaian hidupan laut.

Bahkan, terumbu karang di perairan Laut China Selatan di pesisiran perairan Miri itu dikatakan paling cantik dan sihat menjadikan kawasan ini sebagai syurga bagi mereka yang menggemari aktiviti skuba.

Setakat ini, Miri mempunyai 30 lokasi skuba di sepanjang pesisiran pantai dari Sebuti menuju ke Lutong, Miri.

Kawasan skuba yang paling dekat dengan pantai Miri ialah Eve's Garden, Azam's Reff, Seafan Garden, Anemone Garden, Hatano Point, Sunday, Siwa, Tusan, Lakim, Atagomaru Wreck, New Reef V dan Siwa Oil Rigs.

Tempat lain ialah Pelantar Minyak Tukau, Barracuda Point, Sri Gadong Wreck, Beting Niah, Batu Butik, Berabok Bubble, Gorgonian Paradise, Santak Point, Robert's Reef dan Batu Tar.

Nama-nama lokasi skuba yang eksotik ini diberikan oleh nelayan tempatan dan penyelam manakala selebihnya oleh Tropical Dive, salah sebuah sektor kendalian Planet Borneo.

Keluasan hampir 100,000 kilometer persegi ini dipenuhi terumbu karang - anggaran 34 peratus daripada terumbu karang dunia - kini menjadi habitat kepada lebih 3,000 spesies ikan.

Ia juga menjadi tempat pembiakan untuk 600 daripada 800 spesies batu karang di seluruh dunia, sekali gus menjadikan perairan Miri kawasan paling kaya dengan spesies batu karang dan hidupan marin.

"Jika kita melihat di atas glob dunia, perairan Miri tersenarai dalam Gred 4 untuk terumbu karang yang kepelbagaian di dunia," kata Pengarah Planet Borneo Tours & Travel Services Sdn. Bhd., James Wan ketika ditemui Utusan Malaysia kelmarin.

James berkata, terumbu karang Miri mempunyai potensi yang amat cerah sebagai tarikan pelawat dan penyelam, sekali gus berupaya menjana pendapatan untuk ekonomi tempatan yang mapan jika sumber asli itu terus dijaga dan diurus dengan baik.

"Jika kita lihat di kepulauan Borneo, banyak tempat skuba menarik seperti Layang-Layang, Sipadan, Kapalai dan Mabul, namun di Miri agak berbeza.

"Rangkaian batu karang di Miri adalah khazanah alam semula jadi negeri Sarawak dan Malaysia. Batu karang di Miri yang bebas daripada aktiviti pencemaran manusia adalah antara batu karang yang dilihat paling sihat dan tercantik wujud di Malaysia," katanya.

Terumbu karang yang sihat dan cantik membuktikan perairan itu bebas daripada pencemaran.

Ujarnya, perairan Miri mempunyai rangkaian batu karang pelbagai dan berwarna-warni yang membentuk hutan rimba yang berwarna merah, hitam, putih, hijau dan perang keemasan di dasar lautnya.

Jelas James, dasar laut yang berwarna biru dan cukup cantik dengan suhu pada 30 darjah Celsius amat sesuai untuk pertumbuhan pelbagai spesies terumbu karang berwarna oren, merah dan merah muda.

"Daripada spesies yang menyerupai pokok berwarna jingga kemerah-merahan hingga karang lembut yang berwarna terang dan menyerupai span berwarna ungu serta ikan badut dan batu karang yang dinamakan Sunday," katanya.

Miri merupakan lokasi pertama memiliki pelantar yang dijadikan sebagai terumbu karang atau rig to reef.

Pusat menyelam Kenyalang di rig to reef adalah bonus kepada destinasi menyelam yang ada sekarang seterusnya menjadikan Miri antara destinasi skuba terbaru yang bakal menjadi tumpuan peminat sukan menyelam di Malaysia.

Selain itu, Barracuda Point menjadi tumpuan spesies ikan barracuda manakala Atago Maru Wreck adalah lokasi di mana kapal perang peninggalan tentera Jepun yang dibom oleh pesawat B-24 Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) semasa Perang Dunia Ke-2 boleh ditemui.

Menurut James, kebanyakan lokasi ini terletak di perairan yang cetek iaitu antara lima hingga 18 meter dalam.

"Ini memberi masa yang lebih lama kepada penyelam. Lagi jauh menyelam, masa untuk menerokai keindahan terumbu karang akan berkurangan kerana tekanan dari dasar laut," katanya.

Beliau menambah, waktu yang paling sesuai menyelam ialah antara bulan Mac hingga November manakala pada bulan lain tidak sesuai kerana laut bergelora.

Lokasi menyelam yang paling cetek ialah Eve's Garden yang terkenal dengan keindahan pelbagai terumbu karang termasuk rumput laut, kipas laut dan terumbu keras. Selain itu, Azam Place dan Batu Belais juga menarik kerana menghimpunkan pelbagai hidupan laut yang memukau pandangan.

Sementara lokasi yang paling dalam ialah Tukau Drop-off iaitu sedalam 40 meter, Gorgonian Paradise (39 meter) dan Santak Point (35 meter).

James memberitahu, ketika ini, perairan Miri sudah mula menerima kunjungan peminat aktiviti menyelam termasuk dari Jepun, Australia, Eropah, Amerika Utara dan negara Asia Pasifik.

Penemuan rangkaian terumbu karang yang cantik, unik dan pelbagai di dasar laut Miri mulai didedah dan diberi perhatian secara serius pada 1999 apabila kerajaan negeri melakukan kajian terperinci terhadap sistem terumbu karang di dasar laut perairan Miri.

Bagi memastikan khazanah dasar laut ini tidak terjejas oleh pembangunan dan kegiatan manusia, kerajaan negeri turut tampil dengan beberapa garis panduan untuk program pengurusan bagi projek pembangunan Taman Marina ini.

utusan online

Taman Negara Marin Miri-Sibuti


Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti terletak di sempadan maritim antara Bintulu dan Miri meliputi kawasan seluas 186,930 hektar, merupakan taman negara marin terbesar di negeri ini. Terletak kira-kira 30 minit menggunakan bot dari Miri.

Miri merupakan sebuah pusat menyelam yang sedang mendapat perhatian, hasil dari koleksi terumbu karangnya yang cantik yang membentuk Taman Negara Marin Miri-Sibuti, dengan kedalamannya dari 7-30 meter serta mempunyai jarak penglihatan yang sederhana iaitu dari 10-30 meter.


Di sini juga terdapat beberapa lokasi menarik untuk menyelam dan melihat bangkai-bangkai kapal yang sudah tenggelam. Aktiviti menyelam berjalan sepanjang tahun, namun masa yang terbaik ialah dari bulan Mac hingga Ogos.

pentadbiran bahagian miri




Comments