29 Oct 2014

SPM : Kesusasteraan Melayu Elektif 2014

 Percubaan SPM Kesusasteraan Melayu Elektif Negeri Kedah


Bahagian Satu
[40 markah]
Jawab semua soalan.

1. Ambil golok di atas puan,
Hendak berakait ke Kuala Kedah;
Usah dijolok sarang tebuan,
Badan sakit sesal tak sudah.

Anak indung anak ketitir,
Anak merbah terlompat-lompat; Yang dikendong habis tercicir,
Yang dikejar haram tak dapat
(Dipetik daripada Seuntai Kasih Secebis Harapan)

(a) Nyatakan jenis puisi di atas. [1 markah]
(b) Berikan tiga jenis unggas yang terdapat dalam petikan. [3 markah]


2. Maka terlalulah ramainya di bawah mahligai tuan puteri itu kerana rakyat Putera Jayapati terlalu banyak bangsanya hendak melawan rakyat raja itu. Maka sekaliannya orang di dalam negeri itu pun sangatlah hairannya, serta berkata-kata sesama sendirinya. “Haruslah orang muda itu dapat ia mengambil tuan puteri itu kerana terlalu kesaktiannya. Maka ia mengadakan rakyat berketi-keti, bijak laksana sekali-kali orang muda itu.”

Berdasarkan petikan di atas, nyatakan dua perwatakan Putera Jayapati. [4 markah]

3. Maka kata Raden Kesuma Wati, “Hai nujum, apalah di dalam nujum tuanku?” Maka kata ahlul nujum, “Jikalau tiada dapat telur burung merpati putih yang bersarang di dalam telinga naga yang di atas Gunung Meraksa Dewa itulah akan ubatnya paduka ayahanda itu.”
(Dipetik daripada Hikayat Cendawan Putih, teks Seuntai Kasih Secebis Harapan)
Berdasarkan petikan:
(a) Siapakah ‘paduka ayahanda’ itu? [2 markah]
(b) Nyatakan ubat penyakit ‘paduka ayahanda’ seperti yang dikatakan oleh ahlul nujum. [2 markah]


4. Ibu bapa adalah akar hidup kita
bukan sekadar tangga untuk naik dan turun ibu bapa adalah tunjang yang paling dalam tanpa mereka kita tidak mengenal alam.
(Dipetik daripada sajak Akar, oleh Hilmi Rindu)

(a) Nyatakan maksud gaya bahasa perbandingan terus [2 markah]
(b) Berdasarkan petikan di atas, berikan satu gaya bahasa perbandingan terus. [2 markah]

5. SELAMAT GAGAH : Hamba bersyukur, dapat selamatkan Datuk Bendahara…kalau tidak, datuk dan hamba tak dapat lagi berjumpa saudara-saudara semua di sini.Terima kasih, hulubalang-hulubalang berdua membantu kita, kita sama-sama selamat di sini

Berikan satu latar masyarakat berserta contoh yang terdapat dalam petikan drama di atas?

6. ROSEMERA: Begitulah ceritanya. Maka Kampung Baru kampong Melayu ini terus memburuk dan melayu. Janji akan lebih baru rupanya tambah bercelaru…Komuniti tikus tambah membiak dan semakin sihat, segar dan semakin besar. Longkang atas tanah dan bawah tanah terus juga melekat dan tersumbat. Banjir kilat dengan air hitam pekat dengan bau yang meloyakan tekak terus menyelinap masuk ke bawah rumah dan lantai dapur… (Dipetik daripada drama Muzikal Kampung Baru oleh Hatta Azad Khan )

Berdasarkan petikan di atas, nyatakan dua keadaan Kampung Baru [4 markah]


7. “ Tuangkan saja cuka getah ke belakang kerbaunya. Biar kerbau itu berulat dan mampus hingga busuk seluruh kampung. Biar Berahim tak boleh bersawah. Ini suatu balasan padanya yang senang-senang memokah gelung permatang kita! “

Jusoh bingkas bangun. Ada makna dalam kata-kata bininya itu. Dia menghampiri anak bongsunya yang terkangkang di pinggang bininya. Ditarik pipi Si mongel itu. Budak yang bertahi mata itu tersengih
( Dipetik daripada cerpen Gelungnya Terpokah oleh Shahnon Ahmad )

Berdasarkan petikan di atas, nyatakan satu teknik penceritaan berserta contoh.
[ 4 markah ]

8. Hari ini Mat Seman menjadi lain, usahkan mahu melenggok ke langit mengintai tahi hujan, mahu mengangkat punggung dari umbi pokok jambu air pun dia rasa malas. Biarlah hujan ribut, dia ingin bersama-sama kerbau-kerbaunya di lembah ini. Lembah Bilut akan dipertahankan, walaupun apa yang akan terjadi. Mat Seman tidak pernah meminta apa-apa bantuan daripada orang. Daripada wang sagu hati dia putus kaki,dia membina kandang baru yang ada atap untuk kerbau-kerbaunya, dia membeli penyodok untuk menolak tahi-tahi kerbaunya ke tepi setiap pagi.
( Dipetik daripada cerpen Anak Gembala oleh Zahari Affandi )

Nyatakan dua persoalan yang terdapat dalam petikan di atas . [4 markah]


9. Sah! Memang sah. Tiada sesiapa yang dapat menafikan lagi berita gempar itu. Biah ditemui di rumah setinggan sewaan Muhsin di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Bapa saudaranya sendiri bergegas ke Kuala Lumpur. Pagi ini, orang tua itu balik membawa berita gempar itu. Biah berkeras tidak mahu balik dan mahu bersama-sama Muhsin di Kuala Lumpur.
(Dipetik daripada novel Dari Lembah ke Puncak oleh Ghazali Lateh)
(a) Nyatakan dua latar tempat [2 markah]
(b) Apakah berita gempar yang diberitahu oleh bapa saudara Biah? [2 markah]

10. Setelah selesai menunaikan solat Zuhur secara berjemaah, Anuariza dan Syed Mustafa mengharungi anak paya yang airnya separas pinggang. Membawa bebanan berat di dalam air tidaklah sesukar menariknya menggunakan upih pinang di daratan. Tetapi mereka perlu lebih berhati-hati kerana mungkin ada haiwan berbisa yang mengancam keselamatan. Sampai di tepi paya, Auariza menarik guni buah asam kelubi ke atas tebing. Setelah itu, dia membantu Syed Mustafa dengan menghulurkan tangan dan menarik lelaki itu ke atas tebing.
(Dipetik daripada novel Jeriji Kasih oleh Ramlah Abd Rashid)

Berikan satu nilai berserta contoh yang terdapat dalam petikan di atas. [4markah]


Bahagian Dua
[60 markah]

Bahagian A
(Puisi Tradisional dan Prosa Klasik)

Jawab sama ada Soalan 1 atau Soalan 2

1. Baca puisi di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.


Syair Pentingnya Menjaga Hubungan Keluarga dan Persahabatan

Zahir peruntungan yang telah sejati,
Mendapat saudara handai sahabati,
Ahli kebajikan menyejukkan hati,
Setia amanah nyata dilihati.

Budi yang sama ikhlas mesra,
Menghabisi dukacita sengsara,
Bukan balas intan mutiara,
Melainkan rahmat dipohon segera.

Jatuh padanya itu sekalian,
Darjah kehebatan lagi kepujian,
Nur keelokan rahmat ketinggian,
Daripada ini hingga kemudian.

Kerana fakir tiada berkuasa,
Pada hamba lusuhlah jasa,
Budi yang ihsan dipohon sentiasa,
Ikatan reda sama sebangsa.

Sesungguhnya tenang rasa fikirku,
Serta rahmat anugerah Tuanku,
Yang telah menghasilkan maksudku,
Memecahkan di hati yang terbuku.

Keluasan panjang sinar dan silam,
Keadaan bertambah zahir tak kelam,
Fakir dan syukur hati di dalam,
Ke hadrat al- A’la Klaliq al- Alam.
(Dipetik daripada Seuntai Kasih Secebis Harapan)

(a) Huraikan maksud rangkap lima syair tersebut. [ 4 markah]
(b) Berikan empat ciri bentuk syair di atas. [ 8 markah]
(c) Ciptakan dua rangkap syair bertemakan persahabatan. [ 8 markah]

2. Berdasarkan Hikayat Indera Nata
(a) Jelaskan dua unsur kehebatan Indera Nata [8 markah]
(b) Huraikan tiga nilai murni dalam petikan di atas [12 markah]

Bahagian B
(Puisi Moden dan Drama)

Jawab sama ada Soalan 3 atau Soalan 4

3 Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

RUANG ISTIMEWA MASIH TERBUKA

Ruang ini pusara ayah bonda
dipenuhi haruman kasih sayang
selesa untuk berehat dan beribadat
di sini rasa kemanusiaan lebih mewah
jujur muhasabah diri lagi rela
insaf akan pahala dan dosa.

Ruang ini diikat seutas tali silaturahim
terjalin antara keluarga juga jiran
ikhlas menegur ingat-mengingatkan
menjaga lidah juga maruah
tergelincir di jalan cuma
hati kotor berdengki takut takbur.

Ruang cantik ini masih terbuka peluang
bertaubat dan berdoa mematahkan
jarum muslihat syaitan mengharap
diri tetap di landasan benar mohon
anugerah Ilahi berkekalan
permata iman dalam kawalan-Nya.

Khadijah Hashim

(a) Huraikan dua amanat yang ingin disampaikan penyajak [4 markah]
(b) Nyatakan empat gaya bahasa berserta contoh. [8 markah]
(c) Cipta sebuah sajak yang bertemakan mengenang jasa. Panjangnya sajak tersebut antara 12 hingga 15 baris. [8 markah]


4. Berdasarkan Drama Muzikal Kampung Baru karya Hatta Azad Khan:
(a) Huraikan dua perwatakan Gulam Russel. [8 markah]
(b) Bincangkan tiga nilai dalam drama Muzikal Kampung Baru [12 markah]

Bahagian C
( Cerpen dan Novel )

Jawab sama ada Soalan 5 atau Soalan 6

5. Berdasarkan cerpen Anak-anak Pejuang karya Ghazali Lateh;
(a) Terangkan dua pengajaran yang terdapat dalam cerpen. [8 markah]
(b) Huraikan tiga latar masyarakat dalam cerpen ini. [12 markah]

6. (a) Berdasarkan novel Dari Lembah ke Puncak karya Ghazali Lateh; Jelaskan dua peranan watak Latifah sebagai watak pembantu dalam menyokong watak utama [8 markah]
(b) Berdasarkan novel Jeriji Kasih karya Ramlah Abd Rashid; Huraikan tiga persoalan yang terdapat dalam novel ini. [8 markah]

Kertas Soalan Tamat


PERATURAN PEMARKAHAN

Pemberian markah berdasarkan isi dan penyampaian.
(a) (i) Isi
Markah bagi isi berdasarkan peraturan pemarkahan yang ditetapkan.

Fakta berserta huraian atau contoh 2 markah
Fakta berserta huraian dan contoh 2 markah
Fakta tanpa contoh 1 markah
Fakta betul, contoh salah 1 markah
Fakta salah, contoh salah 0 markah
Fakta / huraian / contoh (ada salah satu dan betul) 1 markah
Fakta salah, contoh betul 0 markah

(ii) Gaya bahasa

Fakta betul, contoh betul 2 markah
Fakta betul, contoh salah 1 markah
Fakta salah, contoh betul 0 markah
Fakta salah, contoh betul 0 markah
Fakta sahaja 0 markah

(b) Penyampaian

(i) [Bagi soalan Bahagian Satu] – Hendaklah dalam bentuk struktur / jawapan ringkas
/jawapan pendek.
[Bagi soalan Bahagian Dua] – Hendaklah dalam bentuk esei.

(ii) Hendaklah menggunakan bahasa yang gramatis, jelas dan lengkap.

(iii) Hendaklah menggunakan ejaan yang lengkap dan betul.

(iv) Bagi soalan perbandingan, hendaklah mengikut perbandingan terus, bukannya dalam bentuk yang disenaraikan.

(v) Hendaklah dalam tulisan yang kemas, jelas dan mudah dibaca.

Nota :
PENYAMPAIAN YANG TIDAK MEMATUHI PERATURAN (B) (i) – (v) DI ATAS AKAN DI POTONG MAKSIMUM 2 MARKAH BAGI SETIAP SOALAN.

BAHAGIAN SATU

1. Jawapan
(a) Pantun empat kerat/ pantun empat kerat – Nasihat. 1 markah

(b) i. anak indung/ indung/ burung indung. 1 markah
ii. anak ketitir/ ketitir/ burung ketitir. 1 markah
iii. anak merbah/ merbah/ burung merbah 1 markah
Maksimum 4 markah


2. Jawapan
Dua perwatakan Putera Jayapati :
i. Seorang yang mempunyai kesaktian / terlalu sakti / kesaktiannya 2 markah
ii. Seorang yang bijaksana / bijak. 2 markah

3. Jawapan Markah
a. ‘Paduka ayahanda’ ialah Raja Indera Kemala Putera /ayahanda Raden Kesuma Wati
(2 markah )
b. Ubat penyakit ‘Paduka ayahanda’ :
telur burung merpati putih / telur burung merpati putih yang bersarang di dalam telinga naga / telur burung merpati putih yang bersarang di dalam telinga naga yang di atas Gunung Meraksa Dewa. (2 markah)
Maksimum 4 markah
4. Jawapan

a. Perbandingan terus bermaksud perbandingan yang menggunakan perkataan adalah atau ialah. 2 markah
b. Contoh; ibu bapa adalah akar hidup kita/
ibu bapa adalah tunjang yang paling dalam. 2 markah
Maksimum 4 markah
5. Jawapan
Latar masyarakat :
i. Masyarakat yang bersyukur /berterima kasih
Contoh: Hamba bersyukur dapat selamatkan Datuk Bendahara 2 + 2 markah
ii. Masyarakat yang membantu/ monolog / bekerjasama
Contoh: …hulubalang-hulubalang berdua membantu kita, kita sama-sama selamat di sini.
2 +2 markah


6. Jawapan
Keadaan Kampung Baru :
i. Kampung Baru terus memburuk 2 markah
ii. Kampung Baru terus melayu 2 markah
iii Komuniti tikus tambah membiak/semakin sihat/ semakin segar/ semakin besar
2 markah
iv.Semakin sihat/segar/semakin segar/ semakin besar 2 markah
v .Longkang atas tanah dan bawah tanah tersumbat vi.Banjir kilat dengan air hitam pekat / dengan bau yang meloyakan tekak / terus menyelinap masuk ke bawah rumah dan lantai dapur 2 markah
Maksimum 4 markah


7. Jawapan
i.imbas muka
contoh: Tuangkan saja cuka getah ke belakang kerbaunya biar kerbau itu berulat / mampus hingga busuk seluruh kampung / biar Berahim tak boleh bersawah. 2 markah
ii.pemerian
contoh: Jusoh bingkas bangun / Ada makna dalam kata-kata bininya./ Dia menghampiri anak bongsunya yang terkangkang di pinggang./ Ditarik pipi si mongel itu. / Budak yang bertahi mata itu tersengih. 2 markah
Maksimum 4 markah

8. Jawapan
Persoalan
i. mempertahankan harta benda / hak ii.kegigihan mencari rezeki 2 markah
ii. bijak mengurus kewangan 2 markah
Maksimum 4 markah


9. Jawapan
(a) i. di rumah setinggan sewaan Muhsin 1 markah
ii. di Jalan Ipoh 1 markah
iii. di Kuala Lumpur 1 markah
(b) Biah berkeras tidak mahu balik dan mahu bersama-sama Muhsin/ Biah berkeras tidak mahu balik dan mahu bersama-sama Muhsin di Kuala Lumpur. 2 markah
Maksimum 4 markah


10. Jawapan
Keimanan/Ketakwaan
Contoh: Anuariza dan Syed Mustafa menunaikan solat Zuhur secara berjemaah 2 + 2 markah

Kegigihan/kerajinan
Contoh: Anuariza dan Syed Mustafa mengharungi anak paya yang airnya separas pinggang/Membawa bebanan berat di dalam air tidaklah sesukar menariknya menggunakan upih pinang di darat./Sampai di tepi paya, Anuariza menarik guni buah asam kelubi ke atas tebing.
2 + 2 markah
Keberanian
Contoh: Tetapi mereka perlu lebih berhati-hati kerana mungkin ada haiwan berbisa yang mengancam keselamatan. 2 + 2 markah

Tolong-menolong/Bantu-membantu/Bekerjasama Contoh: Setelah itu, dia membantu Syed Mustafa dengan menghulurkan tangan dan menarik lelaki itu ke atas tebing.
2+2 markah
Maksimum 4 markah

Bahagian Dua

Bahagian A (Puisi Tradisional dan Prosa Klasik

Soalan 1
Jawapan

(a) Maksud rangkap lima syair;
i. Fikiran/ perasaan penyair/ penulis akan menjadi lapang/ senang/ bahagia. 1 markah
ii. memperoleh/ mendapat/ menerima rahmat/ kasih yang dianugerahkan/ dikurniakan oleh Allah/Tuhan. 1 markah
iii. Allah/ Tuhan telah memakbulkan/ menerima/ memperkenan permintaan/ hajat penyair/ penulis 1 markah
iv. menghuraikan/ menzahirkan/ meluahkan dari jiwa/ kalbu yang terpendam/ tersimpan/ tersirat. 1 markah
Maksimum : 4 markah

(b) Ciri bentuk syair :

i. Terdiri daripada 6 rangkap/ berangkap.

ii. Bilangan/ jumlah baris dalam serangkap/ rangkap adalah sama/ empat baris serangkap.

iii. Bilangan/ jumlah patah perkataan dalam sebaris tidak sama/ 3 hingga 5 patah perkataan

iv. Bilangan/ jumlah suku kata dalam sebaris tidak sama/ 9 hingga 13 suku kata sebaris.

v. Rima akhirnya sama / terikat contoh : aaaa

vi. bentuknya terikat / tidak bebas

vii. Mempunyai jeda
contoh: Setia amanah/ nyata dilihat
Maksimum 8 markah

c. Pengkaryaan (Syair persahabatan)

Nota: Calon mencipta satu rangkap syair sahaja, berikan
Tema : 2 markah
Bahasa :2 markah
Bentuk : 2 markah
Kreativiti : 2 markah

Calon mencipta selain syair, markah bentuk maksimum 1 markah sahaja.
Syair yang tidak menepati tema, markah tema 0 markah

Soalan 2


(a) Dua unsur kehebatan Indera Nata :
i. Bijak menyelesaikan masalah.
Contoh: Indera Nata bijak memberi pendapat kepada ayahandanya, Raja Rom, telah berjaya menyatukan semula ayah dan ibunya,Tuan Puteri Chenderawati yang telah lama terpisah.

ii. Berhemah dalam setiap tindakan.
Contoh: Indera Nata menyambut kedatangan raja-raja Mesir, Iraq, Siam, Keling dan Peringgi dengan penuh berhemah sehingga berjaya melembutkan hati mereka lalu membatalkan niat hendak membawa balik puteri- puteri mereka.

iii. Gagah menewaskan musuh yang luar biasa kekuatannya.
Contoh : Indera Nata berjaya merebut dan melarikan tujuh orang puteri raja daripada raksasa / Indera Nata menewaskan raksasa yang merancang hendak menyerang negeri Rom kerana menuntut bela atas kematian anaknya Si Batu Kembar yang telah dibunuh oleh Indera Nata dalam peperangan / Indera Nata berjaya menewaskan raksasa, mengikat dan membawa balik ke negeri Rom. / Indera Nata berjaya mendapatkan seekor gajah berganding emas.

iv. Seorang yang bertakwa kepada Allah S.W.T.
Contoh:Indera Nata sangat mempercayai kuasa Allah S.W.T dalam setiap tindakannya. Baginda hanya mengahwini empat daripada tujuh orang puteri raja kerana mengikut syariat / ajaran Islam.


(b) Tiga nilai murni :

i. Kasih sayang.
Contoh : Tuan Puteri Cenderawati amat mengasihi suaminya, Raja Rom.
2+2 markah
ii. Kebijaksanaan

Contoh : Indera Nata memberikan pendapatnya kepada ayahandanya, Raja Rom yang meminta isterinya, Tuan Puteri Cenderawati datang menemuinya sebaik sahaja baginda hidup semula. Indera Nata sebaliknya mahu Raja Rom pergi menemui isterinya itu,

iii. Berani.
Contoh : Indera Nata berani menentang raksasa yang terlalu gagah serta dapat mengikatnya, bahkan dibawa pulang ke negeri Rom.

iv. Berhemah tinggi.
Contoh : Indera Nata menyambut kedatangan raja-raja Mesir, Iraq, Siam, Keling dan Peringgi dengan penuh berhemah sehingga Berjaya melembutkan hati semuanya.

v. Beriman.
Contoh : Indera Nata percaya akan kekuasaan Tuhan. Selalu disebutnya bahawa Tuhan Maha Kuasa/ Indera Nata menyatakan manusia pelupa dan lalai manakala Tuhan tidak.

Bahagian B (Puisi Moden dan Drama)
Soalan 3

a. Dua amanat yang ingin disampaikan penyajak;

i. Kita hendaklah melengkapkan diri dengan akhlak yang baik/ berperibadi mulia.
2 markah
ii. Kita hendaklah menjaga hubungan/ silaturahim dengan ibu bapa. 2 markah

iii. Kita hendaklah menjaga hubungan/ silaturahim dengan jiran tetangga. 2 markah

iv. Kita hendaklah Insaf akan perbuatan dosa dan mencari / mendapatkan pahala. 2m

v. Kita hendaklah sentiasa menjaga tutur kata/ bersopan santun. 2 markah

vi. Kita hendaklah menjaga maruah diri. 2 markah

vii. Kita hendaklah ikhlas/ berhati hulur dalam berpesan- pesan/ nasihat- menasihati.
2 markah
viii. Kita hendaklah bersihkan hati dari sifat dengki/ iri hati / takbur / bongkak. 2 markah

ix. Kita hendaklah bertaubat dan berdoa moga dijauhkan dari tipu daya/ hasutan syaitan. 2 markah

x. Kita hendaklah memohon/ berharap berada di jalan yang lurus/ benar/ diredai.
2 markah
xi. Kita hendaklah memohon/ meminta kurniaan/ anugerah/ kenikmatan Allah/ Ilahi berkekalan/ selama- lamanya. 2 markah

x. Kita hendaklah berharap agar mendapat keredaan / keampunan Allah/ Ilahi. 2 markah

Maksimum 4 markah

d. Empat gaya bahasa berserta contoh;

i. Asonansi
Contoh: Ruang ini pusara ayah bonda (pengulangan vokal ‘a’ )

ii. Aliterasi
Contoh : hati kotor berdengki takut takbur (pengulangan konsonan ’t’)

iii.Anafora
Contoh: tergelincir di jalan cuma terkehel kaki tergelincir lidah menyakitkan hati

iv. Responsi/ simplok
Contoh : tangan kotor hanya terpalit lumpur hati kotor berdengki takut takbur.

v. Personifikasi
Contoh: Hati kotor berdengki takut takbur

vi. Kata ganda
Contoh: ingat-mengingatkan

vii. Metafora
Contoh: jarum muslihat/ permata iman/tali silaturahim

viii. Alusi
Contoh: Ilahi/ kawalan-Nya

ix. Inversi
Contoh: jujur muhasabah diri lagi rela / ruang ini diikat Seutas tali silaturahim.

x. Bahasa Arab
Contoh : Syaitan/ takbur/ muhasabah

Maksimum 8 markah

c. Pengkayaan Sajak. Nota:
i. Jumlah baris sajak yang dicipta oleh calon yang kurang daripada 7 baris, berikan markah maksimum 4 markah.

ii. Jumlah baris sajak yang dicipta oleh calon antara 7 hingga 11 baris, masimum markah

iii. Jika calon tidak menulis tajuk sajak, tolak 1 markah kreativiti.

iv. Jika calon menghasilkan sajak lebih daripada 15 baris, periksa seperti biasa.

v. Sajak yang tidak menepati tema, markah tema ialah 0.

vi. Jika calon menciplak sajak ( petikan ), maksimum markah ialah 1 markah.

Jika calon menciplak sajak ( lirik lagu ) maksimum markah ialah 3 markah.

Pengkaryaan
1. Tema 2
2. Bentuk 2
3. Bahasa 2
Kreativiti 2
Maksimum 8 markah


Soalan 4

a. Perwatakan Gulam Russel :

i. Seorang yang prihatin terhadap masa depan penduduk Kampung Baru.
Contoh : Gulam Russel prihatin / sanggup bersusah payah demi memajukan Kampung Baru. 2+2m

ii. Seorang yang berpandangan jauh.
Contoh : Seorang yang sanggup bersusah payah menyediakan pelan Perancangan untuk memajukan Kampung Baru                                                                 2+2 markah

iii. Seorang yang menghormati orang yang lebih tua. Contoh : Gulam Russel menghormati Haji Pahlawan dan menganggapnya seperti datuknya sendiri                       2+2 markah

iv. Seorang yang percaya kepada ketentuan Allah.
Contoh : Gulam Russel menyatakan kepada Haji Palawan jodoh pertemuan di tangan Allah. 2+2m

v. Seorang yang mempunyai jati diri.
Contoh Gulam Russel merantau mencari ilmu, mengenali dunia dan sempadan baru, kenal orang lain, kenal gaya dan cara mereka. Yang elok saya belajar, yang tak elok saya tak tiru.   2+2 markah

Maksimum 8 markah


b. Nilai dalam drama Muzikal Kampung Baru :

i. Bersikap jujur
Contoh : Jalad dan Nasan tidak bersikap jujur dalam mbuat perubahan untuk memajukan Kampung Baru, sebaliknya mementingkan keuntungan peribadi terhadap setiap usaha yang telah dilakukan
2+2 markah

ii. Rasional.
Contoh : Haji palawan dan Raja Molek yang berfikiran sempit dalam menerima cadangan Gulam Russel sebaliknya mempersoalkan asal usul Gulam Russel yang merupakan anak
kacukan daripada pelbagai bangsa.                2+2 markah


iii) Keperihatinan
Contoh : Gulam Russel, Ratnasari, Rosemera, Tulus dan Joshua Ong amat prihatin terhadap nasib penduduk Kampung Baru yang jauh ketinggalan daripada kepesatan pembangunan Kuala Lumpur dan telah menyediakan cadangan pelan Perancangan untuk memajukan kampung tersebut. Markah 2 + 2

vi Keberanian
Contoh : Rosemera dan Ratnasari berani berhadapan dengan Penduduk kampung seperti Jalad dan Nesan untuk memberikan gambaran yang sebenar berkaitan dengan kehidupan penduduk Kampung Baru untuk tatapan masyarakat luar.  2+2 markah

v) Bersatu padu / bekerjasama / tolong menolong
Penduduk Kampung Baru yang tidak bersatu padu dalam melakukan usaha untuk memajukan Kampung Baru sebaliknya hidup berkelompok dan mementingkan diri sendiri. 2+2 markah

Maksimum 12 markah

Soalan 5

a. Pengajaran dalam Anak-Anak Pejuang :

i. kita hendaklah mengenang jasa orang lain.
Contoh : Ah Bee tidak pernah lupa jasa Pak Denan yang membenarkan Ah Bee dan bapanya Ah Yau menginap di rumahnya ketika darurat/ mengenang jasa tokoh pejuang tanah air.  2+2 markah

ii. Kita hendaklah berani mempertahankan tanah air. Contoh: Pak Denan berani berjuang menentang Malayan Malayan Union.                                                                 2+2 markah

iii. Kita hendaklah saling membantu
Contoh : Ah Bee sentiasa menghulurkan sumbangan kepada Pak Denan terutama sejak Pak Denan tinggal seorang diri.                                                                      2+2 markah

iv. Kita hendaklah prihatin/mengambil berat kehendak dan perasaan ibu bapa.
Contoh :Anak-anak Pak Denan tidak memahami semangat perjuangan ayah mereka selama ini. 2+2m

v. Kita hendaklah tabah menghadapi dugaan hidup.
Contoh : Pak Denan tabah membesarkan anak-anaknya seorang diri sehingga menjadi insan berpendidikan dan berjawatan tinggi.     2+2 markah

vi. Kita hendaklah insaf akan kesilapan yang lalu.
Contoh : Anak-anak Pak Denan akhirnya insaf dan meminta maaf kerana tidak memahami semangat perjuangan yang ada pada ayah mereka.                                      2+2 markah

vii. Kita janganlah memungkiri janji.
Contoh : Anak –anak Pak Denan tidak mengotakan janji mereka untuk menjemputnya ke Kuala Lumpur bagi melihat perarakan Hari Kebangsaan.                          2+2 markah

viii. Kita hendaklah menghargai pemimpin/ pejuang tanah air Contoh :Pak Denan menamakan anak-anaknya sempena nama pemimpin negara                               2+2 markah

ix. Kita hendaklah mempunyai semangat cinta akan tanah air negara/patriotisme ./
Contoh :Pak Denan tetap ingin ke Kuala Lumpur bagi menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan walaupun dihalang oleh anak-anaknya.                                           2+2 markah

x. Kita hendaklah gigih berusaha untuk mencapai cita-cita. Contoh : Pak Denan tetap/gigih berusaha untuk ke Kuala Lumpur bagi menyertai perarak                            2+2 markah

Maksimum 8 markah

b. Latar masyarakat :

i. Masyarakat yang berbilang kaum
Contoh : Terdapat keluarga Ah Bee yang mengusahakan perniagaan sayuran dan Maniam yang menjalankan perniagaan kedai kopi.                            2+2 markah

ii. Masyarakat yang mengenang jasa
Contoh :Ah Bee tidak pernah melupakan jasa Pak Denan yang membenarkanAh Bee dan bapanya Ah Yau menginap di rumahnya ketika darurat dahulu.     2+2 markah


iii. Masyarakat yang bantu-membantu
Contoh :Siapanya:Ah Bee sentiasa menghulurkan sumbangan kepada Pak Denan terutama sejak Pak Denan tinggal seorang diri                                             2+2 markah
.
iv. Masyarakat yang insaf
Contoh :Anak-anak Pak Denan akhirnya insaf dan meminta maaf kerana tidak memahami semangat perjuangan Pak Denan selama ini.                                2+2 markah

v. Masyarakat yang berani mempertahankan tanah air Huraian:Pak Denan berani menentang Malayan Union                                                                              2+2 markah

vi. Masyarakat yang tabah menghadapi dugaan hidup Contoh:Pak Denan tabah membesarkan anak-anaknya seorang diri sehingga menjadi insane berpendidikan dan berjawatan tinggi. 2+2m

vii. Masyarakat yang mungkir janji                                   
Contoh:Anak-anak Pak Denan tidak mengotakan janji mereka untuk menjemputnya ke Kuala Lumpur bagi menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan.  2+2 markah

viii. Masyarakat yang menghargai pemimpin
Contoh:Pak Denan menamakan anak-anaknya sempena nama pemimpin negara. 2+2 markah

ix. Masyarakat yang cinta akan tanah air/patriotisme
Contoh: Pak Denan tetap ingin ke Kuala Lumpur untuk menyertai perarakan Hari Kebangsaan walaupun dihalang oleh anak- anaknya.                                      2+2 markah

Maksimum 12 markah

Soalan 6

(a) Peranan Latifah

(i) Membantu meringgankan penderitaan Jalil semasa di kampung Contoh: Latifah membantu merawat luka kaki Jalil akibat tertusuk kaca semasa di sawah.     2+2

(ii) Membantu kejayaan Jalil dalam pelajaran
Contoh: Latifah memujuk Pak Lang Ali/bapanya untuk membantu membayar yuran peperiksaan Jalil.
2+2 markah

(iii) Membantu memajukan syarikat Jalil
Contoh: Latifah menerima jawatan pengurus akaun di Syarikat Alam Hijau/syarikat milik Jalil. 2+2

(iv) Memberi sokongan moral ketika penduduk kampung memulaukan Jalil
Contoh: Latifah tetap berkawan dengan Jalil walaupun kawan-kawan dan orang kampung yang lain memulaukan/meminggirkan Jalil.                              2+2 markah

(b) Persoalan

(i) Kasih sayang dalam keluarga.
Contoh: Soleha sangat menyayangi anak-anaknya Anuariza dan Azuera .  2+2 markah

(ii) Pengabaian tanggunggjawab terhadap anak-anak.
Contoh: Syed Mustafa lebih mementingkan kerjaya sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anaknya.                                                                                        2+2 markah

(iii) Berani menghadapi cabaran.
Contoh: Anuariza berani berhadapan dengan ancaman binatang buas ketika mengutip buah asam kelubi di dalam hutan paya                                                                   2+2 markah

Kepentingan ilmu/pelajaran untuk masa depan.
Contoh : Soleha memasti anak-anaknya mendapat pendidikan Pendidikan walaupun tanpa suami.

(iv) Kemiskinan bukan penghalang kejayaan
Contoh: Walaupun Anuariza dan Azuera hidup dalam kemiskinan tetapi mereka berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan.                                   2+2 markah

(v) Tolong-menolong/Bantu-membantu/Bekerjasama dalam masyarakat.
Contoh: Penduduk kampung membantu majlis kenduri tahlil di rumah Syed Mustafa. 2+2

(vi) Tabah/Sabar/Cekal menghadapi cabaran hidup.
Contoh: Anuariza/Soleha tabah menghadapi hinaan dan cercaan penduduk kampung. 2+2

(vii) Beriman/ketakwaan kepada Allah.
Contoh: Anuariza dan Syed Mustafa menunaikan solat walaupun masih berada di dalam hutan paya ketika mengambil asam kelubi.                                                        2+2

(viii) Mengenang budi/jasa orang lain
Contoh: Soleha sanggup menerima lamaran Syed Mustafa kerana terhutang budi kepada keluarga Nek Siah.                                                                                            2+2

(ix) Gejala sosial dalam kalangan remaja.
Contoh: Syed Fariz terlibat dengan masalah mencabul, mencuri, merokok, peras ugut dan menubuhkan kumpulan haram.                                                             2+2

(x) Insaf/Sedar atas kesilapan.
Contoh: Syed Mustafa insaf akan kesilapannya yang mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak.                                                                                           2+2

SKEMA PEMARKAHAN TAMAT 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena