Sandera : Teater Perdana DBP 2014


teater perdana sandera


novel sandera

Komplot politik Sandera
Oleh RASDAN AHMAD


Busad lakonan Che Kem merupakan watak besar dalam menterjemahkan pemikiran sebenar karya Sandera.

Persoalan dalam novel Sandera tulisan Sasterawan Negara, Arena Wati tidak pernah ditelan zaman malah relevan hingga hari ini.

Kerana subteksnya yang tinggi, kini Sandera diadaptasi oleh A. Wahab Hamzah ke teater.

Teater Sandera yang dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur telah menemui penonton sejak Khamis lalu dan berakhir esok (23 Jun).

Sandera bermaksud tebusan atau tergadai dalam istilah bahasa Indonesia yang memenangi Sayembara 10 Tahun Merdeka pada 1968 di tempat ketiga (tiada pemenang tempat pertama dan kedua pada pertandingan itu) merupakan sebuah novel bertemakan sejarah dan menceritakan kisah kebangkitan rakyat menentang penjajahan di nusantara.

Sandera berkisar tentang kisah perjuangan panjang yang merujuk kepada pembinaan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa. Bermula dengan watak Busad di Makassar, Indonesia pada 1939 hinggalah 1967 di Malaysia.

Teater hanya mengambil masa selama satu jam 40 minit, pasti sahaja pementasan itu tidak mampu merangkumi tempoh selama hampir 30 tahun perjalanan Busad.

Justeru kisah sewaktu British menguasai tanah air ketika Jepun datang, derita ketika Perang Dunia Kedua terpaksa diketepikan.

Wahab yang dipertanggungjawabkan mengadaptasi karya ini menampilkan kisah ketika penjajahan Jepun, Bintang Tiga mengganas selama 14 hari, proses kemerdekaan, suasana selepas merdeka dan isu undang-undang, bahasa, ekonomi serta perpaduan.

Isu itu dibangkitkan kerana semua watak dalam Sandera adalah cerminan kepada para pemimpin negara. Yang pemimpin fikirkan, itulah yang mereka bahaskan. Itulah yang watak-watak dalam Sandera kerana mereka adalah tulang belakang kepada pemimpin tersebut.

Bermula dengan penglibatan watak utama Busad lakonan Che Kem atau Mohd Kamarulzaman Taib dan rakan-rakan seperti Karim (Sabri Yunus), Mahmud (Rasdi Daud) dan Bahar (Badrol Hisham Mohd) dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM) sehinggalah kepada penubuhan Parti Melayu Merdeka.

Untuk lebih jelas, perjuangan dalam Sandera adalah merujuk kepada perjuangan parti dan ahli UMNO (dalam novel dikenali Parti Melayu Bersatu). Mereka kemudian menjadi ahli politik, diplomat, birokrat, duta, hakim, guru, dan ahli perniagaan.

Wahab turut menampilkan watak yang bertukar perjuangan kerana kecewa dan tidak berpuas hati dengan pemimpin. Tidak kurang ada juga yang bertelagah sesama sendiri. Semua yang tertera dalam sejarah negara diceritakan.


Kekuatan watak

Sandera tidak berpusat kepada satu watak utama. Setiap wataknya ada personaliti tersendiri. Daripada Busad hinggalah kepada watak Sariyah, ibu Busad.

Diikuti anak-anak Mahmud seperti Zahid lakonan Afiq Azhar Ali, Midah (Eliza Mustafa), Mahadi (Rafiq Abdul Rahman), Zainab (Baidari) dan Kadir (Asyraf).

Zahid yang beraliran kiri dan kemudiannya ditangkap, juga Mahadi yang terbunuh sewaktu konfrantasi selain watak lain yang menunjangi karya ini.

Sama ada mereka pejuang, pengampu, pengkhianat, ahli politik, ahli perniagaan. Pemikiran sebelah kiri dan pejuang sebelah kanan ditunjukkan dengan jelas. Teater ini turut menampilkan ada dalam kalangan ahli keluarga Mahmud yang melibatkan diri dengan PETA (Pembela Tanah Air) iaitu kumpulan sukarelawan yang ditubuhkan oleh tentera Jepun bagi menyokong kedudukan mereka di Tanah Melayu.

Begitu juga dengan Bintang Tiga yang didokong oleh menantu Mahmud iaitu Saleh lakonan Fahrurazi Adnan dan anak perempuannya Sapiah (Mardiana Alwi) yang pada babak-babak terakhir berkahwin dengan Zahid yang pernah dicintainya.

Watak wanita seperti Sapiah merupakan antara watak kuat yang menggambarkan pengertian Sandera. Dia sanggup menggadaikan kasih sayang terhadap orang yang dicintai demi kemerdekaan negaranya.

Difahamkan Busad juga terpaksa meninggalkan isteri tercinta demi perjuangannya untuk memerdekakan tanah air.

Sapiah juga dirujuk sebagai salinan watak sebenar Shamsiah Fakeh, wanita yang pernah menggemparkan dengan peristiwa membunuh anak sendiri di hutan ketika menyertai Parti Komunis Malaya (PKM).

Beberapa pergerakan dan parti politik lain yang disebut juga memang wujud dalam sejarah tanah air kita.

Usaha Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) agar Tanah Melayu mencapai kemerdekaan bersama Indonesia dalam gagasan Indonesia Raya yang disokong oleh Kesatuan Melayu Muda dan pihak Jepun turut disentuh dalam naskhah teater ini.

Walaupun nama-nama parti politik yang terlibat ditukar kepada nama-nama yang hampir serupa namun seperti novelnya, teater ini tidak menceritakan perihal parti-parti politik dan ideologi mereka dengan secara mendalam.

Peranan parti-parti ini tidak lain hanya sebagai pemangkin ideologi kepada watak-watak seperti Busad, Zahid, Mahadi, Mahmud dan rakan-rakan mereka.

Dalam teater ini juga, perjuangan Busad bukanlah secara militan, ekstrem dan ikut mengangkat senjata.

Busad selalu meletakkan dirinya sebagai orang tengah iaitu orang bergabung dengan kelompok-kelompok yang mempunyai kepentingan langsung untuk mencetuskan revolusi menuju kemerdekaan.

Justeru sikap dan perwatakan yang dibawa Busad tidak seperti rakan-rakannya Zahid, Mahadi, Andang dan Sapiah yang bersikap menentang.

Karya teater ini turut menyelitkan satu watak seorang pemain ukulele yang dibawa oleh Sani Sudin.

Watak ini hadir dalam setiap babak dan paling rapat dengan watak Busad. Melalui muzik itu, Busad kelihatan lebih mudah untuk menyampaikan pemikirannya kepada khalayak penonton.

utusan online

 
teater sandera

teater sandera

DBP pentaskan Sandera

Karya sastera yang baik tidak pernah ketinggalan zaman malah sentiasa relevan dengan pergolakan sosiopolitik semasa. Pada masa yang sama karya sastera menjadi cermin untuk melihat teladan-teladan yang dituangkan dalam karya sastera sambil kita memetik iktibar daripadanya. Wacana pemikiran sasterawan melampaui naratif tentang manusia yang dibangunkan menerusi watak-watak yang berlegar dalam lingkaran fiksinya.

Sandera karya Sasterawan Negara Arenawati antara novel besar yang pernah dilahirkan oleh negara ini. Mereka yang membesar pada era 1970-an pasti menghadamkan Sandera yang menjadi buku teks sekolah menengah dan menyusuri maksud tersurat dan tersirat karya hebat yang dihasilkan oleh bekas kelasi kapal yang sebahagian usianya dihabiskan di lautan dan pelabuhan di negara orang.

Kerana kehebatan Sandera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mementaskan teater yang diadaptasi daripada novel ini pada 19 hingga 23 Jun depan di Auditorium DBP sempena ulang tahun DBP yang jatuh pada 22 Jun. Mengadaptasi dan mementaskan Sandera satu langkah yang sangat tepat dalam keadaan teater yang sudah hampir pupus di bandar raya ini. Sudah bertahun-tahun lamanya Kuala Lumpur tidak ada pementasan teater dan Sandera sudah pasti dinanti dengan harapan yang tinggi.

Naskhah adaptasi Sandera ditulis oleh aktivis teater A. Wahab Hamzah sekali gus memikul tanggungjawab mengarah karya yang membawa pemikiran besar dan malar segar Arenawati. A. Wahab lima tahun lalu mengarahkan Naskhah Sasterawan Negara Noordin Hassan, Intan Tercanai mempunyai alasan yang kukuh untuk mementaskan Sandera ketika orang Melayu mendepani fragmentasi politik yang paling hebat pada dekad kedua alaf baru.

Menurut A. Wahab, persoalan yang diutarakan oleh Arenawati 48 tahun lalu terus relevan hingga hari ini terutama dari sudut penyatuan Melayu yang menjadi inti persoalan yang diangkat ke pentas teater.

"Saya tidak menjanjikan pementasan yang spektakular tetapi saya percaya isu yang dibentangkan oleh Arenawati dalam Sandera 48 tahun lalu boleh dihayati dan diambil iktibar oleh masyarakat kita hari ini," tegas A. Wahab yang tidak membariskan pelakon-pelakon popular bertaraf ‘selebriti', sebaliknya pelakon-pelakon teater yang sudah lama kenal pentas, memahami ruang dan gerak.

A. Wahab memberi kepercayaan kepada pelakon teater Kamarulzaman Taib (Che Kem), Mardiana Alwi, Sabri Yunus, Bokhari Ibrahim, Eliza Mustafa, Rasdi Daud dan beberapa lagi. Pelakon-pelakon ini mempunyai nama dalam peta teater Kuala Lumpur dan dibuktikan dengan penglibatan dalam banyak pementasan sebelum ini.

Novel Sandera ialah karya yang memenangi tempat pertama Sayembara 10 tahun Merdeka tahun 1967. Tuah berganda kepada Arenawati apabila novel ini dipilih sebagai buku teks sekolah menengah tahun 1970-an sekali gus menyebarluaskan isi pemikiran dalam karya ini kepada golongan muda.

‘Sandera' dalam istilah Indonesia bermaksud tebusan atau penculikan dan novel ini terperap tiga tahun di DBP sebelum diterbitkan tahun 1971. Tidak lama selepas diterbitkan pengarah filem, P. Ramlee tertarik dengan novel ini dan berhasrat memilemkannya. Antara faktornya kerana mesej Melayu dan Nusantara yang sangat kuat di dalamnya. Bagaimanapun usaha ini tidak menjadi kenyataan apabila P. Ramlee kembali ke rahmatullah pada 29 Mei 1973.

Perjuangan watak utama, Busad dan sahabat serta ahli keluarga pada zaman penjajahan Belanda sangat mencabar serta menuntut pengorbanan yang bukan kecil. Busad yang menentang Belanda ini telah berjaya melarikan diri daripada ditahan. Ayahnya berasal dari Tanah Melayu tetapi Busad tidak pernah diberitahu lebih terperinci tentang asal usul bapanya.

Suatu yang menarik tentang Sandera ialah watak-watak utamanya merupakan pejuang yang pernah ditahan oleh pihak berkuasa; Busad (Belanda), Sariyah (Belanda), Mahmud (Jepun), Zahid (Malaysia sewaktu konfrontasi Malaysia - Indonesia) dan Sapiah (selepas keluar dari Parti Komunis Malaya).

Sandera sebuah novel fiksyen tetapi bergerak di atas galur sejarah memperlihatkan kebijaksanaan Arenawati mengaulkan fakta dan fiksi menjadi sebuah karya sastera yang mempunyai keindahan estetika. Pada masa yang sama beliau membentangkan banyak fakta sejarah yang tidak pernah diperkatakan sebelum ini.

utusan online
 


Novel Sandera Dipentaskan
Oleh HASSAN ALIAS



KALI terakhir Badan Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mementaskan teater ialah pada tahun 2009 melalui Intan yang Tercanai (karya SN Dato’ Noordin Hassan) yang diarahkan oleh A. Wahab Hamzah. Teater ini mendapat anugerah dalam BOH Cameronian Awards pada tahun yang sama.

Pada tahun ini, A. Wahab Hamzah mengarahkan teater naskhah SN Arena Wati pula, iaitu Sandera. Teater ini dipersembahkan di Auditorium DBP dari 19-23 Jun 2014 bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-58 pada 22 Jun.



Walaupun jalan perjuangan berbeza, matlamatnya sama, iaitu menuntut kemerdekaan daripada Inggeris

Sandera mengisahkan perjuangan membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah. Watak-watak utama dalam kisah ini, iaitu Busad, Hakim Mahmud, Zahid, Andang, Sapiah, Mahadi dan Bahar berjuang melalui jalan yang berbeza tetapi dengan matlamat yang sama, iaitu untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajah Inggeris.

Perjuangan mereka meliputi pelbagai aspek dalam mengisi erti kemerdekaan sebuah negara. Dalam perjuangan itu, mereka menghadapi pelbagai rintangan apabila berhadapan dengan penjajah. Yang menyamakan nasib mereka dalam perjuangan ini ialah keterpaksaan menerima nasib sebagai sandera. Sandera menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) bermaksud “orang yang tertawan atau tergadai untuk tanggungan hutang dan lain-lain.”



Watak-watak dalam Sandera berbincang untuk membebaskan Tanah Melayu.

Menurut A. Wahab Hamzah, beliau berhadapan dengan kesukaran yang tersendiri untuk mengadaptasikan naskhah ini ke pentas. Hal ini demikian kerana novel ini memaparkan banyak peristiwa yang berlaku dalam tempoh yang panjang serta watak yang banyak, mencabar mana-mana usaha untuk mengadaptasikannya.

Walau bagaimanapun A. Wahab Hamzah menyerahkan kepada khalayak untuk menilai tafsiran yang dilakukannya.

“Kami sedar bahawa novel besar ini telah bersama khalayak pembaca yang luas dan lama. Maka sudah tentu mereka mempunyai sudut tafsiran tersendiri tentang novel ini. Sejauh mana mereka menerima sudut tafsiran kami, maka kami serahkan kepada khalayak penonton,” katanya.


Tun Dato’ Seri Utama Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas melambaikan tangan kepada barisan tenaga produksi pementasan.

Teater ini dibarisi oleh penggiat teater yang cukup berpengalaman, di samping beberapa orang artis popular yang mempunyai latar belakang berteater yang baik. Antara mereka ialah Che Kem (Busad), Mardiana Alwi (Sapiah), Rasdi Daud (Hakim Mahmud), Badrol Hisham (Bahar), Bohari Ibrahim (Andang) dan Sabri Yunos (Cikgu Karim).Persembahan teater ini mendapat sambutan yang baik daripada peminat teater yang dahagakan naskhah yang serius dan dibarisi oleh pelakon yang benar-benar menguasai bahasa dan ruang pentas.

Pada 19 Jun 2014, pementasan ini menerima tetamu istimewa, iaitu Tun Dato’ Seri Utama Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan isteri, Toh Puan Dato’ Seri Utama Hajah Majimor binti Shariff. Yang turut hadir ialah Datuk Dr. Awang bin Sariyan, Ketua Pengarah DBP dan isteri Allahyarham Arena Wati, Ibu Halimah.

klikweb 

sandera

sandera

sandera

Adaptasi Sandera mencabar pengarah


Pelakon-pelakon teater Sandera ketika mengadakan latihan di DBP Khamis lalu.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Badan Budaya DBP pernah dianggap sebagai gedung teaterTeater kerana keterampilan dalam pementasan teater-teater hebat di negara ini. DBP telah menjadi pemangkin pembangunan teater apabila sebahagian besar aktivis dan tokoh teater adalah warga DBP.

Meneruskan legasi hebat itu, DBP akan mementaskan teater Sandera pada 19 hingga 23 Jun ini di Auditorium DBP. Teater ini adaptasi dari novel Sandera karya Sasterawan Negara Arena Wati yang pernah memenangi Sayembara Manulis Novel Sepuluh Tahun Merdeka tahun 1967. Sandera juga pernah dijadikan buku teks sastera tahun 1970-an.

Dalam keadaan Kuala Lumpur yang ketandusan pementasan teater sejak sepuluh tahun kebelakangan ini, Sandera dijangka memberikan kesegaran dalam konteks teater yang melonjakan ketinggian pemikiran diangkat dari karya sasterawan besar negara ini.

A. Wahab yang pernah mementaskan Intan Yang Tercanai karya Sasterawan Negara Noordin Hassan tahun 2009 kembali untuk mengadaptasi dan mengarah teater ini. Biarpun bukan pertama kali mengarahkan teater yang diadaptasi daripada novel tetapi Sandera nyata memberikan cabaran yang tersendiri.

Sandera mengisahkan perjuangan panjang dan penuh derita dalam usaha membebaskan negara dari kongkongan kolonial Belanda dan Inggeris. Perjuangan kemerdekaan yang dikisahkan dalam novel ini melangkau garis masa lebih 30 tahun yang bergerak dari Makassar ke Singapura dan Tanah Melayu. Sandera membariskan watak-watak yang cukup ramai dan diingat dalam sejarah novel tempatan.

“Yang pasti tidak semua watak dan peristiwa dalam novel ini akan diangkat ke pentas. Berdasarkan rantaian peristiwa dan perjalanan watak-wataknya, saya perlu membangunkan satu plot baharu yang dapat memberikan justifikasi kepada plot asal novel ini," jelas A. Wahab yang bukan sahaja mengambil kira aspek dramatik tetapi mesti mengangkat tema, semangat dan pemikiran dalam novel asal.

“Saya beruntung kerana dalam usaha menzahirkan Sandera ke pentas, saya mendapat kerjasama pelakon teater yang berpengalaman dan hebat seperti Che Kem, Mardiana Alwi, Rasdi Daud, Bohari Ibrahim, Badrol Hisham, Eliza Mustapha, Razi Adnan, Sabri Yunus, Rosli Rahman Adam, Sani Sudin dan ramai lagi" kata Wahab lagi tentang barisan pelakon yang turut terlibat dalam drama ini.

Che Kem menzahirkan watak Busad pejuang kemerdekaan yang berjuang dari Makassar hingga ke Tanah Melayu dan terlibat dalam penyeludupan senjata kepada pejuang revolusi Indonesia. Mardiana Alwi membawa watak gerila wanita Bintang Tiga yang keras, Sapiah yang mempunyai hubungan percintaan dengan anak muda Zahid lakonan Afiq Azhar. Manakala watak Andang pejuang gerila yang pernah memimpin revolusi di Indonesia dilakonkan oleh Bohari Ibrahim. Rasdi Daud memegang watak Hakim Mahmud, pakar undang-undang yang menjadi pemimpin dalam Partai Melayu Bersatu. Watak Bahar pemimpin Melayu Merdeka yang bertentangan pendekatan perjuangan kemerdekaan dengan Partai Melayu Bersatu dibawakan oleh Badrol Hisham.

Apa yang menarik ialah kemunculan Sani Sudin yang membawa watak pemuzik yang menemani watak Busad dalam adegan-adegan tertentu. Teater ini dilengkapkan oleh kemunculan Sabri Yunus dan Rosli Rahman Adam.

“Biarpun Sandera sebuah naskhah yang berat kerana memuatkan pemikiran tentang politik, falsafah perjuangan dan kritikan sosial, namun teater ini tetap diseimbangkan dengan elemen-elemen yang menarik dan menghiburkan, " jelas Wahab tentang babak-babak dalam Sandera.

utusan online

Comments