Raja Payung Kedaulatan Negara




Berdasarkan Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan: “Maka hendaklah ada seorang Kepala Utama Negara bagi Persekutuan digelarkan Yang di-Pertuan Agong, yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan...”

Daripada sudut kuasa legislatif, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong (SPBYDA)  adalah satu daripada tiga komponen yang mewujudkan Parlimen (Dewan Rakyat, Dewan Negara dan SPBYDA). Parlimen di Malaysia tidak lengkap tanpa SPBYDA sebagai salah satu komponennya. Justeru, Seri Paduka wajib menandatangani semua Rang Undang-Undang yang diluluskan kedua-dua Dewan. SPBYDA perlu dianggap sebagai mercu perlambangan Ketua Negara yang paling tinggi lagi utama. SPBYDA sebagai Kepala Utama Negara merupakan mercu kedaulatan Malaysia.

Semua rakyat tanpa mengira kaum, latar belakang agama, kebudayaan atau kepercayaan sedia terpanggil untuk memberi penghormatan dan pengiktirafan terhadap SPBYDA. Benar, Seri Paduka adalah Raja berketurunan Melayu yang beragama Islam tetapi daripada sudut kenegaraan, SPBYDA adalah Raja bagi Malaysia dan rakyatnya.

SPBYDA adalah Raja yang memerintah mengikut nasihat cabang Eksekutif. Seri Paduka sebenarnya mempunyai senarai tanggungjawab dan fungsi yang panjang lagi rumit bagi ketiga-tiga cabang kerajaan – eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Seri Paduka melantik Perdana Menteri, menteri dan timbalan menteri, Peguam Negara, hakim mahkamah semua peringkat (kecuali mahkamah majistret) dan mentauliahkan duta Malaysia untuk bertugas di kedutaan seberang laut.

SPBYDA menurut Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan menjadi Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia di samping bertindak sebagai pihak yang boleh mengampunkan atau menangguhkan hukuman bagi semua kesalahan yang dijatuhi mahkamah tentera dan kesalahan-kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. SPBYDA berkuasa, atas nasihat, mengisytiharkan sesuatu keadaan darurat menurut kehendak Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. 

Majlis Raja-Raja (MRR) yang juga badan tertinggi diraja dan yang memilih SPBYDA dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan di bawah Perkara 38.

Walaupun hal-hal dasar kenegaraan juga boleh diagendakan untuk Majlis Raja-Raja (MRR), kebanyakan hal yang dipertimbangkannya adalah berkisar pada perkara-perkara kedirajaan, pengampunan, menangguhkan dan meringankan hukuman, adat-istiadat Melayu dan hal-hal yang berkaitan agama Islam.

Biasanya MRR juga memberi perhatian kepada pelantikan-pelantikan tertentu seperti para hakim dan peraturan-peraturan yang diperbuat di bawah Perkara 32 mengenai perkhidmatan awam. Pendeknya SPBYDA terbabit dalam banyak hal dan urusan berkaitan jawatan SPBYDA sebagai Kepala Utama Negara.

Semasa Istiadat Menghadap Sembah Titah Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-86 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah, baginda bertitah bahawa fungsi raja dalam kerajaan adalah memerintah dan bukannya mentadbir. Raja titah baginda, menjadi payung kedaulatan negara, memberi naungan saksama kepada setiap rakyat tanpa mengira kaum atau agama.

“Institusi raja bukanlah ‘cermin lama untuk melihat wajah yang telah tua’ dalam sistem pentadbiran negara. Institusi raja juga bukan hiasan, sebaliknya adalah institusi utama yang termaktub secara perundangan dalam Perlembagaan negara.

“Ini terbukti apabila 10 peratus iaitu 19 daripada 183 Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan adalah perkara-perkara berkaitan dengan raja. Ini bermakna Malaysia yang mengamalkan kerajaan berkonsepkan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen telah memperuntukkan secara perundangan peranan dan tanggungjawab tertentu kepada raja pemerintah,” titah baginda.

Demikianlah segenap yang termaktub dan tertera dalam Perlembagaan Negara berhubung dengan raja dan negara.  Apa yang termaktub dan tertera hendaklah diterima bersama dengan sejujurnya.

Raja Payung Kedaulatan Megara



Raja Melayu simbol perpaduan masyarakat
Oleh Shamrahayu A Aziz

INSTITUSI raja mempunyai kedudukan selesa dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri. Perkara 32 mengisytiharkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara. Pengisytiharan ini tentunya bersebab.

Ia bukanlah sengaja diada-adakan. Sejarah awal kedudukan Raja Melayu perlu dihayati oleh seluruh rakyat negara ini. Begitu juga dengan sejarah kemerdekaan negara. Dalam proses mencapai kemerdekaan dan menggubal Perlembagaan Persekutuan, terma rujukan yang diberikan kepada Suruhanjaya Reid menyatakan dengan jelas kemestian menjamin kedudukan Raja-Raja Melayu.

Ia juga antara syarat kemerdekaan. Fakta sejarah jelas menyokong pengisytiharan ini. Hakikat sejarah ini yang tidak boleh dinafikan. Dalam Perlembagaan, baginda Yang di-Pertuan Agong secara undang-undangnya menganggotai tiga institusi kerajaan, iaitu badan eksekutif, perundangan dan juga memainkan peranan berkaitan badan kehakiman. Pada peringkat negeri, kedudukan Raja-Raja Melayu adalah lebih kukuh.

Komponen Parlimen

Raja-Raja memegang kuasa eksekutif yang penting. Menurut Perkara 39 kuasa eksekutif terletak hak atau dikuasai sepenuhnya oleh Yang di-Pertuan Agong. Kuasa ini boleh dilaksana oleh baginda sendiri, atau jemaah menteri atau mana-mana menteri atau mana-mana orang yang dibenarkan oleh Parlimen. Oleh itu, segala urusan negara dilakukan di bawah kuasa baginda, dengan frasa 'Urusan Seri Paduka Baginda.'

Berkaitan badan perundangan, Perkara 44 menyatakan bahawa baginda adalah salah satu komponen Parlimen. Baginda mempunyai kuasa memanggil, menangguh dan membubar Dewan. Kuasa ini disebut dalam Perkara 55. Kuasa berkaitan memanggil dan menangguhkan Parlimen adalah kuasa yang dilaksana mengikut nasihat, tetapi kuasa membubar Dewan adalah kuasa budi bicara baginda yang disebut di bawah Perkara 40(2)(b).

Imbangi kegawatan politik

Berkaitan badan Perundangan juga, Raja akan hanya memainkan peranan apabila keadaan genting, terutama apabila tiada bilangan kerusi majoriti selepas pilihan raya dan kemungkinan wujudnya pertelingkahan dalam kalangan parti politik. Sebagai institusi di luar parti politik, institusi Raja boleh menjaga dan mengimbangi keadaan.

Pendek kata, institusi Raja memainkan peranan apabila keadaan negara sudah tidak selamat dan berada di luar kawalan parti politik atau sistem demokrasi.

Berhubungan juga Yang di-Pertuan Agong adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera. Ini dimaktubkan di bawah Perkara 41. Mungkin dalam keadaan negara makmur, aman dan sejahtera, ada antara kita yang tidak menghargai kepentingan peruntukan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera.

Ditambah pula peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera tidak pernah menjadi isu hangat. Walaupun begitu peranan dan fungsi Raja dalam hal ini ia hendaklah diketahui dan diberi perhatian sewajarnya oleh setiap lapisan masyarakat. Ia amat penting ketika negara menghadapi kesukaran politik atau juga serangan dan ancaman dari dalam atau luar negara, atau dengan kata mudah, sekiranya berlaku rampasan kuasa.

Memelihara hak istimewa orang Melayu

Dari aspek perpaduan negara Yang di-Pertuan Agong bertangjungjawab menjaga dan memelihara kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan masyarakat anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain. Ini dapat dilihat dalam Perkara 153.

Sepanjang pemerhatian saya, Perkara 153 ini telah disalah anggap. Ia diaktakan sebagai peruntukan yang membeza-bezakan antara warganegara. Keistimewaan yang diberikan kepada bangsa Melayu dalam Perkara 153 ini sering dianggap sebagai diskriminasi kepada kaum lain dan seterusnya telah mempertikaikannya. Salah anggap ini berlaku kerana Perkara 153 dibaca sebahagiannya sahaja, dan tidak difahami dengan sepenuhnya dari segi sejarah dan rasional.

Menjaga kepentingan masyarakat

Sekiranya diteliti dengan baik, dan diterima dengan rasional Perkara 153 ini adalah aspek penting yang membolehkan kita merdeka. Ketika bersetuju memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu, British amat mementingkan kedudukan dan perpaduan semua pihak di Tanah Melayu. British membenarkan kemerdekaan apabila benar-benar pasti wujudnya perpaduan.

Selain itu, pengisian Perkara 153 juga telah dibincangkan dengan terperinci sekali. Ini dapat dilihat dalam dokumen sejarah sejak dari Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 lagi.

Dalam Perkara 153, Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab menjaga kepentingan semua kelompok masyarakat Malaysia. Baginda adalah simbol kepada perpaduan masyarakat Malaysia. Justeru Perkara 153 ini sepatutnya menjadi asas kepada perpaduan masyarakat; bukan punca perpecahan.

Penulis ialah Felo Utama di Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia

berita harian


Institusi Raja adalah lambang kedaulatan negara
Oleh Mohd Ayob Abd Razid
29 Ogos 2014

Kenyataan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mempertahankan institusi Raja di negara ini adalah satu kenyataan yang wajar.

Kenyataan itu dibuat berikutan wujudnya penghinaan terhadap institusi Raja yang semakin berleluasa kini. Kenyataan itu juga bertepatan dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai tampuk tertinggi ATM seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 41).

Kesetiaan anggota ATM terhadap Yang di-Pertuan Agong bukan sahaja kerana kedudukan baginda sebagai Ketua Negara tetapi juga sebagai Ketua Angkatan Tentera yang menuntut anggota tentera mempertahankan maruah dan kehormatan baginda.

Ketika sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, baginda akan berangkat ke istiadat mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong untuk istiadat sembah ikrar taat setia ATM kepada Seri Paduka selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera. Dalam istiadat itu baginda akan menerima tabik hormat pasukan kawalan kehormatan yang dianggotai pegawai dan anggota daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM. Justeru, apabila penghinaan terhadap institusi Raja semakin berleluasa maka wajar ATM mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Menghina institusi Raja juga secara tidak langsung menghina bangsa Melayu dan kedudukan agama Islam kerana Yang di-Pertuan Agong (termasuk Raja-Raja Melayu) bertanggungjawab menjaga hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perkara 153 (1) Perlembagaan Persekutuan. Selain itu, dalam setiap negeri yang mempunyai Raja, perlembagaan negeri terbabit menetapkan baginda sebagai Ketua Agama Islam.

Ketua agama

Untuk negeri yang tidak mempunyai Raja, iaitu Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, perlembagaan negeri masing-masing membuat peruntukan bagi memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam di negeri itu. Yang di-Pertuan Agong juga menjadi Ketua Agama Islam bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Justeru, dalam kes penghinaan terhadap institusi Raja oleh mana-mana individu atau kumpulan adalah satu kesalahan yang sepatutnya dikenakan hukuman setimpal. Kebiadaban mereka itu wajar dikenakan hukuman berat kerana apa yang mereka lakukan boleh dikategorikan sebagai kesalahan serius.

Perbuatan menghina institusi Raja juga boleh mencetus kemarahan orang Melayu kerana ia berkaitan dengan maruah bangsa Melayu itu. Tindakan yang tidak bertanggungjawab itu menjejaskan imej kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Memperlekeh dan mempersoalkan kedudukan Raja-Raja Melayu itu tidak wajar dikatakan sebagai satu kebebasan bersuara kerana apa-apa peruntukan yang dimaktubkan dalam perlembagaan berkaitan peranan institusi Raja adalah sesuatu yang menepati kedudukan raja-raja yang mempunyai kedaulatan sendiri.

Justeru, penulis setuju dengan cadangan yang dibuat oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah yang mencadangkan akta derhaka digubal bagi membendung penghinaan terhadap institusi Raja. Dengan akta khusus seperti itu maka akan memudahkan pendakwaan dibuat ke atas mana-mana pihak yang bersikap biadab terhadap kedudukan serta kedaulatan institusi Raja di negara ini.

Setakat ini akta yang sesuai diguna pakai dalam kesalahan menghina dan memperlekeh Raja-Raja, sama ada Yang di-Pertuan Agong atau Sultan atau Raja ialah Akta Hasutan.

Akta terbabit bertujuan mengekang perbuatan berkaitan kecenderungan menghasut yang membabitkan Raja-Raja Melayu, kerajaan (sama ada negeri atau Persekutuan), hubungan antara rakyat negeri-negeri dalam Persekutuan, hubungan antara kaum serta hal berkaitan kewarganegaraan, bahasa Melayu, keistimewaan Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Mengikut Prof Madya Shamrahayu A Aziz, kecenderungan menghasut sehingga membenci, menghina atau membangkitkan perasaan tidak setia kepada Raja atau kerajaan adalah asalnya kesalahan di bawah Kanun Keseksaan tetapi dimasukkan dalam Enakmen Hasutan. Satu lagi kesalahan yang dimasukkan dalam akta itu ialah perbuatan mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau penduduk Malaysia.

Kesimpulannya, Raja-Raja Melayu memiliki kedudukan dan kedaulatan tersendiri di negara ini. Justeru, imej dan kedudukan institusi Raja perlu dijaga kerana ia lambang kedaulatan negara.

Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia.

berita harian


Hargai negara bangsa
Oleh NURUL IZZA ROSLY


KETIBAAN Raja Nazrin disambut meriah bagi menzahirkan Syarahan Perdana Budaya di Hotel The Royale Bintang Damansara baru-baru ini.

BERTEMAKAN rona hitam, keemasan dan elegan, atmosfera dewan utama Hotel The Royale Bintang Damansara, Selangor tanggal 7 November lalu berbeza daripada biasa.

Menjadi lokasi program berkonsep eksklusif, berprestij dan intelektual, ia mengundang ramai hadirin yang mahu mendengar serta mendalami Syarahan Perdana Budaya dizahirkan oleh tetamu istimewa iaitu Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.

Syarahan berjudul Institusi Raja Berperlembagaan: Kelangsungan Negara Bangsa yang dizahirkan cendekiawan diraja itu benar-benar memberi kesan kepada hadirin.

Semua sedia maklum bahawa institusi raja dianggap penting dalam menjamin kestabilan negara kerana ia menjadi payung kedaulatan negara, menaungi seluruh rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan anutan kepercayaan agama.

Ia sekali gus melambangkan Raja Melayu adalah kesinambungan sejarah dan warisan negara. Kewujudannya menjadi sebahagian daripada identiti negara dan dilindungi oleh perlembagaan. Titah Raja Nazrin, institusi raja adalah subjek istimewa dan amat menghidupkan minda.

“Sebagai pewaris takhta dan sering kali diamanahkan menyempurnakan tanggungjawab Pemangku Raja, beta tidak terlepas daripada melakukan penilaian bersifat peribadi.

“Namun, ia sebenarnya memberi kelebihan, membolehkan beta melakukan penilaian dari perspektif dalaman serta mengupayakan beta melakukan tafsiran, berfakta pengalaman sebenar tentang dinamisme institusi tersebut,” titah baginda.


PARA hadirin mendengar ucapan aluan program Syarahan Perdana Budaya daripada Rais yang menyeru orang ramai menghargai tradisi dan sejarah.

Tambah baginda, lebih banyak peranan yang disempurnakan oleh Raja itu berlaku secara tersirat, tetapi amat menghidupkan lagi mencabar.

Kebiadaban politik kepartian

Cabaran-cabaran yang perlu ditangani berpandukan hikmah, kebijaksanaan, kearifan dan kematangan. Peranan yang perlu disempurnakan seadil dan sesaksama mungkin tanpa perlu diuar-uarkan.

“Raja Berperlembagaan adalah satu kelangsungan pemerintahan beraja. Kelangsungan yang dianggap ketinggalan zaman dalam kalangan setengah pihak yang rabun sejarah, lalu melakukan tafsiran dangkal, memilih untuk tidak mahu mengakui dan kurang mahu mendalami salasilah serta falsafah di sebalik institusi ini,” ujar baginda.

Titah Raja Nazrin, kesungguhan hasrat membina negara bangsa perlu dilandaskan atas minda serta melalui hati terbuka, diperkukuhkan dengan keikhlasan mahu mencipta penyatuan dan bekerja untuk mencapai penyatuan.

“Dalam apa juga krisis dan dalam setiap konflik, tidak ada pihak yang betul semua dan tidak ada juga pihak yang salah semua.

“Perdamaian akan hanya tercapai apabila ego bersifat betul semua dan menang semua dapat digugurkan. Cahaya damai akan ditemui jika kekalahan dalam persaingan dapat diterima dengan keredaan,” titah baginda.

Ujar baginda, bumi dan tanah air milik kita bukan untuk dibolot secara rakus oleh segelintir warga bersifat haloba hingga kerosakannya perlu dibayar dengan harga tinggi oleh generasi pewaris.

“Kini peristiwa yang semakin meningkatkan kegelisahan warga masyarakat kian bertambah. Warga masyarakat ketara kecewa, hampa, kesal dan mual dengan gelagat politik yang semakin keterlaluan. Matlamat jangka pendek politik bagaikan mengatasi kepentingan jangka panjang kelangsungan negara bangsa.

“Lebih membimbangkan, apabila institusi-institusi utama negara kini kelihatan mula terseret dalam kancah politik kepartian. Akibatnya integriti, profesionalisme, imej neutral serta tidak partisan institusi diraja semakin dipertikaikan,” titah baginda.


RAJA NAZRIN bertitah baginda bimbang melihat gelagat politik yang semakin melampau hari ini sehingga sanggup mengheret sama institusi raja.

Jelas baginda, istana mungkin berpagar tinggi, namun ia tidak menghalang kepada berita serta peristiwa menembusi jendela dan pintu istana.

“Segala yang berlaku ketika ini sedang diikuti oleh istana secara dekat, diteliti dan dihalusi, ditimbangkan serta diimbangkan beritanya.

“Ketika dilambung ombak globalisasi, warga masyarakat perlu bijaksana mengimbangkan antara tuntutan tradisi dan permintaan pemodenan agar air tempayan tidak terlalu cepat dicurahkan kerana mendengar guruh di langit,” ujar baginda.

Hasilkan buku

Dalam pada itu, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim memberitahu, Syarahan Perdana Budaya merupakan satu tradisi pembuka tirai kepada jendela tamadun masa depan.

“Syarahan ini akan diteruskan pada masa depan dan akan memberi lunas tentang idea-idea baharu.

“Kami berbangga dapat menyempurnakan majlis seperti ini oleh kerana ia membawa pembaharuan minda kepada kita. Syarahan ini akan kita zahirkan dalam bentuk buku kecil dan diedarkan seluas mungkin kepada khalayak,” katanya sambil memberi ingatan kepada semua pihak supaya melihat sejarah, menghargai tradisi dan berwaspada terhadap masa hadapan.

Program anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan diselia oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara itu bertujuan mengetengahkan kepentingan institusi raja berperlembagaan dalam pembangunan dan pembinaan sebuah negara bangsa.

Ia juga mewujudkan ruang dan platform bagi perkongsian maklumat dalam kalangan tokoh-tokoh pelbagai bidang, malah pada jangka masa panjang melahirkan masyarakat berilmu dan bertamadun tinggi.

Turut hadir pada program tersebut ialah Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum; Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Datuk Norliza Rofli.

kosmo online


Noda kedaulatan negara
12 Oktober 2012

KUALA LUMPUR: Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah semalam menyifatkan perbuatan menghina Jalur Gemilang, yang juga simbol negara, samalah seperti menodai kedaulatan negara.

“Biarpun wujud perbezaan politik atau ideologi antara kita, simbol negara tetap menjadi kepunyaan semua rakyat. Dengan membiarkan simbol ini dihina, kita mendedahkan diri kepada pelbagai akibat buruk, termasuk kemungkinan timbulnya kemarahan dan mengundang tindak balas.

“Perasaan benci dan marah adalah antara perasaan yang paling kuat mempengaruhi emosi manusia. Sekiranya ia menguasai masyarakat, ia begitu sukar dan selalunya tidak mungkin dapat dikawal.

“Oleh itu, simbol negara perlu diletakkan supaya mengatasi urusan politik,” titah baginda ketika merasmikan ‘Brand Transformer dan Forum Malaysia Brand’ 2012, di sini, semalam.

Sejajar dengan itu, titah Raja Nazrin, perbuatan menghina bendera sebenarnya mencerminkan lebih daripada sikap tidak menghormati dan kritikan yang ingin disampaikan seseorang.

“Perbuatan demikian sengaja dirancang untuk menghina sesuatu yang dihargai dan dianggap menjadi sumber kebanggaan dan kebahagiaan kebanyakan orang lain. “Biar apapun tafsiran seseorang mengenai hak individu untuk menyuarakan pendapatnya, tetapi kesan buruk akibat tindakan mereka itu tidak boleh diabaikan,” titah baginda.

Raja Nazrin bertitah beberapa negara, termasuk Austria, Perancis, Jerman dan Switzerland menggubal undang-undang bagi melindungi simbol kebangsaan masing-masing dan mengenakan hukuman khusus bagi perbuatan menghina bendera negara.

“Negara lain melindungi simbol kebangsaan mereka melalui undang-undang umum sedia ada bagi tujuan memelihara ketenteraman, mencegah perbuatan subversif dan jenayah yang berpunca daripada kebencian,” titah baginda.

Raja Nazrin juga menzahirkan kebimbangan baginda berhubung kecenderungan sesetengah pihak mencemarkan nama baik dan memandang rendah simbol negara, yang sebenarnya menjejaskan kehidupan bernegara di Malaysia.

“Saya juga bimbang dengan perbuatan sesetengah pihak yang tergamak melemahkan tonggak institusi yang menegakkan negara ini,” titah baginda.

Raja Nazrin bertitah terdapat sekurang-kurangnya dua sebab kenapa perkara itu terjadi. Pertama kerana kefahaman yang silap bagaimana hak dan kebebasan individu perlu diamalkan dalam konteks kewujudan negara.

Kedua, ialah akibat perubahan generasi yang menghakis kepentingan, makna dan nilai pembinaan negara serta simbolnya.

Raja Nazrin bertitah manusia sentiasa dahagakan kebebasan, tetapi sekiranya sempadannya tidak dihormati apabila mengamalkan kebebasan individu menjadikan negara lemah. “Oleh itu, kita perlu menyemai dalam diri anak muda sikap bertanggungjawab dan semangat sebagai anggota masyarakat,” titah baginda.

Mengenai perubahan generasi, baginda bertitah: “Selepas berlalu satu generasi, manusia selepasnya semakin kurang memahami keadaan yang membentuk dan membina negara ini. Sebab itulah, saya ingin menegaskan pentingnya kefahaman dan pengajaran lebih mendalam sejarah di sekolah.

“Dengan cara ini, pelajar lebih menghargai dan menghormati institusi dan simbol negara. Penghargaan dan perasaan hormat ini jelas sekali tidak wujud apabila simbol negara dihina dengan sesuka hati,” titah baginda. - Bernama

myMetro


Titah Utama Forum Khas Melayu Islam Beraja
Dewan Chancellor, Universiti Brunei Darussalam, 20 September 2006

Titah Utama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan Raja Nazrin Shah Forum Khas Melayu Islam Beraja Sempena Hari Keputeraan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam

Segala puji milik Allah Subhanahu Wa Ta'ala, Tuhan Pemerintah semesta alam, Maha Berkuasa - Maha Mengetahui, lalu memilih dari kalangan makhluknya untuk dikurniakan kebesaran - untuk diamanahkan tangugngjawab.

Selawat dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, semulia-mulia kejadian. Demikian juga atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk mencernakan cahaya, seterusnya ke atas para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan. Semoga memperoleh ihsan daripada Allah Subhanahu Wa ta'ala sehingga ke hari kebangkitan.

Menghadap Paduka Seri Ayahanda, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bollkiah Mu'izzaaddin Waddaulah, Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Ampun Tuanku,

Sembah anakanda pohon diampun,

Izinkan anakanda dengan segala kerendahan diri - dengan segala kelemahan sifat, dengan ingatan yang bening - dengan hati yang hening, menzahirkan setulus kalam dari pancaran mata hati, melafazkan seikhlas kalimah dari denyutan nadi, merafak sembah 'dirgahayu tuanku' kepada Paduka Seri Ayahanda, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah, Paduka Seri Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena ulang tahun keputeraan Paduka Seri Ayahanda kali ke enam puluh.

Selanjutnya, Anakanda mohon izin dan perkenan Paduka Seri Ayahanda untuk menzahirkan penghargaan atas keberangkatan bersama Paduka Adinda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzadin Waddaulah.

Juga Penghargaan anakanda kepada pengerusi pengajur Majlis ini, Paduka Ayahnda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara, Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.

Mengatasi segalanya, Anakanda menjunjung setinggi-tinggi kasih atas limpah perkenan Paduka Seri Ayahanda menganugerahkan kepercayaan - mengurniakan penghormatan kepada anakanda berpeluang menzahirkan titah utama di Forum Khas mengenai 'Melayu Islam Beraja' atas tema 'kecemerlangan institusi beraja'. Sesungguhnya majlis ilmu sebegini nyata membuktikan perhatian berat Paduka Seri Ayahanda tentang program perkembangan minda selaras dengan peranan awal istana sebagai pusat perkembangan ilmu dan pembangunan intelek.

Anakanda amat insaf bahawa batang tubuh anakanda bukanlah searif insan untuk menghuraikan mauduk berkaitan, lebih-lebih lagi menyedari bahawa forum ini dilangsungkan dengan restu perkenan, dibawah naungan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Ayahanda, Sultan dan Raja Pemerintah yang bertakhta di singgahsana Kerajaan Brunei Darussalam, dengan segala kemuliaan dan kebesaran' khalifah kepada sebuah negara berdaulat, aman, makmur dan sejahtera. Anakanda mengikuti akan pendekatan 'Melayu Islam Beraja' yang menjadi tunggak dan asas pemerintah Kerajaan Paduka Seri Ayahanda.

Ampun Tuanku.

Dalam segala kekurangan yang ada, dipohon pertunjuk dan kudrat dari Ilahi untuk membolehkan hamba Mu ini mendaki gunung - meniti gaung, agar dikurniakan petunjuk - diturunkan hidayat dari Mu juga Ya Allah, membolehkan hamba Mu menyempurnakan satu tanggungjawab sebaik mungkin, berpandukan pengetahuan yang masih sedikit - bersandarkan pengalaman yang masih singkat, dengan segala kesedaran - dengan penuh keinsafan, bahawa banyak ketidak-sempurnaan yang terdapat pada diri Hamba Mu ini. Kepada Mu jua Ya Allah, dipohonkan segala panduan dan bimbingan. Amin, Ya Rabul Alamin.

Dalam menyuarakan pandangan - menghuraikan pendapat, mudah-mudahan barang diawasi Allah juga di majlis ini, untuk anakanda berpeluang menimba ilmu, berkesempatan berguru dengan cerdik pandai yang lebih arif di negara Brunei Darussalam ini untuk membolehkan anakanda lebih memahami akan falsafah dan konsep 'Melayu Islam Beraja' dan kerana itu, dengan kail panjang sejengkal, adalah lebih bertepatan cendekiawan tempatan akan mauduk menyentuh salasilah dan sistem Kesultanan negara Brunei Darussalam.

Anakanda memilih menghuraikan secara umum, latar sejarah sistem dan negara beraja, faktor-faktor kejatuhan dan kebangkitan, kekhilafan yang mungkin berlaku, kekuatan serta peranan, kesinambungan sistem beraja dalam menghadapi cabaran dunia global semasa.

Kepimpinan beraja adalah antara sistem kepimpinan tertua di dunia. Pada awal kurun kesembilan belas terdapat lebih sembilan ratus (900) takhta kerajaan. Kajian kronolgi dan manual genealogi tentang dinasti baru Islam, merumuskan terdapatnya seratus lapan puluh enam (186) kesultanan berpaksikan Islam diantara tahun enam ratus tiga puluh dua (632) hingga 1944 Masihi. Pada hari ini terdapat seratus sembilan puluh tiga (193) negara berdaulat merangkumi seratus sembilan puluh dua (192) negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Vatican City. Dari jumlah tersebut, hanya empat puluh empat   negara yang memilih sistem beraja, sementara Vatican City terletak di bawah 'Supreme Pontiff', pemerintah Kerajaan Theocracy yang dikenali dengan gelaran 'Pope, diiktirafkan dengan status Ketua Negara.

Dari empat puluh (44) negara beraja, enam belas (16) daripadanya mengiktiraf Ratu Elizabeth II sebagai Raja Pemerintah di bawah sistem Raja Berperlembagaan. Di samping bertakhta di United Kingdom, Ratu Elizabeth melantik Gabenor Jeneral di lima belas (15) negara lain. Enam belas (16) negara lagi mengamalkan sistem Raja Berplembagaan, lima (5) sistem separa autonomi, tujuh (7) negara mengamalkan sistem Raja secara mutlak.

Analisis taburan secara geografi, menunjukkan dikalangan negara yang mempunyai Raja, sebelas (11) terletak di Benua Eropah, tiga (3) di Benua Afrika dan empat belas (14) di Benua Asia, sementara enam (6) negara Oceania dan sepuluh (10) negara yang terletak di sekitar Benua Utara mengiktiraf Ratu Elizabeth II sebagai Raja Berpelembagaan. Sepuluh (10) dari negara yang mengamalkan sistem beraja adalah negara Islam, sembilan di Asia dan satu di Afrika; lapan (8) darinya adalah negara pengeluar minyak.

Takhta kerajaan dan Raja Pemerintah adalah rangkaian institusi dan individu; satu melambangkan jawatan dan kuasa, satu lagi merupakan pengisian watak, bertanggungjawab memberi nafas dan mengisi roh kepada institusi. Peranan utama Raja adalah memberi kepimpinan, menjadi contoh - menjadi teladan untuk dijadikan pedoman - untuk memberikan panduan - untuk disandarkan harapan - untuk memberi naungan. Raja dihormati - dimuliakan, dinobatkan - didaulatkan, kerana Raja diiktiraf memiliki segala kelebihan, dari segi akal bicara, dari segi kebijaksaan, dari segi hikmah, dari segi kegagahan, dari segi pengetahuan, dari segi sahsiah, dari segi keberanian, dari segi keupayaan mengatasi cabaran.

Dengan mendapat kepercayaan dan penghormatan dengan memperoleh sokongan dan kesetiaan, Raja berperanan menyatukan warga, membina sebuah negara bangsa berdaulat. Raja di era tersebut bersandarkan kepada tiga paksi utama; pertama, penerimaan secara agama; kedua, memiliki kuasa politik; ketiga, perinsip baka dan keturnan. Raja dilihat sebagai Dewata mewakili Tuhan di dunia, sekali gus memenuhi tanggungjawab keagamaan; lalu Raja dikaitkan dengan kesaktian sebagai keistimewaan anugerah Tuhan. Ketika itu Raja berperanan mutlak sebagai penggubal, pentafsir, pelindung dan pelaksana undang-undang, di samping diiktiraf sebagai ketua agama.

Empat ratus (400) tahun terakhir merakamkan perubahan besar berlaku terhadap institusi Raja. Berlaku evolusi berkerajaan secara dinamik. Bilangan takhta menjadi kurang. Antaranya adalah selaras dengan bilangan negara yang turut berkurang kerana berlakunya penaklukan dan percantuman wilayah lalu terbina negara yang lebih besar. Factor lebih utama yang mempengaruhi evolusi terhadap sistem berkerajaan adalah revolusi pendidikan dan revolusi ilmu yang membawa dunia kepada penemuan saintifik serta penghuraian saintifik, disamping kefahaman lebih mendalam terhadap agama. Kedua-dua faktor tersebut merubah kefahaman lebih mendalam terhadap agama. Kedua-dua faktor tersebut merubah persepsi dan tafsiran dunia terhadap Raja; lalu muncullah alternatif sistem berkerajaan yang turut diperngaruhi oleh dinamik evolusi kehidupan manusia, kesan revolusi industri, perkembangan teknologi, perubahan corak dan paksi ekonomi, pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi. Disamping itu, kelemahan watak dan kesilapan laku individu, salah ramalan dan silap percatuan dikalangan sebahagian mereka, turut menjadi faktor pemangkin membawa kepada kejatuhan sesebuah institusi Raja.

Sistem Raja dihapuskan di Latin Amerika seawal abad kesembilan belas, kesan pengaruh sistem republik yang berjaya diperkenal dan diamalkan di Amerika Syarika. Lalu berakhirlah pengaruh tiga ratus tahun Raja Sepanyol; yang merentas dari Mexico di utara sehingga ke Chile di selatan Latin Amerika. Perang dunia pertama bukan hanya menyaksikan terkorbannya dua puluh (20) juta manusia dalam tempoh masa empat tahun meruntuhkan tiga empayar besar dengan tradisi beraja di Eropah, dengan kejatuhan takhta di Austria, di Jerman, di Rusia, disamping Empayar Otoman.

Dua peperangan dunia mengubah lanskap politik dunia. Dua peperangan dunia menyaksikan perubahan imbangan kuasa dunia. Dua peperangan dunia menyaksikan kemusnahan, menyaksikan pertambahan perbelanjaan ketenteraan, menyaksikan kebangkitan semangat nasionalisme, menyaksikan kemunculan ideologi baru dan menyaksikan politik kelahiran rupa bentuk pemerintahan dan kerajaan baru. Lalu berlaku transformasi politik membentuk persekitaran politik yang berbeza. Abad kedua puluh menyaksikan kebangkitan gerakan nasionalisme dan corak pemerintah berlandaskan perlembagaan. Berlakulah evolusi dalam pemerintahan beraja.

Raja-raja di Eropah yang peka, memahami dinamik yang berlaku berikutan gerakan politik rakyat berpaksikan masyarakat industri dan masyarakat kota. Raja yang sebelumnya dianggap Dewata mewakili Tuhan memerintah hamba-hamba di bumi, bertukar peranan sebagai pembela kepada kebajikan dan kebaikan warga di sesebuah negara bangsa. Raja-raja yang berjaya melayari angin yang meniup bayu perubahan, mentafsir semula peranan mereka, mengolah wajah dan merangka dimensi baru, lalu berjaya mengekalkan pengiktrafan dan kesetiaan rakyat. Raja-raja tersebut berjaya melakukan pengubahsuaian, lantas takhta dapat dikekalkan. Malah dengan kemunculan gerakan politik berparti, Raja yang berada di atas politik, diiktiraf sebaik hakim, memenuhi fungsi sumber keadilan, berupaya mendamaikan persengketaan di antara puak-puak yang bertelingkah; konsep ini menjadi perintis - menjadi asas kepada doktrin pemisahan dan perkongsian kuasa antara Raja dan rakyat di era pasca Perang Dunia Pertama dan perang Dunia Kedua.

Raja Inggeris dan Raja-raja di Scandinavia, di Belgium, di Netherlands, di Luxemburg dan di Greece kekal mendapat sokongan rakyat. Raja Inggeris mempamerkan sifat tanggungjawab yang tinggi dengan memilih bersemayam di London ketika kota raya tersebut menghadapi serangan udara. Baginda senantiasa berpakaian seragam tentera sepanjang masa peperangan. Baginda melawat kawasan-kawasan yang musnah; Baginda meniupkan semangat serta meningkatkan moral rakyat. Ratu Wilhelmina yang menduduki takhta kerajaan Netherlands sejak berusia sepuluh (10) tahun memperlihatkan kematangan pengalaman, secara tegas berusia sepuluh (10) tahun memperlihatkan kematangan pengalaman, secara tegas menitahkan Netherlands tidak melibatkan diri dalam Perang Dunia Pertama, sementara Gustav V berjaya menghalang Sweden dari terlibat dalam peperangan Dunia Kedua.

Raja Leopold secara tegas mengetepikan keputusan jemaah menteri, mengambil pendirian menyerah tanpa syarat dan memilih untuk bersama rakyat dan tentera Baginda; satu keputusan terhormat yang mendapat sokongan padu di kalangan rakyat Belgium berketurunan Flemish. Raja Leopold kemudiannya secara berkesan menjadi faktor penyatu bagi rakyat Belgium yang menghadapi pelbagai isu nasional dan isu bahasa. Raja Christian, memilih di Copenhagen setelah memberi perkenan kepada jemaah menteri supaya Denmark menyerah. Pendirian Baginda menyeleamatkan rakyat dan negara Denmark berbanding dengan Raja Haakon, yang menyeru rakyat Norway menentang kemaraan Jerman dan akhirnya Baginda sendiri terpaksa melarikan diri ke Brintain. Empayar Rusia dan Habsburg (Austria-Hungary) gagal melakukan penyesuaian pemerintahan berlandaskan perlembagaan dan perwakilan kuasa berbenntuk parlimen, akhirnya takhta hilang dari negara.

Nicolas II, Raja (Tsar) Rusia terakhir antara pengajaran memperlihatan kelemahan seorang watak yang gagal memenuhi tanggungjawab berat sebuah institusi. Sepanjang tempoh pemerintahan Baginda, Nicholas dibatasi dan dikelilingi dengan pengaruh orang-orang yang baginda senangi sama ada pemimpin agama, Permaisuri dan Paderi kesayangan Permaisuri bernama Rasputin. Pegawai-pegawai berwibawa tidak disenangi dan gagal mendapat kepercayaan baginda. Akhirnya Baginda terperangkap dnegan kepalsuan dan tidak berpeluang memahami realiti. Berakhirlah Pemerintahan Baginda apabila terputusnya sokongan rakyat.

Perang Dunia kedua turut melihat berakhirnya takhta kerajaan di Romania, di Bulgari, di Yugoslavia dan di Italy. Kelemahan Victor Emmanuel III ditambah dengan kelengahan melantik anakanda Baginda, Putera Umberto dinilai secara adil. Ketika rakyat Itali mengadakan pungutan suara untuk menentukan corak kerajaan, putera Umberto baru beberpaa minggu menaiki takhta. Namun perlu dirakamkan, bahawa kerana masih adanya Raja pada penghujung perang Dunia Kedua, memudahkan rakyat Itali menolak 'fasisme' berserta Mussolini, berbanding ketidakupayaan para Jeneral di Jerman mencabar arahan Hitler dan fahaman 'Nazisme'. Greece kehilangan takhta kerajaan dalam tahun 1967 kerana kegagalan Raja Constantine menangani gelombang politik yang mencetuskan perpecahan dikalangan rakyat selepas Perang Dunia Pertama dan kemelut perang saudara selepas Perang dunia Kedua.

Tahun enam puluhan menyaksikan negara-negara jajahan di Afrika mencapai kemerdekaan; majoriti membentuk kerajaan merdeka bermodelkan republik. Di Asia, sistem Maharaja di Cina berakhir berikutan revolusi 1912. Dalam tahun 1948, pemerintahan berteraskan demokrasi berparlimen menggantikan 'British Raj' di India. Indonesi memilih sistem Republik. Namun ikatan emosi terhadap Raja masih berakar di hati rakyat, terutama mereka yang berketurunan Jawa, dengan pegangan mistisisme, menghargai konsep 'Ratu Adil'. Langit Jakarta berawan mendung, bumi Jawa gerimis hiba, menerima berita kemangkatan Sultan Hamengkubuwono IX di Washington pada bulan Oktober 1988. Seratus lima puluh ribu (150,000) rakyat memberi penghormatan terakhir dalam empoh enam belas (16) jam jenazah ditempatkan di Kraton. Meskipun Indonesia adalah sebuah negara republik, Baginda diiktiraf wira negara; Baginda dirujuk sebagai 'Raja Kita'.

Maharaja Jepun berada di Martabat tinggi pada akhir Perang Dunia Pertama selaras dengan kemenangan yang dicapai oleh negara Baginda. Jepun mewakili kuasa yang berjaya di konferensi Damai Paris. Jepun mendapat hak menduduki koloni Jerman di Pasifik, di China dan mendapat keistimewaan di Manchuria. Senario yang dihadapi oleh Maharaja Jepun pada akhir Perang Dunia kedua amat berbeza, ketika Jepun berada di pihak yang kalah. Malah ada suara menuntut agar Maharaja Hirohtio dihadapkan ke muka pengadilan. Ada dua pendapat berhubung peranan Baginda dalam Perang Dunia kedua. Pendapat pertama, menyatakan Baginda adalah kuasa tersembunyi, terlibat dan bertanggungjawab secara langsung menentukan arah tujuan penglibatan Jepun dalam Perang Dunia kedua. Pendapat kedua, mempertahankan kedua, mempertahankan Maharaja Hirohito, dengan pandangan bahawa Baginda sebenarnya tidak mengeluarkan sebarang arahan secara langsung. Baginda disifatkan seorang yang berhati-hati dengan pemikiran yang perlu yang perlu dibaca secara tepat. Dikatakan Baginda melakukan kesilapan kerana tidak memiliki kekuatan untuk mencabar ketetapan angkatan tentera. Baginda dianggap lebih berada dalam kongkongan pengaruh pemikiran angkatan tentera. Meskipun memiliki martabat dan pengaruh, Baginda dikatakan kekal dengan kesopanan untuk tidak melanggar tafsiran peranan Raja bersandarkan perlembagaan. Baginda dikatakan mempunyai pilihan untuk menamatkan peperangan lebih awal tetapi menunggu sehingga mendapat permintaan Perdana Menteri setelah Hiroshima dan Nagasaki dileburkan.

Apa pun di sebalik peranan Baginda, General Douglas MacArthur mencapai kompromi, memperlakukan kesinambungan tahkta Maharaja Jepun setelah Perang Dunia kedua berakhir. Mahraja Jepun dikekalkan tetapi dengan wajah dan dimensi baru. MacArthur bagaikan memahami budaya berkerajaan di Jepun dengan membuat bacaan tepat akan nilai tinggi masyarakat Jepun terhadap tahkta. Di abad kedua puluh satu, Jepun telah bangun dari debu di Hiroshima dan Nagasaki, menjadi gergasi ekonomi dunia, menjadi negara industri - negara teknologi, negara moden - negara maju, namun masyarakat Jepun kekal dengan semangat setia kepada insitusi Raja. Jepun yang mengamalkan sistem demokrasi tidak pernah menghina dan merendahkan Raja. Malah masyarakat Jepun resah apabila keluarga Diraja gagal melahirkan putera pewaris tahkta. Kerajaan Perdana Menteri Junichiro Koizumi hampir meminda Perlembagaan Negara untuk melayakkan wanita mewarisi tahkta. Kelahiran Putera Hisanhito, pada 6 September 2006 disambut riang oleh rakyat Jepun bagai merayakan turunya hujan rahmat di bumi Nippon yang dibimbangkan gersang.

Raja Bhumibol Adulyadej di Thailand secara bijaksana lagi teliti berupaya mendapat sokongan rakyat dengan mendampingi para petani, mahasiswa dan siswazah mencerminkan imej seorang Raja yang mengambil berat akan tanggung jawab sosial, bersifat patriotik kepada negara bangsanya telah mengolah dan memberi makna akan fungsi tahkta dalam sistem Raja Berperlembagaan. Bahawa Raja dan rakyat disatukan. Raja melambangkan kedaulatan sebuah negara bangsa merdeka, memperlihatkan penderian yang mendukung prinsip demokrasi dan memihak kepada pemerintahan sivil. Semalam berlaku satu lagi rampasan kuasa di Thailand. Dalam 'intermission' sesuatu babak di panggung pemerintahan, ketika tirai dilabuhkan, Raja Bhumipol berasakan rekod, sentiasa berada di 'centre stage' mempergaruhi arah haluan babak selanjutnya.

Insiden aneh berlaku di Iran. Dalam bulan Ogos 1953, pelopor utama demokrasi dunia, Amerika Syarikat di bawah pimpinan Presiden Dwight Eisenhower dan Great Britain di bawah pimpinan Perdana Menteri Winston Churchill terlibat secara langsung merestui 'Operasi AJAX', menggulingkan pemerintahan demokrasi pimpinan Perdana Menteri Mohammad Mossadegh. Mohammad Reza Shah dinobatkan sebagai Raja yang bersemayam di 'tahkta merak' (peacock throne), Mohamad Reza Pahlavi digulingkan oleh gerakan Revolusi Islam dalam tahun 1979. Bermulalah era anti-Amerika berwajah militan - berbentuk keganasan.

Meskipun kerajaan beraja bagaikan tidak lagi menjadi pilihan, sistem Raja diwujudkan di kalangan negara Islam susulan kejatuhan Empayar Otoman. Sistem kesultanan adalah satu penerusan tradisi sistem yang diwarisi berakarkan sistem khalifah, sistem yang tidak asing dalam budaya umat Islam berkerajaan dan bernegara. Hasil sumber minyak yang membawa kemakmuran ekonomi berjaya diagih secara saksama, kemudahan kesihatan, pendidikan dan kebajikan diberikan perhatian, kestabilan dan keselamatan warga terjamin, pengangguran dapat diatasi, Islam diutamakan dan ulama kekal setia bersama Raja, sistem beraja di negara-negara Islam tersebut, Insya-Allah akan dapat dikekalkan.

Sistem Raja Berpelembagaan kembali bertempat pada tahun 1975 di Sepanyol membantu mengembalikan budaya demokrasi dari budaya autrokrasi Jeneral Franco. Jika Kerajaan beraja lenyap di Vietnam - lenyap di Laos, terperangkap dalam pertelagahan kepentingan antara wibawa Raja, kuasa kolonial Perancis, kebangkitan nasionalisme dan ideologi komunis, tetapi Kampuchea meskipun jatuh ke tangan komunis memberi nafas kepada sistem beraja untuk memberi kesahihan kepada kerajaan Hun Sen, karisma dan kebijaksanaan Putera Sihanouk, berpengaruh menyesuaikan peranan Raja mengharungi konflik semasa, walaupun Baginda berulang kali pula gagal menentukan arah haluan secara konsisten. Namun legasi yang ditinggalkan, membuat rakyat Kampuchea menghargai sistem pemerintahan beraja kerana itu institusi Raja berperlembagan diwujudkan pada Tahun 1993.

Demikianlah senario dinamik yang dilalui oleh institusi Raja secara global dalam tempoh empat ratus (400) tahun yang lalu. Insitusi Raja sebenarnya melaui ujian - menghadapi cabaran berhadapan dengan tentangan - berupaya merentasi rintangan. Ada yang lupus namun masih ada yang terus dipertahankan, ada yang diberikan tafsiran baru, ada yang diberikan nafas semula, ada yang bertambah kukuh. Insitusi Raja tidak terlepas mengahdapi momokkan dengan istilah-istilah negatif, dikaitkan dengan feudalisme dan autokrasi. Istilah-istilah sedemikian dipelopori oleh mereka yang bersifat anti-Raja.

Budaya feudalisme dan budaya autokrasi bukan budaya yang boleh dikaitkan dengan insitusi. Budaya feudalisme dan budaya autokrasi berlaku kerana perbuatan individu apabila individu menjadi mabuk kuasa. Budaya tersebut subur apabila manusia menjadi takjud kepada individu melakukan pendewaan terhadap individu hingga berasa takut yang melampau kepada individu. Tidak dinafikan budaya feudalisme dan budaya autokrasi pernah berlaku dalam istana - pernah berlaku di kalangan Raja tetapi budaya feudalisme dan budaya autokrasi turut dilakukan di kalangan mereka yang tidak berketurunan Raja dari kalangan rakyat biasa dan berlaku dalam sistem republik dalam pemerintahan berpaksikan tentera malah dalam sistem atas nama agama. Malah kajian menunjukkan bahawa bilangan rejim diktator dan atutokrasi hari ini berlaku di negara-negara yang tidak berada di bawah pemerintahan Raja.

Kisah-kisah yang huraikan wajar dijadikan iktibar dalam hasrat dan dalam usaha memertabatkan institusi Raja. Masyarakat dunia sedang dan akan terus melalui proses evolusi yang semakin rancak. Era teknologi maklumat - era komunikasi telah menenbus sempadan negara - sempadan negeri. Kekebalan Raja turut terjejas kerana proses perundangan bersifat sejagat di tambah pula dengan gaya hidup Raja dan kerabat Diraja yang tidak lagi terkurung dalam lingkungan tembok istana. Ekonomi berpaksikan pengetahuan memberikan satu kemerdekaan baru membina kekayaan bersumberkan intelek sekali gus mengurangkan keperluan insan mendapat naungan. Kemajuan pendidikan, memudahkan minda dan jiwa manusia bersifat lebih bebas dan lebih terbuka. Pendalaman pengetahuan agama menyedarkan manusia bahawa terdapat kuasa yang Maha Agung di atas segala kuasa dan kerajaan di dunia. Media pula mencanai minda masyarakat yang menuntut kepada amalan ketelusan dan kebertanggungjawaban kepimpinan.

Raja perlu memiliki hikmah merangkai yang lama dengan yang baru membawa pembaharuan di samping memelihara tradisi. Raja harus bersedia membolehkan berlakunaya perubahan dalam rangka kesinambungan budaya Raja berkewajipan mengizinkan modenasi tanpa melupus kekayaan adat yang kekal diwarisi. Sesungguhnya Raja telah membuktikan keupayaannya memenuhi peranan sedemikian secara berkesan. Biar apa pun sistem Raja itu dilandaskan peranan Raja bukanlah sekadar menjadi simbol untuk melaksanakan tugas-tugas keraian dan istiadat semata-mata. Raja bukanlah monumen hisan yang kaku - tanpa nyawa - tanpa jiwa. Raja perlu memperliuhatkan watak tegas, bijaksana, adil dan saksama adalah menjadi keperluan bagi Raja mempunyai barisan pembesar dan penasihat dari kalangan mereka yang arif ilmuwan dari kalangan mereka yang tidak mempunyai muslihat dari kalangan mereka yang tidak berkepentingan terselindung supaya Raja disembah nasihat dengan maklumat yang tepat secara objektif - secara rasional berasakan fakta - bersandarkan data agar Raja terlindung dari berpagarkan sokong yang membawa rebah.

Sistem Raja berpelembagan perlu ditafsirkan sebagai perkongsian kuasa antara Raja dan Rakyat. Raja menjadi sumber rujukan ketika berlakuanya krisi di kalangan rakyat. Raja memastikan bahawa berlakunya secara adil mekanisme semak dan imbang antara cabang-cabang perundangan eksekutif dan kehakiman sekali gus memperkukuhkan institusi demokrasi di dalam negara. Secara umum Raja bertindak berasaskan nasihat pimpinan kerajaan pilihan rakyat. Namun Raja tidak harus sama sekali merasakan tertekan dan tidak semestinya memberi penekanan jika nasihat yang disembahkan bercanggah dengan semangat perlembagaan, bertentengan dengan keluhuran undang-undang serta melanggar prinsip keadilan sejagat. Raja sama sekali tidak boleh memihak kepada perbuatan yang tidak meambangkan keadilan atau merstyi tindakan yang tidak mencerminkan kebenaran.

Tata urus negara adalah satu kesenian yang perlu dikuasai utama sekali usaha menyatukan warga dan memupuk kesetian kepada Raja - kepada negara. Tata urus negara tidak berlaku semudah tulisan di kertas atau ungkapan yang dititahkan. Tata urus negara memerlukan seni urus yang halus - daya tadbir yang canggih dilaksanakan melalui mekanisme yang berkesan, cekap dan tulus, mekanisme tadbir yang tidak menyimpang atau menyeleweng erta jauh dari amalan rasuah. Raja jatuh kerana jatuhnya negara, negara jatuh kerana resahnya rakyat. Urus tadbir yang lemah menjadi punca keresahan rakyat, urus tadbir yang pincang merosakkan negara dan akhirnya melemahkan Raja. Justeru itu adalah menjadi kemestian kepada Raja dengan melaksanakan tanggungjawab secara amanah, ikhlas, bersunguh-sungguh dan komited. Itulah bentuk pengorbanan seseorang yang telah berbaiah kepada Raja, sumpah setia yang perlu diterjemahkan dengan memastikan kestabilan kerajaan, memajukan kemakmuran negara dan menjamin kesejahteraan warga. Tanpa warga, tidak akan terbinanya sebuah negra tanpa negara tidaklah ada lagi lagi keperluan kewujudan Raja.

Teknologi komunikasi dan media amat berpengaruh mencanai persepsi dan pemikiran insan. Raja dan kerabat Diraja tidak terkecuali dari sasaran lensa dan pena media. Puteri Diana adalah satu pengajaran, Puteri Diana dipopularkan melalui lensa dan pena media, digambarkan secara positif - dilukiskan secara negatif. Puteri Diana dipotretkan memiliki sifat-sifat suci Mother Teresa tetapi dilakarkan juga sebagai model yang memperagakan pakaian berjenama mahal: imej-imej bertentangan menjadi hiasan akhbar dan majalah, menjadi tajuk berita di saluran televisyen dan radio. Puteri Diana terperangkap dalam permainan media dan membayar harga dengan nyawa. Demikian peranan dan pengaruh media di era ini, senjata tajam bermata dua. Perihal peribadi Puteri Diana menjadi makluman umum, jauh berbeza dengan senario di tahun 1936 apabila BBC dan media di United Kingdom tidak menyebarkan hubungan Raja Edward dengan Mrs, Simpson, sehinggalah Raja Edward mengundurkan diri dari takhta kerajaan.

Media, bila di kendali secara bijak, membantu pemahaman dunia akan institusi Raja dan membantu rakyat untuk lebih dapat menghargai dan memahami peranan Raja. Raja George V menggunakan saluran radio menyampaikan titah hari Natal ke seluruh Empayar British sebagai usaha istana mendampingi rakyat. Televisyen dalam tahun 1953 memungkinkan buat pertama kalinya istiadat pertabalan Ratu Elizabeth disiarkan secara langsung. Majlis-majlis perkahwinan dan pertabalan, keputeraan dan kemangkatan Raja diberikan liputan meluas oleh media cetak dan media elektronik. Raja tidak harus memandang sepi akan peranan media dalam maya yang semakin terbuka. Raja tidak harus kaku menjadi penonton dalam era revolusi media. Apatah lagi keluarga dan kerabat Diraja kini turut melalui kehidupan yang lebih terbuka, mengikuti sistem pendidikan yang lebih terbuka, terlibat dalam proses sosialisasi yang lebih terbuka. Mengurus tadbir media adalah satu seni yang memerlukan kepakaran, hikmah dan kebijaksanaan, mengimbang apa yang patut disuratkan dengan apa yang harus disiratkan. Halaman web tentang Raja wajar dibangunkan, memberi ruang kepada dunia memahami institusi Raja dari perspektif istana.

Gerakan kebangkitan Islam memerlukan pemahaman akan realiti yang sedang dan akan berlaku. Kekecewaan di kalangan pelopor gerakan ini menjadi punca kepada keganasan yang mengancam keselamatan dunia. Raja-raja ada tanggungjawab dalam usaha membantu menangani ancaman ini baik Raja di negara Islam begitu juga di kalangan Raja di negara bukan Islam. Sebahagian dari punca kekecewaan mungkin dapat diselesaikan dari istana. Raja-Raja di negara bukan Islam dapat membantu menangani masalah dan ancaman ini dengan mempelopori perbincangan antara agama dan antara budaya, di samping meningkatkan kefahaman terhadap Islam serta sama-sama menyuarakan tuntutan kemanusiaan, membela dan membantu nasib insan yang menderita terutama di bumi Palestin, Afganistan dan kini Lubnan. Raja boleh mengambil langkah berkesan membantu proses rasionalisasi di kalangan rakyat Islam dan bukan Islam di negara masing-masing.

Raja-Raja di alam Melayu mempunyai hubungan yang rapat dengan Islam. Islam mempengaruhi dan mengubah corak pemerintahan, beralih dari pemerintahan berpaksikan individu kepada pemerintahan berpaksikan undang-undang. Undang-undang Melaka menjelaskan bahawa martabat tinggi seseorang Sultan. Dinilai dari sudut amal makruf Baginda menyempurnakan tanggungjawab. Terkandung dalam Kanun bahawa seseorang Raja perlu mengamalkan sifat-sifat perkasa lagi tegas, adil lagi saksama, pengampun dan belas kasihan. Allah itu Maha Pemurah - Maha Mengasihani, seperti yang terkandung dalam kalimah 'Bismillahi Rahmani Rahim," diulang sebanyak seratus empat belas 9114) kali dalam Al-Quran, mendahului permulaan setiap surah melainkan surat 'AT-Taubah: kalimah 'BismillahiRahmani Rahim' diulang dua kali dalam surah 'An-Namli'. Islam telah membawa Raja Melayu kepada konsep murni, muafakat dan adil. Konsep adil dapat ditafsirkan sebagai menepati semangat perjanjian antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba yang dijadikan 'magna carta' Melayu bertuankan Raja bersandarkan konsep keadilan yang dibayangkan dengan kata-kata 'Raja Adil-Raja disembah'

Sewajarnya Raja berpegang kepada prinsip utama untuk menentukan kesetiaan. Bahawa jawatan berkembar dengan kuasa, dan kuasa disertai dengan tanggungjawab. Kedudukan dan kuasa adalah anugerah - adalah amanah dari ALLAH SUBAHANAHU WATAALA. Kedudukan dan kuasa adalah ujian ILAHI di kalangan hambanya yang terpilih. Kedudukan ini tidak sama sekali oleh disalahgunakan dan kuasa yang ada perlu digunakan secara adil untuk menegakkan kebenaran dan keadilan. Berpeganglah kepada prinsip, bahawa kuasa yang diamanahkan tidak harus mengatasi kuasa ILAHI. Amalan perundingan adalah budaya berkerajaan dalam sistem beraja dan budaya bernegara menurut amalan Islam. Khalifah Islam mengamalkan syura dan Raja Melayu melakukan mesyuarat. Ini telah dijadikan amanat penting kepada pewaris takhta seperti terkandung dalam wasiat Sultan Alauddin Shah kepada putera Baginda Sultan Mahmud Shah.

Petikan:

"Hai anak ku, ketahui oleh mu bahawa dunia ini tiada akan kekal adanya... melainkan iman... adanya peninggalan ku ini hendaklah anak ku berbuat ibadat sangat-sangat, jangan tiada sebenarnya, kerana segala hamba Allah semuanya terserah kepada mu. Jikalau kesukaran baginya hendaklah segera engkau tolong, jikalau teraniaya ia hendaklah segera engkau periksa baik-baik supaya di akhirat jangan diberatkan Allah atasnya leher mu...Syahadan hendaklah engkau muafakat dengan segala perdana menteri dan segala orang besar-besar, kerana raja-raja itu jikalau bagaimana sekalipun bijaksananya dan tahunya sekalipun, jikalau tiada ia muafakat dengan segala pegawai, tiada akan sentosa adanya, dan tiada akan dapat ia melakukan adilnya, rakyat itu umpama akar raja itu umpama pohonnya, jikalau tiada akar nescaya tiada akan dapat berdiri."

(Petikan dari Sulalat al-Salatin)

Anakanda sentiasa insaf bahawa kekuatan serta kelemahan, citra dan daulat Institusi Raja bergantung pada citra serta keutuhan sifat perilaku batang tubuh seseorang Raja. Anakanda amat insaf bahawa Raja dan kerabat Di Raja hari ini tidak lagi bersemayam secara isolasi dalam batasan perkarangan istana. Melalui pendedahan pendidikan berserta pendedahan kepada teknologi maklumat dan komunikasi, Raja sama berpeluang mengikuti pelbagai peristiwa secara langsung tanpa tapisan. Perhubungan rakyat dan Raja tidak lagi terbatas kepada sekumpulan pembesar istana. Ini adalah satu perkembangan sihat namun amat mencabar, membolehkan Raja memahami realiti, bahawa darjat dan daulat seseorang Raja tidaklah bulat datang menggolek - tidakkan pipis datang melayang. Raja perlu membuktikan tahap pencapaian, memenuhi harapan rakyat, mempamerkan perilaku dan keperibadian sejajar dengan kemuliaan dan penghormatan yang diberikan.

Telah dijadikan penyuluh hidup akan ungkapan titah Paduka Seri Ayahanada anakanda, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah sewaktu Baginda dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang oleh Universiti Sains Malaysia dalam tahun 1980.

Petikan,

"Bahawa selagi rakyat menaruh kepercayaan terhadap Raja dan menghormati Institusi Raja, selagi itulah takhta tidak akan dipindahkan dari istana ke muzium.. bahawa takhta juga tidak boleh lari dari hukum Allah, hukum yang ditetapkan ke atas seluruh umat manusia tanpa mengira Raja atau rakyat."

Bahawa takhta yang kini tinggal dalam sejarah, adalah kerana salah nasihat yang diberi oleh pembesar istana yang tidak bertanggungjawab, pembesar istana yang menyalah gunakan nama mulia Raja. Sejarah juga merakamkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa sering kali dilakukan oleh pembesar-pembesar atas nama takhta, mengambil kesempatan ketika berteduh di bawah payung kuasa naungan Raja.

Kekuatan dan kelemahan seseorang Raja dipengaruhi oleh kekuatan atau kelemahan terutama di kalangan mereka yang diberi amanah menjadi pembesar dan penasihat Raja. Hubungan Raja, pembesar, pemimpin dan rakyat perlu dibina secara sihat, disuburkan melalui saluran komunikasi yang berkesan. Barisan yang diberikan kepercayaan dan tanggungjawab menasihati Raja, wajib bersifat ikhlas, arif lagi berilmu, berkata benar betapa pahit sekalipun, supaya Raja tidak dibuai dalam khayalan - tidak diulit gurindam pujian. Jika jambatan komunikasi yang kukuh dapat dibina, persefahaman dapat diluluskan, hubungan harmonis dapat diakrabkan, Insya-Allah Raja akan selamat bertakhta, penuh berdaulat - dikasihi rakyat.

Dalam mengharungi perjalanan, dalam memungut pengalaman sebagai bekalan memenuhi tanggungjawab institusi Raja, anakanda sentiasa bersandarkan pedoman, akan amanat yang diturunkan turun temurun, zaman berzaman, bahawa:-

Bapa kepada Raja adalah syariat ajaran Rasul Ibu kepada Raja adalah adat dan undang-undang Saudara kepada Raja adalah segala Menteri Besar dan Kecil Anak kepada Raja adalah segala rakyat jelata Bahawa Raja itu bagaikan tiada bapa, ibu dan anak Tidak diutamakan oleh Raja kepentingan lain melainkan rakyat jelata. Malah ungka siamang di hutan jua adalah di bawah jagaan Raja Menjalankan pemerintahan dengan adil Memelihara agama - menjamin keamanan Menunaikan kewajipan dengan penuh iltizam

Jika Raja gagal menjunjung kebenaran ini Maka hancur musnahlah negara.

Ampun Tuanku,

Didoakan semoga Paduka Seri Ayahanda, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaaddin Waddaulah, dikurniakan segala keberkatan, dianugerahkan kebesaran, memerintah Negara Brunei Darussalam dalam keadaan aman dan sentosa, makmur dan sejahtera. Dirgahayu Tuanku, Daulat Tuanku!Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!

Sekianlah huraian dan pandangan yang tidak sepertinya yang anakanda dapat ungkapan, dalam huraian yang kurang bijak, susun kata yang kurang arif, bahasa yang kurang sempurna. Jika ada sepatah kalam, sebaris ayat yang boleh dijadikan ilmu, Paduka Seri Ayahanda jugalah pendeta yang lebih arif lagi bijaksana.

bruneiresources


Kedaulatan Islam Sebagai Agama Negara: Peranan Raja-Raja Melayu Berpaksikan Perlembagaan*

Shamrahayu A Aziz

Pengenalan

Hubungan antara Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu (DYMM Raja-Raja Melayu) dan Agama Islam boleh dilihat menerusi Perlembagaan Persekutuan dan juga Perlembagaan negeri. Hubungan tersebut merangkumi, antara lain, peranan yang perlu dimainkan oleh raja-raja berkenaan Islam. Sama ada dengan kapasiti sebagai Ketua Agama di negeri masing-masing atau bersama dengan Majlis Raja-Raja, raja-raja boleh memainkan peranan besar untuk mendaulatkan Islam sebagai agama negara atau agama negeri sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan. Selain daripada itu sebagai simbol perpaduan, raja-raja juga boleh melaksanakan peranan untuk memartabatkan Islam. Kertas ini cuba mendalami peranan yang perlu dipenuhi oleh raja-raja bagi mendaulatkan agama Islam sebagai agama negara. Di samping mengetengahkan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai peranan tersebut, kertas ini juga cuba memberi tafsiran berkenaan tujuan dan semangat Perlembagaan. Bagi memenuhi objektifnya kertas kerja ini saya cuba membawa kepada peserta seminar ringkasan sejarah berkenaan hubungan dan peranan raja-raja dan Islam, dari Alam Melayu sehingga peranan tersebut diisytiharkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sejarah Ringkas Pertalian dan Peranan Raja-Raja Melayu dan Islam

Hubungan antara Raja-Raja Melayu dan Islam dapat dilihat dengan jelas dalam lipatan sejarah Alam Melayu. Kita saksikan sejarah yang membuktikan pertalian antara Islam dan raja-raja bukan hanya satu tautan fizikal. Pertalian antara keduanya adalah tautan jiwa dan nurani yang menjadi begitu sinonim sehingga menjadikan Islam sebagai mandat yang hendaklah sentiasa dipenuhi tanggungjawabnya oleh raja-raja sepanjang tempoh takhtanya.

Kita maklum Alam Melayu begitu sinonim dengan agama Islam sehinggakan orang-orang Melayu dan Islam itu dianggap sebagai ganti antara satu sama lain; iaitu, yang dikatakan Islam itu adalah Melayu dan yang dikatakan Melayu itu Islam. Walaupun ini tidak semestinya benar, kerana Islam itu bukanlah terbatas kepada Melayu, tetapi oleh kerana hubungan antara keduanya adalah hubungan simbiotik, maka itulah pemahaman dan penerimaan masyarakat Melayu berkenaan Islam sehinggalah Melayu hendaklah sentiasa beragama Islam sebagaimana diisytiharkan dalam Perlembagaan (160(2)). Malah keputusan mahkamah juga berkata begitu (Azlina Jailani – Mahkamah Tinggi)

Atas peranan yang telah dimainkan oleh institusi raja berkenaan Islam, maka Islam berkembang di Alam Melayu bukan sahaja sebagai satu kepercayaan atau agama semata-mata. Raja-Raja telah menjadikan Islam berkembang dengan gemilang di Alam Melayu sebagai satu cara hidup yang mewarnai dan mencorak kehidupan serta budaya masyarakat. Penerimaan Islam sebagai cara hidup dan pemakaian sistem politiknya menerusi pemerintahan Raja-Raja Melayu menjadikan Alam Melayu ini sebuah tamadun yang makmur dan gemilang. Institusi raja telah memainkan peranan penting serta menjadi tunggak kepada pengembangan dan kegemilangan Islam di Alam Melayu.

Peranan raja sentiasa menjadi tumpuan dalam proses keIslaman di Alam Melayu. Kelihatan dengan jelas kesan dan pengaruh keislaman raja yang memeluk Islam ke atas rakyatnya. Setelah seorang raja memeluk Islam maka rakyatnya juga mentaati Islam. Pengislaman raja menjadi titik tolak kepada pengembangan Islam di Alam Melayu.

Mengenai Islam dan raja di Tanah Melayu, kewibawaan Raja-Raja Melayu berkaitan Islam telah membawa kegemilangan kepada Tanah Melayu dan menjadikan Tanah Melayu sebagai pusat perdagangan yang masyhur. Raja adalah sumber kestabilan dan kemakmuran negara dan merupakan contoh tauladan – menjadikan kedudukan raja sungguh tinggi sehinggakan setiap kata-katanya adalah undang-undang. Kalau bukan dengan kesungguhan raja, tidaklah Islam begitu tersebar di Alam Melayu dan seterusnya menjadi masyhur dan sebati di Tanah Melayu, termasuklah Empayar Melaka serta kesultanan sebelum dan selepasnya, seperti Kesultanan Terengganu, Kedah dan Perak. Malah dalam konteks undang-undang kesultanan-kesultanan ini mempunyai senarai undang-undang Islam yang bukan sedikit.

Dalam keadaan itu, bukan tiada cabaran atau rintangan yang dihadapi raja-raja dalam menjadikan Islam sebagai cara hidup dan asas pemerintahan serta perundangan. Cabaran itu bukan pula sedikit. Raja-raja melalui cabaran dari sudut penyesuaian budaya. Perubahan daripada satu corak kehidupan kepada sesuatu yang berlainan menjadikan ia satu kejutan budaya dan ia bukan satu yang mudah.

Raja-raja juga menghadapi cabaran dalam mengubah kefahaman Hindu yang agak mendalam di kalangan masyarakat Alam Melayu termasuk juga Tanah Melayu. Begitu juga dengan cabaran yang datang daripada kuasa adat. Apabila disebut adat maka dengan sendirinya difahami bahawa ia merupakan sesuatu yang begitu tertanam dan membumi dalam masyarakat. Adat ialah amalan yang telah sekian lama mendapat tempat yang sangat selesa dalam budaya Alam Melayu sebelum kedatangan Islam. Maka secara resamnya, mengubah sesuatu yang telah menjadi amalan yang membumi itu bukan sesuatu yang mudah. Di sinilah juga peranan raja-raja menjadi terserlah.

Setelah Islam berjaya dijadikan sumber kepada cara hidup dan pemerintahan, cabaran seterusnya yang telah dihadapi Raja-Raja Melayu ialah pengaruh kuasa atau penjajah Barat di Alam Melayu. Kuasa Barat tidak datang ke ruang Alam Melayu dan Tanah Melayu ini dengan tangan kosong. Mereka membawa pengaruh bukan sahaja imperialisme fizikal tetapi juga sarat dengan misi keagamaan. Dengan misi dan pendekatan yang berkesan pengaruh penjajah Barat dalam hal keagamaan itu juga bukan calang-calang hebatnya di kalangan masyarakat Melayu. Ini menjadi cabaran yang besar kepada raja-raja. Kedatangan kuasa Barat yang membawa bersamanya ajaran Kristian dan undang-undang sekular dilihat sebagai mencabar kedudukan Islam dan undang-undangnya yang telah lebih seabad bertapak di Tanah Melayu. Fakta sejarah perundangan menyaksikan, terutamanya ketika pemerintahan British, undang-undang dari England telah diperkenalkan secara tidak langsung menerusi hakim-hakim Inggeris yang membuat keputusan berdasarkan undang-undang dan kefahaman mereka. Seterusnya British memperkenalkan undang-undang mereka secara formal dengan pengenalan Piagam-Piagam Keadilan. Kita mengambil perhatian juga bahawa Hakim Inggeris mengiktiraf kedudukan undang-undang Islam sebagai undang-undang yang tidak asing walaupun niat pengiktirafan ini boleh dipersoal. Walaupun ada yang menafikan kesan Piagam Keadilan terhadap perundangan negara, hakikatnya ialah Piagam tersebut telah memberi ruang yang lebih luas kepada hakim-hakim untuk merujuk kepada undang-undang Inggeris. Kewibawaan raja-raja mengekalkan kedudukan Islam di bawah naungan baginda sehingga kedudukan Islam itu kekal dan diiktiraf walaupun kedatangan Barat itu membawa ajaran Kristian dan juga undang-undang sekular yang begitu dominan.

Dengan kedatangan kuasa Barat, peranan dan sumbangan institusi raja bukan sedikit demi kelangsungan Islam walaupun dalam keterbatasan ketenteraan jika dibandingkan dengan kuasa Barat.[1] Raja-raja telah membuktikan kebolehan diplomasi sehingga institusi raja itu sendiri dapat dikekal dan agama Islam berjaya dipertahan walaupun beberapa negara beraja lain telah hilang sistem beraja bahkan agama yang berada di bawah naungan raja telah hilang daripada ruang perundangan. Di India contohnya, bukan sahaja sistem beraja yang hilang tetapi juga agama yang begitu berpengaruh juga telah dikeluarkan daripada perundangan sehingga Perlembagaan India yang merdeka mengisytiharkan negara tersebut sebagai sebuah negara sekular – sedangkan kita tahu agama Hindu begitu sebati dengan negara India sebelum penjajahan Barat – bahkan sehingga kini.

Ketika dalam proses kemerdekaan, cabaran besar datang kepada kedudukan agama Islam dengan berkembangnya pengaruh komunisme. Fahaman komunisme ini juga menjadi kebimbangan dan juga boleh dianggap sebagai cabaran yang telah dihadapi oleh raja-raja berkenaan peranan mempertahan dan memartabatkan agama Islam.

Cabaran atau rintangan yang telah disebut di atas telah mencabar kebijaksanaan raja-raja bagi menjaga dan mempertahankan agama Islam. Walaupun dalam liku dan rimbunan onak duri yang tebal telah ditempuhi itu, Islam tetap selamat di bawah naungan dan payung baginda.

Semangat juang yang tinggi serta sifat peribadi terpuji raja-raja telah berjaya mengharungi semua cabaran itu. Sifat warak dan keilmuan serta keperibadian raja telah menjadikan Kesultanan Melayu (Melaka, sebagai contoh, atau lama sebelum itu, Pasai) sebagai pusat keilmuan, pusat perdagangan dan kegemilangan Islam. Begitu juga contoh yang didapati pada Kesultanan Acheh, Kesultanan Brunei, Kesultanan Sulu, Riau, Palembang dan beberapa kesultanan di Alam Melayu yang lain.[2] Ketokohan, kewibawaan dan keperibadian seorang raja yang memerintah diserasikan dengan unsur kudus, luhur dan suci. Jika sebelum Islam sifat-sifat ini dikaitkan dengan dewa dan kepercayaan lain tetapi setelah kedatangan Islam, sifat-sifat ini dikaitkan dengan Allah dan RasulNya serta para anbia dan wali-wali Allah. Percaya atau tidak sehingga kini kita mempunyai penulisan yang mengaitkan Raja-Raja dengan keturunan Rasulullah terus dari Mekah.

“dan jangan kamu sekalian lupa pada berbuat kebaktian kepada raja kamu. Oleh itu kata hukama, adalah raja yang adil itu dengan Nabi Sallahahu-‘alaihi wasallam umpama dua buah permata pada sebentuk cincin; lagipun raja itu umpama ganti Allah dalam dunia, kerana ia zulilahi-fi’l-‘alam; apabila berbuat kebaktian kepada raja seperti berbuat kebaktian kepada Allah Subhanahu-wa-Taala. Yakni berbuat kebaikan kamu akan Allah dan Rasul-Nya dan akan raja… hendaklah janganlah kamu lupai, supaya kebesaran dunia akhiratkamu perolehi”

Di sinilah juga lahir konsep ‘kedaulatan’ raja. Ini bagi memberikan keyakinan kepada rakyat akan karisma pimpinan raja tersebut. Konsep ‘daulat’ raja dalam hubungannya dengan Islam boleh dikiaskan dengan keupayaan raja mendapat kepercayaan rakyat dalam mentadbir dan melaksana urusan Islam – sebagai lambang dan unsur sisiopolitik tradisi Islam yang istimewa sebagai tokoh yang berdaulat terhadap rakyat. Dengan prinsip Islam, konsep kedaulatan dikaitkan dengan keimanan, ketakwaan, keunggulan peribadi, keluhuran budi, dan pencapaian rohaniyah. Di sinilah letaknya juga peranan ulamak dalam memberi panduan menasihati dan memperingati raja-raja. Karisma mengenai Islam dan daya kepimpinan untuk Islam akan menjadikan seorang raja itu mampu mengekalkan daulat dan memikat rakyat kepada Islam.

Dalam keadaan kedaulatan raja ketika ini merujuk kepada Perlembagaan, ia amat jauh berbeza dengan kedaulatan raja terdahulu yang dikaitkan dengan karisma, kebolehan peribadi dan kewibawaan batang tubuh raja tadi. Bagaimana pun, dalam sistem berperlembagaan, walaupun kedudukan dan peranan raja berkaitan Islam jelas terpahat, ia bukan sesuatu yang tersendiri dan terpisah daripada keperibadian raja bagi memikat rakyat kepada Islam dan memartabatkan Islam. Ini kerana Islam itu harus diperlihat dan diperaku melalui keperibadian dan apa yang dimasyhurkan dalam Perlembagaan itu adalah bagi memudahkan institusi raja memainkan peranan mendaulatkan Islam.

Dalam proses kemerdekaan dan penggubalan Perlembagaan Persekutuan, raja-raja agak keberatan untuk meletakkan agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Walaupun Suruhanjaya Reid menganggap raja-raja mempunyai reaksi negatif terhadap cadangan itu, Suruhanjaya tidak meletakkan alasan yang telah diutarakan oleh raja-raja. Dalam nota ‘perbicaraan’ ketika pertemuan antara wakil raja Melayu dan ahli Suruhanjaya, raja-raja menyatakan ketidaksediaan mereka itu berpunca daripada perbincangan mengenai sama ada perlembagaan yang dirancang itu patut memberi hak kepada Melayu untuk menukar agamanya dalam konteks kebebasan. Ketika berbicara tentang pertukaran agama, raja-raja memikirkan lebih baik untuk Islam dikekalkan sebagai urusan negeri-negeri.[4] Oleh itu pernyataan Suruhanjaya Reid berkenaan pandangan raja-raja berkenaan peruntukan Islam sebagai agama persekutuan tidak disertakan dengan keterangan menyeluruh.


Islam dalam Perlembagaan secara ringkas

Hakikat yang dapat kita lihat secara harfiah dalam Perlembagaan ialah Islam berada pada tempat yang sangat selesa dalam sistem perundangan negara. Kedaulatan Islam beriringan dengan kedaulatan Perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan, sebagai sebuah perlembagaan bertulis mengisytiharkannya sebagai undang-undang tertinggi negara melalui per. 4(1). Perlembagaan juga mengisytiharkan Islam sebagai agama bagi negara dengan memaktubkan per. 3. Selain daripada per. 3 ini, terdapat beberapa peruntukan lain yang meletakkan Islam pada tempat yang tinggi dan berbeza daripada agama lain. Perkara-perkara lain itu termasuklah per. 12(2), 11(4) dan 150(6A) sert sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong berkaitan Islam. Kita juga telah melihat kedudukan Islam yang berbeza jika dibandingkan dengan agama lain sebagaimana dihujahkan oleh mahkamah dalam beberapa kes seperti Meor Atiqulrahman, Kamariah Ali, Azlina Jailani dan terbaru, kes Fathul Bari walaupun agak berbeza dengan pendekatan tafsiran yang dibuat dalam kes Che Omar Che Soh.

Bagi kepentingan munasabah kaum lain, Perlembagaan membenarkan bukan penganut Islam untuk mempunyai kebebasan beragama. Namun, raja-raja telah memainkan peranan penting ketika penggubalan Perlembagaan dengan memberikan peringatan kepada Suruhanjaya Reid supaya kebebasan beragama itu tidak merangkum kebebasan untuk menyebarkan agama bukan Islam di kalangan orang Islam atau menyebabkan orang yang beragama Islam menukar agama. Dalam kata-kata peguam yang mewakili raja-raja:

“The position is this in practice. Supposing a teaching order, in a broad sense, wants to establish an educational establishment in the stats – well, no difficulty in the past has been put for practical reasons in the way of their doing so, and they are encouraged by grants of land to come and do it but the understanding is that you must not try and convert Muslims. With all the others you can do what you like.”


Peranan Raja-Raja Mengenai Islam Berpaksikan Perlembagaan

Kalau dahulu, sebelum Perlembagaan digubal, keselamatan, kemakmuran dan keamanan negara dikaitkan dengan pemerintahan raja yang adil dan tuah raja, perkara ini tidak jauh berbeza walaupun dengan adanya Perlembagaan bertulis. Walaupun negara menerima sistem pemerintahan demokrasi berparlimen, kita tidak meninggalkan insitusi raja. Kita masih mengekalkan sistem beraja walaupun telah ditukar kepada ‘raja berperlembagaan’. Selain daripada mengekalkan institusi raja, kita bahkan dari satu sudut, kita telah mengukuhkan institusi raja tersebut. Hal ini dapat dilihat bilamana kita menambah bilangan takhta dan memperaku pembentukan dan peranan Majlis Raja-Raja dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagi membincangkan peranan mendaulatkan Islam sebagai Agama bagi Negara, beberapa konsep dan peruntukan berkaitan kedudukan, kuasa dan tanggungjawab yang boleh dimainkan oleh DYMM Raja-Raja Melayu cuba diketengahkan dalam perbincangan di bawah.

Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan

Frasa ‘Raja Berperlembagaan’ tidak asing dalam kebanyakan sistem monarki yang diamalkan dalam dunia demokrasi hari ini. Frasa ini boleh diertikan sebagai menolak sistem feudal dan juga pemerintahan berdasarkan kehendak raja secara mutlak. Dengan kata lain, frasa ‘Raja Berperlembagaan’ juga melambangkan institusi raja bukanlah sistem feudal yang membolehkan raja bertindak sesuka hati tanpa sebarang kawalan atau tanpa sekatan. Dalam sistem raja berperlembagaan ini raja harus bertindak mengikut peruntukan Perlembagaan yang telah menutup ruang kepada kuasa mutlak.

Menerusi sistem raja berperlembagaan sebagaimana dimaktubkan Perlembagaan Persekutuan, DYMM Raja-Raja bagi negeri-negeri hendaklah bertindak atas nasihat Majlis Eksekutif yang diketuai oleh Menteri Besar, manakala di peringkat Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat Jemaah Menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri dalam semua perkara kecuali dalam beberapa perkara yang disebut sebagai kuasa budi bicara.

Sebagaimana difahami daripada sejarah dan penerimaan prinsip raja sebagai Ketua Agama, kuasa, peranan dan tanggungjawab berkaitan hal-ehwal agama Islam serta adat istiadat Melayu sepenuhnya berada di bawah ruang lingkup budibicara DYMM Raja-Raja. Walaupun tidak dikelaskan begitu dalam per. 40 (peruntukan berkaitan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk bertindak atas nasihat) sebagai sebahagian daripada kuasa budi bicara, semangat Perlembagaan hendaklah diambil perhatian. Semangat Perlembagaan dalam konteks ini ialah, DYMM Raja-Raja Melayu merupakan Ketua Agama bagi negeri-negeri dan agama Islam adalah urusan negeri-negeri serta menurut tradisi dan warisan sejarah, Raja-Raja Melayu berkuasa penuh ke atas agama Islam. Kesannya di sini, dalam hal urusan berkaitan agama Islam dan adat resam atau adat istiadat Melayu, DYMM Raja-Raja tidak tertakluk kepada nasihat Jemaah Menteri. Seperti juga semasa pemerintahan Inggeris, raja-rajalah juga yang menggenggam kuasa berkaitan Islam. Islam (dan adat istiadat Melayu) kekal dalam kekuasaan dan budibicara baginda.

Kesan daripada itu, sebarang tindakan atau apa juga perkara berkenaan agama Islam dan Melayu hendaklah diurus dan diselenggara menurut kehendak Raja-Raja (berdasarkan nasihat-nasihat Mufti atau institusi lain yang diberikan tanggungjawab memberi nasihat dalam hal berkenaan agama Islam. Menerusi konsep raja berperlembagaan inilah juga raja-raja Melayu boleh melaksanakan peranan untuk mendaulatkan Islam sebagai agama bagi negara kerana kuasa Raja berkaitan agama Islam adalah konklusif. Sekiranya tidak, baginda tidak akan dapat memelihara Islam sebagaimana dimaksudkan di dalam sumpah jawatan (yang akan dibincangkan dibawah). Keadaan ini memberikan Raja satu posisi selesa sebagai Ketua Agama dan melaksanakan peranan mendaulatkan Islam sebagai Agama Negara.

Oleh itu, konsep raja berperlembagaan ini tidak boleh dijadikan sekatan kepada DYMM Raja-Raja Melayu untuk memartabatkan Islam sebagai Agama Negara.


Raja-Raja Melayu Sebagai Ketua Agama

Perlembagaan Persekutuan mengekalkan raja-raja Melayu sebagai Ketua Agama di negeri-negeri Melayu yang sembilan itu. Bahkan bagi negeri-negeri lain yang tidak mempunyai raja Perlembagaan Persekutuan menyatakan supaya dimasukkan ke dalam Perlembagaan negeri itu peruntukan bagi meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing (per. 3(3)). Melalui Perlembagaan Persekutuan juga Yang di-Pertuan Agong dijadikan Ketua Agama bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan (per. 3(5)).

Walaupun istilah ‘Ketua Agama’ ini agak baharu iaitu dalam tradisi kepimpinan berkaitan agama Islam, tetapi ia menggambarkan tentang kekuasaan dan tanggungjawab raja-raja terhadap Islam. Kedudukan sebagai ‘Ketua Agama’ tidak bersifat ‘ceremonial’. Terkandung di dalam kedudukan itu tanggungjawab yang besar. Istilah ‘ketua’ sebagaimana maksud literalnya ialah pemimpin yang mengepalai dan bertanggungan. Lahir daripada pengertian dan maksud literal perkataan ‘ketua’ itu, maka kedudukan ‘Ketua Agama Islam’ itu bermaksud seorang pemimpin yang bertanggungjawab untuk mempastikan agama Islam sentiasa terpelihara dan dihormati.

Perlembagaan bagaimana pun tidak memperincikan cara atau mekanisme yang perlu diikuti atau dipatuhi oleh Ketua Agama untuk menjadikan agama Islam itu agama yang terpelihara dan dihormati.

Kedudukan DYMM Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama tidaklah disebut perinciannya dalam Perlembagaan, kecuali apa yang dinyatakan peranannya dalam per. 38(6)(d) iaitu peruntukan berkaitan kuasa budi bicara Majlis Raja-Raja dalam “mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh.” Walaupun begitu kedudukan sebagai Ketua Agama itu difahami sebagai merangkum kuasa berkaitan perundangan dan pelaksanaan, termasuk pentadbiran, serta mungkin tertakluk kepada syarat-syarat tertentu, berkaitan kehakiman juga.

Peranan DYMM Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama telah diambil perhatian oleh undang-undang berkaitan Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri.

Kedudukan sebagai Ketua Agama Islam tidak boleh dipandang sebelah mata. Bukan sahaja kerana ia satu tradisi yang telah menjadi amalan, tetapi juga kerana ia merangkumi hak, kuasa dan tanggungjawab yang diberikan oleh Perlembagaan, undang-undang tertinggi negara. Oleh itu pengiktirafan Perlembagaan tersebut seharusnya mempunyai kesan tertentu. Ia tidak harus dianggap sebagai sesuatu yang sia-sia. Hak, kuasa dan tanggungjawab tersebut mempunyai nafas dan hidup. Ia harus menjadi rujukan dan diterima dalam mendepani isu-isu berkaitan agama Islam.

Dari perpektif lain, keadaan sekitar atau orang sekeliling juga hendaklah sentiasa menghormati Ketua Agama. Sebagai Ketua Agama yang diiktiraf kuasa dan peranan Perlembagaan perlu diberikan ruang untuk didengar dan dipatuhi dalam apa jua keadaaan yang melibatkan agama Islam. Agak mustahil bagi seorang ketua, termasuk Ketua Agama, untuk melaksanakan tanggungjawab atau peranan sekiranya keadaan sekitar tidak kondusif untuk pelaksanaan tersebut.

Oleh itu, dalam konteks ini dalam apa juga keadaan, menerusi apa juga cara, Ketua Agama berperanan untuk meletakkan kedudukan agama Islam dalam keadaan selamat dan terpelihara serta dogma-dogma dan amalan-amalan agama, termasuk perundangannya dihormati dan ambil kira dalam apa jua keadaan.


Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong

Sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong yang diperturun di dalam Jadual 4 Perlembagaan meletakkan tanggungjawab perlembagaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga dan mempertahankan kedudukan Islam, walaupun baginda secara harfiah bukanlah Ketua Agama Islam bagi keseluruhan Persekutuan. (“…Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam” – petikan sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong). Oleh itu titah baginda Yang di-Pertuan Agong perlu didokong dalam isu berkaitan agama Islam. Sekiranya tidak, jawatan Ketua Agama Islam dan sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong tersebut hanyalah peruntukan Perlembagaan yang sia-sia. Ini tidak harus terjadi kerana Perlembagaan bukan dokumen yang sia-sia dan kaku. Seluruh peruntukan perlembagaan mempunyai firasat dan nafas tertentu, dan ia tidak diwujudkan dalam kekosongan.

Memberi perlindungan kepada pendakwah dan sarjana Islam, bergaul rapat dengan pemikir Islam mewujudkan lunas-lunas positif dalam penerapan keilmuan Islam dan seterusnya penumbuhan peradaban Islam.

Dalam sumpah jawatan itu juga Yang di-Pertuan Agong hendaklah membina pentadbiran yang adil. Sifat adil adalah kunci kepada segala perkara dan sifat inilah juga yang boleh dijadikan ruang untuk memjalankan peranan mendaulatkan Islam.


Peranan Raja disokong Undang-Undang Jenayah Syariah

Dalam konteks undang-undang jenayah Syariah di Malaysia, mengingkari titah raja dalam urusan agama Islam adalah satu perbuatan jenayah. Titah Raja mengenai Islam bukan merupakan omongan kosong yang boleh diabaikan. Ia adalah titah yang mempunyai sanksi Perlembagaan. Dalam konteks ini, titah Raja merupakan nasihat yang perlu diperakui dan dituruti. Dengan mempunyai kekuatan ini, raja-raja boleh menjalankan peranan mendaulatkan Islam dengan lebih semurna.

Pengembangan Agama Bukan Islam

Kita telah dekati pernyataan peguam mewakili raja-raja dalam proses penggubalan Perlembagaan Persekutuan. Setelah berjaya meletakkan sekatan kepada kebebasan beragama sebagaimana peruntukan per. 11(4) dan juga senarai negeri, maka adalah menjadi peranan raja-raja yang memerintah pada ketika ini supaya pengembangan agama bukan Islam bukan sahaja dapat dibendung, tetapi juga disekat sepenuhnya. Maka dalam merealisasikan kedudukan Islam sebagai agama negara, maka cubaan memurtadkan orang Islam dalam gerakan pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam perlu diambil perhatian sebaik mungkin oleh raja.

Kita maklum juga banyak negeri telah meluluskan undang-undang bagi mengawal dan menyekat pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam dan ini boleh membantu raja dalam melaksanakan peranan ini.


Rakyat dan Raja

Karisma raja tidak akan berkesan tanpa sokongan rakyat, terutamanya barisan pemerintahan dan pentadbiran. Dengan kata lain, peranan mempertahan dan mendaulat Islam sebagai agama negara tidak tersekat kepada raja-raja sahaja. Rakyat juga hendaklah menjaga dan membina kemantapan Islam sebagai agama negara. Atas tradisi, peranan dalam pemerintahan dikongsi antara pembesar rakyat dan raja. Kadi dan fakih berada bersama dalam pentadbiran dan setara dengan pembesar utama. Sebagai contoh, ini jelas dalam sejarah Melaka, Kelantan dan negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Keadilan mungkin tidak akan dicapai jika merujuk kepada raja yang memerintah sahaja. Pimpinan rakyat hendaklah membantu raja dalam mengendalikan pemerintahan yang adil. Dalam konteks ini para Mufti dan Majlis Penasihat raja-raja bagi negeri hendaklah menjalankan tanggungjawab dan peranan mereka supaya raja juga dapat melaksanakan peranan dengan sebaik mungkin. Konsep musyawarah merupakan kunci kepada pemerintahan yang adil. Peranan alim ulamak yang berada disekitar raja-raja juga tidak boleh diketepikan. Mereka inilah juga yang dapat menjadikan raja itu sebagai raja yang berwibawa.


Penutup

Peranan institusi raja adalah penggerak utama dalam pelaksanaan hukum Islam dan kedaulatan Islam sebagai agama negara. Dengan pengiktirafan telah sekian lama, sudah tiba masanya bagi DYMM Raja-Raja merealisasikan kedudukan baginda sebagai Ketua Agama. Bagi merealisasikan peranan ini keseluruhan kerangka Perlembagaan dan pentadbiran Islam hendaklah diberikan nyawa. Untuk keharmonian negara, Ketua Agama harus dilihat dalam konteks Malaysia, dan sudah tiba masanya untuk Malaysia membentuk konvensyen perlembagaan yang tersendiri, terutamanya mengenai kedudukan Islam dalam Perlembagaan dan kedudukan Raja sebagai Ketua Agama. Malaysia harus melihat kepada salasilah dan nilai tempatan, dan seterusnya membina tamadun perlembagaan yang tersendiri. Raja harus meletakkan satu penanda aras dalam menentukan hala tuju dan kedudukan Islam di negara ini. Kesungguhan raja-raja pada awal kedatangan Islam ke Alam Melayu dan Tanah Melayu hendaklah menjadi taudalan kepada raja-raja semasa dalam mendaulatkan Islam sebagai agama negara. Sebagai contoh, usaha yang begitu gigih selepas pemelukan agama Islam hendaklah dijadikan inspirasi raja-raja Melayu.

Raja-raja bukan sahaja Ketua Agama yang menaungi Islam agama negara, tetapi harus menjadi perancang, penyusun, penggerak dan seterusnya pelaksana kepada Islam serta hukum hakamnya dan seterusnya berjaya membawa Islam ke arah kesejahteraan dan kesejagatan.

*Kertas yang dibentangkan sempena Seminar Mendaulatkan Islam Sebagai Agama Negara, anjuran MUAFAKAT, pada 5 Jan 2013 di Pusat Islam Kuala Lumpur

Teks pembentangan Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz, Pensyarah Kulliyyah Undang-undang Profesor Ahmad Ibrahim, UIAM, bertajuk Kedaulatan Islam Sebagai Agama Negara – Peranan Raja-Raja Melayu Berpaksi Perlembagaan Persekutuan, di Seminar Mendaulatkan Islam Agama Negara (SEMAIAN) Peringkat Nasional yang telah berlangsung di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur pada 5hb Januari 2013 anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

muafakat

Comments