17 Oct 2014

Menggali Akar Kenegaraan

Tidak ada berita yang paling menggembirana rakyat Malaysia pada hari ini selain khabar Malaysia dipilih sebagai satu daripada lima anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC). Malaysia mendapat 187 undi dari 192 negara anggota yang menyertai proses pengundian secara sulit. Sebaik selepas keputusan undian diumumkan, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, beliau amat gembira untuk mengumumkan bahawa Malaysia berjaya meraih satu kerusi UNSC sebagai wakil tidak tetap dan akan berkhidmat mulai 1 Januari 2015 hingga 31 Disember 2016.

Pemilihan Malaysia harus menjadi kebanggaan rakyat negara ini. Tahniah Malaysia dan bersyukur kita kerana suara kita didengar di puncak dunia.

Pastinya akan ada suara yang tidak selamanya memuji dan bangga. Inilah hakikat yang perlu diterima. Namun begitu kejayaan ini mengajak saya untuk mengimbas ke dalam akar dan dasar hidup bernegara di tanah air tercinta ini. Tidak ada lain segala setia dan bakti harus tertunjang untuk kedaulatan dan kemakmuran negara kita. Inilah antara detik untuk kita bersama dan merasa bangga sebagai rakyat sebuah negara. Bukan mencari lemah dan mengutuk kejayaan negara sendiri.

Inilah pentingnya kenegaraan tertanam kukuh dalam jiwa dan sanubari. Negara bukan bahtera pinjaman yang boleh kita tinggalkan apabila tidak diperlukan dan kita tunggang sewaktu kita memerlukan. Dalam duka atau bahagia, negara ini tanggungjjawab bersama untuk kita mensejahterakannya.

Marilah kita merenung ke akar kenegaraan. Melihat sejauh mana kukuh atau rapuhnya kita. Kita boleh berbeza pandangan dan pendapat tetapi dalam pernyataan cinta akan negara kita harus bersama sampai bila-bila.

Kita harus akur bahawa tiada lain hanya di sini, lahirnya sebuah cinta....



Kenegaraan asas patriotisme
DR. MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH
Prof Madya/Ketua Program Kenegaraan, Kepimpinan dan Ketamadunan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

SAYA amat bersetuju dengan titah Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dalam Majlis Syarahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2013, bertajuk Pasca Pilihan Raya Umum Ke-13: Permuafakatan dan Perpaduan Nasional, di Wisma Perwira ATM, Kementerian Pertahanan, baru-baru ini.

Baginda menggesa kerajaan mengutamakan pendidikan asas kenegaraan bermula di peringkat sekolah dengan menyemai semangat setia kepada raja dan negara, sesuai dengan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong.

Titah Raja Dr. Nazrin, kerajaan perlu mengasuh kanak-kanak melalui kurikulum serta kaedah bersesuaian sejak awal untuk turut menghormati simbol lain seperti bendera supaya tidak terus dihina seperti dipijak-pijak atau dijadikan pakaian.

Idea ini telah lama dibangkitkan oleh para akademia dan penggubal dasar. Malah ada yang mencadangkan ia menjadi subjek wajib ketika peringkat sekolah rendah lagi. Tetapi ditentang hebat oleh kumpulan ultra kiasu kerana membebankan pelajar.

Pada mereka, subjek ini menggugat subjek lain dan boleh menjejaskan penguasaan bahasa ibunda. Ada yang mensyaratkan jika subjek ini mahu diajarkan, mediumnya bukan bahasa Melayu, tetapi bahasa ibunda. Malangnya, kita tidak pernah tegas. Kita terus tunduk kepada tekanan ultra kiasu. Akhirnya, subjek ini tidak ke mana-mana.

Produk yang dikeluarkan adalah jenis yang menterbalikkan Jalur Gemilang dan menjadinya pengesat kaki dan meja. Agenda negara tidak dikuasai. Yang jelas, lebih ramai ultra kiasu dilahirkan.

Apakah subjek kenegaraan itu? Dalam konteks Malaysia, subjek kenegaraan adalah kursus yang berkaitan rapat dengan jati diri dan semangat cintakan negara. Ini termasuk memahami asal-usul, sejarah dan sistem kerajaan negara ini. Kita akan menyelusuri sejarah Tanah Melayu, sehinggalah bertukar menjadi Malaysia, seperti adanya hari ini.

Nampak begitu berat. Tetapi ia boleh dipermudahkan, bersesuaian dengan peringkat persekolahan. Pendek kata, semuanya telah disediakan oleh Kementerian Pendidikan suatu ketika dahulu. Persoalannya adalah, mahu dilaksanakan atau tidak? Atau terus melayan tuntutan ultra kiasu.

Amat malang sama sekali, sesuatu perkara dilakukan bukan disebabkan keperluan negara, tetapi sekadar memenuhi tuntutan orang lain. Akibatnya, agenda negara tergendala. Kita terus melahirkan rakyat yang tidak pernah bersyukur. Lebih dahsyat, melahirkan mereka yang kufur nikmat. Memburuk-buruk negara sendiri di luar negara.

Untuk makluman, kursus Kenegaraan Malaysia adalah satu kursus wajib untuk semua pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), manakala di IPTA agak berbeza sedikit. IPTA diwajibkan mengambil Hubungan Etnik dan subjek Tamadun Islam Tamadun Asia (TITAS).

Subjek Kenegaraan Malaysia boleh diadunkan mengikut kesesuaian sesebuah universiti dengan mengambil kira roh subjek kenegaraan tersebut. Kursus ini dikawal selia Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang mana skop dan sukatan pelajaran adalah mengikut piawaian yang ditetapkan oleh MQA.

Matlamat utama kursus Kenegaraan Malaysia adalah untuk melahirkan rakyat yang setia dan cinta kepada negara, berwawasan, bangga sebagai rakyat Malaysia. Dengan harapan, akan lahir rakyat Malaysia yang mampu menghadapi cabaran ke arah mencapai kesejahteraan hidup serta dapat menghayati peranan Malaysia di arena antarabangsa, menumpahkan taat setia tanpa berbelah bahagi.

Selain itu, liputan kuliah turut melibatkan perbincangan topik-topik penting. Antaranya adalah zaman prasejarah Malaysia, kehebatan Tanah Melayu sebelum penjajahan, zaman penjajahan, kebangkitan nasionalisme, kebangkitan pejuang Melayu menentang penjajah, perjuangan ke arah kemerdekaan, demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, sistem dan struktur pentadbiran negara, unsur-unsur penting Perlembagaan, dasar-dasar kerajaan dan cabaran dan sebagainya, mengikut kesesuaian.

Pendek kata, antara objektif yang ingin dicapai adalah:

Memahami sejarah bangsa dan negara serta perkembangan masyarakat dari aspek sosio-budaya, politik dan ekonomi.

Mempertingkatkan kesedaran, kepakaran dan semangat ingin melibatkan diri dalam usaha mempertahankan kedaulatan undang-undang dan menyumbang ke arah pembangunan negara.

Menghargai usaha dan sumbangan ke arah pembangunan negara.

Menghargai keperibadian bangsa dan berbangga menjadi rakyat Malaysia

Subjek ini amat penting dalam untuk melahirkan rakyat yang patriotik, taat setia dan cintakan negara serta tidak belot. Mereka sanggup mempertahankan negara habis-habisan sehingga ke titisan darah yang terakhir. Semuanya ini perlu bermula dengan mesti celik sejarah. Jika lagu Negaraku pun tidak dihafal dan tidak disebut dengan betul, bagaimanakah kita boleh pergi lebih jauh daripada itu?

Ketika bertitah, baginda melahirkan kebimbangan kita akan muncul lebih ramai individu seperti pengguna Facebook dengan nama Melissa Gooi, yang baru-baru ini ditahan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong akibat kejahilannya tentang fungsi raja-raja di negara ini. Orang seperti ini amat ramai di negara kita. Siapakah harus dipersalahkan? Kita tidak pernah bertegas, malah mahu menghapuskan Akta Hasutan 1948.

Justeru, sudah sampai masanya, subjek kenegaraan ini diwajibkan bermula daripada sekolah rendah, menengah, sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi. Susunlah kurikulum mengikut kesesuaian tahap umur dan pengajian.

Sebenarnya subjek kenegaraan itu adalah sejarah. Malangnya di peringkat rendah, subjek Sejarah langsung tidak diajar. Cuma di peringkat menengah sahaja ia diajar dan seterusnya disambung ke peringkat universiti.

Itupun masih ada yang merungut kenapa subjek ini diajar di peringkat pengajian tinggi. Subjek ini dilihat sebagai beban kepada pelajar. Lebih menyedihkan, di peringkat universiti di tempat saya bekerja, ada yang mencadangkan supaya subjek ini digugurkan dan diganti dengan subjek sejarah ketenteraan. Kumpulan ini tidak tahu bahawa subjek kenegaraan itu memayungi subjek ketenteraan.

Kesimpulannya, sejarah negara ini yang berasal daripada nama Tanah Melayu mesti dikhatam dan dihadamkan oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa berkecuali. Mereka perlu sedar ramai pejuang Melayu Islam yang lalu gugur syahid mempertahankan tanah air tercinta berteraskan Islam. Pejuang-pejuang seperti Tok Janggut, Dato Maharaja Lela, dan ramai lagi adalah kalangan tentera Allah yang terkorban syahid mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara.

Malangnya, kita mahu sejarah ini dipadamkan. Kita mahukan sejarah negara bermula dengan kerjasama semua kaum untuk mencapai kemerdekaan. Kita sengaja membutakan mata bahawa tuntutan kemerdekaan telah berlaku sejak negara dijajah terutama apabila Perjanjian Pangkor ditandatangani 1874. Yang menjadi korban dan mangsa adalah orang Melayu Islam. Bukan Melayu hanya terkorban di zaman penjajahan Jepun.

Kita hanya akan berjaya melahirkan Malaysian 1st jika sistem kenegaraan ini dihayati.

utusan online


Terap pendidikan asas kenegaraan di sekolah - Raja Dr. Nazrin
Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

 RAJA Dr. Nazrin Shah mendengar penerangan daripada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin (kanan) mengenai model Wisma Perwira yang dipamerkan sempena Majlis Syarahan Angkatan Tentera di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan (dari kiri) Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Hishammuddin Tun Hussein. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 8 Julai - Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menggesa kerajaan mengutamakan pendidikan asas kenegaraan bermula di peringkat sekolah dengan menyemai semangat setia kepada raja dan negara, sesuai dengan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong.

Titah baginda, kerajaan perlu mengasuh kanak-kanak melalui kurikulum serta kaedah bersesuaian sejak awal untuk turut menghormati simbol lain seperti bendera supaya tidak terus dihina seperti dipijak-pijak atau dijadikan pakaian.

Tanpa pendidikan sedemikian, baginda khuatir akan muncul lebih ramai individu seperti pengguna Facebook dengan nama ‘Melissa Gooi’ yang baru-baru ini ditahan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong akibat kejahilannya tentang fungsi raja-raja di negara ini.

“Kurikulum kandungan dan kaedah pengajaran mengenai aspek kenegaraan yang benar-benar dihayati hendaklah segera diperkenalkan tanpa bertangguh dijadikan kandungan pengajian bukan sahaja di sekolah, malah maktab perguruan, kolej serta institusi latihan dan diuji dalam urusan lantikan dan kenaikan pangkat pegawai awam," titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam majlis Syarahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2013 bertajuk Pasca Pilihan Raya Umum Ke-13: Permuafakatan dan Perpaduan Nasional di Wisma Perwira ATM, Kementerian Pertahanan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Sementara itu, di sebalik kritikan pelbagai pihak terutama para pemimpin pembangkang terhadap Utusan Malaysia, Dr. Nazrin bertitah mempertahan akhbar itu yang disifatkan baginda tidak mengamalkan diskriminasi kaum.

Dengan mengambil contoh tulisan Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan melalui kolum Cuit baru-baru ini, baginda bertitah, kupasan Zaini mengenai situasi Melissa Gooi membuktikan akhbar itu membela wanita berketurunan Cina tersebut.

Titahnya, tulisan Zaini yang diterbitkan Utusan Malaysia pada 5 Jun lalu bertajuk Salahkah Melissa Gooi? Ajarlah Asas Perlembagaan di sekolah meningkatkan keyakinan baginda majoriti rakyat negara ini tidak bersifat perkauman, sebaliknya insan berjiwa rasional dan berfikiran waras.

Malah, baginda turut memuji Zaini yang disifatkan berjiwa besar dan contoh semangat seorang Malaysian yang secara tegas melahirkan pandangan kritis atas prinsip kebenaran meskipun percaya Zaini tidak mengenali Melissa Gooi.

“Beta tidak kenal Zaini Hassan secara peribadi tetapi mengikuti rencana tulisan beliau, Melissa Gooi adalah rakyat Malaysia berketurunan Cina sementara Zaini, wartawan kanan, bukan sahaja berketurunan Melayu, berwajah Melayu, berdarah Melayu, malah bertugas dengan akhbar Utusan Malaysia yang dilabel setengah pihak sebagai akhbar yang meniup api perkauman.

“Apa jua jenama negatif yang dilabelkan terhadap Utusan Malaysia, akhbar tersebut tidak melakukan diskriminasi untuk tidak menyiarkan rencana yang bernada membela situasi seorang anak gadis keturunan Cina," titah baginda.

utusan malaysia


Perkenal subjek kenegaraan
Oleh Hassan Omar
9 Julai 2013

 Raja Nazrin diberi penerangan oleh Zulkifeli pada Majlis Syarahan Angkatan Tentera 2013 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur, semalam.

 Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan harus segera memperkenalkan subjek berkaitan kenegaraan bagi memastikan rakyat memahami Perlembagaan dan ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.’

Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah, bertitah asas kenegaraan perlu ditekankan sejak di bangku sekolah bagi mendidik rakyat pelbagai agama dan bangsa mengenai simbol kebesaran negara.
“Simbol seperti Raja Pemerintah, Yang di-Pertuan Agong, Jalur Gemilang, lagu Negaraku dan seumpamanya penting kerana tanpa pendidikan itu, akan ada segelintir anggota masyarakat yang bukan setakat tidak memahaminya, malah menghina lambang kedaulatan dan simbol berkenaan.

Kurikulum kandungan

“Kurikulum kandungan dan kaedah pengajaran mengenai aspek kenegaraan hendaklah segera diperkenalkan tanpa tertangguh, dijadikan kandungan pengajian bukan saja di sekolah, malah di maktab, kolej dan institusi latihan serta diuji dalam urusan pelantikan serta kenaikan pangkat pegawai sektor awam,” titah baginda.

Raja Dr Nazrin bertitah demikian ketika menyampaikan syarahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ‘Pasca Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13): Permuafakatan dan Perpaduan Nasional’ di Wisma Perwira, di sini semalam.

Hadir sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Polis Negara; Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Dalam syarahan hampir sejam itu, baginda bertitah, kes seorang wanita disiasat polis kerana dipercayai menghina Yang di-Pertuan Agong dalam facebook membuktikan aspek kenegaraan perlu segera dijadikan satu daripada kurikulum pendidikan dan pendekatan menahan serta menghukum mereka yang seumpama wanita terbabit tidak akan menyelesaikan masalah.

Daulat Raja Pemerintah

“Jika kita mempercayai pendekatan sedemikian untuk menangani masalah, jangan disalahkan anak jalan berbogel kalau ibu bapa tidak membekalkan baju. Ketika Beta di bangku sekolah, Beta diasuh mendaulatkan Raja Pemerintah, menghormati bendera negara dan lagu kebangsaan, tetapi hari ini ada kontinjen Hari Kebangsaan turut menyalahgunakan pemakaian bendera negara,” titah baginda.

Raja Dr Nazrin bertitah, kaedah lain bagi membina jambatan permuafakatan dan perpaduan antara kerajaan dengan rakyat ialah media harus mengamalkan pengolahan berita bijaksana, membezakan antara kepentingan kerajaan dengan kepentingan berpihak parti politik.

Titah baginda, pengolahan berita terlalu memihak, tidak memberi manfaat kepada kerajaan, bersifat ‘counter productive’ dan semakin memisahkan rakyat dengan kerajaan.

Baginda bertitah, kini ada sebahagian rakyat menolak maklumat diuar-uarkan melalui saluran berita rasmi kerajaan kerana mual dengan pengolahan keterlaluan yang memuji atau mengeji sesuatu pihak.

berita harian


NOTA PENGENALAN KEPADA KENEGARAAN MALAYSIA


1.1 Pengenalan

Kita sering mendengar orang memperkatakan tentang kenegaraan. Kenegaraan sangat penting dan berkait rapat dengan rakyat, budaya, politik, ekonomi dan sejarah sesebuah negara.

Tahukah anda apa maksud kenegaraan? Kenegaraan merupakan satu kursus yang mengajar tentang hal ehwal sesebuah negara untuk melahirkan warganegara yang baik dan bertanggungjawab1. Warganegara yang baik mesti mempunyai tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat, dan negara.2 Sementara dalam disiplin sains politik pula, kenegaraan selalu di rujuk sebagai pembinaan negara bangsa.3 Umumnya kenegaraan adalah satu bidang pengajian yang matlamatnya melahirkan rakyat atau warganegara yang baik dan bertanggungjawab dalam usaha membentuk sebuah negara dan bangsa yang bersatu padu dan dihormati di peringkat antarabangsa melalui pembelajaran dan penghayatan kursus kenegaraan.

Warganegara yang baik dan bertanggungjawab perlu mengetahui latar belakang warisan budayanya, perkembangan sejarah bangsa dan negaranya. Pengetahuan sejarah perlu diketahui, difahami dan dihayati untuk membantu ke arah menanam dan mengembangkan kesedaran dan kebanggaan terhadap negara. Dengan mempelajari sejarah tanah air, ia menimbulkan rasa kecintaan dan dapat mendedahkan kepada semangat kesetiaan, rasa kesyukuran serta sedia berkorban untuk mempertahankan kedaulatan negara. Di samping itu juga, intipati sejarah dapat membantu golongan muda memahami dan menghargai perjuangan kemerdekaan dan kemajuan-kemajuan yang telah dicapai oleh negara. Pengetahuan atau pemahaman terhadap sejarah boleh membentuk jati diri yang akan menjadi kebanggaan masyarakat, lantas mempengaruhi sikap kesetiaan (loyalty), dan patriotisme, iaitu sanggup berkorban kerana negara. Pemupukan semangat kesetiaan dan patriotisme di kalangan generasi baru di Malaysia sangat penting dan perlu dipergiatkan setiap masa kerana corak dan keadaan masyarakat Malaysia yang majmuk lagi kompleks. Mereka dipisahkan oleh budaya dan cara hidup yang berbeza. Jurang perbezaan yang besar di antara mereka hasil daripada tinggalan Inggeris ini telah menghalang perpaduan dan integrasi kaum. Perasaan cintakan negara dan semangat sanggup berkorban untuk negara sepatutnya dipupuk di kalangan masyarakat yang berbilang kaum. Kesedaran yang mendalam tentang perlunya masyarakat yang telah diintegrasikan ke dalam satu bangsa dapat dibuat dengan lebih berjaya jika generasi sekarang sedar bahawa negara kita telah melalui pelbagai zaman dan cabaran melalui pendidikan dan penghayatan Kenegaraan Malaysia.


Adakah kursus Kenegaraan Malaysia sama seperti kursus sejarah yang diajar di peringkat persekolahan yang memaparkan peristiwa-peristiwa sejarah tanahair sahaja?

Kandungan kursus Kenegaraan Malaysia meliputi sejarah pembinaan bangsa dan negara ini sejak zaman pra merdeka hingga kepada pembentukan dasar-dasar kerajaan selepas merdeka. Kursus ini terdiri daripada beberapa gabungan disiplin ilmu seperti sejarah, politik dan ekonomi. Kesemua disiplin ilmu ini diadun menjadi satu kursus Kenegaraan Malaysia yang mengamalkan konsep pengajaran dan pembelajaran yang merentas sempadan ilmu secara bijaksana. Bagi kebanyakan orang, kenegaraan adalah satu kursus yang di dalamnya penuh dengan peristiwa dan fakta sejarah. Kita tidak boleh lari daripada mengetahui sejarah negara dan masyarakat sebagai latar belakang untuk memahami sesuatu bangsa dan negara. Ia akan berfungsi sebagai pelengkap kepada keperluan untuk memahami segala perkara mengenai sesebuah bangsa dan negara. Namun ada banyak lagi perkara yang terkandung dalam masyarakat dan negara itu selain daripada sejarah itu sendiri yang perlu diketahui seperti ekonomi, politik dan sosial yang menjiwai masyarakat dan negara itu. Dengan lain perkataan, kita harus menggabungkan berbagai disiplin ilmu yang berbeza ke dalam satu kursus yang dipanggil Kenegaraan Malaysia.

Kombinasi beberapa disiplin ilmu yang membentuk kursus Kenegaraan Malaysia menjadikan kandungannya terlalu luas dengan batasan waktu yang sangat terhad telah memaksa pengajaran dan pembelajaran merentas sempadan ilmu menjadi begitu relevan. Sehubungan itu, fakta-fakta penting dari pelbagai disiplin ilmu perlu diolah dan dihubungkaitkan secara menyeluruh untuk menerangkan sesuatu fenomena yang berlaku. Pendekatan ini juga diharap boleh menghindarkan suasana membosankan kepada sesetengah pelajar. Lumrah bagi manusia mempunyai minat dan kemahuan yang berbeza, begitu juga dengan pelajar mempunyai minat yang berbeza mengenai subjek yang diajar oleh guru. Jika kita mengambil pendekatan mengajar sesuatu topik secara terpisah mengikut keperluan disiplin ilmu masing-masing, maka isi kandungan menjadi panjang dan mendalam. Selain masa yang terhad dan kandungan kursus yang panjang, sikap turut memainkan peranan penting. Sikap sambil lewa kerana merasakan sudah tahu tentang subjek yang diajar telah mendorong tindak-tanduk negatif di dalam kuliah seperti tidur, berbual, ponteng dan sebagainya. Menginsafi kepentingan perkara ini, kursus ini secara sedar cuba menghindarkan diri daripada mengulangi atau menjadi seperti disiplin ilmu yang berdiri sendiri dengan mempelbagaikan teknik pengajaran supaya lebih menarik tanpa mengetepikan kesesuaian dengan matlamat dan objektif kursus, iaitu mewujudkan negara bangsa yang bersatu padu.

1.2 Negara bangsa

Sejak akhir-akhir ini perkataan negara bangsa tidak asing lagi kepada kebanyakan orang khususnya bagi mereka yang mendapat pendidikan dalam bidang sains politik dan sejarah. Secara mudah, negara bangsa mesti mempunyai tiga komponen utama iaitu negara, individu, dan bangsa. Negara merujuk kepada wilayah kewujudan kelompok manusia, individu ialah manusia, sementara bangsa pula satu kesatuan manusia yang hidup dalam sesebuah negara.

Negara bangsa adalah dua perkataan yang berbeza, iaitu negara, dan bangsa. Negara atau ‘state’ adalah satu unit politik yang mempunyai kedaulatan dan mempunyai tanggungjawab dan kuasa menjalankan hal ehwal pentadbiran sendiri.  Mengikut undang-undang antarabangsa, terdapat empat elemen penting yang mesti ada dalam menentukan kewujudan sesebuah negara. Negara biasanya ditakrifkan sebagai kawasan tertentu yang mempunyai sempadan yang jelas, ada penduduk tinggal di situ, terdapat sebuah kerajaan yang sah memerintah, dan kerajaan itu pula mestilah berkesan dalam menjalankan pemerintahan.  Bangsa atau ‘state’ pula selaluya diertikan sebagai kewujudan dalam kumpulan manusia tertentu dengan beberapa ciri yang sama. Persamaan ini boleh terjadi daripada berbagai perkara seperti unsur-unsur jasmani, politik, dan kebudayaan.7 Etnik yang hidup dalam keadaan yang terintegrasi tanpa perbezaan yang wujud di antara mereka dapat menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran negara kerana mereka terhindar daripada sebarang konflik kaum yang merugikan. Bagaimanapun dari segi praktikal, kedua-dua definisi di atas ada kekecualiannya. Sebagai contoh, tidak ada satu negarapun di dunia ini yang mempunyai penduduk yang terdiri daripada satu keturunan etnik sahaja. Malah ada negara yang mengiktiraf semua etnik yang sama dengannya di sebarang laut sebagai warganegara, sebagai contoh Israel dan China.

1.2.1 Ciri-Ciri Negara Bangsa

Adalah tidak tepat jika kita membuat kesimpulan bahawa jika ada negara dan ada penduduk yang tinggal di negara itu, maka wujudlah sebuah negara bangsa.


Apakah ciri-ciri negara bangsa?

Sebuah negara itu akan dikategorikan sebagai sebuah negara bangsa apabila ia telah memenuhi beberapa syarat yang diperlukan.

Sebuah negara bangsa mempunyai tiga syarat utama sebelum ia dikategorikan sebagai sebuah negara bangsa.  Pertama, masyarakat yang tinggal di situ hidup dalam bersatu padu tanpa dipisahkan oleh fahaman perkauman yang sempit seperti kedaerahan, kepercayaan, bahasa, budaya, pekerjaan, tempat tinggal dan sebagainya yang boleh membawa kepada perpecahan. Penduduk mesti menerima hakikat bahawa mereka tinggal dalam satu negara yang berbilang kaum dan budaya. Satu nilai kebangsaan yang boleh mengikat mereka sebagai satu kelompok manusia mesti diterima dengan hati yang terbuka. Sebagai contoh Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan−kedua-dua dasar ini bertujuan menyatukan penduduk dengan mewujudkan nilai yang sama sebagai nilai kebangsaan di kalangan mereka untuk dikenali sebagai bangsa Malaysia. Kedua, sebilangan besar rakyat mesti berpegang kepada ideologi politik yang sama iaitu demokrasi liberal. Perbezaan yang wujud di kalangan mereka hanya berbeza dari segi kaedah atau cara untuk mencapai matlamat sahaja. Tidak akan wujud kegawatan politik kerana sebilangan rakyat mempunyai matlamat politik yang sama, iaitu demokrasi. Syarat ketiga ialah kepercayaan dan keyakinan yang tinggi kepada sistem pemerintahan dan undang-undang negara. Rakyat mematuhi kepada undang-undang dan yakin bahawa undang-undang dan sistem pentadbiran yang diamalkan mampu memberi perlindungan dan keadilan kepada mereka.

1.2.2 Faktor yang Boleh Mempengaruhi Negara Bangsa

Ketiga-tiga ciri utama di atas menjadi asas pembentukan negara bangsa mungkin akan tinggal sebagai impian sahaja jika sepuluh perkara berikut tidak diberi perhatian dalam usaha membentuk sebuah negara bangsa Malaysia yang bersatu padu, dan mempunyai nilai yang sama demi kebaikan dan kemakmuran generasi mendatang yang lebih gemilang seperti yang dicadangkan oleh Abd. Rahim iaitu:


1. Intergrasi

Integrasi kaum dan wilayah adalah perkara asas bagi mengukuhkan perpaduan dan penyatuan masyarakat dalam sesebuah negara. Kaum-kaum yang telah di integrasi tidak mampu lagi mengekalkan sikap kenegerian, perkauman dan faham kebangsaan yang sempit tetapi mengutamakan matlamat kebangsaan.

2. Nasionaliti

Elemen penting dalam kenegaraan dan kewarganegaraan ialah nasionaliti. Konsep asas di sini ialah pemilikan nilai-nilai bersama akan mengikat seorang warganegara yang baik menjadi satu bangsa yang mempunyai kesetiaan, sayang dan sanggup berkorban untuk negara. Perkara yang dimiliki bersama seperti budaya kebangsaan, sistem politik dan bahasa boleh menyatupadukan rakyat yang diiktiraf sebagai nasionaliti kebangsaan.


3. Nasionalisme

Nasionalisme sebagai asas membina semangat kekuatan, keyakinan diri, penyatuan dan perpaduan nasional. Nasionalisme kebangsaan yang kuat boleh mengembelengkan semangat, tenaga, keazaman dan cita-cita serta usaha untuk maju. Semua kaum mesti mengutamakan kepentingan nasional daripada kepentingan kaum masing-masing.

4. Patriotisme

Patriotisme adalah semangat sanggup berkorban kerana negara. Ia lahir dari perasaan nasionalisme iaitu cintakan negara. Elemen ini menjadikan bangsa itu kuat dan mampu berjuang membangunkan bangsa daripada kemunduran dan penindasan. Sebuah negara bangsa yang kuat perlu kepada rakyat yang mempunyai keberanian, ketahanan mental, emosi dan fizikal dalam membentuk ketahanan nasional.


5. Globalisme

Dalam dunia semakin kecil akibat daripada perkembangan teknologi maklumat telah menjadikan globalisasi sebagai satu ancaman kepada negara bangsa. Pertukaran maklumat yang cepat dan pantas telah menjadikan dunia begitu kecil tanpa sempadan. Oleh yang demikian, nasionalisme dan patriotisme mestilah menjadi benteng terakhir untuk mempertahankan negara daripada ancaman musuh akibat proses globalisasi.

6. Kepelbagaian Budaya

Aliran kepelbagaian budaya yang diamalkan oleh pelbagai kelompok etnik boleh menimbulkan cabaran yang serius kepada usaha pembinaan bangsa dan negara. Satu budaya kebangsaan yang boleh diterima oleh semua kaum patut dipupuk dan dimajukan untuk mewujudkan satu budaya yang boleh diterima oleh semua sebagai satu identiti kebangsaan.

7. Pluralisme

Sifat pluralisme telah didukung oleh masyarakat bermula sejak zaman penjajahan Inggeris lagi. Dasar pecah dan perintah Inggeris yang membahagikan kaum mengikut sektor telah menghalang perpaduan kaum sebelum merdeka. Sifat pluralisme ini boleh dihapuskan atau dikurangkan melalui penyusunan semula masyarakat. Kerajaan telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan pelbagai dasar, seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan sebagainya.

8. Liberalisme

Fahaman liberalisme yang memberikan kebebasan kepada individu, kelompok dan organisasi tertentu yang tidak terkawal mampu menghalang pembentukan negara bangsa. Keutamaan mengejar kekayaan dan kebendaan telah menjadikan manusia terlalu mementingkan diri sendiri. Sikap seperti ini jika tidak dikawal boleh membelakangkan matlamat dan kepentingan nasional.

9. Neo-Feudalisme

Penjelmaan neo-kolonialisme dalam sistem budaya, sosial dan politik menyekat demokrasi. Suasana ini mewujudkan sebilangan kecil elit birokrat dan ahli politik yang kuat dan kebal dari segi undang-undang dalam kerangka perubahan yang mereka buat sendiri perlu diatasi untuk mewujudkan negara bangsa Malaysia moden.


10. Demokrasi

Syarat utama membina negara bangsa ialah mewujudkan dan menyebarluaskan fahaman dan amalan demokrasi. Rakyat boleh mengambil bahagian yang aktif dalam membentuk segala keputusan dalam segala hal supaya tidak timbul perasaan tidak puas hati. Kritikan yang membina dan bertanggungjawab harus dibenarkan seluas-luasnya untuk kebaikan bersama. Amalan demokrasi ini boleh melahirkan warganegara yang tahu kebebasan dan tanggungjawab kepada bangsa dan negara.
1.2.3 Proses Pembinaan Negara Bangsa

Proses pembentukan sebuah negara bangsa memakan masa yang panjang. Hague dan Harrop menentukan sesebuah negara bangsa hanya terbentuk setelah melalui empat proses berikut:11

(i) State-building (bina negara)
(ii) Nation-building (bina bangsa)
(iii) Mass participation (penyertaan rakyat)
(iv) Politics of distribution (pengagihan nilai-nilai dalam masyarakat)

Perubahan dari satu tahap kepada satu tahap di atas adalah berbeza dari satu negara ke satu negara yang lain. Perubahan ini berlaku kerana konflik12 yang terjadi antara etnik atau kaum disebabkan oleh wujud jurang perbezaan yang terlalu besar di antara mereka semasa atau selepas penjajahan Inggeris. Sebarang tindakan untuk memenuhi kehendak dan kepentingan kaum tertentu akan sentiasa disalahertikan oleh kaum yang lain. Apabila berlaku konflik, maka perubahan perlu dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut dan proses pembinaan negara dan bangsa akan memasuki tahap selanjutnya sehinggalah pembentukan sebuah negara bangsa menjadi kenyataan. Di Malaysia pembentukan negara atau ‘state’ yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum hanya dimulakan pada tahun 1948 apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan mula melonggarkan pemberian kerakyatan bersyarat kepada penduduk bukan Melayu. Kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957 yang diperoleh dari Inggeris mengukuhkan lagi asas itu dan diikuti pula penubuhan Malaysia pada tahun 1963 sebagai tanda pembentukan negara Malaysia yang berdaulat.13 Pada waktu itu, Malaysia hanya mendapat sebuah negara ‘state’ daripada Inggeris sebagai simbol kemerdekaan. Malaysia diperintah oleh Parti Perikatan yang sah dan diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Bagaimanapun, penduduk yang tinggal di Malaysia masih belum diintegrasikan sebagai sebuah bangsa. Mereka masih dikenali mengikut kaum dalam segala bidang. Pada tahap pertama ini, interaksi dan perpaduan kaum berada pada tahap yang paling rendah.

Pada tahap kedua, memperlihatkan berlakunya perhubungan awal yang longgar antara kaum. Perhubungan longgar antara kaum yang dipisahkan oleh jurang perbezaan yang sangat besar ini dijelaskan oleh Furnivall sebagai mempunyai ciri-ciri masyarakat majmuk14 apabila terdapat lebih daripada satu etnik termasuk penduduk bumiputera yang tinggal di situ, mereka bercampur tetapi tidak bersatu, tinggal berdekatan tetapi terpisah, mengamalkan budaya, pekerjaan dan pendidikan yang berbeza. Pada tahap ini, interaksi antara mereka berada pada paras minimum seperti mereka hanya bertemu di pasar ketika menjalankan urus niaga sahaja.

Pada tahap ketiga, perhubungan kaum menjadi agak rencam, pelbagai dan saling bergantung yang akhirnya memerlukan kepada satu iklim persefahaman yang harmoni bagi mendamai dan memenuhi kepentingan kaum supaya perpaduan dapat diwujudkan. Kemudian jurang perbezaan yang wujud di antara mereka cuba dirapatkan, persamaan dan kerjasama antara kaum dicari serta diperluaskan sebagai ikhtiar mewujudkan perpaduan dan integrasi nasional. Pada tahap ini, masyarakat telah diintegrasikan ke dalam satu bangsa yang bersatu dengan memiliki nilai-nilai yang sama, dan membentuk sebuah negara bangsa Malaysia.


1.3 Negara bangsa Malaysia

Dunia sekarang sedang memasuki “gelombang ketiga” itu ledakan teknologi maklumat. Teknologi yang berkembang pesat ini menyediakan rangkaian lebuh raya maklumat yang membolehkan manusia berhubung dan bertukar maklumat di seluruh dunia dalam masa yang pantas. Fenomena ini telah menjadikan dunia begitu kecil seperti ‘desa sejagat’. Perkembangan mutakhir ini telah menimbulkan banyak persoalan mengenai perlunya sebuah negara bangsa Malaysia.

Pendapat yang mengatakan Malaysia tidak perlu negara bangsa dan rakyat yang bersatu padu, mempunyai semangat nasionalisme serta patriotisme adalah tidak tepat. Nasionalisme masih perlu sebagai senjata untuk memelihara keutuhan negara dan membina kekuatan dalaman daripada ancaman asing dalam bentuk baru seperti globalisasi.  Kita harus menerima hakikat bahawa Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dengan pelbagai budaya serta bimbang akan dijajah, maka nasionalisme masih perlu ditanam setiap jiwa rakyat Malaysia. Jurang perbezaan besar yang wujud antara kaum telah sengaja dibuat sejak zaman penjajah Inggeris lagi bagi memenuhi kehendak dan matlamat mereka untuk mencari keuntungan.  Perpecahan dan perasaan kekitaan yang begitu tebal di kalangan rakyat pada di waktu itu menjadi penghalang wujudnya semangat nasionalisme. Semangat nasionalisme sebelum perang adalah berteraskan kepada kaum. Orang bukan Melayu masih menumpukan perhatian mereka ke tanah besar China dan India kerana mereka tidak menganggap Tanah Melayu sebagai tanahairnya, sementara orang Melayu menumpukan perhatian kepada Timur Tengah dan Indonesia sebagai teras perjuangan mereka.  Keadaan berpuak-puak penduduk Malaysia masih jelas kelihatan walaupun negara telah mencapai kemerdekaan. Semasa kita mencapai kemerdekaan sebenarnya kita hanya mendapat sebuah negara ‘state’ daripada penjajah Inggeris. Konsep bangsa ‘nation’ yang sebenarnya belum wujud lagi kerana penduduk pada masa itu didukung oleh faham perkauman yang terlalu tebal. Perasaan iri hati dan tidak percaya antara kaum berleluasa sehingga akhir meletus tragedi 13 Mei 1969. Banyak dasar kerajaan dijalankan seperti Dasar Pelajaran Kebangsaan (DPK), Dasar Ekonomi Baru (DEB), dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) yang bertujuan menyusun semula masyarakat. Namun sehingga hari ini jurang perbezaan antara kaum masih lagi besar. Struktur sosial, ekonomi dan politik masih tidak banyak yang berubah. Justeru itu tidak hairanlah jika ada sarjana yang membuat kesimpulan bahawa Malaysia belum lagi mencapai taraf negara bangsa tetapi sebagai satu negara banyak bangsa.  Menyedari hakikat ini, tibalah masanya bagi negara mengorak langkah untuk melahirkan sebuah bangsa Malaysia yang belum terlaksana. Keperluan untuk Malaysia melahirkan sebuah bangsa ini pernah disokong oleh Dr. Mahathir Mohamad dalam ucapannya semasa pelancaran Rancangan Pemasyarakatan Perpaduan di Kuala Lumpur:

“… kita menjadi bangsa Malaysia hanya sebagai politikal identiti sahaja, … matlamat kita ialah satu bangsa Malaysia yang mudah dikenali sebagai unik bagi warganegara Malaysia tanpa menghapuskan unsur-unsur budaya kaum-kaum yang berlainan keturunan”.

Walaupun pada zahirnya kita tidak nampak usaha penjajahan seperti yang pernah dilakukan oleh penjajah akan berlaku lagi, namun kita harus waspada kepada ancaman luar dan neo-kolonialisme. Apakah jaminan negara yang sudah merdeka tidak akan dijajah lagi? Nikmat yang dikecapi akan hilang dalam sekelip mata sekiranya berlaku kecuaian, kelalaian dan sebab-sebab lain. Dalam keadaan dunia memasuki zaman semakin maju dan canggih, penjajahan, penindasan dan penghinaan ke atas kita boleh dirangka dalam pelbagai bentuk baru sama ada melalui minda, gaya hidup dan sebagainya. Musuh negara ada di mana-mana, mereka sentiasa mencari jalan untuk memecahbelahkan keharmonian kaum dan ingin menjatuhkan negara dengan apa cara sekalipun. Jika kita leka, cuai dan lupa kepada sejarah, tidak mustahil Malaysia akan jatuh sekali lagi ke tangan musuh. Perpecahan dan konflik kaum yang berlaku di dunia akhir-akhir ini seharusnya menjadi pengajaran kepada kita supaya lebih waspada. Di sinilah letaknya kepentingan semangat nasionalisme dan patriotisme di kalangan rakyat yang boleh dipupuk melalui pendidikan sejarah yang terdapat dalam kursus Kenegaraan Malaysia.

Nasionalisme mesti dipupuk dan disebarluaskan kerana ia akan melahirkan pula semangat patriotisme, iaitu sanggup berkorban demi negara seperti berjuang mempertahankan negara daripada ancaman asing.22 Bagaimanapun, nasionalisme yang hendak ditanam mestilah melihat nasionalisme yang positif. Nasionalisme sempit yang berpaksikan perkauman hendaklah ditolak. Ia hanya mendorong kepada perpecahan lantas mengundang kepada kemunduran kerana konflik dan peperangan yang berpanjangan. Nasionalisme Malaysia yang tidak berteraskan kepada perkauman diharapkan dapat mengikat rakyat menjadi bangsa Malaysia yang bersatu padu. Usaha mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu dan adil pada masa depan perlu bermula dari sekarang yang penuh dengan kebimbangan dan ketidakpastian. Masa depan bangsa Malaysia yang unggul dengan kerjasama, perpaduan, tolak ansur hanya wujud jika batas-batas perkauman dan jurang ketidaksamaan pembahagian antara kaum menjadi kabur melalui dasar-dasar kerajaan yang dijalankan.

Perasaan mencintai negara akan wujud jika rakyat mengetahui fakta sejarah negara. Melalui sejarah seseorang itu akan dapat mengetahui dan memahami berbagai peristiwa termasuk pertumbuhan, perkembangan dan pembangunan malah kemerosotan sesebuah negara, bangsa dan masyarakat.

Pengetahuan dan pemahaman tentang asal usul dan perkembangan tamadun manusia masa lampau boleh membantu generasi hari ini menghargai segala bentuk warisan, usaha dan sumbangan manusia yang terdahulu. Penghargaan ini boleh mendorong seseorang itu memiliki perasaan bangga dan sayang kepada diri, keluarga, bangsa dan tanah air sendiri. Di samping itu, ia juga boleh dijadikan panduan untuk kita menjalani masa depan yang lebih cemerlang dengan mengambil iktibar supaya kita terlepas daripada mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh generasi yang terdahulu.

Pendidikan sejarah Malaysia boleh menjamin kestabilan politik dalam bentuk mewujudkan asas jati diri, meningkatkan rasa kepunyaan dan seterusnya membangkitkan perasaan cinta dan bangga yang agung kepada negara. Perasaan cinta kepada negara boleh timbul jika kita memahami latar belakang sejarah sesebuah negara. Sebagai contoh, orang bukan Melayu dengan lapang dada akan menerima Malaysia sebagai negaranya jika mereka tahu pengorbanan orang Melayu dan UMNO semasa pilihanraya umum tahun 1955. Orang Melayu boleh memenangi pilihanraya tanpa perlu bekerjasama dengan MCA dan MIC, kerana majoriti pengundi pada masa itu adalah orang Melayu.

Masyarakat Melayu merupakan teras negara, namun kita tidak harus menafikan kewujudan masyarakat lain yang telah turut sama menyumbang kepada kekukuhan dan kemantapan negara Malaysia sehingga hari ini. Kepentingan sejarah sesuatu bangsa khasnya harus berteraskan kepada sejarah masyarakat peribumi bagi pemantapan pembinaan negara bangsa. Dalam hal ini, masyarakat Melayu harus menjadi tunggak ketuanan, patriotisme dan nasionalisme negara bangsa. Ini boleh memastikan keutuhan negara dan bangsa akan terjamin. Budaya sebagai teras keutuhan dan kekuatan bangsa amat penting walaupun setelah pencerobohan kuasa asing. Ia akan terus berperanan walaupun ketika masyarakat khususnya orang Melayu berada di luar rantau Melayu. Sebab itulah sejarah penting bagi melanjutkan usaha pembinaan bangsa dan negara berdasarkan peristiwa masa lampau, dan membentuk perubahan yang bersesuaian dengan keadaan semasa dalam membina dan menghadapi cabaran paradigma baru.

1.4 Kesimpulan

Walaupun Malaysia sedang menuju ke arah sebuah negara maju dan terdedah kepada globalisasi yang melanda akibat daripada ledakan teknologi maklumat, pembinaan sebuah negara bangsa Malaysia yang bersatu padu masih diperlukan kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang penduduknya terdiri daripada masyarakat majmuk. Jika penduduk Malaysia masih ditentukan dengan garis perkauman yang tebal di antara mereka bermakna Malaysia terdedah kepada konflik perkauman yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja seperti sebutir bom jangka. Begitu juga dengan ancaman luar yang akan datang tidak kira masa dalam berbagai bentuk sama ada secara langsung atau tidak langsung. Negara tidak akan maju kerana masa dan kos yang tinggi digunakan untuk menangani masalah ini. Usaha kerajaan dalam menyusun semula masyarakat melalui dasar-dasar yang dijalankan selepas peristiwa 13 Mei 1969 merupakan langkah baik menuju pembentukan sebuah negara bangsa. Semangat nasionalisme menjadi pemangkin dan pelengkap kepada usaha kerajaan ini. Setiap warganegara sepatutnya bersedia menggantikan nasionalisme sempit berasaskan perkauman kepada nasionalisme kebangsaan lantas melahirkan pula semangat patriotisme yang tidak berbelah bagi terhadap negara.


Generasi hari ini harus menilai kedudukan masyarakat pada masa dahulu dan menjadikannya sebagai iktibar untuk membentuk sebuah negara bangsa Malaysia baru yang bersatu padu, dihormati dan berdaulat melalui pembelajaran dan penghayatan kursus Kenegaraan Malaysia.

jendela sejarah



Kandungan Perlembagaan Persekutuan

• Perlembagaan Persekutuan mengandungi 183 Perkara beserta dengan 13 Jadual. Bagi setiap perkara terdapat beberapa Fasal yang dijelaskan dengan terperinci sebagai garis panduan perundangan dan kepentingan rakyat.

• Perlembagaan Persekutuan juga mengandungi beberapa perkara yang tidak boleh dipersoalkan seperti:

. Agama Islam sebagai agama rasmi;
. Kedududkan istemewa Raja-raja Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak;
. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; dan,
. Soal kerakyatan.



Susunan Perkara-Perkara Dalam Perlembagaan:

Perkara 1 hingga 4
Negeri-negeri, Agama dan Undang-undang bagi
Persekutuan

Perkara 5 hingga 13
Kebebasan Asasi

Perkara 14 hingga 22
Kewarganegaraan (Bab 1 – Perolehan Kewarganegaraan)

Perkara 23 hingga 28A
Kewarganegaraan (Bab 2 – Penamatan Kewarganegraan)

Perkara 29 hingga 31
Kewarganegaraan (Bab 3 – Tambahan)

Perkara 32 hingga 37
Persekutuan (Bab 1 – Ketua utama negara)

Perkara 38
Persekutuan (Bab 2 – Majlis Raja-Raja)

Perkara 39 hingga 43C
Persekutuan (Bab 3 – Pemerintah)

Perkara 44 hingga 65
Persekutuan (Bab 4 – Badan-badan Perundangan Persekutuan)

Perkara 66 hingga 68
Persekutuan (Bab 5 – Acara perundangan)

Perkara 69
Persekutuan Bab 6 – Keupayaan terhadap harta, kontrak Dan guaman )

Perkara 70 hingga 72
Negeri-negeri

Perkara 73 hingga 79
Perhubungan Antara persekutuan dengan Negeri-negeri
(Bab 1 – Bahagian kuasa-kuasa perundangan)

Perkara 80 hingga 81
Perhubungan antara Persekutuan dengan Negeri-negeri
(Bab 2 – Pembahagian antara kuasa-kusa pemerintah)

Perkara 82
Perhubungan antara Persekutuan dengan Negeri-Negeri
(Bab 3 – Pembahagian beban kewangan)

Perkara 83 hingga 91
Perhubungan antara Persekutuan dengan Negeri-negeri
(Bab 4 – Tanah)

Perkara 92
Perhubungan antara Persekutuan dengan Negeri-negeri
(Bab 5 – Pembangunan negara)

Perkara 93 hingga 95
Perhubungan antara Persekutuan dengan Negeri-negeri
(Bab 6 – Tinjauan, nasihat Persekutuan kepada Negeri dan
pemeriksaan mengenai kegiatan Negeri)

Perkara 95A hingga 95E
Perhubungan antara Persekutuan dengan Negeri-negeri
(Bab 7 – Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan)

Perkara 96 hingga 112
Peruntukan-peruntukan Kewangan (Bab 1 – Am)

Perkara 112A – 112D
Peruntukan-peruntukan Kewangan (Bab 2 – Pemakaian
Bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak)

Perkara 113 hingga 120
Pilihanraya

Perkara 121 hingga 131A
Perhakiman

Perkara 132 hingga 148
Perkhidmatan Awam

Perkara 149 hingga 151
Kuasa-kuasa Khas Menentang Perbuatan Subversif dan
Kuasa-kuasa Darurat

Perkara 152 hingga 160B
Am dan Pelbagai

Perkara 161 hingga 161H
Perlindungan Tambahan bagi Sabah dan Sarawak

Perkara 162 hingga 180
Peruntukan Sementara dan Peralihan

Perkara 181
Pengecualian bagi Kedaulatan Raja-raja

Perkara 183 hingga 183
Prosiding Terhadap Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-raja

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena