Membaca Luka

Memahami kebahagiaan yang kita kecap adalah dengan melihat ke dalam nasib dan inti hidup orang lain. Melihat dengan keinsafan dan kesyukuran yang kita terima ketika menatap luka dan payah saudara kita yang lain. Dalam kesakitan banyak memberitahu tentang kesejahteraan.

Tidak semua ingin pada derita  dan pedih. Ketentuan dari takdir dan jurai nasib tidak siapa dapat menduga, hanya Allah yang tahu pasti. Sesekali kita menatap luka orang lain. Ia memberi iktibar dan pedoman kepada kita untuk terus bersyukur dan menerima dengan redha.

Berat mata memandang berat bahu memikul beban. Beberapa catatan di bawah ini memberi kita renung dan fikir. Masih ada mereka yang bergelut dalam sukar bernafas dalam payah. Kalaulah kita mampu membantu bersedekah adalah ikhtiar untuk membantu mereka yang perlu. 




Sebelum tidur malam ini, fikir sejenak siapa yang terdekat dengan kita sedang perih membaca luka nasib.

Hanya mampu beri bayi air gula
NOR RAIDAH AWANG
11 Oktober 2014

 Muhammad Nazmir (Kiri), Nurul Nadia (dua, kanan), Fatimah (kanan) serta Zakian Anuar yang terlantar sakit akibat kemalangan. Muhammad Nazmir (Kiri), Nurul Nadia (dua, kanan), Fatimah (kanan) serta Zakian Anuar yang terlantar sakit akibat kemalangan.


GEORGETOWN - Akibat dihimpit kemiskinan, seorang ibu di Green Garden Paya Terubong, di sini, hanya mampu memberi air gula kepada bayinya yang baru berusia setahun.

Lebih menyedihkan, rumah mereka sekeluarga hanya diterangi cahaya lilin sejak dua bulan lalu apabila gagal melunaskan bil elektrik yang tertunggak malah terpaksa mengangkut air dari luar rumah untuk keperluan harian.

Nurul Nadia Zulkifli, 25, berkata, setiap kali memberi minuman kepada anaknya, hatinya merintih dan menangis kerana bayinya itu tidak selesa seperti bayi lain.
“Gaji suami hanya RM25 sehari, jadi cukup untuk beli makan sahaja, nak beli susu anak pun tidak cukup duit.

“Dalam kesempitan hidup kami, ada saudara membantu,” katanya.

Nurul Nadia berkata, akibat terpaksa minum air gula setiap hari, badan bayinya, Mohd Nizar Muhammad Nazmir, kian susut dari hari ke hari, selain dua lagi anaknya Mohd Nizam Muhammad Nazmir, 3, dan Nazim Arfan Muhammad Nazmir, 5, juga kurus kerana setiap hari mereka sekeluarga menikmati nasi berkuah air kosong sahaja.

Suaminya, Muhammad Nazmir Abdullah, 27, merupakan seorang mualaf yang bekerja sebagai buruh terpaksa berhenti kerja kerana tamat perkhidmatan sejak seminggu lalu.

Malah, tugasnya tidak terhenti setakat itu sahaja, Nurul Nadia dan suami turut bertanggungjawab menjaga anak saudaranya, Zakian Anuar Mohd Abbas, 17, yang terlantar sakit akibat kemalangan jalan raya tahun lalu, dan kakaknya, Fatimah Zulkifli, 33, seorang ibu tunggal.

“Meskipun sedar akan risiko penggunaan lilin setiap hari, kami tiada pilihan bahkan kesemua anak juga sudah lali serta memahami keperitan hidup ditanggung serba kekurangan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Insan Mulia, Aminah Abdullah berkata, pihaknya akan merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkaitan keluarga terbabit.

“Saya meminta pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) memantau mereka yang susah terutama melibatkan mualaf,” katanya.

sinar harian

Hikmah di sebalik dugaan getir
NORADILA MAHAMAD
27 September 2014


Mat Lazim membuktikan OKU juga boleh berjaya. Mat Lazim membuktikan OKU juga boleh berjaya.


KUALA TERENGGANU – Dilahirkan dengan anggota sempurna namun dugaan hidup melanda membuatkan dia kini bergelar OKU.

Itulah nasib yang menimpa seorang warga emas yang kini hilang upaya setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Merchang, Marang, 30 tahun lalu.

Kehidupan yang sebelum ini sekadar cukup makan sebagai tukang rumah, bertukar menjadi lebih perit sejak kemalangan itu yang menyebabkan tulang paha kiri Amzah Salleh, 61, patah dan tidak dapat disambung lagi.

Dugaan itu tidak berhenti di situ sahaja kerana setelah pulang dari hospital, dia masih tidak dapat berjalan walaupun pelbagai ikhtiar dilakukan termasuk menjalani rawa-tan tradisional.

Apatah lagi ketika itu, Amzah atau dikenal sebagai Mat Lazim turut kehilangan pekerjaan menyebabkan dia buntu mencari punca pendapa-tan bagi menyara keluarga.

Namun, setelah setahun terlantar, berbekalkan kudrat yang ada, Mat Lazim gagahkan diri untuk melakukan kerja demi membesarkan tujuh anak yang ketika itu masih kecil.

Ambil upah pasang jubin

Bermula dari situ, dia berdikit-dikit mengambil upah memasang jubin biarpun terpaksa mengengsot dan duduk di atas papan namun, siapa sangka insan OKU itu kini mempunyai lima hingga tujuh orang pekerja dalam satu-satu masa.

“Saya ambil upah pasang jubin di rumah orang. Saya terpaksa duduk di atas papan, kadang-kadang kena mengengsot untuk beralih tempat duduk kerana ketika itu kaki ini masih tidak boleh digerakkan lagi,” katanya.

Sejak itu, kemahirannya menjadi tukang rumah seawal usia 17 tahun, dipraktikkan dan akhirnya dia berjaya membina kerjaya sendiri yang turut mendapat sokongan penuh keluarga termasuk anaknya kini yang seramai 12 orang.

“Alhamdulillah, walaupun fizikal ada kekurangan, sehingga sekarang saya masih lagi dapat buat kerja untuk menyara keluarga. "Lagipun, sekarang anak sudah besar, yang sulung umur 30 tahun manakala bongsu sudah 17 tahun," katanya.

Kata Mat Lazim, kini dia tidak lagi bekerja berat dan hanya memantau kerja yang dilakukan pekerjanya.

“Sekarang, bolehlah berehat sikit tetapi saya tolong juga apa yang patut, takut nanti pelanggan tidak puas hati budak-budak (pekerja) buat kerja,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kampung Losong Nyior Kembar, di sini.

OKU tak halang bina kerjaya

Bagaimanapun, di usia emas ini, Mat Lazim terpaksa berdiri menggunakan tongkat kerana tulang paha kirinya yang masih tidak bersambung itu berasa sengal sekiranya dia kerap berdiri atau berjalan.

Tetapi dia tetap bersyukur kerana mampu hidup selesa dan tidak pernah menjadikan kekurangan diri sebagai OKU, penghalang untuk membina kerjaya sendiri.

“Kalau ada kemahiran, usaha dan buatlah apa yang terdaya. Buat apa nak malu ini semua ketentuan Tuhan pada kita, insya-Allah ada jalan yang terbaik untuk orang seperti kita (OKU),” katanya.

Nasihat Mat Lazim, OKU yang perlu yakin pada kebolehan diri sendiri.

sinar harian



Comments