Jejak Seni Oud

Pemahaman seni muzik oud

Oleh HAFIZ AHMAD


RAJA ZULKARNAIN menuntut ilmu bersama pemuzik oud terkenal dari Asia Barat.

BERASAKAN ada sesuatu yang perlu diperbetulkan dalam pemahaman orang ramai mengenai muzik tradisi gambus, Raja Zulkarnain Raja Mohd. Yusof, 4, memberi tafsiran baharu melalui penulisan buku bertajuk Oud Warisan Dari Timur Tengah.

Mempunyai pengalaman luas dalam dunia seni muzik dan pernah menjadi pendidik aliran yang sama, Raja Zulkarnain berpendapat, masyarakat tempatan mempunyai persepsi berbeza mengenai alat muzik gambus dan oud.

“Perbezaan itu saya sedari selepas membuat kajian hampir sedekad memberi pengkhususan dalam alat muzik tradisi berasal dari Asia Barat tersebut,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Anak jati Muar, Johor itu berpendapat, alat muzik gambus yang banyak dimainkan dalam negara sebenarnya dinamakan oud berdasarkan beberapa ciri fizikal dan sejarah kedatangannya.

Kekeliruan tersebut dihuraikan satu persatu dalam buku setebal 135 muka surat yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia.

Tidak hanya di Malaysia, malah negara-negara nusantara lain seperti Brunei, Indonesia dan Singapura mengenali oud sebagai gambus walhal kedua-dua alat muzik itu berbeza.

Mempelajari muzik oud di Kaherah, Mesir selama tiga bulan di sebuah tempat bernama Beit el Oud, Raja Zulkarnain juga menimba ilmu bersama pemuzik oud luar seperti Naseer Shamma, Nehad Sayed dan Mustafa Antar.

BUKU ini menerangkan sejarah dan cara bermain oud yang betul.

“Alunannya bukan sahaja sedap didengar malah mampu memberi ketenangan kepada individu yang menghayati muzik oud,” kongsinya yang juga merupakan pensyarah sambilan di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.

Dalam kajiannya yang terbaharu, muzik oud juga boleh dijadikan sebagai terapi perubatan dengan kemampuan mengimbangkan sifat-sifat kemarahan selain menyegarkan tubuh badan.

“Ia dibuktikan menerusi tulisan seorang penulis dari abad ke-19 iaitu Muhammad Shihab al-Din yang berpendapat bahawa oud boleh menenangkan dan memulihkan jantung,” jelas Raja Zulkarnain.

Terapi penyakit

Dia menambah, ramai lagi penulis dan cendikiawan berpendidikan dunia Islam dari Baghdad yang turut mengakui keberkesanan muzik oud dalam mengubati penyakit seperti sakit tulang, otak dan meningitis.

Keseluruhannya buku ini telah mengemukakan satu informasi padat berkenaan alat muzik oud dengan adaptasi maklumat yang menyeluruh.

Ia bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan khusus selain kaedah pembelajaran serta permainan yang teratur.

Pembaca tidak hanya diajar cara permainan yang betul malah turut difahamkan sejarah asal, pembuatan dan teori muzik dari Asia Barat.

Ia dijual pada harga RM35 senaskhah di Semenanjung Malaysia manakala RM40 bagi Sabah dan Sarawak dan boleh didapati kedai-kedai buku utama seluruh negara.

kosmo online


Nilai warisan seni oud

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR


BUKU Oud Warisan Seni Dari Timur Tengah dikaryakan hasil daripada pengalaman lebih 10 tahun Raja Zulkarnain bermain oud.

MEMBUKA helaian demi helaian buku bertajuk Oud Warisan Seni Dari Timur Tengah amat mengujakan terutamanya bagi sesiapa yang mungkin tidak mengenali apa itu oud.

Merupakan salah satu peralatan muzik klasik dari Asia Barat, oud dalam bahasa Arab bermaksud kayu iaitu ranting atau tangkai mudah lentur. Dalam erti kata lain, ia bermakna sepotong kayu.

Di nusantara termasuk Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura, oud juga dikenali sebagai gambus. Ironinya, oud dan gambus ialah dua peralatan muzik berbeza meskipun rupanya hampir sama.

Menurut penulisnya, Raja Zulkarnain Raja Mohd. Yusof, 41, buku itu dihasilkan bertujuan untuk menyampaikan maklumat mengenai oud dengan lebih mendalam kepada masyarakat.

“Di Malaysia, kita mengenali oud sebagai gambus yang popular di Johor, namun hakikatnya ia dua benda yang berbeza. Atas sebab itulah saya mengambil inisiatif menulis buku Oud Warisan Seni Dari Timur Tengah berdasarkan pengalaman sepanjang belajar kesenian oud di Mesir,” kata Raja Zulkarnain ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Dilahirkan di Muar, Johor pada tahun 1971, Raja Zulkarnain mula mengenali oud ketika melanjutkan pengajian di Institut Persembahan Muzik Kontemporari, London, England dalam jurusan Persembahan Gitar selama dua tahun bermula 1998 hingga 2000.

Selepas tamat belajar, Raja Zulkarnain masih menetap di London dan ketika itulah beliau terpandang oud di sebuah kedai muzik di sana.

“Pandangan kali pertama terus membuatkan saya jatuh cinta lantas membelinya pada harga RM1,800. Kemudian, pemilik kedai memperkenalkan saya dengan guru muzik dari Iraq yang mahir dalam kesenian oud.

“Apabila pulang ke Malaysia pada tahun 2003, saya bekerja sebagai ahli muzik di Majlis Perbandaran Subang Jaya. Di situlah saya terjumpa dengan Allahyarham Fadzil Ahmad yang digelar Raja Gambus yang seterusnya melantik saya menjadi tutornya di Akademi Seni Kebangsaan yang kini dikenali sebagai Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara),” terang Raja Zulkarnain.

Pada 2004, Raja Zulkarnain merantau ke Kaherah, Mesir selama tiga bulan untuk mendalami muzik di sebuah tempat bernama Bayt el-Oud Oud. Ia merupakan sekolah pondok untuk sesiapa yang berminat mempelajari kesenian oud.


CINTA Raja Zulkarnain terhadap alat muzik oud membawanya banyak mengembara ke Mesir.

Selepas itu, setiap tahun Raja Zulkarnain tidak pernah melepaskan peluang untuk berbuat demikian apabila tiba cuti semester di Aswara. Di sana dia banyak menimba ilmu tentang oud dari Naseer Shamma, seorang guru muzik berpengalaman dari Iraq, Nehad Sayed dan Mustafa Antar (Mesir).

“Boleh dikatakan, semua bahan yang diperoleh dikumpulkan dalam tempoh 10 tahun termasuk sejak saya berada di London.

“Buku ini mengemukakan satu informasi padat berkenaan alat muzik oud untuk memberi pendedahan dan pengetahuan khusus dalam kaedah pembelajaran serta permainan yang lebih teratur,” jelas bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Merangkumi beberapa bab termasuk sejarah asal, cara pembuatan, gaya permainan dan teori muzik dari Asia Barat, buku itu sesuai untuk dibaca oleh semua penggemar alat muzik unik tersebut.

Buku itu telah diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan mula dipasarkan pada Januari lalu. Ia dijual pada harga RM35 senaskhah di Semenanjung Malaysia manakala RM40 bagi Sabah dan Sarawak.

Untuk sebarang pertanyaan, bolehlah menghubungi Raja Zulkarnain melalui e-mel di zulkarnainyusof@gmail.com atau laman sosial Facebook di group page Oud: Warisan Seni Dari Timur Tengah.

kosmo online


Penulis buku "OUD: Warisan Seni Dari Timur Tengah", Raja Zulkarnain, bersama-sama Tan Sri Haji Hassan Azhari, tokoh agama yang juga tokoh oud di Malaysia



August 2, 2012
Pewaris muzik gambus tanah air


OUD atau lebih dikenali sebagai gambus di negara ini adalah alat muzik bertali seperti gitar yang berasal dari Asia Barat. Ia dibawa ke Tanah Melayu sekitar tahun 1800 dan paling popular di negeri Johor.

Di Malaysia, antara pemain gambus yang dikenali ramai sudah tentunya Raja Gambus, Allahyarham Fadzil Ahmad. Beliau dilahirkan pada 12 Jun 1941 di Parit Bakar, Muar dan mula jatuh cinta dengan gambus pada usia 17 tahun. Pada tahun 1958 beliau menubuhkan sebuah kumpulan dikenali sebagai SHR Maharani Ghazal.

Allahyarham pernah menjadi duta kecil negara semasa mengadakan persembahan muzik di luar negara telah merakamkan 13 EP, malah pada tahun 1970, allahyarham merakamkan LP pertama yang bertajuk Terkenang Si Dia. Bekas Ketua Muzik Kompleks Budaya itu turut mencipta kira-kira 52 buah lagu antara yang popular ialah Si Dia Datang, Joget Empat Dara, Joget Secawan Kopi, Joget Memikat Janda, Terkenang Si Dia dan Si Cantik Manis.


RAJA ZULKARNAIN (kanan) mengajar salah seorang pelajarnya di Universiti Kuala Lumpur memetik oud atau gambus.

Walaupun allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir pada tahun 2006, namun kemerduan irama gambus menyebabkan masih ramai pencinta gambus yang meneruskan usaha perjuangan memelihara muzik itu. Antara mereka yang turut meminati gambus termasuklah Mohd. Nizam Attan, 45. Beliau yang berasal dari Rengit, Johor mula menceburi seni muzik dengan bermain bonggo untuk kumpulan gambus, Nurullail seawal usia sembilan tahun. Minat pada usia muda didorong oleh susur galur keluarganya yang berkecimpung dalam muzik tersebut.


ALUNAN muzik oud membawa Raja Zulkarnain menjelajah dunia.

Beliau semakin aktif dan kemudian menjadi pemain akordion, gambus dan violin bagi kumpulan Nurul Hilal dari tahun 1976 hingga tahun 2000. “Saya dilahirkan dalam keluarga yang meminati gambus yang membawa alat muzik tersebut dari Singapura. Bapa saya, Ustaz Attan membawakan lagu-lagu qasidah dan nasyid pada tahun 1958. “Melalui kumpulan Nurul Hilal, kami banyak memainkan lagu-lagu zapin, sarah dan lagu-lagu

Asia Barat yang dipengaruhi filem Mesir. Antaranya, lagu-lagu daripada penyanyi seperti Muhammad Abdul Wahab, Fared El Atrash serta Ummi Kalthoum. “Ketika itu kami banyak memenuhi undangan bermain di majlis perkahwinan Melayu dan Arab. Penglibatan dengan kumpulan ini menjadikan saya pandai bermain gambus ketika berusia 12 tahun,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.


KEMASYHURAN dan kehebatan Allahyarham Fadzil bermain gambus sehingga beliau diberi gelaran Raja Gambus Malaysia.

Mohd. Nizam berkelulusan Sarjana Sains (Teknologi Maklumat Muzik) daripada City University, London pada 1997, kini menjawat jawatan Ketua Jabatan Muzik dan Pendidikan Muzik di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak. Atas semangat cintakan alat muzik gambus itu, beliau melakukan banyak penyelidikan antaranya bertajuk Gambus Johor: Sejarah, Perkembangan, Teknik, Permainan dan Persembahan.

Selain itu, usaha terbaharu beliau adalah dengan menghasilkan artikel bertajuk Gambus: Tinjauan Awal Terhadap Gaya Permainan di Johor.

Gambus di Malaysia


Di Asia Barat gambus atau oud lebih banyak dimainkan secara solo berbanding di negara ini yang dimainkan dalam bentuk kumpulan contohnya mengiringi ghazal atau zapin.

Menurutnya, di Malaysia terdapat dua tanggapan terhadap muzik gambus iaitu gambus sebagai alat iringan dalam sebuah kumpulan muzik seperti ghazal, zapin dan nasyid, manakala tanggapan kedua pula adalah gambus sebagai alat solo yang memainkan lagu-lagu bersifat klasik. “Pemahaman masyarakat Malaysia terhadap gambus hanya secara umum. Dalam permainan gambus terdapat empat maqam (tangga nada dalam sistem muzik Arab) iaitu maqam rast, bayati, nahwand dan sikah.

“Kebanyakan lagu-lagu Melayu yang dimainkan dalam tangga nada major atau minor. Bagi mengembangkan lagi muzik ini, beberapa institusi pengajian tinggi dan sekolah telah menawarkannya sebagai salah satu subjek pelajaran,” katanya lagi. Mohd. Nizam memberitahu, gambus di Malaysia sedang berkembang dan beliau berharap lebih ramai golongan muda menguasai teknik-teknik permainan gambus. Belajar hingga ke Mesir

PEMAIN solo oud dari Mesir, Sherine Tohamy berlatih lebih lapan jam sehari bagi memastikan kualiti permainannya meningkat.

Seorang lagi penggiat muzik berkenaan, Raja Zulkarnain Raja Mohd. Yusof, 41, menjadikan alunan muzik Asia Barat itu sebagai nadi perjuangan seninya. Pelbagai usaha dilakukan dalam mendalami irama berkenaan termasuk berguru di Mesir. Antara guru beliau termasuklah Nehad Sayed dan Mustafa Said.

Pencapaian anak kelahiran Muar, Johor itu agak membanggakan apabila pernah mencipta sejarah tersendiri iaitu diundang khas membuat persembahan dengan pemain oud tersohor dunia Arab, Naseer Shamma pada 2005.

“Saya berusaha memperkenalkan alat muzik oud kerana gambus di negara ini lebih kepada bentuk hiburan dan sumber pendapatan. Oud di Asia Barat pula merupakan satu bentuk hiburan yang berprestij. “Justeru, saya sendiri berusaha menerbitkan sebuah buku bertajuk Pengenalan Oud yang bakal berada di pasaran September ini. Selain itu, Konservatori Seni Kebangsaan (NCA) pula sedang berusaha menghasilkan gambus beridentitikan Malaysia termasuk dari segi saiz, reka bentuk, bunyi dan hiasan,” katanya.

halaman gambar menarik






Comments