Bersihnya Hatimu




Cerita Seorang Ajat

Semua yang terjadi pasti ada hikmahnya. Ada iktibar dan teladan yang boleh dijadikan pedoman hidup kita.  Kisah ini kualami sendiri.  Sejak mulai belajar memasak,  aku jadi sering ke pasar tradisional di Bogor untuk membeli ikan segar dan bahan-bahan memasak yang lain.

Aku selalu terburu-buru mengejar waktu. Setelah pulang  aku harus mengurus segala keperluan anak-anak yang akan berangkat ke sekolah. Setelah menunaikan fardhu Subuh, aku bergegas ke pasar tradisi Bogor. Setelah meletakkan kereta aku terpaksa berjalan jauh menyusuri lorong-lorong pasar. Di tengah-tengah  lorong pasar, ada seorang anak laki-laki menghampiriku dan menawarkan jasanya untuk mengangkat barang-barangku. Aku mengganguk setuju, dia tersenyum dan segera mengikutiku.

Di pasar aku membeli barang-barang keperluanku.Setelah membayar ikan dan bahan memasak lain baru aku sedari bahawa aku sudah kehabisan wang. Dompetku benar-benar kosong. Aku berusaha ke mesin ATM terdekat malangnya, mesin di situ masih belum berfungsi. Ia dibuka jam sembilan pagi. Aku perlu menunggu 3 jam setengah lagi.... Manakala bank yang lain begitu jauh.


Dengan terburu-buru aku separuh berlari menuju ke kereta. Anak laki-laki itupun turut berlari mengikutiku dari belakang sambil membawa barang-barang yang kubeli tadi.  Di dalam kereta aku menyelongkar kalau-kalau ada wang lebihan yang tertinggal. Nampaknya tidak ada satu sen pun yang tertinggal. Barangkali sudah dikutip oleh anakku untuk dimasukkan ke dalam tabung simpanannya.

Aku terduduk sambil menghela nafas panjang. Anak lelaki itu tiba di depanku. Matanya tajam menatapku.

“Kenapa mak cik?” tanyanya perlahan.

“Namamu siapa nak?” tanyaku sambil meerenung wajahnya

“ Ajat, mak cik” katanya.


“Begini, Ajat. Sebenarnya mak cik  telah kehabisan wang.  Untuk ke ATM ia belum berfungsi lagi sekarang dan ATM lain letaknya jauh dari sini. Sebenarnya, saya benar-benar tidak ada wang untuk membayar upahmu, nak. Malah untuk membayar tempat letak kereta ini pun mak cik tak boleh"  aku memberitahu anak itu dalam nada kesal.

Mataku tidak lepas memerhatikan susuk tubuh anak yang berdiri di depanku.  Rambutnya ikal berwarna agak kemerah-merahan dan tidak terurus. Baju dan seluar yang dipakainya pun tidak pasti apa warnanya. Ia begitu lusuh dan kusam. Kulit hitamnya kelihatan terbakar  oleh panas matahari. Tubuhnya kurus dan tidak pula memakai sepatu. Kakinya begitu comot terlekat tanah dan lumpur jalanan.  Tapi matanya bersinar bening dan begitu damai bila kumelihat sepasang mata itu.  Ya Allah… tak tergamak aku mengecewakan anak ini. Bagaimana untuk memberitahunya?

Aku berdiri menatapnya, menunggu reaksinya. Aku rela kena marah atau dimaki atas kelalaianku sendiri. Memang wajar ia marah padaku. Segala hasil titik peluhnya membantuku perlukan upah. Wajarlah kalau anak ini menzahirkan rasa marahnya padaku. Aku yang lalai tidak beringat-ingat semasa membeli barang-barang tadi.

Suasana sepi sektika.  Lalu lengan kecil anak itu bergerak-gerak. Ia meraba-raba sesuatu dalam saku seluarnya yang lusuh itu. Kemudian dia mengeluarkan sekeping wang dua ribu yang sudah lusuh dan memberikannya kepadaku.

"Mak cik gunalah duit saya ini untuk bayar tempat letak kereta tu.” katanya. Mata tajam menatapku.

“ Bagaimana pula dengan upahmu?” tanyaku.

”Tak apalah mak cik. Tak apa. Saya ikhlas.” jawabanya.

Aku benar-benar terharu dengan apa yang berlaku.  Begitu sebak terasa dalam diriku untuk menerima sekeping wang yang  berada dalam genggaman anak kecil itu. Amat terharu melihat kepada wang di tangan anak itu.  Pastinya wang itu sudah begitu lama berada dalam simpanannya. Rupa-rupanya sekeping wang lusuh itu telah menterbalikkan dunia ini.  Dialah pada saat ini orang kaya sesungguhnya yang tengah bersedekah, dan aku adalah si miskin yang menerima pemberian Si Ajat. Ajat memiliki sekeping hati mutiara yang cukup mulia. Begitu bersih hati si anak kecil ini.

“Jangan, jangan begitu nak. Mak cik tak tergamak.  Biarlah mak cik pergi ke ATM sekejap untuk mengeluarkan wang dan mak cik kembali ke sini untuk membayar upah anak. Cuma mak cik  risau tidak dapat menemui anak lagi di sini. Orang terlalu ramai kat sini “ kataku

“Tak apalah mak cik. Lain kali saja. Kalau kita ketemu lagi” ungkap anak kecil itu.

“Tidak, jangan begitu. Lebih baik kamu ikut mak cik nak. . Kita ke ATM tu sama-sama. Lepas tu mak cik  bawa  anak ke sini semula" kubuka pintu kereta dan kupersilahkan Ajat masuk.

Setelah membayar tempat letak kereta dengan wang pemberian  Ajat, aku segera menuju ke bank untuk mengeluarkan wang dari ATM.  Aku terus membawa Ajat untuk menghantarnya  ke pasar Bogor semula.

“ Ajat, terima kasih banyak atas pertolonganmu tadi. Ini upahmu, dan ini tanda terima kasih mak cik buatmu, mudah-mudahan ia bermanfaat dan dapat anak gunakan nanti “ ujarku sambil menyerahkan beberapa keping wang lima puluh ribuan ke dalam genggamannya. Anak itu menatap wajahku sambil mengenggam erat wang pemberianku.

“ Mak cik setiap dua hari sekali akan ke mari. Begitu juga dengan setiap hari Kamis. Nanti tolong angkat barang-barang mak cik lagi ya nak" kataku sambil tersenyum.

“ Alhamdulillah, terimakasih banyak mak cik. Nanti pada setiap kali  mak cik membeli di pasar ini saya akan tunggu mak cik di sini ya” matanya bersinar cerah.

Dia membuka pintu kereta dan bergegas turun. Seulas senyum yang indah sekali menghias bibirnya ketika berpaling menatapku. Setelah melambai. Ajat, si hati mutiara dari pasar Bogor berlari dan menghilang di tengah-tengah orang ramai di pasar itu.

Di dalam kereta aku tidak dapat menahan air mataku. Hari itu, aku belajar sesuatu, tentang ketulusan, keikhlasan dan kesediaan bersedekah, malah  dalam keadaan yang rumit sekalipun. Aku belajar dari hanya seorang anak kecil  yang kerjanya mengambil upah membawa barang-barang di  Pasar Bogor.

Semoga Allah memudahkan urusanmu, Ajat. Melindungi dan memberikan rezeki yang banyak, serta tetap memelihara hatimu agar selalu bersih. Amin.

disesuaikan dari hidupku kisahku

Semoga kisah ini dapat membuka kelopak hati kita
Dapat melihat ke dalam arus hidup dengan keinsafan dan kesedaran
Begitu ramai yang memerlukan tetapi bagaimana kita memberikan?

Comments