Altel Melangkah

Tawar kadar panggilan terendah

Oleh MOHD. SHAZWAN YUSOP


PADA sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu, Mohd. Syamil Mohd. Tajudin, 24, pulang ke kampung halamannya di Kuala Terengganu, Terengganu dengan menaiki kereta secara berseorangan.

Sepanjang perjalanan 511 kilometer dari rumahnya di Seremban, Negeri Sembilan ke kampung, anak sulung daripada empat adik-beradik itu terpaksa menempuh beberapa kawasan pedalaman di sekitar Pahang dan Terengganu.

Sewaktu pertengahan perjalanan, kereta Syamil mengalami kerosakan enjin ketika melalui Jalan Jabor-Al Muktafi Billah Shah. Situasi ini menyebabkan dia terpaksa memberhentikan keretanya di bahu jalan untuk mengenal pasti masalah yang berlaku.

Selepas berjaya mengenal pasti kerosakan yang dialami kereta jenis Perodua Myvi yang dipandunya itu, dia bergegas mencapai telefon bimbit untuk mendapatkan bantuan.

Bagaimanapun, sebaik sahaja melihat telefon jenis Samsung yang digunakannya, dia mendapati bahawa liputan perkhidmatan syarikat telekomunikasi yang digunakan itu tidak terdapat di kawasan tersebut.

Situasi ini menyukarkan Syamil untuk mendapatkan bantuan, sekali gus menyebabkan dia terpaksa menahan kereta yang lalu lalang di kawasan tersebut untuk mendapatkan pertolongan.

Selepas kejadian tersebut, dia berazam untuk beralih kepada syarikat perkhidmatan telekomunikasi lain yang menawarkan liputan secara menyeluruh di semua kawasan.

Akhirnya, Syamil mendengar nasihat kawan-kawannya supaya beralih menggunakan perkhidmatan telekomunikasi daripada syarikat Altel Communications Sdn. Bhd. (Altel).


RIZWAL menunjukkan kad sim Altel yang boleh diperoleh dengan harga RM7.

Altel merupakan anak syarikat Puncak Semangat Sdn. Bhd. (Puncak Semangat), iaitu syarikat pegangan di bawah Al-Bukhary Group bagi menumpukan sektor perkhidmatan teknologi maklumat.

Puncak Semangat merupakan salah satu daripada lapan syarikat yang menerima peruntukan Evolusi Jangka Panjang (LTE) atau 4G oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada tahun lalu.

“Selepas saya beralih kepada Altel sejak dua bulan lalu, saya berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.

“Liputan yang diterima juga cukup meluas. Pergi ke mana-mana pun liputan sentiasa ada,” ujar Syamil yang merupakan seorang pekerja di sebuah syarikat elektronik, Seremban, Negeri Sembilan.

Katanya, selain daripada liputan yang meluas, Altel juga menawarkan kadar panggilan suara antara terendah dalam pasaran iaitu 16 sen seminit ke mana-mana talian.

Tambah menarik, bagi setiap khidmat pesanan ringkas atau SMS, pengguna akan dicaj sebanyak 5 sen, perkhidmatan pesanan multimedia (MMS) iaitu 25 sen dan perkhidmatan internet (5 sen permegabait).

“Kadar ini adalah yang terendah berbanding dengan syarikat penyedia perkhidmatan yang ada di pasaran ketika ini.

“Kadang-kadang saya sendiri berasa hairan. Walaupun membuat panggilan dalam tempoh yang panjang, caj yang dikenakan sangat rendah. Ia amat berbaloi,” katanya sambil tersenyum puas.

Dalam pada itu, Pengerusi Kanan Komunikasi Korporat Altel, Nurazah Ismail berkata, Altel merupakan syarikat telekomunikasi yang berada sebaris dengan Celcom, Maxis, Digi, UMobile dan Tune Talk.

Katanya, Altel menggunakan operasi Rangkaian Maya Mudah Alih (MVNO) milik Celcom Axiata Bhd. (Celcom) atau dalam bahasa mudahnya, menggunakan sebahagian infra 2G/3G Celcom bagi memastikan pengguna mendapat liputan yang meluas di seluruh negara.

“Buat sementara waktu, kami terpaksa bekerjasama dengan Celcom Malaysia untuk membolehkan Altel menggunakan sebahagian daripada stesen pemancar milik mereka.

“Sebagai pendatang baharu, mustahil sekiranya kami dapat membina stesen pemancar milik sendiri di seluruh negara kerana ia memerlukan kos yang tinggi,” ujar Nurazah.


SEBAHAGIAN daripada promosi yang ditawarkan Altel.

Tambah beliau, SIM pek Altel boleh didapati di semua 24 buah kedai eksklusif berdaftar atau di 55 buah kedai VIP di seluruh negara dengan harga RM7.

Katanya, sebanyak RM5 akan dikreditkan kembali ke akaun sebaik sahaja pengguna mendaftar kad sim mereka.

Walaupun Altel baru setahun bertapak di negara ini, pengguna tidak perlu bimbang untuk mendapatkan tambah nilai bagi perkhidmatan prabayar mereka.

Tambah nilai boleh diperoleh dari pelbagai medium seperti kedai serbaneka 7eleven, stesen minyak, pasar raya dan ejen-ejen berdaftar.

Selain itu, seiring dengan peredaran masa, Altel turut memperkenalkan kemudahan tambah nilai melalui perbankan internet, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan EZ menerusi SMS.

“Buat permulaan kami bekerjasama dengan beberapa bank utama di negara ini seperti CIMB, RHB, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Maybank untuk memudahkan pengguna mendapatkan tambah nilai.

“Jadi, tidak timbul isu yang mengatakan bahawa tambah nilai bagi perkhidmatan prabayar Altel sukar diperoleh,” katanya sambil memaklumkan bahawa pengguna aktif Altel telah mencecah 270,000.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Altel, Rizwal Mohd. Ain berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 500,000 pengguna aktif dalam tempoh satu tahun setengah.

Katanya, sasaran tersebut ditetapkan selepas melihat penerimaan daripada masyarakat yang sangat menggalakkan.

“Ketika pelancaran dahulu, kami menyasarkan 150,000 pengguna aktif pada tahun pertama.

“Selepas setahun beroperasi, kami mendapati bahawa jumlah pengguna aktif meningkat sebanyak dua kali ganda daripada sasaran awal,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! di pejabatnya baru-baru ini.

Tambahnya, buat permulaan, Altel hanya memperkenalkan perkhidmatan prabayar kepada pengguna.


ALTEL dijangka memperkenalkan perkhidmatan pascabayar tidak lama lagi.

Namun, Rizwal memaklumkan bahawa pihaknya sedang berusaha untuk memperkenalkan perkhidmatan pasca bayar dalam masa terdekat selepas mendapat permintaan daripada pengguna.

“Sepatutnya, pengenalan rasmi perkhidmatan pasca bayar Altel diadakan lebih awal, namun sedikit lewat kerana mahu memperbanyakkan lagi rangkaian jualan pek prabayar serta pusat tambah nilai,” katanya.

Mengulas mengenai sasaran Altel dalam tempoh 10 tahun akan datang, Rizwal berkata, pihaknya menyasarkan untuk menjadi sebuah syarikat perkhidmatan telekomunikasi terulung di negara ini.

Selain itu, pihaknya juga berazam untuk menawarkan perkhidmatan telekomunikasi alternatif yang menepati cita rasa pengguna.

Bagi mencapai matlamat tersebut, Altel memperkenalkan sebuah forum yang dikenali sebagai altelnativ.my.

Melalui forum yang mula diperkenalkan sejak Julai lalu itu, pengguna boleh berkongsi masalah serta kelebihan rangkaian mudah alih yang digunakan.

Forum tersebut turut menyediakan platform kepada pengguna untuk berkongsi dan menerima tip serta nasihat yang bernas mengenai perkhidmatan telekomunikasi di negara ini.

“Kami sentiasa mendengar masalah yang dihadapi oleh pengguna perkhidmatan telekomunikasi melalui forum ini.

“Ia sedikit sebanyak dapat membantu kami untuk menambah baik perkhidmatan kepada pengguna,” katanya sambil memaklumkan antara masalah yang sering diadu oleh pengguna ialah kelajuan internet, liputan dan kadar caj panggilan.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan telekomunikasi Altel, orang ramai boleh menghubungi talian khidmat pelanggan, 03-2613 3888 atau layari laman web www.altel.my.

kosmo online



Comments