Waadat Teras Kenegaraan

Teras Kenegaraan : Kesetiaan dan Kedaulatan Terhadap Negara


Waadat merupakan teras penting dalam hubungan kenegaraan rakyat dan raja di alam Melayu. Dalam Sulalatus Salatin perisitiwa waadat ini tertulis dalam petikan berikut :

Maka titah Seri Teri Buana, “Kabullah hamba akan janji paman itu, tetapi hambapun hendak minta janji juga pada paman”. Maka sembah Demang Lebar Daun, “Janji yang mana itu, patik pohonkan titah duli Yang Maha Mulia.” Maka titah Seri Teri Buana, “Hendaklah oleh segala cucu hamba, jikalau ada salahnya sekalipun, atau zalim jahat pekertinya, jangan segala hamba Melayu itu derhaka dan menitikkan darahnya ke bumi, jikalau mereka itu akan cedera, berundur hingga takluk negerinya juga”.

Maka sembah Demang Lebar Daun, ‘Baiklah tuanku, tetapi jikalau anak cucu duli tuanku dahulu mengubahkan, anak cucu patik pun berubahlah tuaku,” Maka titah Seri Teri Buana, “Baiklah paman, kabullah hamba akan waad itu”. Maka bagindapun bersumpah-sumpahlah dengan Demang Lebar Daun. Titah baginda, “Barang siapa hamba Melayu derhaka mengubahkan perjanjiannya dibalikkan Allah bumbungan rumahnya ke bawah kaki ke atas”. Maka sembah Demang Lebar Daun, “Jikalau raja Melayu itu mengubahkan perjanjiannya dengan hamba Melayu, dibinasakan Allah negerinya dan takhta kerajaannya,”. Itulah dianugerahkan Allah subhanahu wa taala pada segala raja-raja Melayu, tiada pernah memberi aib kepada segala hamba Melayu, jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada pernah memberi aib kepada segala hamba Melayu. Jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada diikat dan tiada digantung, difadihatkan dengan kata-kata yang keji hingga sampai pada hokum mati, dibunuhnya. Jikalau ada seorang raja-raja Melayu itu memberi aib seorang hamba Melayu, alamat negerinya akan binasa (Sulalatus Salatin, hal. 25-26).

Waadat menjadi teras kepada hubungan antara rakyat dan raja. Sebelum waad berlaku, Seri Teri Buana telah berkahwin sebanyak 39 kali tetapi wanita yang dikahwininya mendapat penyakit kedal. Seri Teri Buana ingin berkahwin dengan anak Demang Lebar Daun iaitu Raden Cendera Puri. Demang Lebar Daun bersetuju dengan syarat Raden Cendera Puri tidak dikeluarkan dari istana jika mendapat kedal.

Syarat-syarat waad itu meliputi : Demang Lebar Daun sedia menjadi hamba atau rakyat kepada Seri Teri Buana. Sebagai rakyat mesti dijaga oleh keturunan Seri Seri Buana. Rakyat yang bersalah boleh dihukum tetapi tidak boleh difadihat, dinista atau diaibkan

Jika anak cucu Seri Terti Buana atau raja bersalah atau berlaku zalim, jangan hamba Melayu derhaka. Rakyat juga tidak boleh menitikkan darah raja ke bumi yakni membunuh atau mencederakan raja. Jika hamba Melayu derhaka, ia akan mendapat tulah atau dibalikkan Allah bumbung rumah ke bawah. Manakala jka raja zalim atau melanggar waad dibinasakan negeri dan takhtanya dan raja kehilangan negeri

Persetiaan Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana ini dilanggari sama ada oleh rakyat atau raja, Sulalatus Salatin telah menggambarkan kesan terhadap perlanggaran waad itu. Seri Maharaja membunuh Tuan Jana Khatib mengakibatkan Singapura dilanggar todak. Raja Iskandar Syah menyula anak Sang Rajuna Tapa di hujung Pasar (mengaibkan) akhirnya Singapura alah kepada Majapahit yang dibantu oleh Sang Rajuna Tapa. Kisah Raja Muhammad membunuh Tun Besar anak Tun Perak. Tidak dilantik menjadi raja Melaka, sebalik hanya menjadi raja Pahang. Kezaliman Sultan Mahmud membawa kepada kekalahan Melaka kepada Ferenggi (Portugis). Bagi rakyat yang melanggar waad ini misalnya, Sang Rajuna Tapa belot kepada Raja Iskandar Syah dengan membuka pintu kota semasa serangan Majapahit, Sang Rajuna Tapa menjadi batu bersama isterinya. Hang Jebat menderhaka dan beliau mati dibunuh Hang Tuah.

Kepentingan utama waad ini ialah lahirnya amalan kesetiaan dalam kalangan rakyat semata-mata untuk mendaulatkan dan memartabatkan kerajaan Melaka. Kesetiaan menjadi elemen perundangan penting dalam Sulalatus Salatin. Kesetiaan yang membawa banyak kesan kepada kemakmuran dan kemasyhuran Melaka.

Kesetiaan Hang Tuah. Hang Tuah merupakan laksamana Melaka, beliau dikatakan seorang hamba Melayu yang menumpahkan kesetiaan kepada raja Melaka tanpa berbelah bahagi, ini dapat dilihat semasa beliau dijatuhkan hukuman akibat dari fitnah salah seorang pembesar yang begitu mencemburui kejayaan yang dicapai oleh beliau ini telah membawa kepada hukuman bunuh, begitu juga kesanggupan beliau menjalankan perintah raja dengan penuh ketaatan tanpa membantah untuk membunuh rakan karibnya Hang Jebat. Tanpa adanya sifat kesetiaan yang ditunjukkan oleh Hang Tuah sudah pasti Kerajaan Melaka akan mengalami kekacauan akibat dari rasa tidak puas hati yang ditunjukkan oleh Hang Tuah dan para pengikutnya. Begitu juga sekiranya Hang tuah tidak melaksanakan perintah Sultan untuk membunuh Hang Jebat sudah pasti tidak ada orang yang berupaya membunuhnya dan ini akan menghuruharakan kerajaan Melaka.


Kesetiaan Bendahara Paduka Raja. Kesetiaan Bendahara Paduka Raja dapat dilihat melalui peristiwa apabila beliau tidak bertindak balas atas kematian anakndanya Tun Besar yang dibunuh oleh putera Sultan Mansor Raja Muhammmad, sewaktu Tun Besar sedang bermain sepak raga tiba- tiba bola raga terkena pada dastar baginda, ini telah menyebabkan Raja Muhammmad merasa murka lalu membunuh Tun Besar. Tindakan ini telah menimbulkan kemarahan di kalangan pengikut Bendahara Paduka Raja, tetapi atas dasar kesetiaan Tun Perak tidak bertindak balas kerana dirinya sedar sekiranya beliau menggambil tindakan sudah pasti akan menyebabkan negeri Melaka terdedah kepada kekacuaan dan sudah pasti pihak musuh akan mengambil kesempatan dan akan menyebabkan Kerajaan Melaka menjadi tidak stabil, sikap Tun Perak ini sebenarnya satu tindakan yang berpandangan jauh, malah beliau hanya menyatakan ketidak sanggupan untuk bernaung di bawah Sultan Muhammad ini menyebabkan baginda Sultan Mansor menghantarnya ke negeri Pahang untuk dijadikan raja di sana.

Kesetiaan Bendahara Seri Maharaja. Kesetiaan Bendahara Seri Maharaja dapat dilihat apabila beliau telah menjadi mangsa fitnah oleh Kitul, Raja Mendeliar dan Laksamana Khoja Hassan yang mengatakan beliau telah mengumpulkan harta kekayaan melebihi kekayaan sultan. Sultan Mahmud yang telah lama mendendami Bendahara Seri Maharaja apabila Bendahara Seri Maharaja tidak menunjukkkan anak gadisnya Tun Fatimah yang rupawan dan dikahwinkan dengan Tun Ali, ini menyebabkan TunMutahir dan keluarganya telah dijatuhi hukuman bunuh dan tindakan sultan ini telah menimbulkan kemarahan para pengikutnya tetapi Bendahara Seri Maharaja telah memujuk para pengikutnya bersabar dan beliau sanggup menerima hukuman bunuh. Tindakan beliau ini merupakan satu pengorbanan yang ingin melihat keamanan yang berkekalan walaupun beliau tahu yang dirinya tidak bersalah tetapi memandangkan ia lebih pentingkan kepada ketenteraman beliau sanggup menghalang para pengikutnya dari terus memberontak.

Perhatikan bagaimana tindak-tanduk Bendahara Seri Maharaja dalam petikan berikut :

Maka Laksamana pun masuklah mengadap Sultan Mahmud; segala kata-kata Raja Mendaliar itu semuanya dipersembahkannya ke bawah duli Sultan Mahmud. Setelah Sultan Mahmud mendengar sembah Laksamana itu, kabullah pada hati baginda, seperti orang mengantuk disorongi bantal; kerana baginda sedia menaruh dendam akan Bendahara Seri Maharaja raja, sebab anaknya Tun Fatimah itu; seperti kata Farsi: "Al mahabbat bain niyat, Wal 'asyiq fikr niyat," ertinya: "Yang kasih itu antara tiada, dan berahi itu bicara tiada." Maka Sultan Mahmud Syah pun menyuruh memanggil Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara; setelah keduanya datang, maka dititahkan baginda membunuh Bendahara Seri Maharaja. Maka mereka keduanya pun pergilah dengan segala hamba raja. Maka segala anak buah Bendahara dan kaum keluarganya, dan segala orangnya semuanya berkampunglah pada Bendahara Seri Maharaja, sekaliannya dengan alat senjatanya; Tun Hassan Temenggung hendak melawan, ditegah oleh Bendahara Seri Maharaja, katanya, "Hei Hassan! Hendak membinasakan nama orang tua-tua kitakah engkau? Kerana adat Melayu tiada pernah derhaka."

Setelah Tun Hassan Temenggung mendengar kata Benda¬hara itu, maka Tun Hassan Temenggung pun membuangkan senjata dari tangannya, lalu berpeluk tubuh; maka kata Bendahara Seri Maharaja pada segala kaum keluarganya, dan kepada segala orangnya, "Barang siapa kamu melawan, hamba dakwa ia di akhirat." Setelah mendengar kata Bendahara Seri Maharaja itu, sekaliannya pun membuangkan Senjata dari tangan, lalu kembali ke rumah masing-masing. Maka tinggallah Bendahara Seri Maharaja dua bersaudara dengan Seri Nara Diraja; segala anak buahnya undur belaka.


Kesetiaan Tun Biajid. Tun Biajid merupakan anak Laksamana Hang Tuah, beliau telah ditugaskan oleh baginda sultan untuk menjaga kawasan Merba, sekembalinya beliau dari bertugas menjaga kawasan didapati baginda Sultan Mahmud telah berlaku curang dengan isterinya, peristiwa ini telah terserempak dengan Tun Biajid yang sewaktu itu sedang membawa lembing. Tun Biajid telah menimbang- nimbang lembing untuk di tikam ke dada baginda tetapi memikirkan sebagai seorang bangsa Melayu yang pantang menderhaka kepada raja tambahan pula beliau anak kepada Laksamana Hang Tuah yang terkenal dengan sikap kesetiaannya. Sekiranya Tun Biajid menderhaka sudah pastilah Kerajaan Melaka akan menjadi huru- hara memandangkan baginda Sultan Mahmud terkenal dengan seorang sultan yang lemah dan tidak berwibawa dan sudah pasti orang akan memandang kepada Tun Biajid seorang penderhaka dan tidak dapat mewarisi sikap ayahandanya Laksamana Hang Tuah yang terkenal dengan kepatuhan dan kesetiaannya,malah beliau hanya mengambil tindakan dengan memulau untuk tidak pergi ke istana

Kesetiaan utusan-utusan Melaka semasa melaksanakan tugas. Kemunculan Melaka sebagai sebuah kerajaan yang mantap lagi unggul di mata dunia adalah dibantu oleh golongan- golongan utusan Melaka yang dilantik oleh para sultan dalam menjalankan wakil dari kerajaan Melaka. Para utusan tadi telah menunjukkan kesetiaan dan kebijaksanaan yang tidak berbelah bahagi dalam melaksanakan tugas, contoh utusan Melaka ke China yang diketuai oleh Tun Perpatih Putih telah menunjukkan kesetiaan dan kebijaksanaannya apabila berjaya melihat wajah Maharaja China, Tun Bijaya Sura telah berjaya mengangkat martabat Raja Melaka dan dalam masa yang sama telah menjatuhkan maruah Betara Majapahit melalui permainan sapu- sapu rengit. Menteri Jana Putera dan Tun Telanai berjaya menjaga imej Melaka melalui jawapan- jawapan yang dikemukakan kepada Raja Siam manakala Hang Nadim berjaya memberi tunjuk ajar kepada para pelukis kain di Benua Keling bagaimana untuk menghasilkan corak kain yang baik. Sekiranya para utusan tadi tidak dapat menunjukkan kesetiaan yang begitu tinggi sudah pasti matlamat untuk menjadikan Melaka sebagai sebuah kerajaan yang di pandang mulia di kalangan negara serantau sudah pasti tidak akan mencapai matlamatnya kerana kesetiaan merupakan kunci untuk mewujudkan negara yang cemerlang

Waadat menjadi tali pengikat dan pancang kesetiaan hubungan rakyat dan raja. Ia menjadi benteng untuk memperkukuhkan hubungan atas kepentingan kedaulatan negara. Waadat benih kenegaraan yang berupaya memupuk semangat dan cita-cita untuk bertindak atas kepentingan tanah air demi daulat dan martabat negara.

Comments