30 Sep 2014

Upaya Kreatif Pelajar Melalui Pementasan Drama

Saya telah menyebut tentang pentingnya memahami dunia teks serta kepentingan artikulasi dalam pementasan drama. Kemahiran yang harus dimiliki pelajar dalam menyuburkan bakat seni dalam diri mereka melalui pementasan drama. Kedua-dua kemahiran itu bukan mudah untuk dikuasai oleh pelajar. Malah pelakon teater yang saban berkecimpung dalam bidang ini memerlukan masa cukup lama untuk menguasai kemahiran berkenaan,

Upaya kreatif pelajar harus disuburkan menerusi penerokaan, jumpaan, kajian, serta latihan yang berterusan. Inilah pengalaman kreatif yang cukup penting dan sebenarnya berguna membangun potensi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) pelajar. Kepentingan penyuburan JERI adalah antara hasrat yang mahu dicapai menerusi Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Membawa pengalaman drama ke alam persekolahan terutama anak remaja ini sebenarnya memberi peluang penerokaan dan pengalaman penting dalan penyuburan bakat dan potensi tersebut.

Jika kita menoleh ke dalam aspirasi murid sebagaimana digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 ia berfokus kepada Pengetahuan, Kemahiran Berfikir, Kemahiran Memimpin, Kemahiran Dwibahasa, Etika dan Kerohnian, serta Identiti Nasional.


Setiap dari aspirasi ini sebenarnya terangkum dalam pementasan drama. Pelajar perlu faham mengenai drama melalui pengetahuan dan ilmu drama. Pementasan drama sebenarnya mencabar kemahiran berfikir pelajar bermula dari skrip dan bidang lakonan atau produksi. Ia merupakan proses penerokaan kepada penghasilan. Drama memerlukan disiplin dan peraturan tersendiri  yang perlu dipatuhi oleh penggiatnya. Ia adalah kerja yang memerlukan faktor kepimpinan yang kukuh, serta amalan kepimpinan yang berfokus kepada pengikut dan pemimpin yang sentiasa dipraktikkan. Ia juga melibatkan sudut etika dan kerohanian penggiatnya. Ia mempunyai garis-garis disiplin tersendiri yang harus diamalkan oleh penggiatnya untuk memastikan sebuah produksi berhasil dengan sukses. Pelajar dapat mengenal identiti nasional dan jati diri mereka kerana drama itu sendiri adalah perwarnaan terhadap budaya, etika, nilai, dan pemikiran masyarakat. Ruang yang begitu luas tersedia untuk pelajar meneroka dan menemui melalui kegiatan yang mereka ceburi.

Tuntutan baru pendidikan adalah untuk mengupayakan pelajar dalam enam bidang utama yang telah disebutkan. Ia adalah penting dalam memenuhi pemikiran, budaya, dan keperluan kemahiran abad ke-21. Transformasi perlu untuk menyediakan pelajar yang bertepatan dengan keperluan zaman dan masa mereka kembali ke alam masyarakat. Antaranya adalah kemahiran tinggi yang bertitik tolak dari Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (Higher Order Thinking Skills)


Berdasarkan kepada paksi taksonomi bloom aras pemikiran adalah bertolak dari pengetahuan, pemahaman, aplikasi, analisis, penilaian dan merekacipta. Strata pengetahuan berada pada  skala pemikiran atau kemahiran terendah dan  teratas adalah merekacipta (creating). Jika semua ini dijabarkan ke alam pementasan didapati  bahawa setiap pelajar akan menempuh hiraki pemikiran ini secara holistik. Oleh itu, memperkenalkan pementasan drama kepada pelajar hendaklah bersandarkan kepada hiraki ini agar pelajar benar-benar dapat menguasai aras pemikiran tahap demi tahap. Pengakhirannya adalah penciptaan yang merupakan hiraki tertinggi yang bukan sahaja memerlukan daya fikir kemahiran tinggi tetapi daya kreativiti dan inovasi yang tinggi. Aras pemikiran tinggi yang mahu dicapai oleh pelajar tidak akan terhasil sekiranya langkah atau prosedur yang sempurna tidak disediakan kepada murid dalam aspek pementasan drama ini.  Malah apa yang membimbangkan ia boleh melunturkan semangat dan daya fikir pelajar serta boleh mematikan kreativiti dan semangat untuk berkarya dan mencipta.





Oleh itu tidak ada jalan singkat untuk pelajar berhadapan dengan dunia teater dan alam pementasan ini. Kita mahu drama menjadi antara bahan yang mampu membuka pemukiran aras tinggi pelajar selain dari sains, matematik dan teknologi. Kita tidak harus menyatakan bahawa tidak ada asas untuk memperkenalkan drama kepada pelajar dengan kaitan pemikiran aras tinggi. Malah sastera dan drama sebenarnya adalah antara alat untuk membuka fikiran murid ke arah itu kerana pada penghujung segala kemahiran ini adalah penghasilan karya atau penciptaan.



Jika jalan singkat diambil saya bimbang kemahiran yang diharapkan tidak dikuasai pelajar. Sebagaimana yang berlaku pada sastera yang dianggap membosankan oleh pelajar kerana kesilapan pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kita harus berlaku adil kepada pelajar kerana mereka adalah generasi yang diharapkan dapat membina upaya negara ke arah lebih maju dan dinamis.

Tahap pengetahuan dan kemahiran pelajar dalam drama perlu disusun dalam lapis atau strata yang sesuai dengan keperluan kemahiran aras tinggi. Pengetahuan mengenai asas lakon, asas gerak, asas teater, asas skrip, asas penulisan dan segala ilmu bantu drama perlu diperkenalkan. Pelajar harus menguasai asas ini sebelum bergerak ke tahap lebih tinggi. Sudah pastinya kemahiran asas ini memerlukan jangka masa yang panjang dan aras tersendiri  Membawa pelajar ke duni lakon tanpa pengetahuan asas ini adalah satu kesilapan yang boleh memberi kesan negatif terutama dari segi kemairan dan penguasaan ilmu. Jika kita mahu pelajar menjadi lebih kreatif maka segala keperluan ilmu drama ini perlu disebatikan dalam pengetahuan dan kemahiran pelajar.

Aspek-aspek penerokaan karya, penerokaan watak, pengarahan, lakon, gerak dan teknik pementasan adalah kemahiran yang berada pada aras tinggi. Adunan akhir ialah kreativiti dan penghasilan karya atau sebuah pementasan. Saya melihat usaha-usaha Kementerian Pendidikan Malaysia mengadakan Program Semarak Teater dengan memberi pendedahan asas lakon, gerak, dan vokal serta berakhir dengan produksi adalah antara langkah bijaksana yang perlu diteruskan. Perkara penting adalah kita mahu pelajar mempunyai ilmu untuk melaksanakan suatu tugasan besar seperti sebuah produksi drama. Kita sedar bahawa pasaran produksi ini sentiasa ada dalam masyarakat. Oleh itu pengetahuan, kemahiran dan ilmu amat mustahak untuk menjadikan seseorang pelajar itu bila keluar ke alam masyarakat mempunyai kualiti ilmu yang tinggi.

Kita berharap agar pementasan drama bukan lagi dipandang sebagai tempelan tetapi antara alat untuk membuka relung fikir pejar ke arah pemikiran aras tinggi. Kita mahu manusia kreatif yang berilmu untuk mengisi segala bidang hiburan atau seni dalam masyarakat. Upaya kreatif terhasil dari pengalaman dan penguasaan kemahiran  serta tahap ilmu yang tinggi. Di situ akan terhasil kualiti dan akan terhasil buah karya yang membina dan berguna. Kita mahu hidangan seni yang bermakna dan berupaya menjadi titik fikir dan renungan masyatakat. Kita sudah terlalu dileburkan oleh kelalaian dan keghairahan seni yang tidak membina manfaat mayarakat.


2 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena