Sejarah Drama Malaysia Bahagian 5


Perkembangan Tahun Enam Puluhan


Kemajuan pada sistem pentadbiran dan pemerintahan selepas kemerdekaan sekaligus mengheret usaha-usaha ke arah memajukan bidang penulisan oleh kalangan karyawan itu scndiri, yang berasa terpanggil untuk sama-sama mengisi makna kemerdekaan negara. Bagi angkatan karyawan zaman baru itu, masyarakat perlulah digerakkan dan dipertingkatkan daya pemikiran mereka supaya sesuai dan seimbang dengan perkembangan zaman yang sedang berlaku. Untuk mencapai ke arah cita-cita tersebut, media akhbar dan majalah memberi tempat kepada genre cerpen dan puisi. Tetapi agak malang bagi karyawan drama kerana media bercetak waktu itu seperti tidak bersimpati terhadap mereka. Daripada sekian banyak majalah yang diterbitkan dalam tahun-tahun 60-an hanya majalah Dewan Bahasa menyiarkan drama-drama pendek yang ditulis oleh beberapa orang penulis tempatan di samping menyiarkan juga drama terjemahan. Majalah tersebut pernah menyiarkan skrip drama karya Kala Dewata, Tongkat Warrant (Usman Awang), Kemala dan Kalam Hamidi. Skrip terakhir yang disiarkan oleh Dewan Bahasa ialah "Intan" hasil tulisan Abdullah Hussain pada tahun 1972, setelah Dewan Sastera yang terbit pada tahun 1971. Sepanjang sejarahnya, majalah Dewan Bahasa telah menyiarkan sekitar 13 buah skrip drama karangan asli. Sementara itu, antara majalah tempatan lain yang pernah menyiarkan skrip drama pentas di dekad ini ialah Dian dan Mastika.
Walau bagaimanapun, seperkara yang sangat memberangsangkan berlaku dalam tahun-tahun 60-an ini ialah banyaknya naskhah drama diterbitkan oleh penerbit-penerbit swasta. Terdapat kira-kira 40 judul buku drama Melayu beredar di pasaran dalam tempoh waktu tersebut (jumlah ini tidak termasuk naskhah 'drama sekolah' atau drama yang ditulis khusus untuk kanak-kanak sekolah). Dalam jangka waktu yang sama, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka hanya menerbitkan dua buah naskhah drama karya asli dan sebuah karya adaptasi daripada kisah sejarah pahlawan Islam.

Drama Sejarah


Daripada sejumlah penulis yang terus bergiat atau yang baru muncul di tahun-tahun 60-an ini, Shaharom Husain di-dapati paling banyak menghasilkan buku drama, iaitu tujuh buah. Kesemua buku drama Shaharom diterbitkan oleh Pustaka Melayu, Singapura (termasuk Tun Seri Lanang yang terbit pada tahun 1959). Sebagai seorang ahli sejarah yang rajin dan tekun, Shaharom meneruskan usaha yang telah dimulakannya di akhir dekad 50-an iaitu menghasilkan drama sejarah atau drama yang berunsur sejarah. Si Bongkok Tanjung Puteri (1961) merupakan karya Shaharom Husain yang paling terkenal kerana banyak kali dipentaskan di seluruh tanah air dan Singapura, khususnya dalam tahun-tahun 60-an. Pementasan pertamanya dilakukan oleh penuntut-penuntut Pusat Latihan Guru, Johor Bahru pada 4 dan 5 Ogos 1960 di Johor Bahru. Menurut pengarangnya, drama ini mengemukakan “cerita yang berdasarkan sejarah dan dijalin dengan cerita mulut orang tua-tua” (Si Bongkok Tanjung Puteri, 1961: "Sepatah Kata").

Shaharom cuba mempersoalkan erti kebebasan tanpa batas seperti yang dituntut oleh Si Bongkok. Meskipun kisah tersebut dikatakan berlaku di sekitar tahun 1840 di negeri Johor, konsep kebebasan Si Bongkok itu diharap oleh pengarangnya supaya dapat diteliti dan dijadikan panduan hidup, sekurang-kurangnya oleh masyarakat pada zaman ia dihasilkan. Si Bongkok, yang dihitamkan seluruh wataknya dikatakan menentang undang-undang adat, undang-undang negara dan undang-undang agama semata-mata "untuk kebebasan diri dan kehendak". Jelas bahawa perjuangan watak ini ke arah kebebasan tanpa batas lebih berupa perjuangan yang berdasarkan keinginan peribadi. Si Bongkok tidak mewakili mana-mana kumpulan dan tidak memegang prinsip atau matlamat perjuangan. Kekejaman yang dilakukannya dengan merompak dan membunuh tidak memancing simpati daripada mana-mana pihak.

Berbeza dengan Tun Fatimah atau Rahsia Kejatuhan Melaka yong lebih ketara membawa nada menentang penjajahan, Si Bongkok Tanjung Puteri sekadar membayangkan satu pemberon¬takan peribadi watak antagonisnya yang masih konvensional sifatnya. Alasan ini dapat diperkuatkan dengan melihat sikap dendam Si Bongkok terhadap Daing Alek misalnya dan lebih jelas lagi apabila cintanya terhadap Tanjung tidak berbalas. Meskipun unsur-unsur perebutan kuasa dan penentangan radikal merupakan ciri-ciri penting dalam drama sejarah, kita tidak melihat keyakinan yang kuat pada diri Si Bongkok untuk merampas kuasa pemerintahan.

Pernyataan Daing Alek ada menyebut tentang kompeni Inggeris yang sudah berkuasa di Singapura dan bersahabat serta bekerjasama pula dengan Yang Maha Mulia Pemerintah Johor. Tetapi kenyataan ini bukanlah bertujuan menimbulkan kesedaran kepada rakyat bahawa negeri itu akan dikuasai atau dijajah pula oleh Inggeris, malah lebih sebagai usaha menakut-nakutkan Si Bongkok. Ternyata ugutan itu tidak menjejaskan keberanian Si Bongkok:

SI BONGKOK: Tak siapa boleh memerintah aku, kerana kompeni terpaksa mengubah laku?
Tidak, tidak... hina diperintah orang, walau kompeni, kau, datuk dan siapa menghalang, (Si Bongkok Tanjung Puteri, 1961, hal. 19)


Jelas bahawa matlamat utama pemberontakan Si Bongkok bukan untuk menentang penjajahan Inggeris secara langsung, tetapi lebih menuntut kepada kehendak dan tuntutan nafsunya yang tidak ingin diperintah oleh sesiapa pun. Beliau mahu menegakkan kebebasan mutlak dengan membelakangkan undang-undang yang sudah menjadi landasan dalam kehidupan manusia bertamadun. Kemenangan di pihak Panglima Putih secara 'keadilan impian' (poetic justice) di akhir cerita, sekaligus menyarankan betapa nilai-nilai tradisional, hukum kehidupan bertamadun dan sistem pemerintahan feudal itu perlu ditegakkan terus. Sekurang-kurangnya demikian pada pandangan pengarangnya. Sebagai sebuah drama sejarah atau 'sandiwara' yang berdasarkan sejarah, Si Bongkok Tanjung Puteri ternyata masih tebal dengan pengaruh bangsawan dan romantisisme. Selain daripada tarian-tarian dan nyanyian latar belakang yang disarankan sepenuhnya, drama ini juga lengkap dengan syair, sajak, pantun, peribahasa dan bahasa berbunga pada sepanjang dialognya. Pantun misalnya bukan sahaja dituturkan oleh watak dalam keadaan romantis dan bergembira, malah dalam keadaan tegang, sewaktu pertemuan antara Si Bongkok dengan Panglima Putih.

Kehidupan Shaharom Husain sebagai seorang guru sejarah dipercayai menjadi pendorong yang kuat dalam usahanya menghasilkan drama-drama sejarah, terutamanya yang berhubung dengan sejarah negeri Johor. Karyanya yang berjudul Harimau Johor, 1962) juga membawa kisah yang dikatakan pernah berlaku di Johor. Drama ini mengemukakan tentang seorang pahlawan bernama Nong Mutalib yang terkenal kerana kegagahan dan keperwiraannya. Beliau juga terpuji kerana mempunyai sifat-sifat yang unggul, berani, bijak, mempunyai daya kepimpinan yang tinggi, cinta kepada bangsa, negara dan agama serta bencikan perseteruan. Dengan sifatnya sebagai seorang guru, melalui drama ini pengarang jelas ingin menyampaikan unsur-unsur pengajaran kepada khalayaknya. Pengarang seperti mencita-citakan satu masyarakat yang mempunyai sifat-sifat terhormat sedemikian, kerana hanya dengan cara itu kekuatan dan kebenaran bangsa dapat ditegakkan. Cita-citanya itu d.ipat dikatakan sesuai dengan usaha memperteguhkan keyakinan dan memupuk semangat kebangsaan di kalangan orang-orang Melayu terutamanya di waktu itu.

Wak Chantok yang ditulis pada tahun 1964 dan terbit tahun berikutnya (Singapura: Pustaka Melayu, 1965) juga merupakan "benar-benar kejadian hampir-hampir tujuh puluh tahun yang silam, iaitu berpentas di Kampung Tembaga, Bali Lane, Kampung Dendang di sekitar Masijd Sultan, Singapura sekarang" ("Sepatah Kata", Wak Chantok). Drama ini merupakan hasil adaptasi Shaharom daripada novel sejarah karya Harun Aminurrashid dengan beberapa penyesuaian berdasarkan penyelidikan Shaharom sendiri, untuk disesuaikan dengan pementasan. Menurut Shaharom, gadis Tasmiah atau Marmar yang terkorban dibunuh oleh Wak Chantok itu merupakan keluarga nenda-nendanya sendiri. Sementara Haji Ali dan isterinya yang turut terkorban dalam peristiwa tersebut kebetulan moyang kepada isterinya. Meskipun kisah tersebut tidak mempunyai nilai-nilai ticjarah yang berhubungan dengan perubahan-perubahan yang berlaku dalam sistem pemerintahan atau politik negara ini, drama tersebut diharap oleh penulisnya "menjadi satu ingatan dan pandangan kita orang-orang sekarang" ("Sepatah Kata", Wak Chantok).

Sebuah lagi kisah yang "boleh dianggap sejarah yang telah berlaku di Kota Tinggi, Johor" ("Sepatah Kata", Balang Mas, Singapura: Pustaka Melayu, 1964) ialah cerita tentang rahsia kecantikan, kesaktian dan kekuatan kuasa seorang wanita bernama Cik Siti yang dapat menawan, membelenggu dan menewaskan 98 orang jejaka. Kisah tersebut digubah oleh Shaharom dalam bentuk drama dan diberi judul Balang Mas. Sama seperti Wak Chantok, drama yang dianggap sebagai simbolik itu dihidangkan kepada khalayaknya kerana menurutnya, "Sejarah sentiasa berulang" ("Sepatah Kata", Balang Mas). Kalau Balang Mas mengemukakan watak seorang wanita yang mementingkan harta kekayaan dengan menggunakan muslihat yang keji, dalam Tun Fatimah atau Rahsia Kejatuhan Melaka (1964) Shaharom mengetengahkan pula seorang srikandi Melayu yang termasyhur kerana turut sama berjuang menentang penjajahan Portugis di zaman kesultanan Melaka. Tun Fatimah dapat dianggap sebagai lambang jiwa pahlawan kaum wanita yang tidak mahu ketinggalan menyumbangkan tenaga dalam usaha mempertahankan maruah bangsa dan negara. Melalui dramanya ini, Shaharom Husain ingin menekankan bahawa perjuangan orang-orang Melayu menentang penjajahan bukan hanya terbeban ke bahu kaum lelaki semata-mata. Sumbangan tenaga pahlawan daripada kalangan wanita juga tidak kurang pentingnya dalam sejarah mempertahankan bumi Melayu daripada dikuasai oleh negara luar. Tun Fatimah atau Rahsia Kejatuhan Melaka jelas memperlihatkan jiwa pahlawan watak Tun Fatimah yang termasyhur itu. Meskipun pada ketika Portugis melanggar Melaka Tun Fatimah sudah menjadi permaisuri kepada Sultan Mahmud Shah, semangatnya untuk mempertahankan tanah air tercinta daripada dicabul oleh kuasa luar tidak pernah luntur. Menurut Tun Fatimah:
"Perempuan juga berhak berjuang kerana kedaulatan bang¬sa, kerajaan dan tanah air. Kali ini kalau Melaka tewas, bererti anak cucu kita Melayu kemudian hari kelak akan jadi hamba. Hidup menderita, menderita sukar bangkit balik jadi suatu bangsa yang berkuasa dan berdaulat."(Tun Fatimah atau Rahsia Kejatuhan Melaka, 1964, hlm 39)


Selain daripada bertujuan untuk mengangkat martabat wanita Melayu sebagai srikandi yang turut berjasa kepada ibu pertiwi, drama ini juga cuba menimbulkan kemungkinan-ke¬mungkinan lain yang membawa kepada kejatuhan dan kehancuran Kesultanan Melayu Melaka di tangan Portugis. Huru-hara dan kacau-bilau yang berlaku di dalam negeri Melaka sendiri akibat daripada dengki khianat dan perpecahan di kalangan Melayu teragung itu. Tipu muslihat dan rancangan jahat yang dilakukan oleh saudagar-saudagar asing seperti Nina Sura Diwana, Si Kitol dan konco-konconya itu jelas mudah mempengaruhi para pembesar Melayu dan sultan sendiri. Kerana mementingkan harta, kuasa dan wanita, para pembesar dan sultan Melaka terpaksa membayar dengan harga yang mahal yakni 'menggadai' negeri. Drama yang diterbitkan pada tahun 1964 ini sebenarnya telah ditulis dan dipentaskan buat pertama kali dalam tahun 1953 di Dewan Sekolah Inggeris Bukit Zahrah, Johor Bahru. Shaharom Husain antara lain mencatatkan tujuan beliau menyusun drama atau sandiwara tersebut ialah "Untuk ingatan, kesedaran dan keinsafan orang-orang kita sekarang, dan peristiwa buruk itu tidak herulang kembali diamalkan dengan secara langsung atau tidak Iangsung."


Karya Harun Aminurrashid yang berjudul Mati Bertindih Tulang (1964) juga merupakan sebuah drama yang mengambil peristiwa kejatuhan Melaka di tangan Portugis sebagai dasar ceritanya. Drama yang pertama kali dipentaskan dalam tahun 1956 semasa diadakan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-III di Dewan Universiti Singapura ini telah disemak dan diperbaiki oleh Shaharom Husain. Kerana itu tidak hairanlah kalau pada sesetengah tempat dalam naskhah tersebut jelas terlihat gaya bahasa Shaharom yang berirama itu. Walau bagaimanapun, berbeza dengan Tun Fatimah atau Rahsia Kejatuhan Melaka yang mengandungi enam babak, drama yang terdiri daripada tiga babak pendek ini tidak begitu mendalam persoalannya. Watak Tun Munah, isteri kepada Tun Tahan yang turut berjuang mempertahankan Melaka itu juga tidak begitu dikenali, berbanding dengan Tun Fatimah. Sepertimana Shaharom Husain, Harun Aminurrashid juga berhasrat untuk mengetengahkan peranan srikandi dan perwira-perwira Melayu yang lain dalam usaha menentang penjajahan. Hal ini lebih jelas dapat dilihat melalui "Suara Ghaib" di akhir cerita Mati Bertindih Tulang. Peranan "Suara Ghaib" juga dapat kita lihat dalam Tun Fatimah atau Rahsia Kejatuhan Melaka dan dalam beberapa naskhah drama Shaharom Husain yang terkemudian. Penggunaan "Suara Ghaib" dalam drama-drama ini dapat dianggap menghampiri konsep 'korus' yang menjadi ciri utama dalam drama-drama Yunani, yang berperanan sebagai penyambung adegan, pengulas cerita atau penyampai pemikiran pengarang.

Sebuah lagi drama yang cuba mengangkat kepahlawanan kaum wanita dalam mempertahankan tanah air ialah "Srikandi Tun Intan" (1963)(dalam kumpulan Embun Menitik) karya Jaafar Husny. Drama ini juga mengambil latar masa ketika Portugis menceroboh Melaka dan Tun Intan dikatakan sebagai anak saudara kepada Tun Fatimah - permaisuri Melaka. Bagaimanapun aspek kepahlawanan Tun Intan ini kemudiannya dikaburkan oleh klimaks cerita tersebut yang memperlihatkan peristiwa pertikaman di antara Tun Muda dan Hang Hamid yang berebutkan srikandi Melaka itu. Antara drama sejarah yang diterbitkan dalam tahun 60-an yang jelas menampakkan bibit-bibit nasionalisme atau unsur-unsur penentangan terhadap penjajahan ialah Robohnya Kota Lukut (1963) yang ditulis oleh Kala Dewata (Mustapha Kamil Yasin). Drama ini ditulis pada tahun 1957 dan dipentaskan pada tahun yang sama oleh Persatuan Pelajar-Pelajar Negeri Sembilan clan pada tahun 1958 oleh Persatuan Pelajar-Pelajar Maktab Perguruan Bahasa yang pada waktu itu masih di Bukit Senyum, Johor Bahru. Sebagai sebuah drama sejarah, cerita ini mengambil latar pada penghujung abad ke-19, sewaktu Raja Bot memerintah negeri Lukut (selepas mangkat ayahandanya, Paduka Yang Mulia Raja Jumaat). Lukut asalnya mempunyai sebuah kota yang gagah, yang telah dibina di atas sebuah bukit. Kota yang kebal itu menjadi lambang keagungan dan kekuatan kerajaan Melayu di zaman itu. Raja Jumaat yang masyhur dikenali sebagai seorang raja yang adil serta bijaksana pemerintahannya. Lukut terkenal sebagai sebuah negeri yang maju, bukan sahaja di Semenanjung, bahkan hingga ke negara-negara tetangga.


Kehancuran Lukut mula terbayang apabila Raja Bot memegang teraju negeri. Raja yang mementingkan diri ini sanggup menjual negeri sendiri kerana mengejar harta dan kekayaan. Inggeris yang sentiasa menunggu peluang untuk masuk campur dalam urusan pemerintahan kerajaan Melayu tentulah gembira dengan keadaan itu. Lombong-lombong dibuka, buruh-buruh, asing pemerintahan Inggeris mula berkuatkuasa. Akhirnya negeri Lukut menjadi kucar-kacir dan rakyatnya semakin menyisihkan diri. Sedikit demi sedikit Kota Lukut yang teguh itu semakin dan runtuh. Kota Lukut menjadi lambang kepada kegusaran pengarang terhadap nasib tanah air dan bangsanya, di saat-saat negara mencapai kemerdekaan. Berdasarkan pada sejarah yang pernah berlaku itu, Kala Dewata seolah-olah cuba mengingatkan orang-orang Melayu khususnya supaya sentiasa berwaspada agar sejarah itu tidak berulang. Bangsa Melayu bukannya tidak mempunyai orang-orang yang sedar seperti Lela Antah, tetapi kuasa yang ada pada seorang pemerintah seperti Raja Bot sudah pasti mengetepikan segala-galanya.

Robohnya Kota Lukut terbahagi kepada empat babak dan dipecahkan kepada lima belas 'lakon' (adegan). Keterikatan pada tradisi bangsawan nampaknya masih ada pada drama sejarah yang semakin menampakkan ciri-ciri moden ini, jika dibandingkan dengan Megat Terawis. Untuk setiap lakonnya, Kala Dewata menyarankan penggunaan tabir dengan latar tertentu seperti 'dalam hutan', 'dalam rumah sederhana', 'dalam istana' dan sebagainya bersesuaian dengan setiap lakon itu. Cara ini menjadi sesuatu yang lumrah dalam persembahan drama bangsawan. Kala Dewata juga tidak mahu meninggalkan watak seperti yang menjadi satu kemestian dalam bangsawan, dengan menyelitkan watak Jobot di mana-mana perlu. Meskipun dialog dan pilihan kata dalam drama tersebut lebih bersahaja dan tidak terlalu berirama, Kala Dewata turut menyertakan pantun-pantun dalam adegan tertentu.

Sebelum mempelopori gerakan realisme dengan pengertian setepatnya di awal tahun 60-an, Robohnya Kota Lukut dapat dianggap sebagai salah satu sumbangan Kala Dewata yang penting dalam sejarah penciptaannya sendiri khususnya dan perkembangan drama Melayu moden umumnya. Tidak dinafikan juga sumbangan tersebut merupakan ciptaan simbolik yang tidak ternilai, selaras dengan arus semangat kemerdekaan dan suasana politik pada waktu ia dihasilkan. Agak ketara bahawa di antara pengarang-pengarang drama di awal dekad ini cenderung untuk mengagung-agungkan semula ketokohan, kegagahan serta keberanian pahlawan-pahlawan Melayu yang silam, terutamanya Hang Tuah. Jelaslah bahawa hasrat mereka tidak lain daripada untuk meniupkan semangat kesateriaan serta perjuangan di kalangan masyarakat waktu itu yang sekian lama sudah diuliti oleh cerita-cerita fantasi melalui bangsawan. Pernyataan seperti ini bukan sekadar catatan atau pandangan melulu yang diada-adakan oleh para penyelidik hari ini, tetapi merupakan hasrat serta tujuan para pengarang yang terlibat itu sendiri melalui pengkaryaan mereka. Pengarang Tuah Dalam Sejarah (Kota Bharu: Pustaka Dian, t.t.), Hamidy Anwar misalnya menjelaskan bahawa drama itu ditulis dengan hasrat menggali sejarah kepahlawanan bangsa Melayu untuk menggilap semula semangat pemuda pemudi angkatan kini. Baginya, "sejarah kita banyak menyimpan kisah pahlawan. Hang Tuah merupakan lambang kesateriaan dan kepahlawanan bangsa kita dan telah memperlihatkan satu contoh yang begitu tinggi dan mulia dalam mengabadikan diri kepada sultan dan negara." (Tuah Dalam Sejarah, "Prakata").


Drama lapan babak ciptaan Hamidy Anwar ini menge¬mukakan bahagian-bahagian terpenting daripada kisah pah-lawan Melayu yang termasyhur yang sengaja dipilih untuk menonjolkan keperwiraan dan kepintaran Laksamana Hang Tuah. Antara peristiwa yang dianggap penting ialah kisah kunjungan Hang Tuah ke Majapahit kerana mengiringi Sultan Mansur Shah yang mengahwini Raden Mas Ayu. Peristiwa tersebut jelas dipilih dengan hasrat untuk mengagung-agungkan kehandalan wira bangsa Melayu itu khususnya dan kebesaran Kesultanan Melayu Melaka umumnya. Pahlaman Melayu (Hang Tuah-Hang Jebat) (1965) karya Alwi bin Syeikh Alhady merupakan antara drama yang mengambil peristiwa daripada Hikayat Hang Tuah yang terpanjang pernah diterbitkan. Drama yang terdiri daripada empat 'bahagian' (babak) dengan pecahan kepada 14 'lakon' (adegan) itu dikatakan pernah dipentaskan buat pertama kali di Singapura "di dalam tahun yang pertama Tanah Melayu kita diduduki oleh tentera Jepun" ("Kata Pendahuluan", Pahlawan Melayu Hang Tuah-Hang Jebat, hlm ix). Pengarang ini juga ada menyebut bahawa dramanya itu meng¬ambil masa dua malan berturut-turut (dari pukul 9 hingga 12 malam) untuk dipentaskan seluruhnya. Selepas Tanah Melayu bebas daripada pemerintahan tentera Jepun, Alwi Syeikh Alhady tclah menyusun semula karyanya dan diterbitkan kemudiannya.

Dengan mengetepikan seberapa yang dapat unsur-unsur dongeng, Alwi Syeikh Alhady memulakan dramanya itu daripada peristiwa Hang Mahmud bermimpi cahaya bulan purnama memancarkan sinarnya ke atas kepala Hang Tuah yang masih kecil. Adegan-adegan berikutnya memuatkan hampir seluruh peristiwa penting daripada Hikayat Hang Tuah, termasuk peristiwa yang berlaku di Majapahit dean akhirnya peristiwa pertikaman antara Hang Tuah dengan Hang Jebat. Salah satu daripada hasrat pengarang menghasilkan drama sejarah ini ialah untuk mengetengahkan "segala cara, aturan dan adab tertib kemelayuan mengikut adat resam dan adat istiadat Melayu jati" ("Kata Pendahuluan", hlm x). Bagaimanapun kita tidak dapat menolak kemungkinan sebenar pengarang menulis dan mementaskan drama ini di zaman pemerintahan Jepun, iaitu untuk mengangkat semula kisah kepahlawanan wira Melayu yang secara tidak langsung turut meniupkan semangat cintakan bangsa, negara clan agama serta bencikan penjajahan. Alwi Syeikh Alhady juga menghasilkan sebuah drama adaptasi, berjudul Tarek ben Ziad (1959).

Dua buah lagi drama sejarah yang dihasilkan di awal dekad 60-an ialah Laksamana Melaka di Inderapura (1962) dan Hang Tuah Membuat Jasa (1962): kedua-duanya merupakan hasil karya Izhab Alang Ismail. Seperti Tuah Dalam Sejarah, ciptaan Izhab itu juga mempunyai tujuan yang sama, iaitu memuja kepahlawanan Hang Tuah, tanpa membayangkan sesuatu pemikiran atau tafsiran baru terhadap peristiwa-peristiwa sejarah tersebut.


Hang Jebat Menderhaka (1960) karya Ali Aziz yang diterbitkan sebelum ini bagaimanapun memperlihatkan suatu tafsiran dan pemikiran yang cukup menarik serta berani. Meskipun Ali Aziz juga memilih peristiwa daripada bahan sejarah yang sama, pendekatan dan perspektif Ali Aziz berbeza sama sekali daripada sudut yang dilihat oleh Hamidy Anwar, Alwi Syeikh Alhady ataupun Azhab Alang Ismail. Peristiwa yang menjadi klimaks dalam Hikayat Hang Tuah dipilih oleh pengarang untuk mengungkapkan pemikirannya yang bernas dan tajam, yang dipercayai membayangkan pendirian peribadi Ali Aziz sendiri. Dari sudut pandangan pengarang, Jebat adalah seorang protagonis yang patut diketengahkan sebagai pahlawan yang berani menentang kezaliman sistem feudal yang dianggapnya sebagai tidak berlaku adil. Jebat adalah lambang manusia yang tidak tunduk setia membuta tuli seperti sahabatnya - Tuah yang sanggup lagi sujud menyembah, meskipun pernah diperintah¬kan hukum bunuh ke atasnya. Ali Aziz sebenarnya bukanlah cuba untuk menukar hakikat sejarah, tetapi perspektifnya itu jelas memberikan gambaran kesedaran yang timbul di kalangan generasi baru zaman merdeka waktu itu karya Ali Aziz itu pertama kali ditulis dalam bentuk 'sandiwara radio' pada awal tahun 1958 dengan judul "Tragedi Hang Jebat". Penyair dan pengkritik terkenal, Kassim Ahmad juga pernah memperlihatkan suatu tafsiran yang sama berhubung dengan tragedi yang berlaku dalam sejarah kepahlawanan bangsa Melayu. Pandang¬an dan pemikiran Kassim Ahmad dalam konteks ini dapat dilihat dengan lebih terperinci dalam bukunya, Perwatakan dalam Hikayat Hang Tuah (1964).


Pada tahun 1968, Usman Awang pula menghasilkan sebuah drama berjudul "Matinya Seorang Pahlawan" (dalam kumpulan Tamu di Bukit Kenny ) yang juga mengangkat peristiwa yang sama seperti yang dikemukakan oleh Ali Aziz. Di tangan Usman Awang, watak Jebat lebih ketara diprotagoniskan, malah diberikan gambaran sebagai wira sebenar. Sekurang-kurangnya Usman Awang cuba menggambarkan watak Jebat sebagaimana yang diinginkan generasi baru dalam masyarakat Melayu selepas merdeka. Seperti mana kata Hang Jebat:

"Tetapi, Tuah, percayalah kataku ini bahawa keturunan kita yang akan datang, titisan darah dan anak cucu yang bakal lahir atas kemahuan ibu dan ayah mereka
atas kehendak seorang lelaki dan seorang perempuan akan menyesali ketaatan kau yang berlebih-lebihan.... ("Matinya Seorang Pahlawan",1968, hlm 110)

Selain daripada karya-karya yang dibicarakan di atas, trdapat beberapa buah lagi drama sejarah atau berunsur sejarah yang diterbitkan dalam dekad 60-an ini. Antaranya ialah Tragedi Tun Hamzah karya Hassan Ibrahim (1964), Gugurlah Melati Pujaan Tumasek (1960) karya Atan Asli, Lembing Awang Pulang ke Dayang (1963) dan Seri Kaduk atau Gugurnya Sekuntum Mawar (1964) - kedua-duanya ciptaan Ariffin Nur. Beberapa buah lagi seperti Jeragan Budiman (1960) karya Ishak Ismail, Puspa Sari (1964) karya Nas Achnas, dan Lela Satria (1963) karya Rawan Hiba lebih merupakan cerita rekaan semata-mata yang dikenali pada waktu itu dengan istilah 'purbawara'.

Di antara 'cerita rekaan semata-mata' yang paling popular dalam sejarah perkembangan drama Melayu ialah Anak Nazar Tujuh Keramat (1966) ciptaan Kalam Hamidi (Abdul Malik bin Abdul Hamid). Kalam Hamidi pula adalah di antara penulis dan penggiat drama yang paling aktif di atas pentas, terutamanya di tahun-tahun akhir dekad 50-an dan 60-an. Kegiatan Kalam Hamidi yang berasal dari Melaka ini sudah bermula di Singapura sejak tahun 1956 lagi. Beliau bergiat bersama-sama kumpulannya, 4PM (Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu Singapura) yang pada waktu itu sentiasa 'berlawan-lawan' mementaskan drama dengan sebuah lagi kumpulan yang tidak kurang aktifnya - Persatuan Seriwana. Daripada sejumlah naskhah lakon yang dihasilkan oleh Kalam Hamidi, hanya Anak Nnzar Tujuh Keramat dapat disebut sebagai dramanya yang terkuat. Selain daripada Si Bongkok Tanjung Puteri karya Shaharom Husain, Anak Nazar Tujuh Keramat adalah di antara sandiwara yang paling popular dan banyak kali dipentaskan di Singapura dan Malaysia, teruta¬manya di tahun-tahun 60-an. Malah, di tahun 70-an pun karya Kalam Hamidi itu masih dikerjakan oleh peminatnya dalam pelbagai bentuk dan judul yang berlainan pula. Hingga dalam satu pementasan pada tahun 1974 (dengan judul "Debat"), pengkritik Krishen Jit yang menontonnya menganggap karya Kalam Hamidi itu seperti "tidak terasa drama itu dicipta awal tahun 60-an kerana gaya ciptaan dan gaya permainannya tidak berapa berbeza dengan teater kontemporari" ("Teater Moden Malaysia - Satu Esei Retospektif", Dewan Sastera, Mac 1979). Namun, alasan yang diberikan oleh pengkritik tersebut dilihat daripada'gaya permainannya', dan bukan 'gaya ciptaannya'.


Sebagai sebuah cerita rekaan yang "tiada berjejak di bumi sejarah, kononnya berlaku dalam zaman entah berantah", Anak Nazar Tujuh Keramat masih jelas membawa nada romantis (misalnya dengan adegan berpantun) serta sifat-sifat sandiwara atau bangsawan yang ketara. Antaranya Kalam Hamidi menyarankan acara tarian sepenuhnya dalam salah satu daripada adegan drama tersebut. Apa yang menarik pada Anak Nazar Tujuh Keramat ialah persoalan-persoalan yang ditimbulkannya tidak pernah disentuh oleh pengarang-pengarang drama yang terdahulu. Kalam Hamidi dengan beraninya cuba berbicara tentang pelaksanaan undang-undang Islam mengikut hukum yang sebenar; seperti mencuri dipotong tangan, berzina direjam sampai mati dan membunuh dihukum bunuh. Untuk meng-utarakan tema akhlak menurut lunas-lunas Islam itu, Kalam Hamidi mengetengahkan watak khalifah (pemimpin) yang me¬mentingkan diri sendiri dan menyalahgunakan kuasa yang diamanahkan. Pendidikan agama yang diterima oleh Kalam Hamidi dipercayai mendorong beliau menulis sebuah drama dengan persoalan-persoalan sedemikian rupa.


Drama-drama sejarah atau berunsur sejarah yang terhasil di tahun-tahun awal dekad 60-an ini terutamanya, tidak syak lagi telah meletakkan suatu asas yang kuat dalam perkembangan penciptaan drama Melayu moden. Bentuk ini, yang umumnya dikenali sebagai sandiwara pada waktu itu, merupakan satu usaha pengukuhan oleh pengarang-pengarang berkenaan ke arnh bentuk moden dalam erti kata sebenarnya, apabila drama realistik dimantapkan lagi. Jelas terlihat usaha-usaha pengarang drama sejarah atau sandiwara ini yang seolah-olah cuba menghubungkan tradisi bangsawan yang tidak mcmentingkan naskhah bertulis itu dengan bentuk moden seperti yang kita kenali pada hari ini. 'Hubungan' itu pula bukan semata-mata dari segi bentuknya, malah dari segi persoalan dan tema yang diungkapkan juga.

-------------------bersambung

Comments