Sasterawan Negara Arena Wati


Arena Wati
Sasterawan Negara Ke-5 (1987)


Arena Wati

MUHAMMAD BIN ABDUL BIANG @ Andi Muhammad Dahlan bin Andi Buyung atau nama penanya Arena Wati, Duta Muda dan Patria dilahirkan pada 30 Julai 1925 di Kalumpang Kabupatan, Jeneponto, Makassar, Indonesia. Beliau mendapat pendidikan awal di Hollands Indische School (HIS), iaitu sebuah sekolah Belanda di Makasar, kemudian di Meer Uigebreid Lager Onderwijs (MULO) dan Hoogere Burger School (HBS) yang diteruskan semasa beliau menjadi pelaut. Beliau dapat menamatkan pengajiannya di Sekolah Menengah Atas, Makasar pada tahun 1953 selepas terhenti semasa perang meletus. Kehidupan beliau sebagai pelaut bermula pada tahun 1945 di bawah pimpinan Kapten Muhammad, Kapten Affandi dan Kapten Mukmin.

Pengalaman kerjaya Arena Wati bermula sebagai kelasi kapal, sidang penerbitan majalah dan akhbar di Harmy dan Royal Press di Singapura, Penerbitan Melayu Ltd. Johor Bahru, Percetakan Light di Brunei, Pustaka Antara Kuala Lumpur, pegawai penyelidik di Yayasan Sabah, Karyawan Tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia (1985-1989) dan di Dewan Bahasa dan Pustaka (1989-1990), fellow di pelbagai universiti antarabangsa seperti di Universiti Cornell, Amerika Syarikat (1983-1984), di Universiti Leiden (Februari – Jun 1984), dan di Universiti Kyoto, Jepun (Julai 1984 – Januari 1985).

Arena Wati menelusur dunia penulisan dengan menghasilkan novel, cerpen, puisi dan wacana yang mencakupi pelbagai ilmu tentang kehidupan. Beliau melontarkan idea, menyuarakan pandangan dan membangkitkan kelesuan berasaskan pena di tangan dan lembaran kertas. Ketika itu lahirlah karya beliau berjudul Kisah Tiga Pelayaran yang diterbitkan di Singapura pada Tahun 1959.

Kerjaya awalnya dalam bidang penerbitan bermula apabila bertugas sebagai editor (Oktober 1954-Oktober 1957) bagi majalah-majalah terbitan Royal Press seperti Hiboran dan Hiboran Filem dan Harmy di Singapura. Kemudian Arena Wati menjawat jawatan Timbalan Pengurus Percetakan Penerbit Melayu Limited (November 1957-Julai 1961) di Johor Bahru dan seterusnya bertugas sebagai editor di Pustaka Antara Kuala Lumpur selama 12 tahun (Oktober 1962-Januari 1974).

Pengalamannya yang luar biasa sebagai pelaut banyak memberinya ilham dalam berkarya dan meningkatkan lagi kemampuan beliau dalam bidang penulisan khasnya untuk menghasilkan novel dan cerpen yang baik. Kerjaya beliau di laut lepas bermula sebagai kerani muatan dan kewangan perahu penisi (Mei 1942-April 1943) yang berpangkalan di Singapura seterusnya menjadi nakhoda (Mei 1943-Ogos 1945). Kemudian beliau bertugas sebagai taikong kapal kayu (Januari 1946-Mei 1948), jurumudi (Jun 1948-April 1950) dan nakhoda panisi di sekitar perairan Sulawesi-Makasar yang berpangkalan di Makasar. Kerjaya terakhir beliau di lautan ialah sebagai Pegawai Perancang Harian Dinas Angkutan Angkatan Darat Teritorium VII (Januari 1952-Jun 1954) di Makasar yang mengelola pengiriman pasukan dan logistik dari Makasar ke seluruh Sulawesi, Bali, Kalimantan Timur, Nusa Tenggara, Maluku Selatan dan Maluku Utara.

Pada 1974, Arena Wati yang telah pun menjadi rakyat Malaysia, ditawarkan pekerjaan sebagai Pegawai Penyelidik, merangkap Ketua Jabatan Perancangan dan Penyelidikan di Yayasan Sabah. Jawatan ini disandangnya selama 12 tahun. Di Yayasan Sabah, beliau telah membangunkan sebuah perpustakaan yang kini boleh dianggap sebagai sebuah perpustakaan umum yang cukup baik di Sabah. Ketika bekerja di Yayasan Sabah ini, beliau telah diberikan fellowship untuk menjalankan penyelidikan di Amerika Syarikat, Holland dan Jepun antara Ogos 1983 hingga Januari 1984. Dalam rangka menjalankan penyelidikannya ini, beliau telah dilantik menjadi Felo oleh Universiti Cornell di Amerika Syarikat, Universiti Leiden di Holland, dan Universiti Kyoto di Jepun. Peluang tersebut dimanfaatkan sepenuhnya, dan pandangan dunianya menjadi lebih terbuka sehingga menjadikannya seorang sasterawan Melayu yang mempunyai sudut pandangan global dan universal. Hasil daripada pengalamannya di Universiti Cornell, Leiden dan Kyoto ini telah lahir tiga buah novel yang memaparkan pandangan seorang Melayu dari dunia Timur terhadap pelbagai peristiwa di Amerika Syarikat, Holland dan Jepun.

Arena Wati menerima anugerah daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Setelah menamatkan perkhidmatannya di Yayasan Sabah, beliau dilantik menjadi Karyawan Tamu dan pensyarah di Fakulti Sains Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia, cawangan Sabah, antara Mac 1986 hingga April 1988. Setelah itu beliau dilantik pula sebagai Karyawan Tamu di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi, hingga April 1990.

Arena Wati menumpukan penulisan kreatifnya dalam genre novel, cerita pendek (cerpen), kajian sastera, esei dan puisi. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan sebanyak 24 buah novel, 87 buah cerita pendek, 6 buah antologi cerpen, 23 esei dan kritikan sastera, 9 buah buku kajian sastera, 12 buah puisi dan sebuah autobiografi. Jika dijumlahkan bilangan halaman kertas hasil tulisannya yang telah diterbitkan, jumlahnya ialah kira-kira 18,000 halaman.

Cerpen pertamanya yang bertajuk “Impian dan Kenyataan” diterbitkan oleh majalah Pedoman Rakyat pada tahun 1952. Sebahagian besar daripada cerpennya telah diterbitkan dalam enam buah antologi. Beberapa buah cerpen Arena Wati juga telah memenangi hadiah tertentu.

Dalam bidang penulisan esei, kritikan dan kajian sastera, Arena Wati terlibat dalam wacana akademik secara serius. Penulisan beliau memperlihatkan daya kesarjanaan dan intelek yang tinggi kerana keupayaannya mengupas pelbagai isu kesusasteraan Melayu dan antarabangsa secara teoritis dan berparadigma tertentu.


Sebagai seorang sasterawan dan pengkaji sastera Melayu yang serius, hasil usaha Arena Wati diiktiraf di peringkat antarabangsa. Ketika menjadi felo di Universiti Cornell, beliau diterima dengan penuh hormat oleh para ilmuan Amerika Syarikat yang mempunyai kepakaran dalam kajian Melayu dan Nusantara. Dalam novelnya Bunga Dari Kuburan (1987), yang mengisahkan pengalamannya di Amerika Syarikat, Arena Wati turut menukilkan perwatakan beberapa orang profesor Barat yang dikenalinya ketika itu. Dalam novel ini, jalan pemikiran dan sikap para cendekiawan Barat tersebut, dan pemikiran para pelajar siswazah dari Asia Tenggara yang berada di Universiti Cornell ketika itu, diadun ke dalam satu naratif fiksyen pasca kolonial dan pascamoden yang cukup baik. Dalam novelnya Kuntum Tulip Biru (1987), Arena Wati membawa pembacanya ke dalam kehidupan dan pemikiran beberapa orang intelektual Eropah yang bertugas di universiti Leiden. Menerusi novel ini, naratif pasca kolonialnya cukup mendalam, dengan menyingkap kembali sejarah penjajahan Belanda terhadap Indonesia. Dalam novelnya Sakura Mengorak Kelopak (1987), Arena Wati menyingkap beberapa aspek sistem nilai masyarakat Jepun. Turut dinaratifkannya ialah perubahan yang berlaku dalam sistem nilai masyarakat tersebut yang membawa kepada terjadinya emansipasi wanita Jepun.


Menerusi novelnya Sukma Angin (1999), Arena Wati membawakan naratif pascamoden, iaitu satu kondisi sosiobudaya pelbagai kumpulan etnik dan ras yang terdapat di kalangan komuniti pelaut di Nusantara, pada zaman akan terjadinya Perang Dunia Kedua. Menerusi kisah kehidupan sebuah kapal dagang milik orang Melayu yang bernama Sukma Angin ini, Arena Wati menobatkan prinsip hidup saling bantu-membantu dalam kondisi budaya Nusantara yang plural ketika itu. Menerusi nukilannya ini, kita dapat mengesan tanggapan teoritis Arena Wati bahawa kepelbagaian etnik, ras dan budaya adalah asas yang melahirkan kondisi pascamoden, dahulu dan sekarang. Ini adalah tanggapan pascamoden yang lebih realistik daripada sudut pandangan budaya Melayu Nusantara.

Pada tahun 1975 beliau telah dianugerahi pingat Ahli Mangku Negara oleh Yang Dipertuan Agung, bagi pihak Kerajaan Malaysia. Pada 1985 beliau menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) oleh Paduka Raja Thai, di Bangkok, Thailand. Pada tahun 1988 beliau dikurniakan Anugerah Sasterawan Negara oleh Kerajaan Malaysia. Pada awal tahun 2003 ini, Sasterawan Negara Arena Wati telah dipilih sebagai pemenang Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (Hadiah MASTERA).


Beliau banyak memenangi hadiah sayembara sastera. Antaranya ialah hadiah sagu hati Peraduan Mengarang Novel anjuran DBP (1962) menerusi novelnya Lingkaran, pemenang tempat ketiga menerusi Sandera dalam Peraduan Mengarang Novel sempena 10 Tahun Merdeka. Novelnya Panrita pula dipilih sebagai pemenang Hadiah Karya Sastera Malaysia 1992/1993, dan novelnya yang terbaharu Sukma Angin memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1998/99. Manakala cerpen beliau “Wisata” terpilih memenangi Hadiah Karya Sastera 1971, “Bukan Satu Jalan ke Mekah” dan “Alun Menggulung Perlahan” memenangi Hadiah karya Sastera 1972.

Hasil kerja keras dan penulisannya yang tidak pernah jemu, Arena Wati telah menerima beberapa anugerah seperti SEA Write Award, Thailand (1985); Anugerah Sasterawan Negara, Malaysia (1987); Anugerah MASTERA 1, Brunei (2003); dan Anugerah Doktor Persuratan, Universiti Kebangsaan Malaysia (2003). Beliau juga pernah menjadi Karyawan Tamu di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBBKM), Universiti Kebangsaan Malaysia (Februari 1986-Mei 1990). Sebelum itu, beliau pernah menjadi felo di University of Cornell, Amerika Syarikat (Julai 1983-Januari 1984); University of Leiden, Holland (Februari-Jun 1984); dan University of Kyoto, Jepun (Julai 1984-Januari 1985).

Arena Wati meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia pada 25 Januari 2009.


Antara Karya Arena Wati

1. Kisah Tiga Pelayaran (1959)
2. Lingkaran (1962)
3. Sandera (1971)
4. Rontok (1980)
5. Eno (1985),
6. Bunga Dari Kuburan (1987)
7. Kuntum Tulip Biru (1987)
8. Sakura Mengorak Kelopak (1987)
9. Syair Pangeran Syarif (1989),
10. Syair Pangeran Syarif Hasyim Al-Qudsi (1989),
11. Syair Perang Cina Di Monterado (1989),
12. Burung Badai (1990),
13. Turina (1991)
14. Citra (1991).
15. Memoir Arena Wati Enda Gulingku (1991),
16. Ombak Samudera(1992),
17. Meniti Kala (1993),
18. Panrita (1993),
19. Sudara (1994),
20. Mevrouw Toga (1995),
21. Begawan (1996),
22. Koleksi Terpilih Arena Wati (1996),
23. Sukma Angin (1999),
24. Getar-Getir Maya Kumpulan Cerpen (2000),
25. Trilogi Busa (2002).
26. Armageddon (2004),
27. Kutukan Dari Langit (2004),
28. Langkah Pertama Kumpulan Cerpen Awal 1954-1959 (2004),
29. 7 Tegak Bersama (2005),
30. Warna Sukma Usia Muda (2005)
31. Cakra Waruga (2006).

klikweb


Pencapaian Arena Wati

  • SEA Write Award (1985)
  • Anugerah Sasterawan Negara (1987).
  • Sukma Angin (1999) memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1998/99.
  • "Anugerah Penulisan Asia Tenggara 1985" (SEA Write Award) daripada Paduka Raja Thai
  • Pemenang Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (Hadiah MASTERA) 2003.



GEMA HARAPAN
Dari Sarang Tua Kami*

Syukur Alhamdulillah!!! Dua hari yang lalu pada jam sepuluh malam 13 haribulan Jumadil Akhir 1425 Hijrah bersamaan dengan 30 Julai 2004, umur saya sudah genap 79 tahun. Dengan demikian, maka pada hari ini, sudah dua hari usiaku memasuki tahun yang ke-80. Saya syukuri kurnia usia dari Allah dan tetap mengharapkan petunjuk dan keredhaanNya. Saya pun tidak lupa berterima kasih yang tidak terhingga kepada isteriku, Hajjah Halimah binti Sulong; atas cinta, kasih sayang, dengan dharma bakti, kesetiaan, kesabaran, kerelaan, galakan dia, dan yang terutama sekali, layanannya kepada diri saya yang selalu dia curahkan pada saya; dalam rumah tangga, dan pengembaraan kami ke antero dunia – kecuali Afrika.

Pengembaraan kami itu; melalui laut, melalui udara, dan berjalan atas permukaan bumi antara benua. Kami sentiasa berdua; bagai telur sebandung menjelajahi kota, desa, pantai, lembah dan gunung, di dalam dan luar negeri.

Kami berdua secara semangat dipertemukan dalam cita-cita.
Kami berdua secara ideal terjalin sebagai sahabat.
Kami berdua secara insaniah terikat sebagai kekasih.
Kami berdua secara spiritual membuhul ikrar diri dalam cinta.
Kami direstui ibu-bapa dan disatukan, berpadu suami-isteri.

Dalam bentuk disatukan, dan dalam sifat yang berpadu itulah kami ini dalam umur muda hingga kepada usia tua kini, bagai sepasang helang. Dulu bagai bertolak dari titik nol, pada ranting tanpa daun. Kami berdua sepantun mengirai sayap terbang kepada zaman haridepan dengan bekalan azam dan harapan, semoga Allah Subhanahu wa Ta’ala mengurniai kami kudrat dan iradatNya. Semoga kami diredhai membina sarang hari mendatang, untuk kami eram telur zuriat kami yang akan lahir, dan kelak akan berjasa kepada pohon Nusantaranya, meneruskan darma berpedoman iman, terbang menabur baka ta’budi, menanam benih ta’quli, dan menyebarkan buah ‘amali!!!

Syukur Alhamdulillah!!! Juga terima kasih kepada ibu-bapa kami, dan seluruh keluarga kami, kepada guru kami, jiran-jiran kami dan handai taulan kami, para teman sejawat dan sahabat selapangan kami. Terima kasih kepada masyarakat tempat kami tumbuh dan kepada Negara tempat kami hidup.

Kami inilah kini, sepasang helang tua.

Sudah dikurniai enam anak, lima menantu, tapi baru sepuluh cucu. Anak & menantu itu; sudah , dan sedang berkembang dalam kerjaya. Cucu kami; sudah, sedang, dan masih akan tumbuh dalam pelajaran. Maka kami inilah sepasang helang tua, sudah bersayap lemah dengan bulu lusuh, tidak gagah lagi terbang melanglang-buana seperti dulu. Sebagai helang usia tua, kini hanya mampu menerawang dari sarang tuanya dengan mata rabun dan penglihatan kabur dengan ingatan yang makin pudar, kepada seluruh penjuru dunia realita sambil berusaha merenung kepada liku-likunya alam transcendence, dengan pertolongan penglihatan dari hati nurani.

Sebagai sepasang helang tua yang sekadar bersemayam dalam sarang tua; maka yang ada pada kami ini, sekadar kekayaan harapan dan ketinggian cita-cita semoga anak-anak dan para menantu kami, terus berkembang dalam budi-daya bangsa dan negara kita se-Nusantaraya, yang semoga diredhai ke arah, dan tiba kepada Baldatun – Tayyibatun – Rabbun Ghafur!!!

Kebanggaan apajuga lagikah yang melebihi rasa bangganya sepasang helang tua apabila didatangi ke sarang tuanya oleh anak-anak dan menantu, dan mereka itu semua harmoni, sehat, dan dalam kehidupan sejahtera?

Kebahagiaan apa lagikah yang melebihi bahagia sepasang helang tua apabila menerima kedatangan cucu ke sarang tua dan melihat cucu sejahtera dan riang ceria, seiring ganding dengan kemajuannya dalam pendidikan?

Kebanggaan dan kebahagiaan begitu, tiada duanya.

Pun, apabila kelak pasangan helang tua sudah bersatus arwah, jasad kami ini, enam kaki di bawah tanah, perlahan-lahan lebur kembali menyatu dengan bumi. Maka ketika itu hadiah yang terafdhal dari zuriat kami dan itu semoga diredhai Allah, ialah; kalimah yang dilafazkan dengan tasdik setiap kali selesai menunaikan solat lima waktu; yang berbunyi:

‘Allahummaghfirli Waliwalidayya Warhamhuma.
Kama Rabbayani Saghira’.

Do’a begitulah – sebagai balasan kepada ibu-bapa – yang nilai nikmat dan harkat hikmahnya tiada duanya.

Putera-puteri kebanggaan kami! Dan seluruh cucu kesayangan kami! Apabila kami meninggalkan dunia ini, tiada benda dari kami yang jadi pusaka yang kalian banggakan, sebagai harta. Kerana saya dahulu, sebagai pegawai; berpegang teguh pada konsep, Arena Wati is poor, but not for sale! dan saya berporfesi sebagai pengarang idealis di Nusantara yang berpegang pada iman dan etika moral, maka hasil material dari karyaku itu walau pun sudah lebih lima puluh buah buku dan hampir dua ratus buah cerpen, itu semua tak akan mampu menampung keperluan hidupku. Itu, realiti

Tapi dari kami suami-isteri ada dua keping hati berisi selautan kasih sayang, mengandung gunung harapan, dan sentiasa membisikkan cita-cita setinggi bintang, demi keagungan, demi kamuliaan, demi kesejahteraan dan demi keselamatan bangsa Melayunya yang hidup bahagia di dalam rumah besar bernama “Nusantaraya!!!” Itu simbolis milik kami di dunia, dan itu yang kami wariskan kepadamu, menjadi pusaka. Semoga kalian teruskan!! Berbaktilah, zuriatku – sebagai titisan dan petaruh Rewata, dengan berpandu pada Qalam Allah!

Sebagai pengarang, izinkanlah saya mengutip dan itu kuungkapkan di sini, karya Eduard Douwes Dekker @ Multatuli, (lahir di Amsterdam tahun 1820) bekas Residen Lebak, di Jawa Barat. Dia simpati kepada Bumiptera, membela rakyat Indonesia. Tetapi dia dibenci dan dihukum oleh pemerintah Belanda. Salah sebuah daripada puisi itu dimuat di dalam buku dia berjudul Max Havelaar – Ladang-ladang Kopi Tuan-tuan Belanda (terbit di Jerman tahun 1860). Puisi yang saya kutip ini berjudul Saijah dan Adinda. Begini bunyinya:

AKU tidak tahu di mana aku akan mati.
AKU melihat samudera luas di Pantai Selatan
Ketika datang ke sana dengan ayahku
UNTUK membuat garam.
BILA aku mati di tengah lautan;
Dan tubuhku dilempar ke dalam air,
Ikan yu berebutan datang
Berenang mengelilingi mayatku, dan bertanya;
Siapa antara kita akan melulur tubuh yang turun ke dalam air?
AKU tidak akan mendengarnya lagi.
AKU tidak tahu di mana aku akan mati.
Kulihat rumah Pak Ansu terbakar,
Dibakarnya sendiri kerana dia mata kalap, akibat kemiskinan.
BILA aku mati dalam rumah yang sedang terbakar
Kepingan-kepingan kayu berpijar jatuh menimpa mayatku.
Dan di luar rumah orang berteriak, riuh sekali,
Melemparkan air pemadam api.
AKU tidak akan mendengarnya lagi.
AKU tidak tahu di mana aku akan mati.
Kulihat si Unah kecil jatuh dari pohon kelapa,
Waktu dia memetik kelapa untuk ibunya.
BILA aku jatuh dari pohon kelapa;
Mayatku terkapar di pangkalnya dalam semak,
Seperti si Unah,
Maka ibuku tidak akan menangis,
Kerana dia sudah tiada.
Tapi orang akan berseru, riuh sekali
Dengan suara yang keras:
Lihat, Saijah mati, di sana!!!
AKU tidak akan mendengarnya lagi.
AKU tidak tahu di mana aku akan mati.
Kulihat mayat Pak Lisu,
Yang mati kerana tuanya,
Sebab rambutnya sudah putih.
BILA aku mati kerana sudah tua,
Beramput putih,
Perempuan meratap sekeliling mayatku;
Dan mereka akan menangis keras-keras,
Seperti perempuan menangisi mayat Pak Lisu;
Dan ratap cucu-cucunya, riuh sekali.
AKU tidak akan mendengarnya lagi.
AKU tidak tahu di mana aku akan mati.
Banyak orang mati kulihat di Badur.
Mereka dikafani dan ditanam di dalam tanah.
BILA aku mati di Badur,
Dan aku ditanam di luar desa,
Arah ke timur, di kaki bukit,
Dengan rumputnya yang tinggi.
MAKA Adinda akan lalu di sana,
Tepi sarungnya perlahan-lahan mendesir,
Menggeser rumput.
AKU akan masih mendengar desirnya.

Sekarang, kepada para sahabat akrab, teman-teman ikhlas yang ada di sini dan yang sehubungan dengan karya-karya saya yang baru saja terbit itu, dan ada di hadapan anda sekarang. Kepada saudara-saudara – dari Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, dan dari Dewan Bahasa dan Pustaka.

Menurut pengalaman dan juga pendapat saya, bahasa manusia, terlalu miskin. Belum ada suatu pun bahasa dalam dunia, yang mampu menampung seluruh keinginan kita, untuk mengungkapkan kata yang benar-benar sesuai dan tepat dengan maksud yang terkandung dalam kepala, dan perasaan yang menggejolak dalam dada. Begitulah jahilnya saya! Maka saya belum mampu mengungkapkan terima kasih saya yang terlengkap kepada saudara-saudara.

Kerana saya lelaki, maka saya tidak tahu, bagaimanakah rasa bahagia yang dialami seseorang wanita setelah selamat melahirkan anaknya. Sekadar sebagai pengarang, saya sudah alami maka tahulah; betapa murni, halus dan beningnya; bahagia yang kurasa, setiap kali menerima karya saya yang baru terbit. Bahagia itu adalah jasa mulia dari saudara-saudara kepada saya.

Wanita mengandung sembilan bulan dan sepuluh hari, dan selama itu merasa resah, khuatir. “Akan selamatkah anakku? Akan selamatkan diriku?”

Bagi pengarang, semenjak karyanya mulai difikirkan, itu ada kalanya bertahun-tahun lamanya barulah ditulis, lalu ada kalanya, itu bertahun-tahun pula lagi barulah diterbitkan. Maka selama itu pulalah dia dalam gelisah dan khuatir, dengan gema pertanyaan dalam hati, “Akan diterbitkan karyaku?”

Seseorang wanita mampu melahirkan anaknya dengan bantuan bidan, jururawat dan doktor, di hospital.

Seseorang pengarang karyanya diterbitkan setelah itu melalui peranan rumit, dan tugas berat; bagi pegawai pengurusan, dan editor pada penerbit.

Saudara-saudara; sebagai pengurus, pegawai, dan editor di penerbitan, andalah yang telah bertungkus-lumus menolong saya menerbitkan karyaku.

Andai saya bukan novelis Malaysia, tapi novelis Japun, maka tempat saudara-saudara dira’ikan pengarang bukan dalam gubuk kecil, serba kurang seperti ini, tapi dewan bankuasi hotel berbintang lima, atau berbintang tujuh. Malangnya bagi saudara-saudara kerana Malaysia bukan Japun. Setiap karya fiksi Ariyoshi Sawako di Japan, naskhahnya sejuta dan habis dalam masa satu tahun. Novel yang bermutu di Malaysia kini, edisi pertamanya, sekitar dua, atau tiga ribu. Itu belum tentu habis dalam masa lima tahun. Kenapa begitu?

Orang Jepun tidak tahu pun Qur’an yang ayat pertamanya diturunkan menyuruh orang membaca. Walau pun demikian – tanpa tahun Qur’an, tetapi tiap hari orang Jepun membaca karya fiksi yang bermutu; dalam perjalanan, dan di rumah. Kerana mereka arif, sastera bermutu, mengasah budi pekerti.

Orang Melayu di Malaysia itu Islam, dan tahu maksud ayat pertama diturunkan dalam Qur’an itu. Tapi umumnya orang Melayu sekarang ini malas membaca. Mereka abai mencanai budi dengan gurinda karyasastera bermutu.

Dari tahun 1949 ke tahun 1970 di negara ini sebuah saja universiti dan Sekolah Menengah Kebangsaan hanya beberapa buah dan itu belum lengkap perpustakaannya, sebagaimana dengan Sekolah Menengah Kebangsaan yang sekarang. Tapi dahulu itu, kami cetak karya fiksi minimum 5000 naskhah dan umumnya mengalami ulang cetak pada tahun kedua atau tahun ketiga.

Dari kalangan kami; yang selenggerakan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, golongan kami yang mempelopori Gerakan Lampu Suluh – supaya orang Melayu menyekolahkan anaknya, golongan kami dulu, yang selenggerakan Majlis Pelajaran Melayu, golongan kami, yang bertungkus-lumus selenggarakan Kongres Bahasa Melayu I sehingga ke III, golongan kami dulu, yang menyelenggarakan Kongres Kebudayaan Kebangsaan I, dan II, golongan kami, menyelenggarakan Kongres Pelajaran Kebangsaan, awal tahun 1970an; golongan kami itulah semua mengharap dan amat yakin, apabila sekolah menengah sudah banyak, dan lengkap peralatannya, apabila universiti sudah banyak; majoriti guru yang mengajar di sekolah menengah, lulusan dari universiti, maka ketika itulah, Bahasa Melayu semkin kukuh, dan berkembang pesat, sesuai dengan makna: Bahasa Jiwa Bangsa. Dengan kemudahan pendidikan lengkap begitu, maka penerbitan buku; karya sastera, dan karya ilmiah, pastilah meningkat bilangan judul dan bertambah bilangan naskhahnya setiap edisi.

Alhamdulillah! Kerajaan Malaysia memenuhi keperluan pendidikan!! Bangunan sekolah dan guru, kompleks kampus universiti dan pensyarahnya. Tetapi buku-buku ilmiah kurang dibaca. Karya sastera bermutu tak ditoleh.

Dalam konteks ini – sebagai helang tua, saya hanya mampu bertanya; otak anak muda kita akan berisi apa, kalau bukan dari kandungan buku-buku ilmiah? Kalbu dan nurani anak-anak muda kita akan dicanai dengan apa dan akan diasah bagaimana, kalau bukan gurinda dari karya sastera bermutu?

Dalam suite room saya di Bay View Hotel Langkawi – dibayar Dewan Bahasa dan Pustaka – pada tahun 2000, saya didatangi teman lama, guru tua, sudah bersara. Dia lulusan dari Maktab Sultan Idris – Tanjung Malim. Kami berbual ihwal pendidikan, kebudayaan, bahasa Melayu, buku-buku ilmu dari Penerbitan UKM dan dari DBP, serta pasaran karya sastera yang bermutu.

Kesimpulannya, dia berkata kepada saya secara sarkastis:

“Perlukah kita bangunkan Sekolah Monyet, supaya Monyet Malaysia pandai dan rajin membaca? Siapa tahu kelak kalau monyet itu dibandingkan dengan orang dan didapati monyet lebih ta’ati perintah Allah yang berbunyi:

“Bacalah! Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan!”

Kerana umur saya sudah lanjut maka mungkin saya tidak akan sempat menunggu sehingga ada laporan dari UNESCO; Monyet di Malaysia pandai dan rajin membaca. Kerana itulah, biar saya segera nyatakan di sini dengan seikhlas hati terima kasih saya kepada UKM dan DBP. Terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, sebagai ri’ayah yang menangungi DBP dan UKM itu. Syukur Alhamdulillah!!! Kerana sejak negara kita ini merdeka karajaan kita Malaysia ini terus memacu dan mendukung usaha peningkatan mutu karya sastera melalui Dewan Bahasa dan Pustaka, dan di Universiti, terutama yang saya tahu, di Universiti Kebangsaan Malaysia. Maka dengan lafaz Bismillah:

Sertai saya bergembira melancarkan karyaku; Trilogi Armageddon dari Penerbit UKM; bersama karya drama saya Kutukan Dari Langit dan antologi cerpen saya Langkah Pertama dari Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wabillahittaufig walhidayah!!!
Arena Wati.
_____________________________

*Wacana ini untuk acara pada hari Ahad 1-8-2004, kerana menyambut hari ulang tahunku yang ke-79, dan melancarkan buku-buku fiksi karyaku: Dari DBP: drama Kutukan Dari Langit, dan antologi cerpen Langkah Pertama, dari Penerbit UKM: novel trilogi: Armageddon: Jilid I. Mandala Jilid II dan Jilid Pentagon.

gema harapan



Pelaut jadi sasterawan
Oleh ROOSFA HASHIM

ARENA Wati, Halima dan enam anak mereka pada 20 Januari 1965.

Arena Wati meninggalkan untuk kita berpuluh-puluh karyanya dalam bentuk novel. Allahyarham akan tetap diingati dengan karyanya yang kuat seperti Sandera dan Lingkaran. Ciri utama yang selalu diangkat dalam beberapa karyanya yang awal ialah kecenderungannya menyuntik semangat nasionalisme ke arah kemerdekaan, menyisipkan semangat perjuangannya yang kental terutama pada wataknya sendiri sebagai pelaut serta menyelitkan jati diri Melayu.

Siapakah Arena Wati sebenarnya? Untuk siapa Allahyarham belayar merentas samudera luas dan ombak ganas di seluruh kepulauan Nusantara? Apakah yang dimuatkan dalam Sorga Bone, kapal Bugis yang nakhodanya ialah Andi Mohallan bin Andi Beang. Dalam kad Angkatan Muda Pelaut Republik Indonesia, namanya dicatatkan sebagai Muhalan. Yang kemudian apabila naik ke darat dikenali pula dengan nama Arena Wati.

Arena Wati baru berusia 17 tahun sewaktu menjadi nakhoda Sorga Bone dengan dibantu jurumudi, jurubatu bersama kelasi yang kesemuanya 21 orang. Mereka berpangkalan di Semarang dan belayar ke Pontianak, Pemangkat (Kalimantan Barat), Palembang, Tanjung Karang (Sumatera Selatan) dan Singapura. Allahyarham dan anak buahnya bukan sahaja belayar sambil mengelak terumbu karang tetapi juga periuk api dan peluru berpandu dari kapal selam tentera bersekutu terutama di Selat Melaka, Selat Sunda, Selat Karimata (di perairan Kalimantan Barat) dan Laut di sekitar Pulau Natuna dan di Laut Jawa sendiri.

Kepimpinan Arena Wati yang muda belia dihormati kerana reputasi ayah dan datuknya, Abdul Fatah yang terkenal sebagai nakhoda terbilang. Darah pelaut mengalir deras sepanjang pembuluh darah dan salur nadinya. Allahyarham juga dikenali sebagai cucu Abdul Rahman Imam Kalumpang yang alim dan warak. Bahkan Arena Wati sendiri bekas pengakap Hisbulwatan yang berpegang teguh kepada rukun iman yang lima. Bermodalkan semua inilah meletakkan Arena Wati sebagai nakhoda yang dihormati dalam kalangan kelasinya yang meninggalkan anak isteri dan singgah dari pulau ke pulau dengan pelbagai cabaran dan godaan.

Semasa Perang Dunia Kedua, Arena Wati disyaki menjadi agen tentera Bersekutu. Kepada tentera Jepun, Muhalan ialah nakhoda kapal yang bekerja untuk tentera Bersekutu, belayar di Nusantara sambil singgah ke kapal selam tentera bersekutu menyampaikan maklumat bagi menyusun strategi memerangi Jepun.

Sewaktu Sorga Bone masuk ke Semarang dari Singapura kapal itu diperiksa kerana disyaki membawa radio dan pemancarnya untuk siaran haram di wilayah yang dikuasai Jepun. Tiga peti pakaian Arena Wati yang cantik dan mahal-mahal yang ditempah di Singapura diangkut oleh Jepun. "Orang muda tidak boleh mempunyai terlalu banyak pakaian!" bentak askar Jepun. Arena Wati menitiskan air matanya, dalam usia remaja, Allahyarham ranggi tanpa pakaian, samalah seperti burung yang dicabut bulu-bulu sayapnya.

Tahun 1944 Jepun menghadkan kapal hanya boleh membawa seratus rupiah Jawa dan seratus ringgit Malaya. Selebihnya mesti disimpan di bank. Arena Wati sedar dan yakin Jepun akan kalah dan wang di bank akan hangus begitu saja. Justeru Allahyarham ingkar dengan arahan itu. Maka semua wang tunai disimpan dalam peti di kapal. Pada Mac 1945, semasa di Pontianak kapal mereka diperiksa kerana dicurigai membawa risalah atau surat berita anti Jepun yang dikutip dari kapal selam Bersekutu di laut untuk diedarkan kepada penduduk.

Untuk mengelakkan kesemua kelasi ditahan, Arena Wati mengaku kesemua wang itu miliknya. Hampir seminggu dia disoal siasat, disepak dan diterajang serta diancam bunuh oleh Kempeitai Jepun. Allahyarham kemudian disoal tentang penglibatannya dengan gerakan bawah tanah di Kalimantan dan hubungannya dengan Menteng 31 di Jakarta. Arena Wati sedar kebanyakan mereka yang terlibat dalam kalangan kebangkitan Islam menentang Jepun di Samarinda, Banjarmasin dan di Pontianak telah ditangkap dan dibunuh, termasuklah Sultan Pontianak. Semasa Allahyarham disoal siasat bertubi-tubi Pontianak diserang oleh kapal terbang Tentera Bersekutu. Kempeitai Jepun lari bertempiaran menyelamatkan diri di lubang perlindungan. Arena Wati dengan hanya berseluar dalam pun apa lagi, lari lintang pukang di celah-celah hujan peluru dan bom kapal terbang tentera Bersekutu menyelamatkan nyawanya tanpa ada sesiapa yang peduli.

Kempeitai Jepun tidak melupakan langsung nakhoda Muhalan. Tidak lama selepas itu dia ditahan lagi, kali ini di Tanjung Pandan. Tidak ada apa yang dapat menyelamatkannya kali ini. Surat pujian daripada Jawahansen Kumiai kepadanya sebagai juragan muda yang berani menembusi laut Jawa pun tak dapat menolongnya.

Arena Wati menghadapi empat tuduhan, iaitu menyorokkan terlalu banyak emas; menyimpan terlampau banyak wang tunai yang sepatutnya dimasukkan ke bank; menjadi mata-mata musuh, iaitu orang laut Bangka-Belitung-Riau dan menyampaikan rahsia untuk tentera bersekutu. Arena Wati juga dituduh secara rahsia menjadi perantaraan orang-orang Menteng 31 dengan rakan mereka di Kalimantan, Sumatera dan Bangka-Belitung. Menteng 31 ialah rumah batu bekas kediaman pegawai kolonial Belanda yang elit, yang dijadikan pusat gerakan pemuda-pemuda nasionalis radikal Indonesia pada zaman Jepun. Cuma satu saja hukuman yang menantinya: "Potong Kapara!" (potong kepala!)

Setiap pagi Allahyarham hanya diberi makan bubur beras bercampur kacang hijau dengan ikan kering. Dalam tahanan siang dan malam sama saja. Entah berapa lama dalam tahanan Allahyarham sendiri tidak dapat menjawabnya dengan tepat. Kalau tidak lupa menghitung jumlah bubur dua kali sehari yang diberikan kepadanya tentu dapat Allahyarham menghitung jumlah hari Allahyarham disumbat ke penjara. Jam tangan Mido pemberian ayahnya tidak dikembalikan kepadanya oleh askar Jepun.

Allahyarham tidak tahu bilakah lehernya akan dipancung. Bila nyawa akan bercerai dari badan. Setiap saat dinantikan dengan rasa gentar, pasrah dan berdosa. Apabila mengantuk, Arena Wati menghitung kepingan lantai pangkin tempat tidurnya. Setiap kepingan diikuti dengan perkataan "hidup - mati - hidup - mati - hidup . . ."

Pada suatu hari (kemudian Arena mengetahui itu adalah hari ke-58 dalam tahanan) apabila piring bubur disodorkan kepadanya, dia terdengar suara berbisik "Kalau sudah makan, sebelum menyerahkan kembali kembali piring ini, lihat di belakangnya. Ada tulisan!"

"Sorga Bone siap muatan untuk Bangkok. Besok pagi belayar. Malam ini kami datang. Siap!" Itulah tulisan di belakang piring bubur itu. Arena Wati yang menghadapi saat dipancung tiba-tiba jadi gembira kalau dapat dilepaskan, bingung siapa yang akan melepaskannya, bimbang kalau rencana melepaskannya gagal. Malam itu, seperti dirancangkan, Muhalan dilarikan daripada tahanan. Dua kali Allahyarham terlepas dari "Potong Kapara!"

Perjuangan Arena Wati semasa perang penuh rahsia. Tidak siapa mengetahui dengan jelas akan sumbangannya dalam masa pemuda lain bergerak di darat. Dari mana datangnya senjata di darat kalau tidak ada yang memainkan peranan di laut? Untuk apa emas berbongkah-bongkah kalau bukan untuk menyokong perjuangan bangsanya? Di darat, Allahyarham dan keluarganya sendiri hidup serba sederhana.

Apabila Jepun menyerah kalah dan Indonesia merdeka, nakhoda Muhalan pun mengoyakkan layar kapalnya dan mudik ke pelabuhan. Allahyarham menyambung semula perjuangan menggunakan pena. Sebelum itu, semasa di Makasar, Allahyarham menulis untuk akhbar Pedoman Rakyat.

Kerjayanya sebagai penulis selepas perang bermula di syarikat penerbitan di Singapura. Allahyarham bekerja sebagai pengarang di Royal Press bersama Cikgu Harun Aminurashid dan menerbitkan majalah Hiboran. Selain itu, Allahyarham juga bekerja di Harmy Press. Allahyarham kemudiannya ke Johor Bahru dan bekerja di Penerbitan Melayu Ltd. Allahyarham memakai nama Patria dan Duta Muda tetapi kekal sebagai Arena Wati.

Maksud

Arena Wati akan dikenang kerana karya-karyanya yang kuat dan besar jumlahnya. Antara karya Allahyarham yang awal ialah Kisah Tiga Pelayaran yang terbit pada tahun 1959 di Singapura. Antara novel Allahyarham yang kuat ialah Lingkaran (1962), Sandera (1971).

Dalam karya-karyanya Arena Wati sering meletakkan harapannya pada generasi muda. Di sudut manakah lagi harapan-harapan itu dapat ditumbuhkan? Orang selalu mengeluh dan marah-marah kepada anak-anak muda kita sekarang. Bagi saya, kenapa marah? Merekalah korban jiwa semangat daripada perbuatan kita. Mereka tumbuh dari masyarakat yang kita bina. Kenapa tunggu buah padi daripada lalang?

Hasil asuhan kita, hasil pelajaran kita, hasil daripada keputusan rasmi yang dilaksanakan, maka itulah hasilnya. Dosanya pada kita, dan anak-anak muda itulah deritanya. Kitalah yang melahirkan generasi baru tidak bermotivasi itu.

Pada 1955 sewaktu mengumpul bahan untuk menulis Sandera, Arena Wati ngeri melihat genesis yang akan jadi gejala akibat keghairahan tidak menentu pada istilah politik jos soli, katanya: " kalau dasar ini diterima sebagai legitimasi yang sah, kita akan mampu membina negara yang kita cinta, tetapi pada waktu yang sama kita akan membunuh secara perlahan-lahan bangsa yang kita sayangi."

Sandera ditulis lapan hari lapan malam di Kuala Terengganu pada 1966. Waktu siang Arena Wati berjalan kaki dan menaiki beca ke seluruh pelosok bandar itu. Sebelah malam beliau bertekun dengan Sandera yang ditulisnya. Selama lapan hari di Kuala Terengganu, siap dua jilid Sandera. Manuskrip itu kemudian dipertandingkan dalam Sayembara Novel Sepuluh Tahun Merdeka pada tahun 1968 dan memenangi tempat ketiga. Pada penghujung 1970 Arena Wati terperanjat apabila menerima panggilan telefon daripada Saroja, isteri Sasterawan Negara Abdullah Hussain yang memberikan ucapan tahniah atas kemenangan Sandera di tempat ketiga, tiada pemenang pertama dan kedua.

Menurut Arena Wati, Allahyarham kemudian dinasihatkan, kononnya menurut kehendak Tun Razak, supaya watak orang Inggeris dalam Sandera dibuang semuanya dari peranan awal hinggalah ke akhir. Sebagai tanda setia, Arena Wati menurut nasihat tersebut dan mengerjakan pembetulan seperti yang dikehendaki. Tetapi, selepas itu tidak terdengar sebarang khabar berita. Tiada ura-ura majlis penyampaian hadiah. Arena Wati berasa, kemenangan Sandera seperti kelahiran anak yang tidak dikehendaki oleh penganjur sayembara itu sendiri.

Pengalaman Sandera hampir mematahkan semangat Arena Wati untuk menulis novel. Sandera hanya terbit tiga tahun kemudian pada 1971. Oleh sebab itulah dari tahun 1970 hingga 1974, Allahyarham hanya menghasilkan Eno. Arena Wati memerap Eno lima tahun sebelum menyerahkannya kepada penerbit. Hatinya betul-betul merajuk. Pada 1978 baru muncul Royan dan pada 1979 terbit Rontok. Semasa merajuk, Arena Wati cuma menulis cerpen. Pada 1972 Allahyarham memenangi hadiah Sastera melalui cerpennya Wisata dan pada 1973 dua buah cerpennya memenangi Hadiah Sastera, iaitu Alun Menggulung Perlahan dan Bukan Satu Jalan ke Mekah.

Sandera penuh dengan kisah kebangkitan rakyat Nusantara menentang penjajahan. Sebagai sebuah kritik sosial, Sandera juga mengandungi pedoman dan nasihat kepada generasi yang hidup selepas merdeka agar menghargai dan mengisi makna kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh generasi terdahulu.

Sandera memaparkan perjuangan watak Busad dan lingkungannya - sahabat-sahabat dan ahli-ahli keluarga. Semua mereka hidup dalam era yang serba mencabar serta menuntut pengorbanan harta, masa dan keluarga. Busad, seorang pelopor yang menentang Belanda telah berjaya melarikan diri daripada ditahan. Jelaslah kisah ini amat mirip dengan pengalaman Arena Wati sendiri yang dua kali hampir dipancung Kempeitai Jepun.

Demikianlah sepotong daripada babak panjang dalam sejarah hidup 84 tahun Arena Wati yang diceritakannya dalam memoir Allahyarham Enda Gulingku dan sebahagiannya daripada apa yang dikhabarkannya kepada saya. Selama hampir dua puluh tahun saya dapat menguruskan tujuh judul novel Allahyarham (enam dalam dua trilogi Busa dan Armageddon) mendedahkan saya dengan banyak pengalaman hidupnya yang sebahagiannya tidak diceritakannya dan tidak dituliskan. Setiap kali berulang alik dari rumah saya di Bangi ke rumah Allahyarham di Petaling Garden, saya membawa dan melontarkan banyak persoalan kepadanya. Kadang-kadang saya dapat merasakan Allahyarham terusik dengan soalan-soalan saya itu.

Ada ketikanya saya tidak dapat menahan perasaan ingin tahu apakah Allahyarham turut memuatkan senjata untuk disalurkan kepada pejuang kemerdekaan di seluruh Nusantara. Kapalnya belayar hingga ke pelabuhan besar di Indocina, Singapura dan pelabuhan besar lain di Nusantara. Allahyarham tidak menangkap ikan. Di kapalnya bertimbun bongkah emas dan berpeti-peti rupiah dan ringgit Malaya. Untuk apa semua itu? Apa yang dilakukannya di kota-kota besar seperti Thailand dan Vietnam atau di Singapura? Kadang-kadang Arena Wati mengalah dengan soalan yang banyak itu.

ROOSFA HASHIM, Pensyarah di Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia.

utusan online

Comments

Post a Comment