Kias Kata Usman Awang

Usman Awang berkias kata :

Segala terbuka dan segala mendamba,
dan berahi mematuk-matuk pada diri, meminta.

Itulah lagu dengan tari pada malam panjang,
senantiasa berulang pada zaman gila perang;
sedang esok segala hati dan tulisan memuji,
Inilah ‘seni’, hasil gemilang ‘seniman’ sejati!
(Lagu dan Tari)

Begitulah inti dan warna bahasa Sasterawan Negara Usman Awang yang sentiasa dalam lapis makna dan ungkap bahasa yang segar, indah dan puitis. Suasana apa pun yang dizahirkan penderitaan golonfgan marhaen, cinta seorang kekasih, rindu seorang ibu, kepayahan manusia desa, protes penjajahan, persahabatan, kemanusiaan, dan sebagainya, semua diwarnakan oleh bahasa yang teratur indah dan halus. Tak terasa herdik dan amarah yang dizahir tetapi terungkai sedar dan fikir. Bahasa yang membuat kita ingin membacanya dan menikmati.

Bukan sekadar dalam puisi tetapi menerusi cerpen atau drama, bahasanya sentiasa menunjang makna yang mengajak kita merenung dan berfikir serta ikhlas merenung makna dan usik minda yang dijelmakan sama ada untuk cinta, kasih sayang, kemanusiaan, agama, atau kritik sosialnya.

Sebagaimana bicara yang dilafazkan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr Mahathir (sekarang Tun Dr Mahathir) ketika melancarkan buku karya Sasterawan Negara Usman Awang :

Kita harus berani menyatakan sesuatu nilai yang lama itu salah atau tidak secocok dengan keperluan sekarang. Kita juga harus berani menerima hakikat bahawa dalam membentuk satu masyarakat yang baru dan progresif, kita perlu menolak mana-mana nilai yang kita rasa merugikan atau boleh menghalang cita-cita masyarakat semasa. Kita juga harus berani memberi tafsiran baru terhadap nilai-nilai lama itu seperti yang telah dilakukan dengan jayanya oleh Saudara Usman Awang di dalam beberapa buah karyanya.

 Begitulah Sasterawan Negara Usman Awang memantulkan fikir dan bicara dengan tafsiran yang baru dan megusik fikir.

Melihat ke dalam kias kata Sasterawan Negara Usman Awang terpancar bagaimana "rasa tak bersetuju" itu dicetuskan. Ia bukan dalam jerkah dan jerit yang bingit, bukan dalam laung dan gema yang melangit, tetapi disusun dalam gemalai dan santun budaya warisan Melayu. Menegur dengan hikmah dan berhemah. Mengapung bahasa yang halus tetapi tajam menikam. Marilah sekejap kita merenung kembali puisi Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandar Raya. Puisi yang membawa yang begitu berat dan menghimpit bagaimana pembangunan dan kehancuran alam sekitar.

Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandar Raya

Beringin tua di pinggir jalan raya
di sebuah ibu kota yang setengah muda
ratusan tahun usianya berdiri
menadah matahari memayungi bumi
burung-burung berterbangan menyanyi
di sini rumah mereka, di sini keluarga bahagia
kupu-kupu berkejaran dalam senda guraunya
anak-anak bermain di keteduhan perdunya

Tiba-tiba pagi yang hitam itu datang
gergasi teknologi menyerangnya
dengan kejam membenamkan gigi-gigi besi
sehingga terdengarlah jeritan ngeri
suara Beringin rebah ke bumi

Sampai sekarang, tiap senjakala lembayung petang
dengarlah suara Beringin mengucapkan pesan:

Selamat tinggal,
selamat tinggal awan
Selamat tinggal matahari selamat tinggal bulan
Selamat tinggal kupu-kupu sayang
Selamat tinggal wahai burung-burung bersarang
Selamat tinggal anak-anak bermain riang

Namaku Beringin pohon tua yang terbuang
dimusuhi oleh rancangan bernama Pembangunan

Usman Awang
Mingguan Bumi, 6 November 1982.

Protes sosialnya dibalut emosi dan pilu nasib sepohon beringin tua. Nada dan sabda sang beringin berhadap kemanusnahan dijadikan momen pedih untuk Usman Awang menjentik sanubari kita untuk berfikir seketika tentang nasib alam akibat sebuah pembangunan.

Selamat tinggal,
selamat tinggal awan
Selamat tinggal matahari selamat tinggal bulan
Selamat tinggal kupu-kupu sayang
Selamat tinggal wahai burung-burung bersarang
Selamat tinggal anak-anak bermain riang

Baris-baris di atas sudah cukup untuk menggemakan pilu dan keharuan bagaimana lenyapnya alam jika pembangunan rakus dan tak bersendikan peraturan. Nyaman tetapi halus menusuk sanubari. Sejenak kita merenung, mengimbas dan berfikir. Inilah perbezaan cara Usman Awang menafsir sesuatu dari sudut yang lebih baru dan menarik.

Selamanya kita akan merindui buah karya Sasterawan Negara.
Al-Fatihah

Beberapa catatan yang memberi intuisi segar tentang kaerya Usman Awang

usman awang

UCAPAN YANG AMAT BERHORMAT DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD, PERDANA MENTERI MALAYSIA DI MAJLIS PELANCARAN BUKU SASTERAWAN NEGARA USMAN AWANG
BERTEMPAT DI DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, KUALA LUMPUR 
PADA 24 SEPT 1987

Yang Berbahagia Datuk Hassan Ahmad, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka; Saudara Usman Awang; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian. Saya berbangga kerana diberi penghormatan untuk melancarkan dua buah buku karya Sasterawan Negara, Saudara Usman Awang pada pagi ini.

Saya percaya kedua-dua buah buku ini akan menjadi khazanah yang sangat berharga di dalam kesusasteraan kita.

2. Saudara Usman Awang adalah di antara sebilangan kecil penulis Melayu yang dibaca dengan meluas oleh pelbagai kaum di negara ini. Beliau juga adalah di antara penulis tempatan yang telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dan karya-karyanya telah banyak diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain. Ini membuktikan bahawa Saudara Usman Awang telah berjaya melampaui batas bangsa dan negara.

Tuan-tuan dan puan-puan,

3. Izinkan saya pada mulanya untuk menyentuh sedikit mengenai sastera dan sasterawan secara umum. Memang kesusasteraan milik masyarakat dunia. Pengucapan sastera tidak mengenal ras atau warna kulit. Kerana itulah sastera dapat dihayati oleh setiap orang. Karya penulis-penulis Barat misalnya dibaca oleh kita, sasterawan India dikenali oleh peminat sastera di negara ini, seperti juga novelis-novelis Afrika dan Amerika Latin dengan mudah dapat diterima oleh pembaca di sini.

4. Kita boleh bertanya dan soalan ini telah diulang beribu kali dan telah menimbulkan pelbagai tanggapan dan reaksi. Apakah agaknya matlamat sastera? Memberikan kepu asan? Berkongsi pengalaman? Menyedarkan masyarakat? Memberikan keinsafan? Atau hanya sebagai bahan untuk mengisi masa lapang? Soalan ini sampai bilapun tidak akan terjawab sepenuhnya. Setiap orang mempunyai sikap dan pemikiran yang tersendiri. Setiap sasterawan mempunyai sebab mengapa dia menulis.

5. Tetapi satu perkara adalah jelas, bahawa sastera tidak akan bermakna sekiranya sasterawannya tidak mempunyai sesuatu komitmen kepada diri atau pembacanya. Sastera tidak boleh terhasil dari satu ruang kosong. Sastera tidak akan mendapat perhatian masyarakat sekiranya ia tidak bertolak dari suara atau aspirasi masyarakat itu. Sastera yang boleh diterima umum terhasil daripada tindak-balas yang langsung di antara masyarakat dengan penciptanya. Karya yang paling eksperimental sekalipun sebenarnya merupakan reaksi, baik keresahan atau kekecewaan, seseorang sasterawan terhadap masyarakatnya. Inilah yang kita harapkan daripada para sasterawan kita iaitu karya-karya dihasilkan daripada suara dan aspirasi rakyat.


6. Di samping itu sasterawan juga harus menyedari realiti politik dan sosial kita. Sastera juga lahir sebagai percikan daripada tuntutan atau keperluan setempat dan diwarnakan pula dengan ciri atau sifat yang khusus bagi tempat di mana hasil karya itu lahir. Walaupun nasionalis kita menggunakan sastera untuk memperjuangkan kemerdekaan pada satu ketika dahulu, seperti juga pejuang kebangsaan menggunakan sastera di negara-negara lain untuk mencapai tujuan yang sama, namun terdapat perbezaan yang tersendiri daripada segi keperluan dan pendekatan sesuatu daerah atau wilayah itu. Biar apapun cita-cita sasterawan, dia tidak boleh semata-mata menolak masyarakatnya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

7. Saudara Usman Awang dikatakan telah mengubah cara kita melihat hasil sastera lama. Sajak-sajaknya berbau tradisi tetapi menampakkan suara ketegasan dan keberanian yang cukup istimewa. Kalau Saudara Usman Awang dikatakan seorang penyair romantis,mungkin pada cara berbahasa atau kelembutan gubahannya, tetapi di sebalik kelembutan itu terdapat suara keresahan dan kritikan yang tajam.

8. Kita harus sedar yang lama itu tidak semestinya kuno atau tidak penting. Sebaliknya banyak yang boleh kita pelajari dari tradisi kebudayaan, kesusasteraan dan kesenian yang silam. Jikalau kita menyingkap kekuatan dan daya cipta orang-orang yang terdahulu daripada kita dan menyesuaikannya dengan keperluan atau kehendak semasa, kita akan mendapat nilai-nilai yang ideal di dalam membina tradisi masyarakat semasa.

9. Tidak semua yang lama itu pula baik dan boleh diikuti. Ada nilai-nilai yang perlu dikikis atau dilupakan. Maka dalam usaha membina satu masyarakat Malaysia yang bermaruah dan dihormati, dan dapat diuji ketahanannya, kita harus bersedia untuk menimba yang baik dari yang silam dan mengenepikan pula nilai-nilai yang akan merugikan masyarakat.

10. Kita harus berani menyatakan sesuatu nilai yang lama itu salah atau tidak secocok dengan keperluan sekarang. Kita juga harus berani menerima hakikat bahawa dalam membentuk satu masyarakat yang baru dan progresif, kita perlu menolak mana-mana nilai yang kita rasa merugikan atau boleh menghalang cita-cita masyarakat semasa. Kita juga harus berani memberi tafsiran baru terhadap nilai-nilai lama itu seperti yang telah dilakukan dengan jayanya oleh Saudara Usman Awang di dalam beberapa buah karyanya.

11. Sasterawan tidak harus menggunakan kertas dan pena untuk menyuarakan sikap atau pemikirannya sahaja, tetapi seharusnya sentiasa peka kepada perubahan dan kecenderungan semasa dan secara aktif terlibat di dalam kegiatan-kegiatan masyarakat. Semenjak sekian lama, Saudara Usman Awang tidak hanya bergiat sebagai sasterawan tetapi turun ke gelanggang memperjuangkan nasib rakyat sebagai wartawan, budayawan dan sebagai pembela sosial.

Tuan-tuan dan puan-puan,

12. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyentuh sedikit mengenai amalan membaca di negara ini. Mungkin ianya agak terpesong sedikit daripada sastera dan sasterawan, tetapi saya rasa ini adalah satu perkara yang kita sama-sama harus fikirkan.

13. Negara-negara maju mempunyai peratusan yang tinggi di kalangan rakyat mereka yang membaca akhbar, majalah, buku pengetahuan, buku cerita dan sebagainya. Di Malaysia hasil daripada usaha-usaha Kerajaan untuk menggalakkan minat suka membaca, kegemaran membaca semakin lama semakin meningkat dan dengan itu ilmu pengetahuan juga turut meningkat.

14. Walau bagaimanapun ramai akan mengakui bahawa kita belum lagi berpuas hati dengan perkembangan minat suka membaca ini. Mungkin di bandar-bandar kita, telah mencapai sedikit-sebanyak kemajuan tetapi di bandar-bandar pun banyak lagi yang harus kita lakukan untuk menyemaikan minat ini. Jikalau kita tidak begitu berpuas hati dengan kemajuan di bandar-bandar, apatah lagi perasaan kita dengan keadaan di luar bandar. Tabiat suka membaca ini kurang berkembang di desa mungkin kerana faktor ekonomi dan mungkin kerana kurangnya masa lapang. Walaupun terdapat berbagai faktor yang menghalang meningkatnya kegemaran membaca di luar bandar, kita harus berusaha bersungguh-sungguh mencari jalan supaya kedudukan sekarang ini akan menjadi bertambah baik. Minat suka membaca ini mestilah ditanamkan daripada kecil lagi.

Tuan-tuan dan puan-puan,

15. Saya difahamkan dua buah buku yang dilancarkan hari ini mengandungi karya-karya Saudara Usman Awang yang terbaik dan setengah-setengahnya telah menjadi lagenda sepanjang penglibatannya dalam bidang kesusasteraan. Kepada Saudara Usman Awang, kumpulan karya yang dilancarkan hari ini tidak seharusnya bermakna bahawa beliau tidak boleh berkarya lagi, atau telah mencapai kemuncak daya-ciptanya. Sebaliknya, kita masih berharap akan karya-karya daripada beliau.

16. Dengan ini saya dengan sukacitanya melancarkan kedua-dua buah buku karya Sasterawan Negara, Saudara Usman Awang.

Terima kasih.

koleksi arkib ucapan



Gaya dan isi puisi Usman Awang
Oleh Rahman Shaari

Kelebihan Usman Awang telah dibicarakan orang dari dekad ke dekad. Tokoh ini istimewa kerana berpijak di bumi moden, tetapi masih tidak melepaskan dunia tradisi. Kedua-duanya dikuasai dan dicintainya. Dengan bahasa dan gaya moden campur tradisi itu, Usman Awang memperkatakan pelbagai hal dengan sikap berani. Beliau tidak bertolak ansur dalam hal sikap, menjadikan beliau kelihatan lurus dalam kerja keseniannya.

Usman dikatakan penyair romantik kerana kelembutan bahasanya, yang merupakan pancaran kelembutan pekerti dan senyumannya. Puisi-puisi romantik yang manusiawi memang dihasilkan, dan Kekasih ialah puncaknya, yang dapat dikatakan tidak tercapai oleh penyair lain yang sesekali menghasilkan puisi yang bertema demikian.

Keistimewaan Usman terutama terletak pada stailnya, namun orang sering lebih terdorong memuji tema dan persoalan yang dipilihnya, dan sikap yang diungkapkan. Semasa hayatnya, memang muncul kritikan terhadap Usman yang tidak mahu tunduk pada kemodenan tulen. Apabila beliau menghasilkan karya yang berbentuk fizikal moden seperti Di Bawah Bayang Tulip Merah, Salji Hitam dan beberapa lagi , muncul pula kritikan yang mengatakan beliau terikut-ikut dengan gaya anak muda. Kedua-dua hala kritikan sedemikian akhirnya tenggelam, dan yang timbul ialah kekaguman yang berterusan.

Usman Awang penyair yang benar-benar hebat. Kecenderungan beberapa orang penyair lain yang mahu mengikut gayanya - biarpun ada yang mencapai tahap tertentu - tetap dianggap berada di bawah bayangnya. Kita dapati, penyair yang betul-betul meningkat selepasnya ialah mereka yang beranjak keluar dari landasannya, seperti Muhammad Haji Salleh, Latiff Mohidin dan Baha Zain, kemudian diikuti Kemala. Penyair Zurinah Hassan dan Siti Zainon Ismail juga tidak memilih kaedah Usman Awang. Masing-masing penyair yang disebutkan di atas sedar, bahawa gaya hendaklah dibina berjarak dari gaya penyair besar yang sedia ada pada satu-satu ketika.

Usman Awang membina dan memelihara stailnya dengan penuh keyakinan. Perhatikan rangkap akhir sajak Anak Jiran Tionghua yang dihasilkan dalam tahun 1962:

Bumi tercinta resapkan wahyumu
jantung mereka adalah langitmu
darah mereka adalah sungaimu
nafas mereka adalah udaramu.

Kata-kata yang dipilih dan disusun adalah untuk dua tujuan, iaitu untuk membawa moral hidup berbaik-baik antara kaum, dan untuk membawa penegasan sikapnya melalui kesejajaran atau paralelisme. Sikap Usman yang tertera melalui puisi ini ialah cinta damai dan hasrat berbaik-baik antara kaum.

Sajak Kemanusiaan yang dihasilkan dalam tahun 1963 bertujuan mengatakan sesuatu tentang kematian Presiden Kennedy. Jika kita perhatikan sajak ini dengan teliti, kita dapati kematian Kennedy hanyalah latar, atau paling jauh ialah perkara. Kematian Kennedy bukanlah tema sajak ini. Tema sajak ini ialah kesedihan kerana kematian orang lain yang besar jumlahnya, dan yang menjadi bahan statistik, bukan lagi tragedi. Usman lebih mengenangkan kematian yang terakibat daripada peperangan yang berpanjangan. Tema tersebut dapat dikesan melalui rangkap di bawah ini:

Jika kita menyesali kematian atas seorang
dan hati tidak berdenyut untuk kematian yang lain
maka kemanusiaan tidak wujud di mahkota kebenaran
sebab bukanlah kemanusiaan biia ia ada perbatasan.

Rangkap di atas ialah aforisme yang boleh menjadi pedoman untuk semua. Sesiapa yang menyangka dirinya kaya dengan kemanusiaan hendaklah berfikir berkali-kali akan kebenarannya. Sajak yang dihasilkan untuk menyebutkan sesuatu tentang kematian Kennedy ternyata berupaya membawa perkara besar dalam diri , yang selalu diabaikan oleh manusia.

Berbicara tentang kehidupan manusia dalam negara - baik negara mana sekali pun - politik tidak mungkin diketepikan. Kehidupan kita dikelilingi politik. Sajak Usman yang memuatkan makna politik agak banyak, tetapi tidak semuanya berjaya dirumuskan pembaca. Orang juga tidak mahu melihat definisi figuratif politik yang terkandung di dalam sajaknya. Untuk politik dalam negara misalnya, sajak Kambing Hitam adalah contoh yang baik. Sajak ini melukiskan peristiwa besar negara, dengan menyalahkan pemimpin yang tidak prihatin. Rangkap di bawah ini amat kukuh:

Kekuasaan negara berteriak mencari

'mana dia kambing hitam
kambing hitam'
namanya perkauman
namanya komunis
namanya ultra
namanya gangster.

Kekacauan dalam negara terhasil daripada kekurangan perhatian pemimpin terhadap segi-segi tertentu dalam masyarakat. Ini sudahpun dihuraikan oleh tokoh masyarakat dan sejarah. Usman memberikan perhatian terhadap tingkah laku pemimpin yang tidak menganggap peristiwa 13 Mei itu perlu diselesaikan dengan penuh tanggungjawab. Pemimpin pula kelihatannya melihat bencana itu biasa saja. Mereka masih boleh bersenang lenang. Apakah makna tersembunyi daripada puisi ini? Maknanya tidak lain daripada pengabaian pemimpin terhadap rakyat.

Politik luar negara pun diungkapkan dengan berkesan melalui Salji Hitam. Sama dengan Kambing Hitam, Salji Hitam tetap terus merentas dekad.

utusan online


Kelahiran semula karya Sasterawan Negara
12 Jul 2013 | Ulasan Buku

usman awang

Judul buku: Yang Nakal-Nakal
Penulis: Usman Awang (Sasterawan Negara)
Penerbit: Buku Fixi
Jumlah halaman: 218
Tahun terbitan: 2013

HIMPUNAN cerpen dan puisi yang terdapat dalam Yang Nakal-Nakal merupakan pembaharuan semula terhadap karya Sasterawan Negara keempat, Usman Awang, yang cuba melihat sisi lain dari aspek penulisan beliau.

Sebagai penulis yang terkenal dengan karya yang bertemakan perjuangan, patriotisme dan pembelaan terhadap golongan marhaen, Yang Nakal-Nakal menghimpunkan karya yang berunsur romantis dan kasih sayang sebagai satu aspek penting dalam kehidupan manusia.

Menghimpunkan 17 cerpen dan lapan sajak, Yang Nakal-Nakal boleh dikatakan satu usaha untuk membawa pembaca muda mendekati karya Sasterawan Negara yang sering dilabel sebagai sukar dibaca dan susah difahami.

Namun begitu, membaca cerpen dan sajak Sasterawan Negara Usman tidaklah memerlukan kita memerah otak keterlaluan sebaliknya dipermudahkan dengan gaya bahasanya yang masih lekat dengan unsur tradisi seperti pantun dan gurindam dalam penghasilan sajak dan penggunaan diksi yang mudah difahami seperti dalam cerpennya.

Dalam sajak Pantun Moden, Usman secara bersahaja menukar bait dalam pantun lama untuk menyindir sikap masyarakat secara sinis:

Harap-harap kelapa puan, tidak puan kelapa bali;
harap-harap kepada kawan, kawan sendiri cabut lari.

Beli Buatan Malaysia yang dihasilkan pada 1984 merupakan manifestasi terhadap kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia yang dilancarkan ketika itu dengan mempersoal sikap masyarakat yang masih kental menggunakan barang import daripada usaha untuk menukar kepada barangan tempatan.

17 cerpen beliau lahir dengan tema pelbagai, malah ada juga yang menyentuh politik dan kepimpinan sepintas lalu seperti dalam Untuk Malaya Merdeka, Pilihan Raya dan Menyambut Lawatan Ketua Tertinggi Barisan Pemuda.

Tidak kurang juga, Usman membawa pembaca menyelami nasib masyarakat bawahan dalam Menonton dan Budi, kecelaruan golongan korprat dalam Koktel, mengkritik sikap masyarakat dalam Tangan Yang Pendek Janganlah Memeluk Gunung, Suami dan Isteri dan Budi serta mengkritik pemimpin yang bermuka-muka dalam Inilah Soal Pokoknya.

Tema yang dibawa membawa kita kembali kepada beberapa isu yang pernah berlaku sekitar tahun 1960-an dan 1970-an tetapi tidaklah bermakna kita dibawa kembali ke belakang kerana peristiwa yang sama ini juga bermain-main pada zaman kini.

Yang Nakal-Nakal diterbitkan oleh Buku Fixi yang terkenal dengan penerbitan buku indie dan alternatif, memberikan nafas baharu kepada karya Sasterawan ini yang selalunya sukar didapati atau dicari dipasaran.

Tambah menarik, Buku Fixi menyatakan di halaman awal bahawa “semua royalti untuk buku ini diberikan kepada waris Usman Awang” sebagai menghormati pewaris Sasterawan Negara ini yang memegang hak cipta karya-karya beliau.

usman awang
Yang Nakal-Nakal (Edisi Kedua)


tutor

Usman terus dikenang
Oleh FAIZAL SAHARUNI

HASHIM mengenang Usman dalam rangkap puisi yang dilagukan.


BAGI pencinta sajak dan puisi, nama Usman Awang cukup sebati membasah dijiwa dan kotak fikiran pemujanya.

Sasterawan Negara Datuk Dr. Usman Awang dianggap antara sasterawan terhebat yang pernah rakyat Malaysia miliki, malah setiap naskah yang terbit dari benaknya terus relevan meski melangkaui sempadan zaman.

Memasuki period lapan tahun beliau meninggalkan kita mengadap Ilahi, puisi yang digarap oleh anak kelahiran Kota Tinggi, Johor ini meninggalkan memori tidak ternilai untuk dijadikan panduan generasi kini dan masa depan.

Bagi mengingati pengorbanan beliau yang menghambakan diri dalam bidang penulisan, majlis Malam Sebutir Bintang Dalam Kenangan Usman Awang diadakan di Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Sabtu lepas.

Bukan sekadar malam apresiasi, sebaliknya majlis ini juga berlangsung bagi memperingati tarikh lahir beliau yang jatuh pada 12 Julai 1929.

Perasaan terus bertukar teruja apabila melihatkan ramai yang hadir memberi sokongan terhadap acara seperti ini.

RAHMAN SAARI antara deklamator yang turut memberi sumbangan.

Generasi muda yang selama ini dicanang tidak mengambil endah terhadap puisi tidak disangka-sangka memenuhi segenap ruang majlis dan begitulah hebatnya aura figura seorang Usman.

Sukar dipertikaikan, penganjuran acara tersebut bukannya sembarangan. Ia bertujuan mendekatkan hasil karya Usman kepada muda-mudi hari ini, lantas menjadikan puisi ibarat pengumpul khazanah tidak lapuk ditelan arus pemodenan.

Antara sajak nukilan Usman yang dilantun buat tatapan hadirin pada malam itu ialah Bahasa Bunda, Balada, Surat Dari Masyarakat Burung Kepada Datuk Bandar, Kekasih, Beloved, Pak Utih, Jiwa Hamba dan Alam Tanah Air.

Deklamator yang mengalunkan puisi Usman pula adalah Datuk Dr. A. Samad Said, Selina SF Lee, Sutung Umar RS, Jamaliyah Ambia, Dins'man, Dr. Siti Zainon Ismail, Haslina Datuk Usman, Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh, Prof. Dr. Muhammad Salleh dan ramai lagi.

USMAN terus dikenang dalam majlis ini melalui deklamasi dan nyanyian lagu puisi.

Sementara itu, penyanyi bersuara lunak dan nyaring, Nora menyampaikan lagu Jentayu. Lagu yang diadaptasi daripada puisi Usman itu dihasilkan oleh komposer Johan Nawawi.

Sebuah prolog yang menggamit jiwa audiens, Matinya Seorang Pahlawan lakonan Datuk Rahim Razali sebagai Jebat, Zakaria Ariffin (Tuah), Ana Alisyah Mohd. Marzani (Dang Wangi), Maslin Md. Ramly (Dayang) dan Nadia Zainal-Abidin (Dayang) turut dipentas dalam acara berkenaan.

Pada majlis sama, buku Scattered Bones yang diterjemah daripada karya asal beliau, Tulang-Tulang Berserakan tulisan Usman Awang turut dilancarkan.

Selain itu, Enslaved Soul, sebuah antologi puisi dwi-bahasa mempamerkan pelbagai karya patriotik beliau yang sebelum ini hanya diterbit di dada-dada akhbar dan majalah sekitar tahun 50-an turut menemui ramai.

JENTAYU daripada Nora memukau khalayak.

Kedua-dua buku ini diterjemah UA Enterproses Sdn. Bhd. dengan kerjasama ITNM - di bawah pelaksanaan Projek Pernterjemahan 100 Karya sastera yang sedang dijalankan ITNM melalui Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9).

Percaya atau pun tidak, selepas hampir sedekad ketiadaan beliau, Usman sebenarnya masih ada dalam sekian banyak karya yang ditinggalkan buat insan lain di muka bumi ini.

Pemikiran dan idealisme perjuangan melampaui batas dan melepasi ruang lingkup kaum juga terakam di dalam karya yang menjadi terus petunjuk dan rujukan zaman.

Walaupun banyak karya Usman sifatnya kritikal, sinis dan kelihatan menongkah arus politik perdana, namun itulah keunikan yang seharusnya ada pada diri seorang sasterawan.

RINDU seorang sahabat hanya mampu diungkap melalui bait puisi oleh A. Samd Said.

Bagi rakan seangkatan Usman, Sutung Umar RS, karya Usman sama ada puisi, drama, novel mahupun cerpen banyak yang mengesankan setiap hati.

"Pada tahun 1960-an buat pertama kalinya kita bertemu dengan Duri dan Api, Tulang-Tulang Berserakan diikuti pula teater Tamu Di Bukit Kenny, Matinya Seorang Pahlawan dan Uda dan Dara. Antologinya Salam Benua muncul dengan puisi khusus yang memang memikat hati.

"Pertemuan dengannya secara peribadi pada awal 1960 di Kota Bharu, Kelantan tidak berakhir begitu sahaja kerana tahun 1974 saya bekerja di bawah bimbingannya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

"Aspek kemanusiaan Usman tidak hanya terpancar dalam karya yang dihasilkannya. Aspek nilai murni yang dibangkit dalam cetusan puisi pantas diterap dalam kehidupan seharian.

"Sewaktu bekerja di bawahnya, Usman tidak mengajar saya. Cara beliau dengan citra dan wibawa penuh kebijaksanaan yang mengajak saya lebih mendekatinya.

"Ternyata Usman bukan sekadar seorang majikan yang menghormati orang bawahan, sebaliknya peranan beliau perlahan-lahan bertukar menjadi sahabat setia dan seorang abang yang memahami dengan mendalam jiwa adiknya yang sedang keliru," katanya, mengenang Usman.

kosmo online


Usman Awang terkenang malam kemerdekaan
29 Sept 1998

Salah satunya naskhah teater Malam Kemerdekaan yang ditulis oleh Sasterawan Negara Datuk Usman Awang setahun selepas negara mencapai kemerdekaan.

Ini antara naskhah terawal yang dihasilkan selepas kemerdekaan dan sarat dengan nilai patriotik.

Malam Kemerdekaan yang kerap dipentaskan tetapi sehingga kini terus dirasakan semangat yang mewakili golongan seniman menganalisis perjuangan mencapai kemerdekaan.

Ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini, Usman yang sinonim dengan perjuangan kemerdekaan dan kemanusiaan berkata, naskhah teater itu menitikberatkan proses mencapai dan mengisi kemerdekaan.

Sekalipun Malam Kemerdekaan bukan naskhah sejarah tetapi ia bergerak di atas landasan sejarah dan dikembangkan secara kreatif.

Menurut Usman, watak Engku Bahari dalam Malam Kemerdekaan adalah Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman.

''Saya mencerna idea untuk Malam Kemerdekaan dalam konteks pemikiran dan pengamatan saya dan watak Engku Bahari itu secara tidak langsung menggambarkan proses kemerdekaan yang diperjuangkan oleh Tunku serta nasionalis yang lain,'' jelas Usman yang juga dikenali dengan nama Tongkat Warant.

Usman yang juga dikenali dengan drama sosial, Uda Dan Dara ini memberitahu, pada November depan, Malam Kemerdekaan akan dipentaskan oleh sebuah kumpulan teater tempatan.

''Saya cukup terharu kerana karya saya masih diingati oleh generasi hari ini,'' ujar Usman yang sebelum ini banyak terlibat dalam kegiatan sosial.

Apabila ditanya, adakah beliau tidak menulis lagi setelah usia kemerdekaan mencapai 41 tahun, Usman berkata, beliau mahu berehat secukupnya kerana banyak daripada usianya dihabiskan dengan menulis.

Berpegang kepada prinsip ''seni untuk masyarakat'', sasterawan ini telah mengangkat pelbagai isu rakyat dalam setiap karyanya.

Sebagai orang yang dilahirkan pada zaman sebelum merdeka, Usman memperlihatkan buah fikiran yang menyentuh tentang perjuangan dalam puisi, drama dan novelnya.

Beliau memberitahu, karya pertama yang dihasilkannya ialah puisi Korban Tanah Air pada 1948 sewaktu bertugas sebagai anggota polis di Melaka.

Sebagai seorang sasterawan, Usman yakin bahawa karya-karya yang baik dan jujur harus dapat membuka pemikiran dan menjadi inspirasi kepada rakyat.

''Kita harus memikirkan kemerdekaan itu daripada banyak segi terutamanya kemerdekaan diri, jiwa, fikiran dan juga budaya. Dalam persoalan ini kita masih dijajah lagi,'' jelas Usman.

Semangat perjuangan kemerdekaan dan kemanusiaa tercetus dalam karya-karya seperti Merpati Putih Jelajahi Dunia ini, Kekallah Perdamaian, Khabar Dari Asia dan banyak lagi.

''Saya merasai semangat kemerdekaan itu kerana saya membesar pada zaman sebelum merdeka. Kebanyakan puisi saya pada zaman sebelum merdeka bekisar tentang perjuangan, penentangan terhadap penjajah dan laungan kemerdekaan,'' jelas Usman.

Oleh: ROZI ABDUL RAZAK

utusan online

Comments

Post a Comment