Dialog Sastera : Adat Istiadat dan Pantang Larang




Pantang Larang Sebagai Adat Istiadat  Dalam Sulalatus Salatin

Soalan :
Apakah kaitan di antara pantang larang, adat istiadat dan tujuan penulisan Sulalatus Salatin?

Jawapan :
Pengisahan Sulalatus Salatin, adalah untuk mengaitkan keturunan raja Melaka yang berasal dari keturunan Raja Iskandar Zulkarnain. Kehebatan Raja Iskandar Zulkarnain dilukis melalui kegagahan dan keberanian baginda menakluk negeri Kida Hindi lalu baginda mengislamkan pemerintah dan rakyat di negeri tersebut melalui perkahwinan baginda dengan Puteri Syahrul Bariyah. Melalui keturunan ini digambarkan keagungan dan ketinggian martabat Raja-raja Melayu yang dikaitkan dengan pertalian Raja Iskandar Zulkarnain yang Agung.

Jelas bahawa melalui jurai keturunan ini menggambarkan bahawa keturunan raja-raja Melaka berasal daripada raja yang agung, gagah serta terkenal. Martabat dan darjat raja-raja Melayu dijulang dari jurai keturunan ini :

“adapun diceritakan oleh orang yang empunya ceritera, bahawa Puteri Syahrul-Bariyah, anak Raja Kida Hindi, telah hamillah ia dengan Raja Iskandar; tetapi Raja Iskandar tiada tahuakan isterinya hamil itu, dan Tuan Puteri Syahrul-Bariyah pun tiada tahu akan dirinya bunting itu. Tatkala Tuan Puteri syahrul-Bariyah kembali kepada ayahnya, Raja Kida Hindi., baharullah ia tahu akan dirinya bunting itu.”

Kemuliaan dan keagungan raja dikaitkan juga dengan kesaktian dan keajaiban yang membezakan antara raja dan rakyat biasa. Pengarang melihat unsur ini sebagai salah satu cara yang paling ideal untuk menjadikan rakyat supaya taat dan tidak menderhaka kepada raja. Raja di dalam kitab Sulalatus Salatin ini dikatakan berasal daripada keinderaan yang mempunyai kuasa luar biasa. Contohnya peristiwa penurunan tiga orang putera raja di Bukit Si Guntang yang membawa kepada jurai keturunan Raja-raja Melayu Melaka. Semasa penurunan itu berlaku, kesemua padi yang ada di Bukit Si Guntang berbuah emas, berdaun perak dan berbatangkan suasa semasa mereka bertiga turun di sana.

Maka keduanya basuh muka dan makan sirih lalu turun berjalan. Maka dilihatnya padinya berbuahkan emas, berdaunkan perak dan berbatangkan suasa. Maka kata Wan Empuk, “ Yang bercahaya semalam rupanya padi kita ini berbuahkan emas, berdaunkan perak dan batangnya suasa ini.” Maka sahut Wan Malini, “ Beta pandang semalam di atas Bukit Si Guntang itu, bukannya padi huma kita ini. “ Maka keduanya naiklah ke Bukit Si Guntang itu. Maka dilihatnya tanah negara bukit itu menjadi seperti warna keemas-emasan; maka datang sekarang tanah itu diceritakan orang seperti emas juga. 


Sudah pastinya kejadian tersebut merupakan suatu kejadian yang ajaib dan aneh kerana bagaimana pokok padi tersebut boleh bertukar menjadi emas, perak dan suasa di atas kuasa luar biasa yang dimiliki oleh ketiga-tiga putera raja tersebut. Hal ini membuktikan kesaktian mereka sebagai anak-anak raja yang mana akan menjadi pemerintah bagi umat manusia ketika itu. Kesaktian itulah yang menjadi pemisah di antara raja-raja dengan rakyat-rakyat biasa. Selain itu, diceritakan juga kehebatan dan kesaktian yang dimiliki oleh Sultan Mansur yang mana Raja cina terkena tulah baginda kerana sifat Raja Cina yang angkuh serta sombong kepada baginda. Raja Cina telah diserang penyakit gatal-gatal seluruh badan dan sebagai penawarnya, Raja Cina mestilah mandi dan membasuh badan dengan air basuhan kaki raja Melaka.

Kedua-dua elemen jurai keturunan dan kesaktian raja digabungkan dengan elemen pantang larang serta adat istiadat sebagai mengukuhkan kemartabatan raja serta hubungan antara rakyat dan pemerintah. Adat istiadat dan pantang larang yang mendominasi masyarakat terjadi atas konsep penerimaan yang ikhlas dan setia. Ia dipatuhi oleh masyarakat tanpa timbul rasa curiga atau irihati. Pantang larang dan adat istiadat secara halus menjadi garis peraturan masyarakat  yang diterima. Tidak ada penolakan tetapi ia menjadi seolah-olah peraturan perundangan yang diterima. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa adat istiadat dan pantang larang ini merupakan elemen perundangan yang diterima oleh masyarakat. Hubungan ketaatan dan kesetiaan dapat dikembangkan di samping martabat raja berada pada tahap tertinggi dalam lapis masyarakat.


Soalan :
Apakah amalan adat istiadat sebagaimana dipaparkan dalam Sulalatus Salatin

Jawapan :
Antaranya ialah  Adat mengadap raja di balairung.
Adat mengadap raja di balairung ialah, para pembesar akan disusun mengikut pangkat kebesaran masing-masing. Pangkat tersebut di mulai dengan bendahara, penghulu bendahari dan temenggung. Mereka akan duduk di seri balai. Kemudian, anak-anak raja pula akan duduk di bahagian serambi balai sebelah kiri dan kanan. Selepas itu, akan di ikuti dengan sida-sida yang muda-muda akan duduk berselang seli dengan bentara dan hulubalang yang berdiri di ketapakan balai.

“ Adapun apabila raja dihadap orang di balairung, maka bendahara, dan penghulu bendahari dan temenggung dan segala menteri dan orang besar-besar, segala sida-sida duduk di seri balai”.

Adat ini merupakan perkara yang wajib dilakukan ketika mengadap Sultan. Malahan, sehingga sekarang juga adat ini masih diteruskan walaupun tidak semuanya sama dengan yang dahulu. Hal ini demikian kerana, Sultan di anggap orang yang paling mulia, oleh itu sesiapa yang ingin mengadap Sultan haruslah mengetahui tentang adat-adat yang telah ditetapkan.

Kedua ialah , Adat menjunjung duli.
Adat menjunjung duli memerlukan empat atau lima orang kepala bentara yang terdiri daripada sida-sida yang akan duduk di seri balai. Malahan, segala perkakas diraja seperti ketur, kendi, kipas dan barang sebangainya akan di susun secara diselang selang kedudukannya. Sementara itu, puan dan pedang akan berada dikelekan kiri dan kanan. Manakala, pedang kerajaan akan dipikul oleh laksama atau Seri Bija Diraja.
“ Adapun segala perkakas raja, seperti ketur dan kendi, kipas dan barang sebagainya diselang selang duduknya; melainkan puan dan pedang di kelek-kelekan kiri dan kanan: pedang kerajaan itu laksamana atau Seri Bija Diraja memikul pedang itu”.

Ketiga ialah Adat menyambut kedatangan utusan kerajaan dari luar.
Untuk menyambut kedatangan utusan terdapat adat yang perlu di ikuti. Sambutan terhadap kedatangan utusan adalah berbeza mengikut tahap kebesaran kerajaan tersebut. Apabila utusan dari kerajaan yang besar seperti Pasai dan Haru, sambutannya akan menggunakan selengkap alat kerajaan seperti gendang, serunai dan lain-lain. Jika, sekiranya utusan datang dari negeri yang kurang kebesarannya, alat kelengkapan keraian untuk menyambutnya akan dikurangkan, cukup sekadar gendang dan serunai sahaja atau berpayung kuning atau bergajah. Walau bagaimanapun, sepersalinan tetap akan diberikan.
“ Jika surat dari Pasi atau dari Haru, dijemput dengan selengkapnya alat kerajaan, gendang, serunai, nafiri Negara, paying putih dan perapit; melainkan medali juga yang tiada pergi menjemput itu. …Telah datang ke balai, maka surat disambut oleh hulubalang asal,yakni kepada bentara yang kiri menyampaikan titah raja kepada utusan, kepada bentara yang di kanan menyampaikan sembah”.

Dalam adat ini, pihak yang lebih berkuasa akan dihormati. Dengan itu, untuk menyambut utusannya akan di buat secara besar-besaran. Malahan, pihak tersebut juga berkemungkinan mempunyai kekuasaan yang amat kuat dan terpengaruh di rantau tersebut. Dengan itu, jika tidak menyambutnya dengan cara yang terhormat, berkemungkinan akan memberi kesan kepada sesebuah kerajaan kelak

Adat menyambut malam tujuh likur atau malam dua puluh tujuh.
Adat ini kebiasaannya akan di lakukan pada waktu siang. Pada waktu siangnya sejadah akan di arak ke masjid. Temenggung akan gajah, puan serta segala alat kerajaan dan gendang akan di bawa terlebih dahulu ke masjid. Kemudian, keesokkannya, Laksamana akan mengarakkan serban. Selepas itu, Raja-raja Melayu akan berangkat ke masjid dengan bertengkolok dan berbaju sarung.

“Hatta, jikalau pada bulan Ramadan malam dua puluh tujuh, tatkala pada siangnya mengarak sejadah ke masjid, Temenggong mengepalai gajah. …Telah esok harinya, maka Laksamana mengarak serban kerana adat Raja Melayu berangkat ke masjid bertengkolok berbaju sarung”.



Soalan : Apakah pula pantang larang yang digariskan dalam Sulalatus Salatin?

Jawapan :
Pertama, Pantang larang berpakaian. Rakyat jelata ( orang keluaran ) dilarang dari menggunakan pakaian yang berwarna kuning, di buat tepi tabir, ulasan bantal besar dan tilam, bungkusan barang, dijadikan barang perhiasan, kain, baju dan destar, Begitu juga sekiranya ingin masuk ke istana seseorang itu harus memakai kain berpancung dan berkeris di hadapan serta bersebai sekiranya berkeris di belakang akan dirampas.

Kedua ialah Syarat memiliki emas. Rakyat jelata walau pun ia seorang yang berada dilarang memakai barangan kemas yang dibuat daripada emas bergelang kaki emas dan sekiranya berkeroncong emas berkepala perak pun tidak dibenarkan kecuali ia dianugerahi oleh raja dapatlah dipakai untuk selama-lamanya.

Pantang larang berikutnya adalah Pantang Derhaka.Rakyat jelata adalah ditegah sama sekali melakukan penderhakaan kepada raja, ini sesuai dengan pepatah Melayu yang mengatakan raja merupakan payung rakyat tempat berteduh, pantang Melayu menderhaka, sekiranya seseorang itu menderhaka maka balasan buruk bakal menanti iaitu hukuman bunuh, bagi penderhaka ia tidak layak untuk berada di atas bumi ini dapat di lihat dalam peristiwa Hang Jebat yang mati dibunuh apabila bertindak menderhaka ke atas Sultan Mansor menyebabkan beliau mati di bunuh di tangan sahabatnya sendiri Hang tuah atas arahan sultan, begitu juga dengan bangkainya turut dibuang ke laut serta segala anak bininya turut dibunuh manakala kaki tiang dan tanah bekas rumahnya turut dibuang ke laut inilah betapa besarnya kesalahan menderhaka yang dianggap tidak layak untuk berada di bumi.

Setelah sudah Hang Jebat mati, maka Hang Tuah pun turunlah dari istana itu, pergi mengadap Sultan Mansur Syah. Terlalulah sukacita baginda, maka segala pakaian yang di¬pakai baginda itu, scmuanya dianugerahkan baginda kepada Hang Tuah, Maka bangkai Hang Jebat pun ditarik oranglah, maka segala anak bininya semuanya habis diumbut, datang kepada kaki tiang dan tanah bekas rumah pun habis digali dibuangkan ke laut

Seterusnya, Tidak biadap di hadapan Bendahara. Peristiwa ini dapat dilihat apabila Tun Perpatih Hitam semasa dibicarakan oleh Bendahara Seri Maharaja maka Tun Hussain anak Tun Perpatih Hitam datang dengan berkeris panjang untuk mendapatkan ayahandanya dengan ini beliau telah berdiri sambil menguiskan tikar dengan kaki, perbuatan ini dianggap satu perbuatan yang biadap menguis tikar di hadapan bendahara dan menyebabkan ia mati dibunuh oleh Laksamana manakala anakndanya juga turut dibunuh.

Pantag lartang membina rumah dan berperahu. Rakyat jelata dilarang membuat rumah bermanjungan bertiang gantung, tidak berpijak ke tanah serta bertiang terus dari atap dan peranginan, sekiranya berperahu tidak boleh bertingkap, berpenghadapan dan tidak boleh memakai penduk dan teterapan keris.


Soalan
Apakah kepentingan adat istiadat dan pantang larang tersebut?


Jawapan :
 Ia bertujuan untuk menggambarkan keagungan Kerajaan Melaka. Adat istiadat yang tersusun rapi yang diperkenalkan oleh Sultan Muhammad Shah telah menggambarkan Kerajaan Melaka merupakan sebuah kerajaan yang agung, besar dan berdaulat. Sistem pemerintahan yang cukup kemas dan tersusun ( sistematik ) yang mana raja sebagai pemerintah yang dibantu oleh pembesar- pembesar yang berwibawa bagi melicinkan pentadbiran dan pemerintahan, jika dibandingkan dengan mana- mana kerajaan di kepulauan Melayu seperti Majapahit. Melaka adalah sebuah kerajaan yang tersusun maju dan bersistemmatik.

Tujuan lain sebagaima disebutkan tadi adalah untuk mengukuhkan penghormatan rakyat akan raja. Ia adalah gambaran ketinggian martabat raja. Kedudukan raja yang tinggi dalam struktur pemerintahan dapat di lihat melalui segala adat istiadat dan juga pantang larang yang menunjukkkan perbezaan yang ketara dengan golongan yang di perintah contoh kedudukan raja semasa dalam balai penghadapan begitu juga dari segi pemakaian emas adalah barangan yang amat berharga adalah khusus untuk golongan raja sahaja. Ini jelas menunjukkan betapa tingginya martabat raja di kalangan rakyat.

Ia bertujuan bagi menggambarkan Kerajaan Melaka sebuah kerajaan Islam yang unggul. Melalui adat istiadat yang terdapat dalam Kerajaan Melaka dapat menggambarkan Melaka adalah sebuah kerajaan Islam yang unggul di rantau Melayu ini dapat di lihat melalui peristiwa bagaimana sebuah kitab Darul Mazlum sebuah kitab dari negara Arab yang telah diarak dengan penuh penghormatan sehingga sampai ke istana Melaka. Begitu juga sambutan pada malam bulan Ramadan iaitu malam 7 likur dan ianya patut dicontohi oleh setiap para pemerintah.

Setelah sudah, maka Maulana Abu Bakar pun turunlah ke bawah angin membawa kitab itu, mcnurupang kapal dari Jeddah ke Melaka, Setelah berapa lamanya di laut, sampailah ke Melaka, Maka sangat dipermulia oleh Sultan Mansur Syah akan Maulana Abu Bakar. Kitab Duri'l-mazlum itu disuruh baginda arak lalu ke balairung. Maka Sultan Mansur Syah pun bergurulah pada Maulana Abu Bakar; maka sangatlah dipujioleh Maulana Abu Bakar akan Sultan Mansur Syah, terlalu amat terang hati; banyaklah ilmu diperoleh baginda, Maka oleh Sultan Mansur Syah Duri'l-mazlum itu disuruh ertikan ke Pasai kepada Makhdum Patakan. Maka Duri'l-mazlum pun diertikan, setelah sudah, dihantarkan ke Melaka

Adat Istiadat dan Pantang Larang adalah elemen membina kesetiaan dan ketaatan rakyat akan raja. . Melalui adat istiadat dan pantang larang dapat menggambarkan masyarakat Melayu yang patuh dan sanggup menjunjung segala perintah dan peraturan yang dikenakan oleh golongan pemerintah terhadap golongan yang diperintah. Mereka beranggapan bahawa raja adalah golongan yang berdaulat oleh itu mereka memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada raja serta teguh memegang prinsip ‘Pantang Melayu Derhaka Kepada Raja’

Ia dapat mengukuhkan institusi istana dan pembesar Melayu. Melalui adat istiadat dan pantang larang dapat menggambarkan institusi istana dan kuasa pembesar dilindungi daripada ancaman- ancaman jahat yang cuba untuk menjatuhkannya dengan adanya adat dan pantang larang seolah- olah golongan rakyat cuba dinafikan hak mereka, walau pun ada di kalangan rakyat yang mampu memiliki kekayaan tetapi disebabkan adanya peraturan yang mengatakan rakyat biasa tidak boleh memiliki dan memakai barangan emas kecuali dianugerahi, maka secara tidak langsung golongan istana dan pembesar akan di pandang tinggi dan mulia dan tidaklah timbulnya perasaan bongkak akibat kekayaan di kalangan rakyat dan pada satu masa mungkin bertindak mencabar institusi beraja

Comments