Awie The Supermokh





Muzikal Supermokh berlangsung di Panggung Sari Istana Budaya dsri 8 hingga 21 September 2014. Awie diberi tugas untuk memerankan watak legenda Supermokh Mokhtar Dahari Turut berlakon bersama adalah Maya Karin. Teater tersebut turut dibintangi oleh Rashidi Ishak, Douglas Lim, Dina Nadzir, Radhi Khalid, Phoon Chi Ho, Oliver Johanan dan Clerence Kuna. Pelawak dan pelakon Harith Iskander turut menjadi pengarah bersama dengan Hanc Issac serta menjadi pelakon undangan dalam teater tersebut.

Beberapa cebisan tentang pementasan yang sedang berlangsung.
Mungkin ia  boleh menguindang kita ke Istana Budaya menemui Awie The SuperMokh



Awie mudah mengalirkan air mata

Oleh Oleh Zaidi Mohamad
disiarkan pada 6 September 2014 Berita Harian


KUALA LUMPUR: Fizikalnya jelas nampak sasa dan sekali pelakon dan penyanyi ini memberi jelingan, pasti ada yang gerun. Namun dalam hatinya, naluri kelelakiannya cepat tersentuh.

Pendek kata, beliau memang senang menangis. Itulah karektor sebenar insan yang popular dengan panggilan Awie atau nama sebenarnya, Azhar Othman .

Daripada sisi bergelar bapa, beliau yang kini berdepan dengan masalah rumah tangga hingga perlu naik turun ke mahkamah, mengakui anak menjadi keutamaannya kini. Kasih sayangnya terhadap lima anak yang kian membesar membuatkan Awie semakin kuat.

"Saya tak boleh marah anak dan kalau saya begitu, saya akan cepat mengalirkan air mata. Apa jadi pada waktu mendatang, saya akan tetap pertahankan anak saya. Anak nyawa saya. Saya kerja keras mencari rezeki ini demi mereka," kata Awie mengenai cinta hatinya iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, Puteri Aleefa Antasha, 12, Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.

Awie kini sedang sibuk dengan latihan teater SuperMokh Sebuah Muzikal Restaging. Teater berkenaan dipentaskan semula di Panggung Sari Istana Budaya mulai 8 hingga 21 September ini. Kali pertama ia dipentaskan November tahun lalu juga di tempat yang sama.

Ketika ini, Awie juga mempunyai komitmen dengan filem Warna Cinta Impian terbitan Touchtronics Entertaiment Sdn Bhd. Bagaimanapun, Awie berehat seketika daripada penggambaran filem berkenaan demi teater Supermokh.

Untuk teater ini, Awie terus diberi mandat memegang karakter utama sebagai pemain bola sepak legenda, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari. Malah Awie perlu terus menguruskan badan demi karakter itu.

"Selepas pementasan teater muzikal Suara Kita lagi saya sudah berusaha jaga badan dengan menjaga pemakanan. Saya tak ke pusat gim untuk bersenam apatah lagi angkat besi berat kerana itu akan membuatkan badan saya mengembang pula," katanya.

Menurut Awie, asalnya beliau sudah menolak secara baik untuk tidak lagi menerima mandat dalam teater ini. Katanya, beliau bimbang masalah rumah tangganya yang menjadi kes makhamah akan menjejaskan reputasi teater ini.

Bagaimanapun, Hans Isaac yang juga orang kuat kepada teater ini yakni pemilik syarikat Tall Order Production Sdn Bhd, banyak memberi semangat untuk Awie meneruskan kehidupan mendatang.

"Saya jadi berbelah bahagi pula. Tambah pula teater ini dipentaskan semula atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Baginda mahukan saya yang pegang watak utama.

"Ini adalah peluang keemasan, apatah lagi beraksi dengan produksi yang bagus. Bukan semua akan dapat peluang yang saya dapat ini. Jadi kenapa perlu saya tolak.

"Cuma jauh di sudut hati atas kejayaan teater ini yang dulu, terbit juga perasaan takut dan tertekan untuk mengembalikan kejayaan yang sama kali ini. Dulu saya takut sebenarnya nak bawa watak legenda bola sepak ini. Tapi kita doa yang terbaik dan perbaiki kelemahan dulu," katanya.

Pembabitan Awie di pentas teater tidak sia-sia kerana bakatnya pernah diiktiraf untuk kategori Pelakon Utama Terbaik di Anugerah Seni BOH Cameronian edisi kelapan dan kesembilan. Masing-masing untuk teater Cuci The Musical dan Lat Kampung Buah sebuah Muzikal. Kedua-duanya juga terbitan Tall Order Productions.

"Saya selesa berlakon bukan hanya kerana mereka kawan saya semata-mata tetapi kerana jelas di sini saya juga mengutamakan hasil kerja yang bagus serta tenaga produksi yang terbaik. Malah saya bukan jenis yang pelakon yang dibayar untuk jadi robot.

"Tiada kepuasan dengan cara begitu. Saya bukan jenis ambil gaji hujung bulan tanpa memberikan sumbangan untuk kebaikan bersama. Bayangkan pementasan teater ini tahun lalu saya tak ada tandatangan kontrak langsung. Malah bayaran pun sampai saya tak endah.

"Hingga Hans sendiri tanya saya tak nak gajikah? Dalam hal ini, bab bayaran saya tolak ke tepi dan apa yang lebih utama ialah nikmat serta kepuasan dalam melakukan kerja yang kita cintai. Malah Hans sendiri terbuka dan menegur saya. Saya terima teguran ini untuk kebaikan bersama. Hans juga terbuka dengan pandangan serta idea orang sekeliling," kata Awie yang turut membantu Hans dan Harith Iskandar melunaskan penggunaan bahasa Melayu dalam skrip.

Awie, di akhir temubual di kafe dekat Istana Budaya baru-baru ini, berkata beliau akan bekerjasama menerbitkan sebuah filem di samping Mamat Khalid. Judul sementara filem itu diberi nama Jejaka Gedik.


"Kami berdua akan berlakon sekali dalam filem ini. Asalnya nak kasi judul Remaja 40-an. InsyaAllah kalau jadi, penggambaran dijangka bermula hujung Oktober atau awal November," katanya.

Teater SuperMokh Sebuah Muzikal Restaging akan dipentaskan semula di Istana Budaya mulai 8 hingga 21 September ini untuk memberi peluang kepada orang ramai yang tidak berkesempatan menyaksikannya tahun lalu. Ia turut mendapat kerjasama Istana Budaya dan Jugra Publication Sdn Bhd.

Selain Awie, teater diarahkan oleh Hans bersama Harith Iskander itu turut membariskan pelakon seperti Maya Karin sebagai Datin Tengku Zarina (isteri arwah), Rashidi Ishak, Douglas Lim, Dina Nadzir, Radhi Khalid, Phoon Chi Ho, Oliver Johanan dan Clarence Kuna.

Kepada penonton yang ingin menyaksikan teater ini, tiket boleh didapati di kaunter box office Istana Budaya atau menerusi atas talian di Hyperlink www.ticket2u.biz pada harga dari RM166 hingga RM306.

berita harian





Supermokh, muzikal yang mempersonakan



SUPERMOKH SEBUAH MUZIKAL telah berjaya membawa gambaran sebenar situasi di padang bola ke atas pentas Istana Budaya.

DIPENTASKAN dalam bentuk muzikal, Supermokh Sebuah Muzikal, sebanyak 15 buah lagu dimuatkan dalam pementasan ini.

SEMANGAT ngauman pasukan bola sepak Harimau Malaya bergema dalam atmosfera berprestij Panggung Sari, Istana Budaya Kuala Lumpur tanggal 6 November lalu.

Aura yang dibawa menerusi pementasan sulung Supermokh Sebuah Muzikal sebenarnya membawa penonton merentasi terowong masa sekitar penghujung tahun 1970-an hingga awal 1990-an.

Bagi yang sering menyaksikan pementasan teater atau muzikal melodramatik, mungkin Supermokh Sebuah Muzikal kali ini mengubah kanvas pengalaman penonton.

Supermokh Sebuah Muzikal mengisahkan riwayat hidup pemain bola sepak legenda kebangsaan, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari sepanjang pembabitannya dalam arena sukan itu hingga pengakhiran hayatnya.

Tidak ubah seperti sedang menyaksikan perlawanan bola sepak di padang, begitu bahangnya yang dapat dirasakan penonton menerusi teater terbitan Tall Order Production dan Jugra Publication Sdn. Bhd. kali ini.

Contoh jelas, situasi ketika di padang perlawanan bola sepak pasukan Malaysia menentang Korea Selatan pada Pesta Bola Merdeka sekitar tahun 1970-an berjaya dibawa masuk ke pentas hidraulik Istana Budaya bagi memberikan gambaran sebenar kepada penonton.

Berbaloi

Kata Pengarah dan Penerbit Eksekutif Supermokh Sebuah Muzikal, Hans Isaac, penat lelah pasukannya selama lebih setahun untuk melunaskan karya itu akhirnya berbayar apabila pementasan mula mengambil tempat di Istana Budaya sejak 6 hingga 18 November ini.

"Lebih dua bulan berlatih secara intensif sebelum menjejakkan kaki ke Istana Budaya, boleh dikatakan pasukan produksi Supermokh Sebuah Muzikal berjaya memberikan hasil seperti yang dirancang sejak awal lagi.

"Teater muzikal ini menceritakan kehidupan peribadi dan kerjaya pemain bola sepak yang disanjung negara, Datuk Mokhtar Dahari yang ramai orang tidak tahu.

"Mungkin menerusi pementasan ini penonton mendapat sedikit sebanyak input mengenai peribadi Supermokh. Antaranya, sikap beliau yang tidak banyak bercakap dan seorang yang romantik sebenarnya," ujar Hans.

Sementara itu, tambah pengarah bersama Supermokh Sebuah Muzikal, Harith Iskander, beberapa babak serta penceritaan teater itu dilakukan secara simbolik bagi menyuntik nilai tambah teatrikal pementasan kali ini.

"Tarian dan nyanyian melengkapkan elemen teater itu sendiri, pergerakan atau lirik lagu tidak memberikan makna lain selain mengukuhkan jalan cerita," tambah Harith.

Kemas

Secara kasarnya, Supermokh Sebuah Muzikal yang menelan kos RM3 juta ini menceritakan perjalanan hidup Mokhtar Dahari bermula tahun 1979 selepas berkahwin dengan kekasihnya, Tengku Zarina Tengku Ibrahim hingga detik akhir kematian beliau akibat penyakit distrofi otot awal tahun 1990-an.

Selain kisah peribadi yang tidak didedahkan kepada umum sebelum ini, Supermokh Sebuah Muzikal memberitahu penonton faktor penyebab tiga kali persaraan Mokhtar Dahari daripada arena sukan bola sepak.

Menarik mengenai teater muzikal itu adalah permainan ruang antara ensemble dan pelakon utama di atas pentas. Sejujurnya, pergerakan item-item itu berjaya digarap kemas dan dinamik.

Pujian harus diberikan kepada tenaga kreatif terutama koreografer, Adzwa dan pereka pakaian, Dominique Devorsine kerana berhasil memberikan impak dan mood sekitar latar masa 1970 hingga 1990.

Malah, penataan cahaya dan kualiti komposisi lagu hasil pengarahan muzik Michael Veerapen wajar dipuji dan sejujurnya patut dijadikan sebuah album kompilasi.

Selain itu, mencuri tumpuan penonton adalah babak perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia 1986 antara pasukan Selangor dan Johor yang dipersembahkan dalam visual pakaian LED dalam gelap yang menurut Hans telah ditempah khas dari China beberapa bulan lalu.

kosmo online


Awie kembali bangkit


PADA sidang akhbar pementasan teater Supermokh Sebuah Muzikal Restaging di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini, kelihatan sosok tubuh Awie yang agak susut berbanding sebelumnya.

Ketika bertemu dengannya sebaik sahaja majlis berakhir, Awie tidak menafikan perkara tersebut. Malah, dia memberitahu, ukuran pinggangnya kini sudah menjadi 30 inci (76 sentimeter), berbanding 36 inci (91 sentimeter) beberapa bulan yang lalu.

Apabila ditanya tentang tubuhnya yang semakin susut, dia sekadar berkias dengan memberitahu semuanya berlaku lantaran kesibukannya di lokasi penggambaran dan menguruskan anak-anak.

“Tidak dinafikan, pada bulan puasa lalu aktiviti harian saya agak padat. Biasanya saya akan memasak dan bersahur bersama-sama anak-anak, kemudian pada sebelah siang saya terbabit dengan penggambaran filem Upin Ipin.

“Selepas itu, saya akan pulang ke rumah dan berbuka puasa dengan anak-anak. Kemudian, saya akan menyambung semula kerja-kerja saya.

“Sehinggakan ada masanya saya terlupa hendak makan. Saya tidak menimbang berat badan, tetapi sedar dengan perubahan tubuh saya ini,” jelasnya yang sekali lagi membawakan watak Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari selepas pementasan pertama, Supermokh Sebuah Muzikal pada tahun lalu.

Biarpun sudah memberikan penjelasan mengenai tubuhnya yang susut, Awie turut ditanya sama ada ia turut berpunca daripada permasalahan rumah tangga dengan Rozana Misbun yang dihadapinya sekarang ini.

Dengan wajah yang agak serius, dia mengakui bahawa masalah berkenaan juga antara yang menjadi faktor utama di sebalik perubahan tubuh badannya itu sehingga dia pernah mengambil keputusan untuk berehat.

“Sebenarnya pada peringkat awal saya menolak untuk terbabit dengan pementasan teater Supermokh Sebuah Muzikal Restaging dan saya suarakan perkara ini kepada Hans Isaac selaku penerbit dan pengarah kerana bimbang emosi akan terganggu.

AWIE enggan mengulas lebih lanjut mengenai kemelut rumah tangga yang dihadapinya kerana kes tersebut kini masih dalam proses perbicaraan di mahkamah.

“Ketika itu saya berputus asa apabila berhadapan dengan dugaan yang sangat berat. Saya hanya menerima tawaran berkenaan setelah mendapat titah daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah,” ujar pelakon berusia 46 tahun itu.

Selain pernah menolak membintangi pementasan teater berkenaan, Awie mendedahkan dia turut enggan menerima tawaran bagi membintangi filem Upin Ipin dan Warna Cinta Impian.

Jelasnya, dia bimbang sekiranya tidak dapat memberikan sepenuh komitmen yang diperlukan, tetapi kata-kata semangat yang diberikan oleh penerbit kedua-dua filem tersebut telah membuka pintu hatinya.

“Penerbit filem Warna Cinta Impian memberitahu, sekiranya saya tidak berlakon, dia enggan menerbitkan filem berkenaan. Saya akui agak terkejut dan berasa ia merupakan satu penghargaan dan peluang yang tidak harus dilepaskan.

“Setelah difikirkan semasak-masaknya saya perlu ada pekerjaan bagi menyara kehidupan anak-anak. Itu yang membuatkan saya mahu kembali bangkit, biarpun terpaksa berhadapan masalah yang besar,” tegasnya.

Jelasnya, segala dorongan dan kata-kata semangat yang diterimanya itu telah memulihkan semangatnya untuk terus bekerja dan mencari nafkah serta peluang yang diraihnya itu tidak akan disia-siakan sama sekali.

Utamakan anak

Bercerita tentang kehidupan yang dilaluinya sekarang ini, Awie menjelaskan, dia kini lebih fokus untuk membesarkan kelima-lima anaknya iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, Puteri Aleefa Antasha, 12, Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.

 AWIE dan Maya Karin menjadi tarikan utama pementasan teater, Supermokh Sebuah Muzikal Restaging.

Ujarnya, dia akan melakukan apa sahaja demi melihat anak-anaknya itu hidup dalam suasana yang bahagia serta sama sekali tidak akan berpisah dengan mereka biar apa pun yang terjadi.

“Anak-anak merupakan sumber kekuatan untuk saya terus menjalani kehidupan ini dan mahu bersama mereka sepanjang masa. Tanpa mereka, rasanya mungkin saya boleh mati dah hidup seperti sudah tidak bermakna.

“Selama ini, segala yang saya lakukan semata-mata mencari harta untuk anak-anak. Kini, saya akan berjuang habis-habisan dan menuntut kembali hak yang sepatutnya menjadi milik mereka,” luahnya.

Pada masa sama, Awie enggan mengulas lanjut berhubung kemelut rumah tangga yang dihadapi bersama isterinya itu memandangkan kes yang berlaku sekarang ini masih dalam proses perbicaraan di mahkamah.

“Saya tidak kisah berkongsi luahan hati saya ini, asalkan ia tidak menyentuh pihak yang satu lagi. Saya cuma boleh berkongsi cerita yang membabitkan diri saya dan selebihnya terpulang kepada penilaian masing-masing apabila kes ini dibicarakan nanti,” ujarnya.

Bimbang

Bercerita lebih lanjut tentang pementasan teater Supermokh Sebuah Muzikal Restaging yang akan berlangsung di Istana Budaya pada 8 hingga 21 September ini, Awie menyatakan dia berasa teruja apabila kembali diberi peranan utama.

Bagaimanapun, dia tidak menyembunyikan rasa bimbangnya untuk pementasan yang kedua ini sekiranya gagal menampilkan persembahan yang baik seperti pementasan yang pertama dahulu.

“Persiapan kali ini agak lebih mudah berbanding dahulu dan saya cuba ingat semula cara pementasan yang lepas. Namun begitu, perasaan berdebar itu tetap ada menjelang hari pementasan.

“Apabila memegang watak sebagai seorang tokoh yang dikagumi seperti arwah Mokhtar Dahari, perasaan bangga itu memang ada diri saya. Lagipun, peluang sebegini bukan mudah untuk diperoleh,” ujarnya.

Sementara itu, Maya Karin yang membawakan watak sebagai Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim yang juga isteri Mokhtar ketika ditemui berkata, dia juga pernah menolak untuk berlakon dalam pementasan teater berkenaan.


WAJAH dan penampilan terbaharu menunjukkan tubuh Awie yang kini semakin susut.

Ujarnya, dia risau sekiranya tidak mampu memberi komitmen yang diharapkan memandangkan buat masa ini dia mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada bidang nyanyian setelah pelancaran album baharunya, Teka-Teki baru-baru ini serta promosi filem Legenda Budak Setan 3.

“Pada mulanya saya sudah menolak berlakon dalam teater ini, tetapi ketika mengenangkan kembali saat-saat indah semasa pementasan terdahulu membuatkan saya tiba-tiba menjadi semangat.

“Selain itu, Hans memberitahu, proses pementasan kali ini lebih mudah dan sekarang saya memang memberi tumpuan sepenuhnya terhadap teater ini dan menolak beberapa tawaran yang lain,” jelasnya.

Teater Supermokh Sebuah Muzikal yang dipentaskan di Istana Budaya pada 6 hingga 18 November 2013 menceritakan tentang kisah hidup Mokhtar Dahari yang pernah mengharumkan nama Malaysia dalam sukan bola sepak sehingga digeruni di peringkat antarabangsa.

Berdasarkan sambutan menggalakkan yang diterima daripada penonton, Tall Order Production Sdn. Bhd. selaku penerbit mengambil keputusan untuk mementaskannya buat kali kedua dengan menggunakan judul Supermokh Sebuah Muzikal Restagin.

kosmo online




Comments