Alam Teater Penggilap Keyakinan

Alam teater sudah diberi ruang  untuk bertapak di hati dan jiwa pelajar. Semenjak Kementerian Pendidikan Malaysia memperkenalkan KOMSAS (Komponen Sastera) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pelajar tingkatan 1, 2, 3, 4 dan 5.  Kehadiran teater dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu ini sudah pasti menjadi jambatan terbaik untuk membawa alam teater ke alam pendidikan.

Selain itu Kementerian Pendidikan Malaysia turut mengadakan program Pertandingan Teater KOMSAS serta Semarak  Teater yang merupakan antara peluang terbaik untuk memperkenalkan teater ke dunia remaja. Persoalannya adalah sejauh mana alam teater ini berkembang subur di sekolah? Adakah proses pengajaran dan pembelajaran KOMSAS terutama naskah drama sudah dikembangkan sesuai dengan keperluan naskah dan pentas?. Atau pengajaran dan pembelajaran Komponen Sastera terutama drama ini masih diajar mirip dengan mata pelajaran lain seperti Sejarah atau Sains?. Bagaimana pula alam teater dapat dibawa ke dalam jiwa remaja anak-anak dalam bentuk yang lebih bersifat didik  hibur, santai. dan berpaksikan kebolehan dan upaya pelajar?

Terlalu banyak persoalan tetapi amat kecil jawapannya. Tidak semua sekolah memberi fokus besar untuk membawa naskah drama dinikmati pelajar sesuai denganm genrenya. Tidak semua pelajar berpeluang menonton pementasan teater dan memahamai teater itu dari lakon di pentas. Tidak semua pengalaman ini menyubur dalam minda dan jiwa pelajar. Mereka hanya membaca dan membaca tanpa ruang untuk menonton dan menikmati.

Apakah teater itu beban berat yang terpaksa dipikul dalam kalangan guru bahasa atau sastera? Adakah ia memerlukan bajet yang besar dengan segala kemudahan  yang mahal untuk mementaskan sebuah teater? 

Marilah kita merenung kembali akan alam teater dan alam pendidikan. Alangkah baiknya jika ia dapat dikolaborasikan dengan sempurna di sekolah.  Pelajar akan lebih memahami maksud teater lebih jauh dari apa yang mereka baca dalam naskah atau teks atau drama yang mereka tonton di televisyen.

Saya tertarik dengan tulisan Johan Jaafar tentang teater.  Tulis beliau 
"Saya sependapat dengan Ghous. Keperluan pendidikan teater di sekolah sudah sekian lama dihujahkan. Kementerian Pendidikan sendiri sudah memulakan pendedahan drama pada peringkat sekolah menengah rendah melalui Komponen Sastera (Komsas) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu. Ini langkah permulaan yang baik. Tetapi memperkenalkan drama tanpa memberi ruang melakonkannya tidak banyak gunanya. Pelajar hanya diperlukan membuat penilaian tema dan struktur drama tersebut."

Malah Johan menekankan "  Teater membolehkan kanak-kanak mengenal potensi diri dan membina keyakinan. Pertumbuhan fizikal dan keboleh mental perlu selari. Lebih penting lagi ialah skil atau kebolehan artistik. Juga menggalakkan komunikasi di antara mereka."

Marilah sebentar kita melihat pada beberapa tulisan tentang teater, konsep pertandingan drama KOMSAS dan beberapa buah drama yang terhasil dari skrip yang pernah dibaca oleh pelajar di sekolah.

Kita mencari semoga ada sinar baru yang lebih manis dan peluang baru yang dapat menerpa ke dalam jiwa dan minda pelajar melalui teater.



Membina keyakinan melalui teater
Johan Jaaffar



Pada tahun 1957 pengarah Herbert Blau mementaskan drama Waiting For Godot di Penjara San Quentin di San Francisco. Drama karya Samuel Beckett itu dianggap salah sebuah naskhah yang memulakan aliran teater absurd. Beckett, bersama-sama Eugene Eunesco, Harold Pinter, Luigi Pirandello dan Guillaume Apollinaire menjadi pelopor aliran itu.

Waiting For Godot ‘memeningkan’ pengkritik teater semasa, dianggap sukar dan di luar kebiasaan. Kritikan teater mendapat suntikan baharu dengan pementasannya. Dunia intelektual bersemarak disebabkan debat mengenai tafsiran dan pemahaman mengenainya.

Drama sesukar itu hendak dipentaskan di penjara yang ditakuti di Amerika Syarikat? Pihak penjara membenarkan pementasan itu kerana kedua-dua wataknya – Vladimir dan Estragon – adalah lelaki. Sesuatu yang menarik berlaku sewaktu pementasan itu. Penghuni penjara itu menyukainya. Apabila ditanyakan apa yang mereka fahamkan tentang cerita itu, mereka membuat pelbagai tafsiran. Godot ditafsirkan sebagai sesuatu yang dicari. Ada yang mengatakan Godot melambangkan Tuhan. Ada yang berpendapat pencarian kedua-dua watak itu sia-sia seperti juga mereka – yang sebahagian besarnya dipenjara seumur hidup.

Teater membuka cakerawala


Demikianlah hasil teater: Membolehkan tafsiran, penilaian dan pemahaman yang berbeza. Teater membuka cakerawala kita terhadap sensitiviti, nilai dan keprihatinan. Teater mengajak kita berfikir di luar kotak.

Ekoran pengumuman Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan baru-baru ini, Profesor Dr Mohamad Ghous Nasssrudin menulis surat di dalam akhbar New Straits Times mengingatkan agar pendidikan seni jangan diabaikan. Pelan itu sepatutnya memberikan juga penekanan pada aspek pendidikan drama atau seni di sekolah.

Saya sependapat dengan Ghous. Keperluan pendidikan teater di sekolah sudah sekian lama dihujahkan. Kementerian Pendidikan sendiri sudah memulakan pendedahan drama pada peringkat sekolah menengah rendah melalui Komponen Sastera (Komsas) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu. Ini langkah permulaan yang baik. Tetapi memperkenalkan drama tanpa memberi ruang melakonkannya tidak banyak gunanya. Pelajar hanya diperlukan membuat penilaian tema dan struktur drama tersebut.

Pengalaman pada tahun 60-an


Sewaktu saya dalam sekolah rendah di sebuah sekolah Inggeris pada tahun 60-an, dua aspek penting dalam pendidikan Bahasa Inggeris ditekankan – nursery rhyme dan drama. Guru Bahasa Inggeris saya ketika itu percaya selain pembelajaran formal nahu dan tatabahasa mudah, lakonan drama pendek perlu dibuat. Pada waktu yang sama menikmati gurindam dan lagu-kanak-kanak diberikan penekanan. Pengajaran bahasa mesti menarik dan tidak membosankan.

Teater membolehkan kanak-kanak mengenal potensi diri dan membina keyakinan. Pertumbuhan fizikal dan keboleh mental perlu selari. Lebih penting lagi ialah skil atau kebolehan artistik. Juga menggalakkan komunikasi di antara mereka.

Teater akan menjadikan kanak-kanak lebih yakin pada diri mereka. Membawakan sesuatu watak akan membolehkan mereka menafsir dan mencipta peribadi watak tersebut. Mereka harus memainkan ‘orang lain’ di dalam kelas atau di hadapan khalayak. Ini pengalaman luar biasa bagi mereka.

Gilap bakat kanak-kanak

Ada pandangan yang mengatakan menggilap bakat teater kanak-kanak akan menjejaskan prestasi akademik mereka. Ini tidak benar. Banyak kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang cemerlang bukan sahaja mempunyai bakat kepemimpinan tetapi juga aktif bersukan, mampu bermain muzik dan juga berdrama.

Lebih penting lagi teater membolehkan anak-anak kita lebih yakin bercakap di khalayak ramai.
Keupayaan ini penting untuk mereka. Kita tidak mahu mereka bersendirian atau menjadi introvert, sebaliknya akan belajar makna dan keperluan kerja berkumpulan atau team work. Teater tidak boleh wujud dalam ruang kosong. Teater memerlukan pasukan petugas. Di sekolah rendah atau tadikapun, sebuah persembahan memerlukan sekumpulan petugas. Ini akan mendedahkan anak-anak dengan cara bekerja berpasukan.

Keyakinan diri


Tidak kurang pentingnya ialah persiapan mental bagi mereka yang terbabit.

Tidak mudah sebenarnya untuk ‘berlakon’ di hadapan orang banyak. Keyakinan diri perlu ada. Dan lakonan mereka akan dinilai. Mereka akan belajar tentang makna teguran dan kritikan. Mereka akan lebih bersedia mendengar komentar mengenai kemampuan mereka.

Ada kalanya mereka akan kecewa. Atau berpendapat mereka boleh melakukannya dengan lebih baik. Ini latihan hidup yang sangat penting bagi kanak-kanak. Kelemahan bukan bererti segala-galanya berakhir dengan kegagalan. Pasti ada ruang untuk memperbaiki kelemahan itu.

Anak-anak kita hari ini banyak menghabiskan masa dengan peralatan canggih dan permainan komputer. Mereka dilalaikan dengan teknologi. Ada baiknya mereka diajak menjadi kreatif dan inovatif. Kita mahukan anak-anak masa depan yang terbuka mindanya, kritis, tidak antisosial dan punya bakat kepemimpinan.
Teater menjadi ruang latihan yang terbaik

berita harian



KERTAS KONSEP DRAMA KOMSAS SEKOLAH MENENGAH KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA


1.0 PENDAHULUAN

1.1 Pertandingan dikendalikan sepenuhnya oleh Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pelajaran Malaysia. Pertandingan ini memberi peluang kepada sekolah-sekolah di seluruh tanah air mementaskan karya terpilih masing-masing berdasarkan teks KOMSAS semasa.

1.2 Pertandingan Peringkat Daerah dikendalikan oleh Pejabat Pelajaran Daerah.

1.3 Pertandingan Peringkat Negeri akan dikendalikan oleh Jabatan Pelajaran Negeri.

1.4 Johan setiap negeri akan mewakili negeri ke pertandingan peringkat Kebangsaan yang akan dikendalikan oleh Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pelajaran Malaysia.

1.5 Pertandingan Drama KOMSAS anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia merujuk pengajaran dan pembelajaran teks komponen sastera dan aktiviti kokurikulum akademik.


2.0 SUMBER

Drama daripada teks Komponen Sastera tingkatan 1 hingga 5.


3.0 TEMA

Nilai-nilai Murni Ke Arah Menjana Kecemerlangan Modal Insan.


4.0 PENYERTAAN

4.1 Murid-murid tingkatan 1 hingga 5 Sekolah Menengah Bantuan Kerajaan, Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Agama Negeri, Sekolah Agama Kerajaan Bantuan Kerajaan.

4.2 Jumlah individu yang terlibat dalam produksi hendaklah tidak melebihi 15 orang termasuk pengarah, pelakon dan krew.
4.3 Senarai nama pelakon dan tenaga produksi hendaklah mendapat pengesahan daripada Pengetua sekolah masing-masing sebelum dikemukakan untuk pertandingan.

4.4 Guru pembimbing / jurulatih hendaklah dilantik dalam kalangan guru.

4.5 Setiap pasukan dibenarkan menghantar tiga ( 03 ) orang guru berdasarkan kapasiti berikut :

4.5.1 Pegawai Penyelaras Negeri ... 1 orang
4.5.2 Guru Pembimbing/ Jurulatih ... 2 orang

4.6 Penyertaan pelbagai kaum dalam kumpulan yang menyertai pertandingan amat digalakkan.

5.0 SKRIP

5.1 Petikan skrip daripada mana-mana buku teks Komponen Sastera Melayu ( KOMSAS ) Tingkatan 1 hingga 5 – drama semasa.

5.2 Skrip boleh diimprovisasi dan diadaptasi tetapi tidak terpesong daripada skrip asal.

5.3 Skrip perlu dihantar kepada urus setia semasa pendaftaran.


6.0 DISIPLIN PENTAS.

6.1 Ruang lakon hanya DIBATASKAN di pentas yang disediakan.

6.2 Prop yang perlu dan bersesuaian dengan skrip sahaja dibenarkan. Penggunaan prop yang berbahaya sama ada digunakan atau sebagai hiasan sewaktu pementasan seperti benda-benda tajam atau senjata dalam bentuk asal adalah TIDAK DIBENARKAN, sebaliknya hendaklah menggunakan replika ( yang selamat ) sahaja.

6.3 Penggunaan bahan letupan, gas, ledakan dan api TIDAK DIBENARKAN.

6.4 Penggunaan alatan multimedia seperti projektor tayangan, projektor LCD serta pancaran laser

TIDAK DIBENARKAN.

6.5 Kumpulan drama TIDAK DIBENARKAN memaparkan unsur-unsur mengghairahkan/ berbaur lucah sama ada melalui perlakuan, dialog atau kostum yang dipakai. Unsur-unsur yang bertentangan dengan nilai-nilai murni masyarakat tempatan, serta bercanggah dengan agama dan keperibadian bangsa Malaysia juga dilarang dalam pementasan.

6.6 Kumpulan juga DILARANG mempamerkan aksi-aksi kekejaman terhadap manusia / haiwan serta perkara-perkara yang bertentangan dengan undang-undang dan dasar kerajaan.

6.7 Setiap kumpulan mestilah mematuhi peraturan penggunaan dewan atau pentas dan bertanggungjawab terhadap pemunggahan prop/ set dan kebersihan selepas produksi serta memastikan keselamatan premis yang digunakan.



7.0 MASA PERSEMBAHAN

7.1 Persembahan tidak melebihi 30 minit, tidak termasuk masa transisi. Persembahan yang melebihi masa yang ditetapkan akan dipotong 5 markah daripada markah keseluruhan.

7.2 Masa untuk persiapan dihadkan selama 5 minit dan masa mengosongkan pentas dihadkan selama 5 minit.

7.3 Masa persembahan dikira bermula daripada intro persembahan sama ada dalam bentuk muzik, aksi atau dialog.

8.0 PEMARKAHAN


8.1 Bahasa ( 40 markah )

8.1.1 Pengucapan dialog yang lancar menggunakan struktur ayat yang betul dari segi tatabahasa dan sesuai dengan watak

8.1.2 Pemilihan kosa kata yang betul, jelas dan sesuai dengan watak

8.1.3 Intonasi dan nada suara yang kuat, jelas dan sesuai dengan watak

8.1.4 Penggunaan kata, frasa, bahasa kiasan, peribahasa, perumpamaan dan pantun mengikut situasi yangg sesuai dengan watak

8.1.5 Memperlihatkan penggunaan ragam bahasa yang sejadi sesuai dengan watak dan budaya setempat

8.1.6 Pengolahan bahasa yang baik dan indah serta gramatis



8.2 Persembahan (20 markah)

8.2.1 Memperlihatkan persembahan yang meyakinkan.

8.2.2 Memperlihatkan persembahan yang menarik.

8.2.3 Memperlihatkan persembahan yang kreatif.

8.2.4 Memperlihatkan persembahan yang kaya dengan eleman dramatik.

8.2.5 Memperlihatkan sebuah persembahan yang berjaya mengangkat tema, pemikiran dan nilai-nilai murni dengan jelas.


8.3 Lakonan ( 20 markah )

 8.3.1 Pelakon berjaya mentafsir dan membentuk watak serta perwatakan dengan baik.

8.3.2 Pelakon berjaya memperlihatkan lakonan melalui pergerakan
( gerak, gerak isyarat / gesture dan ekspresi ) dengan baik.

8.3.3 Pelakon berjaya memperlihatkan kesatuan lakonan ( suara – artikulasi, intonasi dan projeksi ) yang baik .

8.3.4 Pelakon berjaya memperlihatkan kesatuan lakonan (sebagai satu ensembel) dengan baik.

8.3.5 Pelakon berjaya memperlihatkan penghayatan watak dengan baik.

8.3.6 Pelakon berjaya mengolah bahasa dengan baik dan indah.



8.4 Sinografi ( 10 markah )

8.4.1 Rekaan set yang menarik, berfungsi dan dimanfaatkan.

8.4.2 Rekaan/pilihan prop yang menarik, berfungsi dan dimanfaatkan.

8.4.3 Rekaan cahaya yang menarik dan bermakna.

8.4.4 Tatarias yang memperkuatkan watak dan perwatakan.

8.4.5 Rekaan/pilihan kostum yang sesuai, menarik dan mampu memperkuatkan watak dan peratakan.

8.4.6 Kesan khas dan kesan bunyi yang menarik dan berkesan.


8.5 Pengarahan ( 10 markah )

8.5.1 Pengarah berjaya melakukan tafsiran yang tepat dan menarik terhadap skrip.

8.5.2 Pengarah berjaya mentafsir dan membentuk watak serta perwatakan dalam drama.

8.5.3 Pengarah berjaya membentuk dan mengawal keseluruhan lakonan dengan baik.




9.0 PENGHAKIMAN / PENILAIAN.

9.1 Peringkat Daerah dinilai oleh 3-5 orang hakim, termasuk Ketua Hakim.
9.2 Peringkat Negeri dinilai oleh 3-5 orang hakim, termasuk Ketua Hakim.
9.3 Peringkat Kebangsaan dinilai oleh 5 orang hakim, termasuk Ketua Hakim.
9.4 Setiap hakim akan menilai pertandingan secara keseluruhan.
9.5 Keputusan rasmi dibuat secara sistem juri.
9.6 Hakim mesti mematuhi peraturan pertandingan kertas konsep Kementerian Pelajaran Malaysia.
9.7 Keputusan Panel Hakim adalah MUKTAMAD.


10.0 DISIPLIN PESERTA

10.1 Semua peserta hendaklah menjaga disiplin diri sepanjang pertandingan ini berlangsung terutama tatacara berpakaian dan adab kelakuan bagi menjaga nama baik program, individu serta sekolah.

10.2 Penggunaan selipar, berseluar pendek, baju ’t’ tanpa kolar serta pakaian yang mencolok mata adalah DILARANG sama sekali sewaktu menonton persembahan sepanjang pertandingan berlangsung, termasuk Majlis Perasmian dan Penyampaian Hadiah.

10.3 Setiap pasukan mestilah mematuhi arahan dan peraturan pihak penganjur/ pengelola bagi memastikan kelancaran program.


11.0 TINDAKAN



11.1 Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia berhak MEMBATALKAN penyertaan kumpulan yang melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam kertas konsep .

12.0 AM

Sebarang pindaan adalah tertakluk kepada Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan  Malaysia.


16 buah pasukan sertai pertandingan teater Komsas

KUMPULAN teater SMK Telok Panglima Garang bersama guru pembimbing bergambar di hadapan Dewan Al Jazari, SMT Sepang, Selangor baru-baru ini.

BERBAKAT. Sebanyak 16 pasukan menyertai Pertandingan Teater Komsas Sekolah Menengah Malaysia Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Dewan Al-Jazari, Sekolah Menengah Teknik (SMT) Sepang, Selangor baru-baru ini.

Ini merupakan kali pertama pertandingan tersebut dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran. Sebelum ini program itu dikendalikan oleh Suruhanjaya Penc

kosmo online

Kuasa Komsas di gelanggang teater


ISMAIL KASSAN nama yang cukup disegani apatah lagi jika dibelek karya-karyanya seperti Pelayaran Inderaputera 2, Menanti Puteri Hijau, Istiqamah dan Gelanggang Tok Wali.

Bagi yang kurang cakna pada perkembangan kesusasteraan Melayu, ada antara karya yang disebutkan itu kini diangkat menjadi teks Komponen Sastera Dalam Pendidikan Dalam Bahasa Melayu (Komsas) pelajar tingkatan empat iaitu Gelanggang Tok Wali.

Selain dikaji dan ditelaah secara teliti dan terperinci, teks itu juga kini dinaik taraf menjadi sebuah persembahan teater.

Menurut pengarah Gelanggang Tok Wali, Joosaidy Johari, kali pertama karya itu dipentaskan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati, Kuala Lumpur pada bulan April lalu, sambutan yang diterima adalah di luar jangka.

“Maka, atas permintaan ramai Gelanggang Tok Wali bakal dipentaskan pula di pentas prestij, Lambang Sari Istana Budaya bermula 28 hingga 31 Julai nanti,” bicaranya yang ditemui ketika sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Gelanggang Tok Wali mengisahkan kekentalan semangat juang dan jati diri seorang guru silat bernama Wan Raja Wailudin Raja Bin Raja Agus Salam atau Tok Wali dalam mempertahankan warisan budaya bangsanya pada suatu ketika dahulu sehingga menjadi kebanggaan generasi ke generasi.

Melalui watak Tok Wali, terdapat juga pergolakan masyarakat khususnya golongan muda yang kian melupai akar budaya diselitkan termasuk kebangkitan pelbagai permasalahan sosial.

Mazlan Tahir yang diamanahkan mendukung watak utama yakni Tok Wali turut disokong oleh pelakon terkenal Umi Kalsum yang memegang watak Mak Umi.

Selain mereka, Gelanggang Tok Wali turut mengetengahkan wajah-wajah segar antaranya Syazwan Hashim, Eiz Omea (Anak Wayang), Alex Yanz (Anak Wayang), Afiq Muiz dan Atrash.

Bersilat

Bagi Syazwan yang menggalas watak Ripin, berdepan cabaran memainkan perwatakan seseorang yang lebih berusia daripada umur sebenarnya sememangnya dinanti-nantikannya.

“Dalam teater ini saya akan menjadi seorang pesilat yang berusia sekitar 30-an dan saya akui memang sukar untuk melontarkan gaya bahasa sebagai seorang yang lebih matang daripada usia sebenar melainkan terpaksa membuat kajian sendiri dan memerhatikan persekitaran kita,” katanya yang kini berumur 23 tahun.

Kebanyakan watak dalam teater yang sarat dengan pertempuran dan seni persilatan ini didominasi oleh lelaki dan hanya dua pelakon wanita sahaja yang terlibat.

Penglibatan kali kedua Eiz Omea dalam pementasan teater selain memerlukannya mempelajari jurus silat sudah cukup mengujakannya.

“Saya akan memegang watak Mariam iaitu anak murid kesayangan Tok Wali dan individu paling rapat dengan Ripin.

“Dalam masa yang sama, saya perlu berlatih selama seminggu demi mempelajari bunga-bunga silat sehingga kaki melecet,” ceritanya penuh bersemangat.

Antagonis dalam protagonis

Menyandang gelaran Imam yang punyai hasad dengki dalam teater sulung lakonannya, Alex Yanz masih mengakui banyak lagi yang perlu dipelajarinya.

“Selama empat tahun dalam dunia seni, ini pertama kali saya berlakon teater dan memikul watak yang agak mencabar, saya akui lebih banyak kepuasan sebenarnya diperoleh berbanding berlakon drama atau filem.

“Watak Imam yang saya bawa juga agak berbeza, dalam pada menyeru ke arah kebaikan, sifat azali manusia yang juga berdendam dan cemburu turut merajai diri,” tuturnya bercerita mengenai peranannya dalam Gelanggang Tok Wali.


Gelanggang Tok Wali: Tonjol kehebatan
Disiarkan pada 17y Januari 2014
Peminat teater tentu maklum dengan kehebatan teater Gelanggang Tok Wali karya Ismail Kassan yang pernah dipentaskan di Istana Budaya pada 28 hingga 30 Julai 2011.

Ia yang mengisahkan semangat juang dan jati diri seorang guru silat bernama Wak Raja Wailudin Raja bin Raja Agus Salam atau Tuk Wali dalam mempertahankan warisan budaya bangsanya yang suatu ketika dulu menjadi kebanggaan generasi sebelum ini.

Terbaru, naskhah ini akan dipentaskan kembali di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Terengganu, Kuala Terengganu pada 26 Februari hingga 1 Mac 2014 depan.

Menampilkan barisan pelakon teater berbakat besar seperti Mazlan Tahir, Raja Azrey, Nas Adilla dan Umi Kalsum, teater arahan Joosaidy Ibrahim ini dianjurkan Pertubuhan Kesenian Beringin Kuala Lumpur & Selangor dengan kerjasama Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.


Menurut Joosaidy, teater yang turut menjadi subjek pelajaran Komponen Sastera (KOMSAS) tingkatan empat untuk genre drama dari tahun 2000 hingga 2015 ini dipilih kerana mempunyai keistimewaan tersendiri.


"Naskhah ini ada jati diri masyarakat Melayu yang kuat dan mengangkat darjat Melayu. Tok Wali adalah seorang guru agama dan latar belakangnya sangat hebat dalam kalangan masyarakat. Namun golongan sekarang sudah melupakan kehebatannya dan inilah sebabnya teater ini perlu dipentaskan kembali.

"Saya menggambarkan cerita ini dalam latar tahun 1990-an, manakala Tok Wali berusia sekitar 60-an. Watak Tok Wali akan digalas oleh Mazlan Tahir dan saya percaya dia mampu melakonkan tanggungjawabnya dengan baik. Dia akan dibantu oleh Umi Kalsum yang juga seorang pelakon teater, membawakan watak Mak Umi," katanya.

Joosaidy berkata, naskhah ini kekal dengan cerita asal tanpa pindaan kerana ia menjadi bahan pembelajaran pelajar tingkatan empat.

"Saya tak nak kelirukan mereka nanti. Penambahan cuma dibuat dengan memasukkan lagu-lagu untuk menarik minat generasi muda datang menonton," katanya.

Menurutnya, pementasan yang turut menampilkan kerjasama Kumpulan Kesenian Orang Ulu, Terengganu (KEHULU) dan fakulti Seni Teater Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini turut dimeriahkan dengan karnival seni bertujuan memupuk minat pelajar sekolah terhadap seni persembahan teater di negara kita.

"Saya bercadang untuk menjelajah ke Pulau Pinang, Melaka dan Johor iaitu tempat asal Tok Wali selepas ini. Bagaimanapun usaha ini memerlukan sokongan daripada penaja kerana kos yang diperlukan agak tinggi. Sekiranya ada, tak mustahil kami akan bergerak ke seluruh negara.

"Teater ini sebenarnya mempunyai banyak kelebihan. Banyak perkara menarik yang nak diketengahkan. Penonton di luar Kuala Lumpur tak berpeluang menonton sebelum ini. Kerana inilah kami nak bawa pementasan ini kepada mereka bagi memberikan mereka pengalaman baru.


"Tiket untuk menyaksikan pementasan ini ialah RM10 untuk pelajar dan RM20 hingga RM50 untuk orang dewasa. Justeru saya mengharapkan kerjasama daripada syarikat korporat untuk membeli tiket dan seterusnya mengagihkan kepada para pelajar sekolah bagi memberi peluang mereka menonton," katanya.




Comments

Post a Comment