zaihasra

 
catatan
zaihasra

dinding kaca mengalirkan  retaknya
embun menampar muka
di bawah hari yang kelam dalam sinar
dan diri dimamah angin
lewat mimpi manis
semuanya melewati garis
kemanusiaan yang menuntut.

kitakah yang berani berdepan
dengan kenytaan yang perih
tetapi amat memberikan erti
atau kitakah yang takut
pada angin dan bayang-bayang

kalau demikian garis takdir
atau tuntutan diri
apakah yang lebih bererti
untuk mengisi kebebasan dan kemerdekaan
seseorang kita yang bernama manusia

kuala lumpur
24 mac 1979



doa
zaihasra

waktu bulan pucat di tengah langit
dalam kelam kulihat bayang sendiri
tanpa suara dan segalanya
kecuali doa

Tuhanku yang pengasih
andaikata malam kabut begini
memberi pengertian untukku
seorang pencari cintamu
maka, kutadahkan setulus harap
dari kamar sempit ini
dari jendekala kaca yang kaku

Tuhanku yang pengasih
berikanlah aku beberapa harapan lagi
untuk esok yang pasti tiba
demi segala kekuatan dan keagungan-Mu
aku merasa semakin kecil.
dan katakanlah mati memberikan pengertian
 buat seorang yang bernama manusia
maka, kupinta kepada-Mu
suatu penangguhan

Tuhanku yang pengasih
demi kebesaran-Mu
aku tetap memohon
matari masih bersinar esok dan esoknya

ii
malam yang dikaburi kabut
dan bulan bersabit
akulah menyakini sesuatu
biarlah embun kaar tidak turun
membasahi sedikit ketenangan

 


ZAIHASRA
Zaiton binti Ketot @ Abdullah, Noor Zaitun)

LAHIR : 28 Februari 1951, di Kampung Sungai Buluh, Alor Gajah, Melaka.
MENINGGAL : 22 November 1989.

NAMA Zaihasra menyerlah dalam dunia penulisan tanah air sejak dua dekad yang lalu dengan kelahiran puisi-puisinya yang merakamkan peristiwa dan rasa yang menyentuh diri, cinta, kesepian, putus asa dan harapan.

Zaihasra lahir dari satu keluarga tani yang hidup dalam kesederhanaan. Beliau berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia dan pernah bekerja sebagai kerani di salah sebuah kilang getah di Sungai Buluh, Alor Gajah, Melaka. Kemudian beliau bertugas pula di Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama tujuh tahun sebagai penerbit rancangan sastera. Beberapa tahun kemudian, beliau menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan membuka syarikat pembekal keperluan pejabat secara kecil-kecilan. Atas dorongan kecintaan kepada keindahan alam, Zaihasra meneroka bidang seni taman dan lanskap dengan menubuhkan Syarikat Jitu Sdn. Bhd. bersama-sama seorang rakan kongsi. Antara beberapa projek lanskap yang diusahakan oleh syarikatnya ialah di Bulatan Semarak dan Projek Lembaga Letrik Negara di Pekan, Pahang.

Tahun 1970-an merupakan detik awal bermulanya kegiatan beliau dalam dunia penulisan puisi, ditambah pula dengan penghijrahan beliau ke Kuala Lumpur pada tahun 1972. Puisi awal beliau yang berjudul “Mama” disiarkan dalam Dewan Sastera pada tahun 1971.

Dalam penghasilan puisi, Zaihasra lebih suka menarik perhatian pembaca kepada realiti hidup. Beliau mendekatkan diri kepada alam, membandingkan kehidupan flora dan fauna dengan dirinya sendiri dan mencari kebenaran kata-kata, bertunjangkan keimanan dan harga diri. Kekuatan puisi Zaihasra terletak pada kematangan fikiran dan perasaannya yang disatukan dengan fenomena alam seperti hukum kewujudan yang sepatutnya. Tema cinta, setia, rindu, sepi dan konflik diri menjadi pilihan Zaihasra.

Kehadiran beliau dalam dunia penulisan puisi telah menyerlah bakat serta potensinya, terutama apabila dalam tempoh tiga tahun berturut-turut, beliau telah memenangi Hadiah Karya Sastera dengan puisi-puisinya berjudul “Lautan di Waktu Subuh” pada tahun 1973, “Di Sini Waktu yang Luka”, “Sebuah Cinta Semakin Ungu” dan “Satu Detik yang Teruji”. Ketiga-tiga buah puisinya termuat dalam kumpulan puisi Dalam Pelarian Satu.

Beliau juga pernah mendapat hadiah penghargaan dalam sayembara puisi anjuran Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA). Selain itu, puisi beliau yang berjudul “Penghayatan” telah memenangi Hadiah Khas Puisi Berita Minggu yang mengungkapkan satu pengalaman rohaniah dan akaliah, iaitu memperlihatkan satu fasa hidup bara dalam keresahan hidup dan ketenangan yang diperoleh melalui kebesaran Ilahi.

Dalam Pelarian Satu mengandungi 40 buah puisi pilihan yang ditulis antara tahun 1972-1976. Dalam Pelarian Tiga pula, terdapat 30 buah puisi yang tidak mempunyai tajuk tetapi hanya dicatatkan angka bilangan 1–30. Puisi-puisi dalam kumpulan ini menggambarkan kehidupan penyair yang romantis serta peristiwa yang pernah beliau alami.

Zaihasra pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja Persatuan Penulis Malaysia (PENA) untuk tempoh dua penggal iaitu 1984/85 dan 1986/87. Bersama-sama Siti Zainon Ismail, beliau menghasilkan sebuah antologi puisi yang berjudul “Akuarium Kota”. Beliau juga telah menubuhkan kumpulan “Cindai Cinta”, iaitu kumpulan yang mempersembahkan lagu-lagu puisi bersama penyanyi Junainah M. Amin dan Maisara.

Zaihasra bersama-sama beberapa orang penyair lain sempat merakamkan deklamasi puisi mereka dalam kaset “Puisi-puisi Malaysia” terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Puisi beliau berjudul “Suatu Senja Aku Berlari di Sini Menanti Keretapi Tiba tapi Dia Telah Pergi” turut dirakamkan.
Kebanyakan puisi Zaihasra disiarkan dalam Dewan Sastera, Mastika, Dewan Masyarakat, Utusan Zaman, Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan lain-lain.

Dalam Pelarian Empat ialah novel sulung yang begitu menarik pengolahannya. Novel ini menonjolkan satu falsafah yang amat berguna, iaitu kelembutan hari yang lalu dan rakusnya kejadian yang serba berkemungkinan sering menjadikan manusia dewasa.

Nama Zaihasra adalah hasil gabungan beberapa singkatan nama seperti “Zai” untuk Zaiton, “Has” untuk Hasnah, iaitu nama timang-timangan yang diberikan oleh kedua-dua orang tuanya dan “Ra” adalah rahsia bagi dirinya. Selama penglibatannya dalam dunia kesusasteraan, Zaihasra memilih ungkapan “pelarian” sebagai identiti dirinya. Menerusi ungkapan ini, beliau telah menghasilkan tiga buah karya, iaitu Dalam Pelarian Satu, Dalam Pelarian Tiga dan Dalam Pelarian Empat. Menurutnya, Dalam Pelarian Kedua itu adalah gambaran tentang dirinya sendiri.

Pada 22 November 1989, dalam usia 38 tahun, Zaihasra telah menghembuskan nafas yang terakhir di Hospital Besar Kuala Lumpur akibat sakit buah pinggang yang dihidapinya sejak beberapa lama dulu. Jenazah beliau disemadikan di Taman Greenwood, Gombak. Pemergian Zaihasra adalah suatu kehilangan yang besar dalam dunia kesusasteraan Melayu tanah air.

KARYA

Novel
Dalam Pelarian Empat. Kuala Lumpur: Tra-Tra Publishing & Trading Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 1982

Puisi
Dalam Pelarian I. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1977
Dalam Pelarian Tiga. Melaka: Abbas Bandung, 1987
Balada Tun Fatimah. Brunei: Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, 1987
Laut, Pohon dan Kota. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988


TEKS PELANCARAN ANTOLOGI BUKU "AKUARIUM KOTA" 
KARYA PUAN ZAIHASRA DAN PUAN SITI ZAINON ISMAIL
OLEH DATIN SERI DR SITI HASMAH BINTI HAJI MOHD ALI DI FOYER DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR
PADA 12 FEBRUARI 1988

Assalamualaikum Warahmatulahi Wabarakatuh Bunga selasih bunga kasturi Pucuk kundang tidak berduri Terima kasih kerana sudi Mengundang saya ke pertemuan ini Kalau tidak kelapa puan Tidak puan kelapa bali Kalau tidak kerana tuan puan Tidaklah saya datang ke mari Pertama kali datang ke sini Berserta tuan dengan puisi Bangga saya wanita masa kini Khususnya penyair Zaihasra dan Siti Cindai Cinta nama diberi Mengangkatkan puisi untuk dinikmati Masyarakat harus menghormati Puisi adalah jantung budaya abadi Yang Berhormat Menteri-Menteri Tuan-Tuan Yang Terutama Sasterawan-Sasterawan Negara Penyair-Penyair Undangan Puan-puan dan Tuan-tuan Sebagai penduduk kota kita selalunya seperti tidak mempunyai masa bagi menghayati keriuhan dan keresahan rasa manusia tetapi selalu juga diusik perasaan sebak, marah dan terkejut. Namun bagi dunia penyair hal inilah yang menggugahnya sehingga muncul dan terbena dalam karya-karya seni. Barangkali ini jugalah bakal kita temui di dalam AKUARIUM KOTA dari rasa gugahan penyair wanita kita ini.

2. Wanita Malaysia mempunyai sejarah yang gemilang. Di alam Melayu kita pernah mengenali nama-nama seperti Tun Fatimah, Tun Kudu, Siti Zubaidah, Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong atau Puteri Sentubung.

Wanita masa kini turut memainkan peranan penting khususnya dari zaman rakyat memperjuangkan kemerdekaan hinggalah wanita menceburi diri dalam bidang kewartawanan sampailah ke bidang politik. Kita menyedari kegemilangan perjuangan Ibu Zain, (sekarang ini Tan Sri) Ibu Khatijah, Tan Sri Fatimah Hashim, Tan Sri Datin Paduka Hajah Aishah Ghani dan lain-lain yang tercatit dalam sejarah wanita Malaysia. Di peringkat antarabangsa pula nama-nama seperti Indira Gandhi, Corazon Aquino dan Margaret Thatcher adalah tokoh-tokoh wanita terkenal dalam bidang politik.

3. Puisi bukanlah sekadar memperkatakan dunia realiti itu sahaja, namun lebihmenyorot kepada inti masalah itu sendiri. Sebagai karya sastera, puisi adalah cabang ilmu, gabungan sukma dan rakaman pemikiran manusia. Dalam Islam sendiri Tuhan juga menyenangi pada keindahan. (Al-Jamal)" Tuhan itu indah, dan sememangnya sukakan keindahan."

4. Lahirnya penyair wanita terkenal di Andalusia (kini Sepanyol Selatan) iaitu Walladah, puteri istana yang merindui Ibnu Zaidon; atau Laila Abdullah di daerah Tanah Arab (Jazirah Arab), yang merindui Tauba bin Hamir, sehingga sejarah sastera Arab terkenal dengan kisah "Laila Majnun" telah mengangkat syair-syair itu ke tingkatan yang istimewa!

5. Di Nusantara sendiri, Tengku Puteri dari Istana Penyengat Riau, anakanda Raja Ali Haji, terus menghasilkan puisi di abad ke 19. Di Malaysia penulis-penulis terkenal seperti Azah Aziz, Adibah Amin, Khatijah Hashim, Zaharah Nawawi, Salmah Mohsin, Salmi Manja dan lain-lain telah turut mewarnakan dunia kesusasteraan kita.

Puan-puan dan Tuan-tuan

6. Penulis boleh memainkan peranan yang penting dalam pembentukan pemikiran masyarakat. Dengan demikian saya menyeru kepada penulis-penulis wanita khususnya dan sasterawan-sasterawan yang lainsupaya membantu mewujudkan masyarakat Melayu yang mampu menghadapi persaingan ekonomi dan sosial dewasa ini. Untuk tujuan tersebut kita perlulah mendidik kanak-kanak dari awal lagi dengan semangat membaca. Saya berharap mereka boleh menulis puisi untuk kanak-kanak (nursery rhymes), dan lain-lain bahan bacaan untuk menarik minat mereka. Tahun ini ialah "Tahun Membaca" dan dengan itu kita perlulah menanam semangat membaca di kalangan kanak-kanak. Karya untuk kanak-kanak perlulah menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh mereka dan disemai dengan nilai-nilai yang murni, positif, dinamis dan kreatif kerana nilai-nilai itu keseluruhannya akan membentuk watak yang kita cita-citakan.

7. Satu lagi usaha yang patut dijalankan ialah untuk mempopularkan puisi dikalangan orang ramai. Pertandingan puisi, cerpen dan skrip drama, deklamasi sajak, berbalas pantun, pertandingan kuiz, perbahasan dan pementasan drama boleh digalakkan dikalangan murid-murid sekolah, persatuan-persatuan belia dan wanita dan juga kakitangan Kerajaan. Dengan pelancaran gerakan "Cintailah Bahasa Kita" saya yakin acara-acara yang saya sebutkan tadi boleh menggalakkan kegunaan Bahasa Malaysia oleh orang ramai.

Puan-puan dan Tuan-tuan

8. Saya berharap agar usaha yang dilakukan oleh Cindai Cinta dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk menerbitkan antologi AKUARIUM KOTA karya Puan Zaihasra dan Puan Siti Zainon, akan mendapat sambutan dari pihak-pihak yang berkenaan terutama sekali pada peminat sastera, pengkritik dan pemerhati sastera dalam usaha mengangkatkan karya puisi itu ke peringkat yang tinggi dalam masyarakat. Saya juga berharap semoga pertubuhan-pertubuhan seperti PERTAMA dapat memberi sokongan terhadap karya-karya wanita dan meletakkan puisi ke tempat yang sewajarnya untuk dinikmati semua.

9. Dengan ini saya melancarkan antologi puisi AKUARIUM KOTA oleh penyair Zaihasra dan Siti Zainon Ismail.

(gamelan akan berbunyi sebentar) O suara yang mengetuk-ngetuk dinding sukma redup dan lampai rindu pun terapung penuh menggumpal Mengenang-Mu selalu Dalam Doa Ku genggam cinta-Mu Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


koleksi arkib ucapan


SISI LAIN ZAIHASRA

Berpulangnya Zaihasra pada 22 November 1989, dalam usia 38 tahun, adalah pemergian dan kehilangan yang sangat dirasai oleh sebilangan besar pecinta sastra di Malaysia. Kelunakan dan kemahirannya berpuisi, menyebabkan Zaihasra dikelaskan dalam kelompoknya sendiri. Sebagai deklamator, beliau sangat mementingkan perasaan. Hingga setiap butir kata yang lungsur dari tenggorokannya sangat menghiris dan meresap ke dalam batin pendengarnya. Sebagai penulis, puisi-puisinya telah mendapat pelbagai hadiah. Pada tahun 1973, 1974, 1975, beliau telah memenangi Hadiah Karya Sastra sementara 1984/85 dan 1986/87 memenangi Hadiah Karya Sastra Malaysia.

Dilahirkan pada 28 Februari 1951 di Kampung Sungai Buluh, Alor Gajah, Melaka, Malaysia dengan nama Zaiton @ Noor Zaiton binti Ketot @ Abdullah. Pendidikannya sehingga Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ) dan mulai menulis pada tahun 1970an lagi. Puisi pertamanya, Mama tersiar di Dewan Sastra ( 1971 ) yang kemudiannya diikut muat dalam akhbar dan majalah Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Berita Minggu, Mastika dan Mingguan Malaysia. Beliau berhasil membuat tiga kumpulan puisi iaitu Dalam Perjalanan Satu ( DBP,1977 ) Dalam Perjalanan Dua ( stenselan, 1977 ) Dalam Perjalanan Tiga ( Abbas Bandung, 1987 ) dan Balada Tun Fatimah ( Syarikat Jingga, 1987 ) serta Laut, Pohon dan Kota ( 1988 ) Akuarium Kota ( bersama Siti Zainon Ismail, 1988 ) Gema Membelah Gema, Titian Zaman dan Bacaan Puisi-Puisi Dari Malaysia dalam bentuk tali pita ( kaset ) ( DBP. 1980 ) Dalam kaset tersebut, Zaihasra membacakan puisi Suatu Senja Aku Berlari Di Sini, Menanti Keretapi Tiba, Tetapi Dia Telah Pergi. Puisi tersebut tersenarai sebagai ' puisi berhantu ' hingga menjadi kegemaran peminat-peminat puisi tanahair.

Zaihasra pernah bertugas sebagai penerbit Rancangan Sastra di Radio Malaysia suatu ketika dulu dan merupakan ruangan yang dinanti-nantikan oleh para pendengarnya. Rancangan ini ke udara setiap hari Rabu malam jam 8.30 ini akan dikumandangkan dengan suara beliau yang serak-serak basah, menarik ribuan pendengar menunggu di corong-corong radio. Dengan berita dan kegiatan sastra di selang seli dengan bacaan puisi oleh beliau, sastra menjadi medium paling berkembang dan diminati. Radio Malaysia harus mengembalikan rancangan tersebut ketika ini dengan mempertimbangkan hostnya Mariamah Tijo, istri kepada sasterawan dan dramawan Othman Haji Zainuddin. Puisi-puisi Zaihasra pernah digubah oleh kompuser terkenal, Johari Salleh, Bob Khalil dan A.R. Ismail. Bersama temannya Maisara, beliau mengusahakan Syarikat Jitu Sdn. Bhd. yang mengusahakan lanskaping. Beliau pernah menjadi istri sasterawan dan penyair terkenal Jaafar Husin @ Jaafa H.S. pegawai bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur sebelum bercerai.

Topik yang dipaparkan oleh Zaihasra adalah berkaitan dengan perasaan wanita seperti pengalaman, kerinduan, harapan, kekecewaan dan kesabaran dari dalam diri penyair tersebut sembari penghayatannya sangat mendalam. Dalam period 1972-1982, Zaihasra seakan berada dalam dunia escapisme di mana pelarian menjadi tema utamanya. Kemudian beliau menuju kepada keabadian sejarah bila mana menampilkan puisi panjang Balada Tun Fatimah ( 1987 ) sebuah kumpulan puisi yang diajukan untuk Hadiah Puisi Putra 1984. Menjelang hari-hari terakhirnya, puisi-puisi beliau mengarah kepada ketuhanan. Dalam rangkap terakhir sajak Perjalanan, beliau menulis begini;

Aku berdiri di tengahnya
melihat keindahan yang tersembunyi
bagai mutiara yang hidup dalam lokannya
melontarkan suara buat kekasih
mendekat, dan semakin mendekat
bila didekati

Dan tidaklah aku pelarian lagi
- ketika telah kudekati kau
menyatu tanpa ragu dan alpa
Kekasihku

( Mastika, Januari 1990. hal. 38 )

Puisi ini tersiar selepas kematiannya. Sebelumnya, dalam kebanyakkan puisinya disentuh tentang Pelarian, Zaihasra mengumpulkannya dalam Pelarian Satu, Pelarian Dua, Pelarian Tiga, Pelarian Empat ( sebuah novel terbitan Tra-Tra Publishing ) Beliau dilihat mencari sesuatu dalam pelarian tersebut. Dalam satu kata pengantarnya, beliau menulis, " sebagai manusia yang amat perasa terhadap pengaruh alam di sekelilingnya malah kehidupannya sendiri, seniman adalah manusia yang tidak lupa untuk mencatatkan apa yang dirasai dan dilihatnya. Dan di dalam usaha untuk mendewasakan diri serta pengalamannya, manusia harus berani memberi erti pada hidupnya sendiri ( Dalam Pelarian Satu, DBP, 1971 )

Dalam pencariannya, Zaihasra memercikkan representif dunia wanitanya yang rata-rata mengeksploitasi masalah cinta, kesetiaan, keindahan dan kesepian serta konflik antara pemikiran dan perasaan ( Darwis Harahap, Berita Minggu, 12 Januari 1993 ) rata-rata puisinya ke arah itu seperti Lautan Waktu Subuh, Di Sini Waktu Yang Luka, Sebuah Cinta Semakin Ungu ( DSWYLSCSU ) dan sajak panjang Suatu Senja Aku Berlari di Sini, Menanti Keretapi Tiba, Tetapi Dia Telah Pergi.

Dalam bait-baitnya Zaihasra merayu;

Lewat usia kini menemukan
alam dalam bentuk seginya
bersuara
Aku kian jauh
melampui beku masa lalu
di sini sarat-sarat keyakinan
menyatakan kewujudan
( DSWYLSCSU )

Dalam Perjalanan, Zaihasra menulis;

Kutatap bulan pagi
dan kupeluk cahayanya
ada rindu yang terbakar
di celah bukit pasir ini

Mengenang Zaihasra adalah menganyam bilah-bilah sembilu yang menghiris-hiris hati dan perasaan. Jasad yang disemadikan di tanah perkuburan Taman Greenwood, Gombak, Kuala Lumpur kerana sakit buah pinggang ini, selamanya abadi dalam kenangan.

dikir orang timur

Comments