PAHLAWAN KEMERDEKAAN
(kepada pahlawan Pahang)
Pahlawan!
Jika hilangmu tanpa pusara
jika pusaramu tanpa nama
jika namamu tanpa bunga
penjajah mengatakan kau derhaka
maka kaulah pahlawan sebenarnya.
Gema seabad silam
Inggeris datang meredah Pahang
bersama peluru bersama senapang
membunuh menangkap setiap pejuang
Sungai Semanatan berubah merah
bukan sarap hilir ke kuala
bukan rakit mudik ke hulu
arus merahnya menjulang mayat
pahlawan bangsa pahlawan rakyat
tujuh liang dadanya tersayat.
Pahlawan!
Untukmu derita untukmu penjara
bukan bintang tersemat di dada
semangatmu api negara berdaulat
namamu terukir di jantung rakyat.
Tongkat Warrant
Nasib Buruh
Melarat di sepanjang jalan hidup
tidak kira, tubuh perit dipanggang suria
tidak hirau, dingin hujan menyiram muka
terus bekerja... terus pula menderita
Di rumah anak-anak dan isteri muram durja
apa untuk dimakan segala tiada
pakaian compang-camping
namun.... hidup diteruskan juga
Sumpah seranah majikan
segala diterima dengan senyum getir
patuh dalam kesabaran derita
untuk sesen wang yang diterima
Tapi semakin ditindas-tindas
jiwa buruh semakin bergelora
bersatu, bertenaga, bekerja dan berjuang
mancapai taraf hidup setara manusia
Usman Awang
mei 1950
Jiwa Hamba
Termenung seketika sunyi sejenak
Kosong di jiwa tiada penghuni
Hidup terasa diperbudak-budak
Hanya suara melambung tinggi
Berpusing roda beralihlah masa
Pelbagai neka hidup di bumi
Selagi hidup berjiwa hamba
Pasti tetap terjajah abadi
Kalau hidup ingin merdeka
Tiada tercapai hanya berkata
Ke muka maju sekata, maju kita
Melemparkan jauh jiwa hamba
Ingatkan kembali kata sakti
Dari bahang kesedaran berapi
Di atas robohan Kota Melaka
Kita dirikan jiwa merdeka
Tongkat Warrant
1949
Bahasa Bonda
Tersusun indah menjadi madah
jauh mengimbau menjangkau pulau
ayun beralun lembut membuai
jauh meresap mendakap damai.
Ada ketika marak menyala
memercik api semangat bangsa
meletus gemuruh menyadap segala
menjadi alat perjuangan merdeka.
Seribu tingkah membawa lagu
mainan gadis diusik rindu
senjata teruna menawan cinta
pusaka rakyat pendukung budaya.
Seribu bahasa kita bicara,
manakan sama bahasa bonda.
Usman Awang
1954
Kekasih
Akan kupintal buih-buih
menjadi tali
mengikatmu
akan kuanyam gelombang-gelombang
menjadi hamparan
ranjang tidurmu
akan kutenun awan-gemawan
menjadi selendang
menudungi rambutmu
akan kujahit bayu gunung
menjadi baju
pakaian malammu
akan kupetik bintang timur
menjadi kerongsang
menyinari dadamu
akan kujolok bulan gerhana
menjadi lampu
menyuluhi rindu
akan kurebahkan matari
menjadi laut malammu
menghirup sakar madumu
Kekasih, hitunglah mimpi
yang membunuh realiti
dengan syurga ilusi.
Usman Awang
Biografi
Sasterawan Negara Dato’ (Dr) Usman Awang @ Tongkat Warrant @ Adi Jaya @ Atma Jiwa @ Pengarang Muda @ Amir @ Manis @ Rose Murni @ Setiabudi @ Zaini @ UA adalah di antara nama-nama pena/samaran beliau.
Dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor Darul Takzim. Bapanya seorang nelayan dan ibunya meninggal dunia ketika beliau masih kecil lagi.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Sedili (1936), Mersing (1937) dan Bandar Maharani (1940) sehingga lulus ke Darjah VI. Ketika penjajahan Jepun di Malaya, Usman menjadi petani di Segamat dan kemudiannya menjadi buruh paksa Jepun di Singapura selama enam bulan.
Pendidikan secara formal beliau terima adalah seadanya akibat zaman dan situasi kehidupan miskin di tanah air yang masih dijajah. Walaubagaimanapun beliau memperolehi pengetahuan dan ilmu melalui pendidikan tidak formal – alam kehidupan semulajadi – memungkinkan kematangan dan kebijaksanaannya menyerlah bersama berkembangnya alam penghidupan, sesuai dengan tuntutan zamannya. Seterusnya beliau berkerja sebagai pembantu pejabat, kemudian mengikuti latihan Botai (Polis Jepun). Pada akhir Perang Dunia Kedua, berkhidmat sebagai anggota polis dan Jungle Squad di Melaka (1946-1951) sewaktu mulanya Zaman Darurat di Malaya.
Oleh kerana Usman lebih selesa dengan mata pena daripada senjata berpeluru dalam membela peperangan, maka beliau kemudian berhijrah ke Singapura untuk memulakan kerjayanya sebagai seorang penulis. Bermula sebagai pembaca pruf, pemberita dan kemudian menjadi anggota sidang pengarang Utusan Kanak-Kanak, Utusan Zaman dan Mastika (1952-1961) di mana beliau mula bersuara dengan lantangnya. Kemudian beliau berpindah ke Kuala Lumpur mengikut akhbar Utusan Melayu. Selepas beliau meninggalkan kerjayanya di Utusan Melayu kerana isu mogok mempertahankan Bahasa Melayu, beliau menganggur seketika sebelum mendapat pekerjaan di Federal Publication dan Fajar Bakti. Akhir sekali beliau diberi peluang untuk bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau telah mengangkat dan mengharumkan nama institusi bahasa dan sastera tersebut hingga ke tahap antarabangsa selama jangka masa beliau berkhidmat di DBP. Usman bersara dari DBP pada pertengahan 1980-an.
Walaupun sudah bersara pada waktu itu tetapi sebagai seorang sasterawan yang prihatin, beliau masih aktif dan sibuk berkarya dan memartabatkan sastera melalui aktiviti-aktiviti, projek-projek dan acara-acara sastera didalam dan luar negara seperti di Amerika Syarikat, Rusia, Perancis, Jepun, Korea, China, Filipina, Indonesia dan lain-lain. Karya-karya beliau juga telah diterjemah kepada bahasa negara-negara tersebut.
Ketokohan Usman menonjol melalui karya-karya beliau kerana perwatakan peribadinya yang berani dan tegas tetapi lemah-lembut, mesra, sensitif dan simpati terhadap golongan bawahan yang miskin, tertindas dan manusia yang malang sehingga Usman ditafsirkan sebagai seorang seniman/sasterawan yang berjiwa besar, jiwa rakyat. Usman adalah seorang penyair yang tidak luntur dan dapat menyesuaikan dirinya dengan pelbagai zaman dan situasi. Beliau juga bergiat cergas dalam beberapa pertubuhan masyarakat yang beliau membantu tubuh seperti : Persatuan Hak Asasi Manusia Malaysia, Persatuan Malaysia-Palestin dan Persatuan Persahabatan Malaysia-China. Beliau juga pernah menjadi AJK Akademi Seni Kebangsaan, Ahli Jemaah Kolej Selatan – sebuah kolej swasta aliran Cina, Penasihat Sastera Maybank Berhad dan Turnaround Managers Inc. Pada tahun 1991, beliau telah dianugerahi Darjah Kebesaran Dato’ Paduka oleh Baginda Sultan Perak Darul Ridzuan yang membawa gelaran Dato’.
Usman mula menulis dalam bentuk puisi/sajak. Sajak-sajaknya sentiasa segar, kukuh serta akrab dengan akar budi Melayu dan unsur berperikemanusiaan. Beberapa buah sajaknya telah menjadi bahan yang amat menarik bukan sahaja dikalangan masyarakat terbanyak yang cintakan puisinya tetapi menjadi mainan bibir di kalangan pelajar-pelajar sekolah dan universiti dalam sebarang acara mendeklamasi sajak, semasa karya-karya beliau berada di dalam korikulum sekolah . Antara sajaknya yang cukup popular ialah : ‘Bunga Popi’, ‘Pak Utih’, ‘Ke Makam Bonda’, Nasib Buruh’, Gadis di Kuburan’, ‘Kekasih’, ‘Duri dan Api’, ‘Merpati Putih Jelajahilah Dunia Ini’ dan ‘Salam Benua’. Drama juga telah mengharumkan nama Usman. Bidang ini telah diterokainya sejak awal 1960-an dengan menulis banyak drama untuk radio dan pentas. Beberapa buah dramanya yang sukar dilupakan ialah : ‘Serunai Malam’, ‘Malam Kemerdekaan’, ‘Tamu di Bukit Kenny’, ‘Matinya Seorang Pahlawan’ dan ‘Degup Jantung’. Dramanya yang banyak di perkatakan ialah ‘Muzika Uda dan Dara’. Ini adalah drama musikal pertama di Malaysia dan telah di pentaskan oleh Gemaseni pada 1972. Antara cerpen-cerpen beliau adalah: ‘Degup Jantung’, ‘Turunya Sebuah Bendera’, ‘Kami Yang Terlibat’, ‘Untuk Malaya Merdeka’, ‘Dari Johor Bahru ke Kota Tinggi’, ‘Surat Dari Seorang Mata-mata’ dan ‘Tugas/Ini Saya Punya Kerja’. Satu-satunya novel yang beliau sempat menulis ialah ‘Tulang2 Berserakan’ yang juga telah di terjemah ke Bahasa Inggeris bertajuk ‘Scattered Bones’.
Dalam kegiatan dan organisasi penulis tanahair, sumbangan dan penyertaan Usman amat dirasakan. Beliau bukan sahaja pencipta karya yang asli dan halus tetapi juga adalah penggerak yang berani memberi penuh inspirasi dan semangat kepada ramai penulis muda. Sejak tahun 50-an beliau merupakan salah seorang pengasas Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM); Setiausaha ASAS 50 di Singapura dan Ketua PENA yang pertama (1962-65). Beliau juga telah mengambil inisiatif untuk mengadakan : Hari Puisi, Cempaka Berbunga, Malam Gema Puisi dan Genta Rasa di Panggung Anniverseri, Lake Garden, Kuala Lumpur. Acara seni yang bermakna seperti Manifestasi Dua Seni, Kumpulan Puisi Keranda 152 dan Teluk Gong adalah daya usaha Usman bersama penyair seangkatannya.
Sebagai insan yang prihatin, peka, bertanggungjawab dan tidak jemu-jemu memperkayakan budaya negara, pasti sahaja sumbangannya dan pengorbanannya pada jagat sastera bukan sedikit. Oleh itu pelbagai anugerah dan penghormatan diberikan kepada beliau, antaranya: Pejuang Sastera (1976), SEA Write Award (1982) dan Ijazah Doktor Kehormat (Persuratan) daripada Universiti Malaya (1983), Zamalah Sastera dari akhbar Berita Harian (1985) dan Anugerah Penyair Johor (1995) membuktikan pembabitan dan kewibawaannya cukup bermakna.
Usman meninggal dunia pada bulan Ramadhan, 29 November, 2001, setelah lama menghidap penyakit jantung. Beliau di kebumikan di Perkuburan Islam Bukit Kiara, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Negara kehilangan sebutir bintang yang sangat berharga dan belum ada penggantinya lagi.
snusmanawang
Mengingati Usman Awang - penyair rakyat
A Shukur Harun
3 Disember 2013
Meskipun terlewat beberapa hari, tetapi belum terlalu terlewat untuk kita mengingati kepergian seorang sasterawan rakyat, Usman Awang atauTongkat Warant, yang menemui Ilahi pada 29 November 2001, bulan Ramadan pada umur 72 tahun, setelah menghidap sakit jantung.
Kita mengingatinya bukan semata-mata kerana nama besarnya, tetapi bahkan kerana usahanya menjadi besar. Penyair ternama ini dinobatkan sebabai Sasterawan Negara dan beberapa anugerah lain oleh pelbagai pihak.
Namun Usman tetap dikenang sebagai sasterawan rakyat kerana karya-karyanya - puisi, drama, novel dan cerpen - yang sentiasa melakarkan perjuangan rakyat, bahkan pergaulannya yang luas dengan pelbagai kaum dan agama, menyebabkan beliau adalah sasterawan yang benar-benar berjiwa Malaysia.
Selepas bersara daripada Dewan Bahasa Dan Pustaka, Usman Awang bergiat cergas dalam beberapa pertubuhan masyarakat. Antaranya ialah Persatuan Persahabatan Malaysia-Cina. Sementara itu dalam tahun 1991, beliau dilantik sebagai Ahli Jemaah Kolej Selatan. Pelantikan ini disifatkan oleh beliau sebagai pemangkin ke arah meningkatkan hubungan antara kaum dalam proses pembentukan satu bangsa Malaysia. Jawatan ini dipegangnya hingga tahun 2001. Selain itu, beliau dilantik sebagai Penasihat Sastera Maybank mulai 1991 hingga 2001.
Disebabkan latar belakang kehidupannya sebagai anak nelayan miskin di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor, pada 12 Julai 1929, maka Usman tidak dapat bersekolah di peringkat tinggi. Ibunya bernama Halimah, meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil lagi. Ayahnya seorang nelayan yang mencari dan menjual rotan pada waktu musim tengkujuh. Beliau melalui alam kemiskinan semasa kanak-kanak yang menyebabkan beliau hanya mampu belajar setakat darjah enam Sekolah Melayu saja.
Kemiskinan tidak membenarkannya mengecap kejayaan dengan lebih jauh dalam bidang pendidikan walaupun dia sangat gemar membaca sejak kecil lagi. Beliau bersekolah di Kuala Sedili (1936), Mersing (1937) dan Bandar Maharani (1940) hingga lulus Darjah 6.
Itulah juga menyebabkan puisi, drama, cerpen dan novelnya memancarkan potret kemiskinan rakyat, terutama nelayan, begitu hidup kerana Usman benar-benar menjiwai kemiskinan itu.
Sebagai sasterawan, pengamatannya sangat tajam terhadap kehidupan ini, termasuk pengamatannya terhadap watak bangsa Melayu seperti yang terpancar dalam sajaknya, 'Melayu'. Kesayangannya dan kritikannya terhadap bangsanya terpancar dalam sajaknya itu, antara lain:
Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak.
Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan.
Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara.
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut.
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan.
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka.
Di zaman Usman berkarya bersama teman-temannya dalam Angkatan Sasterawan '50 di Singapura dan di Malaysia - seperti Kris Mas, Asraf, A Samad Ismail, Awam El-Sarkam dan lain-lain - gelora perjuangan menuntut kemerdekaan terpancar dalam karya mereka di samping berjuang untuk menegakkan keadilan kepada rakyat.
Maka lahirlah sajaknya, 'Pak Utih’ (kisah derita petani), 'Nasib Buruh', 'Keranda 152’ (kisah perjuangan bahasa Melayu), 'Telok Gong' (kisah perjuangan petani' dan banyak lagi yang menggambarkan besarnya simpati sasterawan besar ini kepada nasib rakyat. Di samping itu Usman juga menjalin hubungan baik dengan masyarakat pelbagai kaum seperti yang terpancar dalam sajaknya, 'Gadis Tionghua', 'Salam Benua', 'Bunga Popi' dan lain-lain.
Sungguhpun beliau lahir dan dibesarkan dalam suasana kampung Melayu sehingga dewasa dan berhijrah ke bandar, namun menerusi sajaknya, Usman lebih banyak menyuarakan masalah rakyat pelbagai kaum dan sikapnya sangat terbuka, di mana begitu ramai sahabatnya di kalangan kaum Tionghua dan India. Sebab itu karya beliau diterima baik oleh pelbagai kaum kerana beliau sentiasa berada di tengah rakyat pelbagai kaum. Inilah antara kebesaran Usman.
Hari ini, hanya segelintir penulis/penyair yang mampu berada di tengah rakyat. Antaranya, Sasterawan Negara A Samad Said yang sanggup berembun dan di bakar matahari serta bergelut dengan gas pemedih mata di tengah perhimpunan rakyat di mana-mana untuk memperjuangkan hak mereka. Inilah potret sasterawan rakyat yang sangat indah.
Meneruskan kehidupan seperti ini memang penuh getir, melainkan mereka yang benar-benar berjiwa rakyat, mengerti peranan menentang kemungkaran, kezaliman dalam perjuangan menegakkan keadilan. A Samad, teman lama Usman, ternyata mampu meneruskan perjuangan segetir ini, mewarisi perjuangan pengarang terdahulu, Ishak Haji Muhamad dan teman-temannya yang lain.
Dunia sastera kini sepi tanpa kehadiran sasterawan seperti ini. – 3 Disember, 2013.
malaysianinsider
PUISI-PUISI USMAN AWANG DALAM LAGU
Nuradee - Ke Makam Bonda
Kopratasa - Kekasih
Comments
Post a Comment