Seniwati Legenda Zaiton



Zaiton, Zaini rindu keakraban rakan

SEMENJAK Studio Jalan Ampas ditutup sepenuhnya pada 1967, seniwati Zaiton Abdullah yang cukup dikenali menerusi gandingan mantapnya bersama S. Shamsuddin dalam filem Bujang Lapok tidak pernah sekali pun kembali menjejakkan kaki ke situ.

Justeru, tidak hairanlah apabila penulis menemubualnya betul-betul di bilik beliau diuji bakat oleh P. Ramlee, Jamil Sulong, Phani Majumdar dan HM Rohaizad ketika mula-mula mahu menceburi bidang lakonan pada 1954, emosinya sedikit terganggu.

Dalam menahan sendu, Zaiton mengakui betapa beliau amat merindui suasana di studio itu yang mana kesemuanya adalah kawan tanpa ada sebarang permusuhan.

"Hubungan antara kami amat rapat. Daripada pelakon, jurukamera, 'wireman', pengawal sehinggalah peniaga kedai kopi di depan studio, semuanya saling mengenali.

"Bagai tiada rintangan antara kami. Saya selalu menumpang motor 'wireman' untuk ke kedai makan. Tiada siapa kata apa-apa pun kerana semuanya bagaikan keluarga," katanya.

Beliau menambah, keadaan studio itu dahulunya amat cantik sehingga membangkitkan semangat bekerja dalam kalangan warganya.

"Tetapi sekarang saya sedih melihatnya. Amat jauh berbeza sehingga saya bertanyakan kepada Zaini Sattar (adik Aziz Sattar) sewaktu hampir tiba tadi, sama ada betul ini Studio Jalan Ampas?" ujarnya.

Zaini yang awalnya berdiam, turut mengiyakan kata-kata Zaiton.

"Buktinya, satu malam saya membeli nasi bungkus berlaukkan sekeping daging dari kedai Wak Mustarjo (Pendekar Mustar). Apabila baru hendak menyuap makanan, datang Nordin Ahmad ke rumah dan saya mengajaknya makan.

"Nordin tidak menolak. Apabila beliau duduk saja, tiba-tiba A. Rahim pula datang. Lalu saya ajak pula Rahim makan sekali dan Rahim juga mengaku yang beliau sedang lapar.

"Kami kongsi bertiga nasi yang sebungkus itu. Nampak sedikit tetapi akhirnya ketiga-tiganya rasa kenyang. Mungkin disebabkan keakraban, keikhlasan dan seronok makan bersama, ketiga-tiganya mampu tidur lena malam itu," katanya yang merupakan bekas penari di Studio Jalan Ampas.

utusan online


Zaiton Promosikan Budaya Melayu pada Dunia
7 April 2013


ZAITON Abdullah lebih dikenali dengan Zaiton merupakan seorang seniwati film Melayu yang berbakat pada era 1950-an hingga 1960-an. Beliau seangkatan dengan dengan Hashimah Yon, Roseyatimah dan Sarimah.

Film Hang Tuah (1955) telah melambungkan nama belia dalam dunia perfilman Melayu zamannya. Namanya ramai disebut orang orang dan kerap pula menghiasi halaman-halaman media massa. Dia juga pernah meraih anugerah sebagai anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Film Asia Pasifik ke 3 pada 1957. Tetapi, beliau seperti tenggelam dalam dunia perfilman Melayu saat sekumpulan pelakon Melayu yang diketuai P Ramlee berpindah ke Kuala Lumpur dari Singapura pada lewat 1960-an.

Satu hal yang menarik ialah pada September 1958, beliau menjadi satu-satunya artis Melayu yang dipilih mewakili Malaysia dan Singapura ke Pacific Festival yang berlangsung di San Francisco, California. Beliau diberi peluang memperkenalkan budaya Melayu kepada masyarakat dunia pada masa itu.

Sejak 1970-an, Zaiton diakui sebagai salah seorang primadona film terunggul era 1950-an dan 60-an dengan kecantikan semula jadi yang seiring dengan bakat biarpun hanya 10 tahun bergiat aktif di dalam industri perfilman. Film-film yang pernah dimainkannya antara lain; Raja Bersiong (1968), Aksi Kuching (1966), Kacha Permata (1966), Budi dan Dosa (1963), Gerhana (1962), Ibu Mertuaku (1962), Seniman Bujang Lapok (1961), Ali Baba, Bujang Lapok (1960), Lela Manja (1960), Batu Belah Batu Bertangkup (1959), Taufan (1958), Doktor (1958), Bujang Lapok (1957), Anakku Sazali (1956), Hang Tuah (1955), Kipas Hikmat (1955), Abu Hassan Penchuri (1955) dan Jubah Hitam (1955).

Zaiton juga seorang penyanyi yang bersuara merdu dan albumnya bersama S Jibeng adalah EP RTC 1066. Lagu-lagunya antara lain; S Jibeng & Zaiton Abdullah- “Janji Palsu”, Zaiton Abdullah- “Azam dan Azabku”, S Jibengs - “Che Ainon Janda Muda” dan S Jibeng-”Mengapalah Hidupku”.(fed/berbagai sumber)

riau pos


BERMULA DARI "ABU HASSAN PENCHURI

Zaiton memulakan kerjaya filemnya secara kebetulan. Kejadian berlaku pada tahun 1955 semasa studio MFP Jalan Ampas sedang memilemkan filem 1001 Malam "Abu Hassan Penchuri."

Ketika itu Zaiton datang bersama ibunya, kerana kejelitaan dan keayuannya membuat pihak pengurusan tertarik dan telah mencadangkan supaya dia menjalankan ujian skrin (screen test).

Zaiton lulus ujian skrin, dengan itu dia telah diberi peranan sebagai dayang kepada Mariam yang berperanan sebagai Tengku Faridah dan P. RAMLEE sebagai heronya, Abu Hassan.

Di waktu yang sama, S. Ramanathan yang tertarik dengan Zaiton telah memberikannya peranan sedikit berat dalam filem "Kipas Hikmat" yang dibintangi oleh Yusof Latiff dan Mariam.

Bagaimanapun, dia hanya muncul di awal dan di penghujung filem saja kerana filem tersebut dibuat dalam bentuk flashback (sorotbalik).

Sungguhpun Zaiton bermula dengan "Abu Hassan Penchuri" tetapi "Kipas Hikmat" mendahului tayangan pada 26 Februari 1955 berbanding "Abu Hassan Penchuri" pada 2 Mei 1955.

Dalam tahun 1955 itu juga, tercatat dalam riwayat hidup Zaiton apabila buat pertama kalinya diserahkan berperanan sebagai heroine kepada Yusof Latiff dalam "Jubah Hitam" bercorak 1001 Malam yang diarahkan oleh S. Ramanathan.

Bertolak dari situlah, Zaiton tidak menoleh ke belakang apabila diserahkan peranan demi peranan (kebanyakannya sebagai heroine) berherokan P. Ramlee, Ahmad Mahmud, Yusof Latiff, Jins Shamsudin dan Aziz Jaafar.

Selepas "Jubah Hitam," Zaiton digabungkan dengan bintang-bintang filem handalan studio MFP dalam filem epik berwarnawarni "Hang Tuah".

Peranannya sebagai Tun Tijah dan turut membintangi filem tersebut P. Ramlee, Sa'adiah, Ahmad Mahmud, S. Kadarisman, Noordin Ahmad, Yusof Latiff, Mariani, Aziz Sattar, Mustapha Maarof dan ramai lagi.

Sebelum melangkah masuk ke tahun 1960an, Zaiton telah membintangi 11 filem yang boleh dikatakan kesemuanya mendapat sambutan baik dan memuaskan.

1. Kipas Hikmat (S. Ramanathan 1955)
2. Abu Hassan Penchuri (B.N. Rau 1955)
3. Jubah Hitam (S. Ramanathan 1955)
4. Hang Tuah (Phani Majumdar 1956)
5. Anak-Ku Sazali (Phani Majumdar 1956)
6. Bujang Lapok (P. Ramlee 1957)
7. Taufan (T.C. Santos 1957)
8. Sri Menanti (Phani Majumdar 1958)
9. Doctor (Phani Majumdar 1958)
10. Batu Belah Batu Bertangkup (Jamil Sulong 1959)
11. Samseng (Ramon A. Estella 1959)

Di antara 11 filem, 4 di bawah arahan Phani Majumdar dan 2 diarahkan oleh pengarah Filipina - T.C. Santos dan Ramon A. Estella.

Sungguhpun orangnya lemah lembut, bersopan dan pemalu, namun Zaiton boleh juga berkomidi, berperanan jahat dan bergaya seksi.

Berkomidi diperlihatkannya dalam "Bujang Lapok" - baik, tidak kekok dan tidak kaku. Penonton boleh ketawa. Begitu juga "Siapa Besar?" dan "Aksi Kuching".

Berperanan jahat telah di bawanya dengan sempurna dalam "Putera Sangkar Maut" dan "Budi Dan Dosa". Penonton benci dan marah kepadanya.

Bergaya seksi pula, apabila dia berkemban dalam "Lela Manja" dan berseluar ketat dalam "Aksi Kuching". Penonton begitu terpesona dengan gelagatnya.

Ini memperlihatkan kemampuan Zaiton membawa apa saja peranan yang diberikan, tidak terhad kepada satu-satu karekter saja.

Sepanjang tahun 1960an Zaiton membintangi 16 filem.

12. Lela Manja (Jamil Sulong 1960)
13. Putera Sangkar Maut (Dhiresh Ghosh 1960)
14. Pertarongan (Omar Rojik 1960)
15. Ali Baba Bujang Lapok (P. Ramlee 1960)
16. Seniman Bujang Lapok (P. Ramlee 1961)
17. Si Tanggang (Jamil Sulong 1961)
18. Ibu Mertua Ku (P. Ramlee 1962)
19. Gerhana (Jamil Sulong 1962)
20. Korban (Dhiresh Ghosh 1963)
21. Budi Dan Dosa (Jamil Sulong 1963)
22. Siapa Besar? (Omar Rojik 1964)
23. Taqdir (Omar Rojik 1965)
24. Kacha Permata (Jamil Sulong 1966)
25. Aksi Kuching (Omar Rojik 1966)
26. Lampong Karam (S. Kadarisman 1967)
27. Raja Bersiong (Jamil Sulong 1967)


Filem "Ali Baba Bujang Lapok" dan "Seniman Bujang Lapok", peranannya hanya sebagai bintang undangan.

Zaiton sangat suka melihat lakonannya dalam filem "Anak-Ku Sazali," tetapi tidak suka dengan karekternya dalam "Putera Sangkar Maut".

Zaiton sendiri begitu terharu sampaikan menitis airmata ketika menyaksikan peranannya sebagai Mahani (isteri Hassan yang dipegang oleh P. Ramlee) dalam "Anak-Ku Sazali."

Mahani meninggal dunia sebaik saja melahirkan anaknya, Sazali.

Zaiton jijik menonton lakonannya dalam "Putera Sangkar Maut" kerana peranannya sebagai isteri Datuk Menteri (Shariff Dol) yang curang dan bersubahat dengan Jins Shamsudin yang berhasrat untuk menjatuhkan Aziz Jaafar yang berperanan sebagai Sultan.

Kata Zaiton, peranan tersebut sangat bertentangan dengan jiwa dan karekter semulajadinya. Tetapi apa boleh buat kerana perananya sudah ditetapkan begitu.

Ada beberapa perkara menarik mengenai Zaiton dan filem-filemnya.

* Hang Tuah menang muzik terbaik (P. Ramlee) di Hong Kong 1956.
* Anak-Ku Sazali menang pelakon lelaki terbaik (P. Ramlee) di Tokyo 1957.
* Anak-Ku Sazali menang pelakon kanak-kanak terbaik (Tony) di Tokyo 1957.
* Taufan satu-satunya filem diarahkan oleh T.C. Santos di Malaysia.
* Sri Menanti berherokan pelakon Hong Kong - Chan Chong.
* Batu Belah Batu Bertangkup filem pertama diarahkan oleh Jamil Sulong.
* Lela Manja menang pelakon kanak-kanak terbaik (Bat Latiff) di Tokyo 1960.
* Ibu Mertua Ku menang bakat serba boleh (P. Ramlee) di Tokyo 1963.
* Ibu Mertua Ku menang sinematografi terbaik (A. Bakar Ali) di Tokyo 1963.
* Korban filem terakhir diarahkan oleh Dhiresh Ghosh di Malay Film Productions.
* Gerhana menang pelakon kanak-kanak terbaik (Bat Latiff) di Taipei 1964.
* Ibu Mertua Ku menang anugerah khas (special mention) di Paris 1965.
* Raja Bersiong filem terakhir dikeluarkan oleh Malay Film Productions.

Sepanjang penglibatannya dalam filem di studio MFP, Zaiton tidak sebagai pekerja tetap. Pembayaran mengikut kontrak satu filem. Begitu pun juga, dia tidak pernah mengambil kesempatan berlakon di Cathay Keris Film atau pun Merdeka Studio.

Sebenarnya, hal-hal peribadi Zaiton ini tersingkap terlalu sedikit. Saya pernah berbual-bual dengannya beberapa kali dan terakhir di Festival Filem Malaysia Ke-22 (bulan Ogos 2009) di Kota Kinabalu, Sabah.

Bagaimanapun, tidak terlintas langsung saya mahu bertanyakannya dengan lebih mendalam terutama mengenai sepanjang perjalanan hidupnya.

Bila terwujudnya idea menulis pasal Zaiton di blog ini, baru saya menyesal dan menyoal diri sendiri, "Kenapa saya tidak menemuramahnya habis-habisan pada masa itu."

filem klasik malaysia




Zaiton Abdullah (Born 1938)

During her heyday, Zaiton mainly played the quintessential Malay woman — shy, soft-spoken and lemah lembut (gentle and graceful), qualities highly-prized in the Malay culture.


People likened this Singapore-born beauty to Hollywood’s Kim Basinger. And it got her noticed for her first lead-actress role in Jubba Hitam (1955). After that, it was star status all the way, until she retired in 1967.

Zaiton was one of the pillars that propped up the Shaw Brothers’ Malay Film Productions in Singapore, together with film legends P. Ramlee, Aziz Sattar, AR Tompel and Saadiah, among others.

Her talent soared in another 1955 film, Hang Tuah, a blockbuster historical drama. Zaiton’s part as Princess Tun Teja won her the Best Supporting Actress Award at the 3rd Asia Pacific Film Festival. In 1958, she was the only Malay woman selected and sent as a cultural ambassador to San Francisco, California.

Family drama Anakku Sazali (1956) found her acting as a tragic wife opposite P. Ramlee. She also proved her versatility as a comedienne, a widow, and a romantic in other films.

But it was Ibu Mertuaku (1962) that shot her to the apex. A long-depressed young woman recovers when she finds love and happiness through caring for a blind musician. Zaiton essayed the role so well it brought her legendary status.

Her crowning glory came in 2009 when she won the Anugerah Bintang Lagenda (Legendary Star Award) for her impact on Malay Cinema.

seniwati zaiton



Terharu ingatan berterusan
Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PELBAGAI kisah dapat dicungkil apabila mendekati pelakon terkenal era 50-an Jalan Ampas yang kini menetap di Singapura, Momo Latif, Neng Yatimah, Wahid Satay, S Shamsuddin, Omar Suwita, Kartina Dahari, Zaiton Abdullah dan Hashimah Yon.

Ada yang masih sihat seperti Wahid Satay dan Momo Latif dan ada juga uzur tetapi tetap datang menghormati penghargaan yang diberikan kepada mereka dan ada juga diwakili anak ketika majlis menyampaikan sumbangan RM10,000 setiap seorang daripada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim di Singapura, 20 Jun lalu.

Sumbangan menerusi dana Tabung Kebajikan Penggiat Seni ini diberikan bagi meringankan beban kewangan dan membela nasib mereka sempena Hari Seniman yang disambut pada 29 Mei setiap tahun.

Wahid Satay, 80, nampak masih gagah dan kekal dengan sifat kelakarnya. Dia mempu­nyai enam anak masing-masing tiga lelaki dan perempuan serta 14 cucu dan tiga cicit.


Pelakon yang menetap di Eunos Station ini meluahkan rasa terharu dan gembiranya atas ingatan berterusan rakan seperjuangan, kerajaan Malaysia dan peminat yang tidak jemu menonton filem lakonan mereka.


“Setiap kali kawan-kawan dari Malaysia dan menteri buat program untuk kami, saya pasti akan datang. Di mana saja ada jemputan, saya akan cuba hadir walaupun keadaan kami uzur. Majlis ini dibuat bagi mengenang kami, apa salahnya kami datang.

“Peminat pun masih sukakan kami. Jadi kami perlu menghargai mereka. Saya selalu juga turun ke Kuala Lumpur terutama setiap kali hari raya kerana pasti akan banyak jemputan untuk pelbagai program,” katanya.

Wahid juga tidak menafikan perasaan sedih setiap kali menonton semula filem era 50-an kerana teringatkan rakan yang sudah meninggal dunia.

Momo Latif juga masih berupaya bergerak meskipun berusia 89 tahun. Ingatannya juga masih kuat apabila mengingati lirik lagu Jali-Jali dan Merpati 2 Sejoli yang dinyanyikannya spontan pada hari itu.

“Ibu sangat berbesar hati kerana tahun ini Datuk Rais ingat juga kepada veteran seni Singapura. Jumlah kami yang tinggal pun sudah tak ramai seperti dulu. Insya-Allah jika kami diundang untuk apa-apa acara dan selagi kehadiran kami diperlukan, kami akan hadir memberi sokongan,” katanya.

Tiga lagi seniwati veteran, Neng Yatimah, 86, Zaiton Abdullah, 84, dan Hashimah Yon, 71, turut gembira dan berbesar hati diraikan kerana berpeluang bertemu semula rakan lama. Seperti Momo, mereka menjelaskan akan menyokong penganjuran acara membabitkan bintang veteran sekiranya kesihatan mengizinkan.

Berbeza pula dengan S Shamsuddin yang kini berusia 82 tahun, nampak ketara keuzurannya malah keberatan untuk ditemubual sehinggakan anak ketiganya, Noredah, 50, yang sering menemaninya ke mana-mana meminta maaf.

Pelakon yang terkenal menerusi gandingan dengan Tan Sri P Ramlee dan Datuk Aziz Sattar ini mempunyai tujuh anak iaitu empat perempuan dan tiga lelaki serta 14 cucu. Kata Noredah, biarpun uzur, bapanya yang menetap di Bukit Batok suka menonton program TV dari Malaysia.

“Dulu bapa ada turun juga Kuala Lumpur kerana adik saya, Anzariah (anak ke-6) tinggal di Kajang. Tapi dengan keadaannya sekarang, memang dia tak larat lagi nak berjalan jauh,” katanya.

Omar Suwita dan Kartina Dahari tidak hadir tetapi diwakili anak mereka. Omar yang menghidap penyakit kencing manis, alzheimer dan angin ahmar diwakili anak kelimanya, Malini, 48.

Kata Malini, ayahnya meminta maaf tidak dapat hadir kerana dia tak boleh duduk lama-lama akibat penyakitnya. Selalunya ayah suka menyepi dalam bilik. Kalau kita buka lagu lama, dia tak berapa suka dan menangis.

“Walaupun orang nampak dia ganas, ayah seorang yang baik dan penyayang terhadap anak-anak. Ayah ada tujuh anak, dua lelaki dan lima perempuan manakala cucu pula sembilan dan cicit empat orang.

“Kawan-kawan sentiasa bertanyakan khabar tapi ayah tak suka berbual. Ayah sekarang tinggal dengan abang, anak kedua. Sumbangan yang diberikan ini akan digunakan bagi menanggung dan meringankan kos rawatan penyakit ayah.

“Dalam sebulan dia kena jalani rawatan sekali ataupun dua kali di hospital. Disebab­kan keadaannya agak teruk, pihak hospital syorkan agar doktor merawatnya di rumah.

“Kadangkala ayah akan ingat kisah dulu-dulu. Malah dia teringin nak melawat kampung asalnya di Tengkera, Melaka tapi dengan keadaannya memang susah nak bawa dia. Lagipun keluarganya juga sudah tiada lagi di sana,” katanya yang menangis ketika bercerita mengenai ayahnya.

Kartina Dahari, 70, yang menetap di Toa Payoh dan mempunyai tiga anak, seorang perempuan dan dua lelaki, diwakili anak keduanya, Noor Indra, 48.

Kata Noor Indra, ibunya menghidap barah pangkal rahim seminggu sebelum hari raya tahun lalu. Selepas proses kimoterapi keadaannya beransur pulih dan turut menjalani rehabilitasi, pemindahan darah dan sekarang dalam proses rawatan lanjut.

“Doakan yang terbaik buat­nya. Ibu sudah bersara daripada dunia seni sejak 1999 lagi dan masih boleh bergerak tapi kena selalu berehat. Ini sumbangan pertama yang ibu terima dan dia sangat berterima kasih kepada Datuk Rais dan Finas. Insya-Allah jika dia pulih sepenuhnya, dia akan hadir pada majlis yang akan diadakan selepas ini,” jelasnya.

myMetro


Tak rasa Pak Sudin sudah tiada
11 Jun 2013

Zaiton (kiri) menyerahkan kepada Puteh trofi Anugerah Tokoh Lakon Melayu yang menghargai jasa Pak Sudin dalam bidang seni. Gambar kecil, Pak Sudin dan Puteh ketika muda.


Isteri seniman S Shamsuddin kongsi perasaan dengan rakan karib, seniwati Zaiton

Jumaat lalu, seniman S Shamsuddin diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Lakon Melayu pada Anugerah Tribute P Ramlee yang pertama, di Istana Budaya.
Selain pelakon komedi veteran yang baru saja meninggalkan kita seminggu lalu, ketika usianya 84 tahun, rakan karibnya, Datuk Aziz Satar turut diberikan penghargaan sama.

Tidak pernah juga dia meminta aku memandikan dirinya pada Subuh hari. Terpaksa aku mandikan dia pada jam 4.30 pagi. Lepas mandi, dia renung aku. Tak sangka pagi itu dia panggil nama aku: “Tih! Mari! Aku nak mi rebus”. Biasanya kalau dia nak apa-apa, dia goyang loceng yang disediakan. Rupa-rupanya itulah panggilan terakhir,” Puteh Ismoon, isteri S Shamsuddin


Pada majlis berkenaan, seniwati Zaiton menaiki pentas untuk mewakili keluarga S Shamsuddin atau lebih dikenali sebagai Pak Sudin dalam kalangan orang seni.

Ahad lalu pula, seniwati terbabit mengunjungi isteri arwah, Puteh Ismoon, 77, di Singapura. Bukan sekadar mengunjungi wanita yang juga rakan baiknya sejak era Boon Teck Road lagi, malah pelakon veteran itu turut mengambil peluang terbabit untuk menyerahkan anugerah berkenaan kepada Puteh.

Puteh nyata tidak dapat menahan sebak sebaik saja Zaiton menyerahkan trofi buat arwah suaminya, yang sudah semestinya cukup dihargai itu. Peristiwa itu turut disaksikan tujuh anak Pak Sudin.

“Terima kasih banyak-banyak kepada pihak yang menganjurkan anugerah ini, dalam usaha mereka memartabatkan jasa insan seni. Begitu juga buat kerajaan Malaysia yang tidak pernah lupa artis veteran di Singapura,” kata Puteh yang juga menceritakan pengalaman mereka dikunjungi bekas Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, dua tahun lalu.
Tidak sempat jamah mi rebus

Ketika bersembang dengan seniwati itu, Puteh bercerita mengenai perasaannya yang seakan masih tidak dapat menerima hakikat pemergian Pak Sudin.

“Aku tak terasa yang Pak Sudin sudah mati. Aku rasa dia cuma pergi ke mana-mana dan tidak lama lagi dia pasti akan balik.

“Dia pergi dengan begitu cepat. Bertahun-tahun aku menjaganya sewaktu dia sakit. Dia pergi pun tanpa sempat memakan mi rebus yang dimintanya. Tiba-tiba dia sudah terkulai tanpa bersuara.

“Tidak pernah juga dia meminta aku memandikan dirinya pada Subuh hari. Terpaksa aku mandikan dia pada jam 4.30 pagi. Lepas mandi, dia renung aku. Tak sangka pagi itu dia panggil nama aku: “Tih! Mari! Aku nak mi rebus”. Biasanya kalau dia nak apa-apa, dia goyang loceng yang disediakan. Rupa-rupanya itulah panggilan terakhir,” cerita Putih dengan linangan air mata.

Hilang seorang lagi rakan seperjuangan

Zaiton pula berkata, dia hanya dapat mengunjungi teman baiknya itu kelmarin kerana pada hari kematian Pak Sudin, dia perlu menjaga suaminya, Syed Abdullah, yang sakit akibat terjatuh.

Menemani Zaiton pada petang itu ialah adik Aziz Satar, Zaini dan isterinya, Zainon.

Zaiton turut melahirkan kekesalannya kerana tidak sempat mengunjungi seorang lagi rakan seperjuangan, Latifah Omar, ketika seniwati itu dirawat di hospital. Pelakon terkenal era 50-an itu meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada usia 74 tahun kerana menghidap komplikasi pelbagai penyakit, termasuk ulser, kira-kira jam 6 petang kelmarin.

berita harian


Meraikan sang legenda



ENAM bintang legenda yang sempat meraih pengiktirafan selepas sekian lama menghambakan diri sebagai insan seni, (dari kiri) Tony Castillo, Latifah Omar, Aziz Sattar, Momo Latif dan Zaiton.

"JIKA bukan kita sendiri yang memberi, siapa lagi." Sebaris kata-kata itu cukup mengharukan bagi hati yang memahami.

Itu luahan rasa yang terlontar dari lubuk nurani seorang seniwati yang dikenali ramai sebagai Latifah Omar.

Terharu sungguh aktres yang pernah memberikan impak besar terhadap filem seperti Lanchang Kuning, Hang Jebat dan Bawang Putih Bawang Merah itu apabila meraih pengiktirafan buat julung-julung kali sepanjang karier lakonannya.

Paling menjentik emosi, anugerah yang diraih Latifah ini adalah 30 tahun selepas dia bersara daripada dunia lakonan.

Latifah dinobatkan sebagai Bintang Legenda Wanita pada malam Anugerah Bintang Legenda, sempena Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM 22), dua hari sebelum malam kemuncak festival filem pada 8 Ogos.

Majlis yang berlangsung di Hotel Magellan Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu, Sabah ini, biar ada yang mempersoalkan relevannya hanya untuk memenuhi agenda kecil FFM 22, ironinya ia memberi seribu pengertian buat lebih 20 artis veteran yang rata-rata cukup terkenal sekitar tahun 1940-an hingga 60-an.


PAK AZIZ (tengah) sememangnya layak menerima Anugerah Bintang Versatil.

Jika tidak masakan seniwati ternama seperti Latifah Omar sehingga menuturkan: "Saya sangat terharu dengan anugerah yang diberi. Tak sangka bila saya sudah antik, baru diberi pengiktirafan."

Biar kata-katanya dituturkan dalam tawa, namun bicara Latifah itu sememangnya mencuit emosi.

Tidak rindu untuk kembali berlakon, Latifah yang kini mempunyai empat anak serta sembilan cucu hasil perkahwinannya sejak tahun 70-an melahirkan harapan yang menggunung.

"Biarlah pengiktirafan seperti ini akan terus diberikan pada tahun-tahun mendatang sebagai lambang apresiasi terhadap karyawan filem tempatan," tuturnya.

Jelas sekali malam Anugerah Bintang Legenda yang berlangsung itu mencapai matlamat dalam mengenang pengorbanan dan kegemilangan penggiat filem Melayu lama era Cathay Keris dan Shaw Brothers sebelum kedua-dua syarikat itu ditutup sekitar 30 tahun lalu.

Ini kerana siapa yang tidak kenal dengan Zaiton Abdullah atau lebih dikenali hanya sebagai Zaiton, pemain karakter Chombi dalam filem Ibu Mertuaku atau watak cilik, Sazali lakonan Tony Castillo dalam Anakku Sazali, atau lakonan Datuk Dr. Aziz Sattar atau Pak Aziz yang karakternya selalu membangkit gelora lucu seperti dalam siri Bujang Lapok.

Lalu pada malam Anugerah Bintang Legenda itu, pemain-pemain karakter tersebut dan rakan seperjuangan seperti Tony Castillo, Latifah Omar, Zaiton, Senator Jins Shamsuddin, Hasyimah Yon, Momo Latif, Kasim Masdor, Wahid Satay, Datuk Maria Menado, Mariani, Datin Rosnani Jamil, Kusdawinata, Seri Dewi, Neng Yatimah, selain Pak Aziz diraikan tanpa batas.

Selain Latifah Omar, karyawan seni bernama Tony Castillo atau lebih dikenali sebagai Sazali diangkat sebagai Bintang Legenda Lelaki.


LATIFAH, Momo dan Zaiton merupakan tiga seniwati yang banyak memberikan impak efektif terhadap dunia filem Melayu lama.

Bintang Legenda Komedi pula diberikan kepada Momo Latif dan Kassim Masdor meraih penghargaan sebagai Bintang Legenda Belakang Tabir.

Tepat sekali apabila Pak Aziz diumumkan sebagai pemenang Anugerah Bintang Versatil, suatu anugerah khusus buatnya, sementara gelaran Bintang Legenda Hadiah Juri menjadi milik Zaiton.

Penganugerahan tersebut yang diiringi trofi dan wang tunai RM5,000 setiap seorang adalah lambang mereka terus dihargai dan jasa yang terus dikenang biar dunia perfileman tempatan sudah bersilih revolusi.

Selaras dengan apresiasi tersebut, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Masidi Manjun berkata, majlis tersebut diadakan sebagai lambang hormat dan kasih sayang kerajaan Negeri Di Bawah Bayu itu kepada artis veteran.

"Kami amat menyayangi dan menghormati barisan anak seni pelopor ini dan kami amat berharap, majlis ini boleh menjadi simbol ikatan rakyat Sabah dengan karyawan filem kita," kata Masidi saat merasmikan majlis yang dihadiri lebih seribu tetamu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman.

Majlis yang dibuka dengan pelbagai persembahan tarian daripada suku kaum etnik rakyat Sabah, sekitar pukul 8.30 malam, bertukar wajah sekitar pukul 10 malam apabila sedutan filem-filem lama seperti daripada filem Ibu Mertuaku, Pendekar Bujang Lapok, Seri Mersing, Nujum Pak Belalang dan Sumpah Semerah Padi ditayangkan.

Majlis kemudian diambil alih Pak Aziz bagi memulakan majlis bintang legenda selaku wakil pelopor filem Jalan Ampas sekitar pukul 10.30 malam.

Dengan aksi spontannya yang masih pekat mengundang geli hati, Pak Aziz naik ke pentas bagi menghiburkan tetamu dengan ditemani Wahid Satay.

Majlis turut disulam dengan medley lagu-lagu Melayu lama seperti Tunggu Sekejap, Istana Cinta, Bila Larut Malam dan Getaran Jiwa.

kosmo online

Comments