11 Aug 2014

Seniwati Latifah Omar : Sang Primadona

Sang Primadona Filem Melayu. Begitu gelaran yang diberikan kepadanya. Menghembuskan nafas akhir ketika usia 74 tahun. Kepergian itu membawa kenangan panjang kepada peminat dan penggemar filem klasik Melayu. Zaman emas filem Melayu turut tertanda oleh kehadiran beliau sebagai seniwati yang muncul di layar perak dengan bakat lakon serta aksi yang tersendiri. 

Begitu untuk sebuah nama Seniwati Latifah Omar Primadona Filem Melayu
Al-Fatihah 

Beberapa catatan ini merupakan gambaran kecil dari sejarah hidup beliau dalam dunia lakon dan filem Melayu. Ada yang dapat kita teladani dari catatan hidup itu

Kita harus menunggu sampai bila, untuk melihat seorang lagi Seniwati Latifah Omar?


Latifah Omar meninggal dunia
RAZIATUL HANUM A.RAJAK
9 Jun 2013


SENIWATI Latifah Omar dilaporkan meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) petang tadi.

Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HUKM setelah menjalani pembedahan akibat penyakit ulser.

Pelakon veteran yang berusia 74 tahun itu dimasukkan ke wad setelah mengadu sakit perut dan mengalami muntah-muntah pada Khamis lalu sebelum dibawa ke hospital.

Berita kematian tersebut disahkan Presiden Seniman, Zed Zaidi yang dihubungi Sinar Harian Online.

Menurutnya, sebelum dimasukkan ke HUKM, Allahyarham telah dimasukkan ke Hospital Islam Kampung baru namun dipindahkan ke HUKM ekoran kos perubatan terlalu tinggi.

“Beliau dipindahkan ke HUKM kerana kos terlalu tinggi. Beliau sudah menjalani dua pembedahan dan disahkan meninggal jam 6.19 petang, tadi,” katanya.

Zed Zaidi juga memberitahu, pelakon veteran, Datuk Mustapha Maarof turut mengiringi jenazah Latifah Omar untuk dibawa pulang.

“Datuk Mustafa Maarof berusaha membawa dan ingin mengebumikan jenazah di Tanah Perkuburan Ampang.

“Jenazah akan dikebumikan esok pagi,” katanya.

Turut disemadikan di tanah perkuburan itu termasuklah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan beberapa seniman serta seniwati lain.

sinar harian




Perginya Primadona filem Melayu

Oleh HARYATI KARIM


ALLAHYARHAM bersara dari dunia lakonan untuk memberikan tumpuan kepada keluarga.

ENAM hari lalu, peminat filem Melayu kehilangan pelakon komedi legenda S. Shamsudin yang meninggal dunia di Hospital Universiti Nasional, Singapura akibat sakit tua dan paru-paru berair.

Petang semalam, seniwati legenda Latifah Omar yang popular pada era 50-an dan 60-an turut mengikut jejak langkah Allahyarham S. Shamsudin.

Aktres yang terkenal dengan kejelitaannya dan tahi lalat di bawah bibir kirinya itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.19 petang di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Ia adalah sejurus selepas beliau menjalani pembedahan ulser usus akibat ususnya membengkak dan tersumbat.

Mengimbas kembali perjalanan kerjaya seniwati Latifah Omar sebagai aktres, ia bermula pada usia yang terlalu muda iaitu 16 tahun.

Pada ketika itu, Allahyarham memenangi gelaran ratu cantik Singapura pada tahun 1953.

Tidak mengambil masa yang lama untuk menempah tiket bergelar seorang aktres, Allahyarham telah dilamar oleh pengarah S. Ramanatahan bagi membintangi filem Panggilan Pulau yang ditayangkan pada tahun 1954.

Pada tahun yang sama juga, Allahyarham diberi peluang untuk bergandingan dengan bintang legenda - tidak lain dan tidak bukan, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menerusi filem terbitan Malay Film Production, Merana.

Itu merupakan kali pertama dan terakhir mereka bergandingan di layar perak, sebelum Latifah kemudian berhijrah dari Malay Film Production ke syarikat perfileman Cathay Keris.

Populariti Allahyarham meningkat naik sejak bersama Cathay Keris apabila beliau berlakon dalam banyak filem genre bangsawan bersama Allahyarham Nordin Ahmad.

Beliau sempat membintangi 26 buah filem dengan Cathay Keris, yang mana 12 daripadanya merupakan gandingan bersama Nordin Ahmad.


LATIFAH OMAR, P. Ramlee dan Saloma akan berterusan dikenang sebagai figura legenda dunia perfileman Melayu.

Pasti ramai yang masih mengingati bait-bait lagu dalam filem Gurindam Jiwa yang berbunyi: "Tuai padi antara masak, esok jangan layu layuan, intai kami antara nampak, esok jangan rindu-rinduan."

Itu merupakan filem terakhir yang menggandingkan Latifah dan Nordin selepas mereka bergandingan menerusi beberapa buah filem seperti Laila Majnun, Cucu Datuk Merah dan Hang Jebat.

Selain Nordin Ahmad, Latifah juga pernah digandingkan dengan ramai pelakon lelaki ternama seperti Allahyarham Roomai Noor (Sumpitan Racun), Yusof Latiff (Jalak Lenteng) dan Tony Kassim (Rumah Itu Duniaku).

Dalam filem Bawang Putih Bawang Merah lakonannya bersama Datuk Mustapha Maarof, Allahyarham tampil cemerlang sebagai Merah, anak tiri yang teraniaya.

Menurut Mustapa yang turut digandingankan bersama Latifah dalam filem Kasih Ibu, Raden Mas dan Naga Tasik Chini, Allahyarham merupakan seorang rakan artis yang berbakat besar.

"Saya mengenali Allahyarham sejak tahun 1953. Melihat kesungguhannya pada waktu itu, saya tahu dia (Allahyarham) mempunyai potensi yang besar.

"Ternyata sangkaan saya benar apabila dia menjadi salah seorang primadona filem Melayu waktu itu bersaing dengan beberapa primadona lain seperti Sarimah, Saadiah, Normadiah, Zaiton, Maria Menado, Rosnani dan Roseyatimah.

"Kami pernah beberapa kali bergandingan, jadi memang kami menjadi rakan yang baik. Apabila mendapat berita tentang pemergiannya, saya sedih kerana ramai rakan-rakan seangkatan dengan saya pada waktu zaman filem hitam putih dahulu sudah tiada," tuturnya sedih.

Selepas meraih label ratu perfileman Melayu selama 20 tahun, pada tahun 1973, Allahyarham tekad meninggalkan dunia penuh glamor kerana studio di Jalan Ampas, Singapura ditutup dan kebetulan ketika itu dia melahirkan anak ketiganya.

Masih terkenang kata-kata Allahyarham dalam satu temu bual bersama Kosmo! semasa beliau dianugerahkan Bintang Legenda Perempuan pada Festival Filem Malaysia ke-22 pada tahun 2009.

Beliau menafikan berhenti berlakon kerana ditegah suaminya yang merupakan seorang usahawan.

"Saya berhenti berlakon kerana ingin memberi tumpuan kepada keluarga," tutur beliau.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 74 tahun, meninggalkan empat orang anak dan sembilan orang cucu. Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan pada pukul 11.25 pagi semalam di Tanah Perkuburan Islam AU4, Keramat, Kuala Lumpur.

kosmo


Latifah Omar Beli Kain Kafan Persediaan Meninggal Dunia

Isnin, 10 Jun 2013


Allahyarham Latifah Omar telah dikebumikan di tanah perkuburan Islam As-Sobirin, AU4, Lembah Keramat pada tengah hari Isnin. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Allahyarham seniwati Latifah Omar atau nama sebenarnya Fatimah Omar, 74, telah membeli kain kafan serta menyediakan sejumlah wang sebagai persediaan untuk urusan pengebumiannya jika beliau meninggal dunia.

Perkara itu didedahkan oleh pelakon veteran Mariani Ismail, 80, yang merupakan teman baik Allahyarham.

Mariani berkata, Allahyarham telah memberitahunya mengenai hal itu kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa sekiranya beliau meninggal dunia.

"Allahyarham ada maklumkan kepada saya yang dia sudah menyediakan kelengkapan seperti kain kapan dan sejumlah wang agar urusan mengebumikannya dapat dilakukan apabila dia meninggal dunia nanti.

“Perkara itu dilakukan Allahyarham ketika dia sakit selain merasakan usianya juga sudah tidak panjang. Allahyarham juga dia sudah bersedia untuk 'pergi' kerana dia tidak tahan dengan pelbagai suntikan dan pembedahan yang perlu dibuat.

"Saya pun tak sanggup melihatnya keluar masuk hospital pada ketika itu," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam As-Sobirin, AU4, Keramat di sini pada Isnin.

Allahyarham meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) pada pukul 6.19 petang Ahad akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk usus.

Terdahulu jenazah selamat disembahyangkan di Masjid Al-Khairiah AU3, Taman Keramat di sini.

Tambah Mariani, kenangan menetap serumah dengan Allahyarham bersama-sama Allahyarham seniwati Saloma di studio Jalan Ampas, Singapura, suatu ketika dahulu antara detik yang tidak boleh dilupakan kerana mereka bertiga digelar di gelar The Three Naughty Lady of Kim Kat Lane kerana gemar berjalan-jalan di luar kawasan studio.

"Ketika menjadi pelakon di Jalan Studio Ampas dahulu, kami tidak dibenarkan keluar dari kawasan studio, tetapi saya, Latifah dan Saloma degil. Kami tetap mahu keluar nak berjalan-jalan.

"Sehinggakan orang di sekitar studio itu memanggil kami gelaran itu. Allahyarham juga seorang yang cukup jelita sehingga membuatkan lelaki-lelaki di luar sana mudah 'cair'," selorohnya.

Sementara itu, Datin Rosnani Jamil atau Mak Nani yang juga teman seangkatan Allahyarham berkata, Latifah seorang yang kuat semangat dalam melawan penyakitnya.

"Dari dahulu sehinggalah sekarang, kami melalui hidup susah senang bersama. Dalam keadaan dia bersemangat mahu melawan penyakitnya itu, dia juga sudah bersedia untuk 'pergi' pada bila-bila masa.

"Kata Allahyarham dia sudah tidak larat untuk keluar masuk hospital apabila melihat keadaannya makin teruk.

"Apa-Apa pun, bagi saya, Allahyarham seorang manusia yang cukup sempurna di mana dia memiliki sifat-sifat kebaikan dalam diri," ujar Mak Nani.

Datin Umi Kalthum pula menyifatkan pemergian Latifah adalah satu kehilangan yang besar buat industri filem tempatan kerana bakat lakonannya yang cukup mengagumkan.

Katanya, pemergian Allahyarham membuatkan dia terkenang kembali detik cemasnya bersama Latifah ketika menghadiri sebuah festival filem di Taiping, Perak di mana ketika itu mereka terlibat dalam kemalangan kereta api.

"Masa itu kami saling berpelukan kerana risau akan 'pergi' pada bila-bila masa sahaja," katanya.

Latifah yang sering digandingkan dengan Nordin Ahmad membintangi sebanyak 23 filem antaranya Bawang Putih Bawang Merah, Jebat, Jalak Lenteng, Laila Majnun, Putus Sudah Kasih Sayang, Gurindam Jiwa, Che Mamat Parang Tumpul dan terakhir Hati Batu pada 1973.

Antara rakan artis yang turut menziarahi Allahyarham ialah Datuk Aziz Sattar, Datuk Maria Menado, Dayang Sulu, Melissa Saila, Datuk Sarimah Ahmad, Azlina Aziz dan Datuk D.J Dave.

Allahyarham yang terkenal dengan tahi lalat manis di pipi meninggalkan empat orang anak termasuk seorang anak angkat hasil daripada tiga perkahwinan.

Anak sulung beliau, Affendi Rahmat, 55, merupakan pensyarah dalam bidang seni dan penyiaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Tanjung Malim, Perak.

Allahyarham juga mempunyai sembilan orang cucu.

mstar

Jenazah Latifah Omar selamat dikebumikan


RAKAN artis, Datuk Mustapha Maarof menabur bunga di pusara Seniwati Latifah Omar ketika majlis pengkebumian pelakon veteran itu, di Keramat, Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN

KUALA LUMPUR 10 Jun - Jenazah seniwati Latifah Omar yang meninggal dunia akibat penyakit usus semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Lembah Keramat di sini hari ini.

Terdahulu, jenazah allahyarham disempurnakan dan disolatkan di Masjid Al-Khairiah, AU3 di sini sebelum disemadikan pada kira-kira 11.20 pagi.

Latifah, 74, menghembuskan nafas terakhir pada 6.19 petang Ahad di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Antara yang hadir pada mahlis pengebumian itu ialah Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Raja Rozaime Raja Dalnish Shah dan timbalannya Fatimah Ahmad.

Raja Rozaime turut menyampaikan sumbangan khairat kematian RM5,000 daripada Finas kepada anak sulung allahyarham, Affendi Rahmat.

Turut hadir ialah Datuk Rosnani Jamil, Datuk Maria Menado, Datuk Aziz Satar, Datuk D.J Dave, Datuk Mustafa Maarof, Datuk Sarimah Ahmad, Aspalela Abdullah dan Lydiawati.

Latifah, seniwati filem Melayu yang sering digandingkan dengan seniman Nordin Ahmad selain Tan Sri P. Ramlee, Normadiah, Yusof Latif dan Ibrahim Pendek, meninggalkan empat anak dan lapan cucu.

Allahyarham pernah membintangi filem Panggilan Pulau, Bawang Putih Bawang Merah, Laila Majnun, Putus Sudah Kasih Sayang, Gurindam Jiwa, Hang Jebat dan Hati Batu.

Sementara itu, Maria berkata, beliau amat merasai kehilangan Allahyarham kerana hubungan mereka sangat rapat sehingga Latifah memanggil dirinya sebagai 'sis' (kakak).

"Arwah manja dengan saya dan kami pernah berkongsi bilik semasa menghadiri festival filem di Kuala Lumpur pada 1961 dan berpeluang minum petang bersama perdana menteri pada masa itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj," katanya semasa ditemui Bernama.

Maria yang bersyukur kerana sempat menziarahi Allahyarham di PPUKM pada Jumaat lepas, juga menyifatkan arwah sebagai seorang yang tidak pernah mengeluh dan tidak suka membebankan rakan meskipun berada dalam keadaan susah.

Aziz pula berkata, kehilangan Latifah amat dirasai apatah lagi pemergian Allahyarham tidak sampai seminggu selepas rakan seangkatannya Allahyarham S. Shamsuddin meninggal dunia di Singapura.

"Arwah pendiam orangnya tapi saya gemar mengusik dan bergurau. Semasa tinggal di Jalan Ampas (Singapura), arwah menyewa bilik bersama seniwati Saadiah dan saya sering ke situ pada waktu petang untuk mengusiknya kerana dia tidak mudah ambil hati," katanya.

Aziz menambah, hubungan mereka bertambah rapat selepas Latifah membantu beliau untuk berkahwin dengan isteri pertamanya Siti Rumia Ahmad yang secara kebetulan adalah rakan sekelas arwah di Kampung Baru di sini.

Rosnani pula memberitahu, beliau terkilan kerana tidak sempat menunaikan hasrat Allahyarham mahu bercuti dan menikmati masakannya di Janda Baik, Pahang. - BERNAMA

Utusan Melayu online


Latifah Omar serasi dengan Nordin Ahmad
September 15, 2013

Oleh Melati Pusaka

FMT pada 28 Julai 2013 telah menulis tentang pelakon terkenal Nordin Ahmad. Kalau bercakap tentang pelakon tersebut, ia tidak sah kalau tidak disebut nama seniwati Latifah Omar.

Mereka berdua adalah pelakon serasi yang selalu digandingkan dalam filem-filem yang mendapat sambutan box office ketika itu. Seperti kata P. Ramlee, ibarat irama dan lagu tidak dapat dipisahkan. Begitulah di atas layak perak gandingan Nordin Ahmad-Latifah Omar tidak dapat dipisahkan.

Latifah Omar berlakon ketika berusia 14 tahun, lebih muda setahun dari Kasma Booty, seorang lagi seniwati terkenal.

Beliau dilahirkan pada 26 Mac 1939 di Kampung Baru, Kuala Lumpur dan meninggal dunia pada 10 Jun lalu. Jenazah seniwati Latifah Omar atau nama sebenarnya Fatimah Omar, 74, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Lembah Keramat, pada pukul 11.20 pagi pada hari tersebut.

Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi selepas menjalani pembedahan usus kerana penyakit ulser yang dihidapinya.

Latifah berpindah mengikut ibunya ke Singapura pada 1948, kemudian (1953) buat pertama kalinya menghadapi kamera sebagai teman sekolah Dahlia (Norsiah Yem) dalam filem “Dahlia” (keluaran Keris Film) yang diarahkan B.S. Rajhans.

Pada tahun 1953 itu juga, Latifah diambil oleh K.R.S. Sastry berlakon dalam filem “Kerana Kau” yang turut dibintangi Mariam, Omar Rojik, Muhammad Hamid dan Sa’adiah.

Bagaimanapun peranannya terlalu kecil sehinggakan namanya tidak tercatat di ‘credit title’.

Tahun berikutnya (1954), atas kehendak P. Ramlee, Latifah (dalam filem dieja Latiffa) berlakon sebagai heroin kedua (gadis pulau bernama Melati) dalam filem “Panggilan Pulau” (MFP) arahan S. Ramanathan.

Bercinta dengan P. Ramlee

Ketika berlakon dalam filem ini, Latifah dikatakan bercinta dengan P. Ramlee. Tetapi mereka tidak jadi kahwin kerana P. Ramlee terlihat gambar Latifah memakai bikini dalam sebuah majalah hiburan.

Dalam filem yang mendapat sambutan hangat itu, Latifah tidak dapat memperlihatkan kebolehan berlakon yang sebenar, cuma apabila B.N. Rao menyerahkan peranan Aminah dalam “Merana” terserlah kehebatan lakonannya kerana dalam filem tersebut fokus lebih tertumpu kepadanya jika di bandingkan P. Ramlee.

Begitupun juga, dalam “Insan” (K.M. Basker) dan “Empat Isteri” (B.S. Rajhans) peranannya tidak boleh dianggap sebagai heroin seperti “Merana” kerana adanya Sa’adiah dan Siput Serawak (“Insan”) serta Saloma, Mariani dan Normadiah (“Empat Isteri”).

Pada tahun 1956, S. Ramanathan mengandingkannya dengan Yusof Latiff dalam “Bernoda”, dan seterusnya “Menyerah” (K.M. Basker) sekali lagi berherokan Yusof Latiff dan akhir sekali “Putera Bertopeng” (K.M. Basker) dengan Ahmad Mahmud sebagai heronya.

Agak menarik, pengunduran diri Latifah dari Malay Filem Production (MFP) sama dengan berhentinya Nordin Ahmad (filem terakhirnya “Belantara”) setelah kontraknya tamat kemudian mendapat tawaran yang lebih baik di Cathay-Keris.

Agak sedih, bagi Latifah (bergaji bulan) dia terpaksa memberi notis sebulan kerana adanya pertikaian antara dia dengan pihak majikan (MFP) disebabkan tidak menghadirkan diri dalam satu majlis yang ada hubungkait dengan filem – sehingga sampai ke peringkat dia di marahi.

Berganding dengan Nordin Ahmad

Kemarahan MFP itu jelas di terjemahkan dalam filem “Putera Bertopeng” apabila namanya di ‘credit title’ di potong. Nama Ahmad Mahmud, Normadiah, Haji Mahadi, Aziz Sattar dan lain-lain yang berkenaan semua ada, tetapi nama Latifah tiada.

Di Cathay-Keris, filem pertamanya “Selendang Delima” (filem keempatnya dengan K.M. Basker) kemudian diikuti “Serangan Orang Minyak” (pertama kali berlakon dibawah arahan L. Krishnan).

Bersama Nordin Ahmad, Latifah sering digandingkan. Filem-filem lakonan mereka yang mendapat sambutan termasuklah “Hang Jebat”, “Lanchang Kuning”, “Laila Majnun”, “Chuchu Datok Merah”, “Gul Bakawali”, “Patong Chendana” dan “Gurindam Jiwa”.

Lain-lain filem Latifah di Cathay-Keris antaranya “Raden Mas”, “Bawang Puteh Bawang Merah”, “Che Mamat Parang Tumpol”, “Chelorong Cheloreng”, “Bayangan Di Waktu Fajar”, “Rumah Itu Dunia Aku,” “Kalong Kenangan,” “Wan Perkasa,” “Kaseh Ibu,” “Chinta Kaseh Sayang,” “Ikan Emas” dan “Naga Tasek Chini.”

Apabila dunia perfileman Melayu mulai menampak kemerosotan, Latifah menghilangkan diri. Tetapi kemudian pada 1971, P. Ramlee mengambilnya berlakon dalam filem “Putus Sudah Kaseh Sayang” iaitu pertemuan semula P. Ramlee-Latifah selepas “Merana” (1954).

Filem terakhir Latifah “Hati Batu” (1973) arahan M. Amin (yang merupakan juga filem terakhir keluaran Cathay-Keris) yang turut di bintangi S. Azam, Fauziah Ahmad Daud, M. Shahdan dan Salleh Melan.

fmt


Perwatakan lemah lembut Latifah Omar disegani ramai
10 Jun 2013 04:35pm

Oleh: Mastura Malak

KUALA LUMPUR – Pelakon veteran, Datuk Mustapha Maarof menyifatkan sahabat karibnya seniwati Latifah Omar sentiasa dihormati dan disegani ramai kerana sikapnya yang lemah lembut.

Malah, faktor berkenaan menjadikan Allahyarhamah menjadi cukup terkenal dalam industri perfileman tanah air.

“Saya rasa satu kehilangan kerana nama Latifah Omar adalah cukup besar. Saya juga doakan agar roh arwah ditempatkan dalam golongan yang beriman dan kepada keluarga dia, mohon banyak banyak bersabar kepada Allah S.W.T.

Mustapha Maarof

“Saya dan dia memang kenalan baik, sebagai satu sahabat dan pernah berlakon tiga filem bersama. Dia memang menghormati saya dan tidak sombong orangnya, dan saya mengikuti hidup dia kebelakangan.

“Saya amat menghormati dia, dia berlakon dari remaja sebagai primadona dan kita tak pernah melihat Latifah berlakon sebagai nenek kebayan atau orang tua,” katanya kepada ABNnews.

Mustapha juga memaklumkan pihak Seniman telah mengusahakan bantuan kepada Latifah Omar.

“Saya dalam mengendalikan seniman, saya telah usahakan bantuan apatah lagi Latifah Omar. Saya sediakan rumah yang dia duduk sampai hari dia meninggal di Air Panas. Saya juga mengikuti keadaan sehingga arwah meninggal dunia,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi sahabat baik arwah, Raja Nazar Raja Mahmud yang menemani Latifah sehingga menghembuskan nafas terakhir berkata, sehari sebelum meninggal dunia, arwah ada menelefonnya beberapa kali.

“Dia sakit ulser dalam perut dan pada jam 3 pagi (9 Jun 2013), dia (Allahyarham) call saya, saya tak sempat nak jawab sebab saya silent, lepas tu saya ada terima pesanan ringkas daripada beliau dan bla saya terjaga masa awal pagi, saya lihat ada tiga panggilan yang tidak dijawab, rupanya dia masuk hospital.

“Mula-mula dia sakit kaki sahaja, tapi tak sangka dia boleh sakit teruk macam seperti sekarang. Arwah ada wasiat kepada saya, kalau apa-apa jadi pada dia, dia mintak saya bawa kawan-kawan dia ke AU Keramat , arwah da tunjuk siap rumah tu kepada saya,” katanya.


Suasana pada majlis pengebumian Latifah Omar di Tanak Perkuburan Islam AU4, Keramat.


Antara yang hadir pada upcara pengebumian itu ialah Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Raja Rozaime Raja Dalnish Shah dan timbalannya Fatimah Ahmad.

Raja Rozaime turut menyampaikan sumbangan khairat kematian RM5,000 daripada Finas kepada anak sulung allahyarham, Affendi Rahmat.

Turut hadir ialah Datuk Rosnani Jamil, Datuk Maria Menado, Datuk Aziz Satar, Datuk D.J Dave,Datuk Sarimah Ahmad, Aspalela Abdullah dan Lydiawati.

Latifah, seniwati filem Melayu yang sering digandingkan dengan seniman Nordin Ahmad selain Tan Sri P. Ramlee, Normadiah, Yusof Latif dan Ibrahim Pendek, meninggalkan empat anak dan lapan cucu.

Allahyarham pernah membintangi filem Panggilan Pulau, Bawang Putih Bawang Merah, Laila Majnun, Putus Sudah Kasih Sayang, Gurindam Jiwa, Hang Jebat dan Hati Batu.

berita abn


Latifah tak rindu berlakon


KECANTIKAN Latifah sentiasa terjaga dan kekal seperti muda-muda dahulu.

"SEKARANG saya masih menonton lakonan sendiri kalau ditayangkan di televisyen. Tapi saya selalu rasa tidak puas kerana berasa lakonan saya dulu masih banyak kekurangan," ujar seniwati terkenal negara, Latifah Omar.

Dia dianugerahkan Bintang Legenda Perempuan pada Festival Filem Malaysia ke-22, baru-baru ini.

Pada usia 71 tahun, Latifah atau nama sebenarnya, Fatimah Omar masih kelihatan cantik.

Kebaya merah yang disarungnya dengan solekan nipis dan sanggul kepala menyerlahkan kejelitaan wanita yang menjadi pujaan ramai sewaktu era kemasyhurannya sekitar tahun 1950 hingga 1970-an ini.

Waktu itu, siapa yang tidak kenal dengan Latifah Omar. Dia ibarat ratu Jalan Ampas apabila pernah digandingkan berlakon bersama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebelum serasi dengan aktor Nordin Ahmad.

Kolaborasi berkesannya dengan Nordin Ahmad menerusi filem-filem hitam putih yang hebat seperti Raden Mas, Hang Jebat dan Bawang Puteh Bawang Merah selalu menjadi sanjungan.

Itu kisah lebih 30 tahun lalu. Cerita sewaktu Latifah masyhur sebagai anak wayang. Cukup sinonim dengan tali lalat di sebelah kiri bawah bibirnya, Latifah hari ini selesa menjadi nenek dan ibu rumah tangga.

Katanya, sekelumit kerinduan tidak pernah terbit di hatinya untuk kembali berlakon.

"Tak, sedikit pun saya tak rasa rindu nak berlakon semula. Tapi saya lebih seronok tengok banyak pelakon baru kita yang bagus-bagus," katanya ringkas.

Menurut Latifah lagi, sewaktu mengambil keputusan untuk tidak lagi berlakon sekitar tahun 1973, dia sudah bulat hati meninggalkan dunia glamor.

DARI kiri: Latifah Omar, Momo Latiff dan Zaiton Ahmad pada Majlis Makan Malam Negeri Dan Malam Bintang Legenda bagi meraikan Delegasi FFM ke-22.

Dia turut menafikan meninggalkan dunia lakonan kerana dibantah suami, yang hanya dikenali sebagai seorang usahawan.

Sebaliknya keputusan diambil kerana studio Jalan Ampas ditutup dan kebetulan melahirkan anak ketiga yang usianya rapat dengan anak keduanya.

"Sebenarnya saya bersara bukan sebab berkahwin, tetapi selepas studio tutup, saya pun tak mahu berlakon lagi. Kebetulan saya mempunyai anak yang usia mereka dekat.

"Jadi saya ambil keputusan untuk menjaga keluarga saya. Saya bimbang saya tidak mampu memberi komitmen terhadap keluarga jika sibuk berlakon," katanya yang kini mempunyai sembilan cucu hasil perkahwinan empat anaknya.

Bagaimanapun, Latifah mengaku sehingga kini dia masih menerima tawaran berlakon daripada karyawan baru, tetapi hatinya sudah tertutup untuk berlakon.

Sementelah sejak lima tahun lalu, kesihatannya tidak mengizinkan dia bergerak cergas.

"Saya tak mahu menyusahkan orang. Sejak lima tahun lalu saya mengalami sakit lutut yang membataskan pergerakan saya.

"Cukuplah saya berlakon dulu, saya tak mahu lagi terlibat sebagai anak seni. Saya selesa dengan kehidupan sekarang," jelasnya.

kosmo online


Perginya primadona negara

Oleh ADAM SALLEH

Alunan mendayu-dayu Dhalan dan Dahlia jelas betapa hubungan tulus suami isteri itu boleh membawa ke syurga. Itu di filem, realitinya Latifah Omar sebagai Dahlia dalam filem Gurindam Jiwa sehingga ke akhir hayatnya masih meraba-raba mencari kebahagiaan hidup berumah tangga.

Dua kali perkahwinan dilalui di Singapura, bahkan ada yang kata tiga kali, termasuk di Kuala Lumpur, namun pada pengakhir hidupnya, tiada suami di sisi jenazahnya.


Getir hidupnya kian dirasai, tiga anak lelakinya, dengan seorang ‘missing in action’ seperti mana diberitahu anak sulungnya, Affendi Rahmat, 55.

Sementara abang kandung Latifah iaitu Ismail, 77, di Singapura dan adiknya Mahadi, 60-an, sudah lama putus hubungan sesama mereka. Sepanjang masa, dia ditemani anak angkatnya bernama Nor.


“Emak saya seorang yang perahsia dan apa yang saya perhatikan, selagi kudratnya ada, dia mahu berdikari menyelesaikan apa juga ranjau hidup.


“Cuma kali terakhir mereka berjumpa ketika nenek meninggal pada 1988 di Kampung Baru. Kemudian tidak tahu apa cerita,” kata Affendi.

Fitrah hidup, sememangnya sukar untuk kita menyingkap tabir Ilahi. Kahwin, cerai dan mati semuanya dicatat sejak azali, cuma apabila membicarakan Latifah Omar di nusantara Melayu ini, daripada orang biasa, menteri hinggalah kerabat istana cukup kenal seniwati manis bertahi lalat itu.


Apakan tidak, ketika program Singgah Sahur tahun lalu, Latifah menerima kunjungan daripada Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar.

Kehadiran Johan bersama ‘team’ produksi TV3 itu membuktikan sekalipun dia sudah lama menyepi daripada dunia seni, aura primadonanya tetap dihormati.


Bagaimanapun, berbanding seniwati lain yang meniti hari emas mereka dengan sempurna, Latifah getir sedikit jika mengambil kira pada pengakhir usia dia hanya menginap di rumah pangsa di tingkat 10, manakala jenazahnya pula cuma diletak di pintu masuk masjid semalaman sebelum pengebumian.


Berdepan hidup susah, payah dan getir sebenarnya tidak asing pada Latifah. Mendengar kembali tangisannya mengalun lagu Derita dalam Naga Tasik Chini, “Ayahku, ibuku menghilang tiada tempatku mengadu. Makcikku harapan menumpang, kejamnya menyeksa diriku...,” Nordin Ahmad selaku pengarah yang kerap bergandingan dengan Latifah seolah-olah memahami lara hati sahabatnya lalu diajak kongsi bersama di layar lebar.


Latifah, anak kedua daripada tiga beradik, dilahirkan pada 26 Mac 1939 di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Sebagaimana diceritakan Affendi, emaknya yang dipanggil ‘mummy’ ketika kecil ketandusan kasih sayang ibu bapa sebelum dibawa neneknya merantau ke Singapura.


Menurut Affendi, apa diketahui neneknya, Rahmah Ali berasal dari Melaka dan datuknya Omar Puteh membawa teksi di Singapura.


Kemudian ibu Latifah berkahwin pula dengan peninju bernama Dollah dan dikurnia anak bernama Mahadi. Kehidupan neneknya yang suka bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain menyebabkan Latifah terpaksa menumpang teduh di rumah ibu saudaranya dan berpindah dari satu tangan ke tangan lain ketika zaman kanak-kanak.


Dicubit, dimaki hamun dan dicaci sudah lali dirasai Latifah ketika itu. Justeru, apabila menjadi pelakon, pelbagai watak malang seperti menjadi Bawang Merah yang sentiasa dikhianati Bawang Putih, Telani yang digelek Lanchang Kuning dan Dang Baru yang bercerai kasih dengan Jebat, Latifah yang bukan daripada keluarga seni dan tidak mendapat asas daripada mana-mana kelas lakonan, dapat menjiwai pelbagai watak malang itu hingga menusuk hati.


“Kebanyakan filem sedih yang dilakonkan oleh emak, hakikatnya itulah warna sebenar kehidupannya,” katanya.


Affendi, bekas eksekutif di TV3 dan kini pensyarah di UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) menjelaskan, ibunya tidak menggalakkan anaknya menceburi lakonan.


Ketika kanak-kanak, hanya sekali dia dibawa ibunya ke lokasi penggambaran filem di Kota Tinggi, Johor.


Perkahwinan Latifah dengan pemuzik terkenal Rahmat Ali dalam usia muda selain untuk menjaga maruah, pada waktu sama membebaskan diri daripada kongkongan ibunya. Melalui perkahwinan dengan bekas bapa mentua Tan Sri Jins Shamsuddin itu, Latifah hanya dikurniakan Affendi seorang.


Pernikahan Latifah dengan Rahmat bagai menepati apa dinasihati Bendahara kepada Dang Baru, “Kamu adalah seorang perawan ibarat suri menjunjung mahkota. Jangan dicampak sebelum bertakhta. Jangan kamu tertipu oleh terangnya bulan kerana di sebalik terang, banyak gelapnya.” Latifah yang menghidap kanser usus menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur pada jam 6.45 petang, Ahad minggu lalu.


Selama hayatnya, Latifah mula diperkenalkan dalam filem Panggilan Pulau ketika berusia 16 tahun dan sempat membintangi 23 filem, antaranya Raden Mas, Selendang Delima, Jalak Lenteng, Cucu Datuk Merah, Kalung Kenangan dan terakhir Hati Batu pada 1973.


Sekalipun jasadnya sudah tiada, satu hal kita harus ingat ialah, Latifah sudah memahatkan namanya sebagai seniwati legenda yang sentiasa bertakhta di hati.


Selepas perusahaan filem Melayu di Cathay Kris dan Shaw Brothers Singapura gulung tikar, ramai seniwati berpindah ke Kuala Lumpur untuk meneruskan kerja seni mereka.


Ramai di antara mereka mula mendokong watak ibu dan nenek, tetapi Latifah matinya sebagai seniwati yang tidak tua-tua.

MyMetro



Biografi


Latifah Omar dilahirkan di Kampung Baru Kuala Lumpur . Beliau dilahirkan pada 26 mac 1939. Nama sebenar Latifah ialah Fatimah Binti Omar .Beliau mengunakan nama samaranya Latifah selepas beliau berhijrah ke Singapura bersama ibunya . Ibunya dan neneknya berasal dari Singapura.Beliau merupakan seniwati filem Melayu hitam-putih yang terkenal pada era 1950-an hingga 1970-an. Pada tahun 1953, ketika berusia 16 tahun, beliau telah mencuba nasib dengan menyertai pertandingan ratu cantik Singapura. Tuah menyebelahi beliau apabila memenangi gelaran tersebut. Pelbagai tawaran pekerjaan ditawarkan kepada beliau kesan daripada kemenangannya itu. Sebelum tahunnya berakhir, beliau telah menghadirkan diri untuk pertandingan ratu cantik Singapura edisi 1954 dengan memberi mahkota kepada pemenang baru ketika itu iaitu MARJORIE WEE.

Allahyarham telah dilamar oleh pengarah S. Ramanatahan bagi membintangi filem Panggilan Pulau yang ditayangkan pada tahun 1954. Filem Panggilan Pulau (Julai 1954) merupakan filem pertama lakonan Seniwati Latifah Omar. Pada masa itu beliau baru sahaja berusia 16 tahun dan telah diberi peluang berlakon disisi pelakon-pelakon yang hebat pada masa itu antaranya P. Ramlee, Normadiah, Nordin Ahmad, Daeng Idris, Yusof Latif, A. Rahim, Saleh Kamil, S. Shamsudin, Siti Tanjung Perak, Omar Rojik, S. Kandarisman , Ibrahim Pendek dan kemunculan pertama di layar perak .

Pada tahun yang sama juga, Allahyarham telah berpeluang untuk bergandingan dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menerusi filem Merana (November 1954), terbitan Malay Film Production. Itu merupakan kali pertama dan terakhir mereka bergandingan di layar perak, sebelum Latifah kemudian berhijrah dari Malay Film Production ke syarikat perfileman Cathay Keris.

Ketika bersama Cathay Keris, populariti Allahyarham meningkat apabila beliau berlakon dalam banyak filem genre bangsawan bersama Allahyarham Nordin Ahmad. Beliau sempat membintangi 26 buah filem dengan Cathay Keris, yang mana 12 daripadanya merupakan gandingan bersama Nordin Ahmad. Beliau sering digandingkan dengan seniman Nordin Ahmad antaranya seperti dalam filem Gurindam Jiwa, filem Lanchang Kuning dan filem Cucu Datuk Merah

Selain Nordin Ahmad, Latifah juga pernah digandingkan dengan ramai pelakon lelaki ternama seperti Allahyarham Roomai Noor (Sumpitan Racun), Yusof Latiff (Jalak Lenteng) dan Tony Kassim (Rumah Itu Duniaku). Dalam filem Bawang Putih Bawang Merah lakonannya bersama Datuk Mustapha Maarof, Allahyarham memegang watak sebagai Merah, anak tiri yang teraniaya.

Beliau telah meninggal dunia pada 9 Jun 2013 kira-kira pukul 6.19 petang Waktu Piawai Malaysia pada usia 74 tahun, di Pusat Rawatan Rapi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia setelah dimasukkan ke HUKM seminggu sebelumnya akibat kanser usus. Jenazah beliau disembahyangkan di Masjid Al-Khairiah AU3 Lembah Keramat dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam AU4,Lembah Keramat,Ulu Kelang pada 11.20 pagi. Allahyarham meninggalkan empat orang anak dan sembilan orang cucu.


Filem-filem lakonan Latifah Omar

Panggilan Pulau (Julai 1954)
Merana - (November 1954)
Menyerah - (1955)
Serangan orang Minyak - (1958)
Selendang Delima - (1958)
Bawang Putih Bawang Merah - (1959)
Raden Mas - (1959 )
Che Mamat Parang Tumpul - (1960)
Filem Hati Batu - (1973 )
Filem Putus Sudah Kasih Sayang - (1971 )
Filem Gurindam Jiwa - (1966 )
Filem Naga Tasik Chini - (1966 )
Filem Cinta Kasih Sayang - (1965 )
Filem Ikan Emas - (1965 )
Filem Kalung Kenangan - (1964 )
Filem Wan Perkasa - (1964 )
Filem Rumah Itu Dunia Aku - (1963 )
Filem Cucu Datuk Merah - (1963 )
Filem Chelorong Cheloreng - (1962 )
Filem Laila Majnun (1962) - (1962 )
Filem Lancang Kuning - (1962 )
Filem Sumpitan Racun - (1961 )
Filem Hang Jebat - (1961)

wikipedia

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena