mengenang sudirman


Di sini lahirnya sebuah cinta. Sebahagian dari lirik lagu nyanyian Sudirman ini menjadi tema Sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 negara kita pada tahun ini.  Ungkap kata itu  secara mendalam menzahirkan paksi cinta dan sayang akan negara tercinta ini. Tak ada yang lain selain negara ini untuk menyerahkan cinta dan negara ini untuk menzahirkan sayang.

Tema ini tidak dapat melepaskan kita dari imbau kenang kepada Datuk Sudirman Hj Arshad  Malah Konsert Chow Kit Road 2.0 akan dipersembahkan sebagai sebahagian dari acara sambutan kemerdekaan negara. Sudirman telah melakukannya pada 1986 sebagai manifestasi jiwa seninya yang sentiasa memilih objek rakyat, cinta dan negara sebagai tema nyanyian dan persembahan

Jika kita merenung secara mendalam tema negara dan kecintaan sebagai rakyat yang setia dan menghargai negara dilafazkan melalui lagu-lagu Warisan, Bapak, Anak Dagang, Di Bumi Bertuah, Tegakkan Bendera Kita dan lain lagi. Lagu yang menginterpretasi rakyat serta lingkaran kehidupan mereka, nasib bangsa, kemiskinan, hidup bersama, kerjasama, toleransi, pengorbanan dan ketinggian nilai manusia dipaparkan secara halus menerusi Hidup Sederhana (Basikal tua), Seniman tua, balik kampung, pelangi petang, penyu menangis, chow kit road, hidup di kota, baru dapat kerja dan lain-lain. Manakala tema cinta yang merungkai kejiwaan dunia remaja, harapan dan kejayaan, percintaan, perkahwinan, dan pengorbanan cinta dilafazkan menerusi salam terakhir, di manakah nilai cintamu, gugur di tangkai madu, hilang berganti.

Mendengar lagu-lagu Sudirman adalah meneroka ke alam kehidupan rakyat tanahair yang dipaparkan dalam pelbagai segi dan sisi hidup mereka. Rakaman ini dijelmakan dalam lagu demi lagu dan ternyata secara tersembunyi Sudirman merakamkan hidup rakyat negara ini dalam lagu-lagunya,...

Sempena Hari Kemerdekaan ke-57 marilah kita mengenang Sudirman
Banyak yang terbaik dan tersumbunyi datang dari dirinya...



Mengenang Sudirman
Oleh Mohd. Fairuz Yusof


Koir Kebangsaan turut diselitkan dengan unsur jenaka dalam menyampaikan lagu-lagu Allahyarham Sudirman pada Konsert Dir.. yang akan diadakan esok dan lusa.

Sumbangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dalam industri tanah air pada era 80-an dan 90-an meninggalkan kesan kepada muzik tempatan dengan lagu-lagu beliau sentiasa diingati dan diminati sehingga kini.

Lagu-lagu seperti Terasing, Antara Hujan dan Airmata, Basikal Tua, Milik Siapakah Gadis Itu dan Pelangi Petang masih segar dalam ingatan para peminatnya walaupun beliau telah meninggal dunia pada 1992.

Kelincahan beliau ketika membuat persembahan di atas pentas begitu mengujakan sehingga ada yang menganggap pengganti Sudirman masih lagi sukar dicari sehingga kini.

Anak jati Pahang itu mula mengukir nama apabila menjadi johan pada pertandingan Bintang RTM pada 1976 yang diadakan di Melaka ketika itu.

Dilahirkan pada 25 Mei 1954 di Temerloh, Allahyarham mempunyai ijazah Undang-Undang dari Universiti Malaya pada 1980 dan diiktiraf sebagai peguam pada 1984 selepas berjaya menjalani latihan guaman pada 1983.

Namun minat beliau pada bidang nyanyian membuatkan Sudirman meninggalkan bidang guaman kerana memilih bidang seni sebagai kerjayanya.

Bagi menghargai dan mengenang kembali jasa dan pengorbanan beliau, Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara (JKKN) cawangan Pahang menganjurkan Konsert Dir… Koir Kebangsaan Malaysia akan memaparkan vokal harmoni kumpulan ini menerusi 24 buah lagu Allahyarham yang hits.

Konsert yang bakal diadakan di dua daerah iaitu Mentakab, Temerloh dan Kuantan, Pahang akan bermula pada 8 November ini yang mana konsert pertama berlangsung di Dewan Sri Mentakab pada pukul 3 petang.

Bagi Kuantan pula, ia akan dijalankan di Auditorium RTM, Kuantan, Pahang pada pukul 8.30 malam pada 10 November ini yang menjanjikan persembahan menarik pada kedua-dua konsert itu.

Koordinator koir akan diketuai Tunku Marina Tunku Zubir, Pengarah Vokal dan Persembahan, Syafinaz Selamat; Konduktor/Jurulatih Mohd. Amri Mohd. Zin; Penolong Vokal Master, Lilis Syafiza Mohd. Yatim dan Koreografer Azzarah Shafie Ainaa Yasyira Ab. Ghafar dengan disertai seramai 26 ahli koir.

Menjanjikan kelainan, konsert tersebut akan menampilkan pergerakan, lakonan dan lontaran suara ahli Koir Kebangsaan ketika persembahan.

Pendedahan dan pengalaman di arena muzik koral bagi ahli koir memberi peluang kepada masyarakat luar Kuala Lumpur menyaksikan persembahan koir bertaraf kebangsaan.

Pada segmen pertama konsert itu nanti, beberapa lagu akan disampaikan seperti Seruling Bambu, Medley Basikal Tua dan Hoore Hoore, Mat Disko, Pelangi Petang, Hujan, Planet Gringgragong, Toyol Mama dan One Day In Your Life.

Selepas itu disusuli dengan persembahan selingan menampilkan artis jemputan iaitu Thye Mentor serta kumpulan Kesenian JKKN Pahang dengan lagu Chow Kit Road dan Din Gale.

Segmen kedua pula akan mendendangkan lagu medley seperti Aku Penganggur, Punch Kad, Pulang Dari Kilang; Medley Milik Siapakah Gadis Ini, Merisik Khabar dan Medley Tak Perlu Diucapkan, Aku dan Perasaanku; Bimbang Terluka, One Thousand Million Smiles, Kulit, Salam Terakhir, Hujan dan Air Mata, Bercanda di Pasiran Pantai dan Terasing.

Justeru, warga Pahang yang tinggal di sekitar Temerloh dan Mentakab serta Kuantan dialu-alukan menghadiri konsert tersebut bagi merasai dan menjiwai lagu-lagu yang disampaikan oleh kumpulan koir berkenaan sekali gus mengenang kembali zaman kegemilangan Allahyarham Sudirman Arshad suatu ketika dahulu.

utusan online


Sekitar Konsert Sudirman... Abadi Di Hati
Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


ALYAH merupakan penyanyi generasi baharu yang rasa teruja kerana dapat menjayakan konsert khas mengenang 20 tahun pemergian Sudirman.

TANGGAL 22 Februari 1992 sememangnya sangat dirasai oleh seluruh warga Malaysia apabila kehilangan seorang insan seni yang paling berbakat iaitu Datuk Sudirman Haji Arshad.

Kini setelah 20 tahun Allahyarham meninggal dunia, kehilangannya terus dirasai oleh para peminat. Malah, lagu-lagu malar segarnya masih kerap berkumandang di stesen-stesen radio dan menjadi siulan ramai.

Sebagai mengenang jasa Allahyarham sepanjang pembabitannya sebagai penyanyi sejak tahun 1976, Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menganjurkan Konsert Sudirman... Abadi Di Hati pada 24 Februari lalu dan disiarkan secara langsung menerusi saluran RTM 1 bermula pada pukul 9 malam.

Penerbitnya, Ain Sabrina Onn berkata, konsert tersebut dianjurkan bertujuan untuk mengimbas semula perjalanan karier seni Sudirman sepanjang 16 tahun menjadi seorang penghibur.

“Konsert ini merupakan kali kedua dianjurkan oleh RTM setelah pertama kali ia diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada tahun 2007. Ketika itu konsert yang diberi nama Suara Hati Sudirman telah dihadiri seramai 15,000 orang.

“Pada kali ini kami memilih Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri sebagai lokasi konsert yang bertujuan mengenang kembali perjalanan karier seninya yang bermula di RTM selepas menjuarai Bintang RTM 1976,” ujarnya ketika ditemui sejurus konsert berakhir.

Menurut Ain, sepanjang konsert tersebut berlangsung, sebanyak 24 buah lagu Sudirman telah dinyanyikan semula oleh beberapa orang penyanyi terkenal tanah air selama dua jam.

Persembahan pada konsert tersebut membabitkan penyanyi seperti Shila Amzah, Bob Yusof, Tomok, Aril, Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor, Alyah, Black, Adibah Noor, Datuk Sharifah Aini dan Rey, manakala ia dihoskan oleh Saiful Apek dan Didie Alias.

Lagu-lagu yang dipersembahkan pula antaranya seperti Gerimis Di Lautan, Jali Jali, Bila Hati Terpikat, Aku Anak Gembala, Nilai Cintamu dan Pelangi Petang dengan mengikut turutan album yang telah dihasilkan serta diiringi oleh 40 orang pemuzik Orkestra RTM.

Mengenai persiapan pula, Ain menjelaskan pihaknya mengambil tempoh selama sebulan untuk memastikan segala perjalanan konsert berjalan dengan lancar, manakala penyanyi yang terbabit pula berlatih selama dua minggu bagi menyesuaikan lagu-lagu dengan susunan muzik baharu.

“Saya bersyukur kerana konsert malam ini telah berjaya diadakan dan mendapat sambutan hangat daripada penonton yang telah memenuhi ruang auditorium 45 minit sebelum konsert berlangsung. Begitu juga dengan persembahan yang ditampilkan oleh barisan penyanyi sangat menghiburkan dan berhasil mengimbau kembali nostalgia terhadap Sudirman,” ujarnya.

Sementara itu, Penerbit Perkhidmatan Muzik RTM, Ali Shaaib menyatakan konsert berkenaan merupakan yang pertama daripada sembilan konsert orkestra yang dirancang bagi mengisi kalendar Siri Orkestra 2012 RTM pada tahun ini.

Jelas Ali, bagi menampilkan sedikit kelainan berbanding dengan konsert Sudirman yang pernah dianjurkan sebelum ini, pihaknya telah memilih gabungan lagu-lagu malar segar dan lagu-lagu Sudirman yang jarang diputarkan stesen radio.

“Sebenarnya banyak lagu-lagu Allahyarham yang menarik dan sedap untuk didengar. Jadi, pada konsert kali ini para penonton akan dapat mendengar lagu-lagu yang jarang diputarkan seperti Di Dalam Sepi Itu, Bila Hati Terpikat dan Hilang Berganti,” ujarnya.

Menurut Ali, pihaknya juga telah menetapkan idea untuk konsert berkenaan lebih menjurus kepada konsep yang menghiburkan dan kurang menerapkan elemen-elemen sedih.

“Tidak dinafikan kehilangan Sudirman masih lagi dirasai sehingga sekarang, tetapi pada masa yang sama adalah lebih baik sekiranya kita terus mengangkat karya-karyanya menerusi konsert-konsert sebegini.

“Selain dapat mengimbau semula nostalgia kariernya sepanjang bergelar penyanyi menerusi 24 buah lagu yang telah dinyanyikan, kami juga mahu para penonton terhibur dengan lawak dan celoteh yang ditampilkan oleh kedua-dua pengacara,” ujarnya.

Selepas berakhirnya Konsert Sudirman... Abadi Di Hati, kalendar Siri Orkestra 2012 RTM diteruskan dengan sebuah persembahan Istimewa Orkestra RTM... Datuk Sharifah Aini yang akan berlangsung pada 1 April ini.

kosmo online


20 tahun terus dikenang
Wartawan Sinar Harian


Tanggal 22 Februari, genaplah 20 tahun pemergian seniman terkenal, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad menemui Penciptanya. Masa berlalu, kedudukan Sudirman sebagai penghibur terbaik yang begitu dekat dengan jiwa peminatnya masih tiada ganti.

Biarpun generasi baru tidak berkesempatan melihat sendiri kehebatan Sudirman di pentas, penganjuran pelbagai persembahan bagi mengenang jasa penyanyi lagu Balik Kampung dan Merisik Khabar itu sedikit sebanyak mengubat kerinduan.

Meneruskan usaha memberi penghormatan kepada Sudirman, Orkestra RTM (ORTM) menampilkan konsert Sudirman...Abadi di Hati pada 24 Februari ini di Auditorium Perdana, Angkasapuri, jam 9 malam.

Menurut Penerbit Perkhidmatan Muzik RTM, Ali Shuib, penganjuran konsert kali ini agak berbeza dengan siri konsert pertama pada 2007 di Stadium Melawati.
“Sebagai kelainan, konsert ini bakal menampilkan konsep persembahan secara kronologi.

“Setiap persembahan akan disusun berdasarkan album pernah dihasilkan dan menjulang nama Sudirman sepanjang kerjaya seninya iaitu Teriting Doa (1997), Aku Penghiburmu (1978), Perasaan (1979) sehinggalah album terakhir,” katanya pada sidang media konsert Sudirman...Abadi di Hati.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Strategik RTM, Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus, Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail, dan penerbit, Ain Sabrina Onn.

Kekalkan melodi asal

Bagi menghormati karya dendangan Sudirman, Ali berkata, melodi asal setiap lagu yang dipilih tidak akan diubah.

“ORTM hanya akan membuat gubahan bersesuaian dengan gaya penyanyi yang membawakan lagu itu agar tidak sama dengan cara nyanyian Sudirman, tetapi melodinya tetap sama.

“Mengenai pemilihan lagu, kita akan tonjolkan lebih banyak lagu popular Sudirman yang jarang diputarkan sebagai variasi,” katanya.

Konsert yang dijadikan acara wajib setiap lima tahun itu dikendalikan dua pengacara dan pelawak terkenal, Didie Alias dan Saiful Apek.

Sementara, barisan artis yang terlibat termasuk Adibah Noor, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Alyah, Bob, Shila Amzah, Tomok, Black, Aril dan Rey Bintang RM. Ali berkata, konsert itu bukan mengenang Sudirman semata-mata, malah turut menghargai insan di sebalik kejayaannya,” katanya.

sinar harian



Kalau Sudirman ada, dia mesti sedih
Saodah Ismail

SAYA memang puji usaha stesen tv dan radio bersusah payah mengadakan pelbagai program untuk kenang seniman seperti Datuk Sudirman Haji Arshad. Rasanya hampir semua stesen utama telah mengadakan tribute khas bulan ini, kerana pada bulan ini 20 tahun lalu seniman itu kembali ke rahmatullah pada usia yang masih muda.

Sememangnya kita wajar kenang Sudirman. Dia contoh seniman yang dedikasi, semangat dan disiplin diri yang sangat tinggi. Dia anak Melayu yang percaya, bintang di langit tinggi sekalipun mampu dicapai tangan. Tidak ada istilah mustahil.

Tidak ada kompromi soal mutu, kerana seniman bernama Sudirman ini seorang perfectionist. Memang itu cara beliau bekerja. Saya percaya, kerana sifat-sifat itulah setiap bos stesen TV bagaikan mendedikasikan bulan Februari ini untuk Sudirman dengan harapan jati dirinya menjadi inspirasi kepada semua. Setidak-tidaknya, dedikasi dan cara kerja Sudirman itu menjadi aspirasi bagi kita.

Sebab itu saya teruja apabila ada ‘tribute” khas untuk kenang Sudirman. Malangnya saya menonton dengan sedih. Mengenali Sudir, saya rasa, sekiranya Allahyarham masih ada hari ini, dia juga akan sedih seperti saya. Kenapa? Kerana setidak-tidaknya, sekian banyak rancangan yang dia tinggalkan (yang sekarang ini footagenya masih dalam simpanan RTM), seharusnya menjadi kayu ukur yang cukup untuk hasilkan rancangan yang baik dan bermutu.

Sebagai seorang perfectionist, Sudirman tentu sedih dengan rancangan yang dihasilkan RTM tempoh hari, sekalipun kelebihannya adalah lagu Sudirman diiringi orkestra. Itupun ada masalah bunyi yang macam biskut, kejap ada kejap tiada.Sehari selepas rancangan itu, kebetulan ada majlis tahlil di Restoran Puteri di mana berkumpulnya rakan-rakan dan peminat setia Sudirman. Banyak keluhan yang saya dengar. Kasihan, niat yang baik, tetapi hasilnya mengecewakan.

Pada saya. Baiklah tak usah buat ‘tribute”, jika ia hanya merendahkan dan memaparkan kelemahan diri. Sudah pasti bukan itu yang dimahukan oleh keluarga, rakan-rakan dan peminat setia Allahyarham. Malah, sebagai rakan, saya rasa acara itu bukan satu tribute. Sebuah acara tribute atau penghargaan harus menampakkan kesungguhan dan keikhlasan kita mengangkat seorang seniman.

Di mana silapnya? Saya mencari jawapan. Apakah itu sekadar memenuhkan tanggungjawab pada kalendar program kenang seniman, kelak jika jika Pak Menteri bertanya, mereka ada jawapannya, “Ya, kita juga ada buat program kenang Sudirman.” Janji ada, peduli apa soal mutu. Tak kisah, sebab Pak Menteri pun mungkin tidak menontonnya!

Maaf, bukan mahu dilihat anti RTM, tetapi tolonglah, jika itulah yang dikatakan ‘tribute”, baik tidak usah diadakan. Tolong. Kerana, saya membayangkan anak-anak saya, generasi yang tidak kenal siapa Sudirman, bila melihat rancangan seperti itu, akan bertanya kepada saya, “Mak, so, what is so great about Sudirman?”

Tolonglah, kalau Sudirman boleh hasilkan rancangan yang baik pada zamannya (80an), jika tidak setanding pun, sekurang-kurangnya biarlah dihasilkan dengan baik, dengan kesungguhan dan skrip yang mantap, bukan sekadar melepaskan batuk ditangga, bukan ‘sekadar ada”.

Memang amat mengecewakan.Tidak terkecuali juga TV3 yang mendedikasikan Konsert Sure Hebuh untuk mengenang Sudirman, dua hari selepas RTM.

Saya tak mahu sentuh bab lawak yang tak lawak (RTM dengan Didie Alias, Saiful Apek) dan TV3 dengan Wahid dan Farid (??) yang mual dan sengal kerana saya tidak tahu dimana harus saya ketawa.

Apa yang boleh saya rumuskan. Selama 20 tahun ini, rupa-rupanya kita hanya mengkagumi Sudirman, tapi tidak pernah fikir mengapa dia dikagumi kerana kita gagal menjiwai rohnya.

Usah cemar keindahan legasi bintang ini. Sudirman itu luarbiasa. Dia buat sesuatu dengan bersungguh-sungguh.Setiap gerak dan langkah diambil kira, biar sebesar hama. Setiap inci dihitung, diperhalusi. Bila menyanyi lagu patriotik, dia pakai baju bendera dan songkok. Tapi artis yang ditampilkan Konsert Jom Hebuh pakai skirt pendek untuk lagu joget. Terujakah orang Melaka dengan skirt pendek di tengah deraian hujan malam itu? Apa, ada masalah ke dengan pihak wardrobe sekarang ini, berbanding waktu Sudirman dulu? Apakah soal kesesuaian itu sudah tidak perlu lagi? ye, pedulilah, lantaklah, janji, aku keluar menyanyi, balik sain cek.

Pada siapakah harus saya bertanya soalan-soalan ini? Atau mungkin ini hanya emosi saya, sebagai wartawan dan sahabat yang pernah kenal dan tahu cara penghibur kecil berjiwa besar ini berfikir. Begitukah cara kita menghargai dan membalas jasa insan yang kita akui kelebihannya?

Rupa-rupanya, selepas 20 tahun pun, kita masih belum kenal Sudirman…kerana kita gagal menyelami jiwa besar dalam seniman ini….sayang seribu kali sayang.-28/2/2012

agenda daily



Sudirman sumber inspirasi
Oleh Zaidi Mohamad
20 Feb 2012

EMPAT finalis ABPBH 2010 sebak di pusara Sudirman. (Dari kiri) Ana Raffali, Aizat, Elfira dan Shaarnaaz.

BUKAN selalu pengalaman dan peluang sebegini dapat dirasai dan dilalui. Biarpun sehari, ia pasti dikenang sampai bila-bila. Tarikh dengan nombor cantik pada 11 Februari lalu (11.02.2011) akan tersemat indah buat Aizat, Ana Raffali, Sharnaaz Basir Ahmad dan Elfira Loy.
Lawatan ke Temerloh bagi mengenang Allahyarham Datuk Sudirman Arshad yang genap pemergiannya 19 tahun pada 22 Februari ini memberi terjemahan berbeza buat empat finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 ini. Buat pertama kalinya juga mereka menjejakkan kaki ke Galeri Tokoh (dirasmikan pada 18 Julai 2009) yang menempatkan barangan peribadi milik Allahyarham. Jelas terpancar keterujaan pada wajah keempat-empat bintang muda itu saat menyentuh, membelek dan meneliti ‘khazanah’ berharga peninggalan Allahyarham.

Masing-masing berpeluang mencuba jaket dan baju yang pernah dipakai Allahyarham ketika membuat persembahan. Aizat sendiri terkesima kerana muat memakai kot dan seluar berwarna merah. Tak sangka saiz genit Allahyarham ternyata muat dengan saiz badan Aizat yang terus mengecil.

Ana sendiri mencuba jaket bermotifkan Jalur Gemilang yang dipakai Allahyarham ketika menyanyikan lagu Tanggal 31. Malah paling mengejutkan ialah melihat sebuah judul lagu dendangan Allahyarham berjudul Ana (Tidak Boleh Dilupakan).

Elfira Loy dan Sharnaaz yang bakal bergandingan dalam telefilem Ekspress Dania arahan Michael Ang juga tidak betah duduk diam. Sebaliknya, mereka begitu mengamati barang peribadi milik Allahyarham. Selain jaket, mereka turut menggayakan topi milik penghibur yang mendapat jolokan Penyanyi Peguam itu.
Selesai urusan di situ, mereka dibawa menikmati makanan tengah hari termasuk mencuba menu ikan patin masak tempoyak yang lazatnya tidak terkata. Selesai solat Jumaat, mereka dibawa melawat ke pusara Allahyarham yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Chengal.

Ternyata emosi gembira tadi sewaktu di Galeri Tokoh berubah menjadi sebak. Bagi Sharnaaz, pemergian dan ketiadaan Allahyarham memang tiada gantinya.

“Bapa saya pernah menjadi pemuzik undangan kepada Allahyarham ketika dia terbabit membuat persembahan di Fort Cornwallis, Pulau Pinang. Saya masih kecil ketika itu. Itu juga peluang kali pertama dan terakhir saya bersua dengannya yang cukup diingati dengan imej stailo.

“Seingat saya, gayanya ketika itu dia memakai baju putih yang dipadankan dengan seluar dan topi hitam. Sekali pandang gayanya ketika itu macam Michael Jackson. Aura penghibur itu cukup ketara dengannya. Nyata sekali, Allahyarham memang berdiri dengan sendirinya dalam liganya. Saya paling menggemari lagu Nilai Cintamu dendangannya. Dengar banyak kali pun tak jemu. Ia sudah jadi malar segar. Melodi lagu itu sangat tersentuh. Bakatnya dalam bidang lakonan menerusi filem pertama dan terakhir, Kami pun sangat semula jadi. Kejayaan Allahyarham menjadi semangat untuk saya contohi sebagai artis,” kata finalis Artis Baru Lelaki Popular itu.

Bagi Ana Raffali, dia cukup bertuah kerana ibunya pernah satu sekolah rendah bersama Allahyarham Sudirman. Allahyarham juga sering kali mengusik ibu Ana (Halijah Rashid) dengan panggilan Kak Ja. Malah ketika, Ana baru dilahirkan, dia pernah mendapat ciuman daripada Allahyarham.

“Masa itu, Ana sekeluarga pergi beraya di rumahnya (di Temerloh). Allahyarham juga tak lokek memberi duit raya kepada Ana dan adik beradik yang lain. Malah, kalau tengok klip videonya, Ana juga selalu berangan jadi seperti penyanyi pengiring Allahyarham.

“Ana turut membesar dengan lagunya. Paling nostalgia ialah lagu Balik Kampung yang akan jadi lagu wajib untuk didengari ketika musim raya. Begitu juga dengan lagu Tanggal 31 pada Hari Kemerdekaan. Lihat betapa patriotik Allahyarham tampil dengan lagu bermotifkan Jalur Gemilang.

“Allahyarham meninggal dunia masa Ana baru Darjah 1. Ana sendiri macam tak percaya dengan berita itu. Tuhan lebih menyayanginya. Apabila melawat galeri dan pusaranya, Ana berasakan Allahyarham seperti masih hidup. Ana pun nak jadi sepertinya yang dianggap sebagai inspirasi ramai orang,” kata pemenang Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL 25) menerusi lagu Tolong Ingatkan Aku itu.

Seperti Ana, Aizat juga berkongsi kisah menarik kerana ibu bapanya pernah belajar di kampus sama dengan Allahyarham iaitu di Universiti Malaya. Kata finalis Penyanyi Lelaki Popular itu lagi, ayahnya juga sering bersaing dengan Allahyarham dalam persembahan di universiti.

“Ayah Aizat pernah bercerita, Allahyarham memang sangat dicemburui di kalangan pelajar lelaki kerana ramai pelajar wanita rapat dengannya.

Allahyarham juga aktif menyertai aktiviti kebudayaan di universiti. Allahyarham selalu bersaing dengan ayah Aizat. Allahyarham di mata Aizat, memang ikon dalam dunia hiburan. Ironinya, beliau yang lebih dulu membayangkan gagasan 1Malaysia yang diperjuangkan kerajaan beberapa tahun kebelakangan ini. Allahyarham satu dalam sejuta,” kata penyanyi lagu Hanya Kau Yang Mampu itu.

Sementara itu, bagi finalis Artis Baru Wanita Popular, Elfira Loy, dia antara generasi baru yang hanya mengetahui kehebatan penyanyi lagu Chow Kit Road itu selepas ketiadaannya. Elfira Loy lahir pada 1994, yakni dua tahun selepas pemergian Allahyarham.

“Di sekolah pun, saya pernah didedahkan mengenai Allahyarham terutamanya ketika ditugaskan melakukan penyelidikan dan kerja tugasan mengenai beliau. Dari situ, saya sedar, beliau mempunyai bakat besar sekalipun bersaiz kecil. Beliau terkenal di rantau ini. Saya sendiri bangga, Malaysia mampu melahirkan bakat hebat sepertinya. Keupayaannya memberi sentuhan komersial kepada lagu patriotik antara yang saya hargai. Di kesempatan ini, sama-samalah kita menghadiahkan Alfatihah ke atas rohnya,” kata Elfira.

Menarik Sudirman

* FASA percintaan dan perkahwinan dengan Kamariah Jamaludin atau lebih dikenali Kay adalah sesuatu yang indah buat Datuk Sudirman Haji Arshad. Malah, Allahyarham pernah memberitahu teman rapatnya yang juga penghibur, Noorkumalasari bahawa Kay ialah wanita pertama dan terakhir dicintainya.

* Pasangan itu berkahwin pada 14 Februari 1981 selepas Sudirman menamatkan pengajiannya di Universiti Malaya. Kay yang bekerja di Petronas adalah pilihan hati Sudirman yang dikenali sejak zaman persekolahan lagi. Bagaimanapun, kebahagiaan diharapkan berpanjangan berubah apabila mahligai cinta yang dibina hancur kerana cuma bertahan tiga tahun. Ia berakhir dengan perceraian pada 25 Mei 1984. Pasangan ini tidak mempunyai anak.

* Allahyarham dalam sebuah ruangan dalam majalah hiburan menampilkan beliau sebagai penulis pernah menyatakan dua perkara yang amat memilukan hatinya. Pertama, kehilangan ibu pada usia yang sangat muda. Keduanya, perkahwinannya yang gagal. Allahyarham merakam kedukaannya melalui pahit getir perceraian menerusi lagunya Terasing dan Merisik Khabar, malah beliau turut mencipta lagu Setiamu Tiada Lagi dendangan Ibnor Riza.

* Banyak cerita menarik berlaku dalam kehidupan Sudirman selama bergelar artis sehinggalah beliau jatuh sakit berbulan-bulan lamanya. Kematiannya pada 22 Februari 1992 mengejutkan masyarakat dan peminat sesudah lama beliau ‘disembunyikan’ oleh ahli keluarganya sepanjang beliau menderita sakit. Kematiannya dilaporkan kerana menghidap penyakit radang paru-paru.

Salam Terakhir

Sampaikan salam buat semua
salam terakhir salam teristimewa
kepada kau yang tersayang
pada teman yang kukenang
pemergianku ini tak dirancang

Usah bertanya mengapa aku
mengucap salam terakhir kepadamu
kerna waktu berputaran
bimbang tak berkesempatan
melahirkan kerinduan terhadapmu

Demi sebuah kenyataan
yang amat menyakitkan
aku yang tidak berdaya
hanya berserah pada-Nya

Salam akhir
salam yang teristimewa
kepada-Nya kumemohon keampunan
melalui-Nya kuberi kemaafan
kepadamu

Andainya aku punya waktu
masih kuingin mengulangi semula
saat indah bersamamu
sayang tak berkesempatan
abadikan saja salamku di ingatan
salamku yang terakhir 

berita harian



Tun Dr. Mahathir Sumber Inspirasi Sudirman


Sudirman tekun membaca buku biografi
"Mahathir Great Malaysian Hero"

SAYA telah ditanya; "Kenapa Sudir suka Mahathir?" Lalu saya catatkan jawapan saya. Tetapi sebelum apa-apa ingin saya jelaskan bahawasanya di sini saya bukanlah membicarakan hal politik dan saya bukan penyokong ahli kepada mana-mana parti, baik UMNO, PAS dan mahupun apa jua. Malah sebagai penghibur saya memprinsipkan diri untuk tidak bercerita tentang hal agama, politik, seks, dadah dan peribadi orang lain. Justeru itu, catatan ini sekadar pandangan saya terhadap soalan yang dimajukan dan saya terangkan semudah-mudahnya.

Sudir bergaya dengan T-Shirt 'Mahathir'

Sebenarnya, Perdana Menteri (PM) merupakan sumber inspirasi segala pencapaian kerjaya saya selama ini. Dan inspirasi ini saya sandarkan kepada tiga aspek mudah yang saya lihat tersemat dalam perjuangan Dr. Mahathir. Tiga aspek itu ialah:

* 'Vision' atau pandangan jauh ke depan yang menuju ke suatu matlamat,
* Perancangan yang bijak dan usaha yang gigih sebagai daya penggerak, serta
* Kesabaran dan ketegasan sebagai benteng perjuangan.

Berbekalkan tiga aspek ini, setiap perjuangan pasti mudah berjaya. Dan kejayaannya bukan sedikit kerana kejayaan itu menjadi suatu proses tindakan yang berangkai-rangkai. Setiap 'vision' akan menambahkan seribu 'vision'; setiap usaha akan menambahkan potensi kemajuan; senjata semangat pula akan meniupkan suatu perjuangan.

Dan semua ini saya jadikan etika bekerja saya. Caranya samalah seperti menanam benih dengan banyak sekali. Ada benih mengambil masa sehari untuk tumbuh, ada memakan masa seminggu, dan ada yang sampai sebulan, setahun dan bertahun-tahun. Pokoknya, semua benih itu akan tumbuh, dan apabila ia tumbuh hasilnya pasti tersangat lumayan sekali. Dan inilah Perdana Menteri kita! Apakah yang mahu dilakukan oleh Dr. Mahathir dari kaca mata saya? Juga saya dapati tiga aspek;

* Keharmonian rakyat,
* Kestabilan dan kemajuan ekonomi, dan
* Kecemerlangan antarabangsa.


Pertama; Aspek keharmonian rakyat, Dr. Mahathir sering mengimbangi kepentingan pelbagai kaum dalam perancangannya sejajar dengan kehendak perlembagaan negara. Dr. Mahathir juga sensitif terhadap masalah rakyat. Setiap isu yang timbul di kalangan rakyat pasti mendapat pandangan dan nasihatnya. Baik isu kafir-mengkafir, masalah pekerja kilang, masalah tindakan bank terhadap peminjam, masalah kenaikan harga barang atau nasihat tentang perniagaan malah apa saja, semuanya dijelaskan secara terperinci untuk membimbing rakyat ke arah kemakmuran. Boleh dikatakan Dr. Mahathir merupakan Perdana Menteri yang paling terbuka dan sensitif terhadap masalah rakyat. Rakyat sering didampinginya tanpa mengira bangsa, agama dan usia. Sejajar dengan sifat seorang pemimpin ulung.

Kedua; Aspek kemajuan ekonomi. Penyatuan waktu Sabah, Sarawak dan semenanjung, perkenalan sistem "Punch Card" dan penggunaan masa dengan bijak merupakan tunjang awal perjuangannya sebagai Perdana Menteri. Satu revolusi sedang diaturkan. Dasar pandang ke timur menjadi suatu inspirasi terhadap intisari atau 'substance' yang mahu difokuskan. Lebih-lebih lagi dalam etika bekerja, kerajinan dan prinsip bersih, cekap & amanah menjadi tunjang. Kemudian 'Kepimpinan Melalui Teladan' berdasarkan rapatnya hubungan diantara majikan dengan pekerja di negara Jepun.

Kemudian penswastaan, dan dengan itu lahirlah 'Pensyarikatan Malaysia' yang sudah mula menampakkan hasilnya. Selain itu, negara di bawa ke arah perindustrian dan lahirlah 'Proton Saga' yang telah menjadi kebanggaan negara. Namun usaha perjuangan yang paling rapat dijiwanya ialah perjuangan bangsa Melayu itu sendiri. Dr. Mahathir tidak mahu bangsa Melayu bermegah di dalam tanah air sendiri yang kemewahannya adalah milik orang lain. Dari bukunya "The Malay Dilemma" hingga ke "Challenger" masalah orang Melayu menjadi dakwatnya. Nilai-nilai hidup mula bertukar ke arah matlamat yang lebih positif. Suatu revolusi mental berlaku tanpa disedari.

Dan ini membawa kepada aspek ketiga; Dr. Mahathir mahu tanah air didarjatkan di mata dunia. Baik masalah EEC, Aparteid, dadah, pelarian Vietnam mahupun masalah dunia ketiga, didebatkannya dengan suara yang lantang dan pemikiran yang terjadi?

Ini membibitkan rasa hormat negara luar kepada negara kita. Sehingga Dr. Mahathir mendapat gelaran 'Wira Dunia Ketiga' . Saya amat berbangga. Sebagai seorang individu, selain merupakan seorang 'Workaholic' yang mempunyai 'vision' yang jelas, Dr. Mahathir adalah seorang pemimpin yang tahu apa yang mahu dilakukannya dan apa yang diperlukan negara.

Caranya bijak, tangkas, bernas dan lojik. Caranya adalah terbaik difikirkannya. Perlu diingati bahawa yang indah itu tak semestinya baik tetapi yang baik itu tak semestinya indah. Hanya masa yang akan menentukan. Dr. Mahathir juga seorang pemimpin yang telah berkali-kali membuktikan betapa tingginya nilai kesabaran dan ketabahan ketika menghadapi dugaan. Inilah faktor yang paling meruntunkan sanubari saya.

Dr. Mahathir tidak akan menentang sesiapa yang bukan lawannya. Caranya ialah cara seorang 'Political Genius'. Dr. Mahathir boleh mengubah keadaan dengan senyuman kerana yang bekerja ialah pemikirannya. Kadang-kadang saya terfikir juga, sekiranya Dr. Mahathir kita ini ialah Presiden George Bush di Amerika, pasti perancangan dan tindakannya lebih bernas dan berkesan, tidak seperti kegentingan yang ada ketika ini di dunia Arab. Apakah tindakan itu? Hanya Dr. Mahathir yang tahu.

Itulah lagi satu sifat terpuji. Dr. Mahathir adalah penasihat dan sahabat serta pengkritik dirinya sendiri. Setiap orang harus bersikap begini. Ini saya sematkan dalam diri. Walau bagaimanapun, dengan pandangan ini, tidak bermakna saya memandang rendah terhadap kewibawaan Y.B.M Tengku Razaleigh atau Y.M. Tuan Haji Abdul Hadi. Mereka juga mempunyai kewibawaan masing-masing. Namun alangkah bahagianya masyarakat Melayu sekiranya kepintaran pemimpin-pemimpin dapat digembelingkan untuk kemajuan agama, bangsa dan negara.

Sepatutnya, kita tidak berlawan sesama sendiri. Yang kita perlu lawan ialah martabat kita di kaca mata dunia luar. Kalau kita bersatu, tentu kita lebih berpadu dan lebih maju. Tetapi soal siapa yang saya suka jadi Perdana Menteri; jawapannya sudah pasti. Setiap negara mesti hanya ada seorang pemimpin utama. Sebuah kapal tidak boleh mempunyai dua nakhoda. Y.A.B. Dato' Seri Dr. Mahathir adalah pilihan saya.

Kalau Hang Tuah mempunyai suatu harapan: "Takkan Melayu hilang di dunia," saya rasa Dr. Mahathir adalah orang yang akan menyedarkan kita.

Petikan: Akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 14 Oktober 1990 dalam ruangan Sudirman Haji Arshad Menulis... "Kenapa Saya Suka Mahathir"

sudirman hj arshad


Dokumentari Sudirman di History
Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


BARISAN tenaga produksi, ahli keluarga Sudirman dan wakil Astro bergambar pada majlis pelancaran dokumentari Sudirman Arshad.

TANGGAL 22 Februari 1992 menyaksikan negara telah kehilangan satu permata yang cukup bersinar dalam industri hiburan tanah air iaitu Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

Bagi generasi yang lahir pada era 90-an, mungkin mereka tidak terlalu mengenalinya. Ada segelintir yang mengenalinya sebagai seorang penyanyi sahaja rentetan lagu-lagu yang sering menjadi siulan seperti Merisik Khabar, Salam Terakhir, Balik Kampung serta banyak lagi.

Namun siapa sangka kerana insan istimewa yang lahir pada 25 Mei 1954 di Temerloh, Pahang itu sebenarnya merupakan seorang peguam, penghibur, pelakon, penulis, pelukis, usahawan dan pengarang. Lebih menarik lagi, Allahyarham turut dikenali di kalangan pelbagai kaum di negara ini seperti Melayu, Cina dan India.

Pernah membuat konsert secara percuma di Chow Kit Road, Kuala Lumpur dengan disaksikan 100,000 peminat serta dinobatkan selaku Penghibur Terbaik Asia ketika membuat persembahan di Royal Albert Hall, London pada tahun 1989, itu adalah antara kenangan paling manis untuk dikaitkan dengan penghibur yang cukup versatil itu.

Bagi mengenang kembali individu yang pernah mengharumkan nama Malaysia itu, AETN All Asia Network telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan satu dokumentari khas berjudul Sudirman Arshad.

Mendapat kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), dokumentari berkenaan mengimbas kembali detik pahit dan manis serta liku-liku yang terpaksa dilaluinya sepanjang menjadi penghibur tersohor negara.

Pengurus Besar AETN, Louis Boswell melahirkan rasa gembiranya apabila berjaya menghasilkan sebuah dokumentari penghibur terkenal yang pernah dilahirkan di negara ini.

“Pada saya Sudirman adalah ikon rakyat Malaysia dan sudah tentu ramai yang ingin mengenalinya dengan lebih dekat lagi,” ujarnya pada majlis pelancaran program itu baru-baru ini.

Bagi Gerard Benedict yang bertindak sebagai pengarah, apa yang dipaparkan dalam dokumentari berkenaan tidak terlalu tertumpu kepada kejayaan yang diraih oleh penghibur yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya itu.

“Rasanya semua orang sudah tahu tentang kejayaan yang diraih oleh Sudirman sepanjang menjadi penghibur. Jadi kami lebih menumpukan kepada kisah pahit getir serta cabaran yang terpaksa dilalui oleh Sudirman sehinggalah namanya terkenal di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Menurutnya lagi, idea untuk menghasilkan dokumentari itu muncul pada 10 tahun yang lalu setelah berjumpa dengan beberapa individu yang rapat dengan Allahyarham seperti Habsah Hassan, Bahyah Mahmood dan Manan Ngah.

Bagaimanapun, ia tidak dapat dihasilkan kerana beberapa sebab dan barulah kini ia dapat direalisasikan.

Sesuatu yang agak menarik tentang penerbitan dokumentari Sudirman Arshad yang berdurasi selama sejam itu, sebenarnya tiada langsung penglibatan ahli keluarga Allahyarham.

Sebaliknya, kisah yang dipaparkan adalah berdasarkan cerita daripada mereka yang agak rapat dengan Allahyarham. Bagaimanapun, dokumentari berkenaan masih lagi tetap menarik untuk ditonton.

Kakak kepada Allahyarham, Datin Rodziah Arshad yang ditemui pada majlis pelancaran dokumentari itu memberitahu bahawa sebelum ini sudah beberapa kali dia dihubungi oleh pihak penerbit untuk meminta kebenarannya menerbitkan dokumentari tersebut.

Tidak mahu diwawancara

“Sudah banyak kali mereka menghubungi sehinggalah saya terpaksa mengalah dan bersetuju untuk ia diterbitkan. Namun saya beritahu mereka yang saya tidak mahu diwawancara dalam dokumentari ini.

“Pada saya biarlah orang luar yang menceritakan tentang kisah Allahyarham daripada ahli keluarga sendiri. Kalau saya yang menceritakannya, tentu saya akan memujinya sahaja dan akan ada orang yang anggap saya seperti masuk bakul angkat sendiri nanti kerana dia itu adik saya,” ujarnya.

Menurut Rodziah, dia sendiri meluahkan rasa kegembiraannya setelah menontonnya dan tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir. Jelasnya, dia yakin dokumentari yang dihasilkan itu mampu menjadi salah satu bahan untuk masyarakat mengenali Sudirman dengan lebih dekat lagi.

Malah, dia juga memberitahu bahawa mempunyai keinginan untuk menulis sebuah buku yang mengisahkan tentang kisah hidup adiknya.

“Saya sebenarnya memiliki kebolehan untuk menulis dan sekiranya tergerak hati mungkin saya akan menulis cerita mengenai riwayat adik saya itu. Cuma bila hendak menulis tu, saya sendiri tidak tahu hendak memulakannya,” ujarnya yang kini sudah berusia 68 tahun.

Sementara itu, anak saudara Allahyarham, Razman Azrai Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Atai, 37, yang ditemui ketika majlis sama memberitahu sehingga kini ingatannya kepada pak cik kesayangannya itu tidak pernah luput.

Sebagai seorang anak saudara yang paling rapat dengan Allahyarham, dia menyatakan bahawa dirinya sangat berbangga dapat memiliki seorang pak cik yang begitu penyayang dan sangat terkenal seperti Sudirman.

“Ketika saya kecil dia banyak membantu saya dari segi pelajaran. Tidak dinafikan bahawa dia adalah sumber inspirasi kepada saya sehingga dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana di luar negara,” ujarnya.

Kini Atai hidup bahagia di samping isteri tersayang, Mazlyn Mena Mustapha, 34, dan seorang anak bernama Mira Razman Azrai yang kini berusia tiga tahun.

Untuk mengetahui lebih lanjut, penonton boleh menyaksikan dokumentari Sudirman Arshad yang akan mula disiarkan pada 20 Februari ini di saluran History 555 Astro pada pukul 10 malam. Manakala Siaran ulangannya pula pada 22 Februari (11 malam), 23 Februari (9 malam), 1 Mac (7 malam), 11 Mac (11 malam) dan 13 Mac (7 malam).

kosmo online


Sambung legasi Sudirman
Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT


Bersama ibu kesayangan, Rodziah Arshad (kanan) dan anak bongsunya, Sara Sasha.

JIKA ada usaha untuk mematahkan semangat Razman Azrai Zainudin atau Atai untuk meneruskan perjuangan dalam bidang seni, dia tidak akan memperdulikannya.

Bahkan anak saudara penyanyi tersohor negara, Allahyarham Sudirman Haji Arshad ini menegaskan dia perlu menyambung legasi perjuangan seni Sudirman yang terhenti lebih 25 tahun lalu.

Sementelah dia individu paling rapat dengan Sudirman, justeru kata Atai, sudah tiba masanya dia menyumbangkan sesuatu kepada industri hiburan.

"Apabila orang kata Atai sudah terlalu tua untuk menyertai semula industri hiburan Atai tidak marah. Sebab awal-awal lagi Atai sudah memperbetulkan niat sebelum memasuki bidang ini. Atai tidak perlukan glamor berlebihan.

"Cuma Atai mahu berkongsi bakat dan cerita-cerita arwah Cokman (panggilannya kepada Sudirman) yang selama ini Atai pendamkan," kata lelaki berusia 40 tahun ini.

Mengulas tentang pendorong utama yang menyebabkan Atai membuat kemunculan semula, berkata biarpun perasaannya berbelah bahagi untuk meneruskan perjuangan seni arwah bapa saudara pada peringkat permulaan namun permintaan peminat untuk mengetahui kehidupan dan perjuangan seni arwah selepas kematiannya pada 22 Februari 1992 yang mendorongnya untuk kembali ke dunia hiburan.

Berjaya membuang perasaan sedih dengan kehilangan Cokmannya, Atai mengakui perjuangan untuk bangkit semula itu memakan tempoh yang agak lama.

"Cokman yang jaga Atai masa Atai berumur 13 hingga 17 tahun. Sepanjang tempoh lima tahun itu, Cokman tidak pernah abaikan Atai malah jaga Atai macam anak sendiri.

"Jadi apabila Cokman ‘pergi’ semasa usia Atai 18 tahun, hidup Atai sunyi sepi. Atai sudah tak ada tempat bermanja dan berkongsi suka duka.

"Memang Atai sedih dan tak ada semangat nak hidup. Jadi selepas (pemergiaan arwah) itu, Atai dengan dunia sendiri. Dah tak nak lagi bercerita tentang Cokman," kata penyimpan rahsia dan ‘pengintip’ tidak rasmi Sudirman ini.

Pelajar cemerlang

Dek kesedihan yang melampau juga kata Atai, dia bertukar sikap daripada seorang yang malas belajar kepada pelajar yang cemerlang.

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Atai juga melayakkan dia menyambung pelajaran di luar negara dengan biasiswa tajaan Mara.

Hanya fokus pada pelajaran kata Atai, dia juga pernah mendapat anugerah pelajar cemerlang sewaktu menyambung pelajaran di peringkat sarjana muda di Universiti Rhode Island, Amerika Syarikat (AS).

"Atai memang tak suka buku, Cokman pun tahu perkara itu. Puas juga Atai kena marah dengan dia tapi entah macam mana buku adalah teman hidup Atai apabila Cokman sudah tiada.

"Selain itu Atai juga berpatah arang dengan dunia hiburan," kata pemilik sarjana dalam bidang teknologi maklumat (IT) dari Universiti Staffordshire, United Kingdom (UK) ini lagi.

Atas sebab yang sama juga dia memilih untuk menimba pengalaman di bidang korporat selepas pulang ke tanah air pada penghujung tahun 90-an.

Pernah memegang jawatan penting di beberapa syarikat korporat tanah air kata Atai, pun begitu tidak bermakna dia melupakan bidang nyanyian.

Tambahan pula selepas keadaan keluarganya stabil, secara tidak langsung membuatkan Atai merancang untuk kembali aktif dalam bidang seni.

Awal Januari lalu, Atai meletak jawatan sebagai Naib Presiden Pos Malaysia untuk memberi fokus dalam bidang nyanyian bagi meneruskan impian menjadi penyanyi.

Misi Atai

MENGULAS tentang perancangan seni Atai berkata, dia kini sedang mempromosikan single terbaharunya, Kul It yang boleh dibeli secara dalam talian menggunakan aplikasi telefon pintar iprinz.

Kata Atai, single itu cukup istimewa kerana menjadi lagu tempatan pertama yang boleh dikirim sebagai hadiah dalam bentuk poskad dengan harga RM9.

Kata Atai lagi, dia sengaja memilih Kul It kerana lagu itu berentak rancak berbanding lagu-lagu berentak balada nyanyian Sudirman yang diminati ramai.

"Saya tahu Kul It kurang diminati dan jarang kedengaran di radio sebab itu saya mengambil keputusan untuk merakamkan semula lagu itu.

"Kalau didengar semula Kul It, susunan lagu itu ada perubahan tapi masih mengekalkan keaslian struktur lagu," katanya yang bakal menghasilkan lebih banyak lagu rakyat yang disesuaikan dengan peredaran semasa.

Selain itu kata Atai, dia juga sedang merangka beberapa projek untuk ‘menghidupkan’ kembali kegemilangan Sudirman yang merupakan aset hiburan tanah air itu.

Antara yang bakal diusahakan Atai ialah memaparkan riwayat sebenar Sudirman dalam bentuk visual, animasi, buku sejarah dan pementasan.

Pun begitu kata Atai, semua perancangan tersebut bakal direalisasikan jika mendapat sokongan daripada pelbagai pihak satu hari nanti.

"Ada banyak cerita yang orang tidak tahu tentang Cokman. Saya bersedia untuk berkongsi dengan masyarakat," katanya penuh makna.

utusan online


Profil

NAMA: Sudirman Haji Arshad
TARIKH LAHIR: 25 Mei 1954
ASAL: Temerloh, Pahang
KARIER: Penyanyi, pelakon, penulis dan peguam
KELUARGA: Anak bongsu daripada enam beradik
PENDIDIKAN: Ijazah Undang-Undang Universiti Malaya
BAPA: Arshad Hassan
IBU: Ramlah Dahlan
MENINGGAL DUNIA: 22 Februari 1992

PENCAPAIAN: Antaranya, Penghibur TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa, RTM 1978, Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu TV3 1987, Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1989 dan Penghibur Nombor Satu Asia 1989

ANUGERAH: Ahli Mangku Negara daripada Yang di-Pertuan Agong 1988, Ahli Mahkota Pahang daripada Sultan Pahang 1990, Johan Mangku Negara daripada Yang di-Pertuan Agong 1992 dan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang daripada Sultan Pahang (2009)

Comments


  1. Awalnya aku hanya mencoba main togel akibat adanya hutang yang sangat banyak dan akhirnya aku buka internet mencari aki yang bisa membantu orang akhirnya di situ lah ak bisa meliat nmor nya AKI NAWE terus aku berpikir aku harus hubungi AKI NAWE meskipun itu dilarang agama ,apa boleh buat nasip sudah jadi bubur,dan akhirnya aku menemukan seorang aki.ternyata alhamdulillah AKI NAWE bisa membantu saya juga dan aku dapat mengubah hidup yang jauh lebih baik berkat bantuan AKI NAWE dgn waktu yang singkat aku sudah membuktikan namanya keajaiban satu hari bisa merubah hidup ,kita yang penting kita tdk boleh putus hasa dan harus berusaha insya allah kita pasti meliat hasil nya sendiri. siapa tau anda berminat silakan hubungi AKI NAWE Di Nmr 085--->"218--->"379--->''259'

    ReplyDelete

Post a Comment