Melihat Sejarah Pada Pagi Merdeka


Syukur, alhamdullilah. Pagi ini kita masih dapat menghirup udara segar bersama fajar ke-57 kemerdekaan negara. Malaysia.... di sini lahirnya sebuah cinta. Begitu ungkapan yang bermain di bibir sebagai pernyataan penghargaan dan kebangaan untuk sebuah kemerdekaan.

Melihat kembali ke dalam peristiwa negara tetulis rakaman pedih dan suram yang terjadi buat seluruh rakyat negara ini. Tragedi MH370 dan MH17 adalah tragedi yang menghiris setiap hatiBegitu juga dengan peristiwa berdarah di Lahada Datu 2013 masih memberi kesan luka yang lama. Semua itu adalah pengalaman yang bermain di hadapan mata kita. Semua itu tersaksi langsung akan perasaan,  jiwa, wajah dan peristiwa. Segala itu memberi bekas kepada kita sebagai rakyat di bumi bertuah ini.

Jika kita renungkan kembali pada pagi merdeka ini kita akan melihat lagi segala yang berlangsung dan terjadi yang sudah pun lama bersemadi dalam sejarah. Bagaimana ia berlalu kita harus terus melihat ke dalam jendela sejarah. Dari situ kita mula mengenali dari mana kita bermula dan bagaimana kehidupan hari ini terhasil dari bendungan peristiwa yang bukan mudah dan penuh liku. Marilah kita bermuhasabah  melihat ke dalam sejarah tentang apa yang kita temui hari ini. Ia lahir dari kedukaan, pengorbanan, dan kesakitgan yang panjang. Ia bukan mudah dan menuntut nyawa dan pengorbanan yang ramai. 

Pagi kemerdekaan ini marilah kita menoleh seketika mereka untuk menatap mereka yang pernah berjuang demi  kejayaan sekarang.  Barangkali dari situ cinta dan kasih kita untuk negara ini akan terus subur dan setia.

Malaysia... di sini lahirnya sebuah cinta


Hargai pengorbanan anggota tentera zaman dahulu
30 Ogos 2014

BESUT - Kehilangan sebelah kaki akibat terpijak periuk api dalam satu pertempuran menentng komunis di pedalaman Kedah pada tahun 1975, merupakan pengalaman paling bernilai buat seorang bekas tentera.

Namun Bagi Muhammad Ismail, 61, tiada istilah kesal sebaliknya beliau reda dengan takdir yang dihadapinya.

"Seingat pak cik, ketika serangan itu berlaku pada pukul 10 pagi pada 10 Mei tahun 1975, pasukan tentera sedang berjalan kaki di bawah bukit untuk pergi ke kawasan operasi seterusnya.

"Tiba-tiba kami diserang komunis dari atas bukit menyebabkan lima dari 100 anggota kami meninggal dunia dan menyebabkan puluhan yang lain cedera termasuk pak cik," kata bapa kepada lapan orang anak ini di rumahnya di Kampung Apal, Jabi di sini.

Beliau yang mula menyertai pasukan tentera pada tahun 1973 berkata serangan itu berlaku begitu pantas dan sejurus peperangan tamat sejam kemudian, barulah anggota tentera dapat memeriksa keadaan sebenar mereka yang tercedera.

"Sakitnya tidak terperi, malah dalam keadaan yang kelam kabut itu, pak cik sendiri dapat lihat seorang kawan mengutip cebisan daging yang bersepai dan dibungkusnya dalam secebis kain.

"Namun sebagai seorang tentera yang telah dilatih dengan semangat cintakan negara, pak cik tidak pernah menyesal kerana pasti ada hikmah di sebalik kehilangan anggota badan ini," katanya.

Beliau seterusnya dutugaskan melakukan kerja-kerja pejabat di kem tentera sebelum berpencen pada tahun 1995 setelah berkhidmat lebih 22 tahun.

Selepas pencen, Muhammad banyak meluangkan masa untuk aktiviti dakwah di dalam dan luar negara serta dalam aktiviti kemasyarakatan.

Ditanya mengenai kemerdekaan, beliau berkata generasi muda perlu mempertahankannya kerana untuk menuntut kemerdekaan dan mempertahankan keselamatan negara bukanlah perkara yang mudah.

"Pak cik tengok budak muda zaman sekarang suka membazir waktu seperti merempit dan melepak tanpa melakukan perkara berfaedah sedangkan ia tidak berlaku di zaman kami muda dahulu.

"Seharusnya mereka belajar lebih mendalam mengenai sejarah kemerdekaan negara agar rasa cinta itu terus menebal kerana tanpa semangat patriotik, pembangunan bangsa tidak akan mencapai matlamatnya," katanya. - Bernama

Sinar Harian


Kepayahan hidup sebelum merdeka


MASIH segar lagi memori datuk kepada lapan orang cucu itu apabila diminta bercerita keadaan penduduk di Tanah Melayu sebelum ia mencapai kemerdekaan pertama pada 31 Ogos 1957.

Dibesarkan di sebuah kampung di Rompin Bahau, Gemas, Negeri Sembilan, Mejar bersara Lee Ah Pow, 76, begitu teruja menceritakan zaman kanak-kanaknya.

Anak ketiga daripada lima beradik itu memberitahu, kampung tersebut dihuni kira-kira 300 penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina dan India.

"Masa itu saya masih kecil, kami hidup bermasyarakat.

"Saya sendiri ada lima hingga enam kawan Melayu dan India dan tiga hingga empat orang sahaja kawan Cina. Tiada kawan lain lagi kerana semua orang sibuk bertani dan menoreh," katanya yang lahir pada tahun 1937.

Namun, hubungan erat yang terjalin antara kaum pada zamannya dahulu sukar dilihat pada masa kini. Generasi kini pada pandangan Ah Pow suka melakukan hal sendiri tanpa mempedulikan orang lain.

"Dahulu hidup susah. Bapa saya datang ke Tanah Melayu dengan beberapa saudaranya pada tahun 1910 dan menjadi ketua persatuan orang Cina di Rompin.

"Ketika kecil, saya melihat komunis minta wang daripada petani. Kami orang kampung mana ada apa-apa. Jika tiada wang, mereka minta makanan," ujarnya sambil memberitahu, siapa yang enggan membantu komunis akan dibunuh.

Masih terbayang-bayang di minda Ah Pow apabila melihat saudara-saudaranya semua habis dibunuh komunis dengan kejam sekali kerana mereka dituduh antikomunis.

Namun, tiada apa-apa yang boleh dilakukan olehnya dalam usia yang masih mentah iaitu dalam lingkungan usia tujuh hingga sembilan tahun.

"Sangat sedih apabila melihat penoreh getah diikat pada pokok getah, dirobek perutnya hingga terkeluar isi perut gara-gara tidak memberi bantuan makanan kepada komunis.

MOHAMAD NOR menunjukkan pingat-pingatnya sambil dibantu oleh isterinya, Bibah Said.

"Kejadian itulah yang membuatkan saya berkobar-kobar mahu menjadi tentera untuk membalas dendam di atas perbuatan kejam mereka," ceritanya penuh bersemangat.

Menurut Ah Pow, dia bernasib baik kerana ketika itu, Maktab Tentera Diraja (RMC) membuka tawaran kepada budak-budak sekolah sekali gus dapat menunaikan hasratnya untuk menjadi tentera.

Mula diterima masuk RMC pada tahun 1953, Ah Pow bertekad tidak akan mempersia-siakan peluang yang diberikan hingga berjaya menamatkan pengajian dan latihan pada tahun 1958.

Ketika Tunku Abdul Rahman mengumumkan kemerdekaan buat Tanah Melayu, Ah Pow memberitahu, hatinya gembira bukan kepalang walaupun pada ketika itu dia sibuk menguruskan tetamu kenamaan dari luar negara sempena hari bersejarah tersebut.

Terima penghargaan

"Saya bertugas sebagai pegawai protokol ketika itu di bawah Muhammad Ghazali Shafie (Menteri Dalam Negeri) yang bertanggungjawab merangka program keselamatan buat tetamu kenamaan.

"Siapa yang tidak gembira apabila Tanah Melayu mendapat kemerdekaan. Kita bebas daripada penjajah dan anasir luar yang menghuru-harakan negara," katanya yang pernah berkhidmat di Congo dan membantu pasukan pertahanan negara menghadapi konfrontasi dengan Indonesia pada tahun 1963.

Ah Pow dikurniakan Pingat Gagah Berani (PGB) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1964. Momen itu memberikan kepuasan dalam dirinya sepanjang berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mejar bersara ini juga menerima penghargaan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berikutan jasanya sebagai ketua pasukan pengaman selain menerima Pingat Khidmat Bakti, Pingat Peringatan Malaysia dan Pingat Perkhidmatan Awam.

AH POW menunjukkan gambar-gambar dan pingat-pingat yang dikurniakan kepadanya sepanjang perkhidmatannya dengan ATM.

Dia yang bersara pada usia 38 tahun bersyukur dengan elaun yang diterima selepas mendapat pingat PGB bagi menyara sisa-sisa usianya bersama isteri tercinta, Alice Tan.

Ditanya mengenai pendapatnya terhadap anak-anak muda kini yang lebih suka menyuarakan ketidakpuasan hati melalui protes jalanan, Ah Pow memberitahu bahawa semua itu berlaku kerana mereka terlalu bebas, tidak tahu menilai sesuatu perkara dan emosional apabila bertindak.

"Apa yang mereka mahukan lagi? Saya sudah pergi banyak tempat di luar negeri dan yang paling aman ialah negara kita, Malaysia. Lihat sahaja negara Asia seperti India dan China rakyatnya susah, malah kerja pun susah.

"Generasi kini, kurang menghargai nilai kemerdekaan seperti kami dahulu kerana mereka tidak lalui kepayahan pada zaman komunis, konfrontasi dan sebagainya. Mereka tidak melalui kesusahan dan penderitaan generasi terdahulu," luahnya sedikit terkilan tetapi pada masa yang sama memuji usaha kerajaan melaksanakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Berkongsi kepayahan hidup pada zaman Jepun dan komunis, Mohamad Nor Mahmud, 75, berasal dari Kampung Penajis, Rembau, Negeri Sembilan memberitahu, makanan ruji pada ketika itu adalah ubi kayu.

Memandangkan keluarga Mohamad Nor boleh dikatakan senang pada ketika itu, beras sentiasa dalam simpanan. Namun begitu, bahan mentah tersebut tidak boleh disimpan di dalam rumah.

"Beras dan padi disimpan di dalam hutan, seperti dalam filem Sarjan Hassan kerana khuatir diketahui oleh barua-barua tentera Jepun.

"Zaman itu memang susah. Masa zaman Jepun, orang-orang Cina ramai dipancung. Kemudian selepas Jepun kalah dan British mahu ambil semula Tanah Melayu, komunis ambil kesempatan mahu memerintah selama 14 hari," katanya sambil menyifatkan tempoh 14 hari yang dahsyat.

Baginya antara komunis dengan Jepun, komunis lebih kejam. Ketika komunis berkuasa, setiap hari ada sahaja berita polis dibunuh.

ANGGOTA Pasukan Pertama Rejimen Infranti Fiji bersama lima mayat komunis yang ditembak mati di Batu Pahat, Johor pada 18 September 1953.

Wayang pacak

Walaupun yang diseksa tidak melibatkan saudara terdekat, Mohamad Nor tekad masuk askar pada 7 Julai 1958 kerana dendam kesumatnya terhadap komunis.

Mohamad Nor yang bersara daripada Rejimen Askar Melayu DiRaja pada 6 Julai 1979 memberitahu, ketika Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan, dia bersama penduduk kampung menonton wayang pacak menyaksikan detik-detik bersejarah itu.

"Bagi saya, kemerdekaan sangat berharga. Keamanan yang ada kini tidak harus dipersiakan semata-mata kerana kepentingan pihak-pihak tertentu.

"Semangat watan, jati diri, sayangkan negara dan bangsa sudah luntur dalam diri generasi kini kerana tiada pengalaman melalui saat-saat genting, semuanya telah tersedia buat mereka," ujarnya.

Menurutnya, tidak mustahil suatu hari nanti, negara ini kembali dijajah oleh kuasa luar jika perpaduan tidak diperkukuhkan.

"Kuatkan perpaduan, hormati budaya dan agama masing-masing. Jangan sesekali sentuh perkara-perkara yang mendatangkan sensiviti hingga menggugat keharmonian kaum," pesan bapa kepada 14 cahaya mata ini.

kosmo online



Akibat lihat sejarah dengan mata yang juling
30 Ogos 2014


Mohamad Abu Bakar


SHAH ALAM - Pensyarah Jabatan Pengajian Strategik dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar menyifatkan pihak yang mendakwa negara ini tidak pernah dijajah, melihat sejarah dengan mata yang juling.

Beliau berkata demikian mengulas soal pertanyaan penonton yang membangkitkan tentang dakwaan bahawa negara ini tidak pernah dijajah, pada sesi soal jawab pada Wacana Kemerdekaan Malaysia: Satu Penilaian Semula dari Perspektif Melayu/Islam, di Unisel hari ini.

“Ada pihak yang mengatakan negara kita tidak dijajah... ada pihak yang melihat sejarah dengan mata yang juling. Apabila British tidak menampilkan kehebatan, realiti penjajahan seperti Jepun di mana tiga hingga empat tahun terpacak penguasaan jepun dengan segala kezaliman dia, maka kita merasa penjajahannya itu.

“Tapi British dengan kehalusannya, dengan diplomasinya dengan tidak menggunakan istilah penjajahan, maka dia berjaya menanamkan caranya lebih baik dan lebih berkesan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan agar pemerhati dan penganalisis perlu turut mempunyai perasaan halus untuk memahami situasi campur tangan British itu.

“Sebagai pemerhati, seharusnya juga mempunyai perasaan yang halus untuk memahami itu kerana sesuatu itu tidak pernah mendapat penamaan sebagai satu penjajahan tetapi sebagai suatu usaha untuk menasihati raja-raja Melayu.

“Atau untuk melindung negeri-negeri Melayu daripada penjajah lain atau untuk menyelamatkan negeri Melayu daripada porak-peranda.

“Begitu halus penjajahan itu sehingga kita tidak melihat itu sebagai satu penjajahan. Kehalusan inilah yang menyebabkan sebahagian daripada kita memperlihatkan kejulingan,” katanya.

sinar harian



Peranan persuratkhabaran dan golongan guru dalam kemerdekaan
Oleh Nurul Halawati Azhari
Disiarkan pada 16 Mei, 2007


KUALA LUMPUR: Perang Dunia Kedua dan Pendudukan Jepun telah menyuntik satu kesedaran baru dalam minda penduduk Tanah Melayu dan menyemarakkan lagi agenda mencapai kemerdekaan.

Pengalaman selama tiga tahun lapan bulan di bawah cengkaman Jepun yang kononnya ingin membebaskan Asia Tenggara daripada penjajahan Barat ruparupanya mengundang derita. Tetapi apabila British kembali ke Tanah Melayu, selepas Jepun menyerah diri, senarionya berubah sama sekali. Kekaguman serta penghormatan membuta-tuli terhadap pihak British yang wujud sebelum perang telah terhakis.

Hakikat bahawa British terlalu kuat untuk dikalahkan seperti yang dipercayai sebelumnya telah membangkitkan suarasuara penentangan yang mencetuskan perjuangan kemerdekaan. Antara yang aktif dan bersungguhsungguh meniupkan semangat perjuangan mendaulatkan maruah bangsa ialah golongan guru Melayu.

Apatah lagi ketika itu terdapat diskriminasi antara Sekolah Melayu tempat mereka mengajar yang masih lagi berbumbungkan atap dan sekolah Inggeris yang serba lengkap. Diskriminasi itu jugalah yang telah menyedarkan mereka bahawa hanya orang Melayulah yang dapat mengubah nasib mereka sendiri.

KEPRIHATINAN GURU TERHADAP KESENGSARAAN ORANG MELAYU

Kesusahan yang dialami masyarakat Melayu telah menyuntik semangat guruguru pada zaman itu, menunjangi pergerakan politik. Sama ada dengan menyertai partiparti politik seperti Umno, Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Kesatuan Melayu Muda (KMM) malah ada juga yang menggunakan medium penulisan sebagai alat menyampaikan pandangan serta seruan masingmasing.

Dengan beraninya golongan ini menyuarakan komentar serta pandangan tajam mereka mengenai penjajah melalui suratkhabar seperti Utusan Melayu, Majlis, Warta Malaya, Warta Ahad dan Warta Jenaka. Ada juga yang menulis dalam akhbar-akhbar sebelum dan semasa pemerintahan Jepun seperti Persaudaraan Sahabat Pena Malaya, Semangat Asia dan Fajar Asia. Tulisan mereka lebih berkisar kepada cerpen dan rencana yang menyentuh soal politik, kebudayaan dan pendidikan.

Namanama seperti Abdul Ghafar Baba, Syed Nasir Syed Ismail, Alimin, Buyong Adil, Za'ba, Abdullah Sidek, Harun Md.Amin (Harun Aminurrashid) dan Shaharom Husain adalah antara tokoh guru penulis yang telah mewarnai dunia penulisan waktu itu.
Menurut Dr Shaharom Husain, 87, tokoh guru, sejarawan dan budayawan yang telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya menghasilkan beratus-ratus teks sastera dan sejarah, penglibatan guruguru dalam dunia persuratkhabaran adalah satu usaha yang harus dihargai. Ini kerana mereka turut memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pemikiran rakyat.

PENGLIBATAN GURU

Shaharom juga pernah menjadi guru dan jurubahasa Jepun pada zaman penjajahan Jepun. Beliau juga salah seorang lulusan guru dari maktab perguruan yang turut menjadi pusat menyemarakkan semangat kebangsaan.

Beliau turut mengimbau kembali penglibatan dan perjuangan beberapa orang tokoh guru penulis yang lahir daripada maktab-maktab perguruan seperti Maktab Latihan (Guru) Melayu Singapura, Melaka, Matang, Johor Baharu dan Maktab Latihan Sultan Idris (SITC) di Tanjung Malim.

Di SITC misalnya, para penuntut digalakkan menghantar karya mereka kepada majalah rasmi institusi itu, Chendera Mata. Oleh kerana ramai yang berminat dalam penulisan, majalah rasmi maktab itu tidak dapat menampung kesemua karya yang dihantar oleh penuntut. Justeru, mereka mula mengembangkan sayap dengan mencuba nasib di akhbarakhbar tempatan dan luar negara.

Selain itu SITC, di bawah pentadbiran O.T Dussek, telah menubuhkan Pejabat Karang Mengarang dan Perpustakaan Maktab. Ia sangat berpengaruh dan telah membantu perkembangan bahasa dan persuratan Melayu serta perkembangan pelajaran persekolahan Melayu penuntut maktab. Di sinilah minat membaca serta menulis di kalangan guruguru maktab dipupuk. Mereka menulis dengan tujuan yang sungguh murni iaitu untuk perkembangan dan kedaulatan bahasa dan sastera serta kemerdekaan tanah air.

PERANAN ZAABA

Antara guru penulis yang dikagumi beliau dan berjaya membolosi bidang penerbitan ialah Harun Aminurrasyid, Buyong Adil dan Zaaba. Harun, selain lantang bersyarah, juga banyak menulis dan salah satu syairnya banyak mempengaruhi guru dan penuntut maktab. Karyanya turut tersiar dalam Majalah Guru dan Warta Ahad. Manakala Buyong Adil pula menerapkan semangat kemerdekaan menerusi kelas sejarah serta tulisan-tulisannya.

Zaaba bagi Shaharom adalah antara individu yang aktif dan lantang menyuarakan pendapatnya menerusi mata pena. Beliau memperlihatkan sikap antikolonial British dari awal lagi.
Misalnya, Zaaba telah melihat dengan jelasnya bagaimana British berusaha menanam sikap taat setia dan rasa abdi pada Rajaraja Melayu melalui pendidikan. Caranya ialah dengan menerbitkan bukubuku teks di sekolah Melayu mengenai hikayathikayat Melayu lama seperti Hikayat Hang Tuah dan Kisah Pelayaran Abdullah yang hanya menonjolkan kelemahan mereka.

Oleh kerana bukubuku ini turut memuatkan kisah-kisah ajaib, ia dilihat oleh Zaaba sebagai bahan bacaan yang tidak akan membina minda pelajar Melayu yang bersesuaian dengan zaman. Beliau berpendapat, ia adalah antara agenda British bagi menghalang kesedaran untuk bersatu serta menuntut hak membebaskan tanah air.

SHAHAROM TERUS MENULIS

Semangat Zaaba itu mendorong Shaharom terus menulis. Menggunakan nama pena Mashor Malaya, Shabhi dan Dharmaya, tulisannya banyak menyentuh tentang peri mustahaknya guruguru menanamkan semangat kebangsaan pada murid-muridnya. Ia turut menyeru guruguru lain agar turut serta menyuntik kesedaran dalam diri murid-murid Melayu akan tanggungjawab mereka terhadap keselamatan, kesejahteraan dan kemerdekaan bangsa dan tanah air.

Dalam usia emasnya, penulis novel sejarah Tun Fatimah (1948), Keris Laksamana Bentan (1954) dan Lembing Awang Pulang Ke Dayang (1959) ini masih lagi aktif menulis.

Mengingati kembali saat pahit manis perjuangan guru penulis ketika zaman mudanya, bagi Shaharom, ketika itu, guruguru Melayu mempunyai rasa insaf diri yang tinggi.
"Sedar akan kelemahan orang Melayu ketika itu, guruguru bersatu dalam kesatuan sama ada berhaluan kiri atau kanan. Tapi, waktu itu sama ada memilih parti berhaluan kiri atau kanan, matlamat perjuangan mereka adalah sama iaitu ingin membebaskan tanah air daripada penjajahan.

Pahit getir perjuangan penulisan mereka terasa manisnya apabila laungan kemerdekaan bergema di seluruh Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

MENGHARGAI PERJUANGAN GURU

Sumbangan golongan guru penulis untuk memartabatkan bangsa tidak terhitung nilainya. Jiwa pendidik yang cintakan bangsa terus subur walaupun ada ketikanya dipuji dan dibela, ada waktunya pula dikeji dan difitnah.

Setelah usia kemerdekaan mencapai Jubli Emas, generasi muda mungkin agak terleka dengan kemewahan dan keamanan yang dicapai. Namun, tokoh yang pernah mendapat Anugerah Sasterawan Nasional daripada Dewan Bahasa dan Pustaka di awal 90an ini mahu golongan muda hari ini mengenal kembali susur galur sejarah negara.

"Manusia, bila sudah senang, sering lupa dan leka. Bila sudah senang, kita tidak ada apa lagi yang hendak diperjuangkan," ujarnya mengakhiri temubual. BERNAMA

mStar



Iktibar keperitan zaman Jepun
Disiarkan pada 29 Ogos 2014

TUBUH Mohd Shukri Mohd Zin pasti akan menggigil setiap kali teringatkan pengalaman datuknya dikerah menyiapkan landasan kereta api maut yang juga dikenali Landasan Kereta Api Thai-Burma.

Datuk kepada Mohd Shukri antara ribuan ­penduduk di Tanah Melayu yang dipaksa membina landasan kereta api maut sejauh 415 kilometer dari Nong Pladuk di Kanchanaburi, Thailand ke Thanbyuzayat di Burma (kini Myanmar) pada 1942.

Tentera Jepun mengerahkan kira-kira 180,000 penduduk Asia dan 60,000 banduan perang sebagai buruh paksa bagi menyiap­kan landasan itu yang kemudian digunakan untuk membawa tentera dan bekalan dari ­Bangkok ke Burma pada kemuncak Perang Dunia Kedua (PD2).

“Datuk saya, Nor Konok, ketika usia remajanya dikerah bekerja menyiapkan landasan kereta api maut di Thailand oleh tentera Jepun,” katanya.


PEKERJA landasan kereta api maut. - Gambar Internet


Katanya, remaja masa kini seharusnya lebih ­bersyukur dilahirkan ­selepas zaman Jepun dan mampu melalui kehidupan remaja tanpa ada sedikit pun rasa gusar dalam hati mereka.


Tidak seperti remaja yang membesar pada zaman Jepun, anak muda hari ini mampu bermain di kawasan lapang dan berjalan tanpa ada rasa bimbang.

“Rata-rata mereka yang dipaksa membina landasan itu berasal dari Kelantan dan datuk adalah seorang daripadanya yang mampu bertahan dan dihantar pulang selepas landasan itu siap dibina,” katanya.

Landasan kereta api maut itu siap dalam tempoh setahun tetapi mengorbankan 100,000 nyawa.

Keperitan zaman Jepun

Mohd Shukri berkata, datuknya pernah menceritakan penderaan pada zaman pemerintahan Jepun tidak pernah berkesudahan, lebih-lebih lagi ketika dipaksa membina landasan kereta api itu.

Tentera Jepun tidak menyediakan kemudahan yang sempurna selain tiada perkhidmatan perubatan untuk pekerja yang sakit.

“Makanan tidak cukup dan ada yang mati sia-sia kerana penderaan tentera Jepun,” katanya dan menambah, datuknya juga berjuang bersama-sama pejuang Melayu yang terkenal, Tok Jang­gut ketika pemerintahan British.

Sementara itu, tokoh sejarah Kelantan, Datuk Salleh Mohd Akib berkata, generasi muda perlu tahu keperitan yang dialami ketika zaman penjajahan Jepun.

Azab pekerja landasan kereta api maut itu perlu dijadikan iktibar buat generasi muda.

“Mereka perlu sentiasa diingatkan kerana mungkin penjajahan bentuk baru akan muncul jika semangat patriotisme tidak ditanamkan dalam sanubari generasi muda.

“Ketika itu ramai rakyat negara ini terpedaya kerana pihak Jepun menawarkan gaji yang lumayan pada awalnya kepada semua pekerja pembinaan landasan kereta api itu.

“Mereka yang tidak mampu untuk bekerja akan dibunuh dengan ditembak atau ditanam dalam sebuah lubang yang kecil,” katanya.

Penderitaan pada zaman Jepun bukan saja hadir ketika pembinaan landasan kereta api itu tetapi ia berterusan di Tanah Melayu.

“Jepun akan menggang­gu anak gadis dan remaja, malah orang ramai tidak dibenarkan berkeliaran di halaman rumah.

“Kadangkala remaja perlu bersembunyi dalam paya berminggu-minggu demi menyelamatkan diri daripada dikesan tentera Jepun,” katanya.


Semai semangat cintakan negara

Ketua Program Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah Sains dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff turut mempersoalkan akan semangat cintakan negara itu adakah benar-benar wujud dalam hati generasi muda kini.

Beliau berkata, generasi muda seolah-olah hidup dalam zon selesa dan keadaan negara yang begitu aman tanpa lagi mempedulikan keperitan pejuang negara yang bermandi darah ­membebaskan Tanah ­Melayu ketika zaman penjajahan.

“Di mana mereka ketika ini? Mungkin ramai yang tidak mengetahui sejarah negara dan mungkin ada nama pejuang itu langsung tidak dikenali mereka,” katanya.

Beliau berkata, generasi muda kini sibuk berpolitik terutama pelajar universiti tanpa lagi mengingati kisah menyayat hati sejarah silam negara.

“Saya tidak mahu tujukan kepada generasi muda semata-mata tetapi ia juga melibatkan kita semua. Mana semangat mereka ketika ini yang sepatutnya mengadakan program sambutan memperingati kemerdekaan negara?

“Saya lihat sambutan kemerdekaan semakin lesu. Semua pihak yang sepatutnya dalam tempoh beberapa bulan sebelum kita menyambutnya sudah sibuk merangka program secara gilang-gemilang tetapi apa yang berlaku tidak begitu.

“Kenderaan dan premis termasuk kediaman tidak ada Jalur Gemilang yang berkibar megah dan kita patut bimbang semangat itu lama-kelamaan akan luntur,” ­katanya.


Bukan semua tidak patriotik

Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Siti Zarina Mohd Zahari, 23, berkata, lebih penting baginya ialah bagaimana dapat menabur bakti untuk negara selepas menamatkan pengajian.

“Arwah bapa sering me­ngingatkan kepada saya mengenai sejarah negara dan ia memberi kesan kepada saya untuk mengubah diri dan dapat memberi khidmat bakti kepada negara selepas ini,” katanya.

Bagaimanapun, dia berpendapat tidak semua generasi muda tidak patriotik seperti yang dikatakan banyak pihak.

“Benar kami tidak berada pada zaman itu tetapi kami juga ada peranan bagaimana mahu menjaga negara me­ngikut acuan sendiri,” katanya.

Bagi seorang pelajar Universiti Malaya (UM), Lee Soon Beng, 22, dia seperti tidak sabar untuk menyambut kemerdekaan negara pada 31 Ogos ini.

“Walaupun saya berbangsa Cina, semangat cintakan negara sangat tebal di hati saya. Biarkan saya ­menyambut hari kemerdekaan itu dengan penuh bererti dengan cara saya sendiri,” katanya.

Lee berkata, keluarganya juga mahu kehidupan yang harmoni bersama bangsa lain dan berkata, Malaysia adalah bumi bertuah buat mereka.

Katanya, remaja perlu sedar perbezaan pada zaman dahulu dan sekarang ternyata amat ketara.

“Keamanan sedia ada ini harus dijaga dan remaja perlu sedar kerana mereka yang akan memimpin negara pada masa depan.

“Tidak mungkin zaman pemerintahan Jepun kita mampu bersekolah seperti zaman sekarang.

“Kita perlu memberi kesedaran melalui pelbagai cara kepada remaja masa kini kerana mereka perlu tahu apa yang dilalui nenek moyang mereka terdahulu,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan juga akan memberi lebih fokus kepada golongan muda pada sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57 tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Makhtar Mustapha berkata, ini bagi menyemai jati diri dalam jiwa golongan muda yang semakin pudar. - BERNAMA

myMetro

Comments