Konsert Nostalgia Kemerdekaan Ke-57



Penganjur : Bin Jamal Event Sdn Bhd
Tempat : Panggung Sari, Istana Budaya
Jenis : Muzik
Tarikh : 28 - 31 Ogos 2014
Masa : 8.30 malam
Harga Tiket : RM58, RM108, RM158, RM258, RM358, RM458
Tiket Online : www.ticket2u.biz
Hotline : +603-4147 8600




Jamal, Eddy kongsi pentas

Oleh SYED MUSSADDAD SYED MAHDI



PERKENALAN mereka mungkin masih baru tetapi masing-masing mengakui mengenali lagu antara satu sama lain sejak berpuluh tahun lalu.

Bagi Jamal Abdillah kehebatan Eddy Silitonga cukup dikagumi sejak mula terlibat dalam bidang seni lebih 30 tahun yang lalu.

Meskipun tidak pernah bersua muka ketika itu, lagu-lagu Eddy begitu menusuk ke kalbu sehinggakan Jamal sering menyanyikan lagu penyanyi tersebut.

Dia masih ingat membawakan rangkaian lagu-lagu Eddy seperti Lancang Kuning dan Bunga Pujaan yang baginya memberi seribu makna sehingga berjaya bergelar juara ketika bertanding dalam program Bintang RTM pada 1979.

Sepanjang kerjaya seninya, Jamal juga pernah merakamkan semula empat buah lagu Eddy yang termuat dalam album solonya selepas itu.

Sementara bagi Eddy meskipun baru pertama kali bersua sempena kedatangannya ke Kuala Lumpur, Jamal bukan asing kepadanya kerana dia kenal benar dengan suara penyanyi itu apatah lagi lagu-lagunya pernah didengari di Indonesia.

Selain mengkagumi suara Ahmad Jais, Eddy turut mengkagumi Jamal yang disifatkannya sebagai seorang penyanyi yang cukup luar biasa.

"Saya tahu Malaysia ada penyanyi yang hebat seperti Jamal Abdillah. Sebetulnya saya selalu mengharapkan agar dapat bersua muka atau berpadu tenaga di atas pentas sebelum saya menutup mata.

"Tak sangka akhirnya impian saya terkabul. Tentunya peluang untuk kembali ke Malaysia dan mengadakan konsert bersama penyanyi pujaan saya akan terlaksana," luah Eddy ketika ditemui baru-baru ini.

Bakal disatukan sempena Konsert Nostalgia Kemerdekaan ke-57 di Istana Budaya pada 28 hingga 31 Ogos depan, pastinya kolaborasi kali ini antara yang paling dinanti-nantikan peminat mereka.

Ini merupakan persembahan kali kedua Eddy di lokasi yang sama. Sebelum ini penyanyi itu pernah menjadi penyanyi undangan sempena pementasan teater Teratak Minang beberapa tahun lalu.

Pun begitu Eddy tidak menafikan rasa teruja memandangkan dia menjadi pilihan Jamal. Baginya peluang oleh penyanyi berkenaan begitu besar ertinya dan menganggap itu sebagai pengiktirafan kepada penyanyi lama.

"Ini bukan soal untuk melaksanakan konsert semata-mata tetapi soal persahabatan dua negara dan pastinya saya berterima kasih kepada Jamal yang percaya kepada saya.

"Secara peribadinya saya sudah lama mengenali peribadi Jamal walaupun kami baru pertama kali bertemu. Dia memang orang yang baik dan punya suara yang hebat," kata Eddy lagi.

Kelainan

Enggan dilihat sama jika dibandingkan dengan konsert-konsert sebelum ini membuatkan Raja Pop Malaysia ini yakin percaturannya membawakan Eddy Silitonga akan membuahkan hasil.

Bagi penyanyi lagu Derita Cinta ini, kedatangan Eddy pastinya akan memberikan kelainan terutama kepada peminat setia penyanyi yang mencipta fenomena dalam industri muzik di Indonesia itu.

"Apabila muncul dengan konsert baru saya tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata. Yang lebih penting adalah kepuasan kepada peminat setia saya.

"Konsert berskala besar begini merupakan penyambung hayat kepada kerjaya saya. Saya sendiri mahu meninggalkan legasi yang akan dikenang sampai bila-bila," jelas Jamal.

Tidak hanya berkongsi satu pentas, Jamal dan Eddy juga akan menjayakan segmen mengenang Ahmad Jais yang merupakan idola mereka berdua.

Jamal bakal menyanyikan rangkaian lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh biduan tersebut seperti Di Ambang Sore, Rayuan Hasratku dan banyak lagi.

Konsert Nostalgia Kemerdekaan ke-57 bakal diiringi 20 orang pemuzik profesional dan 10 pemuzik muda dari Fakulti Muzik UiTM, Shah Alam, Selangor.

Tiket boleh didapati dengan harga RM458, RM358, RM258, RM108 dan RM58 dengan melayari www.ticket2u.biz.

utusan online

Comments