Doa Untuk Malaysia



Sempena sambutan kemerdekaan negara yang ke-57 satu majlis doa serta solat hajat akan diadakan secara besar-besaran di Dataran Merdeka di ibu negara pada 15 Ogos nanti. Majlis Doa Untuk Malaysia itu dijangka dihadiri 200,000 orang. Siang tadi berlangsung pra-pelancaran majlis Doa Untuk Malaysia. Majlis dianjurkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, MAIWP dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Menurut Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas - JASA, Kementerian Komunikasi dan Multimedia; Datuk Abu Talib Harun, sambutan kemerdekaan seperti itu lebih bermakna dan sesuai diadakan dengan apa yang telah berlaku kepada negara pada masa ini. Antara pengisian majlis pada malam 15 Ogos itu akan dimulakan dengan solat maghrib berjemaah, bacaan yassin dan tahlil. Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak juga akan hadir pada majlis tersebut.




'Doa Untuk Malaysia' bukti solidariti rakyat
7 Ogos 2014

KUALA LUMPUR - Program 'Doa Untuk Malaysia' bersempena sambutan Hari Kemerdekaan merupakan simbol kekuatan dan solidariti masyarakat Malaysia dalam menghadapi musibah yang menimpa negara.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Datuk Abu Talib Harun berkata, program yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada 15 Ogos itu penting kerana ia melahirkan kesyukuran dan mengenang setiap tragedi pahit yang menimpa negara baru-baru ini.

"Kita mulakan sambutan kemerdekaan negara pada tahun ini yang bertemakan 'Di sini Lahirnya Sebuah Cinta' dengan 'Doa Untuk Malaysia' atas dasar keprihatinan dan mengenang segala musibah yang telah melanda negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program prapelancaran Doa Untuk Malaysia, di Pusat Pelancongan Malaysia di sini, hari ini.

Program itu anjuran bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Yayasan Pendidikan Cheras dan TV Al-Hijrah.

Mengimbas peristiwa pahit pencerobohan di Lahad Datu, kehilangan pesawat MH370, dan dikejutkan pula dengan peristiwa tragik pesawat MH17 yang dipercayai btelah ditembak jatuh di timur Ukraine cukup mendukacitakan seluruh warganegara.

"Program ini diharap menjadi wadah kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya supaya terus berdoa agar negara yang bakal menyambut hari kemerdekaan ke-57 ini tidak lagi digemparkan dengan berita-berita yang mendukacitakan," katanya lagi.

Mengulas berkenaan pengisian dalam acara itu, Abu Talib berkata acara bakal dimulakan dengan solat Maghrib, bacaan Yasin, tahlil, solat Isyak, dan seterusnya solat hajat berjemaah sebelum memulakan selawat dan Qasidah yang dialunkan bagi memohon kesejahteraan dan keamanan negara Malaysia.

Pendakwah terkenal dari Indonesia, Habib Syech Abdul Qadir Assegaf akan mengalunkan qasidah dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, turut mengiringi ialah kumpulan nasyid tempatan Inteam, Al-Mawlid dan Anak Warisan Kedah, kata Abu Talib.

Program itu akan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan kepimpinan tertinggi kerajaan, dengan menyasarkan kehadiran seramai 200,000 orang. - Bernama

sinar harian


Doa Untuk Malaysia sasar 200,000 penyertaan


DR. Zulkifli Mohamad Albakri (depan, tiga dari kiri) adalah antara tetamu yang hadir pada majlis prapelancaran Doa Untuk Malaysia yang dijadual diadakan di Dataran Merdeka pada 15 Ogos ini di Restoran Saloma, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Program Doa Untuk Malaysia yang diadakan bersama program Malam Cinta Rasul di Dataran Merdeka pada 15 Ogos ini menyasarkan sebanyak 200,000 penyertaan.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Abu Talib Harun berkata, program yang diadakan sempena sambutan kemerdekaan ke-57 itu bakal dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, tujuan program itu diadakan adalah mendoakan kesejahteraan negara bersempena sambutan kemerdekaan yang bakal tiba dan memohon supaya dihindari daripada tragedi atau insiden yang mendukacitakan rakyat negara ini.

''Negara diduga dengan pelbagai ujian berat sepanjang tahun ini bermula dengan pencerobohan Lahad Datu, kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 dan terbaru tragedi pesawat MH17 yang terhempas di Ukraine.

''Penganjuran majlis seperti ini diharap dapat memberikan kekuatan kepada negara dalam menempuh pelbagai peristiwa hitam yang berlaku,'' katanya dalam sidang akhbar selepas majlis prapelancaran Doa Untuk Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Perolehan dan Pengurusan Penyiaran TV AlHijrah, Mokhtar Abdul Rahman; Ahli Lembaga Pemenang Amanah YPC, Datuk Syed Mehdhar Syed Abdullah dan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohamad Albakri.

Menurut Abu Talib, bacaan selawat dalam majlis itu akan dipimpin oleh tokoh agama nusantara dari Indonesia, Habib Syech Abdul Qodir Asseqaf bersama kumpulan nasyid tempatan, Inteam dan Anak Warisan Kasih.

''Program julung kali diadakan itu mirip Malam Cinta Rasul tetap mempunyai pengisian yang sedikit berbeza yang merupakan penambahbaikan daripada program tersebut.

''Antara pengisian program Doa Untuk Malaysia adalah solat maghrib, bacaan Yasin dan tahlil, solat isyak dan hajat berjemaah, doa untuk Malaysia, selawat dan qasidah,'' katanya.

Abu Talib berkata, pihaknya mempertimbangkan untuk mengadakan acara kutipan sumbangan bagi membantu penduduk Palestin pada malam tersebut.

utusan online

Comments