Di sini lahirnya sebuah cinta : Perjuangan Ngah Ibrahim


Semangat juang Ngah Ibrahim

Oleh MOHD. ALIF ABU BAKAR



WALAU nista ditebar serata buana, memalit tanda hitam pada susuk insan bernama Ngah Ibrahim, tidak sekalipun dia tunduk merelakan tanah miliknya dijajah manusia yang tamakkan kekayaan alam sebuah daerah kecil di peta negeri Perak, Larut.

Kisah pilu pembesar Melayu yang digelar Raja Larut itu dibuang negeri ke Pulau Seychelles gara-gara dituduh berkrompromi bersama pejuang-pejuang Melayu lain menentang si lintah darat, British, begitu akrab dengan masyarakat hari ini.

Namun seintim manakah generasi kini mendalami riwayat hidup tokoh terbilang ini? Secara am, kita sekadar tahu pada permukaan sahaja dan enggan menyelami ke pusat dasar cerita.

Tatkala zaman kegemilangan Ngah Ibrahim menerajui Larut, kekayaan miliknya dikongsi tanpa rasa bakhil bersama penduduk tempatan. Terbinanya sebuah kota megah pada tahun 1856 berfungsi sebagai nadi pentadbiran Larut selain turut menjadi kediaman rasmi pembesar Melayu itu.

Kota yang berkeluasan 0.894 hektar itu mencoretkan pelbagai peristiwa penting yang pernah terjadi di Larut. Meskipun pada zahirnya masyarakat melihat ia hanya sebagai sebuah muzium bercirikan bangunan kuno namun jika melangkah masuk ke dalam kota sejarah itu, akan bercampur baur perasaan yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata, segala nostalgia kembali berputar secara kronologi.

Pusat Pentadbiran


PANDANGAN dari pintu utama kota Ngah Ibrahim.

Kota yang dibina berasaskan batu-batu dari Gunung Hijau, Taiping itu beroperasi sebagai pusat pentadbiran Ngah Ibrahim selain turut menjadi tempat tinggal bersama ahli keluarganya.

Waris kelima pembesar Melayu tersebut, Datuk Dr. Wan Mohd. Isa Wan Ahmad menyingkap riwayat gemilang moyangnya selaku pentadbir Larut terulung hingga penduduk setempat menggelar Ngah Ibrahim sebagai Raja Larut.

“Dia merupakan orang paling kaya di Larut dan segala kekayaan yang dimilikinya termasuklah sawah padi, lombong bijih timah dan ladang kopi yang diusahakan oleh penduduk yang kemudiannya membayar cukai sebanyak 1/10 setahun sekali.

“Segala barangan yang dipamerkan di kota tersebut seperti mesin pemprosesan padi dan kopi, peralatan perlombongan bijih timah dan lain-lain menunjukkan kebijaksanaan Ngah Ibrahim menerajui Larut sebagai kawasan pertanian dan perusahaan yang hebat,” katanya yang kini memegang jawatan sebagai Orang Kaya Menteri Paduka Tuan, Orang Besar Jajahan Larut, Matang dan Selama.

Usaha mengekalkan penguasaan kota miliknya berakhir apabila termeterainya Perjanjian Pangkor 1874 yang secara halus menghakis kuasa Ngah Ibrahim sebagai pemerintah Larut terutama berkaitan urusan pengutipan cukai.

Nestapa Ngah Ibrahim memuncak apabila pembantu Inggeris yang dilantiknya, Kapten T.C.S Speedy, berpaling tadah apabila mengambil alih kota tersebut yang bertukar status sebagai kediaman dan pejabat mahkamah Speedy yang dilantik secara rasmi sebagai Penolong Residen Perak.

Tragedi pembunuhan


NGAH IBRAHIM (tengah) bersama anak-anaknya.

Kesumat Ngah Ibrahim dan pejuang Melayu Perak yang lain mengakibatkan terjadinya tragedi pembunuhan Residen Perak pertama, J.W.W Birch di Pasir Salak seterusnya membawa kepada kemurkaan British terhadap orang Melayu.

Menurut Mohd. Isa, Dato Maharaja Lela, Dato Sagor, Pandak Endut dan beberapa pejuang Melayu yang lain dipenjarakan di salah sebuah ruang bilik di kota tersebut pada Julai 1876.

“Kita tahu bahawa mereka boleh mengambil peluang untuk meloloskan diri namun mereka tetap tinggal di penjara tersebut sehingga ke hari perbicaraan.

“Mereka kemudiannya dibicarakan di mahkamah yang terletaknya di tingkat dua kota tersebut yang membawa kepada hukuman gantung sampai mati.

“Ngah Ibrahim bersama 40 orang Melayu yang lain pula dibuang negeri ke Pulau Seychelles kerana dituduh bersubahat dalam pembunuhan Birch,” ujarnya. Kota Ngah Ibrahim yang diibaratkan khazanah utama Larut sekali lagi direntap penjajah apabila Jepun yang mahukan kota tersebut berfungsi sebagai markas pertahanan mereka selepas Perang Dunia Kedua.

Mimpi ngeri

Tempoh tiga tahun bermula dari tahun 1942 hingga 1945 merupakan tempoh ngeri kepada masyarakat Melayu yang hidup dalam ketakutan akibat pemerintahan kuku besi Jepun.

Selain bertindak sebagai markas, kota tersebut turut menjadi pejabat dan kediaman pegawai-pegawai Jepun. Kesan peninggalan yang paling jelas ialah runtuhan tembok yang mengelilingi kota tersebut yang dilanggar oleh sebuah pesawat Jepun yang terhempas di laman kota tersebut.


SALAH satu pejabat ruang pentadbiran British yang terdapat di kota Ngah Ibrahim.

Sebaik kesemua ‘penderhaka’ British diusir dari daerah sendiri, bermula dari tahun 1913 hingga 1922 menyaksikan terlakarnya sejarah penting membabitkan kota tersebut apabila ia secara rasmi bertindak sebagai Maktab Perguruan Melayu pertama di Tanah Melayu.

Legasi rumah agam tersebut sebagai kota pendidikan diteruskan apabila dijadikan pula sebagai Sekolah Melayu pada tahun 1923 hingga 1941. Bagaimanapun, keamanan tersebut digoncang kembali pada tahun 1942 ketika Jepun menyerang.

Tunduknya Jepun kepada British mengembalikan kota tersebut dilimpahi cahaya ilmu tatkala kembali dijadikan sebagai Sekolah Melayu yang kemudiannya berterusan menjadi Sekolah Kebangsaan Matang pada tahun 1946 hingga 1983.

Tinggalan barangan pembelajaran umpama papan hitam, meja dan kerusi yang diletakkan di satu sudut kota tersebut menghidupkan momen proses pembelajaran Melayu zaman dahulu.

Ngah Ibrahim menghembuskan nafas terakhir pada 4 Februari 1895. Beliau dimakamkan selama 110 tahun di Singapura.

Jelas Mohd. Isa, amanat moyangnya yang menginginkan jenazahnya disemadikan di kota yang dibinanya sendiri berjaya dijelmakan apabila jenazahnya dibawa pulang ke tanah air pada 9 September 2006.


MAKAM Ngah Ibrahim yang terletak bersebelahan kota.

“Operasi pencarian tidak mudah, saya menghabiskan banyak masa mengkaji sejarah beliau di beberapa buah perpustakaan universiti dan pergi sendiri ke Singapura bagi mendapatkan petunjuk.

“Semuanya berbaloi apabila saya berjaya membawa balik tulang-tulang beliau yang kini tenang disemadikan di laman kotanya sendiri,” luah Wan Mohd. Isa.

Kepulangan pemilik asal kota warisan tersebut mengembalikan sinar kegemilangan kota itu semula yang kini menjadi Muzium Matang di bawah pentadbiran Jabatan Muzium Malaysia.

Semangat perjuangan Ngah Ibrahim terasa bersatu dengan pengunjung yang melewati kota tersebut umpama meminta generasi hari ini tidak sekali-kali alpa dalam mempertahankan maruah bangsa.

kosmo online


Ngah Ibrahim: Kerja pemindahan lancar

Daripada MOHD. FAIRUZ YUSOF


ANGGOTA Tentera Laut Diraja Malaysia mengangkat jenazah dua pahlawan Melayu, Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim Long Jaafar (belakang) dan Laksamana Mohd. Amin Alang Duakap (depan) ke dalam Kapal KD Laksamana di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, Johor untuk dibawa pulang ke Pangkalan TLDM, Lumut, Perak, semalam. – Gambar Asron Mustapha.


SINGAPURA 7 Sept. – Kerja-kerja menggali dan memindahkan rangka dua pahlawan Melayu Perak, Allahyarham Menteri Paduka Tuan, Ngah Ibrahim Long Jaafar dan Allahyarham Laksamana Mohd. Amin Alang Duakap, masing-masing di Pusara Al-Junied dan Pusara Abadi di sini, berjalan lancar.

Seramai 24 orang iaitu 16 daripada Jabatan Warisan Negara, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta lapan kakitangan anak syarikat Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Warees Pte. Ltd. memulakan kerja-kerja tersebut sejak semalam.

Kerja-kerja menggali kubur Allahyarham Ngah Ibrahim di Pusara Al-Junied yang bermula semalam, disambung semula kira-kira pukul 8 pagi ini.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk N. Parameswaran; Pesuruhjaya Warisan, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Prof. Dr. Zuraina Majid; ahli keluarga Ngah Ibrahim diketuai Datuk Dr. Wan Mohd. Isa Wan Ahmad dan ahli keluarga Mohd. Amin, Abdul Rahman Mahmud turut menyaksikan kerja-kerja tersebut.

Kerja-kerja mengangkat rangka Allahyarham Ngah Ibrahim selesai kira-kira pukul 12.10 tengah hari ini dan kemudian dimasukkan ke dalam keranda dibaluti Jalur Gemilang.

Kurator Arkeologi Jabatan Warisan Negara, Khalid Syed Ali berkata, kerja tersebut berjalan lancar, malah pasukan berkenaan tidak perlu menunggu lama untuk menemui rangka tulang kaki tokoh tersebut.

‘‘Sejurus menemui tulang kaki itu, kita menghadapi kesulitan kerana terdapat dua mata air di dalam kubur itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Jelasnya, terdapat beberapa tulang yang telah reput dan bercampur dengan tanah, menyebabkan mereka turut membawa tanah itu untuk disemadikan di Perak.

Jenazah

“Tanah berkenaan mungkin mengandungi tulang yang telah reput dan perlu mengambilnya supaya jenazah dapat dikebumikan dengan sempurna,” katanya.

Khalid memberitahu, beberapa strategi telah diambil dalam memastikan kerja-kerja pemindahan tersebut berjalan lancar.

Katanya, terdapat beberapa barangan seperti kepuk yang dibina di dinding kubur Allahyarham akan turut dibawa pulang ke Perak untuk diletakkan di pusara baru.

Dalam pada itu katanya, kerja-kerja perpindahan kubur Allahyarham Mohd. Amin di Pusara Abadi berjalan lancar dan tidak menghadapi masalah untuk mengalihkan rangka yang terdapat di dalam kubur itu.

Tambahnya, kedua-dua tokoh tersebut kemudian dibawa menuju ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Gelang Patah Johor dan dipindahkan ke kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Sri Laksamana untuk dibawa pulang ke Lumut, Perak yang mengambil masa 32 jam untuk sampai di sana.

Sementara itu, waris Ngah Ibrahim, Dr. Wan Mohd. Isa berkata, beliau meminta mana-mana pihak menghentikan pertikaian tentang kesahihan kubur arwah datuknya yang disemadikan di sini kira-kira 100 tahun lalu.

Menurut beliau, terdapat banyak bukti sahih yang menunjukkan kubur Allahyarham Ngah Ibrahim dikebumikan di Pusara Al-Junied.

“Tidak perlu lagi dipertikaikan kerana beberapa kajian telah dijalankan dan membuktikan kubur Arwah Ngah Ibrahim di semadikan di sini,'' jelasnya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia, Kerajaan Singapura, Kerajaan Negeri Perak, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, MUIS serta semua pihak yang terlibat dalam pemindahan pusara kedua-dua tokoh Pahlawan Perak itu.

utusan online



KEMBALI " selepas 129 tahun di buang negeri

Satu lagi sejarah negara akan dilakar apabila jenazah Orang Besar Jajahan Hilir Perak, Tengku Menteri Ngah Ibrahim dan bapa mertuanya Laksamana Mohamad Amin Alang Duakap tiba di Pangkalan Tentera Laut Diraja (TLDM) Lumut untuk di kebumikan di Perak setelah 129 tahun dibuang negeri.




Jenazah pahlawan Melayu Perak Ngah Ibrahim akan disemadikan di Kompleks Sejarah Matang, Taiping manakala Mohamad Amin di Makam Diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Sebaik tiba dari Singapura, satu upacara penuh adat istiadat mengikut penghormatan negara sebagai mengenang jasa dan sumbangan mereka yang pernah menentang penjajah akan dilakukan.





Raja Muda Perak, DYTM Raja Nazrin Shah akan mengetuai upacara sambutan dengan diiringi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali dan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Rais Yatim.




Kubur kedua-dua pahlawan itu berjaya di kesan semula pada 4 Ogos 2004 di Singapura selepas satu kajian terperinci mengenainya dilakukan. "Jasad Mohd Amin akan di kebumikan bersebelahan pusara Sultan Abdullah yang berjuang bersama mereka dalam menentang penjajah British," katanya selepas menutup Perhimpunan Kelab Adun Negeri SeMalaysia (BBC).

Hasrat memindahkan jasad mereka sejak Ogos 2004, direalisasikan Jabatan Warisan Negara dan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dengan kerjasama kerajaan negeri selepas mendapati jasa dan pengorbanan kedua-dua pahlawan negara itu semakin dilupakan.

Walaupun jasad Mohamad Amin berjaya di kesan sekitar 1980-an oleh warisnya yang menetap di Singapura, usaha mengenal pasti jasad Ngah Ibrahim menghadapi kesukaran.

Pusara Ngah Ibrahim terletak di Tanah Perkuburan Al-Junid, Jalan Kubor manakala pusara Mohd Amin terletak di Pusara Aman, Chua Chu Kang di Singapura.

Ngah Ibrahim adalah pembesar Melayu terkaya abad ke-13 hasil perlombongan bijih timah di Larut dan dibuang negeri bersama Almarhum Sultan Abdullah, Mohamad Amin dan Datuk Syahbandar selepas terbabit dengan pembunuhan Residen Inggeris di Perak, J W W Brich pada 1875.

Bagaimanapun, Sultan Abdullah diampunkan British selepas 16 tahun tinggal dalam buangan dan kembali ke Perak serta tinggal di Kuala Kangsar hingga kemangkatannya.

Penghormatan perlu diberikan kepada Jabatan Muzium dan Antikuiti, Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara dan beberapa badan sejarah termasuk kerajaan negeri Perak serta anak cucu Ngah Ibrahim dan Mohamad Amin.

Bagaimanapun, kontroversi mula tercetus apabila terdapat laporan bercanggah mengenai kedudukan kubur Ngah Ibrahim yang sebenar kerana ada yang mendakwa beliau di kebumikan di Kampung Dendang, dekat Beruas selepas kembali semula ke Perak secara senyap-senyap.

Pengakuan seorang lelaki Yacob Ngah Ibrahim, 80, yang mendakwa anak bongsu kepada Ngah Ibrahim mencetuskan sedikit kekeliruan walaupun dari segi fakta, Orang Kaya Menteri Paduka Tuan, Datuk Dr. Wan Mohd. Isa Wan Ahmad yang juga piut Ngah Ibrahim lebih tepat kerana mewarisi jawatan yang dipegang oleh moyangnya itu.

Ironinya, untuk membuktikan sejarah proses kajian yang cukup panjang diperlukan dengan disokong oleh fakta-fakta konkrit walaupun mungkin ada pihak tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.

Mungkin jalan penyelesaian terbaik bagi mengesahkan dakwaan Yacob dan Dr. Wan Mohd Isa ialah melalui ujian profil asid deoksiribonukleik (DNA).

Peranan Ngah Ibrahim merupakan anak kepada Che Long Jaafar yang memerintah daerah Larut, Taiping, beliau mewarisi pusaka kekayaan bapanya di Larut - jutawan berpengaruh di Perak yang memainkan peranan cukup besar dalam pembangunan ekonomi negeri.




Muncul sebagai anak Melayu pertama membuka perusahaan melombong bijih timah pada 1840 di kawasan Larut, Matang, Ngah Ibrahim terlibat secara langsung dalam membawa masuk buruh dari China.



Ini kerana beliau memerlukan tenaga buruh yang cukup ramai untuk bekerja di lombong-lombong bijih miliknya dan kesan daripadanya wujudkan kumpulan-kumpulan kongsi gelap.Berdasarkan fakta sejarah, pergolakan yang berlaku di antara kumpulan kongsi gelap akhirnya mencetuskan Perang Larut Pertama (1861-1862).

Ngah Ibrahim terpaksa membina sebuah rumah besar yang dilengkapi kota yang dipanggil Kota Ngah Ibrahim untuk melindungi harta kekayaannya.





Kota Ngah Ibrahim yang pernah dijadikan sebagai pusat pentadbiran Larut kini di kenali sebagai Kompleks Sejarah Matang, menjadi lokasi tumpuan pelancong dalam dan luar negara yang ingin mengkaji sejarah.

Sudah menjadi tradisi apabila berlaku peperangan, perkara yang tidak boleh dielakkan ialah kerugian - itulah yang berlaku dalam Perang Larut sehingga Sultan Perak ketika itu, Sultan Muazzam Shah memerintahkan Ngah Ibrahim membayar sejumlah ganti rugi.Sebagai seorang usahawan berpengaruh yang memiliki sejumlah kekayaan, gantirugi yang mencecah RM 17,000 (ketika itu) bukanlah satu bebanan, sebagai balasannya beliau dikurniakan gelaran Orang Kaya Menteri tahun 1864.

Tetapi pergaduhan tercetus sekali lagi pada tahun 1865-1874 di Matang dan bagi menyelesaikan pergaduhan itu, Ngah Ibrahim dan satu puak kongsi gelap terpaksa meminta bantuan Sir Henry Ord di Singapura dan Leftenan Gabenor George W.R Campbell di Pulau Pinang.

Tindakan ini yang menyebabkan pihak Inggeris mula campur tangan di Tanah Melayu, hingga termeterainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874 dan seterusnya membawa kepada pendudukan Inggeris di Tanah Melayu. Ekoran itu, seorang Residen Inggeris pertama James Wheeler Woodford Birch (J.W.W Birch) telah dihantar untuk memerintah Perak.

Kebangkitan rakyat bermula apabila pegawai Inggeris itu gagal memahami adat resam, budaya dan agama orang Melayu sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati untuk menentang penjajah.Datuk Maharajalela yang mewakili suara sebahagian besar rakyat Perak akhirnya menggunakan orang suruhannya, Si Puntum - lelaki Orang Asli untuk membunuh Birch yang sedang mandi pada 1875.

Akibatnya Datuk Maharajalela dan mertuanya, Pandak Endut, Si Puntum dan beberapa pahlawan Melayu lain menjadi buruan Inggeris dan akhirnya dihukum gantung pada 1877 di Matang. Ngah Ibrahim dan Mohd Amin tidak pernah dibicarakan, tetapi telah dibuang daerah dan diasingkan ke Pulau Seychelles di Lautan Hindi pada tahun 1877 bersama-sama Sultan Abdullah yang memerintah Hilir Perak.

Ini termasuklah Datuk Syahbandar Uda Maamor kerana mereka dituduh terlibat dengan pakatan membunuh Birch di Pasir Salak bersama-sama pahlawan Perak yang lain seperti Datuk Maharajalela, Datuk Sagor, Pandak Endut, Si Puntum dan sebagainya.

Satu perkara lagi ialah kerajaan juga perlu mengambil inisiatif untuk mencari kubur Datuk Syahbandar Uda Maamor yang turut sama dibuang negeri oleh pihak Inggeris.

Perkara ini disuarakan oleh piut Mohamad Amin Alang Duakap, Toh Muda Mohd. Khairi Ahmad Tazalli yang merupakan Orang Besar Jajahan Manjung sangat berharap makam sepupu Mohamad Amin iaitu dapat dicari untuk di kebumikan semula di Perak.

Mohd. Khairi berkata, walaupun gembira dengan penemuan kubur Mohamad Amin, beliau sedih kerana kubur Uda Maamor yang turut dihukum buang negeri ke Pulau Seychelles bersama Ngah Ibrahim dan Mohamad Amin masih tidak ditemui.

Harapannya ialah semua pahlawan Melayu yang telah memulakan satu revolusi untuk menentang penjajahan Inggeris dapat dibawa pulang ke tanah air untuk disemadikan sebagai wira negara.Sementara itu di Taiping, Menteri Besar, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali menyifatkan kepulangan jasad kedua-dua pahlawan ke Perak semalam sebagai `pembakar semangat’ patriotisme.“Kerajaan negeri dan rakyat Perak berbangga dengan kembalinya jenazah dua pahlawan Perak yang menentang penjajah. Ini menjadi pembakar semangat, kalau dulu mereka berjuang menentang penjajah, hari ini kita pertahankan kemerdekaan,” katanya pada sidang media selepas majlis pengebumian Ngah Ibrahim di Kompleks Sejarah Matang.

Tajol Rosli berkata perjuangan dua tokoh itu sehingga dibuang negeri ke pulau Seychelles oleh British telah mencetuskan semangat patriotisme dalam kalangan orang Melayu. Beliau berkata usaha membawa balik jasad dua tokoh itu diperkenankan oleh Dewan Undangan Negeri Perak yang dipengerusikan Sultan Perak, DYMM Sultan Azlan Shah dan terserah kepada kebijaksanaan dewan untuk menerima tawaran pihak yang ingin menjalankan ujian DNA.

Beliau kemudian mengumumkan kerajaan negeri juga akan memulakan usaha mencari dan mengenal pasti pusara seorang lagi pahlawan yang dibuang bersama-sama ke Pulau Seychelles iaitu Datuk Syahbandar Uda Maamor, jika diperkenankan Tuanku Baginda DYMM Sultan Azlan Shah.

Datuk Pengelola Bijaya Di Raja Istana Iskandariah Kuala Kangsar, Raja Mansur Raja Razman berkata, lapan (8) Sultan Perak yang di kebumikan di makam berkenaan ialah Sultan Idris Shah I, Sultan Idris Shah II, Sultan Jaafar, Sultan Abdullah, Sultan Iskandar Shah, Sultan Abdul Jalil, Sultan Abdul Aziz & Sultan Jaafar Shah. Beliau berkata, liang lahat Mohamad Amin yang siap digali terletak kira-kira enam meter dari Makam Sultan Abdullah. "Selain makam Sultan Perak, raja-raja bergelar, kerabat dan pembesar-pembesar istana yang mendapat perkenan Sultan Perak turut disemadikan di makam ini". "Kubur Laksamana Mohamad Amin berada dalam kawasan yang menempatkan Makam Sultan Abdullah, kerabat dan pembesar-pembesar baginda yang mendapat perkenan Sultan Perak untuk di kebumikan di makam ini".

pahlawan perak



Muzim Sejarah Matang

Muzium Sejarah Matang (dahulunya dikenali sebagai Kompleks Sejarah Kota Ngah Ibrahim) yang terletak di Bukit Gantang, Matang (dulu Permatang), Perak, telah dibina oleh Ngah Ibrahim yang bergelar Orang Kaya Menteri Paduka Tuan adalah anak kepada Cek Long Jaffar orang Melayu pertama tahun 1840 membuka perusahaan lombong bijih timah di kawasan Larut, Matang dan Selama. Muzium ini adalah merupakan sebuah bangunan yang beliau jadikan sebagai rumah, kota dan juga pusat pentadbiran Larut dan ditempatkan di kawasan seluas 0.8094 hektar. Bangunan ini dibina hanya menggunakan bahan-bahan yang terdiri daripada batu batan sahaja. Setelah Ngah Ibrahim meninggal dunia di Singapura pada 4 Februari 1895, Kota ini diletak dibawah pengawasan pentadbiran Inggeris sehingga ianya dijadikan sebagai Maktab Perguruan Melayu Matang (1913-1922).

Selepas itu dijadikan pula sebagai Sekolah Melayu (1913-1941). Semasa zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1941-1945) ianya berperanan sebagai Markas Tentera Jepun. Selepas Jepun menyerah kalah dan berakhirnya Perang Dunia Kedua tahun 1946, ianya dijadikan semula sebagai Sekolah Melayu (1945-1984). Kota ini dijadikan Muzium Sejarah Matang hingga sekarang mulai tahun 1985 setelah ianya diserahkan kepada Jabatan Muzium Malaysia (dahulunya dikenali sebagai Jabatan Muzium dan Antikuiti).

Koleksi dan Galeri
Koleksi muzium terdiri daripada semua jenis artifak berhubung kait dengan kronologi penubuhan muzium ini sendiri.

Pameran Tetap
Pameran tetap muzium memperagakan artifak berhubungkait dengan kronologi penubuhan bangunan dan penggunaan bangunan itu sendiri bermula daripada keluarga Cek Long Jaffar, Ngah Ibrahim, Pemerintahan Inggeris, Pendudukan Jepun, Maktab Latihan Perguruan Melayu Matang dan Sekolah Melayu.

Hari & Masa Lawatan
Setiap hari dari 9.00 pagi - 5.00 petang

Bayaran Masuk
Percuma

Kemudahan Pengangkutan
Muzium Ngah Ibrahim terletak di Bukit Gantang, mukim Matang, daerah Taiping, Perak, iaitu kira-kira 30 minit perjalanan dari Bandar Taiping. Dengan menghubungi teksi di talian +605 808 1697 atau +6019 569 6182 Pengunjung juga boleh menaiki bas no.77 ke Kuala Sepetang dari Stesyen Bas Taiping.

Kemudahan Penginapan
Rumah Rehat

Kemudahan Lain
Surau, tempat letak kereta, perpustakaan, lawatan berpandu, kemudahan penyelidikan, jualan buku, khidmat nasihat dan bantuan pakar


Comments

Post a Comment