Demokrasi Berparlimen Malaysia



SISTEM DEMOKRASI BERPARLIMEN DI MALAYSIA

Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

Parlimen ialah institusi perundangan tertinggi di dalam Negara yang menggubal undang-undang. Parlimen Malaysia terdiri daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Persidangan Dewan Negara telah dirasmikan buat pertama kalinya pada 11 September 1959.

Berikut adalah peristiwa-peristiwa penting ke arah pembentukan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen.

1867

Majlis Perundangan Negeri-Negeri Selat ditubuhkan berikutan perpindahan pentadbiran Negeri-Negeri Selat (Pulau Pinang, Singapura dan Melaka) dari Syarikat Hindia Timur Inggeris ke Pejabat Kolonial. Majlis Perundangan tersebut merupakan institusi pertama di negara yang mengadakan perbahasan dan perbincangan seperti ciri-ciri Parlimen moden.

1896

Negeri-negeri Melayu iaitu Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan membentuk satu gabungan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Perkembangan ini merintis jalan ke arah pembentukan satu sistem Kerajaan Persekutuan bagi seluruh negara seperti yang ada sekarang. Badan Perundangan Pusat masih belum wujud dan setiap negeri bergantung kepada Dewan Undangan Negeri masing-masing untuk membuat undang-undang.

1909

Majlis Mesyuarat Persekutuan bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dibentuk dengan pemusatan kuasa perundangan mengikut asas-asas Parlimen. Majlis ini mempunyai 13 orang ahli yang dilantik termasuk Raja keempat-empat Negeri Melayu Bersekutu, Residen Jeneral British, keempat-empat Residen British serta empat orang ahli tidak rasmi. Penubuhan Majlis ini merupakan satu langkah ke arah pemerintahan sistem demokrasi berparlimen.

1927

Raja-Raja Negeri Melayu Bersekutu berhenti menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan. Penyusunan semula Majlis Mesyuarat Persekutuan ini turut mengubah keanggotaannya menjadi 13 orang ahli rasmi dan 11 orang ahli tidak rasmi. Majlis tersebut merupakan satu-satunya badan yang dilantik sepenuhnya sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua pada Disember 1941.

1942

Pemerintahan Jepun di Tanah Melayu (1942-1945) menyebabkan terhalangnya perkembangan perlembagaan tetapi peristiwa itu telah melahirkan kesedaran politik dalam di kalangan masyarakat


1946

Sebuah Majlis Penasihat (Advisory Council) dibentuk dan dianggotai oleh 13 orang ahli mewakili Negeri-Negeri Melayu dan dua buah Negeri Selat - Melaka dan Pulau Pinang.British cuba menyatukan ketiga-tiga sistem pentadbiran (Negeri Melayu Bersekutu, Negeri Melayu Tidak Bersekutu, Negeri Selat - Pulau Pinang dan Melaka) melalui rancangan Kesatuan Malaya (Malayan Union). Malayan Union ditentang hebat terutama oleh orang-orang Melayu yang dipimpin oleh Dato' Onn Jaafar, Yang Dipertua UMNO ketika itu. Malayan Union ditentang kerana diyakini akan menggugat kedaulatan Raja-Raja Melayu.

1948

Penentangan terhadap Malayan Union menghasilkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Melalui perjanjian ini Majlis Penasihat digantikan dengan Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Council) dengan jumlah ahli yang dilantik seramai 75 orang (3 ahli ex-officio, 11 orang ahli dari Negeri-Negeri Melayu dan Negeri-Negeri Selat, 11 orang pegawai British dan seramai 50 orang ahli tidak rasmi). Bual pertama kali Majlis Perundangan mempunyai kelebihan dua pertiga bilangan suara ahli tidak rasmi.

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 merupakan satu langkah British untuk merangka dasar-dasar asas kerajaan berparlimen.


1951

istem Ahli yang menjadi perintis kepada sistem kerajaan berkabinet / Jemaah Menteri seperti yang ada pada hari ini diperkenalkan. Dalam sistem ini ahli-ahli diberikan beberapa portfolio di bawah tanggungjawab mereka.

1952

Raja-Raja Melayu telah mengurniakan sebuah Cokmar kepada Majlis Perundangan Persekutuan. Cokmar mempertingkatkan lagi status Majlis kerana Cokmar merupakan satu lambang keagungan, kehormatan sinonim dengan kebesaran sistem demokrasi berparlimen.


1953

Pesuruhjaya Tinggi berhenti mempengerusikan Majlis dan tempat beliau digantikan dengan Yang di-Pertua yang dilantik iaitu Dato' Sir Mahmud bin Mat.


1955

Majlis Perundangan Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dibubarkan untuk membolehkan Kerajaan mengadakan pilihan raya umum buat pertama kalinya bagi memilih ahli-ahli untuk mewakili rakyat di Majlis Perundangan Persekutuan.
Dalam pilihan raya umum pada Julai 1955 Parti Perikatan, iaitu gabungan UMNO, MCA dan MIC berjaya memenangi 51 daripada 52 buah kerusi yang telah dipertandingkan.
YTM Tunku Abdul Rahman Putra dilantik sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dan beliau membentuk Kabinet atau Jemaah Menteri Pertama Tanah Melayu.Ahli Majlis Perundangan Persekutuan bertambah kepada 98 orang iaitu 52 orang yang dipilih melalui pilihan raya umum (menggantikan 50 orang ahli tidak rasmi), 35 orang ahli yang dilantik mewakili kepentingan-kepentingan tertentu, dan 11 orang lagi terdiri daripada Menteri Besar dan wakil-wakil negeri. Ini merupakan kemajuan yang penting dalam perkembangan sistem pentadbiran demokrasi berparlimen tanah air.

1956

YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Tanah Melayu mengetuai satu misi ke London untuk menuntut kemerdekaan. Kerajaan British bersetuju supaya sebuah kerajaan sendiri yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam hal ehwal dalam negeri dimulakan dengan serta merta.

1957

Satu Perlembagaan bagi Tanah Melayu telah digubal oleh badan bebas terdiri daripada pakar undang-undang beberapa buah negara Komanwel yang diketuai oleh Lord Reid. Perlembagaan diterima sebulat suara oleh Majlis Perundangan Persekutuan. Sistem demokrasi berparlimen yang berpandukan model Westminster adalah yang terbaik bagi negara ini.

YTM Tunku Abdul Rahman Putra dilantik sebagai Perdana Menteri yang pertama dengan Jemaah Menteri seramai 12 orang.

Pada 31 Ogos 1957 pengisytiharan kemerdekaan diadakan di Stadium Merdeka. Majlis Perundangan Persekutuan menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah Dewan Parlimen sehingga dibubarkan pada Jun 1959.

YTM Tunku Abdul Rahman Putra dengan Jemaah Menteri Pertama
selepas Merdeka

1959

Satu pilihan raya umum diadakan. Berikutan itu sistem Parlimen dua Dewan yang mengandungi institusi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat dibentuk.

Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Pertama diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman pada 11 September 1959. Dewan Rakyat dengan 104 orang ahli yang dipilih rakyat mula bersidang buat pertama kalinya pada hari itu. Dewan Negara yang mengandungi 38 orang ahli yang dilantik juga bersidang pada hari yang sama. Pada hari bersejarah itu bermulalah sistem pemerintahan demokrasi berparlimen di tanah air yang merdeka.

Pembukaan Parlimen Pertama oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong I, Tuanku Abdul Rahman ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad di Dewan Tunku Abdul Rahman. Jalan Ampang

Sidang Parlimen yang pertama berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman pada 11 September 1959

1961

Usul untuk menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura oleh YTM Tunku Abdul Rahman diluluskan oleh Dewan Rakyat dan pada 18 Oktober 1961 pertemuan diadakan antara YTM Tunku dengan Perdana Menteri Great Britain di London. Kedua-dua pihak bersetuju dengan cadangan penubuhan Malaysia.

1962

Suruhanjaya Cobbold di bawah pimpinan Lord Cobbold ditugaskan untuk mengkaji pendapat rakyat Sabah dan Sarawak mengenai kemasukan negeri tersebut ke dalam Malaysia. Sebahagian besar rakyat negeri berkenaan bersetuju dengan konsep Malaysia dan Penyata Suruhanjaya Cobbold diterima

1963

Persekutuan Tanah Melayu, United Kingdom dan Ireland Utara, Singapura, Sabah dan Sarawak telah bersetuju dengan terma Perjanjian Malaysia. Dewan Undangan Negeri Singapura, Sabah dan Sarawak telah meluluskan resolusi yang membolehkan penubuhan Malaysia. Pengisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat ialah pada 16 September 1963.

Dewan Rakyat ketika itu dianggotai oleh 159 orang ahli iaitu 104 orang dari Tanah Melayu, 16 orang dari Sabah, 24 orang dari Sarawak dan 15 orang dari Singapura. Manakala Dewan Negara pula mempunyai 50 orang ahli iaitu 28 orang mewakili 14 Dewan Undangan Negeri dan 22 orang yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang ketiga Tuanku Syed Putra ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail merasmikan pembukaan bangunan Parlimen yang terletak berhampiran Taman Tasik Perdana pada 2 November 1963. Parlimen pertama dibubarkan pada 1 Mac 1964 dan pilihan raya umum kedua diadakan pada 25 April 1964. Berikutan dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dilaksanakan secara berterusan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, bilangan kerusi Dewan Rakyat terus meningkat sehingga kepada 222 kerusi pada Parlimen yang kedua belas.

Parlimen Pertama Persekutuan Tanah Melayu di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.



Kompleks Parlimen siap pada 1963.



DEWAN NEGARA

Dewan Negara terdiri daripada seramai 70 orang ahli. Dewan Negara terbahagi kepada dua kategori seperti berikut:-

26 ahli yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri sebagai mewakili 13 negeri (setiap negeri diwakili oleh dua orang ahli).

44 ahli yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, termasuk dua ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan satu ahli masing-masing dari Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya.

Untuk layak menjadi ahli, seseorang calon hendaklah:-

* warganegara Malaysia
* berumur tidak kurang dari 30 tahun
* sempurna akal
* bukan seorang muflis

Jawatan itu hendaklah dipegang selama satu penggal (tiga tahun) dan boleh disambung sebanyak satu penggal lagi, sama ada dilantik pada peringkat Persekutuan atau pemilihan pada peringkat negeri.

Kedudukan Dewan Negara tidak berubah dengan pembubaran Parlimen. Ahli-ahli Dewan Negara dilantik atau dipilih dari kalangan mereka yang menyumbang khidmat yang cemerlang atau telah mencapai kecemerlangan dalam profesion masing-masing, dalam perdagangan, industri, pertanian, aktiviti kebudayaan atau perkhidmatan sosial atau merupakan wakil kumpulan bangsa minoriti ataupun berkebolehan menjaga kepentingan orang-orang asli.

Setiap ahli dimestikan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara. Ahli tersebut hendaklah bersumpah atau berjanji bahawa mereka akan taat menjalankan tugas-tugas mereka sebagai ahli Dewan sebaik yang mungkin dan taat setia kepada Malaysia serta mematuhi, menjaga dan mempertahan Perlembagaan.

parlimen malaysia

BANGUNAN PARLIMEN MALAYSIA

Persidangan Pertama Parlimen Persekutuan Tanah Melayu yang diadakan pada 11 September 1959 di Dewan Tunku Abdul Rahman merupakan sejarah penting tanah air kerana buat julung kalinya Parlimen Persekutuan telah bersidang dengan ahli-ahlinya. Persidangan Parlimen tersebut telah dirasmikan oleh SPB Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad.


Persidangan Parlimen 11 September 1959.


Dewan persidangan tersebut, sekarang ini dikenali sebagai Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC). Dewan ini terletak di Jalan Ampang dan dibina pada tahun 1935. Pada asalnya dewan ini merupakan Kediaman En. Eu Tong Sen, seorang pelombong dan pengusaha ladang getah yang kaya dan terkenal di Kuala Lumpur. Ia telah diubahsuai dan ditokok tambah oleh tukang-tukang atau “master builders” yang diupah khas untuk menjadikan kediaman tersebut sebagai dewan persidangan Dewan Negara dan Dewan Rakyat.


Pada 16 September 1963, Persidangan Pertama Parlimen Malaysia telah diadakan di Bangunan Parlimen Malaysia yang terletak di kawasan Taman Tasik Perdana, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.


Kawasan berbukit seluas 16.2 hektar yang dahulunya dikenali sebagai 'West Folly Hill' sedang diratakan bagi kerja-kerja awal pembinaan Kompleks Bangunan Parlimen 1961.


Pembinaan bangunan ini dibuat apabila tercetusnya idea dan pandangan dari Perdana Menteri Malaysia Pertama iaitu YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk mendirikan sebuah bangunan khusus sebagai Bangunan Parlimen Malaysia.

Ekoran daripada itu, pada tahun 1959, satu kawasan yang berkeluasan 16.2 hektar berhampiran Taman Bunga Kuala Lumpur telah dipilih sebagai tapak yang sesuai bagi pembinaan bangunan tersebut. Kawasan tersebut dipilih kerana lokasinya yang strategik iaitu terletak di atas sebuah bukit dan berhampiran dengan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur.


Bangunan Parlimen dalam pembinaan.


Pada 31 Ogos 1962, SPB Yang di-Pertuan Agong Ketiga, Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail telah berkenan untuk meletakkan batu asas bagi membina Bangunan Parlimen Malaysia di kawasan tersebut. Kerja-kerja pembinaan mula dilaksanakan setelah upacara meletakkan batu asas. Kemuncak bukit mula diratakan pada paras 61 meter dari aras laut pada bulan September 1962. Kerja-kerja pembinaan Bangunan Parlimen yang terdiri dari satu blok tiga tingkat dan satu blok menara 17 tingkat telah mengambil masa hampir setahun. Manakala bagi melengkapkan sistem infra ke Bangunan Parlimen Malaysia, satu jambatan telah dibina untuk menghubungkan Bukit Parlimen dengan Pusat Bandaraya.


Upacara peletakan batu asas pembinaan Kompleks Parlimen. Kapsul masa yang dibentuk khas dengan permukaanya diperbuat daripada batu marmar, seberat 385kg (850 lb) bersaiz dua kaki lebar dan lima kaki tinggi, mengandungi salinan penyata rasmi perbahasan pertama Dewan Rakyat 1958, akhbar, sedikit mata wang Malaysia dan sedikit bijih timah, getah dan padi sebagai simbol.


Pada masa itu, kos keseluruhan pembinaan Bangunan Parlimen adalah sebanyak RM 18 juta. Bangunan Parlimen ini telah dirasmikan oleh SPB Yang di-Pertuan Agong ketiga, Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail pada 2 November 1963.

Bangunan Parlimen mempunyai tiga blok iaitu Blok Utama, Blok Menara dan Dewan Serbaguna. Berikut adalah penerangan ringkas mengenai ketiga-tiga blok tersebut. Berikut adalah penerangan ringkas mengenai ketiga-tiga blok tersebut;

Blok Utama

Blok Utama mempunyai tiga tingkat yang bersaiz 380 kaki X 290 kaki. Blok ini mempunyai rekabentuk yang amat unik di mana bumbungnya terdapat bentuk sebelas segitiga yang tersusun dan dikenali sebagai Pinnacle dan di bawah bumbung tersebut terletaknya Dewan Rakyat. Keseluruhan blok tersebut mempunyai fasad yang mempunyai rekabentuk kulit nenas yang diperbuat daripada terazo berukuran 11 kaki tinggi dan 40 inci lebar serta berfungsi sebagai kawalan terhadap sinaran matahari kepada blok tersebut. Manakala keseluruhan dinding di Blok Utama menggunakan panel kaca.


Blok Utama sekarang.



Blok Menara

Blok Menara terdiri daripada 17 tingkat, berketinggian 76.2 meter dan bersaiz 450 meter persegi setiap aras. Blok Menara dan Blok Utama dihubungkan dengan dua jambatan sepanjang 50 meter. Pada asalnya, Blok Menara menempatkan pejabat para menteri dan Ahli-ahli Parlimen. Namun, apabila bilangan kakitangan Parlimen bertambah, Blok Menara telah diubah fungsi menjadi pejabat pentadbiran Parlimen. Walau bagaimanapun, beberapa ruang pejabat masih dikekalkan seperti Pejabat Perdana Menteri di tingkat 2, Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Tingkat 3, Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen) di Tingkat 15, dan Pejabat Ketua Pembangkang di Tingkat 14.

Tingkat 17, merupakan tingkat yang teratas, terdapat ruang terbuka yang seringkali digunakan untuk majlis-majlis jamuan. Ruang ini juga dikenali sebagai Anjung Parlimen. Pemandangan dari Tingkat 17 amat menarik, berlatar belakangkan permandangan bangunan-bangunan pencakar langit dan panorama Ibu Kota Kuala Lumpur.


Blok Menara sekarang.


Dewan Serbaguna

Bangunan Parlimen juga turut dilengkapi dengan kemudahan beriadah seperti gelanggang tenis, badminton, futsal, bola tampar, gimnasium, bilik sauna untuk kemudahan Ahli-ahli Parlimen dan Kakitangan.


Dewan Serbaguna (Sebelum Diubahsuai).


Keistimewaan Bangunan Parlimen

Bangunan Parlimen Malaysia dibina dengan menggunakan lebih dari 1 juta batu bata, 2,200 tan besi waja, 54,000 tan konkrit, 200,000 kampit simen dan 300 tan kaca. Rekabentuk Bangunan Parlimen ditambah lagi serinya dengan rekabentuk lanskap yang dilengkapi dengan sistem kolam dan air pancuran di Blok Utama dan Blok Menara.

Selain daripada itu, Bangunan Parlimen juga mempunyai sebuah Dewan Bankuet yang boleh menempatkan 500 orang tetamu pada satu-satu masa. Dewan Bankuet ini juga digunakan buat pertama kalinya untuk Majlis Jamuan Negara pada 18 September 1963. Ia turut juga digunakan sebagai tempat untuk istiadat penghormatan terakhir Bekas Perdana Menteri Malaysia Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak sebelum dikebumikan.



Dewan Bankuet.


Bangunan Parlimen juga turut dihiasi dengan beberapa jenis tumbuhan yang jarang ditemui seperti Pokok Beringin (Ficus Benjamina) dan Pokok Hujan Hujan (Samanea Saman). Di samping itu, sebuah kawasan lapang yang dijadikan Taman Rusa di mana telah menempatkan berpuluh-puluh ekor rusa dari spesis Axis-axis yang telah dihadiahkan oleh Presiden Suharto kepada Parlimen Malaysia. Pada tahun 2007, Bangunan Parlimen Malaysia telah diwartakan sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Parlimen Malaysia






Comments

Post a Comment