Catatan Merdeka


Catatan Merdeka. Menjelang sambutan perayaan hari kemerdekaan ke 57, kita memasuki detik sukar untuk sebuah perayaan bermakna ini. MH17 dan MH370 adalah tragedi pilu yang menghiris jiwa dan begitu membenani rakyat dan negara. Ditambah dengan bedil dan peluru yang berterusan menghujani Gaza adalah peristiwa yang tak terlepas dari kesebakan dan keharuan.

Kemerdekaan itu sendiri tercipta dari kesebakan dan keharuan. Bukan mudah untuk sebuah negara mencapai kemerdekaan dan kita melaluinya dengan getir dan payah. Bukan sekilas masa kita terjajah tetapi selama 446 tahun bukan jangka waktu yang pendek. Ia penuh kesukaran dan mencabar jiwa dan raga.

Marilah kita merenung kembali segala makna yang tertimpa ke dalam sejarah negara kita. Antara tragedi penerbangan, maut yang memagut rakyat palestin dan perjuangan sebuah merdeka adalah antara detik yang harus direnungkan dan dihitungkan sebagai iktibar dan azimat kehidupan.

Malaysia di sini lahirnya  sebuah cinta

Catatan di bawah ini adalah untuk bersama kita renungkan makna perjuangan dan kemerdekaan




Nama pejuang kemerdekaan diabadikan di tempat sewajarnya
OLEH ABDUL RAZAK IDRIS

HANG TUAH, Mahsuri, Cik Siti Wan Kembang, Datuk Maharajalela, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbung, Mat Salleh, Rosli Dhobi dan lain-lain lagi nama tokoh sejarah yang disebut semasa belajar subjek Sejarah sering bermain di fikiran dan dihafal sebagai wadah untuk berjaya dalam peperiksaan seperti Sijil Rendah Pelajaran (SRP, kini PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Selepas tamat belajar nama-nama tersebut terus dilupakan seolah-olah ia wujud hanya untuk menjadi input peperiksaan bukan untuk kita mengingati jasa dan sumbangan mereka hingga kita mampu tersenyum sambil memandu kereta Proton Suprima S.

Semakin jauh kita memandu semakin jauh kita meninggalkan perkara-perkara yang berlaku di belakang. Namun kita perlu ingat tanpa sejarah kita tidak akan mampu memecut laju ke depan. Tokoh-tokoh sejarah yang dinyatakan adalah pemangkin kepada keberadaan dan kejayaan kita hari ini.

Jangan sesekali kita melihat Hang Tuah tidak relevan dengan kemajuan kita hari ini, hingga ada yang menganggap wira negara yang menjadi pahlawan di Melaka pada kurun ke-15 adalah legenda semata-mata.

Namun kata-kata keramat "Tak Melayu Hilang di Dunia" yang disebut oleh pahlawan tersohor itu menjadi azimat kepada perjuangan parti keramat orang Melayu, parti UMNO untuk menjadi tonggak pentadbiran negara dari selepas merdeka 31 Ogos 1957 hingga ke detik kini.

Walaupun Melaka telah tidak mengamalkan sistem beraja namun nama pahlawan Melayu itu diabadikan di beberapa pusat beli-belah dan jalan di Melaka Bandar Bersejarah. Begitu juga tokoh- tokoh lain seperti Mat Kilau yang diabadikan namanya di sekolah rendah dan menengah di Pahang.

Namun dalam kita menghargai perjuangan tokoh-tokoh bangsa dari zaman Melaka hingga selepas era Belanda dan British jangan kita lupakan nama-nama wira negara yang meninggal dunia kerana berjuang demi menjaga kedaulatan negara pada zaman Jepun dan darurat dari 1948 hingga 1960 serta era 1970-an dan hujung 1980-an.

Nama seperti Leftenan Adnan Saidi, Sarjan Jamil Shah dan Pegawai Waran II Kanang Anak Langkau begitu dekat dengan kepahlawanan perang era moden. Nama-nama ini perlu diabadi di kem-kem tentera dan tidak sekadar menjadi watak dalam pentas hidup dan dalam filem semata-mata.

Ini bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam diri anak-anak kita yang terlampau 'laju' dengan capaian internet hingga mereka lupa bagaimana teknologi tersebut bermula di negara ini.

Tanpa adanya pahlawan yang sanggup bergadai nyawa dan darah untuk membasmi elemen negatif seperti anasir-anasir subversif komunis dan tali barut asing maka kita tidak dapat melakukan apa sahaja kegiatan ekonomi di bumi bertuah ini.

Hari ini di Kuala Lumpur dan Putrajaya, kita tidak dapat melihat suatu bangunan yang mempunyai nama pahlawan dan pemimpin negara yang telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang pesat membangun.

Alangkah baik jika Menara Berkembar Petronas dinamakan Menara Berkembar Tun Mahathir, Muzium Negara dinamakan Muzium Hang Tuah, Pasar Seni dinamakan Pasar Seni Tun Seri Lanang dan Putra World Trade Centre (PWTC) dinamakan Menara Datuk Onn Jaafar.

Bagaimana rakyat pada masa depan dapat menghargai pemimpin kerajaan yang ada jika kita gagal menghargai penyumbang kepada kejayaan dan kemajuan negara kita.

Dalam dunia serba pantas hari ini, manusia sudah menjadi manusia hybrid iaitu bermutasi menjadi separuh elektronik separuh orang. Ini disebabkan manusia sudah menjadi hamba gajet hingga tanpa ada telefon tangan mahupun telefon pintar dibawa ke tempat kerja, hidup dirasakan tidak sah.

Sekurang-kurangnya apabila rakyat negara ini melihat aplikasi telefon pintar seperti Google Maps mereka akan melihat nama bangunan yang tertera nama tokoh sejarah dan ini akan menyebabkan mereka terfikir, apakah sejarah di sebalik nama tersebut.

Terutama dalam kalangan pelancong itu sendiri. Mesti mereka tertanya-tanya mengapa nama Hang Tuah diabadikan di muzium misalnya.

Justeru, masih belum terlambat untuk kita mengabadikan nama-nama tokoh bersejarah di negara ini. Kerana di negara Barat ia penting sebagai menghargai jasa pemimpin dan sumbangan mereka.


Mungkin bagi negeri Selangor pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) boleh mencadangkan nama Stadium Shah Alam menjadi Stadium Mokhtar Dahari sebagai simbol pemain yang hebat dan tangkas menggempur benteng lawan dan dijelmakan dalam diri mereka.

Dalam keadaan prestasi pemain dan bola sepak negara hari ini cadangan tersebut amat relevan. Tepuk dada tanya selera, insya-Allah jika Kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan majlis kerajaan tempatan menghargai tokoh sejarah, insya-Allah rakyat lebih menghargai kemerdekaan dan pengisiannya.

Walau ada pujangga berkata, apa ada pada nama, jawapannya mudah sahaja tanpa nama siapalah kita. Tanpa tokoh sejarah yang sanggup berkorban untuk kejayaan bidang politik, ekonomi, sukan dan keselamatan tiadalah negara bernama Malaysia.

Sesungguhnya tema "Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku" menggambarkan pengorbanan tokoh-tokoh yang sudah lama meninggalkan kita dengan legasi keamanan yang begitu berharga.

Walau nama hilang di mata, namun di hati dihilangkan jangan. Merdeka! Merdeka! Merdeka. Al-Fatihah untuk Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Tokoh yang begitu sinonim dengan kemerdekaan negara.

utusan online



Pengisian 55 tahun kemerdekaan

PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia.
5 Sept 2012

SETIAP tahun apabila datangnya bulan sambutan kemerdekaan, ia dilihat amat signifikan untuk negara-bangsa ini, dahulunya dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya sehingga ia lahir sebagai negara bersama merangkumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963; membawa kepada 49 tahun penubuhan Malaysia.

Ia bukan sahaja menandakan 55 tahun kita sudah mengharungi hari kemerdekaan 31 Ogos 1957, tetapi juga menandakan tradisi 'syukur', 'berterima kasih', 'imbas', dan 'nilai' anjakan yang telah berlaku dan apa yang boleh dilakukan agar negara ini terus memacu kecemerlangan perubahan dalam kesinambungan yang telah dilakukan oleh warisan kepimpinan.

Pencapaian 55 tahun merdeka adalah pengisian kemerdekaan yang membezakan Malaysia dengan negara lain. Jika pengisian dan pencapaian kita sama dengan negara lain, kenapa Malaysia sering dijadikan contoh sebagai negara pesat membangun dan siapakah yang memeta pencapaian selama 55 tahun merdeka dengan pengisian yang membolehkan Malaysia gagah di mata dunia; bukan sebagai sebuah negara yang terletak antara Singapura dan Thailand lagi, tetapi digeruni kerana mampu membangun dengan pantas serta kesediaan melakukan pelbagai perkara yang tidak pernah terfikir bagi sesebuah negara yang terus membangun seperti kita.

Hakikatnya, Malaysia sudah berubah wajah kerana proses pemodenan dan pembangunan pesat. Bagaimanakah Malaysia boleh tersenarai antara 21 negara paling kompetitif dalam Laporan World Economic Forum 2012; tangga ke-18 sebagai negara paling mudah memulakan perniagaan dalam Laporan Bank Dunia Doing Business 2012; yang 10 teratas dalam Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing 2012; pendapatan perkapita negara pada AS$9,700; KDNK RM852.7 bilion dan PNK pula RM830.7 bilion tertinggi sejak 1957; dan hasil tertinggi iaitu RM185.54 bilion.

Setiap warga harus boleh mengimbas dan menilai persekitaran dan alam sekitar mereka untuk memahami pengertian sebenar kemerdekaan. Kita perlu bertanyakan mana datangnya pembangunan ekonomi, politik dan sosial sehingga Malaysia dihormati dan diiktiraf oleh negara mundur, pesat membangun dan maju.

Apakah dalam jangkamasa 63 tahun merdeka pada 2020; kita boleh bersama menyuburkan semangat bangsa Malaysia yang menjunjung ketertinggian Perlembagaan, fasih berbahasa Malaysia dan bangga menjadi warga Malaysia, takrifan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam merangka Wawasan 2020?

Insan yang menghuni negara ini ketika itu dan generasi transisi ke arah itu kini barangkali sudah boleh bergelar 'kelas satu di negara kelas pertama', bukan sahaja memiliki infrastruktur dan prasarana kemudahan kelas pertama tetapi bangsanya merupakan yang ada ilmu, kebolehan dan kemahiran yang diselaputi dengan nilai moral pada perilaku dan karakternya. Erti persaudaraan adalah pada kekuatan nilai kemanusiaan agar tidak ada sifat syak wasangka dan curiga dan mencari titik keseimbangan bersama demi masa depan tanah air dan generasi yang akan terus mewarisi setiap inci pusaka bumi ini.

Ia juga amat memerlukan jiwa nasionalisme dan patriotisme. Ia bukan semata-mata menaikkan bendera pada bangunan, rumah atau kenderaan. Ia juga bukan sekadar menyanyikan lagu Negaraku. Ia juga bukan sekadar menghormati nilai simbolik kenegaraan. Pembangunan juga adalah nasionalis; memelihara alam sekitar, menjaga kebersihan, mempunyai kualiti kehidupan yang baik, sektor pendidikan yang membanggakan, peluang pekerjaan, sektor kesihatan yang melihat kadar kelahiran lebih baik dari kematian, sukan dengan pencapaian yang cemerlang atau apa saja yang kita harungi setiap hari demi untuk negara; kesemua yang membawa unsur positif lahirnya dari kesungguhan untuk memartabatkan kebebasan dengan pengisian yang memberi manfaat kepada populasinya.

Sepanjang 55 tahun, ada kelemahan wujud dan diakui oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam proses merekayasa negara tetapi kita boleh menyoal, apakah sepanjang 55 tahun kemerdekaan, kita lebih banyak diselubungi masalah sehingga menyukarkan suapan diri atau pencapaian mendahului dan menutup kelemahan yang wujud tanpa dinafikan sebarang kelemahan perlu diatasi agar tidak menjejaskan pembinaan negara-bangsa. Misalnya, keperluan 40 peratus ahli masyarakat yang berada di bawah garis kemiskinan bandar dan luar bandar merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak perlu terus diberi kepentingan agar sumbangan mereka dihargai dengan memelihara kebajikan mereka.

Kita juga menyedari bahawa dunia ini tidak terpinggir dari kebencian tetapi di Malaysia, perlu ada keinginan untuk mempertahankan nilai kemerdekaan. Barangkali, pejuang kemerdekaan sudah membayangi kita akan berhadapan dengan keadaan yang kita lihat selepas 55 tahun sehingga bersedia untuk 'berkorban' dan 'berkompromi' di bawah gabungan besar politik kepartian agar masing-masing masih boleh gelak, ketawa, berjumpa, pejam mata dan esoknya negara masih kekal selamat.

Jangan menumpang simpati sisipan sejarah kerana tiada sebarang pertemuan yang direkacipta secara kosmetik dalam cubaan mendapatkan merdeka. Ia datang kerana pejuang kemerdekaan mencintai tata merdeka dan Raja-raja Melayu juga bersedia untuk memindahkan kuasa kepada pentadbiran kerajaan dan kekal sebagai ketua negara.

Tanpa Kontrak Sosial tidak akan lahir Perlembagaan dan tanpa Perlembagaan, tidak mungkin kita meraikan 55 tahun merdeka tahun 2012. Asasnya, warisan kepimpinan merangka masa depan bersama tanpa mengira latar belakang etnik, agama dan praktis berbeza dalam kehidupan kepelbagaian negara ini.

Pejuang kemerdekaan tidak mendidik perasaan bangga diri tetapi pandai merendahkan diri dengan tatacara sendiri. Dalam mendapat kemerdekaan ketika itu, semua yang baru hendak naik tidak sombong atau biadab tetapi kuat, tabah dan ampuh dengan pujian perwatakan; penekanan kepada nilai hormati antara satu sama lain.

Kemerdekaan tidak boleh ditukar ganti. Kestabilan, keamanan dan hidup muhibah tidak boleh dipisahkan dan dalam keadaan tidak menentu, ia tidak boleh dikorbankan. Ia mesti dijunjung oleh kesemua warga yang sayangkan makna merdeka dan pengisian di sebalik kemerdekaan.

Persahabatan dengan penipuan akan menggagalkan kebenaran. Jangan kita senyapkan sejarah merdeka dengan kemungkaran kita. Pengisian kemerdekaan hanya dapat dilakukan secara berterusan jika kita mahu memahami dan terlibat sama dalam proses penambahbaikan pembentukan negara ini dalam acuan sendiri.

Kita bertanggungjawab ke atas tindakan kita, mengikut tuntutan hati. Perjuangan kemerdekaan bukan untuk melihat siapa menang dan siapa kalah. Ini perjuangan bersama walaupun fahaman politik berbeza. Keangkuhan tidak boleh menghalalkan pembohongan semata-mata mahu melihat erti merdeka dari lensa berbeza. Dalam perjuangan pengisian merdeka, jangan biarkan ketakutan menjadi perisai kegagalan. Biar tatacara dan sopan sila dalam Malaysia menggerunkan musuh di luar kerana warganya cekal dan bersatu.

Mari kongsi kesedihan dan kegembiraan negara atas nama Malaysia. Melalui kepercayaan ini kita mampu mengharungi apa sahaja masalah bersama, memberi dan menerima seadanya dan dapat lakukannya kerana percaya kita juga ada hak dan tanggungjawab. Tradisi lama boleh digantikan dengan tradisi generasi baru tanpa menghilangkan nilai sebenar di sebalik kesinambungan pembinaan 55 tahun Malaysia.

Pengisian kemerdekaan adalah pelengkap kepada transformasi yang merupakan satu perjalanan yang memerlukan kestabilan sepanjang masa dan bukan keadaan tidak menentu terutama dalam demografi dan populasi yang majmuk dan kompleks seperti Malaysia.

utusan online


Ulama pondok pejuang kemerdekaan
DR MASHITAH IBRAHIM
14 Mac 2014

PERANAN ulama dan guru pondok menentang penjajahan serta memperjuang kemerdekaan banyak didokumentasikan.

Sejak akhir abad ke-19, ulama pondok dan golongan agamawan di Tanah Melayu dan wilayah Nusantara lain menentang imperialisme Barat atas semangat jihad.

Pembunuhan Residen British J.W.W Birch di Pasir Salak, Perak pada 1857 adalah kemuncak gerakan ulama dan agamawan, yang tidak boleh terima penghinaan dan ancaman asing terhadap orang Melayu, adat istiadat mereka dan agama Islam.

Gabenor British pertama, Harry Ord (1867-1873) menulis dalam memorandum pada 1876 bahawa semangat orang Melayu ketika itu didorong kebencian mendalam terhadap British yang kafir.

Begitu juga keadaannya di Terengganu pada 1920an. Beberapa ulama terkenal bangun menentang usaha British yang mahu memperkenal undang-undang baharu berhubung pemilikan tanah bagi menggantikan undang-undang syariah yang telah lama dipakai di negeri itu.

Bagi mengkaji dan membantu meredakan keadaan, Residen Perak H.W. Thomson dihantar ke Terengganu.

Mengikut pemerhatiannya, penentangan kuat terhadap British di Terengganu adalah didasari semangat keagamaan.

Golongan ulama yang dikatakan bertanggungjawab memulakan gerakan pembaharuan di Tanah Melayu pada awal abad ke-20 adalah mereka yang belajar dan pulang dari Timur Tengah.

Antara tokoh islah terkemuka ialah Sheikh Tahir Jalal al-Din, Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Abdullah Maghribi dan Sheikh Abu Bakar al-Ashaari.

Mereka terpengaruh dengan pemikiran modenis Jamal al-Din al-Afghani, Sheikh Muhammad Abduh dan Rashid Rida.

Umumnya, mereka menyeru untuk meningkatkan tahap intelektual masyarakat Melayu-Islam melalui ijtihad serta mengurangkan taklid berdasarkan ajaran Quran dan hadis.

Mereka juga menyarankan pembaharuan dalam kurikulum di sekolah agama agar dapat melahirkan pelajar lebih terpelajar dan rounded.

Misalnya Syed Sheikh al-Hadi memulakan akhbar bulanan, Al-Imam, pada 1906 setelah terdedah dengan akhbar Arab seperti Al-‘Urwat al-Wuthqa dan Al-Manar.

Akhbar Al-Imam, yang banyak mengandungi rencana dan penulisan mengajak orang Melayu membuang amalan khurafat dan berubah ke arah kemajuan terutama pendidikan, mempunyai bilangan pembaca yang ramai.

Pengaruhnya ke atas masyarakat Melayu-Islam sangat besar sehingga diibaratkan “sebutir bom yang meletup dalam suasana Islam yang damai”.

(William Roff dalam Origins of Malay Nationalism, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1974). Penulisan Sheikh Tahir dalam Al-Imam (1906-1908), Al-Ikhwan (1926-1931) dan Saudara (1928-1941) menumpu kepada soal keagamaan.

Beliau menyeru umat Islam untuk menghayati al-Quran dan hadis jika ingin maju sambil menyelar ulama yang masih berpaut kepada tradisi dan adat yang menyimpang.

Selepas Perang Dunia ke-2, penjajah British berusaha menguatkan tapak di Tanah Melayu dengan rancangan Malayan Union. Para ulama dan nasional Melayu membantah kerana gagasan ini menghina orang Melayu dan raja-raja. Islam menjadi wadah ideologi kepada gerakan menuntut kemerdekaan.

Wujud dua aliran ketika itu: radikal dan moderat. Antara gerakan radikal adalah yang dipimpin oleh Haji Wan Ahmad Wan Ngah, seorang ulama di Perak, yang mencadangkan jemaah haji Malaysia bersatu dengan jemaah Turki dan menubuhkan kuasa Islam baharu menggantikan penjajah British.

Manakala yang moderat pula mengambil keputusan memprotes secara berjalan kaki sejauh lebih 70km dari Seberang Perai ke Alor Setar. Perarakan ulama ini memberi kesan besar kerana masyarakat nampak pembabitan golongan agamawan dalam memperjuangkan kemerdekaan.

Ketika berarak, ulama dan guru pondok menghulurkan makanan dan beras percuma kepada orang kampung dan anak-anak sekolah yang berbaris menyambut perarakan mereka.

Antara pondok paling aktif menentang penjajah ialah Madrasah Dairatul Maarif di Pulau Pinang dan Maahad Al Ehya Assyariff di Gunung Semanggol, Perak. Madrasah Dairatul Maarif pimpinan Sheikh Abdullah Fahim, misalnya, menjadi tumpuan para pejuang kebangsaan dan ahli politik, dan tempat kegiatan parti politik menentang British. Manakala muridnya, Ustaz Abu Bakar al-Baqir juga tokoh anti-penjajah yang tegar. Pembabitan dan peranan ulama pondok seperti mereka mendorong kelahiran beberapa parti politik yang mengambil alih perjuangan menuntut kemerdekaan. Ini termasuklah Parti Kebangsaan Melayu Malaya pada 1945 yang diketuai Mukhtaruddin Laso dan Burhanuddin al-Hilmy, Umno pada 1946 diketuai Datuk Onn Jaafar, Hizbul Muslimin pada 1948 diketuai Ustaz Abu Baqir dan Pas pada 1951.

sinar harian


Laungan kalimah merdeka
Oleh Lister Robert Anak Sayang
29 April 2014

Kemerdekaan yang kita kecapi, kini meniti usia enam dekad. Setiap kali mentari Ogos tiba, semua rakyat Malaysia berpeluang melaungkan kalimah merdeka. Ogos bakal menjelang tidak lama lagi, perkara sama pasti dilakukan rakyat Malaysia berulang-ulang kalinya.

Bila mengimbau kembali sejarah silam Malaysia, kalimah ini dilaungkan tujuh kali oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman sebagai simbolik bebasnya tanah air daripada jajahan musuh. Namun, kalimah yang dilaung itu sekadar bergema menghiasi alam.

Maksud yang terpatri di sebalik seruan itu sebaliknya tidak dihayati sepenuhnya. Apakah kalimah ‘merdeka’ yang kita laungkan bersama itu hanya laungan semata-mata? Fahamkah kita makna patriotisme di sebalik apa yang dilaung itu seperti soal pantun di atas?

Apakah punca seseorang individu kurangnya patriotisme dan bagaimana ingin mengembalikan rasa itu kembali?


Pepatah Melayu ada mengatakan ‘Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’. Ungkapan terbabit boleh dikaitkan dengan wira pahlawan masa lampau negara kita. Jerih dan payah perjuangan bukan untuk populariti tetapi kerana maruah dan perasaan cinta pada tanah air sendiri.

Bagi mereka ‘Biar putih tulang, jangan putih mata’. Mereka rela berkorban daripada terus melambaikan bendera putih pada seteru. Tiada istilah mengalah dalam kehidupan masyarakat dulu. Maruah dan hak perlu diperjuangkan hanya dengan berkorban. Tidak senang berkorban demi hak dan kebebasan untuk diri sendiri, apalagi untuk orang lain.

Bak kata Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman, ‘Merdeka itu adalah suatu perkara yang bukan mudah untuk diperoleh, ia memerlukan pengorbanan bukan saja wang ringgit, usaha, tenaga tetapi bahkan nyawa sendiri juga.’

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, merdeka ialah bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan, lepas daripada tebusan atau tuntutan, berdiri sendiri serta tidak bergantung pada orang lain. Kemerdekaan terbabit dicapai kerana adanya semangat patriotisme.

Patriotisme pula menurut kamus dewan edisi sama, ia diertikan sebagai perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air. Individu yang patriotik sanggup mempertahankan kedaulatan negaranya. Dengan kata lain, seseorang yang memiliki semangat patriotik mempunyai kepercayaan mengenai kebesaran dan kebenaran negaranya, menghargai simbol-simbol yang menjadi kebanggaan negara dan melaungkan kalimah merdeka dengan bersemangat sebagai tanda kesediaannya untuk mempertahankan negara.

Menurut Azman Sharif (2012), istilah patriotisme dikatakan berasal daripada bahasa Latin iaitu patriota dan patriote dalam bahasa Perancis serta patriot dalam bahasa Greek yang membawa pengertian individu yang sentiasa menyokong dan mempertahankan negara sendiri secara berterusan disebabkan rasa cinta yang wujud terhadap negara.

Manakala isme pula merujuk kepada fahaman, perasaan dan semangat. Cantuman dua rangkai kata ini melahirkan satu istilah baru dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu bagi menggambarkan semangat dan perasaan cintakan tanah air dan sanggup berkorban mempertahankan tanah air daripada musuh.

Webster (1990) pula menyatakan ‘love of country or devotion to the welfare of one’s country. Those who are loved their country simply because it is their country - because it is the birth place and the mansion of their father’.

Datuk Prof Dr Mohd Ruddin, Mohd Shamsuri, Rahman Hashim dan Albert Feisal menyatakan patrotisme juga sering dilihat sebagai ‘nasionalisme rasmi’ atau official nationalism bagi sesebuah negara (Kellas, 1991). Sebagai sebuah negara merdeka juga, Malaysia memiliki kedaulatan tersendiri. Ia dilambangkan dalam pelbagai bentuk interaksi simbolik.

Bendera negara, umpamanya adalah simbol kepada kewujudan dan kedaulatan sesebuah negara. Maka, mengibarkan bendera sebagai menzahirkan rasa cinta dan syukur menjadi warga sesebuah negara adalah satu tingkah laku mulia. Begitu juga dalam soal penghormatan terhadap Malaysia menerusi lagu kebangsaan.

Berdiri tegak ketika lagu Negaraku dinyanyikan adalah satu bentuk penghormatan fizikal yang senang diukur tetapi sejauh mana ia dihayati sebagai simbol kebesaran negara adalah amat sukar dikenal pasti. Pada realitinya, lirik lagu kebangsaan membawa makna yang cukup signifikan sehingga mampu membarakan api perjuangan yang berkobar-kobar dalam sukma sejagat.

Namun, tidak semua masyarakat mampu mengucap syukur dan menghargai jasa mereka. Masyarakat kini alpa pada negara sehingga ada yang sanggup memperlekehkan kewibawaan dan kedaulatan negara Malaysia. Ada yang mencaci, mengutuk malah menghina bekas pejuang yang sudah tiada. Misalnya, kes membakar bendera negara.

Kes ini pernah diterbitkan Berita Harian bertarikh 10 September 2007 di halaman keempat. Inikah balasan sebahagian rakyat pada pejuang lama kemerdekaan? Perbuatan sebegini bukan saja menampakkan rakyat di negara ini ‘seperti kacang lupakan kulit’ serta memalukan, malah maruah negara juga akan terjejas disebabkan perbuatan khianat ini.

Jika mahu menunjukkan kebencian dan kemarahan kepada sesuatu pihak atau negara, maka ‘membakar bendera’ bukan perkara yang patut dilakukan. Selain itu, ada juga rakyat yang sanggup memburuk-burukkan lagu milik negara sendiri. Lirik lagu asli ‘Negaraku’ yang asal diubah kepada lirik yang tidak sedap didengari.

Disebabkan hadirnya rasa marah atau benci dengan negara sendiri, berbagai-bagai perbuatan sanggup dilakukan demi memuaskan nafsu murtad yang menjajah dalaman hati seseorang individu. Ada juga kes perhimpunan awam dan mogok. Oleh sebab ketidakpuasaan hati, sebahagian rakyat sanggup melakukan perbuatan khianat ini demi kepentingan dan hak sendiri.

Biasalah ‘rambut sama hitam, tetapi hati lain-lain’. Bukan itu saja, jika ditanya Perdana Menteri yang pertama hingga sekarang, ada yang tidak mampu menyebut nama mereka. Itu belum lagi memasuki skop bekas pahlawan tanah air seperti Tok Janggut, Rentap, Dato Bahaman dan Dato Maharajalela.

Punca pertama seseorang individu itu kurang mempunyai rasa cinta pada negara adalah kerana leka akibat tempias arus pemodenan. Masyarakat kini sibuk mengerjakan hal sendiri tanpa memikirkan kepentingan negara. Gajet terbaru, fesyen terkini, hampir semua rakyat tahu apabila ditanya persoalan mengenainya.

Rakyat kini ingin hidup moden tetapi lupa tanggungjawab pada negara. Masih ingatkah kita pada perwira negara yang bukan saja sanggup berjuang meskipun darah tumpah sekalipun? Jika diimbas kembali dari mula pendudukan Inggeris pada 1786 apabila Francis Light mula mengibarkan bendera penjajahan secara rasmi di bumi Tanah Melayu, sudah pasti kita memiliki hati yang benci dan dendam bila penjajah asing sewenang-wenangnya mengibar panji mereka di tanah air yang tercinta (Sara & Syafina, pidato berjudul Perjuangan Kemerdekaan).

Kita dikongkong, dijadikan hamba manakala penjajah bergoyang kaki, minta disembah seperti raja. Mahukah kita sejarah itu berulang semula? Mahukah kita sekali lagi ‘ibarat burung di dalam sangkar, mata lepas, badan terkurung?” Seterusnya, aspek kekeluarga

Bila sudah bergelar ibu dan bapa kepada seseorang anak, pastinya punca pendapatan itu penting. Malah, masih bujang lagi pun kita sudah sibuk bekerja demi mengubah taraf hidup. Awal pagi turun kerja, lewat malam baru balik. Motif utama masyarakat kini adalah untuk menggapai hidup yang senang dan mewah.

Kemewahan yang melimpah-ruah ini menyebabkan sebahagian masyarakat ‘Seperti ayam bertelur di padi’. Jadi, apabila anak dan ibu bapa masing-masing sibuk bekerja dan punyai tanggungjawab sendiri maka tiada masa untuk diluangkan bersama. Penjajahan era baru ini dipanggil konsep langit terbuka jauh lebih merbahaya kerana ia membabitkan minda (Mohd. Adi, esei kemerdekaan berjudul Rakyat Berjiwa Merdeka).

MyMetro




 

'Wasiat' Dr. Mahathir demi perpaduan Melayu

Oleh AZMAN ANUAR


TUN Dr. Mahathir Mohamad tidak menangis lagi. Tetapi daripada luahan suara hati beliau, kita dapat merasa kekecewaannya terhadap sikap bangsanya sendiri - Melayu.

"Saya sedih. Bukanlah saya berharap kerana kesedihan saya akan menarik simpati sesiapa. Hanya saya ingin menyatakan perasaan saya - perasaan apabila melihat kaum bangsa saya, orang Melayu, begitu sekali tidak tahu bersyukur, begitu sekali mudah lupa, begitu sekali mudah dipengaruhi dan diperalat oleh orang lain sehingga sanggup memburukkan bangsa sendiri."

Tulisan Dr. Mahathir di dalam Mingguan Malaysia semalam menjentik sudut hati orang Melayu yang ada kesedaran tentang kesan buruk perpecahan yang sedang dialami bangsa ini.

Setelah sekian lama meninggalkan tampuk pemerintahan negara pada 31 Oktober 2003 (hampir sembilan tahun lalu), beliau masih tidak jemu-jemu mengingatkan orang Melayu tentang kepentingan perpaduan.

Nasihat Dr. Mahathir boleh dianggap untuk memperingatkan semula dan membuka mata hati kita semua yang semakin lalai dan alpa terhadap pentingnya perpaduan di kalangan umat Melayu.

Semalam, Dr. Mahathir meluahkan kesedihan dan kebimbangannya tentang nasib orang Melayu yang semakin lemah kuasa politiknya akibat perpecahan dan perbezaan politik yang melampau.

Jelas, sebahagian besar di kalangan orang Melayu tidak benar-benar menghayati dan menyerapkan nasihat dan pesanan yang dibuat oleh beliau semasa dan selepas menerajui negara.

Kita hanya mendengar teguran dan kritikan beliau bagaimana hendak menguatkan orang Melayu, tetapi kurang usaha dilakukan untuk melaksanakan apa yang disuruh oleh beliau. Sikap kita masih belum banyak berubah terutama rakyat yang kini majoritinya adalah generasi selepas merdeka.

Kita tidak merasai penderitaan hidup di bawah pemerintahan kuasa bangsa asing seperti yang dilalui oleh generasi bekas Perdana Menteri keempat itu.

Sebagai insan Melayu dari Kedah yang merasai hidup tiga zaman penjajah - pemerintahan Siam, Inggeris dan Jepun - beliau sudah melihat bagaimana bangsa Melayu dihina - segala-galanya kerana kebodohan dan tidak bersatu padu.

"Bagi generasi yang dilahirkan selepas merdeka tentulah mereka tidak merasai sendiri kehinaan yang dialami oleh orang Melayu semasa mereka dijajah dahulu. Tetapi takkanlah mereka tidak baca sejarah bangsa mereka." Demikian luahan hati Dr. Mahathir.

Dalam kebanyakan wawancara dengan Dr. Mahathir, beliau sering ditanya oleh para wartawan tentang politik negara dan masa depan orang Melayu.

Kini secara bersendirian beliau meluahkan perihal perpecahan orang Melayu. Barangkali ada di kalangan kita yang tidak akan ambil peduli nasihat Dr. Mahathir kerana beliau bukan lagi pemimpin utama negara ini.

Apatah lagi kehidupan orang Melayu kini sudah bertambah baik - punya kereta, ada rumah dan tidak ada yang kelaparan. Berbeza dengan keadaan orang Melayu sebelum dan pada awal kemerdekaan negara dahulu.

Sebagai pesara, Dr. Mahathir sepatutnya tidak perlu berkecil hati dan rasa bersalah. Beliau boleh bersikap tidak ambil peduli setelah 22 tahun berkhidmat sebagai Perdana Menteri. Beliau berkhidmat untuk kita - menjaga orang Melayu; mencetuskan pelbagai peluang untuk orang Melayu menjadi senang.

Jadi benarkah - terpulang kepada kita sama ada hendak menggunakan peluang itu dengan betul atau tidak? Tidak mengapa kalau orang Melayu tidak lagi menghargai apa yang telah dilakukan beliau untuk kita. Tidak mengapa jika orang Melayu terus berpecah, ikut haluan masing-masing?

Hakikatnya Dr. Mahathir bukan seorang pesara yang sudah lanjut usia dan ingin bersenang-lenang dalam persaraannya. Beliau adalah seorang yang tidak mengerti jemu untuk meneruskan perjuangannya yang belum selesai itu demi bangsanya.

Beliau sudah berkali-kali berpesan supaya orang Melayu tidak mengkhianati bangsa sendiri.

Jangan berpecah, kelak membinasakan masa depan bangsa. Apa yang dilontarkannya dahulu, semakin hari kian ketara kesan perpecahan umat Melayu, ditambah pula faktor cubaan campur tangan kuasa asing.

Beliau kembali lagi mengulangi nasihatnya dan mengharapkan supaya orang Melayu memperbaiki kesilapan dan bangkit menjadi bangsa yang benar-benar merdeka.

Sesungguhnya tiada guna kita memberi sanjungan kepada Dr. Mahathir jika segala pesanan, nasihat, ingatan serta sifat-sifat baiknya tidak kita pedulikan.

Dalam ucapan terakhirnya pada majlis berbuka puasa bersama Presiden dan Timbalan Presiden UMNO pada 30 Oktober 2003 (sehari sebelum bersara), beliau berkata, tiada penghargaan yang lebih besar baginya melainkan orang Melayu tidak bersengketa, tapi berganding bahu meneruskan perjuangan bangsa.

Jadikanlah 'suara hati' Dr. Mahathir itu sebagai wasiat terakhir beliau untuk umat Melayu/Islam di Malaysia.

utusan online


Samad Ismail pejuang kemerdekaan, tokoh pelbagai bakat

TOKOH Wartawan Negara dan pejuang kemerdekaan, Tan Sri Abdul Samad Ismail, yang meninggal dunia semalam kerana jangkitan paru-paru, adalah seorang tokoh yang mempunyai pelbagai bakat.

Abdul Samad memulakan karier dalam bidang kewartawanan sebagai pemberita kadet Utusan Melayu semasa berusia 16 tahun, selepas menamatkan pengajian Senior Cambridge. Beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Samad menjadi wartawan terkenal, tokoh sasterawan dan pejuang Bahasa Malaysia, aktivis politik dan kesatuan sekerja, pejuang hak asasi selain menjadi pembekal senjata kepada pejuang kemerdekaan Indonesia dalam tahun 1940-an.

Beliau yang dididik oleh Abdul Rahim Kajai, menjadi editor Berita Malai pada awal usia 20-an, gabungan Utusan Melayu dan Warta Melayu semasa pendudukan Jepun dalam tahun 1940-an berikutan kematian mengejut Abdul Rahim.

Semasa pendudukan tentera Jepun, beliau dipengaruhi dalam bidang politik melalui wartawan Ibrahim Yaakob dan Kesatuan Melayu Muda dan membabitkan diri dalam perjuangan menuntut kemerdekaan Indonesia.

Allahyarham juga membabitkan diri dengan perjuangan bagi mendapatkan kemerdekaan Malaya dan menjadi anggota pengasas Parti Kebangsaan Melayu.

Selepas pendudukan Jepun pada 1946, beliau kembali kepada Utusan Melayu sebagai penolong editor dan tujuh tahun kemudian sebagai timbalan editor. Pada 1951, beliau dipenjarakan oleh pentadbiran kolonial British tanpa perbicaraan atas dakwaan terbabit dalam kegiatan komunis dan dibebaskan pada 1953.

Selepas pembebasannya, beliau menyertai Lee Kuan Yew bagi menubuhkan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan membuat draf perlembagaan dan manifesto parti itu, tetapi meninggalkanya pada 1957.

Pada tahun yang sama, beliau dihantar ke Indonesia sebagai koresponden Utusan Melayu berikutan perselisihan kecil dengan pengarah urusan dan ketua pengarang Utusan, Yusoff Ishak, menyebabkan beliau terlepas sambutan hari kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos walaupun beliau merupakan pejuang kemerdekaan negara.

Di Indonesia, beliau diterima baik oleh rakan seperjuangan termasuk Adam Malik dan berada di republik itu selama lapan bulan sebelum kembali semula ke Singapura dan menyertai New Straits Times.

Allahyarham kemudian menjadi editor penasihat sebuah akhbar baru berbahasa Melayu, Berita Harian, pada 1958 dan berpindah ke pejabat editorial akhbar itu di Kuala Lumpur.

Pada 1972, Abdul Samad, yang pada masa itu merupakan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times, mengetuai usaha menukar pemilikan operasi kumpulan itu ke tangan rakyat Malaysia.

Pak Samad seorang yang gemar membaca juga menjadi jaguh kesusasteraan Melayu dan menjadi penggerak utama dalam menubuhkan Angkatan Sasterawan 50 (Asas '50), pergerakan sastera yang berjuang untuk hak dan kebebasan orang Melayu pada 1950-an.

PenubuhanAllahyarham juga terlibat dalam menubuhkan Persatuan Penulis Nasional (Pena), Persatuan Penulis-Penulis Kebangsaan dan membantu menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sebuah institusi bahasa dan kesusasteraan pada 1956.

Walaupun sibuk dengan kehidupan sebagai wartawan, Pak Samad masih sempat menghasilkan karya tulisan antaranya termasuk 11 novel, empat buah buku mengenai kewartawanan dan penulisan dan dua antologi cerita pendek.

Antara novelnya adalah Patah Sayap, Terbang Jua dan Tembok Tidak Tinggi yang memaparkan pengalaman kehidupannya sebelum dan semasa pendudukan tentera Jepun dan sebelum beliau dipenjara.

Melalui hasil tulisannya, beliau membantu membebaskan minda orang Melayu dan menggerakkan perjuangan mendapatkan kemerdekaan daripada penjajahan.

Bagi karya kesusasteraan, Allahyarham dianugerahkan Hadiah Pejuang Sastera pada 1976 oleh Kerajaan Malaysia dan pada 1988, beliau menjadi penerima pertama anugerah Tokoh Wartawan Negara yang dianjurkan oleh Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Penerima anugerah Ramon Magsaysay bagi Kewartawanan, Kesusasteraan dan Seni Komunikasi Kreatif pada 1994 itu ditahan pada 1976 hampir lima tahun mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas dakwaan berkomplot untuk menggulingkan Kerajaan Malaysia dan Singapura.

Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri pada 1981, Abdul Samad dibebaskan daripada tahanan dan enam bulan kemudian, dalam bulan Ogos, beliau dilantik sebagai penasihat akhbar Star berbahasa Malaysia dan pada November 1982, dilantik sebagai penasihat editorial akhbar New Straits Times.

Allahyarham bersara pada 1988 selepas 48 tahun dalam dunia kewartawanan, tetapi tidak pernah duduk diam dan terus menulis, membaca dan menjadi rujukan bagi isu-isu mengenai kewartawanan dan kemerdekaan Malaysia.

Pada tahun 2000, sebuah buku mengenai beliau bertajuk A. Samad Ismail: Journalism and Politics yang disusun oleh Cheah Boon Kheng, mengandungi artikel mengenai beliau yang ditulis oleh arwah isterinya, Puan Sri Hamidah Hassan yang juga bekas pemberita, dan kawan-kawannya termasuk Allahyarham Tan Sri Melan Abdullah, telah dilancarkan.

Abdul Samad, dilahirkan pada April 18, 1924 di Singapura merupakan anak kelapan daripada 16 anak daripada pasangan keturunan Jawa, Ismail Shairazi dan Aida Abdul Majid.

Bapa beliau, seorang guru besar sebuah sekolah Melayu di Singapura juga merupakan seorang penulis dan telah menyumbang artikel dalam bahasa Melayu untuk akhbar-akhbar tempatan.

Dua daripada 10 anak Allahyarham, Maria dan Nuraina adalah bekas wartawan politik.

- Bernama

Gabungan Persatuan Pelukis Semalaysia



Api perjuangan A. Samad Ismail - Liku hidup wartawan yang sama-sama mengukir sejarah tanah air

Utusan Publications and Distributors, anak syarikat Kumpulan Utusan melancarkan buku A. Samad Ismail: Journalism and Politics, sebuah buku yang memperihalkan sumbangan Pak Samad kepada kewartawanan, pembangunan dan politik.

Buku itu disusun dan disunting oleh profesor Dr. Cheah Boon Kheng.

Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Senator Zainuddin Maidin (Zam) dalam ucapannya pada majlis itu mengenang semula api perjuangan yang dinyalakan oleh Pak Samad bersama teman-temannya di Utusan Melayu bermula pada tahun 1941.

Kepada Pak Samad yang kini berusia 76 tahun, zaman perjuangan tersebut hanya menjadi sejarah. Ia telah berlalu dan berakhir. Ia tidak akan kembali lagi.

Kepada Zam yang merupakan wartawan yang memulakan kariernya pada tahun-tahun selepas kemerdekaan - ketika Pak Samad telah menjadi semacam satu institusi dalam kewartawanan Malaysia - cuma masa berubah.

Kata Zam, api kewartawanan yang Pak Samad nyalakan 60 tahun lalu terus bersinar.

Berikut disiarkan teks ucapan Zam pada majlis itu.

DALAM memperkatakan tentang buku ini, saya tidak boleh mendakwa bahawa saya mengenali Pak Samad luar dalam kerana saya tidak pernah bekerja di bawahnya.

Pak Samad pernah mahu mengambil saya bekerja dengan Berita Harian menerusi Pengarang Beritanya, Mazlan Nordin (sekarang Datuk) pada akhir tahun 1968, malah surat tawaran tersimpan hingga sekarang ini tetapi saya tidak dapat melangkah keluar dari Utusan Melayu kerana terikat oleh rasa keagungan Utusan Melayu yang dibangunkan oleh Pak Samad sendiri dan rakan-rakan seangkatan dengannya.

Tulisan Pak Samad dalam keluaran khas Utusan Melayu 50 Tahun menepati perasaan saya pada masa itu. Katanya: "Utusan melambangkan segala yang luhur, mulia dan suci dari perjuangan bangsa.''

Saya sendiri tidak memahami walaupun Pak Samad sudah berada di luar Utusan Melayu tetapi obsesinya dengan Utusan terus terpancar dari tulisannya seolah-olah dia bekerja seumur hidup dengan Utusan. Buku ini amat jelas menampakkan perasaan Pak Samad pada Utusan.

Lalu saya bertanya dengan Pak Samad baru-baru ini. Katanya dengan terus terang, "Zam, engkau tahu, aku belajar segala-galanya di Utusan: Ibrahim Yaacob ajar aku tentang Marxism, Rahim Kajai ajar aku mencarut dan dot dot dot IX dan Yusoff Ishak ajar aku dot dot dot 3X.''

Kata pengenalan diri buku Memoir A. Samad Ismail di Singapura yang diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia mencatatkan: Samad kuat membaca dan pantas menulis. Setelah tamat Senior Cambridge pada tahun 1941 Utusan Melayu menjadi sekolah kepada Samad. Mengenali Yusoff Ishak dan Kajai, belajar menaip dan trengkas, mula merokok, mencarut, bermain terup, mendampingi perempuan, menari dan minum.

Terdedah kepada pergaulan luas bebas dengan pelbagai bangsa, golongan dan peringkat sejak menyertai Utusan Melayu sebagai pemberita pada umur 16 tahun, menyebabkan Pak Samad mencapai kematangan lebih cepat daripada orang lain termasuk kehilangan terunanya. Pada umur 20 tahun di bawah pemerintahan Jepun, beliau sudah menjadi Pengarang Warta Malaya atau Berita Malai.

Utusan Melayu tidak sahaja membesarkannya sebagai wartawan, tetapi menyumbatnya ke penjara sebelum membuangnya ke Jakarta pada tahun 1957 kerana radikalismenya dan sebelumnya dari tahun 1951 hingga 1953 ditahan British kerana disyaki sebagai komunis.

Allahyarham Ali Salim atau Jiro, salah seorang anak muridnya yang kemudian menjadi Ketua Penyunting Utusan Melayu, memberitahu saya apa Pak Samad kata kepadanya: "Sampai bila pun aku tak akan lupa ketika Hari Kemerdekaan, aku tidak ada di tanah air.''

Yusoff Ishak pengasas dan penerbit Utusan Melayu yang menghantarnya ke Jakarta kemudian dilantik oleh Lee Kuan Yew menjadi Presiden Singapura yang pertama.

Ketika saya dan Firdaus Abdullah (wartawan Berita Harian) dan lain-lain wartawan menghadiri suatu majlis cocktail di Rumah Temasik di Jalan Pekeliling yang diberikan oleh Perdana Menteri Singapura kepada wartawan-wartawan dalam bulan Disember 1964, Lee Kuan Yew apabila mengetahui Firdaus dari Berita Harian (sekarang Profesor Datuk) terus bertanya: "Samad Ismail tak datang ke?''

Apabila Firdaus jawab Samad ke Manila menjadi tetamu kepada U.S. Seventh Fleet, Lee Kuan Yew segera berkata, "Habislah rahsia Amerika dia tahu.''

Tidak lama selepas kembali daripada buangan di Jakarta, Samad menyertai Berita Harian di Kuala Lumpur sebagai pengarangnya yang pertama dan disumbat ke penjara sekali lagi pada tahun 1976 ketika beliau menjadi Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times dan dibebaskan pada tahun 1981.

Saya percaya Pak Samad tidak menyesali berada dalam dunia kewartawanan hingga hari ini kerana dorongan bapanya, keturunan Jawa campur Parsi yang autoritarian, Ismail Shirazi dan ibunya Aida Abdul Majid, Jawa totok. Sekurang-kurangnya Pak Samad di samping kena buang dan keluar masuk penjara, sebagai wartawan beliau menikmati hak istimewa yang tak bertulis - dapat melihat masalah dan pemimpin luar dan dalam, lalu menjadi manusia yang realis dan sinis dalam kehidupan kerana selalunya ternampak kelemahan di sebalik keagungan, kekotoran di sebalik keindahan dan kesyaitanan di sebalik keserbanan dan perwatakan kenabian.

Oleh kerana kita juga terasuh melihat kelemahan diri sendiri, maka itu keterbukaan wartawan melewati batas, kurang berdiplomasi dan kurang hipokrasi, mendedahkan diri sebenar seperti Pak Samad, Pak Melan dan Mazlan Nordin yang selalu berkata, we live in the glass house.

Pak Samad dilahirkan pada 18 April 1924, ibu bapanya memberikannya nama timangan Comel atas kepercayaan umurnya akan panjang kerana anak mereka yang pertama meninggal dunia ketika masih kecil.

Menurut isteri Pak Samad, Allahyarham Puan Sri Hamidah Hassan yang juga seorang wartawan, Pak Samad percaya kepada superstition.

Apabila beliau keluar daripada tahanan pada tahun 1981, Pak Samad bercadang untuk membuka restoran kerana beliau suka memasak, pandai memasak dan pernah menyertai pertandingan memasak tetapi walaupun telah mendapat persetujuan keluarga tiba-tiba diberitahu oleh ibunya bahawa keluarganya telah disumpah tujuh keturunan dalam keadaan apapun tidak boleh membuka perniagaan yang berurusan dengan beras dan daun pisang.

Yang menghairankan lagi, Pak Samad sendiri hingga hari ini percaya sumpah ini akan memakan tiga lagi keturunannya.

Maka itu kata isterinya Hamidah Hassan dalam buku ini: "A. Samad Ismail who is said to be progressive has his conservative side.''

Orang yang mengenali Pak Samad dari dekat boleh membayangkan cerita Philip Mathews bekas seorang wartawan Strait Times yang sekarang bertugas di Institut kajian Antarabangsa dan Strategik (ISIS) seperti yang diceritakan kepada saya.

Apabila Philip datang mengunjungi Pak Samad di rumahnya sehari selepas dibebaskan daripada tahanan pada tahun 1981, Philip kata apabila melihatnya: Pak Samad was jumping up and down, shouting and laughing. He greeted me with joy.

Mungkin perasaannya ketika itu ialah dia masih diterima, masih ada kawan apatah lagi yang datang itu ialah komradeship dalam bidang kewartawanan.

Di sebalik ketawa dan carutnya, semua orang tahu Pak Samad seorang yang kuat bekerja. Setelah menghadapi tugas kewar-tawanan yang memenatkan di siang hari, Pak Samad menulis lagi di rumah hingga lewat malam. Dalam pada itu beliau mempunyai 10 orang anak, lapan perempuan dan dua lelaki.

Selain menulis entah berapa banyak rencana, beliau menghasilkan 11 buah novel, lima buah cerita pendek dan beberapa buah lagi buku dan jurnal mengenai kewartawanan, sastera budaya, bimbingan penulisan dan lain-lain.

"It is this outstanding quality in A. Samad Ismail that is the facinating part of his character,'' kata Dr. Syed Husin Ali dalam tulisannya di bawah tajuk Nasionalis Tulen dalam A. Samad Ismail: Journalism and Politics.

Selepas tahanan, kata Cheah Boon Kheng, "orang memikirkan bahawa A. Samad Ismail sudah habis'' tetapi menurut Datuk Mazlan Nordin, Pak Samad segera dipanggil oleh "his boys and girls'' untuk bekerja di akhbar The Star, tetapi beliau tidak lama di Star.

Bila Tun Daim Zainuddin dipertanggungjawabkan menyusun semula The New Strait Times di bawah Fleet Group, Pak Samad dipanggil semula ke NST untuk memegang jawatan lebih tinggi daripada yang ditinggalkan. Beliau menjadi Penasihat Jabatan Pengarang NST sehingga 1988.

Tetapi dalam pilihan raya umum lalu, tenaganya telah diperlukan semula dan bila suatu lagi penyusunan berlaku di NST baru-baru ini, Pak Samad kembali semula sebagai Penasihat Jabatan Pengarang. Saya tidak tahu apa peranan Tun Daim kali ini.

Sesungguhnya obor nasionalisme yang dinyalakannya di Utusan Melayu dibawanya ke NST. Beliaulah yang menjadi mastermind kepada langkah memalaysiakan atau malaysianization Straits Times dalam tahun 1972 yang mendorong Tun Abdul Razak mengarahkan syarikat itu memindahkan ownership seluruh operasinya ke tangan anak Malaysia daripada penguasaan pengurusan orang-orang Eropah yang meneraju syarikat itu di Singapura.

Para wartawan Straits Times seiring dengan pekerja cetak melancarkan kerja go slow kerana tidak senang dengan expatriate di Jabatan Pengarang dan dalam pengurusan.

Dalam hal ini saya selaku Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) ketika itu dan Ho Sai Kong sebagai setiausaha agungnya, Philip Mathews sebagai Timbalan Presiden, Alias Rahim, C.C. Liew dan beberapa orang lagi telah berjaya mendapat kerjasama untuk tindakan serentak dengan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Cetak.

Bagaimanapun kami menghadapi masalah untuk menyampaikan sebuah memorandum mengenai kedudukan Straits Times kepada Tun Abdul Razak. Tiba-tiba Philip Mathews memberitahu suatu mesyuarat jawatankuasa NUJ bahawa semuanya telah diaturkan. Saya tahu siapa di belakangnya.

Kami menemui Tun Razak pada 5 Februari 1972 dan menyampaikan memorandum yang antara lain menyebutkan daripada 76 orang pemberita dan jurugambar di tiga akhbar Inggeris iaitu Straits Times, Star dan Malay Mail, hanya ada 12 orang Melayu dan seorang sahaja yang berijazah. Selainnya bukan Melayu dan bukan rakyat Malaysia.

Walaupun saya tidak berhubung secara langsung dengan Pak Samad ketika itu tetapi saya tahu dari mana datangnya sumber maklumat tepat kami. Ketika itu Pak Samad memangku jawatan Ketua Pengarang Straits Times kerana Lee Siew Yee bercuti di London. Di arena politik pula saingan berlaku antara Tun Abdul Razak dan Datuk Harun Idris yang berhasrat mencabarnya.

Pada majlis perasmian mesyuarat NUJ cawangan Utusan Melayu (NUJ Chapel Utusan Melayu) Datuk Harun telah membacakan ucapan yang disediakan oleh kami di Utusan yang menyeru kerajaan supaya segera mengambil alih penguasaan asing dalam akhbar-akhbar di Malaysia. Saya kira ini mendorong Pak Samad bertindak lebih cepat.

Kata Cheah: "With one bold stroke A. Samad Ismail initiated his own moves through his contact with Tun Abdul Razak and before the management knew what had hit them, the company was forced into Malaysianization.''



Buku A. Samad Ismail: Journalism and Politics ini menghimpunkan tulisan rakan sejawat dan anak didik Pak Samad dan isteri Pak Samad sendiri, Allahyarham Puan Sri Hamidah Hassan. Penulis lain ialah Pak Melan Abdullah, Adibah Amin, Usman Awang, Allahyarham Kamaluddin Muham-mad atau Keris Mas, M. Raja Kumar, Mendiang Tan Sri Lee Swee Yee, Syed Husin Ali, Ali Salim dan Ahmad Sibi. Selain itu ialah koleksi tulisan Pak Samad yang dikira terpenting.

Saya ingin berkata kepada Prof. Cheah Boon Kheng yang tidak dapat bersama kita hari ini kerana baru sahaja menjalani pembedahan jantung di Pulau Pinang bahawa: "Saudara telah menyempurnakan suatu kerja mulia yang sangat besar ertinya. Buku ini mencakupi seluruh aspek kehidupan Pak Samad yang sangat bernilai sebagai penghargaan kepada seorang wartawan negara.''

Saya ingin mengakhiri ucapan saya dengan tulisan Pak Samad sendiri yang begitu menyentuh perasaan saya di dalam keluaran khas Utusan Melayu 50 Tahun:

Kata Pak Samad: "Saya bekerja di Utusan sejak berusia 16 tahun. Anak muda seremaja itu cepat dan mudah terpengaruh dengan alam sekitar. Dan pelajaran pertama saya di Utusan ialah disiplin yang keras dari Yusoff Ishak. Dari Kajai saya belajar budaya kerja, nilai profesi saya, commitment kepada bidang hidup saya.

"Selain dari keluarga sendiri, Utusan berupa keluarga saya yang kedua. Seperti seorang ayah atau ibu yang suka mengenang anaknya yang besar dan yang sudah dewasa, seolah-olah anaknya itu masih berusia enam tahun maka begitulah saya lebih berminat melihat Utusan bukan dalam bentuk rupanya sekarang, tetapi Utusan dalam zaman remajanya dan dalam zaman kecilnya.

"Mungkin kerana saya ingin mengenangi ciri-ciri manis sahaja dari sejarah Utusan atau mungkin saya keberatan menghadapi kenyataan sebenar bahawa di sebalik yang manis terselit juga yang pahit.

"Tetapi saya akui ini adalah kelemahan saya sebagai manusia atau sebagai ayah yang hanya ingin mengenang anaknya yang sebenarnya sudah berumah tangga sekarang, ketika anaknya masih kecil lagi, ketika masih ditimangnya lagi.

"Saya tidak akan jujur kalau saya tidak mengatakan bahawa sikap dan tanggapan saya, nilai dan norma-norma saya terbentuk dalam zaman saya berjuang di Utusan.

"Zaman itu tidak akan berulang lagi. Ia telah berlalu dan berakhir. Tulisan ini sekadar satu nostalgia sahaja untuk mengenang zaman yang begitu besar ertinya pada hidup saya dan teman-teman lain.''

Memang benar Pak Samad, zaman tersebut sudah berlalu, tapi api itu terus menyala di Utusan Melayu, untuk terus meminta pengorbanan demi pengorbanan yang akan menjadi tugu-tugu sejarah keagungan dan kekeramatan sebagai akhbar perjuangan bangsa.

utusan online

Comments