Warisan : Tarian Zapin




Tarian Zapin Johor merupakan sejenis tarian rakyat Melayu tradisional. Tarian Zapin ini dipercayai berasal dari Tanah Arab yang gerakannya adalah cepat dan tidak banyak gerakan bunga tarinya. Tarian ini popular pada tahun lima puluhan (50an) dan enam puluhan (60an). Tarian Zapin Johor dikenali dalam dua bentuk iaitu Zapin Melayu dan Zapin Arab. Kedua-dua tarian ini memperlihatkan perbezaaan dari segi unsur peradaptasiannya. Secara realitinya, kedua-dua genre zapin itu berasal daripada satu keseniaan masyarakat Arab yang dibawa dari Hadramaut.

Di Johor, Malaysia, tarian Zapin yang sudah diterima sebagai seni yang berunsur Islam dan berfungsi sebagai hiburan sama ada pada upacara-upacara sekular mahupun pada sambutan hari-hari kebesaran. Namun dari segi kelembutan dan kehalusan tradisi tarian itu sendiri, Zapin Melayu Johor walaupun lahir daripada adaptasi yang dilakukan ke atas Zapin Arab secara selektif namun tidak dapat disangkal lagi tarian zapin ini memperlihatkan lebih kehalusan dan keayuan geraknya dari Tarian Zapin Arab.

Satu hal yang menarik mengenai tarian Zapin Johor ialah keupayaan mewujudkan rasa persaudaraan penari dan pemuzik serta sifat esprik decorps yang dapat dimunculkan sesama mereka sekali gus mematahkan rasa malu penari-penari apabila menari di khalayak ramai. Secara simbolik gerak tari zapin ini menampakkan kepentingan usaha bersama dan bukannya usaha individu di samping meminggirkan persaingan antara pemain dalam kumpulan mahupun antara kumpulan. Jika ditinjau daripada perspektif inilah,maka keunikan dan keistimewaan tarian Zapin Johor amat terserlah.


Tarian zapin sememangnya sudah cukup sinonim dengan negeri Johor. Tarian zapin secara tradisinya ditarikan oleh golongan lelaki sahaja dan kemudiannya setelah ia mula berkembang luas, tarian ini telah ditarikan secara berpasangan antara penari lelaki dan wanita dengan gerak tari yang melambangkan sifat-sifat diri golongan tersebut.

Struktur utama persembahan zapin Melayu ialah pembahagian persembahan kepada tiga bahagian iaitu taksim, ragam dan kopak, dan wainab. Muzik lagu yang mengiringi tarian zapin terdiri daripada lagu Lancang Kuning, Naan Sidi, Ya Salam, Zapin Budi, Zapin Pekan, Ya Ladan dan banyak lagi. Penarinya mengenakan busana baju kurung Teluk Belanga dikancing dengan butang emas ataupun suasa, kain sampin, seluar dan songkok. Penari wanita juga berbaju kurung Teluk Belanga dan sampin dagang luar, bersanggul atau bertudung dipadankan dengan aksesori rantai emas.
(Sumber: Prof. Dr. Mohd Anis Md. Nor. Latar Belakang Ringkas Tarian Zapin Johor: Nota Khusus Untuk Bengkel Kejurulatihan Tari & Kursus Pengadilan Tari 2002, Yayasan Warisan Johor.


Sejarah Tarian Zapin

Zapin dipercayai dibawa oleh mubaligh-mubaligh dari Timur Tengah kira-kira pada abad ke-15. Kebanyakan mubaligh-mubaligh dan pedagang-pedagang ini datang dari Tanah Arab dan Parsi. Di dalam dialek Yamen ia dikenali sebagai Zaffana.

Pada permulaan hanya golongan lelaki yang menyertai tarian ini. Tapi kini ia telah dimodifikasi dengan penyertaan golongan wanita.

Versi paling asas ialah gerakan mengikut alunan muzik dan kiraan 1 2 3 dan 4. Pada kiraan ke-4 kaki dilunjurkan ke belah kiraan terakhir dibuat. Ia boleh dilakukan setempat atau gerakan ke depan atau ke belakang. Semasa melakukan gerakan, kondisi tubuh penari biasanya dalam keadaan tegak dan agak mendada.

Zapin biasanya diiringi oleh beberapa instrumen muzik tradisional dan genre lagunya biasanya genre Samrah. Instrumen yang terlibat pula ialah Biola, Marwas dan Gambus.

Dalam Zapin tiada peraturan yang tetap dalam menentukan berapa orang penari yang diperlukan untuk membuat persembahan. Namun, oleh kerana penari perlu berinteraksi antara satu sama lain tarian Zapin digalakkan untuk dilakukan secara berpasangan dalam gandaan 2.

Penari-penari kemudian boleh berinteraksi dengan pasangan masing-masing dengan bergurau, mencabar atau menikmati alunan muzik dan lenggok tarian pasangan masing-masing.

Terdapat banyak bentuk tarian Zapin dan semuanya telah berevoulusi daripada ragam yang asal. Antara variasi tarian yang popular ialah Zapin Tengliu yang berasal dari Mersing. Variasi Tengliu telah diilhamkan dari para nelayan yang sering turun ke laut dan mereka manari diatas kapal dengan mengikut arus ombak laut. Kalau kita melihat variasi ini penari seolah-olah sedang menari sambil badannya terhuyung-hayang ke kiri dan kanan sambil tangannya memegang tali kapal. Gerakan variasi Tengliu banyak melakukan gerakan yang tidak disangka-sangka seperti pusingan badan dan pinggang diikuti dengan hentian mengejut dengan kaki, tangan dan bahu.

khazanah tarian rumpun Melayu yang mendapat pengaruh dari Arab. Tarian tradisional ini bersifat edukatif dan sekaligus menghibur, digunakan sebagai media dakwah Islamiyah melalui syair lagu-lagu zapin yang didendangkan. Musik pengiringnya terdiri dari dua alat yang utama yaitu alat musik petik gambus dan tiga buah alat musik tabuh gendang kecil yang disebut marwas. Sebelum tahun 1960, zapin hanya ditarikan oleh penari laki-laki namun kini sudah biasa ditarikan oleh penari perempuan bahkan penari campuran laki-laki dengan perempuan.

Tari Zapin sangat banyak ragam gerak tarinya, walaupun pada dasarnya gerak dasar zapin-nya sama, ditarikan oleh rakyat di pesisir timur dan barat Sumatera, Semenanjung Malaysia, kepulauan Riau, pesisir Kalimantan dan Brunei DarussalamAsal usul zapin ni dari tanah arab, hadralmut.

Pengaruh seni muzik seni tari, senimuzik dan gurindam arab telah menyibar ke johor melalui kawasan pesisir pantai barat johor dan ke pendalaman melalui sungai sungai bersama sama penempatan arab di kampung kampung melayu.

Namun begitu zapin melayu johor unik kerana telah menyaring kesenian arab sambil mencipa kesenian melayu dan falasafah kesenian islam.Pada zaman dahulu kesenian zapin melayu bukan hanya di persembahkan halaman atau di anjung rumah ianya juga di persekitaran masjid juga surau untuk menyambut perayaan mauliurassul s.a.w dan lain lain.

terdapat beberapa jenis zapin johor diantaranya zapin pekajang, zapin tengelu, zapin lenga dll.Zapin melayu johor pada kebiasaannya dimulakan dengan pemainan gambus permulaaan di namakan Taksim,terdapat beberapa ragam di dalam tarian zapin diantaranya ragam pusau belanak besar , ragam lompat injut, ragam kopak,ragam titi batang,ragam ayam patah, ragam pusau belanak kecil dan akhir sekali ragam wainap.

tarian zapin


Sejarah tarian bermula dari Arab Hadramaut


Zapin perlu didedahkan di peringkat kanak-kanak lagi.

JOHOR BAHRU 11 Jun - Sejarah tarian zapin dikesan bermula sejak terbentuknya kerajaan Melayu Johor selepas kejatuhan empayar Melaka pada 1511 dan ia terus berkembang sehingga kini.

Biarpun pada asalnya, tarian zapin dicipta hasil pengaruh seni gerak dan nyanyian Arab Hadramaut, namun pengaruh Melayu yang diserapkan menyebabkan gerak tari tersebut terpisah jauh dari sumber ciptaannya.

Melalui pemerintahan kerajaan Melayu Johor-Riau-Lingga, Zapin Melayu telah berkembang di alam Melayu dan dikenali dengan pelbagai nama termasuk Jipin, Jepin, Dana dan Zafin.

Tarian tersebut dipersembahkan menerusi iringan petikan gambus serta taksim di samping telangkah gendang marwas yang memberi tenaga kepada muzik yang didendangkan.

Nyanyian pada tarian itu begitu murni dengan ia dipenuhi gurindam lama bersama puji-pujian kepada Rasul dan Tuhan serta pesanan dan nasihat orang tua.

Zapin Melayu yang terkenal dengan kehalusan gerak tarinya kini menjadi identiti warisan kesenian budaya Melayu dan martabatnya yang dipandang tinggi.

Negeri Johor yang merupakan negeri utama yang mengangkat kebudayaan itu telah menghimpunkan lebih 20,000 pengamal zapin yang terdiri dari kalangan warga tua, dewasa, remaja dan kanak-kanak.

Usaha bagi menyemarakkan kebudayaan tersebut di kalangan generasi kini digalas oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ) yang berterusan menganjurkan pelbagai aktiviti bagi menyegarkan lagi warisan bangsa ini.

Berdasarkan kajian sejarah yang dilakukan oleh YWJ, tarian zapin telah berkembang di setiap daerah di negeri Johor dengan daerah-daerah tersebut mempunyai variasi tersendiri yang menjadikan ia lebih unik.

Antara variasi zapin yang dikenal pasti adalah Zapin Pekajang dari Gelang Patah, Zapin Tenglu dan Zapin Pulau dari daerah Mersing serta Zapin Tanjung Labuh dan Zapin Kores dari Batu Pahat.

Selain itu, variasi yang turut dijejaki adalah Zapin Sri Bunian dan Zapin Parit Mastar dari daerah Pontian, Zapin Dayung dari Ayer Hitam serta Zapin Lenga, Zapin Parit Bagan, Zapin Muar dan Zapin Putar Alam dari daerah Muar.

Khazanah seni budaya yang kaya ini sewajarnya terus dipertahankan memandangkan ketinggian seni tarinya turut melambangkan ketinggian budi masyarakat Melayu.

Usaha bagi mengangkat martabat tarian zapin ini secara tidak langsung dapat mengukuhkan lagi jati diri masyarakat Melayu dalam peredaran zaman moden ini.

utusan online


Wadah menyebarkan Islam

Oleh IZYAN LIYANA MOHD.DARIF



SETIAP malam selesai pak imam membaca doa, para jemaah lelaki tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya mereka meluangkan masa bersantai

seketika di perkarangan halaman masjid. Usai pak imam yang mengetuai solat sebentar duduk di suatu sudut sambil memegang gambus sesetengah jemaah lelaki mula mengambil tempat di hadapan.

Pak imam mula memetik gambus dan berqasidah dengan seni kata yang menyelitkan unsur-unsur keagamaan, budi pekerti dan puji-pujian kepada Tuhan, sementara golongan lelaki yang berdiri tadi bergerak mengikut alunan muzik.

"Inilah fenomena tarian zapin pada kurun ke-14 yang lalu. Ia kerap dimainkan selesai solat Isyak dan merupakan antara agenda hiburan yang popular bagi mengisi waktu malam yang terluang. Dahulu orang tak kata menari zapin, tetapi main zapin.

"Selain itu aktiviti main zapin ini langsung tidak melibatkan golongan wanita kerana tarian ini berasal daripada tradisi kesenian masyarakat Arab dari Yaman. Seperti yang kita tahu di sesetengah negara di Asia Barat wanita tidak mempunyai kebebasan seperti orang lelaki," jelas Pensyarah Fakulti Tari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Mohd. Seth Hamzah mengenai pengaruh zapin yang mula meluas di Tanah Melayu menerusi kedatangan mubaligh dan saudagar Arab.


SASHA turut berbangga apabila tarian zapin turut popular di kalangan kaum bukan Melayu.

Secara am, zapin bermaksud pergerakan dan langkah kaki dengan posisi kaki tertutup serta merendahkan kaki sedikit. Kebanyakan posisi badan akan bergerak bak ombak.

Bagi posisi tangan pula si penari mengamalkan gerak tari yang bermotifkan pekerjaan yang dilakukan dalam kehidupan seharian. Antaranya motif mendayung, memetik bunga atau tangan kanan mahu pun kiri berada di bahu.

Di Johor, zapin atau dalam bahasa Arab al-zalfin atau zafana terdapat dalam dua bentuk zapin yang mempraktikkan gerak tari tersendiri. Ia ialah zapin Melayu dan zapin Arab.

"Sebelum ini mudah saja untuk menentukan antara tarian zapin Melayu atau zapin Arab. Umumnya, tarian zapin Melayu ditarikan oleh orang Melayu manakala orang Arab menari zapin Arab. Tapi kini, kebanyakan masyarakat tempatan sudah beralih dan serius menari zapin Melayu berbanding zapin Arab.

"Zapin Melayu mempamerkan ragam yang lebih lembut berbanding zapin Arab kerana penari zapin Arab menari dengan bukaan, langkah yang lebih luas, tinggi dan gagah," tutur Mohd. Seth bahawa golongan wanita mula terlibat dalam tarian zapin lewat 1960-an.

GERAK tari zapin Melayu lebih lembut berbanding tarian zapin Arab.

Tambah Mohd. Seth, tarian zapin kerap dijadikan wadah menyebarkan Islam menerusi lagu-lagu berunsurkan keagamaan. Tarian itu juga terdiri daripada bermacam-macam jenis. Jenis-jenis zapin itu pula diberi sempena nama kampung atau daerah asal pembentukan zapin.

Ragam tari

Penjelasan Mohd. Seth itu pernah dialami sendiri oleh pengacara program Dansa di TV3 dan ntv7 Sasha Bashir, 29. Sasha berpeluang menemubual pencipta zapin Pulau yang hanya dikenali sebagai Pak Su Man. Memetik pengalaman Sasha dalam bukunya yang berjudul, Dansa: A Dance Journey, zapin jenis zapin Pulau diwujudkan berdasarkan hasil pemerhatian si pencipta itu terhadap gelagat dan gaya hidup penduduk pulau di daerah Mersing, Johor.

"Inilah keistimewaan zapin Melayu kerana tidak pernah lekang menyajikan bermacam-macam jenis tarian zapin yang mempunyai ragam tari yang unik dan menarik. Lazimnya, nama bagi setiap jenis tarian zapin diambil sempena nama kampung mahupun daerah yang menjadi saksi kepada pembentukan sesebuah tarian zapin ," tutur graduan Ijazah (kepujian) Seni Persembahan dari West Australian Academy of Performing Arts.

Bicara Sasha, Pak Su Man mendapat ilham mencipta ragam zapin Pulau menerusi kesopanan tingkah laku manusia secara semula jadi. Salah satunya ialah situasi dua orang yang berjalan dan berselisih di lorong yang sempit. Bagi memudahkan keadaan, salah seorang akan memberi laluan kepada seorang lagi. Tindakan berkenaan telah diterapkan dalam zapin Pulau dan dikenali sebagai ragam serong.

"Tarikan zapin Pulau terletak pada elemen gerak tarinya. Semua penari akan berpasang-pasangan dan berselang-seli bertukar arah.

SIBAI baldu antara aksesori yang menghiasi busana penari zapin.

Corak tariannya lebih kepada motif bunga," ujar Sasha kepada Kosmo! yang gembira apabila tarian zapin mula menular di kalangan orang bukan Melayu.

Sementara itu, pelajar Diploma Tari Aswara, Kimberly Yap Choy Hoong menyifatkan proses pembelajaran tarian zapin satu pengalaman yang menyeronokkan. Jika sebelum ini dia hanya mengenali zapin menerusi tontonan di layar televisyen tetapi kini dia berpeluang mempelajari selok-belok tarian zapin.

"Pada peringkat awal saya mengalami kesukaran untuk menghafal ragam (bunga tari) tarian zapin yang terlalu banyak dan berbeza mengikut jenis zapin. Apatah lagi dalam tempoh berkenaan tubuh badan saya masih kaku dan kekok untuk menari dengan iringan muzik yang didendangkan.

PENARI lelaki memakai baju Melayu dengan potongan leher teluk belanga.

"Jadi, bagi membuktikan kaum Cina juga berkebolehan mendalami tarian tradisional Melayu maka setiap pagi sebelum ke kuliah saya memperuntukkan 30 minit untuk menghafal alunan muzik zapin di dalam hati," terang Kimberly yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur.

Ternyata kaedah yang dipraktikkan itu membuahkan hasil. Dalam tempoh dua minggu saja muzik zapin sudah sebati dengan dirinya. Secara tidak langsung ia memudahkan tugasan Kimberly untuk menari mengikut alunan muzik zapin. Menariknya, kini Kimberly berjaya melunaskan tarian zapin mengikut tempo yang betul walaupun tanpa iringan muzik.

Jelas Kimberly, 19, meskipun tarian zapin sudah bertapak di Malaysia sejak kurun ke-14, namun dia mendapati zapin antara tarian klasik Melayu yang relevan dipersembahkan pada zaman ini. Kombinasi ragam lama dan baru serta suntikan muzik zapin yang lebih segar menjadikan tarian zapin semakin diminati setiap lapisan umur dan masyarakat.

Tambahnya: "Saya kagum acap kali melihat kumpulan penari cilik yang mampu menguasai tarian zapin dengan baik. Kesungguhan yang dipamerkan oleh mereka membuktikan bahawa tarian tradisional bukanlah sukar untuk dipelajari. Cuma ia perlu disusuli dengan usaha, minat dan sesi latihan yang sistematik.

Busana zapin

Bagi penuntut jurusan Diploma Tari Aswara, Nur Azreen Nizar, 19, tarian zapin kurang menekankan aspek kelembutan pada jari-jemarinya seperti yang diaplikasi pada tarian klasik lain.

GOLONGAN wanita mula aktif menyertai tarian zapin sejak empat dekad lalu.

Terang anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu, tarian zapin mengutamakan pergerakan kaki yang lincah seperti orang bersilat.

"Contohnya, tarian zapin Parit Mastar. Zapin jenis ini terletak sepenuhnya pada kuak kaki yang bertindak mengerakkan tubuh badan. Walaupun sentiasa bergerak tetapi kita perlu memastikan kaki tidak bersilang," ujar Azreen mengenai zapin Parit Mastar yang diilhamkan daripada gerak-geri penoreh getah.

Menyentuh tentang busana tarian zapin, koreografer Istana Budaya, Khalid Mohd. Nor, 34, memberitahu sungguhpun zapin mempunyai pengaruh Arab, tetapi dari segi pakaian para penari masih tampil anggun dalam persalinan pakaian tradisional Melayu.

"Bagi penari lelaki mereka lengkap berkain samping dan bersongkok tinggi. Kadangkala bagi menyerlahkan keterampilan sewaktu membuat persembahan songkok mereka akan dihiasi dengan hiasan kerongsang.

"Sementara itu, penari wanita pula kebiasaannya baju kurung dan kain sarung atau kain pelekat yang menjadi pilihan. Tidak kurang juga ada yang memakai selendang di kepala atau bunga disematkan pada sanggul.

kosmo online



Yayasan Warisan Johor kenal pasti 15 jenis zapin


TANGKAK — Johor melalui Yayasan Warisan Johor dalam kajiannya selama 15 tahun mengenal pasti 15 jenis tarian zapin untuk dikembangkan sebagai usaha menyemarakkan kegiatan seni budaya di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata bagi mencapai hasrat tersebut yayasan mengambil pendekatan melatih guru tarian zapin bagi melahirkan kumpulan tarian zapin berkualiti tinggi.

"Melalui pendekatan ini, kita telah berjaya melahirkan kumpulan tarian zapin yang mempunyai kualiti tersendiri,” katanya ketika merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya “Sentuhan Rakyat” di Kompleks Sukan Tok Laji, Kampung Kesang Tasek, Sungai Mati di sini hari ini.

Menurut beliau, kemajuan sesebuah negeri akan menjadi tempang jika tumpuan hanya diberikan kepada usaha membangun ekonomi atau yang berbentuk kebendaaan semata-mata.
Lebaran Indah Bersame Toyota Sambutlah Dengan Penuh Kemeriahan

Abdul Ghani berkata selain Zapin Johor juga berjaya menyemarakkan kumpulan ghazal dan lagu keroncong yang disiarkan melalui siaran radio Best 104 setiap hari.

"Kita mengharapkan agar penekanan akan terus diberikan dalam pembangunan bidang kesenian dan kebudayaan sebagai jati diri masyarakat di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Serom turut bersama masyarakat setempat bergotong-royong mengecat balai raya kampung tersebut. — BERNAMA

kosmo


Nilai murni melalui tarian

Tarian tradisional unik kerana sarat dengan nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati guru dan rakan.

MUNGKIN ramai melihat tarian tradisional hanyalah sekadar seni warisan negara yang harus dipertahankan agar tidak dimamah zaman dan keunikan khazanah ini sebagai tidak lebih daripada hiburan semata-mata.

Paling tipikal apabila ada antara kita begitu mudah mengklasifikasikan lemah gemalai, gerak langkah si penari tradisional ini hanyalah sebagai pelengkap kemeriahan majlis.

Lain daripada itu, tiada lagi yang menarik atau berkepentingan bagi seseorang individu itu untuk mengambil inisiatif mempelajari dan mengenal kepelbagaian seni tradisional negara.

Ibu bapa pula (bukan semua) lebih cenderung menitikberatkan ataupun mengisi jadual pembesaran anak mereka dengan kalendar akademik, bersukan tetapi menyimpulkan tiada kepentingan untuk penanaman minat mencintai seni tarian.

Namun, tanpa disedari pemahaman anda mengenai `kepentingan’ tarian hanyalah sekadar sebagai bahan tontonan sahaja. Walhal, tarian tradisional yang merangkumi kepelbagaian kaum negara ini sememangnya `kaya’ daripada pelbagai sudut.

Bukan sahaja sebagai tunjang kekuatan penonjolan identiti negara, malah tahukah anda bahawa ia juga secara implisit berperanan sebagai daya penggerak menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan generasi muda.

Penerokaan

“Tarian tradisional itu sebenarnya sangat unik dan padat, sarat dengan nilai-nilai murni seperti hormat menghormati antara guru dan rakan penari lain, bersalaman dengan mereka yang lebih tua, berdisiplin selain menyanjung tinggi warisan tradisi," kata koreografer dan penari terkenal, Dr Joseph Gonzales. Satu pendekatan sangat menarik. Di kala kerisauan melingkari ibu bapa akan pencarian kaedah terbaik dalam membentuk sahsiah murni anak mereka, mengapa tidak ditimbangkan sahaja kewajaran mempelajari tarian tradisional? Walhal, warisan yang kaya dengan nilai murni itu berada di depan mata kita sahaja tetapi dipandang sebelah mata oleh segelintir pihak kerana beranggapan ia pembaziran masa dan tidak mengikut perkembangan baru.

Sesetengah anak muda berpendapat tarian tradisional hanya sesuai bagi komuniti berstatus pakcik dan makcik sahaja tetapi tidak bagi mereka yang lebih gemar menceduk budaya barat sebagai pilihan masa kini.

Di sinilah silapnya ataupun antara satu punca kepada penyumbangan kelunturan nilai murni dalam kalangan masyarakat apabila dengan begitu mudahnya mengadaptasi budaya luar tanpa adanya persempadanan tapisan. Atas sebab itulah setiap pelajar Fakulti Tari, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) diwajibkan untuk mempelajari khazanah tarian teragung negara ini.

Mereka perlu mengenal dan boleh menari zapin, inang dan ini semua adalah antara langkah diambil bagi menyemai nilai murni dalam kalangan generasi muda menerusi tarian tradisi, kata Gonzales, yang juga Dekan Fakulti Tari, kepada Bernama.

Sahsiah individu

Agak musykil sebenarnya apabila diberitahu bahawa tarian warisan ini dapat membantu kepada proses pemupukan nilai murni dalam sahsiah seseorang individu.

Melihat kepada kelenturan badan penari tatkala mengikut rentak irama didendangkan, merungkai kepada persoalan akan di manakah terletaknya nilai murni seperti mana yang diperkatakan? Mungkin bagi mereka yang tergolong dalam kalangan "penonton biasa" yang kebetulan menikmati persembahan itu ketika menghadiri majlis tertentu tidak dapat merasakan "elemen pengajaran" di sebalik tarian tradisi itu.

Contohnya, tarian zapin. Pada pandangan mereka (penonton biasa) tarian yang berasal daripada masyarakat Arab, Hadramaut, Yaman ini yang telah diadaptasi mengikut budaya kita, hanyalah sekadar menyaksikan kehebatan penari bermain langkah.

Walhal, lagu-lagunya (tarian zapin) itu banyak berunsurkan kepada nilai keislaman, nasihat dalam hidup manusia dan budi pekerti, kata pensyarah Fakulti Tari Aswara, Mohd. Seth Hamzah.

Malah, asalan tarian tradisi itu sendiri yang dimainkan selepas selesai solat Isyak di perkarangan surau, masjid pada kurun ke-14, jelas memaparkan ia "kaya" dengan elemen kemuliaan kehidupan manusia.

“Dalam bermain Zapin, pergerakannya penuh tertib dengan kesopanan tingkah laku manusia secara semulajadi. Contohnya seperti menunduk tanda hormat, ayunan penuh kelembutan dan kehalusan gerakan langkah wanita dalam tarian zapin semuanya mempamerkan elemen murni," katanya.

Dengan mempelajari tarian Zapin sebenarnya dapat membantu menerapkan nilai murni dalam sahsiah individu, tambahnya.

Tiada noktah

Begitu indahnya mesej yang terselindung, terselirat di sebalik setiap gerakan, ayunan langkah yang terdapat dalam kepelbagaian tarian tradisi negara.

Selain memberi hiburan, ia berpotensi menyemai nilai ketimuran dalam setiap sahsiah anak muda hari ini.

Justeru, usaha berterusan perlu dilakukan dalam membuahkan rasa kecintaan golongan ini untuk mempelajari dan mengenali khazanah warisan ini.

Melihat kepentingannya yang selain daripada faktor pengekalan warisan, akademi yang bertunjangkan kepada moto “melangkah ke hadapan bersama tradisi," Aswara, telah menganjurkan persembahan tarian “Main Zapin" selama tiga hari bermula 1 Mac lepas.

Dipersembahkan oleh pelajar dan graduan Fakulti Tari akademi ini, Rektor Aswara, Prof. Dr. Mohamad Hatta Azad Khan berkata, program ini bukanlah sekadar mengaplikasi dan mempertonton nilai murni masyarakat kepada penonton.

Ini juga membantu mengeratkan silaturrahim antara guru dan pelajar.

“Dalam persembahan ini, kita dapat lihat bagaimana pelajar menari bersama pensyarah mereka. Ini antara cara untuk mendidik pelajar menghormati guru.

“Di samping itu, program ini sebagai platform mengetengahkan tarian-tarian tradisional yang belum dikenali ramai bagi memastikannya tidak pupus ditelan zaman," katanya.

Khazanah kesenian seperti tarian “Terinai" dari Perlis, Tari Inai (Kelantan), Joget Gamelan (Terengganu), Dabus (Perak) wajar dikaji dan atas sebab itulah pelajar Aswara diwajib keluar menjalankan kajian lapangan menerokai warisan berkenaan.

Biarpun mewajibkan mempelajari tarian tradisional, namun tiada sekatan ataupun halangan bagi pelajar Fakulti Tari, Aswara untuk mempelajari tarian moden, kontemporari.

Semuanya bagi memastikan warisan negara ini terus subur menongkah arus pemodenan serta sebagai medium pemangkin kepada penerapan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda. - BERNAMA

utusan online

Comments