Dua Syair




SYAIR PANDUAN UNTUK PARA REMAJA

Ingat pesanku wahai belia,
Jangan berdusta jangan perdaya,
Jangan fikir kasihkan kaya,
Jangan boros yang sia-sia.

Jangan mengata jangan mengeji,
Jangan aniaya bengis dan benci,
Jangan takbur diri dipuji,
Jangan sekali mungkir janji.

Judi dan arak jangan biasa,
Lucah dan cabul jangan selesa,
Usah bertemu ular yang bisa,
Lambat bangatnya dapat binasa.

Jalan meminjam jangan berhutang,
Jangan meminta bantu sementang,
Bergantung pada orang hendaklah pantang,
Bebas kehidupan sentiasa tatang.

Meminta jangan meminjam pun jangan,
Barang dipinjam kerap kehilangan,
Sahabat peminjam renggang di tangan,
Hutang merosakkan mut’ah pandangan.

Jangan biasakan meminta tolong,
Ke sini tersembah, ke sana terlolong,
Ikhtiar sendiri bantut bergulung,
Akhirnya kebolehan lenyap terlelong.


SYAIR DEFINISI ORANG BERAKAL

Orang berakal sangatlah mulia,
Pakaian anbia dan aulia,
Barang siapa mengikut dia,
Itulah tanda orang bahagia.

Kerana ia akalnya tajam,
Menjadi kepala bela bermacam-macam,
Jikalau mata melihatkan kejam,
Disebutlah jalannya ia tersunjam.

Telek pandangan dengan makrifat,
Sangatlah mengasihi tuan dan sahabat,
Tiada mengasihi orang yang jahat,
Takut akhirnya menjadi fazihat.

Sebagai lagi tanda berakal,
Perintah syarak tidak menyangkal,
Menjauhkan tamak hendak tawakal,
Ibanya tahu dunia tak kekal.

Jika ia dikasihi raja,
Tiadalah ia melanja-lanja,
Tiadalah menyombong pada bekerja,
Dengan taulannya bersamaan sahaja.

Apabila raja kasih sangat,
Makin itu makin ia ingat,
Segala taulannya hatinya dihambat,
Merendahkan diri serta berkhidmat.\\

Comments