catatan pulang


Sesudah segalanya tiada, terasa begitu cepat masa pergi. Segala yang pernah ada tiba-tiba lenyap dan sirna. Segala yang dulu menjadi imbau kenangan tiba-tiba hilang dari tatap mata. Begitu pantas masa meninggalkan. Ia tak akan kembali tetapi terus pergi dan menjauh.

Sesekali pulang, banyak yang bertukar dalam lingkar waktu. Orang-orang yang pernah ditemui di masjid atau kedai kopi, sudah tidak kelihatan lagi. Bertanya ke mana, rupanya mereka telah kembali untuk selama-lamanya. Bayang-bayang wajah mencair dalam baris kenangan dan mereka yang dulu pernah ketawa dan menyapa tak tertemukan lagi. Semua itu berganti, banyak wajah baru yang tidak dikenali di surau dan pasar. Rupanya mereka orang baru di sini. Kampung halaman sendiri rupanya mula dihuni mereka yang tidak dikenali. Semakin banyak deretan kawasan perumahan didirikan semakin ramai yang tak dikenali menghuni. Tapi mereka bukan lagi orang asing di sini. Mereka menetap di sini dan menjadi penghuni kampung halaman sendiri.

" Kau yang lama tak pulang. Kampung sendiri didiami orang lain", ucap kawanku bila aku bertanya nama mereka yang tak kukenali di surau sesudah terawikh.
" Kau tengok sana. Kawasan perumahan baru. Baru beberapa bulan mula diduduki. Kau ingat itu tempat apa dulu?", tanya kawanku menduga atau menyindir kebebalan aku.
" Sawah kan? " jawabku
"Huh, sawah kan. Pendek betul ingatan kau nih. Bukankah kat situ bendang luas. Ada sungai kecil mengalir tempat kita menankap anak ikan. Di sebelah utaranya kilang padi. Ada jalan kecil simpang ke sekolah tempat kau mengayuh basilkal dulu..."

Aku hanya mendengar ceritanya. Bijak dia memerangkap aku ke dalam masa lalu. Kisah kilang padi dan bendang luas serta jalan kecil untuk ke sekolah rendah. Segalanya tiba-tiba menerpa ke dalam kawah ingatanku. Aku dan Talib sama-sama berbasikal ke sekolah. Dia tinggal agak jauh dari rumahku. Dia akan menunggu aku di simpang jalan untuk sama-sama ke sekolah atau pulang. Di simpang itu kami selalu bertemu dan berpisah saban hari.


Bendang luas lenyap berganti kawasan perumahan. Agaknya lebih lumayan bagi pemilik untuk membangunkan kawasan penempatan dari mengerjakan sawah.

" Kaya la Pak Hamid ya dapat bina taman perumahan" aku menyambung.

Kawanku memandang tepat ke mataku. Aku hairan dengan tatapan matanya.

"Itulah kau kena selalu pulang. Baru tau perkembang kampung sendiri. Yang kaya bukan Pak Hamid. Pak Hamid jual tanah sawah dia dengan harga biasa kepada pemaju. Pemaju kaut untung. Bukan Pak Hamid sorang je ramai yang termakan pujuk rayu pemaju. Pak Hamid sekarang ikut anaknya ke Johor. Pemaju dah dapat semua lot tanah buat tapak perumahan. Tak ramai dari kampung kita boleh beli......"

Dia terdiam seketika. Aku menatap wajahnya. Ada perubahan ketara pada wajah Talib.

"Kenapa Lib.?"
"Terasa jugak aku. Sorang demi sorang pergi dari sini. Orang lain yang datang mengjadi penghuni baru. Harga rumah bukannya murah. Manalah orang kampung kita mampu beli. Aku sendiri nasib baik ada tanah arwah ayah tu dulu, kalau tak aku pun cabut kawan"

"Kita jadi asing di kampung sendiri" aku cuba memberi pandangan.
"Kerana orang macam kaulah. Ada kerja ada duit duduk di bandar. Kampung jadi milik orang. Esok lusa kau akan jadi orang asing di tengah-tengah kampung sendiri. Balik la tinggal kat kampung nih" nada Talib seperti kesal.

"Kerja macam aku mana ada kat sini"
"Iyalah .... tak macam aku dari kecik sampai sekarang inilah tanah yang akukenal. Salah aku jugak. Sekolah tak pandai. Bebal benar aku ni masa dulu..."
"Sudahlah Talib. Tuhan telah menetapkan nasib kita"


Talib diam seketika.

"Aku berbakti untuk kampung kita agar orang macam kau masih ada kampung"

Aku hanya diam. Malam semakin larut dan angin sejuk berhembus perlahan. Kalau tak ada Talib aku dah tak ada kawan lagi yang kukenal di kampungku sendiri......

"Jangan lupa esok nak ke hulu. Harap-harap ada la durian kunyit yang kau mahu tu. Huh, selera bukan main lagi durian biasa tak mau makan...

Talib barangkali bergurau atau menyindir aku lagi.

Comments