Selamatkan Penyu


Laung slogan ‘Selamatkan Penyu’
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

‘Tak boleh makan telur penyu sebab dah nak pupus. Jangan buang sampah tepi pantai, nanti penyu mati’.

Geli hati mendengar telatah peserta Kem Sahabatku Karah 2014 di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Melaka, baru-baru ini.

Namun, kata-kata dilaung­kan murid sekolah rendah itu benar dan penyu memang berdepan ancaman kepupusan.

Jika dibandingkan situasi lebih 50 tahun dulu, penyu kini seolah-olah merajuk naik ke pantai kerana sikap manusia yang rakus.


PENGUNJUNG cilik, Nor Saifuddin Harun, 9, melihat anak penyu karah ketika dilepaskan di Pantai Padang Kemunting, Masjid Tanah, Melaka.


Reptilia itu bukan saja dieksploitasi, malah telurnya dijadikan makanan eksotik masyarakat tempatan dan dijual untuk menjana keuntungan.


Ada juga yang mati terapung di laut selepas menjadi mangsa kemarahan nelayan kerana terperangkap dalam peralatan menangkap ikan mereka, terutama pukat dan jaring.

Hakikatnya, ketika ma­syarakat luar sibuk melaung­kan slogan ‘Selamatkan Penyu’, penduduk tempatan serta penggemar makanan eksotik rancak menyembunyikan kegiatan tidak bertang­gungjawab mereka.

Lebih teruk, ada sengaja menghilangkan jejak penyu di pantai untuk mendapatkan telur dan menyalurkan maklumat palsu kepada Jabatan Perikanan.

Namun, perkara paling memalukan apabila kita selaku rakyat Malaysia berbangga adanya penyu di perairan negara, memperkenalkan cenderahati pe­nyu, mempromosikan pakej pelancongan di lokasi pe­nyu mendarat, melancarkan kempen melindungi penyu, tetapi kita juga yang merosakkan serta membunuh kehidupan reptilia ini dalam diam.

Hal ini jelas tidak adil kepada generasi akan datang yang berkemungkinan hanya mengenal penyu daripada nama, gambar serta video kerana kepupusan haiwan vertebrata itu.


Tinggi nilai

Penyu adalah haiwan yang mempunyai cengkerang keras di bahagian belakang dengan kaki pendayung di hadapan.

Sifat ini menjadikan ­penyu sebagai haiwan yang tangkas berenang di dalam air, tetapi kekok untuk bergerak di daratan.

Ia berbeza dengan kura-kura berkaki empat yang serupa.

Tergolong dalam jenis haiwan vertebrata (bertulang belakang), penyu dikelaskan sebagai reptilia order chelonia bersama ular, cicak, kura-kura, labi-labi dan tuntung.

Uniknya, penyu juga memiliki kulit bersisik (di bahagian tidak bercengkerang), bernafas melalui paru-paru, mempunyai suhu badan mengikut persekitaran, bertelur dan dikategorikan sebagai haiwan marin.

Kajian mendapati pe­nyu wujud sejak akhir zaman Jurassic, sekitar 145 hingga 208 juta tahun, iaitu sezaman dengan dinosaur.

Penyu archelon yang bersaiz enam meter panjang atau penyu cimochelys berenang di laut silam seperti penyu masa kini.

Walaupun penyu boleh menyelam dan berada dalam air untuk tempoh yang lama, ia perlu timbul ke permukaan air untuk bernafas.

Haiwan ini hidup lama dan mengambil masa antara 20 hingga 50 tahun untuk matang mengikut spesies.

Begitupun, penyu kini berdepan risiko kepupusan disebabkan ancaman semula jadi dan manusia.


Kitaran hidup

Haiwan dilindungi ini mempunyai satu kitaran hayat yang sama. Penyu betina akan mengawan penyu jantan di laut sebelum mendarat di pantai pada waktu malam untuk bertelur.

Selepas musim bertelur, penyu akan kembali berhijrah ke kawasan makan asalnya yang jauh.

Menariknya, seekor pe­nyu betina boleh bertelur sehingga enam kali sepanjang musim. Kitaran itu akan berulang dalam tempoh dua hingga lapan tahun apabila penyu mendarat di pantai sama untuk bertelur.

Telur penyu yang baik akan menetas dalam tempoh dua bulan, bergantung ­kepada jenis penyu dan suhu ­pengeraman.

Anak penyu yang menetas akan keluar dari sarang pada waktu malam dan menuju ke laut mengikut cahaya bulan.

Pada peringkat ini anak penyu dikatakan mengalami proses ‘imprinting’ yang membolehkannya kembali semula ke pantai tempat lahirnya apabila dewasa kelak.

ORANG ramai menyaksikan pelepasan anak penyu karah di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Padang Kemunting, Masjid Tanah, Melaka.

Program pengurusan dan pemuliharaan

Di seluruh dunia, ancaman kepupusan penyu menjadi antara isu yang kerap dibincangkan pencinta alam termasuk anggota Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia.

Kedua-dua organisasi ini kerap menjalin kerjasama dan berkongsi data serta idea untuk meningkatkan usaha pemuliharaan penyu di Malaysia.

Jabatan Perikanan Tereng­ganu umpama­nya, mereka mengadakan bengkel peranti penyisih penyu (TED) di Institut Perikanan Malaysia Cendering Mei tahun lalu untuk mengekang insiden penyu mati terperang­kap di dalam pukat.

Program dengan kerjasama WWF-Malaysia itu menarik penyertaan pengusaha bot pukat tunda musim teng­kujuh dari seluruh kawasan pantai timur Semenanjung.

Pemasangan TED diberi penekanan selepas banyak penyu didapati mati di perairan Terengganu akibat aktiviti perikanan, termasuk 10 ekor tahun lalu.

Di Sabah, usaha pemuliharaan penyu mendapat kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Hasil kajian institusi pengajian tinggi itu mendapati 71.8 peratus daripada populasi penyu di Sipadan dan Mabul adalah juvana.

Ia sekali gus membuktikan usaha pemuliharaan dan melindungi penyu dijalankan kerajaan negeri bersama agensinya sejak 1960-an sangat berjaya.

Selain melancarkan ­program kesedaran, Jabatan Perikanan dengan kerjasama Kerajaan Negeri yang mempunyai pendaratan penyu untuk bertelur turut membina pusat penerangan dan pengurusan penyu.

Pusat penerangan dan pengurusan penyu ini berfungsi melaksanakan ­program publisiti, penyelidikan, penetasan dan pengurusan penyu di Cherating, Pahang; Rantau Abang, Terengganu; Kemaman, Terengganu; Pengkalan Balak, Melaka; Segari, Perak dan Pantai Kerachut, Pulau Pinang.

WWF-Malaysia menggesa pengharaman menjual dan makan telur penyu dikuatkuasakan kepada semua spesies hidupan marin itu pada 2011.

Enakmen Penyu Negeri Terengganu 1951 (pindaan 1987) yang hanya melarang penjualan telur penyu Belimbing tidak memadai.

Terbaru, Jabatan Perikanan Negeri Melaka bersama WWF-Malaysia dan Kelab Ekopelancongan Penyu Karah Lestari (KEKaL) mengadakan Kem Sahabatku Karah 2014.
Program itu dianjurkan bagi memupuk dan memberi kesedaran kepada murid mengenai kepentingan melindungi khazanah laut Melaka, terutama penyu karah.

Penolong Pegawai Perikanan (Unit Pelesenan dan Sumber) Jabatan Perikanan Negeri Melaka, Robert Leong Ho Fook berkata, negeri itu adalah lokasi pendaratan penyu terpenting di Semenanjung.

“Melaka mencatatkan lebih 300 pendaratan penyu setahun dengan jumlah tertinggi mencecah 568 pada 2011.

“Berdasarkan analisa data, jumlah pendaratan penyu meningkat setiap tiga tahun dan kita jangka tahun ini menonjolkan bacaan yang memberangsangkan berbanding 2013,” katanya.

Statistik pendaratan ­pe­nyu karah di Melaka pada 2006 hingga 2013 merekodkan sejumlah 417,130 telur daripada 3,432 pendaratan.

Begitupun, hanya 253,926 telur saja yang berjaya melalui proses penetasan dengan baik sebelum di lepaskan ke laut.


Spesies penyu di Malaysia

1. Penyu karah (eretmochelys imbricata)

Ada yang menggelar spesies ini sebagai penyu sisik. Cengkerang penyu ini keras, diselaputi sisik perang gelap yang bertindih.

Penyu ini berwarna coklat dan berada dalam kategori saiz sederhana. Ia boleh membesar sehingga 90 sentimeter dengan berat antara 35 hingga 75 kilogram.

Mulutnya menyerupai paruh helang dan makanan utama karah adalah span laut dan karangan lembut yang terdapat di kawasan terumbu karang.

Musim bertelur penyu ini adalah antara Mac dan Jun dengan purata sehingga 130 biji.

Penyu ini terdapat di Terengganu, Pahang, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak.


2. Penyu belimbing (dermochelys coriacea)

Penyu belimbing adalah spesies terbesar di dunia yang kian diancam kepupusan.
Ia satu-satunya jenis penyu yang tidak bertempurung keras. Cengkerangnya lembut dan mempunyai tujuh jaluran panjang yang terbentuk dari bahagian kepala hingga ke ekor.

Spesies unik ini boleh membesar sehingga mencecah dua meter dengan berat mencapai 600 kilogram.

Penyu ini menghabiskan hampir keseluruhan hayatnya di dalam laut lepas dan berkebolehan untuk me­nyelam sedalam 400 hingga 1,200 meter.

Dengan cengkerang unik menyerupai belimbing, warna badan kehitaman serta tompok putih, penyu ini sangat mudah dikenali.

Bahagian atas mulutnya yang melengkung memudahkan penyu ini menang—kap makanan utamanya iaitu obor-obor.

Walaupun memiliki tubuh besar, penyu ini hanya menghasilkan 60 hingga 120 biji telur saja pada suatu masa. Musim bertelur ­penyu ini adalah antara Mac hingga Ogos.

Di Malaysia, tempat utama penyu ini naik ke pantai untuk bertelur adalah di Rantau Abang, Terengganu.


3. Penyu agar (chelonia mydas)

Spesies ini turut dikenali sebagai penyu hijau kerana lemak dalam badannya.
Warna sebenar penyu ini adalah coklat tua atau kehitaman.

Ia boleh membesar sehing­ga mencapai saiz lebih satu meter dengan berat badan antara 135 hingga 270 kilogram.

Makanan utama penyu agar adalah rumpai laut dan rumpair, manakala musim bertelur spesies ini adalah antara April dan September.

Setiap kali naik ke pantai, penyu ini mampu menghasilkan 100 hingga 140 telur. Antara lokasi persinggahan penyu agar adalah Terengganu, Pahang, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.


4. Penyu lipas (lepidochelys olivecia)

Penyu ini adalah spesies terkecil di Malaysia. Ia boleh membesar sehingga 70 sentimeter dengan berat biasa­nya antara 35 hingga 50 kilogram.

Warna badannya adalah gelap atau coklat buah zaitun dan bahagian bawahnya berwarna putih.

Makanan utamanya ­adalah udang, obor-obor, ketam dan siput. Musim bertelur penyu lipas adalah dari Mac hingga Jun dengan purata mencecah 100 biji setiap kali.

Penyu ini terdapat di Pulau Pinang, Pahang dan ­Terengganu. Kini, spesies penyu itu diancam kepupusan.

myMetro


Comments