2 Jun 2014

Rahsia Kejayaan




Pelajar terbaik: Tak perlu usaha keras untuk cemerlang SPM
21 Mac 2013


KUALA LUMPUR - Tidak perlu berusaha keras tetapi perlu tahu konsep belajar secara bijak merupakan kunci kejayaan seorang pelajar mendapat keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012.

Nadine Amina Mohd Azman, 18, pelajar aliran sains tulen Sek Men Keb Aminuddin Baki di sini, berkata di samping itu, tumpuan sepenuhnya terhadap
pembelajaran di dalam kelas diikuti dengan doa banyak membantu kejayaannya.

Beliau memperolehi 8A+ dan 1A dan bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pergigian.

"Setiap hari, saya mesti mengulang kaji empat subjek dan ia telah menjadi rutin sejak di bangku sekolah rendah lagi. Saya juga banyak membuat latih tubi dan latihan menerusi kertas-kertas soalan peperiksaan lepas," katanya kepada Bernama.

Lee Tze Min dari Sek Men Keb Seri Titiwangsa di sini yang mendapat keputusan 9A pula terpaksa membahagi masa antara menolong ibu bapanya berniaga di pasar borong dan mengulang kaji pelajaran.

"Saya berharap kejayaan ini menjadi titik permulaan untuk mengubah nasib keluarga saya kepada keadaan yang lebih baik," katanya.

Katanya beliau mengulang kaji pelajaran selama empat jam sehari di samping membahagikan masa untuk membantu ibu bapanya berniaga.

Turut berkongsi kegembiraan, Liew Jia En berkata kejayaannya mendapat keputusan 9A+ didorong oleh keinginannya untuk membuktikan pelajar aliran kemanusiaan juga mampu meraih keputusan cemerlang.

"Saya bercadang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kewangan di universiti tempatan dan seterusnya menceburi diri dalam bidang perbankan,"
katanya yang merupakan satu-satunya pelajar aliran kemanusiaan mendapat keputusan cemerlang di sekolahnya.

Kegigihan anak seorang peniaga pasar borong Selayang, Lee Tze Min (he) berhasil apabila berjaya mendapat keputusan terbaik 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 yang diumumkan pagi tadi.

Beliau yang juga pelajar terbaik di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Titiwangsa di sini berkata kejayaan itu diharap dapat menjadi permulaan mengubah nasib keluarganya kepada lebih baik.

Berhasrat menjadi seorang jurutera, pelajar jurusan sains tulen di sekolah harian itu amat berpuas hati dengan keputusan 4A+ 3A dan 2A- dalam peperiksaan tersebut sekaligus meletakkan beliau sebagai pelajar terbaik keseluruhan daripada 149 calon yang mengambil peperiksaan di sekolah itu.

"Saya tidak menjangka mendapat keputusan seperti ini sebab masa peperiksaan percubaan saya dapat 6A sahaja.

"Saya amat bersyukur dengan usaha yang bersungguh dan semangat yang diberikan keluarga dan guru-guru, saya akhirnya berjaya mencapai sasaran untuk menjadi pelajar terbaik sekolah," katanya kepada Bernama semasa tinjauan SPM di sini hari ini.

Lee, 18, berkata beliau akan menyambung persekolahan ke tingkatan enam dan mahu mendapatkan kelulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) kerana peluang untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda lebih cerah serta peluang untuk memilih bidang pengajian lebih luas.

Bagi Nadine Amina Mohd Azman, 18, pelajar aliran sains tulen Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki berkata tumpuan sepenuhnya terhadap pembelajaran di dalam kelas merupakan faktor utama kejayaan beliau meraih keputusan 9A dalam peperiksaan SPM tahun lepas.

Selain itu Nadine Amina yang mendapat keputusan 8A+ dan 1A berkata usaha yang tidak putus dan sentiasa berdoa menjadi pencetus kepada kejayaannya biarpun pada mulanya, beliau hanya meraih keputusan 7A dan 2B dalam peperiksaan percubaan SPM tahun lepas.

"Setiap hari saya mesti mengulang kaji empat subjek dan dan ia telah menjadi rutin sejak di bangku sekolah rendah lagi. Biasanya, selepas peperiksaan pertengahan tahun, saya akan membuat banyak latih tubi dan membuat latihan menerusi kertas-kertas soalan peperiksaan lepas.

"Secara peribadi, saya rasa ia merupakan resipi kejayaan saya kerana kita tidak perlu berusaha keras tapi perlu tahu konsep belajar secara bijak," katanya yang bercita-cita untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pergigian suatu hari nanti.

Berkongsi kegembiraan tersebut, Liew Jia En (she),18 berkata meskipun beliau bukan daripada aliran sains tulen tetapi beliau tetap optimis membuktikan pelajar aliran kemanusiaan mampu memberi saingan dengan meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM kali ini.

Pelajar terbaik Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Titiwangsa itu merupakan satu-satunya pelajar aliran tersebut yang mendapat keputusan cemerlang 9A+.

"Saya bercadang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kewangan di universiti tempatan dan seterusnya menceburi diri dalam bidang perbankan," kata anak kepada seorang penyelia tapak pembinaan itu.

Sebagai anak sulung daripada dua beradik, K. Moohita Jazvini (she) memberikan contoh terbaik pada adiknya, K.Shabita Jazvini berusia sembilan tahun untuk belajar bersungguh-sungguh pada masa akan datang.

Beliau merupakan satu-satunya pelajar Sekolah Menengah Sains Seri Puteri mendapat keputusan cemerlang 9A+ di sini amat berpuas hati dengan kejayaan yang dicapainya hari ini.

"Saya sangat teruja kerana sebelum ini pihak sekolah mensasarkan 11 pelajar untuk meraih 9A cemerlang. Saya harap dengan kejayaan ini dapat membalas budi guru-guru dan ibu bapa yang banyak menyokong dan memberi motivasi kepada saya," kata pelajar yang bercita-cita menjadi seorang saintis itu. - Bernama

sinar harian


Kisah Di Sebalik Kejayaan Nik Nur Madihah, Pelajar Cemerlang SPM 2008
4 Jan 2012


Ketika keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 diumumkan seorang pelajar, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal membuat kejutan apabila mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2. Kejayaan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan yang hidup dalam keadaan serba kekurangan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.

Beliau yang pernah menjadi antara pelajar terbaik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat kebangsaan 2006 itu bertukar menjadi selebriti sekelip mata kerana kecemerlangannya itu.

Malah wartawan yang berpusu-pusu untuk menemu bualnya terpaksa menunggu giliran untuk memasuki rumah yang disewa bapanya dengan harga RM90 sebulan kerana ia terlalu sempit dan agak uzur.

Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar mereka sekeluarga malah bilik kecil yang dilindungi almari di ruang tamu menjadi tempat dia berehat manakala ruang tamu yang mampu memuatkan kira-kira empat orang itu menjadi bilik belajar tetapnya pada setiap hari.

WARTAWAN:
Bagaimana timbulnya idea untuk mengambil 20 mata pelajaran dalam peperiksaan SPM tahun lepas?

NIK NUR MADIHAH:
Sebelum ini jika dilihat kebanyakan pelajar cemerlang datang dari keluarga yang senang seperti anak guru, pegawai bank, oleh itu, timbul idea saya mahu buktikan kepada masyarakat bahawa anak nelayan juga mampu mencatatkan kejayaan yang cemerlang seperti orang lain. Jadi, saya mencabar diri sendiri supaya mencatat sejarah dengan 20A.

WARTAWAN:
Apakah resipi kejayaan dan bagaimana saudari belajar sehingga mencatatkan keputusan cemerlang ini?

NIK NUR MADIHAH:
Keputusan ini adalah di luar jangkaan, saya sasarkan hanya 18A. Paling penting ialah banyak berusaha dan belajar secara strategik, sekiranya timbul masalah cepat bertanya kepada guru dan selebihnya bertawakal. Strategi yang saya maksudkan ialah memberi tumpuan sepenuhnya ketika belajar kerana saya tidak mempunyai jadual belajar yang khusus seperti orang lain. Saya belajar ketika terasa mahu belajar sahaja tetapi ia berterusan.

WARTAWAN:
Siapakah di sebalik kejayaan ini dan bagaimana mereka membantu untuk kejayaan ini?

NIK NUR MADIHAH:
Ibu bapa dan guru-guru banyak memberi dorongan, tanpa mereka saya mungkin tidak mencapai kejayaan ini. Saya sebenarnya merahsiakan kepada ibu bapa bahawa saya mengambil 20 mata pelajaran dalam SPM sehinggalah keputusan peperiksaan percubaan keluar baru saya beritahu kedudukan sebenar dan mereka memberikan sokongan malah ayah memberi cabaran tambahan. Saya rahsiakan sebab saya mahu membuat kejutan. Jadi keputusan ini adalah sumbangan kecil saya kepada ibu bapa yang banyak berjasa untuk membesarkan saya.

WARTAWAN:
Dorongan guru-guru di Sekolah Menengah Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) bagaimana?

NIK NUR MADIHAH:
Amat baik, malah guru yang menyelia saya, Mohd. Razali Konok mencadangkan supaya saya berhubung dengan bekas pelajar terbaik SPM 2006, Siti Fatimah Mukhtar, selepas itu saya sentiasa berhubung dengannya untuk mendapatkan nasihat.

WARTAWAN:
Sebagai anak nelayan, bagaimana kehidupan saudari?

NIK NUR MADIHAH:
Kehidupan kami sekeluarga amat sukar, kadang-kadang tidak ada makanan. Oleh itu, sejak tahun enam saya mengamalkan puasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis. Secara purata saya akan membawa wang poket tidak sampai RM1 malah kadang-kadang tiada wang untuk makan di sekolah kerana wang yang diberikan oleh ayah hanya cukup untuk tambang bas ke sekolah kira-kira RM4 untuk pergi dan balik. Di sekolah saya hanya makan roti atau bawa bekal nasi goreng. Saya menerima semua ini dengan reda kerana faham ayah tidak mempunyai pendapatan tetap secara purata sekitar RM500 – RM700 sebulan.

WARTAWAN:
Bagaimana saudari belajar dengan keadaan rumah yang sempit dan kurang selesa ini?

NIK NUR MADIHAH:
Saya belajar di ruang tamu, Alhamdulillah tiada gangguan kerana tiga adik saya sudah besar dan dua daripadanya tinggal di asrama.

WARTAWAN:
Adakah saudari merasa rendah diri berbanding rakan-rakan lain yang lebih selesa dan mewah di sekolah?

NIK NUR MADIHAH:
Tidak, malah saya menjadikan ia satu cabaran untuk mengubah kehidupan keluarga kami. Kehidupan yang sukar terutama ketika musim tengkujuh atau bot ayah rosak menjadikan saya lebih insaf untuk berusaha bersungguh-sungguh. Pada ketika ayah tidak dapat ke laut, kami hanya makan nasi berlauk telur goreng.



WARTAWAN:
Kenapa tidak tinggal di asrama dan adakah saudari mendapat kemudahan biasiswa?

NIK NUR MADIHAH:
Kalau tinggal di asrama kos lebih tinggi, lagi pun saya lebih selesa dan tenang belajar di rumah kerana tiada gangguan walaupun rumah tidak sebesar mana. Saya tidak pernah mendapat biasiswa dari mana-mana agensi cuma sumbangan yang diberikan oleh guru-guru melalui Cikgu Razali sebanyak RM200 sebulan.

WARTAWAN:
Adakah saudari mendapat tuisyen daripada pusat tuisyen di luar sekolah bagi mata pelajaran yang tidak diajar di sekolah?

NIK NUR MADIHAH:
Tidak, ayah tidak mampu. Saya beruntung kerana sekolah menyediakan guru lain untuk lapan mata pelajaran yang tidak diajar di sekolah, saya bersama rakan-rakan akan belajar subjek tersebut pada kelas tambahan ketika cuti hujung minggu tetapi bagi mata pelajaran sastera saya belajar sendiri dan tidak pernah mengikuti kelas secara formal. Lapan subjek ini, Pendidikan Agama Islam, Prinsip Akaun, Perdagangan, Ekonomi, Tasawur Islam, Geografi, Sains dan Sastera saya belajar ketika tingkatan lima.

WARTAWAN:
Bagaimana dalam tempoh setahun saudari mempelajari semua subjek-subjek ini?

NIK NUR MADIHAH:
Seperti saya jelaskan tadi, banyak berusaha dan bertanya. Idea untuk menambah lagi mata pelajaran hanya timbul ketika tingkatan lima kerana pada tingkatan empat saya terpaksa menumpukan pada 24 mata pelajaran termasuk 12 subjek agama untuk peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU).

WARTAWAN:
Adakah saudari menjawab semua soalan mata pelajaran Sains dan Matematik seperti Fizik dan Kimia dalam bahasa Inggeris?

NIK NUR MADIHAH:
Ya, sebab lagi mudah dan ditekan oleh guru sejak awal lagi.

WARTAWAN:
Apakah hobi dan cita-cita saudari?

NIK NUR MADIHAH:
Hobi saya ialah membaca, kalau ada masa lapang saya akan membaca terutama novel tulisan Faisal Tehrani. Saya bercita-cita untuk menjadi seorang ahli fizik, disebabkan tidak ramai orang Melayu menjadi ahli fizik.

WARTAWAN:
Di mana mahu melanjutkan pelajaran?

NIK NUR MADIHAH:
Di luar negara tetapi tempat khusus atau universiti mana saya tidak kisah. Saya akan melakukan sembahyang istikharah untuk mendapat petunjuk daripada Allah SWT bagi membuat pilihan terbaik tempat melanjutkan pelajaran.



Fakta Mengenai Nik Nur Madihah

Dalam zaman serba canggih ini, Madihah tidak pernah keluar daripada Kelantan tetapi mengetahui tentang semua tempat disebabkan selalu melayari internet.

Disebabkan tidak ada duit, dia hanya melayari internet di perpustakaan awam dan membaca buku atau novel kegemarannya di situ.

Ibu bapanya mempunyai kesedaran ilmu yang tinggi, walaupun susah dan kadang-kadang terlepas makan kedua ibu bapanya mengumpul duit sedikit demi sedikit untuk membeli komputer bagi mendedahkan anak-anaknya tentang IT.

Adiknya yang ketiga merupakan pelajar tajaan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Salak Tinggi. Yang kedua belajar di Sekolah Menengah Teknik Bachok dan bekas pelajar MRSM Kota Putra.

Biar pun susah bagaimana sekali pun Madihah tidak pernah meminta-minta dan meneruskan perjalanan hidup seperti biasa malah menjadikannya sebagai satu cabaran.

Madihah seorang pendiam dan agak pemalu, sepanjang tempoh wawancara dibuat Madihah cuba menyembunyikan kesusahannya sehingga ada beberapa jawapan datang daripada ibu dan gurunya.
Madihah kata keputusan percubaan SPM nya teruk, 14 A dan 5 B.

Rumah Madihah memang sempit, hanya selesa untuk 4 orang sahaja tetapi satu yang pelik walaupun di luar sangat panas tetapi dalam rumah tidak terasa sangat walaupun bersesak dan beratap zink.
Ada sebuah universiti tempatan menawarkan tempat untuk Madihah, bukan untuk peringkat sarjana muda tetapi PhD.

Kisah kejayaan Nur Madihah membuktikan tidak kira siapa anak nelayan, anak penoreh getah, anak petani, anak peguam, anak doktor dan anak menteri semuanya boleh berjaya. Yang penting ialah berusaha dan belajar tanpa mengenal erti jemu untuk berjaya.

Tips-tips Kecemerlangan Daripada Nik Nur Madihah

Beliau menggariskan beberapa tips yang diamalkannya yang banyak membantu beliau menghadapi 20 subjek yang diambilnya. Antara yang sempat disenaraikan oleh beliau adalah seperti berikut:

  • Fokus dan beri sepenuh tumpuan semasa di dalam kelas. Para pelajar diingatkan supaya memberikan tumpuan dan tidak mudah dipesongkan dengan perkara-perkara lain semasa proses pembelajaran di dalam kelas. Sebahagian murid mungkin suka berkhayal, bersembang dan bermain-main di dalam kelas.
  • Hargai masa. Masa lebih berharga dari emas, kerana emas yang hilang masih boleh diganti tetapi yang terbuang tidak akan dapat digantikan lagi dan akan hilang buat selama-lamanya. Sikap suka bertangguh adalah sebenarnya pencuri masa.
  • Suka bertanya. Sikap suka bertanya adalah penting bagi mendapatkan penjelasan bagi mana-mana perkara yang tidak difahami. Beliau mengamalkan sikap suka bertanya terutama dalam matapelajaran mathematik dan sains.

Di antara slogan-slogan yang menjadi pegangan beliau adalah:

  • 99% dari kegagalan adalah dari mereka yang mencari-cari alasan.
  • Belajar dari kesilapan.
  • Usaha yang terbaik dan bertawakkal – Usaha tanpa tawakkal adalah kesombongan. Tawakal tanpa usaha adalah angan-angan kosong.
  • Tiada yang mustahil, Allah swt maha berkuasa.
  • Belajar atau mencari ilmu adalah tuntutan agama – jalan menuntut ilmu adalah jalan menuju syurga.

wow berita


Kejayaan Madihah dapat 20A dibukukan

Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY


 Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal menunjukkan buku Catatan Hati Nik Nur Madihah-Kesusahan Bukan Penghalang Kejayaan.

SIAPA yang tidak bangga apabila menatap kejayaan seorang gadis bernama Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, meraih 20A dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 yang diumumkan baru-baru ini.

Keinsafan juga timbul apabila masyarakat didedahkan dengan tirai kehidupan sebenar gadis tersebut yang dilahirkan di dalam sebuah keluarga yang serba kekurangan, apatah lagi si ayah hanya menjadikan laut sebagai punca rezeki bagi menyara isteri dan anak-anaknya.

Di sebalik kejayaan, kisah kecekalan dan ketabahan gadis manis itu turut menjadi bualan masyarakat. Sehinggakan ada yang tidak puas menatap dan membaca kisah hidupnya sekadar di dada akhbar.

Lantas, syarikat Hijjaz Records Publishing (HRP) menerbitkan buku berkisar perjalanan hidup dan pengalaman pelajar terbaik SPM 2008 itu. Sekali gus mampu menjadi cetusan motivasi buat semua pembaca.

Ketika ditemui pemberita, Pengarah Eksekutif Hijjaz Record Publishing, Mohd. Faizal Osman berkata, idea untuk menghasilkan buku tersebut bermula selepas beberapa wakil Hijjaz Legend Travel & Tours Sdn. Bhd. (HLTT) menemui Madihah sekeluarga bagi menyatakan jemputan menunaikan umrah pada 7 Mei ini.

"Kunjungan ke rumah Madihah kemudian disusuli pula dengan lamaran menghasilkan buku mengenai dirinya dan Madihah pun setuju dengan idea tersebut.

"Selepas menyelami dan menggali hati dan perasaan Madihah bersama pengalaman hidupnya, maka pada tanggal 16 April lahirlah buku bertajuk Catatan Hati Nik Nur Madihah - Kesusahan Bukan Penghalang Kejayaan terbitan HRP," katanya.

Menurut Faizal, buku tersebut ditulis sendiri oleh Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal bersama penulis novel terkenal, Ummu Hani Abu Hassan.

Kata Faizal, mungkin ramai menganggap kisah Madihah adalah biasa, namun seandainya dihayati, ia sebenarnya adalah satu naskah yang sarat dengan hikayat hidup dan riwayat kejayaan yang benar-benar mengagumkan.

"Melayari kepayahan di dalam hidup tidak melumpuhkan semangat beliau untuk mengejar impian, justeru amat merugikan jika kita hanya sekadar membaca berita kejayaan beliau tanpa menyusuri dan menghayati liku-liku perjalanannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran buku Catatan Hati Nik Nur Madihah - Kesusahan Bukan Penghalang Kejayaan terbitan HRP di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Hijjaz Publishing, Ismen Nadim Isam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh bapa Nik Nur Madihah, Nik Mohd. Kamal Hussein, 41, selain turut dihadiri ibunya, Mariyani Omar, 42.

Menurut Faizal, buku kelapan terbitan HRP tersebut dicetak 5,000 naskhah dan dipasarkan dengan harga RM25.90 senaskhah.

Sementara itu, meskipun tidak pernah terfikir untuk menghasilkan buku mengenai dirinya, namun bagi Madihah, buku tersebut umpama oleh-oleh buat semua pembaca yang bercita-cita untuk berjaya di dalam hidup.

Kata Madihah, buku setebal 130 muka surat itu merakamkan pelbagai pengalaman peribadi, doa dan amalan-amalan beliau sepanjang bergelar pelajar sehingga akhirnya dinobatkan sebagai pelajar terbaik SPM 2008.

Bercadang untuk melanjutkan pelajaran di dalam bidang Fizik di Jordan, Madihah berkata selain doa, beliau turut menyelitkan tips-tips pembelajaran yang berguna kepada pembaca terutama mereka yang ingin menduduki peperiksaan.

"Niat sebenar adalah untuk berkongsi pengalaman hidup dengan masyarakat, bukan untuk menagih simpati, tetapi supaya ia dijadikan pengajaran buat mereka yang mahu berjaya di dalam hidup.

"Saya harap buku ini dapat memberikan manfaat kepada pembaca, mendorong mereka memotivasikan diri dan jadikan ia sebagai panduan," ujarnya.

Selain menerima tajaan biasiswa daripada Bank Negara Malaysia (BNM), anak sulung dari empat beradik ini turut dilantik menjadi Duta Akademik Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Kejayaan yang dikecapi Madihah turut merubah hidup beliau sekeluarga apabila menerima penghargaan berupa sebuah rumah teres satu tingkat daripada kerajaan Negeri Kelantan yang dianggarkan bernilai RM100,000.

Beliau dan keluarga dijangka akan menduduki rumah baru di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa itu Jun ini.


utusan online
Kecewa keputusan SPM dorong Nur’ Ain cemerlang STPM


Nur’ Ain Yusseri (kanan) menunjukkan keputusan 4A dalam peperiksaan STPM kepada gurunya, Rafiza Ghazali di SMK Raja Chulan, Ipoh, semalam.

IPOH 7 Mac – Kecewa hanya memperoleh 1A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendorong anak seorang pembantu perubatan di sini berusaha keras sehingga muncul salah seorang pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 di negeri ini.

Malah, wajah sugul ayahnya, Yusseri Ibrahim, 47, dan air mata ibu, Khatijah Ahmad, 41, yang mengalir semasa keputusan SPM itu disampaikan dianggap sebagai satu ‘tamparan’ paling hebat buat Nur’ Ain, 20, sekali gus menguatkan azam untuk berusaha bersungguh- sungguh sehingga mendapat 4A pada STPM.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Chulan di sini itu mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dengan memperoleh A bagi keempat-empat subjek yang diambil iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu dan Sejarah.

Anak sulung daripada empat beradik itu menyifatkan kejayaannya adalah berkat usaha gigih untuk menebus kekecewaan dalam SPM lalu.

”Saya amat kecewa dengan keputusan itu (SPM). Tapi saya sedar pada masa itu saya banyak main, tidak belajar betul-betul dan hanya sibuk memikirkan tentang dunia percintaan. Kehidupan di asrama juga menyebabkan ‘aktiviti’ saya itu sukar dilihat keluarga.

”Mak menangis bila tahu saya gagal. Bekas teman lelaki saya pula masuk ke universiti dan meninggalkan saya. Ketika itulah saya nekad untuk berubah, sementelah saya anak sulung. Saya perlu menunjukkan contoh terbaik untuk dua lagi adik saya yang masih bersekolah,” kata Nur’ Ain bersemangat.


Dia merupakan antara empat pelajar sekolah tersebut yang memperolehi keputusan cemerlang 4A.

Selain Nur’ Ain, tiga lagi pelajar sekolah berkenaan yang cemerlang mendapat keputusan 4A ialah Cassandra Amrita Kaur Soba Singh 20; Lim Wah Yi, 20, dan Poon Wai Loon, 20.

Ditanya rahsia kejayaannya, Nur’ Ain yang merancang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan di Universiti Putra Malaysia (UPM) memberitahu, dia tidak mempunyai sebarang rahsia kejayaan, sebaliknya hanya memberi tumpuan penuh semasa di kelas sebelum berbincang dengan rakan-rakan.

”Saya juga memilih untuk tidur dan merehatkan diri sebaik pulang dari sekolah sebelum memulakan sesi mengulangkaji sekitar pukul 9 malam sehingga awal pagi. Jadual yang sebegini membuatkan saya lebih segar dan dapat memahami apa yang dibaca dengan mudah,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang guru.

Sementara itu, Cassandra Amrita memberitahu, fokus terhadap setiap mata pelajaran merupakan satu-satunya kunci untuk berjaya.

”Jangan terlalu stres semasa belajar, saya juga tidak menetapkan berapa jam perlu belajar selama sehari. Saya lebih selesa belajar pada waktu malam,” katanya.


pondok habib

3 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena