Puisi-Puisi Motivasi Pilihan


meraih bulan
senyumlah
malam sedang menyapa
membelai tidurmu
senyumlah
dalam mimpi bintang-bintang
meraih bulan
senyumlah usah rindu
berbagi sepi melayar sangsi
gelisah janganlah dibiar memanjat tinggi
kejauhan biarlah membuah rindu
kerana di dalam malam
akan ada angin menari
melayarkan perahu awan
akan bintang-bintang bersyair indah
bermadah berlagu di ujung kelopakmu
tenteramlah jiwa yang berkelana
malam sedang menanggalkan senyap dan tenteram
senyumlah 
rindu bertaut di bingkai mimpi

senyumlah
biar jemarimu meraih bulan
esok akan datang matahari
mengajarmu berlari 
mencari senja
malam ini aku di mimpimu
mamatahkan ketakutan
esok hitunglah lagi
perjuangan baru
kerana bulan tak selamanya
di situ menunggumu 

warnakan pagimu 
warnakan pagimu
dengan segala cahaya
yang tumbuh dari langit
resapkan kepanasan matahari
ke dalam akar semangatmu
ke permukaan teluk jiwamu
biarlah semalam meninggalkan
kita sedang mendaki hari
melangkah memenuhkan 
bingkai mimpi

bukan semuanya mudah
sebagaimana catatan yang kau ukir
pada kertas harapan
pada peta perjuangan
biarlah pagi ini memberi nafas baru
untuk kau perteguhkan tapak
membina kekuatan keyakinan
berdoalah segalanya dipermudahkan
kerana segenap harap dan harapan
mimpi dan impian
tuhanlah yang menetapkan
bagaimana berakhir semua itu

warnakan pagimu
dengan warna yang amat kauinginkan
berjanjilah untuk tidak mengalah
pada gelombang cabaran
biarlah pagi ini
tertebar warna-warna indah
dalam sejarah hidupmu

pada ketika kau luka
tak pernah kubiarkan kau begitu
berbekam duka menahan kesakitan
percayalah bahawa aku akan ada
menemanimu 
inilah waktu untuk bersama
merenung suram langit
dan menatap kepergian senja

tak pernah kubiarkan kau begitu
kerana kutahu bukan semua mudah
meleraikan kesungulan
tapi janganlah semua itu
memaksa kau menyerahkan nasib
pada seutas keperihan

jalan ini masih panjang
kepayahan hanya menguji hatimu
bagaimana kaumengumpul kekuatan
dan melawan kegundahan
tidak semua mudah bagimu
tetapi kau jangan terlalu membiarkan hatimu
cair bersama mengalirnya waktu
ini jalan payah yang perlu kita lalui
ini lorong sukar yang perlu kita tempuhi
ingatlah di hujung perjalanan ini
ada destinasi yang harus kita temui
kepedihan yang ada
tak bererti kau akan berhenti dan menyerah

marilah kugandeng tanganmu
tak ada sempurnanya kita
selain berada antara pinta takir dan pohon doa
kita terus berjalan dalam lelah dan lemah
kita lalui denai ujian ini bersama
bisikanlah ke dalam jiwamu
bahawa kau akan terus melangkah
mencari pelangi yang sering menjadi mainan mimpi

pada ketika kau luka
aku akan selalu ada
yang paling harus kau ingati
tuhan sentiasa ada di dekatmu
bermohonlah walau sebenar manapun duka
walau sekuat manapun kesakitan
padanya kita menyerahkan harapan

Comments