Kreativiti

Kreativiti, inovasi dalam pendidikan
Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom



ADA yang bertanya kepada saya jika kreativiti dan inovasi penting dalam pendidikan, mengapa ia tidak dijadikan sebagai mata pelajaran dan kurikulumnya diajar dalam bilik darjah.

Jawapannya, kreativiti dan inovasi tidak boleh diajar tetapi ia boleh diterap secara tidak langsung melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan secara terancang.

Dengan kata lain apa sahaja mata pelajaran kedua-dua elemen itu boleh diajar oleh guru melalui pendekatan pengajaran yang berpusat kepada murid atau student centre.

Pengajaran berpusat kepada murid maksudnya pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan secara dua hala iaitu guru mengajar dan murid belajar. Guru dikehendaki sentiasa mencabar keupayaan berfikir muridnya dengan menggunakan pelbagai teknik mengajar dan alat bantu pengajaran yang menarik minat murid.

Mempelbagaikan aktiviti pembelajaran seperti kuiz, forum, syarahan, bahas, membuat projek, kerja berkumpulan dan tugasan luar bilik darjah sangat digalakkan. Aktiviti tersebut akan menggalakkan murid berfikir, berbincang, membuat rujukan, menyediakan nota dan menghasilkan tugasan tersebut. Ini akan menggalakkan percambahan idea dan dapatan baru yang melibatkan unsur-unsur kreativiti dan inovasi di kalangan murid.

Sesungguhnya murid yang kreatif dan inovatif akan menjadi seorang yang sentiasa berfikir, ingin mencipta, bercita-cita besar, berani dan yakin kepada diri sendiri. Inilah ciri-ciri murid yang perlu kita lahirkan untuk menjadi warganegara bagi menghadapi cabaran masa depan terutama dalam memasuki era 2020. Bagi menanganinya tidak menghairankan mengapa kerajaan berbelanja besar dalam Bajet 2013 untuk pendidikan.

Di samping itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta kepada Kementerian Pelajaran bagi melaksanakan aktiviti latihan guru yang berfokus kepada kemahiran berfikir aras tinggi atau high order thinking skills.

Apakah sebenarnya definisi kreativiti dan inovasi itu. Kreativiti ialah suatu bentuk proses pemikiran yang mendorong mengeneralisasi idea baru. Ia melibatkan kombinasi antara idea baru dan idea lama yang diproses semula, membuat pemilihan dan menukar ganti menjadi suatu yang baru.

Sementara itu, inovasi pula merupakan suatu idea, amalan atau objek yang dianggap baru dan yang lebih baik. Inovasi dihasilkan oleh manusia kreatif yang dapat membina trend baru dan menggunakan peluang maksimum walaupun dalam ekosistem yang banyak persaingan.

Sebagai contoh jika dulu penggunaan telefon bimbit hanya sebagai alat perhubungan tetapi kini melalui inovasi ia digunakan sebagai alat hiburan, internet, kamera, penyampai maklumat, memberi pandu arah perjalanan dan membuat pelbagai pengiraan.

Guru memainkan peranan penting bagi menerapkan kedua-dua elemen dalam pengajaran mereka. Sebagai penyampai ilmu guru perlulah memiliki kemahiran tinggi bagi melakukan transformasi dalam menjana minda murid agar menjadi lebih dinamik.

Mempunyai kemahiran sedemikian akan menjadikan guru berada di tahap teratas dan akan disanjung oleh muridnya. Kualiti guru sedemikian akan membolehkan muridnya menguasai berbagai kemahiran lain seperti berfikir aras tinggi, penyelesaian masalah, berkomunikasi dan berkolaborasi dengan baik.

Peranan pengurusan sekolah tidak kurang pentingnya dalam merealisasikan elemen kreativiti dan inovasi dalam kalangan warganya. Dengan perkataan lain pengurusan sekolah juga mesti kreatif dan inovatif agar menjadi organisasi pembelajaran yang bermaklumat, menggalakkan pengembangan pengetahuan baru, berbudaya saintifik, penggunaan teknologi serta ICT secara meluas dan penggunaan tenaga sumber secara maksimum.

Pengetua dan Guru Besar bersama pengurusan tertinggi di sekolah bertanggungjawab bagi mencetuskan budaya kreativiti dan inovasi sama ada di kalangan guru atau murid. Sekolah mestilah menjadi institusi yang menggalakkan tercetusnya pendapat dan idea baru. Bagi mewujudkan suasana tersebut sekolah perlu mengurangkan kerenah birokrasi dalam pengurusan dan memberi ruang kebebasan berkarya kepada warganya.

Pihak pengurusan juga perlu menjadikan iklim sekolah yang sentiasa ceria, bersih, kemas dan bermaklumat. Sikap terbuka, mesra dan berperanan sebagai penyelesai masalah akan menjadikan guru dan murid merasa gembira dan selamat semasa mengikuti aktiviti pembelajaran.

Bagi mewujudkan suasana sedemikian pengurusan sekolah perlulah memastikan berlaku sistem komunikasi dua hala, pengaliran maklumat lebih demokratik, stail kepimpinan yang berhemah dan pembangunan insan yang harmoni.

Kepimpinan sekolah hendaklah terdiri daripada mereka yang berkebolehan dalam menguruskan organisasi pembelajaran. Selain mendapat latihan, berpengalaman dan pengetahuan yang luas dalam bidang pendidikan mereka perlu mempunyai dorongan dan komitmen yang kuat bagi membawa perubahan kepada sekolah.


Perlu ada visi dan misi, strategi dan perancangan yang baik. Bagi memastikan kejayaan perancangan tersebut mereka perlu mendapat sokongan dan kerjasama yang padu daripada seluruh warga sekolah termasuk ibu bapa.

Mempunyai ciri budaya sekolah yang menggalakkan kreativiti dan inovasi akan mendorong semangat belajar yang tinggi di kalangan murid, mempunyai daya usaha sendiri dan sentiasa berusaha mengembangkan potensi ke arah yang lebih baik.

Dengan bimbingan dan sokongan guru-guru yang dedikasi, terlatih dan profesional usaha yang dilakukan oleh murid akan membuahkan kejayaan nanti.

Keberkesanan sekolah akan terserlah jika mereka dapat menggunakan teknologi dan ICT dalam pengurusan dan dalam bilik darjah. Sebenarnya teknologi tidak dilihat sebagai alat semata-mata tetapi boleh menjadikan sistem pengurusan lebih efisien dan berkesan.

Penggunaan ICT secara meluas dapat membina imej baru dalam pengurusan organisasi yang berprestasi tinggi. Ia akan menjadikan sekolah lebih berdaya saing dan menjadi lebih produktif.

Seperti yang ditegaskan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam majlis Perhimpunan Khas Guru Malaysia pada 3 November lepas bahawa; "Guru perlu meneliti semula amalan bilik darjah yang sesuai dengan ciri serta situasi murid sekarang.

''Kreativiti dan inovasi amat dituntut untuk melahirkan generasi murid berfikiran kelas pertama dalam abad ke-21 ini untuk bersaing dalam abad penuh cabaran ini kita tiada pilihan kecuali meningkatkan keupayaan kreativiti dan inovasi. Dalam senario ini tugas guru semakin mencabar."

utusan online



Memahami Kreativiti
Azrina Binti Sobian

Kreativiti merupakan perkataan yang sangat digemari masa kini. Frasa-frasa seperti individu kreatif, hasil kreatif, budaya kreatif, kreativiti dan inovasi, pembelajararan kreatif serta kreativiti dalam organisasi merupakan antara frasa yang kerap didengari. Namun, sejauh mana kita memahami kreativiti itu sendiri sering menimbulkan persoalan. Ini kerana makna kreativiti atau kreatif sering disalahanggap, disalahguna mahupun disalahtafsir. Apatah lagi bila kita membicarakan perkara ini dari sudut keagamaan.

Secara umumnya, menurut pengkaji kreativiti terkenal, Robert J. Sternberg dalam buku bertajuk Handbook of Creativity (1999), kreativiti merupakan satu kebolehan untuk menghasilkan sesuatu yang baharu (i.e. original atau tidak dijangkakan) dan sesuai (i.e. berguna atau sesuai dengan kekangan tugas). Ini bermakna manusia menggunakan kebolehan kreatifnya untuk menghasilkan sesuatu yang baharu serta bersesuaian.

Namun, satu persoalan yang sering ditimbulkan ialah sama ada manusia benar-benar boleh melaksanakan kreativitinya. Dengan kata lain, adakah manusia sebenarnya boleh berkreativiti atau boleh mereka cipta, sedangkan perkara tersebut adalah milik Allah SWT, Tuhan yang Maha Mencipta? Seperkara lagi, jika manusia boleh mencipta, maka apakah dia boleh mencipta segala-galanya, tidak kira benda atau perkara itu baik atau sebaliknya?

Hakikatnya, Allah SWT merupakan satu-satunya Pencipta yang Maha Sempurna. Lihat sahaja tubuh badan manusia, semuanya telah diciptakan dengan sempurna tanpa cacat cela sedikit pun. Namun, dengan rahmatNya juga, Allah SWT telah menganugerahkan kebolehan mereka cipta kepada manusia. Ini bermakna manusia boleh menggunakan kreativitinya untuk menghasilkan sesuatu. Namun, ini ada syaratnya.

Syarat yang paling utama ialah, manusia boleh mereka cipta tetapi tujuan ciptaannya itu hendaklah untuk kebaikan sejagat. Misalnya menggunakan kreativitinya untuk menghasilkan ubatan untuk merawat penyakit manusia. Dengan itu, sesuatu ciptaan untuk memusnahkan serta merosakkan manusia dan kemanusiaan serta alam keseluruhannya adalah tidak dibenarkan sama sekali. Hasil kreativiti yang baik itu sebenarnya satu lambang kehambaan manusia kepada Maha Pencipta. Ini kerana, anugerah berkreativiti itu telah digunakan sebaik mungkin untuk membawa kebaikan kepada alam amanah Allah SWT ini.


Oleh itu kreativiti sangat penting. Dalam hal ini, kreativiti penting pada dua tahap iaitu di peringkat individu mahupun di peringkat masyarakat. Di peringkat individu, kreativiti penting untuk menyelesaikan masalah seharian manusia. Ini kerana, pada setiap hari kita berhadapan dengan pelbagai masalah - kecil atau besar - dan kreativiti diperlukan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Di peringkat masyarakat pula, kreativiti perlu kerana kebolehan ini akan membawa kepada penemuan-penemuan sains yang diharapkan dapat membantu manusia menjalani hidupnya dengan lebih baik dan sempurna.

Berdasarkan kenyataan ini, memang wajarlah kebolehan kreatif seseorang dipupuk. Hakikatnya, setiap manusia mempunyai kebolehan kreatif tersendiri. Dengan kata lain, setiap orang mempunyai potensi untuk berkreativiti. Namun, potensi yang ada tidak berguna jika tidak dipupuk dengan baik. Dalam hal ini, memupuk budaya kreatif sewajarnya dilaksanakan dalam dunia pendidikan. Dunia pendidikan ini pula tidak hanya terhad dalam dunia sekolah tetapi memerlukan penglibatan ibu bapa di rumah dan juga masyarakat keseluruhannya.

Dalam hal ini, pemupukan boleh dilakukan dalam pelbagai cara. Namun, dalam konteks penulisan makalah ini, penulis hanya ingin menyentuh tiga bentuk usaha sahaja. Pertamanya berkaitan dengan memberi ruang dan peluang untuk setiap individu merealisasikan kebolehan kreativitinya. Dalam hal ini, setiap individu, sama ada dalam keluarga, organisasi mahupun masyarakat, seharusnya diberi peluang untuk berkreativiti dan seterusnya diharapkan mereka akan dapat menghasilkan idea, barangan mahupun perkhidmatan yang boleh membantu kehidupan manusia.

Keduanya, kebolehan berkreativiti ini juga memerlukan sokongan tertentu. Sokongan meliputi sokongan jiwa mahupun sokongan kebendaan. Misalnya, memberi kata nasihat, tunjuk ajar mahupun menyediakan dana untuk berkreativiti. Ketiganya pula, seperti mana yang disebut di atas, kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam usaha membudayakan kreativiti.

Dalam hal ini, setiap individu dalam masyarakat perlu memahami kebolehan kreatif, potensinya serta bagaimana memupuknya. Lebih penting lagi, memahami aspirasi masyarakat tersebut untuk menjadikan kreativiti sebagai satu budaya penting dalam masyarakat itu sendiri. Berkaitan dengan ini, maka segala salah faham berkaitan kreativiti perlulah diperbetulkan.


Contoh salah faham yang lazim adalah anggapan bahawa kreativiti bermakna satu usaha yang pasti menghasilkan sesuatu dalam jangkamasa yang pendek. Sedangkan usaha kreatif untuk menghasilkan sesuatu itu akan memakan masa dan mungkin akan berhadapan dengan pelbagai kegagalan sebelum usaha tersebut menjadi kenyataan. Ini bermakna, satu usaha kreatif tidak boleh menjamin penghasilan sesuatu yang baharu pada cubaan kali pertama.

Salah faham lain adalah berkaitan dengan kefahaman bahawa penghasilan satu hasil kreatif bergantung pada hanya satu individu. Sebagai contoh, apabila adanya satu individu kreatif dalam sesebuah organisasi, dia diharapkan akan dapat menghasilkan sesuatu yang baharu demi melonjakkan organisasi tersebut ke satu tahap yang lebih baik. Hakikatnya, satu hasil kreatif terhasil dengan usaha dan kerjasama banyak pihak. Misalnya, kreativiti individu akan menghasilkan satu hasil kreatif tetapi untuk tujuan pengeluaran dan pemasaran, satu usaha kreatif yang lain turut diperlukan bagi memastikan hasil tersebut dapat dimanfaatkan oleh pengguna.

Kesimpulannya, kreativiti perlu difahami barulah kebolehan itu boleh dicapai. Paling penting adalah kefahaman di peringkat masyarakat. Jika semua ahli masyarakat memahami kreativiti maka lebih mudahlah kebolehan itu dibudayakan. Paling asas adalah keyakinan bahawa kita manusia ciptaan Ilahi yang paling bertuah kerana dianugerahkan kebolehan kreatif, maka gunakan kebolehan tersebut ke arah kebaikan sejagat.

ikim




Comments