detik terindah

Mendidik murid bermasalah 'satu detik terindah'
Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR


EMPAT Fasilinus dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor, (Dari kiri) Maizatul Akma Kamarudin, Rohazan Mohd. Shahid, Rahayu Akhehah dan Mohd. Fathudin Mohd. Aladin selepas membentangkan Linus 2.0 yang merangkumi literasi Bahasa Inggeris.

PUTRAJAYA 13 Jun - Mendidik murid-murid bermasalah dalam membaca dan mengira bukan satu perkara mudah tetapi bukan pula satu bebanan bagi sekumpulan guru yang digelar Fasilinus.

Malah mereka menyifatkan pengalaman ini sebagai satu detik terindah sepanjang bergelar warga pendidik .

Perkara itu diakui sendiri oleh dua tenaga Program Literasi dan Numerasi (Linus) yang dinamakan sebagai Fasilinus dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor, Rahayu Akhehah dan Rohazan Mohd. Shahid.

Rahayu menyifatkan tugas penuh cabaran ini sebagai satu pengalaman yang sangat berharga dalam hidupnya sebagai seorang guru.

"Murid-murid ini manusia normal seperti mana kanak-kanak lain tetapi masalah yang mereka hadapi itu telah merencatkan usaha pembelajaran mereka untuk berjaya dalam bidang akademik,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Rahayu berkata, berbekalkan iltizam dan amanah sebagai seorang guru beliau dan sembilan rakan fasilinus di Kuala Selangor berusaha membimbing murid-murid tersebut sehingga mampu membaca, mengira dan memahami menerusi 12 tahap modul Linus.

"Pernah baru-baru ini seorang murid hampir tamat tahap ke-12 Linus, tetapi apakan daya dia mengalami kemalangan sehingga menjejaskan ingatannya.

"Akhirnya kanak-kanak itu hilang ingatan dan memaksa kami memulihkannya dengan memulakan dari peringkat awal seperti yang pernah dilakukan sebelum ini. Alhamdulillah, dia beransur pulih walaupun memakan masa terlalu lama," ujarnya.

Ketika menjelaskan peranannya sebagai fasilinus, Rahayu yang berpengalaman dalam program Linus sejak lima tahun lalu berkata, bagi memastikan kelancaran program, beliau bertanggungjawab akan cuba mengenali seseorang murid terlebih dahulu sebelum mengenal pasti kelemahan dan memberi bimbingan yang sewajarnya kepada mereka.

"Hakikatnya mereka sebenarnya adalah murid normal namun agak lambat dari segi pembelajaran.

Rahayu menjelaskan Linus yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan sejak tahun 2010 telah memberi banyak manfaat kepada murid-murid bermasalah di sekolah rendah seluruh negara dalam usaha memberi pendedahan terhadap penguasaan kemahiran membaca dan mengira.

Sementara itu Rohazan berkata, inovasi alat bantu mengajar termasuk kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) banyak memudahkan murid-murid untuk belajar dengan lebih berkesan.

Katanya, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan membantu anak mereka belajar ketika di rumah supaya proses pembelajaran sentiasa berterusan memandangkan terdapat segelintir murid terbabit mempunyai masalah mudah lupa.

"Ketika murid-murid itu bersama kami, mereka ingat. Tetapi keesokannya, mereka lupa dan peranan ibu bapa itu sangat penting dalam soal ini," katanya.

Ujar beliau, bagi mengelakkan mereka lupa mengenai apa yang telah dipelajari sebelum itu, pelbagai kaedah pembelajaran digunakan seperti penggunaan senikata lagu.

"Walaupun ada di antara mereka yang tidak boleh membaca namun sekurang-kurangnya boleh mereka menghafal dengan baik,'' ujarnya.

Menerusi Linus katanya, murid digalakkan mencapai standard literasi dan numerasi di peringkat tiga tahun pertama sekolah rendah bagi mengupayakan mereka mengikuti kurikulum persekolahan pada tahun berikutnya.

Melaluinya beliau berkata, murid-murid terbabit tidak mudah hilang minat atau tercicir dalam pelajaran pada peringkat seterusnya.

utusan online


Comments