Yayasan Usman Awang ii

Yayasan Usman Awang ditubuh himpun karya untuk penyelidikan
Februari 10, 2014


Pengarah Eksekutif UA Enterprises Sdn Bhd Haslina Datuk Usman yang juga anak kepada Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Usman Awang pada sidang media 'Pertemuan Kawan-Kawan Usman Awang'. --foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sebuah badan dikenali sebagai Yayasan Usman Awang ditubuhkan hari ini bagi menghimpun karya sasterawan negara itu untuk kemudahan para pengkaji sastera dalam dan luar negara membuat penyelidikan.

Haslina Usman, anak sasterawan itu berkata, penubuhan Yayasan Usman Awang ini juga sebenarnya adalah untuk dijadikan satu 'research centre' bagi memudahkan pengkaji sastera dalam dan luar negara mencari karya sasterawan negara itu.

Bercakap di sidang media berhubung penubuhan yayasan itu di bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, Haslina berkata usaha akan dilakukan segera bagi mengumpul dan memulihara khazanah karya sasterawan itu di dalam negara dan juga yang dalam simpanan Perpustakaan Nasional Singapura.

Turut hadir Ketua Pengarah DBP Datuk Dr Awang Sariyan, Sasterawan Negara Datuk Anwar Ridhwan dan Pengarah Urusan Hai-O Enterprise Berhad Tan Kai Hee yang turut mengumumkan untuk menyumbang RM1 juta kepada Yayasan Usman Awang.

Beberapa rakan karib Usman turut hadir antaranya Senator Dr Syed Husin Ali; mantan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Tan Sri Kamarul Ariffin; dan penggiat teater tanah air, Che Shamsudin Othman atau Dinsman.

Haslina berkata beliau dan ahli jawatankuasa sementara Yayasan Usman Awang sedang menjalankan usaha mengumpul semua karya Usman melalui nama pena yang pernah digunakan tokoh itu.

"Selain Tongkat Warrant, ayah saya pernah menggunakan nama pena seperti Pengarang Muda, Manis, Zaini dan Atma Jiwa.

Jadi, karya arwah ayah saya sebenarnya banyak, setakat yang diketahui novel ada satu, puisi 200 lebih, cerpen 100 lebih dan beberapa puluh drama. Itu yang diketahui, bayangkan kalau kita mencari, banyak lagi karya arwah yang dihasilkan sejak beliau mula menulis dari muda sehingga akhir hayatnya akan ditemui," katanya.

Pada majlis itu Haslina turut mengumumkan akan mengadakan majlis Pertemuan Kawan-Kawan Usman Awang yang dianjurkan pihaknya bertujuan untuk menghimpun penggiat sastera tanah air pada Ahad ini di Dewan Bankuet, DBP di sini.

Pelbagai program bakal diisi pada majlis pertemuan itu antaranya tayangan dokumentari Usman Awang, Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang, makan malam dan deklamasi puisi Usman Awang.

astro awani



Yayasan Usman Awang dapatkan kembali hak cipta karya sastera


Syed Husin Ali (dua dari kiri) menjelaskan akan penubuhan Yayasan Usman Awang sambil diperhatikan Haslina Usman (tengah) dalam majlis Pertemuan Kawan-Kawan Usman Awang di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, kelmarin.

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Yayasan Usman Awang akan mendapatkan kembali hak cipta semua karya Sasterawan Negara itu dan mencetaknya bagi kemudahan para pengkaji sastera dalam dan luar negara.

Ketua Lembaga Amanahnya, Senator Dr. Syed Husin Ali berkata, inisiatif itu diambil selepas mendapati masih banyak karya Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang yang tidak dicetak dan tersimpan di pelbagai tempat yang belum dijumpai.

"Yayasan Usman Awang akan memastikan hak cipta semua karya Usman akan dikembalikan semula dan terpelihara atas nama beliau sendiri serta keluarganya.

"Kita juga mahu ada kajian atau penyelidikan ke atas karya sasteranya dalam konteks perkembangan sastera di Malaysia, Malaysia-Indonesia dan juga kemajuan kesusasteraan di rantau ini," katanya ketika berucap dalam majlis Pertemuan Kawan-Kawan Usman Awang di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini semalam.

Dalam pada itu, Syed Husin berkata, setakat ini pihak yayasan menerima sumbangan dana berjumlah RM1 juta daripada Pengarah Urusan Hai-O Enterprise Berhad, Tan Kai Hee.

Anak sasterawan itu, Haslina Usman pula berkata, usaha berkenaan akan dilakukan segera bagi mengumpul dan memulihara khazanah sastera bapanya supaya tidak lenyap begitu sahaja.

"Kami percaya masih banyak karya sastera ayah yang belum dicetak dan tersimpan di pelbagai tempat termasuklah dalam simpanan Perpustakaan Nasional Singapura.

"Mungkin sebelum ini kita terlepas pandang kerana ayah mempunyai hampir 12 nama samaran sebab itu saya mahu kumpulkan semula semua karya yang ditulis atas nama yang berbeza," katanya.

Semasa hayatnya, Usman menggunakan beberapa nama pena dalam setiap karyanya seperti Tongkat Warrant, Adi Jaya, Atma Jaya, Pengarang Muda, Amir, Manis, Rose Murni, Setiabudi, Zaini dan UA.

Antara sajaknya yang popular ialah Bunga Popi, Pak Utih, Duri dan Api serta Ke Makam Bonda.

utusan online


Ucapan Dr Syed Husin Ali Sambutan 30 Tahun Malam Salam Benua


SAMBUTAN 30 TAHUN MALAM SALAM BENUA
Ucapan Oleh Dr Syed Husin Ali

Kita berhimpun pada petang berbahagia ini untuk menyambut ulang tahun ke-30 Malam Salam Benua. Pada malam 22.1.1984, iaitu lebih sedikit daripada 30 tahun lalu ramai kawan-kawan Usman Awang telah berhimpun di Hotel Dayang, Petaling Jaya.

Nama Salam Benua itu diambil daripada sebuah sajak Usman Awang yang berjudul sama. Tema sajak ini ialah sokongan terhadap perjuangan tanpa mengenal sempadan untuk pembebasan, terutama sekali perjuangan rakyat Palestin. Salam Benua juga nama yang diberikan kepada kumpulan buku sajak-sajak terbaiknya dalam bahasa Melayu dan terjemahan dalam Bahasa Inggeris, yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 1982.

Tujuan himpunan itu, seperti yang dijelaskan oleh Sdr Tan Kai Hee, penganjur utamanya, ialah untuk: “Memberi peluang kepada semua kaum dan lapisan untuk mengenal Usman Awang secara lebih dekat. Di samping itu meraikan kejayaan beliau menerima Anugerah Sastera Negara bagi tahun 1983.”

Sambutan itu bukan dianjurkan oleh mana-mana pertubuhan bahkan oleh hanya beberapa orang sebagai penggerak dan pengurus. Selain Kai Hee, mereka terdiri daripada Sdr Chan Yong Sin, Dinsman dan Jomo KS. Lebih 500 orang, daripada pelbagai kaum, kebanyakannya orang Tionghua telah menghadiri himpunan itu.

Acaranya pada malam itu termasuk ucapan-ucapan oleh Usman Awang dan mengenai beliau, yang disampaikan oleh Tan Kai Hee, Dr Rajakumar serta saya sendiri. Selain itu dipersembah deklamasi sajak-sajak terpilih ciptaan Usman dan juga lakonan petikan daripada dramanya “Uda dan Dara”. Malam yang bersejarah itu mempunyai kesan mendalam kepada para hadirin, termasuk Usman Awang sendiri.

Menjelang 30 tahun, Kai Hee terutama sekali merasakan sambutan ulang tahun Salam Benua patut diadakan. Saya tahu bahawa Kai Hee mempunyai rasa kasih yang mendalam dan hormat yang tinggi terhadap Usman. Dua insan ini merupakan sahabat yang karib dan mempunyai hubungan yang agak rapat pula dalam perniagaan Hai O.

Fahamlah kita akan faktor-faktor yang mendorongkan Kai Hee. Selain itu beberapa orang sahabat Usman bersetuju dengan Kai Hee. Yang terutama di kalangan mereka ialah Chan Yong Sin. Rupa-rupanya Chan telah menyimpan hampir semua bahan yang mengisi Malam Salam Benua 30 tahun lalu.Dia hendak mengumpulkannya sebagai sebuah buku sempena sambutan 30 tahun ini.

Saya katakan beliau telah menyimpan hampir semua bahan sebab beliau tidak mempunyai naskah asal ucapan saya. Dia mempunyai dalam simpanan hanya terjemahan ucapan itu. Saya cuba mencari naskah asal tetapi gagal. Akhirnya Chan menterjemah semula ucapan itu daripada Bahasa Tionghua kepada Bahasa Malaysia, yang tidak perlu banyak saya edit. Maka dengnan itu lengkaplah buku.

Hanya selepas itu baru Koleksi Karya Malam Salam Benua, seperti yang saudara-saudari lihat hari ini dapat diterbtkan. Koleksi ini saya kira adalah lengkap dan sangat berguna, kerana bukan saja mengandungi versi yang asal dalam bahasa Melayu atau Inggeris, tetapi juga terjemahannya dalam bahasa Cina. Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada Saudara Chan.

Saya percaya kita semua bersetuju bahawa sebagai tokoh yang istimewa dan anak Malaysia yang tulen, Usman serta karyanya perlu sering dikemukankan sebagai tokoh dan bahan yang harus dan disanjungi. Apatah lagi kita lihat beliau dan karyanya sekarang semakin dilupakan, jarang dikaji di sekolah dan kurang dijual di toko-toko buku.

Usman Awang mempunyai berbelas nama samaran – antaranya Tongkat Warrant, Atma Jiwa, Adi Jaya, Setiabudi, Manis, Zaini, UA dan lain-lain. Beliau terpaksa menggunakan nama samaran sama ada untuk mengelak daripada dikesani oleh pihak penjajah waktu itu ataupun untuk mengisi ruang kosong dalam penerbitan-penerbitan yang beliau bertanggungjawab sebagai editor sasteranya.

Dengan nama Usman Awang dan Tongkat Warrant yang terpenting, beliau paling dikenali sebagai penyajak. Sajak-sajak merupakan hasil ciptaan sasteranya yang terbanyak dan mempunyai pengaruh dan impak yang berkesan sekali. Di samping itu Usman juga menulis drama, yang terkenal antaranya “Uda dan Dara” dan “Tamu Bukit Kenny”, sebuah novel – “Tulang-tulang Berserekan”, dan juga beberapa buah cerpen dan esei.

Karya-karya Usman, terutama sekali sajak-sajaknya yang kebanyakan mula-mula diterbitkan dalam mingguan akhbar Utusan Zaman dan majalah-majalah Mastika dan Dewan Sastera, mencapai mutu yang tinggi. Banyak daripadanya diterjemah ke dalam beberapa bahasa dunia, termasuk Inggeris, Cina, Rusia, Arab dan sebagainya. Beberapa daripada sajak ini dianggap sebagai bertaraf antarabangsa, setanding dengan sajak-sajak terbaik dalam dunia.

Kerana pencapaiannya dan sumbangannya sebagai sastrawan, Usman telah menerima pelbagai penghormatan dan anugerah. Yang dinilainya sekali, tidak dapat tidak, ialah Anugerah Sastera Negara dan Anugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran dalam Sastera dari Universiti Malaya. Anugerah-anugerah ini melambangkan pencapaian sangat cemerlang bagi seseorang yang mempunyai latarbelakang seperti Usman Awang.

Usman dilahirkan di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor. Beliau mencapai pendidikan di sekolah Melayu sehingga darjah VI. Beliau pernah menjadi petani dan buruh. Bahkan semasa Jepun menakluki negara ini, beliau pernah menjadi buruh paksa di Singapura. Selepas Perang Dunia II tamat, beliau bertugas sebagai seorang polis.

Semasa menjadi polis beliau menulis sajak yang pernah diterbitkan oleh Utusan Zaman. Masa itulah beliau menggunakan nama samaran Tongkat Warrant. Walaupun berkhidmat di bawah pemerintahan British ketika zaman Darurat, namun beliau mempunyai semangat yang kuat menentang penjajahan. Semangatnya mahukan kemerdekaan mendalam sekali.

Semasa bertugas sebagai polis di Melaka beliau tidak takut menyertai perhimpunan Angkatan Pemuda Insaf (API). Beliau juga pernah menolong memboloskan Abdullah C.D., seorang nasionalis yang sedang diburu oleh penjajah. Suatu ketika Usman diperintah memeriksa penumpang-penumpang sebuah bas. Beliau mengenali salah seorangnya sebagai Abdullah akan tetapi pura-pura tidak kenal. Turun daripada bas beliau memberitahu ketuanya tiada siapa yang disyaki berada dalam bas. Dengan demikian Abdullah terselamat dan masuk hutan. Beliau naik sehingga menjadi Pengerusi PKM.

Apabila Usman pindah ke Singapura untuk bekerja dengan Utusan Melayu, beliau berinteraksi rapat dengan wartawan-wartawan yang memang sudah terkenal pernah terlibat dengan gerakan politik kebangsaan progresif kiri. Antaranya Samad Ismail, Kamaluddin Muhammad dan Dahari Ali. Beliau aktif pula dalam ASAS 50, yang menganuti konsep “seni untuk masyarkat”.

Selain itu di Singapura beliau hidup dalam kawasan golongan bawahan dengan berkongsi rumah sempit beserta kawan-kawan. Beliau juga bersahabat rapat dengan beberapa orang pemimpin buruh dan pelajar universiti, yang kebanyakannya dari golongan Tionghua serta India dan mirip kepada ideologi sosialis. Antaranya, Lim Chin Siong, S. Woodhull, Rajakumar, Poh Soo Kai dan Lim Hock Siew.


Sikap dan fikiran Usman berekembang luas dan maju. Komitmen beliau meningkat dalam menentang penindasan manusia oleh manusia yang diakibatkan oleh penjajahan/imperialisme, perbezaan kelas/taraf dan juga yang berbentuk ras/kaum. Beliau menjunjung nilai-nilai keamanan, kemanusiaan, keadilan dan hormat-menghormati di antara kaum.

Dalam karya-kaya beliau, terutama sekali sajak-sajak, sering sekali terjelma nilai-nilai yang tersebut. Dari segi keamanan kita dapati misalnya daripada sajak “Bunga Popi”, yang bait akhirnya berbunyi,

Bunga popi bunga mayat prajurit bergelimpanagan,
bunga darah merah menyimbah, penuh kengerian,
kami benci pada perang penuh pembunuhan!
kami rindu pada damai sepanjang zaman.

Dari segi kemanusiaan pula kita boleh memetik satu bait daripada sajak berjudul “Darah dan Doa”,

Lagu yang kita nyanyikan: kemanusiaan dan persaudaraan
menjadi debu berterbangan kerana dunia sekarang
adalah lautan kebencian dan gunung dendam
untuk warna kulit dan faham yang berlainan.

Untuk menjelmakan perjuangan menegak keadilan, suara Usman jelas dalam bait III “Salam Benua”:

saudara memerah kaktus melumat batu
menjadikannya minuman makanan
gadis-gadis bekerja debu pasir dandannnya
anak-anak kecil menyandang senapang
saudara menghitamkan langit menyelubungi saluran minyak
sesetengahnya menyanyi di penjara
untuk pembebasan Palestin

Saya boleh mengemukakan beberapa contoh untuk menunjukkan sikap serta nilai Usman terhadap perbezaan serta permusuhan kaum atau ras. Akan tetapi saya ingin membuat petikan daripada ucapan Usman Awang semasa Malam Salam Benua, kerana ini dengan jelas dan tegas menggambarkan sikap dan nilai beliau dalam hal ini.

Katanya: “ Tidaklah perlu saya ulang-ulang lagi isi hati saya …… bahawa antara kita semua, antara kita, antara Melayu, Tionghua, India dan sebagainya tidak ada perbedaan apa-apa. Kita semuanya sama-sama sebagai rakyat, sama-sama sebagai manusia. Biarlah ia tinggal di manapun di bumi ini, di Kuala Terengganu, di Ulu Perak, di Perlis, di kaki Gunung Ledang Johor atau Batu Pahat, semuanya sama – kalau miskin memang kita sama miskin, kalau susah memang kita sama susah, kalau ketawa, kitapun sama juga bunyi ketawa kita dan sama juga panasnya air mata.

“Antara kita orang Melayu bukanlah musuh orang Tionghua, bukan juga musuh orang India. Musuh kita ialah orang atau pihak yang menindas kita, musuh kita ialah orang atau pihak yang memeras kita, musuh kita ialah orang atau pihak yang kejam dan menggunakan kuasa melakukan ketidakadilan terhadap kita semua. Inilah musuh kita – mush kita bersama.”

Betapa mulia isi hati dan naluri manusia bernama Usman Awang ini. Sangat sesuai sekali kawan-kawannya telah bersepakat dan mengambil langkah untuk menubuhkan Yayasan Usman Awang. Yayasan ini bekerjasama pula untuk membentuk Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang bagi dihadiahkan kepada tokoh atau badan yang terpilih sebagai paling banyak menyumbang melalui fikiran, penulisan dan aktivitnya kepada proses integrasi nasional.

Sesuai juga dengan sikap dan nilai Usman sepertimana dipancarkan dalam penulisan dan tindakan beliau, yang ingin mengintegrasikan pelbagai kaum agar terbentuk perpaduan atau integrasi nasional, Yayasan Usman Awang ingin menyatukan perpaduan di antara penulis-penulis. Sesuai dengan ini, Yayasan dalam masa terdekap akan menganjurkan satu perbincangan di kalangan penulis-penulis dari berbagai-bagai latar belakang untuk membentuk sebuah badan penulis pelbagai kaum.

Kami berharap akan mendapat sokongan penuh daripada semua penulis untuk mencapai tujuan ini dan menjadikan harapan kami satu kenyataan. Saya menyeru: Berilah sepenuh sokongan kepada harapan ini, yang saya percaya pasti akan diusahakan oleh Usman Awang sekiranya beliau masih ada lagi.

12hb April 2014
Kuala Lumpur

gbgerakbudaya



MELAYU

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah muaalaf bertakrif Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan

Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.

Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:

"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"


Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?

Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;

Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;

Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

-USMAN AWANG

Comments