31 May 2014

Syair




Syair Melayu - Khazanah yang perlu dipertahankan
Oleh Azman Ismail

BERDASARKAN hakikat, beberapa genre sastera tradisi Melayu mengalami kepunahan dan cenderung dilupakan masyarakat. Malah ada segelintir generasi baru sama sekali tidak mengenalinya.

Contoh yang paling mudah dan nyata ialah syair Melayu. Ia hampir tidak dapat bertahan sebagai sebuah hasil seni dan khazanah keilmuan Melayu akibat pergeseran nilai yang berkembang dalam masyarakat hari ini.

Syair kini seolah-olah kehilangan makna, sama ada sebagai hiburan, fungsi keagamaan, pendidikan dan pengukuhan sistem kekerabatan sebagaimana kedudukannya dalam masyarakat tradisional.

Sumber hiburan moden yang berasaskan teknologi digital dan sebagainya secara berleluasa mengikis nilai tradisi dan fungsi genre-genre kesenian tradisional tersebut termasuk syair.

Apa yang diperlu dilakukan oleh sarjana-sarjana tempatan supaya syair mampu mengekalkan fungsi atau setidak-tidaknya mampu bertahan sebagai khazanah kesenian dan akal budi Melayu dalam era globalisasi?

Wajarkah kita hanya mengambil sikap tunggu dan lihat ketika beberapa genre kesenian Melayu seperti Mek Mulong, Mak Yong dan Penglipur Lara telah tersungkur dimamah modenisme dan globalisasi.

Sarjana dan pengkaji kesusasteraan tradisional, Dr. Harun Mat Piah berkata, syair adalah salah sebuah daripada genre-genre puisi Melayu tradisional Nusantara yang cukup popular dan tersebar amat luas dalam kehidupan masyarakat sehari-hari.

Sebuah rangkap puisi menjelmakan pemikiran, kebijaksanaan dan kematangan akal budi Melayu dalam mengamat, mendidik serta mengkritik sesuatu secara beralas dan berlapik.

Ia sama seperti genre sastera tradisional lain seperti perumpamaan bahasa dan pantun yang mencerminkan kesopanan dan kehalusan budi masyarakat Melayu tradisional.

Perkembangan syair dalam masyarakat dan persuratan Melayu berlaku dengan pantas dan luas sama ada dari segi masa mahupun jumlah. Dan, dalam era yang boleh disebut pascamoden ini, syair masih dicipta, diterbit dan dihayati dalam pelbagai majlis adat serta aktiviti seni.

Genre puisi tersebut terus berkembang dengan pemberian pelbagai sentuhan bukan sahaja dalam aspek tema tetapi kreativiti seni, lagu dan sebagainya.

Namun, secara umumnya, jumlah khalayak yang meminati genre puisi ini masih terlalu kecil jika ia dibandingkan dengan hiburan popular yang jauh berkembang pesat di Malaysia dan Nusantara hari ini.

Oleh itu, Harun berpendapat, sesuatu perlu dilakukan dengan gigih serta berkesan supaya syair terus kekal bersaing ditengah-tengah suburnya pelbagai kesenian popular.

Antaranya, perlu ada usaha untuk mengemas dan memperkasakannya fungsi syair yang bukan sahaja sebagai sumber hiburan tetapi juga bidang falsafah, nilai-nilai moral dan akhlak, sejarah, metafizik. Malah, ia menjangkau aspek sains dan teknologi.

“Syair sebagai sebuah genre puisi dapat diabadikan dalam pelbagai bidang sekali gus memberi ruang untuk penyair, penulis, pencipta atau penggunanya untuk berkreatif dengan cukup berkesan, di samping mengekalkan ciri-ciri puisinya dari segi genre, fungsi dan cara penyampaiannya.

“Dengan demikian wajar sekali genre ini diperluas dan diberikan nafas baru sesuai dengan matlamat, wawasan dan cita rasa masyarakat, bukan hanya masyarakat Melayu tetapi juga semua warga dunia,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerjanya pada Seminar dan Bengkel Syair Melayu di Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya, baru-baru ini.

Seminar bertema Melestarikan Syair Sebagai Warisan Bangsa tersebut dirasmikan oleh Pengarah APM, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan. Beliau turut melancarkan seminar mengenai puisi Melayu tradisional.

Dalam pada itu Harun berkata, pengukuhan syair akan mampu mencipta pemahaman masyarakat terhadap fungsi dan kandungan sastera puisi tradisional tersebut sebagai sebahagian elemen pendidikan, pembinaan moral dan bahkan keagamaan.

Dalam erti kata lain, pengukuhan syair tradisional Melayu itu sejajar dengan falsafah dan keilmuan Masyarakat yang tetap berpijak pada akar budaya dan nilai-nilai luhur.

Pendapat Harun turut dipersetujui oleh dua sarjana Indonesia, Muhammad Takari Jilin Syahrial dan Fadlin Jaafar dalam kertas kerja bersama mereka.

Kedua-duanya berpendapat syair adalah salah satu hasil sastera tradisional yang juga berkembang di Sumatera Utara. Kewujudannya bukan sahaja sebagai sumber hiburan tetapi juga falsafah dan keilmuan Melayu.

“Masyarakat Melayu Sumatera Utara memiliki struktur sosial yang juga digunakan di belahan dunia Melayu lainnya seperti Malaysia, Riau dan Kalimantan. Struktur ini memberikan kesan kepada keberadaan kesenian dan sastera seperti syair tersebut,’’ kata mereka.

Jika syair menjadi milik masyarakat Melayu di Malaysia, Riau, Sumatera Utara, Aceh dan Kalimantan, kita dapat membayangkan betapa besar jumlah khalayaknya.

Bagaimanapun ia hanya bersifat teoritikal seandainya tidak ada sebarang usaha untuk memperkasa dan menggilap kembali keindahan dan ketinggian ilmu serta falsafah Melayu yang terkandung dalam puisi tradisional itu.

Seperti yang diharapkan oleh Harun, syair Melayu perlu diketengahkan dalam apa jua medium supaya ia sentiasa hidup, relevan dan diterima oleh masyarakat moden hari ini.

utusan online



Syair Singapura Terbakar

Serta terpandang api itu menjulang,
Rasanya arwahku bagaikan menghilang,
Dijilatnya rumah-rumah serta barang-barang,
Seperti anak ayam disambar helang.

Seberang-menyeberang rumah habis rata,
Apinya cemerlang, tiada membuka mata,
Bunyinya gempar terlalulah gempita,
Lemahlah tulang sendi anggota.

Pakaianku menyalah seperti kertas,
Limau manis pun meletup seperti petas,
Orang menolong pun terlalu pantas,
Merebut barang-barang terlalulah lekas.

Ringgit pun hancurlah seperti timah,
Habislah meleh ke bawah rumah,
Tidaklah tentu barang dijamah,
Pencuri pun mengangkutlah bersama-sama.

Barang yang hendak kubawa pulang,
Beberapa pinggan mangkuk, cawan dan dulang,
Sekaliannya habislah hilang,
Harapnya hatiku bukan kepalang.


Syair Al Ghafilah

Ilmu Yakin jalan syariat
Ainul Yakin jalan tarekat
Haqul Yakin jalan hakikat
Ketiganya itu dari makrifat

Syariat itu amal dan usaha
Tarekat itu tawakal dan redha
Hakikat itu hak taala
Tiada dimana tiada betapa

Syariat itu khawas dan awam
Nabi dan rasul sehingga Adam
Tarekat itu umpama kolam
Hakikat itu laut yang dalam

Syariat itu tempurung yang keras
Tarekat itu nyor diramas
Hakikat itu minyak terkeatas
Hening dan jernih tiada berhampas

Syariat itu jalan yang besar
Kiri dan kanan beberapa pasar
Tarekat jalan di dalam pagar
Hakikat itu sebenar-benar

Syariat itu kata Allah
Khitab kepada awam dan khas
Hukumnya tujuh di dalam fiqh
Kemudian beberapa cerita yang indah

Tarekat itu pekerjaan hati
Disanalah jalan ahli sufi
Tinggallah tuhan fanalah diri
Berhimpun dengan jibri dan qadri

Hakikat itu di tempat ini
Hal dan Salbiah serta Maani
Terhimpun habis kepada nafsi
Tunggal dan esa terlalu tinggi

Disinilah akal sekalinya lemah
Zat dan sifat sekalinya bersalah
Qidam dan baqa, mukhalafah
Fikir tak sampai lagi tertegah

Dalil wujud terlalu nyata
Terang benderang lagi cuaca
Wujudmu itu menunjukkan ada
Seperti kamu berkata-kata

Wujudmu itu daripada tiada
Tatkala ada siapa membawa
Beberapa nikmat padamu banyak
Sekalian itu tidakkah tampak?

Kepala nikmat itulah Iman
Ketiadaan dia jadilah syaitan
Kemudian aqal bernama budiman
Tiada akal jadilah haiwan

kemudian lagi beberapa yang besar
daripada nikmat karimmus Sattar
Syaidulmurslim Khairulbasar
Beberapa ulama’ yang muktabar

Nabi dan Rasul Syamsu Dhudha
Bintang Qutub segala ulama’
Ustaz dan syikeh umpama pelita
Sekalinya itu bernama cahaya


Syair Dandan Setia

Dendam Berahi namanya desa,
Mendam Perasat Raja Perkasa,
Rakyatnya banyak berketi laksa,
Bersuka-suka setiap masa.

Riuh-rendah nobat nafiri,
Semuanya konon berbunyi sendiri,
Hairan tercengang isi negeri,
Apakah ada demikian peri.

Air pasang penuh rata,
Melambak sampai di kakinya kota,
Bunyi-bunyian gegak gempita,
Segala bunga kembanglah rata,

Berbunyilah genta di Gunung Dendam,
Di tempat padang berbunyi meriam,
Bahananya gunung sangat menderam,
Isi negeri tercenganglah diam.

Adapun akan di dalam istana,
Permaisuri Lela Mengerna,
Di dalam kecoh terlalu kena,
Ia pun bersalin dengan sempurna.

Seorang laki-laki konon khabarnya,
Terlalu sekali baik parasnya,
Gilang-gemilang nur wajahnya,
Tak sempat disambut oleh bidannya.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena