KLIA2



Malindo Rasmi KLIA2
Oleh Mohd Husni Mohd Noor


SEPANG - Projek ikonik negara terbaru, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) memulakan operasi penuhnya secara rasminya tengah malam ini yang menyaksikan penerbangan sulungnya selamat mendarat dan berlepas, masing-masing pada lewat malam dan awal pagi nanti.

Pesawat Malindo Air 0D1027 dari Kota Kinabalu, Sabah bersama 110 penumpang selamat mendarat di Landasan 3 klia2 kira-kira jam 12.05 tengah malam.

Sementara, pesawat Cebu Pacific Airways pula berlepas dari lapangan terbang itu ke Manila kira-kira jam 1.20 pagi membawa bersama 147 penumpang.

Peristiwa bersejarah itu turut disaksikan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi; Pengerusi Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dan Pengarah Urusan MAHB Tan Sri Bashir Ahmad.


PESAWAT Malindo Air dari Kota Kinabalu selamat mendarat di KLIA2.
 FOTO Mohd Husni Mohd Noor


Terdahulu, Abdul Aziz turut menyambut ketibaan dan pelepasan penumpang, serta mengagihkan cenderahati kepada mereka.

Dalam pada itu, sebanyak empat syarikat penerbangan iaitu Malindo Air; Cebu Pacific Airways; Lion Air dan TigerAir memulakan operasi penerbangan hari ini manakala, syarikat penerbangan tambang murah tempatan, AirAsia pula akan mula beroperasi pada 9 Mei ini.

KLIA2 mampu mengendalikan sehingga 45 juta penumpang setahun, berbanding Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) yang hanya mengendalikan 15 juta penumpang setahun.

Dilengkapi kemudahan berkelas dunia, KLIA2 yang terletak 1.5 kilometer dari terminal utama KLIA menyediakan pelbagai kemudahan dan keselesaan kepada penumpang dan pengunjung termasuk 163 kedai, jambatan udara, hotel transit dengan 80 bilik, bilik menunggu tetamu khas dan penyediaan landasan ketiga yang pertama seumpamanya di rantau ini.

KLIA2 turut menampilkan hab pengangkutan pelbagai untuk bas dan teksi serta kereta api Express Rail Link (ERL) untuk kemudahan penumpang dan orang ramai.

Kemudahan lain termasuk sistem sistem pengendalian bagasi automatik, zon sokongan, kargo dan kompleks penerbangan domestik dan sebuah kompleks letak kereta yang luas.

myMetro 






Operasi klia2 bermula secara rasmi

2 Mei 2014

SEPANG: Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), terminal tambang murah terbesar dunia, memulakan operasi secara rasmi dengan ketibaan pesawat Malindo Air OD1027 dari Kota Kinabalu, Sabah, pada 12.05 tengah malam tadi.

Pesawat pertama dijadual berlepas daripada lapangan terbang berkenaan adalah pesawat Cebu Pacific Airways 5J502 ke Manila, Filipina, pada kira-kira 3.15 pagi ini. Sebanyak 110 penumpang tiba dengan penerbangan Malindo Air manakala 147 penumpang akan berlepas dengan penerbangan Cebu Pacific Airways.


Terminal klia2, yang mempunyai kapasiti mengendalikan 45 juta penumpang setahun, akan menggantikan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT).

Peristiwa yang membuka lembaran baharu dalam sejarah pengangkutan udara negara itu turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi dan Pengerusi Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB), Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Turut hadir Pengarah Urusan MAHB, Tan Sri Bashir Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharudin Abdul Rahman.

Abdul Aziz turut menyambut ketibaan dan pelepasan penumpang serta mengagihkan beg cenderahati kepada setiap penumpang.

Terdahulu, pada 10.20 malam tadi, proses pendaftaran masuk penumpang bermula dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Penumpang pertama yang mendaftar masuk pada hari pertama operasi klia2 ialah seorang pembantu rumah warga Filipina, Gemma Camarinta, 39, yang mahu pulang ke kampungnya di Bohol, Filipina.

Katanya beliau teruja untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah itu.

Gemma, yang sering menggunakan LCCT untuk balik ke kampungnya, berkata klia2 lebih selesa dan mudah untuk sampai dengan menggunakan perkhidmatan Express Rail Link (ERL) terus ke terminal.

Seorang lagi penumpang, Ace Perez, 30 berkata klia2 adalah jauh lebih baik dari segi ruang, keselesaan dan bersih berbanding terminal LCCT.

"Saya suka laluan ke klia2 kerana lebih senang sampai daripada lebuh raya. Saya gembira dengan bangunan baharu ini kerana di LCCT, saya terpaksa berjalan jauh untuk menaiki pesawat," katanya.

Sementara itu, dalam sidang media selepas ketibaan pesawat pertama itu, Abdul Aziz berkata pembukaan terminal itu berjalan lancar seperti dirancang.

"Kami telah membuktikan semua berjalan mengikut jadual seperti diumumkan sebelum ini. Kami bangga terminal ini menjadi ikon terbaru negara," katanya.

Beliau berkata kos pembinaan klia2 dalam lingkungan RM4 bilion seperti diperuntukkan sebelum ini dan sejumlah 22 juta penumpang dijangka menggunakan terminal ini pada tahun ini.

Abdul Aziz berkata kerajaan optimis lebih banyak syarikat penerbangan akan menubuhkan operasi masing-masing di sini pada masa depan.

Sementara itu, MAHB dalam kenyataan berkata syarikat penerbangan yang memulakan operasi dari klia2 hari ini ialah Malindo Air, Cebu Pacific Airways, Lion Air dan TigerAir manakala AirAsia akan berpindah ke sini sebelum 9 Mei ini.

Menurutnya, pada peringkat permulaan operasi, sejumlah 7,000 penumpang akan menggunakan klia2 setiap hari dan akan mencecah 50,000 penumpang selepas 9 Mei ini.

MAHB berkata LCCT akan menghentikan operasi selepas 9 Mei dan bagi keselesaan penumpang, perkhidmatan bas ulang-alik antara klia2 dan LCCT akan disediakan secara percuma mulai 1 hingga 15 Mei ini dengan kekerapan perjalanan setiap 15 hingga 20 minit.

Kaunter imigresen, keselamatan dan kastam di LCCT akan meneruskan perkhidmatan masing-masing sehingga 9 Mei ini dan penumpang dinasihatkan supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing bagi mengesahkan butiran penerbangan bagi mengelak sebarang kesulitan. - BERNAMA

berita harian



Operasi AirAsia, AirAsia X di KLIA2 bermula 9 Mei


Kuala Lumpur: Penerbangan AirAsia dan AirAsia X masih beroperasi dari Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) dari 2 hingga 8 Mei kerana operasi kedua-dua syarikat penerbangan itu hanya akan bermula di KLIA2 pada 9 Mei nanti.

Bagaimanapun, beberapa penerbangan AirAsia (AK) (antarabangsa & domestik) akan mendarat terus di KLIA2 pada 8 Mei dan penumpang dinasihatkan merujuk kepada airasia.com/klia2 bagi senarai penerbangan terbabit.

“Penumpang akan dimaklumkan menerusi e-mel dan SMS.

Sehubungan itu, AirAsia amat menggalakkan semua penumpang mengemaskinikan profil ahli AirAsia mereka bagi memastikan syarikat penerbangan dapat menghubungi mereka,” menurut kenyataan media, semalam.

Semua penerbangan AirAsia X (D7) masih berlepas dan tiba di LCCT pada 8 Mei, termasuk penerbangan yang berlepas pada awal pagi 9 Mei (D7 236 ke Perth jam 12.50 pagi), D7 532 ke Osaka (jam 1 pagi), D7 512 ke Busan (jam 1.15 pagi) dan D7 170 ke Jeddah (jam 2.35 pagi).

Selepas perpindahan AirAsia dari LCCT ke KLIA2 pada 9 Mei, penumpang dengan penerbangan yang berlepas dari lapangan terbang baru itu dinasihatkan tiba tiga jam lebih awal sebelum masa berlepas dijadualkan (STD) dan menyelesaikan semua urusan perjalanan seawal mungkin.

Daftar masuk layan diri tersedia dari tempoh 14 hari dan sehingga sejam sebelum perlepasan bagi semua penerbangan AirAsia dan sehingga empat jam sebelum perlepasan bagi penerbangan AirAsia X.

myMetro
sejenak KLIA2

















Comments

Post a Comment