6 May 2014

Awang Had Salleh : Cendikiawan Melayu



 Awang Had Salleh
24 Jun 1934 – 1 Julai 2013

Awang Had Salleh meninggal
Oleh NAZMIL NASIRUDDIN


Muhyiddin Yassin (tiga dari kanan) menunaikan solat jenazah Allahyarham Awang Had Salleh yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra, Abd. Manaf Mat di Putrajaya, semalam.
 Utusan/Zaki Amiruddin

PUTRAJAYA 1 Julai - Tokoh akademik dan sasterawan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Awang Had Salleh, 79, meninggal dunia kira-kira pukul 3 pagi ini akibat komplikasi paru-paru di Hospital Putrajaya di sini.

Allahyarham diserang angin ahmar sejak lapan tahun lalu dan turut mengidap kencing manis.

Jenazah Allahyarham dibawa ke rumah anak perempuannya, Datin Norazlina yang juga isteri Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Salmah Abu Bakar, 69, serta tujuh orang anak iaitu lima lelaki dan dua perempuan.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Selatan, Presint 20, selepas solat zuhur.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara kenamaan yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada pencinta ilmu itu.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Sementara itu, Muhyiddin menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada negara kerana banyak sumbangan yang dicurahkan sepanjang hayat beliau kepada negara terutama dalam bidang bahasa dan kebudayaan.

Selain itu, katanya, Allahyarham juga pernah memegang jawatan penasihat khas kepada Kementerian Pendidikan.

"Negara amat menghargai sumbangannya. Saya ucapkan takziah dan doakan supaya keluarga Allahyarham tabah menghadapi cabaran ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas solat jenazah di Masjid Putra di sini.

Awang Had pernah menjadi Naib Canselor Pertama Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 1984 dan menjadi penasihat khas kepada Kementerian Pendidikan pada 1988.

Allahyarham membabitkan diri dalam penulisan kreatif seperti novel, cerpen, drama dan puisi sejak tahun 1950 di samping menulis buku-buku sekolah.

Beliau juga aktif menulis kertas kerja ilmiah serta rencana untuk majalah dalam bidang pendidikan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan.

utusan online


Perginya cendekiawan Melayu
Oleh NIZAM YATIM

"BELIAU telah banyak berjasa bagi memberi motivasi kepada para pendidik untuk mencurah bakti sebanyak mungkin demi kemajuan anak bangsa."

Itulah ungkapan bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom apabila diminta mengulas mengenai tokoh pendidikan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Awang Had Salleh yang meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru, semalam.

Menurut Alimuddin, beliau banyak membaca tulisan Awang Had, 79, yang sering disiarkan oleh akhbar, majalah dan ketika sesi pembentangan kertas kerja dalam seminar.

"Ketika itu saya bertugas sebagai guru dan tulisan beliau ini telah memberi motivasi kepada saya untuk meningkatkan lebih jauh dalam bidang kerjaya saya," katanya.

Kata beliau, satu contoh terbaik yang ditunjukkan oleh Allahyarham adalah untuk terus menyambung pengajian walaupun telah bekerja.

"Allahyarham memulakan kerjaya dalam bidang pendidikan bermula di peringkat bawah iaitu sebagai guru pelatih di Sekolah Melayu Gunung, Alor Setar, Kedah pada 1950.

"Selepas itu dari 1951 hingga 1954 telah belajar di Kolej Latihan Sultan Idris (SITC) dan selepas itu diterima mengajar di Sekolah Melayu Derga, Alor Setar," ujarnya.

Kegigihan Allahyarham untuk belajar jelas terserlah apabila terus belajar sambil bekerja sehingga berjaya mendapat Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Pengajian Melayu dari Universiti Malaya (UM) pada 1964 dan Doktor Falsafah Pendidikan dari Universiti Stanford, Amerika Syarikat (AS) pada 1972.

Pada 1956, Allahyarham telah bertugas sebagai guru di Kolej Sultan Abdul Hamid sehingga 1959 dan selepas itu memegang jawatan penolong pensyarah di Day Training Centre, Alor Setar serta pensyarah Maktab Bahasa Kuala Lumpur sehingga 1966. Pada 1967, beliau menyertai UM sebagai Penolong Pensyarah Fakulti Pendidikan.

Allahyarham yang berkhidmat di UM sehingga 1978 telah memegang pelbagai jawatan termasuk penolong pensyarah, pensyarah, profesor madya dan akhirnya profesor.

Dari segi pentadbiran pula, beliau pernah memegang jawatan Dekan Fakulti Pendidikan dan kemudiannya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar.

Menurut Alimuddin, satu lagi sumbangan Allahyarham yang tidak boleh dilupakan oleh sesiapa adalah sebagai seorang pentadbir institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang cemerlang.

"Banyak jasa yang telah Allahyarham sumbangkan ketika menjadi Pengarah Institut Teknologi Mara (ITM) dari 1978 hingga 1980 dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari 1980 hingga 1984.

"Kita juga tidak boleh melupakan jasa Allahyarham dalam membangunkan Universiti Utara Malaysia (UUM) ketika dilantik menjadi Naib Canselor yang pertama dari 1984 hingga 1989," katanya.

Selepas persaraan di UUM, Awang Had yang dilahirkan di Kampung Bagan, Pulau Bentong, Balik Pulau, Pulau Pinang telah menumpukan khidmatnya sebagai Penasihat Khas kepada Kementerian Pendidikan sehingga 1990.

Selain itu, beliau juga memegang pelbagai jawatan lain termasuk sebagai Felo Cemerlang, Institut Kajian Strategik dan Dasar (ISIS), Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan kemudiannya sebagai Pro Canselor universiti berkenaan.

Allahyarham turut terlibat dalam sektor korporat termasuk sebagai Pengerusi Anakku Corporation Bhd., Pengerusi Fomema Sdn. Bhd. dan Pengerusi Kumpulan Ikram Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, penulis, Haris Fadillah yang menulis buku biografi bertajuk Awang Had Salleh: Tokoh Pendidikan Negara menyebut Allahyarham adalah seorang tokoh cendekiawan Melayu yang banyak memberi sumbangan menerusi bidang penulisan kreatif termasuk cerpen, novel, drama dan puisi.

Menurutnya, Allahyarham mula menulis ketika menuntut di UM dengan cerpen yang pertama berjudul Simpati telah disiarkan akhbar Berita Harian.

"Cerpen itu memenangi hadiah sebanyak RM100 setelah menjadi cerpen terbaik mingguan kelolaan akhbar berkenaan.

"Bakat kreatifnya turut digilap ketika bekerja sambilan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika cuti semester di UM pada 1963. Antara tokoh penulis yang telah membimbing beliau ialah Keris Mas dan Usman Awang," tulisnya.

Tahun 1966 merupakan tahun yang cukup penting bagi beliau apabila dua karyanya iaitu kumpulan cerpen Merah Kuning Biru dan novel Biru Warna diterbitkan.

Skrip dramanya bertajuk Buat Menyapu Si Air Mata pula telah diterbitkan pada 1975.

Beliau juga pernah menulis buku-buku untuk prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Kegiatan menulis kertas kerja ilmiah dan rencana untuk majalah dalam bidang pendidikan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan diteruskan sehingga akhir hayat beliau dan ini termasuk ketika menjadi penulis jemputan, Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM pada 1994.

"Awang Had terus menjadi tokoh rujukan masyarakat di mana buah fikirannya dalam bidang pendidikan terus mendapat perhatian pelbagai tokoh akademik dan institusi pengajian tinggi di tanah air kita," tulis Haris.

Bagi menghargai sumbangan dan jasa bakti bapa kepada tujuh anak ini, maka pada 1982 beliau telah dikurniakan pingat Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Anugerah akademik yang diterima beliau pula adalah Anugerah Kehormat ABE, United Kingdom pada 1983, Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang daripada Universiti Brock, Kanada; Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari UKM dan Profesor Emeritus dari UUM.

Allahyarham yang berkahwin dengan Puan Sri Salmah Abu Bakar turut mempunyai hobi melukis, menggesek biola dan menyimpan barangan antik seperti jam, keris serta lukisan.

Semangat Allahyarham untuk terus berjuang demi anak bangsa jelas kelihatan daripada bait-bait sajak yang ditulisnya bertajuk Aku Penyambung Zaman.

Tuhanku,
Jadikanlah aku kuat gagah,
Menunaikan fungsi khalifah,
Di bumi bertuah,
Betapapun payah,
Menahan semangat jangan mudah patah,
Menahan hasrat jangan cepat 'rebah',
Sehingga perjuangan tercapai sudah.

Sebagai seorang tokoh akademik Melayu yang banyak memberikan sumbangan dalam bidang pendidikan, jasa Allahyarham sudah pasti akan tetap dikenang oleh masyarakat selama-lamanya.

Al-Fatihah.

utusan online


ALLAHYARHAM TAN SRI DR AWANG HAD SALLEH REMEMBERED AS A RENOWNED ACADEMIC
27 February 2014


UUM ONLINE: An anecdote forum on a renowned academic par excellent writer and a painter who was well-known for his appreciation of the Malay language and culture, the late Tan Sri Dr Awang Had Salleh, was held at Renaissance Hotel, Kuala Lumpur, recently.

The forum on the rare scholar, who contributed directly in providing leadership to Universiti Utara Malaysia (UUM) as the first Vice-Chancellor, was officiated by the Urban Well­being, Housing and Local Government Minister, Yang Berhormat Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Dr Awang Had was known and respected figure of a legacy of passion and commitment in promoting education, the national language and culture, died at the age of 79 from lung complications on 1 July 2013.

The forum served as a platform for developing and describing the thoughts of the late Dr Awang Had pertaining issues on education. In addition, the forum offered discussions on ideas that had never thrown by Dr Awang Had during his career.

“His brilliant ideas, thoughts and philosophy of education of the Malays and Malaysia, made him one of the prominent figures in our education system. The invited panellists to this forum today are those who have a deep understanding of his thoughts, views and desires,” said UUM Vice-Chancellor.

His unrivalled contributions in advancing higher education in Malaysia had inspired UUM to establish a graduate school and named it the Awang Had Salleh Graduate School of Arts and Sciences (AHSGS) in his honour. The graduate school aimed at becoming the centre of excellence for postgraduate programmes via its world-class academic programmes, high-impact researches, innovative consultations and methods of resolving issues concerning the Arts and Social Sciences.

Dr Awang Had was a well-known and active figure in the academic world, whose immense contributions in the field of education will not be forgotten. Indeed, UUM was very fortunate to locate the historical destiny of Dr Awang Had as the founder and the first Vice-Chancellor of UUM.

Apart from being a great man in the education field, Dr Awang Had has always be reminisced as ‘A Perfect Malay Gentleman’; which was characterised as gentle, humble and caring. Being raised in an Islamic religious background, his hilarious characters were memories to all his close friends.

Also present at the forum were the UUM Vice-Chancellor, Prof Dato’ Wira Dr Mohamed Mustafa Ishak; the late Tan Sri Dr Awang Had’s wife, Puan Sri Salmah Abu Bakar; the UUM Board of Director, Dato’ Paduka Abdul Rahman Ibrahim; the Executive Chairman of Malaysian Historical Society, Tan Sri Omar Mohd Hashim; the Dean of AHSGS, Assoc Prof Dr Engku Muhammad Nazri Engku Abu Bakar and the respected panellists.


UUM

Perjuangan seorang cendiakawan Melayu


PROF. Datuk Dr. Nik Safiah Karim cukup mengenali lelaki itu. Mereka pernah sama-sama menuntut di Fakulti Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) sekitar awal tahun 60-an.

Beliau mengakui, biarpun menuntut di fakulti yang sama, mereka tidak begitu akrab. Hanya bertemu sekali- sekala, itu pun jika ia melibatkan aktiviti-aktiviti di fakulti.

Sungguhpun begitu, Nik Safiah amat mengagumi lelaki itu. Beliau bukan sahaja pelajar cemerlang malah seorang yang aktif dengan pelbagai aktiviti dan persatuan di universiti.

Bagaimanapun, pada pagi Isnin lalu, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Awang Had Salleh telah pergi untuk selama-selamanya pada usia 79 tahun.

Selepas lapan tahun terlantar akibat strok dan beberapa penyakit lain sebelum ini, Allahyarham disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya.

Beliau meninggalkan balu Puan Sri Salmah Abu Bakar, 69, dan tujuh anak iaitu lima lelaki dan dua perempuan.

Mengimbau kenangan bersama ketika di zaman universiti, Nik Safiah berkata, ketokohan dan bakat kempimpinan Awang Had sudah terserlah apabila beliau menjawat beberapa jawatan penting termasuk menjadi Yang Dipertua Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM).

"Di bawah kepimpinan beliau, PBMUM menjadi sebuah persatuan pelajar yang aktif dalam memperjuangkan bahasa Melayu dan bidang sastera di negara ini.

"Selain berkemampuan memimpin, beliau juga cukup berbakat dengan menghasilkan pelbagai karya dan penulisan sastera yang bermutu tinggi," katanya ketika dihubungi Kosmo!

Tambah Nik Safiah, selepas tamat pengajian mereka membawa haluan masing-masing.

Beliau meneruskan kerjayanya sebagai tutor di Jabatan Pengajian Melayu, UM sementara Awang Had pula menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Rakan setugas

Bagaimanapun sekitar tahun awal tahun 70-an, mereka mula menjadi rakan setugas apabila Awang Had dilantik sebagai Penolong Pensyarah di Fakulti Pendidikan, UM.

Jelasnya, Awang Had merupakan seorang cendekiawan Melayu yang banyak memberi sumbangan menerusi bidang penulisan kreatif termasuk cerpen, novel, drama dan puisi.

Novel pertamanya, Biru Warna, terkenal dengan bahasa yang indah dan puitis sesuai dengan keperibadiannya yang lemah-lembut dan berhemah ketika berbicara.

Beliau juga pernah menulis buku-buku untuk prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Kegiatan menulis kertas kerja ilmiah dan rencana untuk majalah dalam bidang pendidikan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan diteruskan sehingga akhir hayat termasuk ketika menjadi penulis jemputan.

"Beliau seorang penulis yang tiada tolok bandingnya. Setiap karyanya bukan sahaja sempurna tanpa kesalahan bahasa, malah mempunyai kata-kata indah yang lahir daripada jiwa.


SUMBANGAN Awang Had dalam bidang pendidikan mendapat pengiktirafan pelbagai pihak di dalam dan luar negara.

"Malah sepanjang mengajar di UM, saya turut menggunakan beberapa karya beliau sebagai sumber rujukan dan pengajaran kepada pelajar," ujarnya yang memberitahu, pemergian Awang Had merupakan satu kehilangan besar kepada negara.

Dilahirkan pada 24 Jun 1934 di Balik Pulau, Pulau Pinang, Awang Had mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pulau Betung.

Pada tahun 1956, beliau telah bertugas sebagai guru di Kolej Sultan Abdul Hamid sehingga 1959 sebelum menyambung pengajian di UM dalam bidang sastera dan seterusnya di peringkat kedoktoran dalam bidang pendidikan di Universiti Stanford, Amerika Syarikat.

Berkhidmat di UM sehingga tahun 1978, beliau telah memegang pelbagai jawatan termasuk penolong pensyarah, pensyarah, profesor madya dan akhirnya profesor.

Dari segi pentadbiran pula, beliau pernah memegang jawatan Dekan Fakulti Pendidikan dan kemudiannya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar.

Tidak cukup dengan itu, Awang Had juga pernah dilantik sebagai Pengarah Institut Teknologi Mara (sekarang UiTM) dari 1978 hingga 1980 dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari 1980 hingga 1984.

Malah beliau juga bertanggungjawab membangunkan Universiti Utara Malaysia (UUM) ketika dilantik menjadi Naib Canselor yang pertama dari 1984 hingga 1989.

Pada Julai 2000, Awang Had dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Sementara itu, seorang rakannya, Datuk Dr. Baharudin Zainal, berkata, selain cemerlang sebagai ahli akademik dan pentadbir universiti, Awang Had juga merupakan seorang pejuang bahasa Melayu yang sukar dicari ganti.

Pernah bersama-sama menuntut di UM satu ketika dahulu, Baharudin atau lebih dikenali dengan nama penanya, Baha Zain memberitahu, mereka pernah berjuang bersama-sama dalam Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena).

"Mungkin tidak ramai mengetahui bahawa beliau merupakan antara mereka yang terawal memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah kebangsaan ketika itu," katanya.


BIARPUN sibuk dengan pelbagai komitmen, Awang Had (tengah) tetap meluangkan masa menyertai forum atau persidangan yang berkaitan bahasa Melayu dan sastera.

Tambahnya, biarpun sibuk dengan pelbagai komitmen dan jawatan yang disandang sama ada di peringkat universiti atau kerajaan, Awang Had tetap meluangkan masa untuk melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan sastera di negara ini.

Secara tidak langsung usaha gigih yang dilakukan beliau dan rakan-rakan seangkatannya berjaya memartabatkan bidang sastera melalui pelbagai aktiviti, forum dan sebagainya.

Mencintai ilmu

Berpengalaman sebagai seorang guru, tidak hairanlah jika Awang Had begitu mencintai ilmu sehingga akhir hayatnya.

Perkara itu diakui sendiri oleh menantunya, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Katanya, walaupun sudah bersara daripada bidang pendidikan dan mempunyai ijazah kedoktoran, bapa mertuanya itu gigih mempelajari pelbagai bidang ilmu untuk mengisi masa lapang.

"Beliau menganggap ilmu perlu dituntut sehingga akhir hayat. Tidak hairanlah ketika masih sihat dahulu beliau sanggup mengambil pengajian jarak jauh dalam bidang lukisan kerana minat melukis," ujarnya dalam satu temu ramah bersama sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.

Tambah Abdul Rahman, satu perkara yang paling dikagumi tentang bapa mentuanya ialah beliau amat menitikberatkan soal pendidikan dalam keluarga.

"Setiap kali pulang dari luar negara beliau akan membelikan hadiah bahan bacaan buat cucu-cucunya kerana baginya jika diajar mengenali buku sejak kecil, mereka akan menghargai buku sehingga dewasa.

"Kata-kata itu ternyata ada kebenarannya, sampai sekarang anak-anak saya tidak boleh tidur jika tiada buku. Itu yang membuatkan saya kagum," jelasnya.

Bagi menghargai sumbangan dan jasa-jasa dalam bidang pendidikan, beliau telah dikurniakan pingat Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 1982.

Selain itu, beliau juga turut menerima pelbagai anugerah akademik dari dalam dan luar negara. Antaranya, Anugerah Kehormat ABE, United Kingdom pada 1983, Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang daripada Universiti Brock, Kanada; Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada UKM dan Profesor Emeritus daripada UUM.

kosmo



Tan Sri Prof. Emeritus Dr Awang Had Salleh : Biografi


Tan Sri Prof. Dr Awang Had Salleh dilahirkan pada 24 Jun 1934 di Kampung Bagan Pulau Bentong, Balik Pulau, Pulau Pinang. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Pulau Betung, Balik Pulau, Pulau Pinang dan pendidikan menengah di Sekolah Melayu Seberang Perak (L), Kedah. Pada tahun 1951, beliau meneruskan pengajiannya di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak sehingga tahun 1954 dan seterusnya di Maktab Bahasa Bukit Senyum, Johor Bahru pada tahun 1958. Beliau telah melanjutkan pengajiannya di Universiti Malaya pada tahun 1961 dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) pada tahun 1964 dan Ijazah Sarjana Pendidikan pada tahun 1967. Beliau telah menyambung pengajiannya di peringkat Ijazah Kedoktoran dalam bidang Pendidikan dan Sosiologi di Universiti Stanford, California pada tahun 1969 dan Pengajian Pengurusan Akademik dan Pembangunan di Universiti Lancaster, United Kingdom.

Kerjaya :

Guru pelatih di Sekolah Melayu Gunung, Kedah (1950)
Guru di Sekolah Melayu Derga, Kedah
Guru Bahasa Kebangsaan di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Star, Kedah(1957)
Penolong Pensyarah di Pusat Latihan Harian (DTC), Alor Star, Kedah(1959-1961)
Pensyarah Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai, Kuala Lumpur (1964-1965)
Penolong Pensyarah/ Pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya(1974-1975)
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya (1975-1978)
Pengarah Institut Teknologi Mara sekarang Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) (1978-1980)
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia dan Naib Canselor Pertama Universiti Utara Malaysia (1980-1984)
Penasihat Khas Kementerian Pendidikan
Ketua Eksekutif/ Perunding Akademi Filem Malaysia (1990-1992)
Pengerusi Majlis Buku Kebangsaan
Ahli Lembaga Eksekutif Unesco
Pengerusi Lembaga Tadbir Institut Teknologi Kreatif Limkokwing
Penasihat Kehormat Majlis Aspirasi Pemangkin Nasional (MAPAN)
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Pengerusi Penasihat Akademik Informatics Malaysia
Pengerusi Entertainment Village (M) Sdn. Bhd.(E-Village)
Pro Canselor UPSI (1999 hingga sekarang)

Selain terkenal dan aktif di dalam bidang akademik, beliau juga banyak menghasilkan karya kreatif. Tahun 1966 merupakan tahun yang cukup penting dalam penulisannya apabila dua buah karyanya, 'Merah Kuning Biru' (kumpulan cerpen) dan 'Biru Warna' (novel) diterbitkan. Dramanya 'Buat Menyapu Si Air Mata' telah diterbitkan pada tahun 1975. Dalam bidang penerbitan dan penulisan, beliau menghasilkan banyak buku, risalah dan kertas kerja yang berhubung dengan bidang pendidikan, bahasa dan kebudayaan.

Bagi menghargai sumbangan dan jasa baktinya, beliau telah dikurniakan pingat dan darjah kebesaran iaitu Johan Mangku Negara (J.M.N.) pada 1975, Dato' Setia DiRaja Kedah (D.S.D.K.) pada 1978 yang membawa gelaran Dato' dan Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) pada 1982 yang membawa gelaran Tan Sri oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. Bagi menghargai sumbangan beliau di dalam bidang pendidikan, beliau telah dianugerahi 'Honarary Fellow', A.B.E. (UK) pada tahun 1983, Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang daripada Universiti Brock, Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Profesor Emeritus dari Universiti Utara Malaysia. Beliau juga dianugerahi "Distinguished Fellow of ISIS" Malaysia.

myKedah.com


BIOGRAFI AWANG HAD SALLEH 

Dilahirkan di Balik Pulau, Pulau Pinang, Awang menerima pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Pulau Betung, sebuah sekolah rendah di tempat asalnya. Pendidikannya kemudian tergendala, akibat Perang Dunia II. Walaupun demikian, beliau memperoleh keputusan peperiksaan Darjah 6 yang terbaik di seluruh negeri Kedah pada tahun 1949,[3] lalu menyertai Sekolah Melayu Seberang Perak. Pada 1951, Awang menyambung pendidikannya di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak seterusnya sehingga memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera (Bahagian Atas) daripada Universiti Malaya pada 1964, diselang seberapa tahun sebagai guru Bahasa Kebangsaan di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Star lalu sebagai Penolong Pensyarah di Pusat Latihan Harian (DTC) yang juga di Alor Star. Pada sesi akademik 1963/1964, beliau turut bergerak aktif sebagai Yang Dipertua Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM).

Pada 1964, Awang menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai, Kuala Lumpur lalu menjadi Penolong Pensyarah/Pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya pada 1974. Selain itu, beliau juga menerbitkan novel sulungnya, Biru Warna, pada 1966. Ringkasan penerbit novel itu berbunyi sebahagiannya seperti yang berikut: "Keindahan rasa selalunya bermain dalam cahaya biru. Dan di tangan seorang seniman, cahaya itu digarapnya menjadi nada untuk muzik, menjadi bahasa untuk sastera, dan menjadi garis untuk lukisan. Dan Awang Had Salleh bukan saja mencipta "Biru Warna", sebuah novel, tetapi juga lukisan dan lagu dengan nama yang sama." Seorang yang berkecenderungan akademik, Awang kemudian memperoleh ijazah-ijazah yang lain sehingga ke peringkat ijazah kedoktoran dalam bidang Pendidikan dan Sosiologi daripada Stanford University, California pada tahun 1969 serta juga dalam bidang Pengajian Pengurusan Akademik dan Pembangunan daripada Lancaster University, United Kingdom (lihat bahagian kronologi untuk perincian).

Pada 1975, Awang dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya dan kemudian menjadi Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia lalu menjadi Naib Canselor pertama Universiti Utara Malaysia. Sejak 1996, beliau merupakan Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).


Kronologi

1934: Dilahirkan di Balik Pulau, Pulau Pinang
1949 (umur 15): Mencapai keputusan peperiksaan Darjah 6 yang terbaik di seluruh negeri Kedah
1950 (umur 16): Menjadi guru pelatih di Sekolah Melayu Gunung, Kedah dan kemudiannya, guru di Sekolah Melayu Derga, Kedah.
1951-1954 (umur 17-20): Menyertai Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim
1954-1957 (umur 20-23): Menyertai Maktab Bahasa Bukit Senyum, Johor Bahru
1957-1959 (umur 23-25): Menjadi guru Bahasa Kebangsaan di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Star, Kedah
1959-1961 (umur 25-27): Menjadi Penolong Pensyarah di Pusat Latihan Harian (DTC), Alor Star, Kedah
1961-1964 (umur 27-30): Menyertai Universiti Malaya dan memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera (Bahagian Atas)
1964-1974 (umur 30-40): Menjadi pensyarah Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai, Kuala Lumpur.
1966 (umur 32): Dua buah karyanya, kumpulan cerpen Merah Kuning Biru dan novel Biru Warna diterbitkan
1967 (umur 33): Memperolehi ijazah Sarjana Pendidikan dari Universiti Malaya
1969 (umur 35): Memperoleh ijazah kedoktoran dalam bidang Pendidikan dan Sosiologi dari Stanford University, California serta dalam bidang Pengajian Pengurusan Akademik dan Pembangunan dari Lancaster University, United Kingdom
1974-1975 (umur 40-41): Menjadi Penolong Pensyarah/Pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya
1975 (umur 41): Drama, Buat Menyapu Si Air Mata, diterbitkan. Awang juga dikurniakan pingat dan darjah kebesaran Johan Mangku Negara (J.M.N.).
1975-1978 (umur 41-44): Menjadi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya
1978 (umur 44): Dikurniakan Dato' Setia Diraja Kedah (D.S.D.K.)
1978-1980 (umur 44-46): Menjadi Pengarah Institut Teknologi Mara (sekarang Universiti Institut Teknologi Mara) (UiTM)
1980-1984 (umur 46-50): Menjadi Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia dan Naib Canselor pertama Universiti Utara Malaysia
1982 (umur 48): Dikurniakan Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) yang membawa gelaran Tan Sri
1983 (umur 49): Dikurniakan Fellow Kehormat oleh Association of Business Executives (UK)
1990-1992 (umur 56-58): Menjadi Ketua Eksekutif/Perunding Akademi Filem Malaysia
1996-2013 (umur 62-akhir hayat): Menjadi Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)


Jawatan-jawatan lain yang disandang

Penasihat Khas Kementerian Pendidikan Malaysia
Pengerusi Majlis Buku Kebangsaan
Ahli Lembaga Eksekutif UNESCO
Pengerusi Lembaga Tadbir Institut Teknologi Kreatif Limkokwing
Penasihat Kehormat Majlis Aspirasi Pemangkin Nasional (MAPAN)
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Pengerusi Penasihat Akademik Informatics Malaysia
Pengerusi Entertainment Village (M) Sdn. Bhd.(E-Village)

Anugerah

Pingat dan darjah kebesaran Johan Mangku Negara (J.M.N.) (1975)
Pingat dan darjah kebesaran Dato' Setia DiRaja Kedah (D.S.D.K.) (1978)
Pingat dan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) (1982) yang membawa gelaran Tan Sri
Fellow Kehormat oleh Association of Business Executives (UK) (1983)
Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang daripada Brock University
Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia
Profesor Emeritus daripada Universiti Utara Malaysia; dan
Distinguished Fellow of ISIS Malaysia.

Hasil penulisan

Antara buku tulisan beliau dan berkaitan beliau:

Universiti sebagai taman minda : Universiti Kebangsaan Malaysia , 1998.
Merah, kuning, biru : Federal Publications, 1998.
Awang Had Salleh : tokoh pendidikan negara / Haris Fadillah.:Pustaka Bakti Wira , 1996.
Warna-warna pengalaman seorang guru : Utusan Publications & Distributors, 1993.
Budi / diselenggarakan oleh Awang Had Salleh. :Marwilis Publisher & Distributors, 1990.
Laporan jawatankuasa mengkaji pengunaan bahasa Malaysia. :Kementerian Pelajaran Malaysia, 1982.
Pendidikan ke arah perpaduan : sebuah perspektif sejarah / [Suntingan] Awang Had Salleh. :Fajar Bakti, 1980.
Karangan, fahaman dan analisa. : Heinemann Educational Books (Asia) Ltd., 1980.
Pendidikan dan pentadbiran sekolah rendah : kumpulan kertaskerja KONPEN iii / Awang Had Salleh ; disunting oleh M. Noor Azam.:Sarjana Enterprise, 1980.
Buat menyapu si air mata : DBP, 1980.
Bahasa Malaysia pendekatan baru / oleh Awang Had Salleh, Haji Mokhtar Mohd. Dom & Haji Abdul Razak Hamid. :Fajar Bakti, 1978.
Bimbingan bahasa Malaysia yang berkesan / Awang Had Salleh & Abdul Samat Salleh. :Fajar Bakti, 1975.
Pelajaran dan perguruan Melayu di Malaya zaman British : DBP, 1974.
Teman pelajar bahasa Malaysia.

wikipedia

1 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena