Warisan : Muzium Warisan Melayu

 

Rumah Melayu lama 'Tok Tonso' ditempatkan di Muzium Warisan Melayu UPM
9 Februari 2013


KUALA PILAH - Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil inisiatif mendapatkan rumah Melayu lama dan 'dipindahkan' di Muzium Warisan Melayu di universiti berkenaan di Serdang, Selangor.

Pengarah Muzium Warisan Melayu UPM Dr Muhammad Pauzi Abd Latif berkata rumah-rumah yang dikenal pasti akan dibuka, sebelum ia dipindah dan dibina semula mengikut rumah asal di muzium tersebut.

"Hanya pemindahan dan pemuliharaan sahaja yang akan dapat menyelamatkan rumah Melayu lama ini daripada terus musnah dan agar ia terus terpelihara menjadi tatapan generasi akan datang," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya pemuliharaan rumah lama ini juga bagi tujuan pendidikan dan sebagai tarikan utama pelawat ke muzium berkenaan.

Muhammad Pauzi berkata projek terbaharu pihaknya ialah membuka, memindah dan membina semula rumah Datuk Raja Diwangsa, Muhammad Yunus Jabar atau lebih dikenali dalam kalangan masyarakat setempat dengan gelaran 'Tok Tonso' di Kampung Merual, Seri Menanti dekat sini.

Katanya kerja-kerja membuka rumah ini mengambil masa dua hari sejak semalam, sebelum ia dipindahkan ke UPM dan usaha untuk memasang semula rumah ini dijangka mengambil masa empat bulan bermula bulan depan.

Katanya rumah ini dimiliki anak Allahyarham, Darwinshah.

"Rumah ini dibina sendiri oleh Muhammad Yunus yang merupakan Orang Empat Istana (pembesar istana) Seri Menanti dengan dibantu dukun Mahat dan tukang Kassim. Rumah ini dibina sekitar 1920-an.

"Rumah ini diserahkan secara rasmi oleh Darwinshah kepada kami pada 16 Januari untuk dipulihara dan dibaik pulih dan akan ditempatkan di Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM," katanya.

Katanya rumah ini merupakan rumah tradisional lama Negeri Sembilan, terbahagi kepada lima bahagian utama iaitu anjung, serambi, induk atau ibu, loteng dan kelek anak atau rumah dapur.

Dibina menggunakan kayu cengal batu, ia mempunyai keunikan tersendiri di mana jarang ditemui tiang di dalam rumah yang menyokong struktur bumbung rumah dan juga menyokong bahagian loteng rumah.

"Rumah ini dibina dengan seni bina ukiran Melayu yang menarik, yang didokong oleh falsafah dan filsafat tukang kayu lama," katanya. - Bernama

sinar harian


Rumah Tradisional Pembesar Istana NS didirikan di UPM sebagai Muzium Warisan
Oleh Muhamad Najkhan Mazlan


SERDANG, 14 Mac (UPM) - Kerja-kerja pembinaan semula rumah tradisional Negeri Sembilan milik Orang Empat Istana Seri Menanti bermula hari ini dengan bacaan doa selamat sebelum upacara menaikkan tiang seri rumah.

Pengarah Muzium Warisan Melayu UPM, Dr. Muhammad Pauzi Abd Latif berkata rumah lama itu secara simboliknya dimasukkan ‘semangat’ pada tiang seri (tiang utama) rumah sebelum ianya ditegakkan.

“Mengikut kepercayaan orang Negeri Sembilan dahulu, objek seperti emas dan perak akan dimasukkan dalam lubang pada bawah tiang seri sebagai penyeri rumah.

“Proses menaikkan rumah ‘Tok Tonso’ ini melibatkan proses memasukkan semula beberapa objek iaitu duit syiling perak tahun 1935, duit syiling baru tahun 2013 sebagai simbolik tahun rumah ini dinaikkan semula, dan juga ibu kayu iaitu kayu dari pohon pertama yang ditakik ketika mula-mula rumah dibina.

“Kadangkala sukar untuk kita percaya perkara sebegini di zaman moden ini, tetapi itulah keunikan adat Melayu lama sehinggakan hendak membina rumahpun mempunyai falsafah dan simboliknya,” katanya pada majlis menaikkan rumah di sini.

Upacara itu disempurnakan oleh Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Prof. Madya Dr. Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad yang merupakan pencetus idea untuk mendirikan rumah itu sebagai muzium warisan.




Dr. Pauzi menerangkan rumah tradisional pembesar Negeri Sembilan mempunyai beberapa perbezaan dengan rumah masyarakat awam yang lain kerana ia mempunyai struktur yang hanya boleh dibina pada rumah kerabat diraja atau pembesar istana sebagai lambang status.

“Ia mempunyai enam tiang gantung dengan corak berbeza yang dipanggil ‘Tiang Gantung tak Jejak Bumi’ yang bersambungan pada bahagian bumbung dan dua tebar layar yang diberi nama Tebar layar Bertingkat Tiga dan Tebar Layar Mentari Terbit Pagi pada bahagian kanan dan kiri rumah induk dan pintu hadapan.

Kata Dr. Pauzi lagi, kebanyakan rumah pembesar memiliki lima bahagian utama berbanding tiga yang ada pada rumah masyarakat awam iaitu anjung, serambi, rumah induk atau ibu, loteng dan kelek anak atau rumah dapur.

“Keunikan Tebar Layar Mentari Terbit Pagi merupakan struktur yang dipasang pada bahagian hadapan rumah mengadap matahari terbit. Ia dibina sedemikian rupa bagi memudahkan tuan rumah untuk menentukan arah kiblat.

“Satu lagi keunikannya ialah mempunyai tempat untuk memandikan mayat di dalam rumah kerana menjadi kebiasaan masyarakat lama Negeri Sembilan memandikan jenazah ahli keluarga di dalam rumah,” katanya lagi.

Rumah milik Datuk Raja Diwangsa Muhammad Yunus Jabar atau lebih dikenali sebagai ‘Tok Tonso’ itu diserahkan oleh waris beliau kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Februari lalu untuk dipulihara sebagai Muzium Warisan Melayu yang dijangka siap pada bulan September tahun ini.

--UPM/MNM

UPM abadikan warisan seni bina Melayu Terengganu

KUALA TERENGGANU 16 Mac - Universiti Putra Malaysia (UPM) berusaha mengekal dan mengabadikan warisan seni bina Melayu Terengganu iaitu rumah bujang berselasar dengan langkah menempatkannya di Muzium Warisan Melayu di Serdang, Selangor.

Rumah berusia hampir 150 tahun di Kampung Tanjong Pasar dekat sini yang diwarisi oleh Wan Ahmad Hassan Wan Abdullah, 57, itu diserahkan kepada pengarah muzium berkenaan, Dr. Muhammad Pauzi Abd. Latif baru-baru ini.

Reka bentuk rumah jenis itu yang hampir lenyap dianggap salah satu simbol kepada kesempurnaan seni bina rumah tradisional, suatu peninggalan keilmuan dan pancaran kreativiti serta inovasi bangsa Melayu, disesuaikan fungsinya dengan kehidupan.

Menurut Dr. Muhammad Fauzi, rumah bujang berselasar merupakan satu daripada empat rumah tradisional Melayu di negeri ini selain rumah bujang berpeleh, rumah te'le dan rumah limas potong Belanda.

Katanya, rumah yang masih mengekalkan seni bina asal itu dibina sendiri oleh pemiliknya, Wan Muda Wan Hassan yang merupakan seorang pembuat perahu serta barang-barang tembaga dan kini diwarisi cucu Allahyarham, Wan Ahmad.

"Bagi projek terbaharu ini, kami mengambil masa selama kira-kira enam bulan untuk mengenal pasti rumah tersebut hasil bantuan pihak muzium negeri dan kerajaan negeri.

"Rumah ini diserahkan secara rasmi dua minggu lalu," katanya kepada pemberita ketika mengetuai kerja-kerja membuka dan memindah rumah itu sini semalam.

Kerja-kerja yang berlangsung selama tiga hari sejak semalam itu turut disertai Pensyarah Kanan, Jabatan Seni Bina UPM, Dr. Mohamad Fakri Zaky Ja'afar.

Menurut Muhammad Pauzi, dianggarkan hanya 10 ke 15 peratus daripada struktur bahagian rumah itu yang memerlukan penggantian termasuk tiang, lantai dan atap justeru usaha memasang semula mengikut bentuk asal dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.

Mengulas lanjut, katanya, keunikan rumah bujang berselasar adalah kerana tidak mempunyai bilik selain mempunyai ruang serambi yang dinamakan selasar.

utusan melayu

Rumah Tradisional Terengganu Dipindah ke Muzium Warisan UPM
Esah Abdullah
16 March 2014


Contoh Rumah Bujang Berserambi yang masih terdapat di Terengganu

Rumah Bujang Berserambi, sebuah rumah tradisional Melayu lama Terengganu menjadi pilihan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk dipindah ke Muzium Warisan Melayu universiti itu di Serdang, Selangor.


Tuan Abdul Rahim Mohd Zin, Pengajar Khas dari Fakuliti Senibina dan Rekabentuk berkongsi sedikit sebanyak tentang Teknologi Rumah Tradisi Melayu.

Pengarah Muzium Warisan Melayu UPM, Dr. Muhammad Pauzi Abd Latif berkata, rumah itu yang dianggar berusia 150 tahun dan terletak di Kampung Tanjung, Kuala Terengganu merupakan satu daripada empat jenis rumah tradisional Melayu terkenal di negeri ini, antaranya ialah rumah bujang berpeleh, rumah te’le dan rumah limas potong Belanda.

“Rumah yang masih mengekalkan seni bina asal itu dibina sendiri oleh pemilik asalnya, Wan Muda Wan Hassan, yang merupakan seorang tukang perahu selain pandai membuat barang-barang tembaga,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata, UPM mengambil masa kira-kira enam bulan bagi mengenal pasti rumah itu dengan dibantu muzium dan Kerajaan Negeri Terengganu.

Rumah itu diserah kepada UPM oleh pemiliknya ketika ini iaitu Wan Ahmad Hassan Wan Abdullah, 57, yang merupakan cucu kepada Allahyarham Wan Muda.

“Rumah ini diserahkan secara rasmi oleh Wan Ahmad Hassan pada dua minggu lalu untuk dipulihara serta dibaik pulih dan akan ditempatkan di Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM,” katanya.

teganukita
Teknologi rumah warisan tradisi melayu



Muzium warisan melayu pertama dalam negara dilancarkan


SERDANG, 8 April - Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang pertama seumpamanya dalam negara dilancarkan hari ini di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi di sini.

Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan berkata walaupun terdapat muzium lain di Malaysia yang mempamerkan warisan Melayu, muzium di UPM itu bukan sahaja pada nama warisan Melayu tetapi keunikannya berfokus kepada empat koleksi kelestarian jati diri bangsa Melayu iaitu manuskrip Melayu dan keagamaan, koleksi tekstil Melayu bermutu tinggi, koleksi busana Melayu dan koleksi persenjataan Melayu yang ampuh.

“Terdapat satu-satunya manuskrip yang tersimpan di muzium ini membicarakan tentang keris khususnya keris Taming Sari. Selain daripada pameran dalaman, muzium ini juga mempunyai outdoor museum iaitu tiga buah rumah tradisional Melayu berusia lebih seratus tahun dari Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu.

“Oleh kerana Malay Heritage Muzium hanya terdapat di Singapura, maka negara memerlukan sebuah institusi untuk melagang usaha penyelidikan, penerbitan, pendidikan, pengajaran dan pembelajaran, serta pemaparan artifak yang berkaitan budaya Melayu,” katanya semasa melancarkan muzium itu. Turut hadir ialah Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, Prof. Madya Dr Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad dan Pengarah Muzium,Dr. Muhammad Pauzi Abd Latiff.

Beliau berkata keistimewaan muzium itu seperti mempunyai manuskrip keagamaan kitab Al-Quran tulisan tangan dan kitab-kitab agama lain, manuskrip pelayaran tentang arah mata angin, kitab Thib atau perubatan dan manuskrip persenjataan seperti kitab tentang cara menyurat bilah mata pisau atau keris.

Fauzi berkata terdapat juga manuskrip rumusan matematik yang dikarang oleh cendekiawan Melayu lebih dua ratus tahun dahulu.

“Para pengunjung awam boleh melihat sendiri betapa orang Melayu telah mempunyai sistem nota kaki atau footnotes lebih 300 tahun dahulu. Malah lebih 200 tahun dahulu kita telah mempunyai sistem melakarkan idea dalam bentuk visual, seperti yang disebut peta minda atau mind mapping yang dicipta oleh Tony Buzan,” katanya.

Beliau berharap Muzium Warisan Melayu UPM akan menjadi tempat pelajar, penyelidik dan masyarakat dalam dan luar negara mendalami budaya dan tamadun Melayu.

”Sebagai sebuah muzium di sebuah universiti penyelidikan, muzium ini akan menjadi tempat simbiosis kepakaran dari segenap bidang seperti bahasa, kesusasteraan, komunikasi, rekabentuk, sains makanan, pertanian, perhutanan, perubatan, sains bahan, metallurgy, sains tekstil, sosiologi, anthropologi, psikologi dan sebagainya untuk menelusuri kearifan silam bangsa Melayu dan merungkai segala rahsia keintelektualannya,” katanya.


Koleksi tekstil Melayu bermutu tinggi

Kain yang ditenun dan dicorakkan oleh pereka Melayu silam seperti kain limar, kain pelangi, kain cindai, kain kelingkan mengadunkan kepandaian seni dan sains dalam penghasilan tekstil. Kain cindai ditenun dari serat herba sehingga boleh digunakan sebagai penawar bisa dan antiseptik. Tidak hairanlah kenapa Jebat masih boleh terus hidup lima hari selepas ditikam Hang Tuah, setelah beliau membalut luka tikaman dengan kain cindai.

Koleksi busana Melayu

Busana terdiri daripada pakaian lelaki, wanita, dan kanak-kanak seperti baju, seluar, samping, kain, tanjak, dan sebagainya. Tutut disertakan dalam koleksi muzium ini ialah aksesori busana seperti pending, bengkung, tali pinggang, kerongsang, kalung, dan sebagainya. Selain mamaparkan kehalusan seni Melayu, busana Melayu membuktikan betapa orang Melayu silam mencipta fesyen pakaian mengikut fungsi dan kesesuaian keadaan. Busana Melayu: menutup aurat, melindung malu, menjaga maruah, menzahir ayu.

Koleksi persenjataan Melayu silam yang ampuh

Mempamerkan senjata unik Melayu seperti lela rentaka, tombak, lembing, parang, pedang, golok, keris, tumbuk lada, dan badik. Senjata Melayu khususnya keris bukan hanya dicipta untuk digunakan sebagai senjata penjaga maruah, tetapi juga sebagai hasil seni yang sangat luar biasa dan bermutu tinggi. Tidak hairanlah kenapa keris masih begitu dekat di hati orang Melayu, sejak 800 tahun silam sehinggalah ke hari ini.

Peralatan dalam isi rumah Melayu
Antara artifak yang dipamerkan ialah gobek api. Gobek api ialah alat kecil yang digunakan untuk menyalakan api, yang dihasilkan daripada daya cipta kepandaian orang Melayu silam. Ia menggunakan gabungan kepandaian fizik, kimia, dan biologi dan berfungsi pada asasnya berdasarkan konsep tekanan dan mampatan, serta geseran. Gobek api ini hanya didapati di alam Melayu khususnya di utara semenanjung dan digunakan dalam abad ke 17 dan 18. Orang Melayu telah menggunakan gobek api lebih kurang 100 tahun sebelum barat tahu mencipta macis atau gores api. 130 tahun kemudian barulah Ronson mencipta pemetik api atau lighter. Malangnya pada hari ini gobek api ini dipatenkan di bawah nama Fire Piston oleh sebuah syarikat di Amerika Syarikat.



Outdoor Museum

Di perkarangan muzium ini didirikan tiga buah rumah tradisional Melayu. Yang pertama ialah rumah Dato’ Raja Diwangsa, iaitu rumah dari Negeri Sembilan. Yang kedua rumah kutai dari negeri Perak dan yang ketiga, yang sedang didirikan ialah rumah bujang berselasar dari negeri Terengganu. Untuk makluman hadhirin sekalian, rumah Negeri Sembilan mewakili zon selatan, iaitu sebuah rumah di tanah pamah, rumah Perak mewakili zon utara, iaitu sebuah rumah di tepi sungai. Rumah Terengganu pula mewakili zon timur, iaitu sebuah rumah di tepi laut. Para pelajar, pengkaji dan pengunjung akan dapat melihat dengan jelas bagaimana senibina rumah Melayu tradisional dibina mengambilkira lokasi dan kawasan.

Bahagian luar muzium

Sebuah pondok mesin getah yang akan menunjukkan bagaimana getah, yang merupakan salah satu produk utama negara ditoreh, dan diproses menjadi getah keping. Proses ini akan mendedahkan kepada pelajar, pengkaji, dan pengunjung bagaimana pekebun kecil pada suatu waktu dahulu yang terdiri kebanyakannya daripada masyarakat Melayu menjalankan aktiviti ekonomi harian.


Pamer rumah di muzium

Oleh ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

Kuala Terengganu: Sebuah rumah tradisional di Terengganu dikenali Rumah Bujang Berselasar yang berusia lebih 150 tahun bakal menjadi tarikan terbaru di Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) tidak lama lagi.

Pengarah Muzium Warisan Melayu UPM Dr Muhammad Pauzi Abd Latif berkata, Rumah Bujang Berselasar di Kampung Tanjung, di sini, milik pembuat perahu dan tembaga Allahyarham Wan Muda Hassan dipilih berdasarkan ciri-ciri tradisional dan keunikan yang ada pada rumah itu.

Dr Muhammad Pauzi berkata, ia rumah tradisional ketiga selepas rumah tradisional pembesar Seri Menanti Negeri Sembilan dikenali sebagai Datuk Raja Diwangsa, Muhammad Yunus Jabar atau lebih dikenali sebagai Tok Tonso, dan Rumah Kutai Perak.

“Dua rumah tradisional sebelum ini mewakili zon Selatan dan Timur.

Jadi, dengan adanya Rumah Bujang Berselasar, ia bakal melengkapkan lagi koleksi rumah tradisional di muzium itu.

“Ini sebahagian usaha kami untuk menyelamatkan rumah tradisional Melayu bagi memastikan ia terus terpelihara untuk tatapan generasi akan datang.

“Rumah tradisional Melayu dulu mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri pada seni binanya.

Jadi, ia perlu dipelihara bukan saja untuk tatapan generasi akan datang tetapi sebagai rujukan untuk tujuan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan,” katanya yang ditemui selepas proses membuka dan pemindahan rumah Melayu Tradisional, di sini, semalam.

Hadir sama, Pensyarah Kanan Jabatan Seni Bina UPM Dr Mohamad Fakri Zaky Jaa’far dan cucu kepada arwah Wan Muda, Wan Ahmad Hassan Wan Abdullah.

Dr Muhammad Pauzi berkata, kerja-kerja membuka rumah berkenaan mengambil masa tiga hari bermula kelmarin sebelum ia dipindahkan ke UPM dan usaha memasang semula rumah itu dijangka mengambil masa tiga bulan.

Beliau berkata, antara ciri-ciri rumah tradisional lama Terengganu adalah ia diperbuat daripada kayu cengal, lantai mempunyai pasak dan mempunyai 12 tiang yang menjadikan ia unik serta istimewa.

“Selain menggunakan kayu berkualiti tinggi, ia mempunyai salur angin dan papan dinding yang mana ciri-ciri ini tidak ada pada kediaman masa kini,” katanya sambil memaklumkan, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said turut menyokong usaha UPM memindahkan rumah berkenaan untuk tujuan pemeliharaan.

Sementara itu, Wan Ahmad Hassan terharu pihak UPM memilih rumah pusaka milik arwah datuknya sebagai koleksi terbaru.

“Inisiatif diambil pihak UPM sewajarnya menjadi contoh kerana ia memberi peluang kepada masyarakat, terutama generasi muda, untuk lebih mengenali dan mempelajari tradisi pembuatan dan kesenian rumah tradisional yang ada.

“Jika tiada usaha sebegini, rumah tradisional akan lenyap sebegitu saja,” katanya.

myMetro


Keunikan bujang berselasar

Oleh ROSALINDA MD. SAID
19 Mac 2014


PETUGAS melakukan kerja-kerja membuka rumah tradisional Terengganu untuk dipindahkan ke Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia.

KUALA TERENGGANU 19 Mac - Seni bina rumah tradisional merupakan sebahagian daripada gambaran sejarah perkembangan ketamadunan bangsa yang dikaitkan dengan sifat kreatif dan inovatif masyarakat Melayu silam.

Melalui reka bentuk dan cara pembuatannya, warisan itu yang dilanda arus kehidupan moden hampir lenyap bersama ketinggian ilmu seni pertukangan dengan setiap ciptaan membawa maksud tersendiri dalam kehidupan selain keindahannya.

Ia disesuaikan pula fungsinya dengan pegangan agama dan kepercayaan, hubungan kemasyarakatan, cuaca dan persekitaran yang boleh dilihat mencapai titik kesempurnaan melalui rumah bujang beselasar (berserambi).

Rumah jenis itu merupakan antara bentuk terawal dibina dan paling popular dalam sejarah pembuatan rumah tradisional di negeri ini selain rumah bujang berpeleh, rumah tele dan rumah limas potong Belanda.

Salah satu warisan terakhir itu masih boleh dilihat dalam bentuk asalnya merupakan milik Wan Ahmad Hassan Wan Abdullah, 57, di Kampung Tanjong Pasar dekat di sini, namun dalam keadaan uzur dan menunggu masa diruntuhkan bagi memberikan laluan kepada projek pembangunan kawasan itu.

Ia bakal menjadi tidak lebih sebagai satu longgokan kayu buruk dan terbuang. Namun Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM) melihat itu suatu khazanah yang berharga dan peluang memilikinya tidak dilepaskan begitu sahaja.

Kewujudan rumah bujang berselasar di muzium itu yang akan dibangunkan semula dalam bentuk asal bakal melengkapkan penempatan rumah tradisional yang dikategorikan mengikut tiga zon selain rumah kutai Perak (zon utara) dan rumah minang (zon selatan).

Rumah berusia hampir 150 tahun dibina sendiri oleh pemiliknya, Wan Muda Wan Hassan, seorang pembuat perahu serta barangan tembaga itu memperlihatkan ciri-ciri unik yang tidak terdapat pada kebanyakan rumah tradisional lain di sekitar Semenanjung.

Wan Ahmad Hassan yang mewarisinya, menyerahkan secara rasmi kepada pengarah muzium berkenaan, Dr. Muhammad Pauzi Abd. Latif baru-baru ini sebelum kerja-kerja menanggalkan rumah itu dilakukan untuk dibawa ke muzium.

Menurut Dr. Muhammad

Pauzi, pihaknya berusaha mencari rumah sebegitu sejak tahun lalu dan berasa bertuah berpeluang mendapatkannya, bukan sahaja untuk koleksi pameran dan diabadikan tetapi sebagai bahan pengajian dan penyelidikan serta pemuliharaan.

"Dalam catatan pengkaji barat ada menyatakan rumah bujang berselasar berusia hampir 150 tahun dan dengan ciri papan dinding kembung yang terdapat pada rumah ini secara tidak langsung membuktikan usianya yang lebih satu abad.

"UPM sangat berminat dengan rumah yang didirikan oleh Allahyarham Wan Muda Wan Hassan kerana ia mempunyai ciri yang tidak ada pada kebanyakan rumah Melayu lain di Semenanjung.

"Bagi saya, rumah ini mempunyai banyak keunikan selain tanpa elemen paku, seperti diperbuat daripada kayu cengal yang berlantaikan kayu seraya serta bertiang 12 selain lantainya berpasak dan berselak," katanya.

Rumah bujang berselasar lazimnya berbumbung panjang dengan papan pemeleh dan beralas atap singgora memberi tekstur menarik selain identitinya turut terletak pada struktur tiang dan ruang selasar, rumah ibu dan dapur.

Sesuai dengan namanya bujang, rumah ini tidak mempunyai bilik sebaliknya hanya mempunyai ruang luas (rumah ibu) kerana masyarakat Melayu mementingkan perjumpaan atau berkumpul untuk majlis keramaian dan keagamaan.

Aras paling tinggi adalah rumah ibu yang boleh dilalui di bawahnya dengan pelbagai aktiviti harian boleh dijalankan atau untuk teduhan barangan kelengkapan manakala selasar hanya setinggi paras pinggang orang dewasa.

Selasar berfungsi sebagai ruang untuk mengajar mengaji, menjahit pukat atau jala dan aktiviti santai yang banyak melibatkan kaum lelaki.

Bercerita lebih lanjut mengenai butiran rumah itu, Dr. Muhammad Pauzi berkata, rasional di sebalik lantai jarang adalah untuk memenuhi keperluan seperti membasuh lantai, memandikan mayat, menyapu menyapu habuk, selain menyejukkan.

Salur angin yang menghiasi dinding rumah bagi menggantikan tingkap pula berfungsi untuk memberi pengudaraan dan pencahayaan yang baik di ruang rumah ibu.

"Elemen tangga juga penting dalam rumah bujang berselasar dan terdapat sebuah tangga yang menghubungkan selasar dengan tanah dan selasar dan ruang ibu.

"Binaan bumbung yang rendah pada pintu sekali gus menuntut posisi menunduk ketika memasuki rumah ibu sebagai tanda hormat kepada tuan rumah," katanya.

Sementara itu, Wan Ahmad Hassan berkata, dia terharu dengan inisiatif UPM dan tidak sangka rumah pusaka berkenaan mempunyai nilai begitu tinggi sehingga dibeli untuk terus dibangunkan semula.

"Menurut cerita ayah, selepas datuk meninggal pada 1937, semua anak-anaknya berpindah. Rumah itu kemudian disewakan sampai kini. Jadi boleh dikatakan kesemua generasi cucu termasuk saya tidak pernah tinggal di rumah itu.

Wan Ahmad Hassan melahirkan rasa terharu dan bangga apabila pihak UPM mengambil inisiatif mengambil rumah berkenaan untuk dijadikan sebagai bahan sejarah.

"Sekiranya mereka tidak mengambil rumah ini, ia akan dirobohkan begitu sahaja kerana kampung ini akan dimajukan.

"Dengan terpeliharanya rumah ini, ia juga mengekalkan sejarah kepada keluarga kami kerana arwah datuk yang membina rumah ini dan kami adik-beradik akan dapat terus melihat warisan itu di muzium kelak," katanya.

Comments

Post a Comment