Scam Alert

SCAM ALERT: Orang ramai dinasihatkan tidak tertipu dengan tawaran hadiah mewah seperti kereta melalui cabutan bertuah resit pembelian pasar raya. Suspek kebiasaannya mensasarkan golongan lelaki berumur sekitar 40-an atau yang sudah bersara sebagai mangsa.

Modus operandi digunakan:
1. Suspek akan menyamar sebagai pengurus pasar raya sebelum mengunjungi mangsa yang selesai membeli-belah.
2. Suspek meminta resit pembelian daripada mangsa dan memaklumkan nombor resit terbabit sama dengan nombor enjin kenderaan yang akan dihadiahkan kepada mangsa.
3. Suspek memaklumkan hadiah kereta itu akan diserahkan selepas mangsa membayar sejumlah wang bagi tujuan membayar insurans dan cukai jalan bagi kenderaan tersebut.
4. Sebaik suspek menerima wang, dia akan meminta mangsa menunggu proses penyerahan kereta, sebelum dia menghilangkan diri.

Sumber : Polis Diraja Malaysia

 JANGAN JADI MANGSA: Berhati-hati dengan penipuan kewangan melalui panggilan telefon, e-mel dan SMS. Anda dinasihatkan agar tidak mendedahkan maklumat keselamatan kewangan anda kepada sesiapa sahaja dalam apa jua keadaan pun, sekiranya anda menerima panggilan telefon, SMS atau e-mel yang tidak diundang.

Lindungi diri anda dengan tidak melayan mana-mana pihak diundang yang menghubungi anda. Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) menasihatkan, jika anda telah menerima permintaan seperti itu, JANGAN mengendahkanya.

Sumber: Bank Negara Malaysia



 PENIPUAN KEWANGAN MELALUI PANGGILAN TELEFON

SCAM ALERT : Sindiket yang didalangi oleh warga tempatan dan warga asing menggunakan peralatan khas di mana membolehkan nombor telefon Bank Negara Malaysia tertera di skrin telefon bimbit mangsa. Taktik ini menyebabkan mangsa mudah percaya dan tertipu.

Modus operandi :
1. Sindiket akan menghubungi mangsa dan mendakwa kad kredit mereka digunakan telah digunakan oleh orang lain.
2. Sindiket yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara Malaysia tersebut mendakwa akaun bank mangsa telah disiasat.
3. Sindiket kemudian meminta mangsa memindahkan semua wang ke dalam akaun khas bagi mengelakkan wang itu dilarikan penjenayah yang memalsukan identiti mereka.

Nasihat polis
1. Berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan panggilan telefon oleh mana-mana individu yang mendakwa diri pegawai kerajaan atau swasta (pegawai polis, pegawai Bank Negara Malaysia atau pegawai bank) memaklumkan akaun bank anda digunakan oleh orang lain.
2. Semak dengan pihak yang bertanggungjawab terlebih dahulu.
3. Jangan menghubungi nombor telefon yang diberikan oleh mana-mana orang yang melalui telefon, sebaliknya hubungi nombor rasmi agensi tersebut.
4. Untuk pertanyaan lanjut dan hasihat hubungi Pusat Hubungan Pelangan Bank Negara Malaysia (BNMTELELINK)di talian 1300 88 5465

Sumber : Polis Diraja Malaysia

 
 BE SMART: Do Not Respond To Spoofing

1. Berhati-hati dengan panggilan daripada individu yang mengaku dirinya pegawai bank atau pegawai kerajaan.
2. Dalam apa jua keadaan, jangan sesekali berbalas emel atau sistem pesanan ringkas (SMS) kepada alamat atau nombor telefon yang mencurigakan.
3. Jangan sesekali mengikut arahan yang meminta anda mengubah maklumat sulit terutamanya ID pengguna dan kata laluan.
4. Padam semua emel atau SMS yang diterima daripada sumber yang tidak boleh dipercayai.

Kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM bersama Lim Kok Wing University


 PENIPUAN WANG PUSAKA

SCAM ALERT: Taktik menjalinkan persahabatan dan meraih simpati dijadikan modal untuk sindiket ‘memancing’ mangsa sehingga mampu mengaut keuntungan berpuluh ribu ringgit.

Modus Operandi
1. Sindiket berkenalan dengan mangsa melalui laman-laman sosial.
2. Sindiket menjalin persahabatan dengan mangsa untuk meyakinkan bahawa dia benar-benar wujud dan pada masa yang sama sindiket mendakwa menderita penyakit yang boleh membawa maut serta berkemungkinan menemui ajal dalam masa yang terdekat.
3. Mangsa mula berasa simpati dan melayan semua emel yang dihantar oleh sindiket.
4. Sindiket meminta bantuan dari segi kewangan daripada mangsa kononnya menampung kos pembedahan dan pada masa yang sama sindiket mendakwa mewarisi harta pusaka berjumlah jutaan ringgit.
5. Mangsa kemudiannya menerima emel kononnya daripada seorang peguam yang memaklumkan mangsa merupakan pewaris harta pusaka selepas memberitahu pewaris asal telah pun meninggal dunia.
6. Mangsa diminta membuat bayaran kononnya bagi proses memindahkan harta pusaka tersebut.
7. Mangsa menyedari ditipu apabila harta pusaka yang dijanjikan tidak diperolehi walaupun sudah membuat bayaran seperti yang diminta.

Orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan kenalan melalui internet terutamanya dari segi kewangan. Jangan jadi mangsa seterusnya.

Sumber : Polis Diraja Malaysia

 

Comments