Sahlan Mohd Saman

Prof Dr Sahlan Mohd Saman telah kembali ke rahmatullah pada
31 Mac 2014
Alfatihah

MASYARAKAT SASTERA SABAH BERSEDIH ATAS PEMERGIAN PROF SAHLAN

KALAU ada peristiwa yang membuat khalayak sastera di Sabah bersedih minggu ini, ia tidak lain kerana menerima berita mengenai kepulangan Allahyarham Profesor Dr Sahlan Mohd Saman ke negeri yang lebih kekal dan abadi.

Kehadirannya untuk berbakti di negeri ini memberikan harapan besar, bukan saja untuk membantu menumbuhkan potensi baru dalam dunia esei dan kritikan yang agak kering kontang di Sabah tetapi beliau boleh menurunkan ilmu kritikan sastera yang dimilikinya.

Beliau seorang tokoh sastera, penulis esei dan pengkritik,pakar sastera bandingan yang terkemuka di negara ini.Selepas bersara sebagai pensyarah di Jabatan Persuratan Melayu (JPM) Universiti Kebangsaan Malaysia (Bangi), beliau pernah bertugas di Universiti Brunei Darussalam (UBD). Sebenarnya,beliau sudah bersara di kampungnya, sebelum menerima tawaran untuk berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Ketika mula berbakti di UMS pada 1 Januari lalu beliau sempat menulis di laman facebooknya.

Katanya,beliau "berhijrah menghimpun zarah ilmu untuk disedekahkan disamping mematangkan pemikiran dan memperkayakan pengalaman sebelum istirehat panjang dan pulang...."

"Pemergiannya satu kehilangan besar kepada kita. Banyak perkara yang direncanakan tetapi tidak kesampaian kerana Allah lebih menyayanginya. Kita tidak sempat menangguk ilmunya untuk dikembangkan bagi membangunkan sastera di Sabah melalui esei dan kritikan yang bernas," kata Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS), Sukor Haji Usin.

Beliau adalah seorang pakar sastera bandingan, katanya. Profesor Dr Sahlan meninggalkan banyak jasa bukan saja kepada sastera tetapi juga dalam membimbing sarjana-sarjana sastera di negara ini.

Beliau dilahirkan pada 3 November 1949 di Sungai Besar Sabak Bernam Selangor. Menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Parit Enam Sungai Besar Sabak Bernam dari tahun 1957 hingga 1959. Kemudian beliau bersekolah di National Type Primary School Sabak Bernam pada tahun 1960 dan meyambung pelajaran menengah di Sekolah Menengah di National Type Secondary School dari tahun 1963 hingga 1967.

Sebaik tamat persekolahan, beliau mengikuti Kursus Perguruan di Maktab Ilmu Khas Kuala Lumpur dari tahun 1971-1973.Sebaik tamat kursus, Dr Sahlan mengajar di Sekolah Menengah Kem Terendak Melaka. Kemudian beliau menyambung pelajaran di UKM pada tahun 1974 hingga 1978 hingga lulus Sarjana Muda Sastera. Selepas itu, beliau ditawarkan jadi tutor di Universiti yang sama sebelum berangkat ke Filipina untuk menyabung pengajian di Department of English and Comparative Literature University of Philippines Quezon City sehingga mendapat Sarjana Sastera pada tahun 1979 hingga 1980.

Sekembalinya ke tanahair, beliau dilantik sebagai pensyarah di Jabatan Persuratan Melayu UKM. Beliau memperolehi ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Malaya pada tahun 1992 dengan disertasi Novel Perang Filipina, Indonesia dan Malaysia, Satu Kajian Perbandingan.

"Masyarakat sastera di Sabah sangat gembira dan bahagia dengan kehadirannya di Bumi bawah bayu kerana dia seringkali menyumbangkan bakti tanpa kenal jemu kepada penulis-penulis di Sabah. Tentu sahaja Tuhan telah menentukan bahawa dia akan kembali menemui Tuhan di negeri Sabah sebagaimana almarhum guru kami Allahyarham Dr Othman Puteh. Al fatihah kepada kedua-dua guruku dan guru 'masyarakat sastera' di Sabah," kata Prof Madya Dr Asmiaty Amat.

Hampir semua orang merasa terkejut dan kehilangan. Beliau meninggal disyaki kerana serangan jantung di rumahnya di UCA Apartment sebelum dibawa pulang dan dikebumikan di Bangi Selangor.

ABDNADDIN






Biografi Sahlan Mohd Saman

(Mohd. Sahlan bin Mohd. Saman, Prof. Madya Dr.)

LAHIR : 3 November 1949, di Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor.

DALAM dunia kesusasteraan Malaysia, Sahlan Mohd. Saman lebih dikenali sebagai penulis esei dan pengkritik walaupun pada peringkat awal penglibatannya, beliau menghasilkan cerpen. Beliau juga menguasai ilmu sastera bandingan, iaitu satu-satunya bidang pengajian yang sedang giat diajar dan dipelajari di pusat-pusat pengajian tinggi di negara ini.

Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Parit Enam, Sungai Besar, Sabak Bernam dari tahun 1957 hingga 1959. Seterusnya beliau bersekolah di National Type Primary School, Sabak Bernam pada tahun 1960. Sahlan memulakan persekolahan menengahnya di National Type Secondary School dari tahun 1963 hingga 1967. Tamat persekolahan, Sahlan mengikuti kursus perguruan di Maktab Ilmu Khas, Kuala Lumpur selama tiga tahun (1971-1973). Sebelum itu, Sahlan pernah bekerja sebagai kerani untuk beberapa ketika. Apabila tamat kursus, beliau mengajar di Sekolah Menengah Kem Terendak, Melaka.

Selepas beberapa tahun mengajar (1973-1978), Sahlan menyambung pengajiannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1974 hingga lulus Sarjana Muda Sastera. Dengan ijazah yang dimiliki ini, beliau ditawarkan menjadi tutor di universiti yang sama sebelum berangkat ke Filipina dan menuntut di Department of English and Comparative Literature di University of Philippines, Quezon City bagi memperoleh Ijazah Sarjana Sastera dari tahun 1979 hingga 1980. Sekembalinya ke tanah air, Sahlan ditawarkan jawatan pensyarah di Jabatan Persuratan Melayu, UKM. Beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Malaya pada tahun 1992 dengan disertasi yang berjudul “Novel Perang Filipina, Indonesia dan Malaysia: Satu Kajian Perbandingan”. Kini beliau ialah Profesor Madya yang bertanggungjawab sebagai Ketua Jabatan Persuratan Melayu, di samping memberi kuliah tentang kesusasteraan bandingan, stilistik dan kesusasteraan Filipina.


Sahlan melibatkan diri dalam dunia penulisan pada tahun 1975 dengan mencuba bakat menulis cerpen dan menyertai sayembara menulis cerpen anjuran UKM. Cerpen yang berjudul “Gelungsur” adalah cerpen pertama beliau yang mendapat tempat dalam akhbar Berita Minggu, 11 April 1976. Selain Berita Minggu, cerpen-cerpen beliau tersiar dalam Utusan Zaman dan Mastika. Sehingga kini Sahlan hanya mampu menghasilkan tujuh buah cerpen. Ada antara cerpennya termuat dalam dua buah antologi, iaitu Pelarian yang Pulang dan Pemburu Kota I adalah kumpulan cerpen beliau yang berjaya diterbitkan. Manakala esei pertamanya yang berjudul “Suatu Rensensi Intrinsik Cerpen-cerpen Ali Majod” tersiar dalam Dewan Sastera, Mei 1976.

Sebagai ahli akademik, masa bagi Sahlan banyak ditumpukan kepada pembacaan dan penelitian terhadap ilmu dan teori sastera. Kerja-kerja harian ini akhirnya mendorong Sahlan menghasilkan lebih banyak esei dan kritikan sastera khasnya sastera Melayu. Kebanyakan esei/kritikan sastera Sahlan terkumpul dalam Menikmati Karya Sastera dan beberapa buah lagi yang dihasilkan bersama Hashim Awang, Ramli Isin, Abdul Ahmad dan Ahmad Kamal Abdullah.

Sepanjang penglibatannya dalam dunia penulisan, Sahlan sering memenangi hadiah peraduan sastera, antaranya hadiah kedua Peraduan Menulis Esei Kritikan Dewan Bahasa dan Pustaka 1977. Pada tahun 1978, beliau memenangi Hadiah Sastera UKM bagi cerpen yang berjudul “Pungguk”. Semasa di Filipina, Sahlan dianugerahi “Up Faculty Award” sebagai Siswazah Terbaik di Faculty of Arts and Sciences, University of the Philippines pada tahun 1980. Dalam Sayembara Cerpen Remaja ESSO-GAPENA 1981, dua buah cerpennya telah mendapat hadiah penghargaan.

Sahlan aktif berpersatuan dan pernah menjadi Ahli Jawatankuasa PENA dari tahun 1984 hingga 1985 dan Ahli Jawatankuasa GAPENA (1994-1996). Beliau juga ialah ahli Persatuan Pengajian Melayu Malaysia, dan pernah menjadi Setiausaha I Persatuan Penulis Selangor (PPS). Kini Sahlan menjadi Ketua 1 PPS. Sahlan juga dilantik menjadi panel peraduan serta sayembara sastera seperti Sayembara Novel Yayasan Sabah-GAPENA (1981), Puisi ESSO-GAPENA (1986) dan Hadiah Sastera Malaysia (1985-2000). Beliau sering diundang membentangkan kertas kerja atau sebagai penceramah dalam banyak seminar dan acara-acara sastera seperti pada pertemuan Southeast Asian Young Writers’ Conference di Baguio, Filipina (1983) dan di Bali, Indonesia (1985). Sejak 1990 beliau sering membentangkan kertas kerja kesusasteraan bandingan di Hull, Leiden, Berlin, Beijing, Pattani, Jakarta dan Bandar Seri Begawan.


KARYA

Cerpen
- Pelarian yang Pulang (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983
- Pemburu Kota I (antologi bersama). Petaling Jaya: Heinemann Educational Book (Asia) Ltd., 1983
- Hari Kemerdekaan (bersama Ramli Isin). Shah Alam: Marwilis Publisher & Distributors, 1987

Kajian
- A Comparative Study of the Malaysian and the Philippines War Novels. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1984
- Menikmati Karya Sastera. Kuala Lumpur: Pustaka Ilmu Raya; 1984
- Kritikan: Situasi Mutakhir dan Arah Masa Depan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985
- Mendekati Kesusasteraan Melayu (bersama Hashim Awang dan Ramli Isin). Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1985
- Memperkatakan Tiga Genre Kesusasteraan (bersama Othman Puteh dan Ramli Isin). Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986
- Sastera Bandingan: Konsep, Teori dan Amalan. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986
- Sejarah Kesusasteraan Melayu Jilid II (bersama Ahmad Kamal Abdullah, Hashim Awang et. al.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990
- Novel Perang dalam Kesusasteraan Melayu, Indonesia dan Filipina. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995
- Sastera Bandingan dari Perspektif Kita. Bangi: Fakulti Sains Kemanusiaan dan Kemasyarakatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1995
- Tokoh dan Kecenderungan Kritikan Sastera Mutakhir. Bangi: Persatuan Penulis Selangor, 1999

Comments