Natrah





Teater Natrah disambung empat hari



Teater Natrah yang mendapat sambutan ramai di Istana Budaya, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Teater Natrah yang sedang berlangsung di Istana Budaya (IB) mencipta sejarah tersendiri apabila kerajaan bersetuju menyambung pementasannya untuk tempoh empat hari lagi.

Keputusan memanjangkan tempoh pementasan teater arahan Erma Fatima itu dibuat oleh IB selepas mendapat saranan daripada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang mahu Natrah ditonton oleh lebih ramai rakyat Malaysia.

Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani berkata, teater mengupas tragedi wanita bernama Natrah yang menyayat hati dan pernah mencetuskan rusuhan berdarah itu akan terus dipentaskan di Panggung Sari, IB sehingga 13 Disember ini.

"Persetujuan menyambung pementasan Natrah akan memberi peluang kepada 6,000 orang yang tidak berpeluang menontonnya untuk sama-sama menghayati sejarah," kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mohamed Juhari, sehingga kini jualan tiket pementasan teater Natrah mendapat sambutan luar biasa daripada para peminat.

Tiket-tiket berharga RM50, RM70, RM100 dan RM150 untuk pementasan sehingga 9 Disember sudah habis dijual kecuali tiket berharga RM30.

Sementara itu, Mohamed Juhari mengumumkan, IB juga sudah mula menjual tiket pementasan Natrah untuk tarikh baru 10 hingga 13 Disember ini.

Mereka yang berminat untuk membeli tiket-tiket berharga RM30, RM50, RM70, RM100 dan RM150 boleh menghubungi Box Office (03-40265558, 03-40265558) atau www. istanabudaya.gov.my.

Teater Natrah dibintangi oleh Maya Karin selaku Natrah ketika berusia 13 dan 20 tahun, Remy Ishak (Mansor Adabi), Umie Aida (Che Aminah), Sofia Jane (Natrah ketika berusia 70 tahun) dan Samantha Schubert (Adeline).

Pementasan selama dua jam itu mengandungi tujuh buah lagu.

Selain barisan pelakon utama, teater Natrah turut melibatkan hampir 100 pelakon lain termasuk pelakon kanak-kanak.

Ia menceritakan kisah benar seorang wanita Belanda yang bernama Natrah atau Maria Huberdina Hertogh yang diserahkan oleh ibunya kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya yang ditawan tentera Jepun.

Sejak ditinggalkan bersama Che Aminah, Natrah dipelihara dan menjalani hidup dalam suasana dan budaya Islam.

Namun apabila bapanya Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom oleh tentera Amerika Syarikat (AS), dia pulang ke Bandung, Jawa untuk mencari anaknya Natrah yang ketika itu berada di Terengganu.

Konflik berlaku apabila perebutan antara Che Aminah dan ibu bapa Natrah di Belanda.

Che Aminah yang diwakili peguam Ahmad Ibrahim menang dalam kes rayuan dan Natrah dikembalikan ke pangkuannya.

Kerana takut peristiwa berulang, Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di Singapura.

Natrah pada ketika itu berusia 13 tahun manakala Mansor berusia 22 tahun.

Sungguhpun undang-undang Syariah Islam membenarkan perempuan berkahwin dalam usia tersebut namun mengikut Undang-Undang Belanda, kehidupan seorang anak yang berumur di bawah usia 16 tahun ditentukan oleh bapa kanak-kanak tersebut.

Natrah akhirnya diperintahkan supaya dipulangkan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda.

Keputusan mahkamah itu menimbulkan kemarahan masyarakat Islam di Singapura, sehingga berlaku rusuhan yang dikenali sebagai Rusuhan Natrah.

Mengikut laporan, seramai 18 orang terbunuh dan kira-kira 200 orang cedera dalam tragedi itu ketika mereka bertempur dengan tentera dan polis British, sehingga Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung selama dua hari dua malam.

utusan malaysia






Teater Natrah mungkin difilemkan

Dr. Rais Yatim mengucapkan tahniah kepada Pengarah Teater Natrah, Erma Fatima (tiga, kiri) selepas menonton persembahan teater itu di Istana Budaya baru-baru ini.

KEJAYAAN pementasan teater Natrah arahan Erma Fatima menarik perhatian banyak pihak.

Tiada siapa yang pernah menyangka, pementasan naskhah berat itu akan menarik perhatian segenap lapisan masyarakat.

Turut membanggakan, pementasan itu terpaksa ditambah empat hari lagi memandangkan sambutan luar biasa diberikan oleh peminat seni tanah air.

Seharusnya, kredit perlu diberikan kepada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang mencetuskan idea pementasan teater berkenaan.

Begitu juga dengan komitmen Istana Budaya khususunya Ketua Pengarahnya, Mohamed Juhari Shaarani yang begitu dedikasi memastikan Natrah mendapat kejayaan.

Kejayaan Natrah juga memberikan khabar menarik apabila Rais membayangkan naskhah yang mengupas kehidupan wanita Belanda bernama Nadra Maarof, atau nama asalnya, Bertha Heartogh yang dipelihara oleh seorang wanita Melayu mungkin difilemkan.

Menurut beliau, perkara itu akan dikaji daripada semua aspek termasuk skrip.

"Kita (kementerian) sedang cetuskan idea untuk buat filem tetapi skripnya harus berbeza sedikit. Tidak wajar bagi kita mengambil 100 peratus daripada sudut pementasan untuk dijadikan filem.

"Tetapi kalau nak dijadikan filem ada beberapa pengolahan yang perlu dilaksanakan supaya lebih menarik daripada segi skrip dan penceritaannya.

Sebagai satu pementasan saya kira ia telah berjaya," demikian umum Rais kepada wartawan selepas menonton teater Natrah baru-baru ini.

Menurut Rais, memandangkan kejayaan yang ditempa Istana Budaya melalui pementasan teater Natrah, beliau meminta supaya penggiat seni supaya tidak takut untuk membuat eksperimen teater bagi tontonan masyarakat.

Teater Natrah memaparkan perebutan hak penjagaan antara Che Aminah Mohamad dengan ibu bapa Natrah di Belanda dan konflik percintaan antara Natrah dengan pemuda Melayu, Mansor Adabi yang menyebabkan terjadi rusuhan di Singapura pada tahun 1950.

Rusuhan itu terjadi ekoran wujudnya sentimen agama dan warna kulit. Natrah meninggal dunia pada umur 72 tahun di Huijbergen, Belanda akibat leukemia pada 9 Julai 2009.

Pementasan berkenaan berakhir pada 13 Disember lepas.





Pentas 1 Natrah

Comments