14 Apr 2014

Nasib Sastera




Sastera Melayu makin menguncup
Oleh MULIA KURNIAWAN

BANYAK tanda yang menunjukkan bahawa realiti sastera Melayu semasa berada pada paras yang kurang memberangsangkan. Sastera semasa dilihat kebelakangan ini tidak lebih daripada sekadar rentetan atau kesinambungan daripada perkembangan sebelumnya tanpa memperlihatkan sesuatu kemajuan yang besar dan membanggakan.

Peneliti sastera umumnya menyatukan pendapat bahawa era 1970-an merupakan lonjakan terbaik dalam landskapnya di tanah air. Kemajuan yang dicapai pada waktu itu ketara selepas negara mencapai kemerdekaannya, dan melepas era 1960-an yang menjadi tapak kukuh perkembangan pesat dekad selepasnya.

Penerbitan memainkan peranan penting. Perlu disebut, penanda aras baharu, terbitnya majalah Dewan Sastera (dieja Dewan Sastra pada awal penerbitannya) pada 15 Januari 1971 memberi nafas yang segar dan menjanjikan dalam momentum pergerakannya. Media penerbitan terus memainkan peranan besar memuatkan pelbagai bentuk penulisan kreatif seolah-olah ‘melepas geram’ sejak kita beroleh kemerdekaan yang cepat membentuk satu acuan terpenting sastera Melayu era itu.

Pemberian Hadiah Karya Sastera yang juga bermula pada tahun 1971 oleh kerajaan menyuntik dorongan yang sangat luar biasa. Penulis muncul, karya sastera tumbuh di sana sini. Sekiranya penerbitan buku menjadi pencapaian baharu, hasil karya secara stensilan ikut sama menumpang, malahan ada yang diangkat, diberikan hadiah oleh ketinggian tahap ciptaannya.

Selain majalah dan akhbar arus perdana, akhbar tabloid dan majalah yang dianggap picisan turut menyambut meraikan kemeriahan dunia sastera. Tidak syak lagi sastera diberikan tempat yang sedikit terhormat dalam dua dekad sebelumnya.

Pengarang dikenali, buku-buku dicari, selebihnya sastera mula dilihat sebagai boleh memainkan peranan dalam membina masyarakat dan arah pembangunan negara apabila sasterawan didengar suaranya. Banyak seruan yang membina dizahirkan sasterawan baik melalui lontaran pandangan malahan yang jauh tersirat dalam hasil ciptaan.


Entah di manakah silapnya, pemikiran kesusasteraan kemudiannya semakin layu. Banyak yang tersadai dek idealisme yang terbantut. Tidak kurang juga yang berjaya ‘didiamkan’ pihak berkepentingan. Yang lain beralih arah mencari alur dan rentak kehidupan di lapangan berlainan. Buku-buku yang diterbitkan semakin hilang punca. Kegiatan lebih merupakan redundensi kepada sekian yang ada. Pemberian Anugerah Sastera Negara, bagi kebanyakan orang pula tidak lebih sekadar melepaskan batuk di tangga. Jangan buat-buat lupa, SEA Write dan beberapa yang lain bukan pemberian asli kita! Anugerah MASTERA pula ketara kurang impaknya sehinggakan seolah-olah tidak dipedulikan sesiapa.

Sastera kita pun mula dimomokkan. Buku lebih cenderung diterbit untuk mengejar keuntungan. Bayangkan sepanjang 10 tahun dekad yang lalu, kita hanya ingat satu judul Naratif Ogonshoto karya Sasterawan Negara Anwar Ridhwan sahaja. Selain itu, seperti kebanyakannya, karya lahir dan menghilang di ufuk pandangan tanpa kesan tanpa bekasnya. Pemberian hadiah lebih hanya untuk menutup mulut pengkritik nakal yang sering kalinya mudah ‘meroyan.’

Ketika kemajuan dan perkembangan sastera banyak negara luar terus-terusan mencipta rentak dinamiknya, semakin kita terasakan kerdil tak bermaya. Keadaan lesu sastera Melayu tidak lagi boleh dibiarkan layu terlalu lama. Kita perlu segera bangkit. Masyarakat meminta satu pembaharuan cepat dibina. Seiring transformasi di segenap lapangan dalam pentadbiran kerajaan barang kali penggerak kesusasteraan Melayu patut membentuk anjakannya yang tersendiri juga.

Kunci

Sastera kita dalam keadaan semasa seolah-olah kehilangan ‘induknya’. Maka, rasanya tidak keterlaluan jika dituntut sebuah badan penyelaras yang dikenal pasti untuk memegang ratusan kunci ke arah membangunkan semula kesusasteraan Melayu kita. Badan penyelaras ini boleh dibentuk kerajaan ataupun dijantungkan sebuah NGO seumpama Perkasa. Melaluinya, pelbagai penyelarasan dapat dilaksana.


Pertama, gerakan untuk menentukan hala tuju yang jelas akan orientasi penghasilan karya kreatif negara. Ia kedengarannya agak besar. Akan tetapi, ia penting difikirkan. Betul, sasterawan dan segala macam karyawan sukar disekat daya kreativiti dan kecenderungan berkarya mereka. Namun, kita perlu mempunyai satu kerangka yang wajar dipenuhi demi mengangkat hasil kesenian kita. Jika pada masa ini karya menjurus kepada perihal remeh-temeh sekitar diri dan peribadi, mengapakah tidak boleh difikirkan satu kecenderungan nasional dalam menggerakkan corak penulisan?

ASAS 50 mempunyai idealisme. Slogan ‘Seni untuk masyarakat’ yang dibawanya sebagaimana umum ketahui telah mencorakkan hala tuju penulisan. Jika negara mempunyai kepentingan, misalnya ke arah keteguhan jati diri bangsa dengan fikiran universal memperjuangkan kemanusiaan sejagat, mengapa tidak ini dijadikan asas penulisan pengarang dan sasterawan? Kita perlu terus-menerus menjana perkiraan seumpama ini dari semasa ke semasa, dan badan penyelaras ini yang kelak boleh membuka pintunya.

Badan penyelaras ini tidak bersifat menyekat, atau membantutkan, termasuk dalam bidang penerbitan buku. Benar juga hak penerbitan buku merupakan hak persendirian selagi mereka berniaga secara sah di sisi undang-undang.

Namun, kita juga percaya, kita mesti memiliki satu kerangka kerja dan wilayah kecenderungan yang beragenda serta menguntungkan. Sehingga ini, perlu diakui bahawa kita tercicir jauh dari sesuatu matlamat yang kukuh walaupun banyak berita diterima ada penerbit beroleh untung puluhan juta, dan ada pengarang telah kaya raya.

Soal royalti yang adil, soal pemasaran termasuk menghapuskan cengkaman lintah orang tengah yang mencekik, rancangan pembinaan pengarang, memperluas dan mencari kumpulan pembaca berkualiti, soal pemberian segala bentuk hadiah dan anugerah tidak terkecuali memikirkan anugerah-anugerah baharu yang diyakini lebih berimpak, soal promosi karya tempatan kepada khalayak sastera dunia antara lain hendaklah dijuruskan dengan cara yang lebih tersusun.

Setiap yang disebutkan ini penting. Soal sokongan dan dukungan kerajaan dilihat perlu memandangkan pengarang dan persatuan penulis tidak boleh bergerak tanpa dana yang mengizinkan, ilmu tambah kepada pengarang melalui pengajian di universiti atau segala bentuk peluang latihan, wajar dimasuk kira.

Semua maklum dan mengakui ada penggerak yang ampuh pada masa kini. GAPENA dan PENA dilihat amat penting. PENA misalnya sedang dinilai kerana menjadi rakan kongsi ITBM (Institut Terjemahan dan Buku Malaysia) yang mula berimpak kerana gerak dayanya yang dinamik.

Selebihnya, kita tidak mudah menyembunyikan rasa bimbang akan kedudukan sastera Melayu suatu hari kelak, hanya gah sebagai sastera akhbar-akhbaran. Pada ketika itu, kita tentu perlu menunggu berdekad-dekad lagi untuk bangun semula bagi mengatur langkah yang serba tak kena dengan mula bertatih sekali lagi!

utusan malaysia

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena