Monolog Jual Ubat



Jual Ubat akhirnya
Oleh RASDAN AHMAD


KHALID Salleh menjelajah ke seluruh negara dan beberapa bandar utama di Indonesia bersama teater monolog Jual Ubat. Semalam Khalid membuat persembahan di Makasar , Indonesia dan sambutannya sangat menggalakan.

Teater monolog sebenarnya tidak asing lagi kepada tokoh teater yang mula berteater sejak usia 12 tahun lagi. Bagaimanapun Jual Ubat mencatatkan pencapaian yang luar biasa dan menjadi satu fenomena. Selepas jauh menjelajah, Khalid membawa Jual Ubat kembali ke tanah air dan dipentaskan di Istana Budaya pada 11 hingga 17 Mac ini. Pementasan ini dianjurkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dengan kerjasama Persatuan Penulis Nasional (Pena) dan Istana Budaya.

Walaupun sesetengah pelakon teater menganggap peluang ke Istana Budaya sebagai tanda aras pencapaian dalam teater, tetapi Khalid telah beberapa kali menolak apabila dipelawa membuat persembahan di situ. Nampaknya persembahan di Istana Budaya ini bukanlah terlalu membanggakan Khalid sebaliknya untuk memberi peluang kepada penonton tempatan menikmati monolog Jual Ubat.

Khalid dianggap seniman yang sukar difahami, diberi peluang tidak direbut dan sanggup berteater secara kecil-kecilan. Sebenarnya dia berteater bukan seperti sesetengah artis yang mempunyai tujuan tertentu merebut peluang ke Istana Budaya. Tetapi Khalid berteater untuk melontarkan pemikirannya.

Menyingkap sejarah perjalanan seninya, Khalid pernah berteater untuk mengutip derma di sekolahnya ketika berusia 12 tahun. Dia dan rakan-rakan berjaya mengutip sejumlah wang untuk diberikan kepada pihak sekolah dan titik mula itu tidak pernah dilupakan hingga kini.

Biarpun tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang teater tetapi kreativitinya lahir dari pengalaman bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Jadi tidak hairanlah mengapa setiap karya seninya mempunyai gaya serta pengisiannya yang dalam dan sinis kepada sikap masyarakat. Khalid adalah antara tokoh kelahiran Anak Alam, sebuah gerakan seni dan budaya yang berpengaruh pada dekad 1970-an.

Pengalaman sebagai penjual ubat di kaki lima Jalan Masjid India, Kuala Lumpur banyak membantu Khalid dalam memahami manusia.menyokong karyanya.

Menurut Khalid, hanya dengan menggunakan budaya dirinya dan rasa manusia yang tinggi, dia mampu menyampaikan sesuatu kepada khalayak yang terpaku dengan ubatnya.

"Isi kandungan penyampaian monolog ini hanya bersahaja tetapi ada cerita di sebalik cerita. Saya saya tidak tampilkan barang-barang (props) sebagai sokongan, saya hanya menggunakan batu dan botol sahaja. Bagi saya itu sudah memadai kerana yang penting bukan props tetapi isi," jelas Khalid pada sidang media di Istana Budaya baru-baru ini.

Intipati monolog ini menurut Khalid, menyentuh persoalan kemanusian dan alam sejagat.

"Dalam diri manusia sendiri pun ada batu, batu yang saya maksudkan yang ada dalam manusia adalah ‘kepala batu’," jelas Khalid.

Ditanya di manakah arah tuju Jual Ubat selepas ini, jelas Khalid selain menjelajah di rantau Asia Tenggara, dia merancang untuk membawa monolog ini ke negara-negara Timur Tengah.

Menggalakkan

"Alhamdulillah setiap pementasan Jual Ubat di mana-mana sekalipun dapat sambutan yang menggalakkan. Saya dapat tahu dan kenal berbeza-beza khalayak di setiap pementasan. Mungkin di Istana Budaya ini juga saya akan bertemu dengan khalayak dan golongan yang lain dan berbeza," tegas Khalid.

Dalam pada itu Ketua Pengarah Istana Budaya, Juhari Shaarani berkata, pihaknya berhadapan kesukaran untuk mendapatkan Khalid Salleh bagi mempersembahkan karyanya di situ.

"Cukup sukar untuk mendapatkan Khalid, mujur kali ini pihak ITBM dan Pena berjaya memujuknya dan membantu kami bagi mendapatkan tokoh teater ini.

"Bagi saya, Khalid pejuang seni hebat yang pernah kita miliki. Rugilah sekiranya tidak dapat melihat karya-karya ciptaannya negara ini sedangkan Khalid terkenal di luar negara antaranya Singapura dan Indonesia kerana bakatnya," jelas Juhari.

Monolog Jual Ubat menampilkan dua bahagian yang dimainkan sendiri oleh Khalid sebagai si penjual ubat yang ingin menarik perhatian orang ramai. Pada bahagian pertama Khalid sedaya upaya memukau penonton di hadapannya dengan aksinya agar mereka kekal duduk mendengar celotehnya.

Bahagian keduanya pula menampilkan ceritera seorang penjual ubat dan seekor burung gagak di atas kepala. Bahagian kedua inilah isi sebenar monolog ini dipersembahkan. Isu-isu sosial, politik, jati diri Melayu-Islam akan digaul dalam Jual Ubat.

Antara yang menarik dalam monolog ini ialah tentang sejarah burung gagak. Kata Khalid, burung gagak itu dulunya seorang menteri yang menyalahgunakan duit rakyat dan menjadi hitam kerana kejahatan yang dilakukan biarpun sehingga kini tidak mengaku membuatnya.

utusan malaysia

Monolog Jual Ubat Di Pentas Istana Budaya


"..sekejap lagi saya akan beritahu. Supaya tuan-tuan, anda semua membuka minda, membuka akal fikir. Setidak-tidaknya menjadi manusia yang menggunakan otak, menjadikan satu-satunya anugerah Tuhan yang tidak diberi kepada makhluk lain, iaitu hati budi dan akal fikir berguna dan dimanfaatkan..." - Penjual Ubat, Pandirnya Si Pandir

Istana Budaya (IB), Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional (PENA) mempersembahkan Monolog Jual Ubat di pentas Lambang Sari, Istana Budaya bermula 11 hingga 17 Mac 2014 ini. Pementasan ini bakal berlangsung pada setiap hari selama tujuh (7) hari dengan dua (2) persembahan matinee pada 15 dan 16 Mac 2014.

Monolog Jual Ubat menampilkan Khalid Salleh sebagai pemain watak dan pendukung kepada karya yang telah mula dipersembahkan kepada umum lebih dua dekad lalu dan kini pula tampil di pentas prestij Istana Budaya. Sedikit elemen mistik ditonjolkan dalam monolog ini memberikan impak misteri kepada karya yang menyentuh isu sosial dan jati diri bangsa. Karya ini bukan sahaja telah dipertontonkan di khalayak tempatan, malahan mendapat sambutan hebat daripada masyarakat di negara jiran iaitu, Singapura dan beberapa daerah di Indonesia seperti Jakarta, Batam, Surabaya, Medan dan Makassar.

Peminat seni teater pasti menantikan aksi dan permainan kata Khalid Salleh yang bakal menusuk pemikiran mereka yang mahu melihat sisi lain si penjual ubat. Ubat apa yang dijual Khalid Salleh ini? Nantikan dan jangan ketinggalan menyaksikan Monolog Jual Ubat oleh Khalid Salleh di Lambang Sari Mac ini!

itbm



"Suara lengkingan tajam tiba-tiba merentap. Mencairkan semua pandangan kepada pecahan kaca dan bongkahan batu di tengah gelanggang. Si Penjual Ubat masih menggetarkan tangannya. Sambil membuka kelopak matanya perlahan-lahan, dia mulai melangkah bersama senyuman yang tersengih di bibirnya. Dari kaca bola matanya terpancar saat untuk bersandiwara." - Petikan daripada skrip Jual Ubat yang terkandung dalam buku Pandirnya Si Pandir karya Khalid Salleh (halaman 83).

Monolog Jual Ubat pada 11 hingga 17 Mac 2014 di Istana Budaya.





Monolog Jual Ubat: Khalid Salleh ubati jiwa penonton
Irwan Muhammad Zain
Mac 18, 2014


Monolog Jual Ubat membuktikan sosok bernama Khalid Salleh bukan calang-calang seniman. Biar banyak ubat yang mujarobat, namun ubat yang dijual Khalid Salleh atau mesra disapa Wak Khalid bukan sebarang ubat.

Cukup dengan sebotol air mineral, sebuah beg dan batu diatas botol serta kain hitam yang dibentang, Monolog Jual Ubat mampu memberi kesan yang besar kepada penonton.

Khalid dengan pengalaman hidupnya mengajar kita untuk lebih mengenali siapa kita, mengajar kita untuk lebih dekat dengan pemilik segala rahsia langit dan bumi. Dua jam setengah, Khalid mencetuskan keinginan untuk berfikir tentang hakikat kejadian manusia, tentang alam dan tentang yang maha mengetahui.

Khalid Salleh dan monolog jual ubat

Lihat saja bagaimana Khalid sinis terhadap kisah Israk dan Mikraj. Betapa ramai yang masih tidak memahami perjalanan kerohanian sebaliknya lebih percaya dan masih terperangkap dengan gambaran buraq yang dijaja saudagar Yaman.

Khalid mempunyai banyak naskah yang hebat namun Jual Ubat antara yang istimewa bagi beliau sendiri dan mereka yang pernah menontonnya sebelum ini.

Sebelum singgah ke Istana Budaya, Khalid dan Monolog Jual Ubat pernah pusing ke seluruh negara dan berpetualang di beberapa tempat di Indonesia.

Bermula 11 Mac lalu hingga ke malam ini, kerjasama antara Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Persatuan Penulis Nasional (Pena) dan Istana Budaya memberi peluang kepada mereka yang sebelum ini terlepas peluang menerima 'rawatan jiwa' dari Khalid untuk 'diubati' oleh seniman yang sering dianggap sukar difahami.

Khalid tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang teater tetapi kreativitinya lahir dari pengalaman bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat.


Khalid Salleh Monolog Jual Ubat

KUALA LUMPUR: Pengalaman menjual ubat di kaki lima Jalan Masjid India dan Benteng, Kuala Lumpur banyak membantu Khalid memahami gelagat manusia. Kerana itu karya beliau sebenarnya sangat dekat dekat masyarakat terutamanya orang Melayu dan ada ketikanya sangat sinis terhadap bangsanya.

Khalid merupakan Penerima Anugerah Seni Negara 2006 dan merupakan pelakon lelaki Malaysia yang kedua memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik, selepas Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee.

astro awani

Comments