tragedi



MH370: Teruskan solat hajat, perbanyakkan doa - Noh Gadut
25 Mqc 2014

JOHOR BAHARU: Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut meminta umat Islam di negara ini agar terus melakukan solat hajat dan memperbanyakkan doa supaya usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan kotak hitamnya dipermudahkan.

Katanya, ini adalah kerana kotak hitam itu boleh merungkai segala persoalan mengenai apa yang sebenarnya berlaku ke atas pesawat yang hilang sejak 8 Mac lalu.
"Sejak peristiwa ini berlaku, saya lihat banyak surau dan masjid yang melakukan solat hajat dan saya berharap usaha ini sentiasa diteruskan agar pencarian pesawat dipermudahkan.

"Kesedihan ini bukan hanya dirasai oleh ahli keluarga yang terbabit tetapi juga seluruh rakyat di negara ini yang prihatin terhadap situasi yang berlaku," katanya di sini hari ini.

Beliau juga meminta keluarga anak kapal dan penumpang pesawat MH370 supaya bersabar dan menerima pemergian anggota keluarga masing-masing kerana kematian mereka boleh disifatkan sebagai 'syahid akhirat'.

"Sekiranya semua yang berada di dalam pesawat itu terkorban maka kematian mereka yang beragama Islam boleh disifatkan sebagai syahid akhirat dan Allah telah menyediakan banyak kebaikan kepada mereka.

"Saya berharap keluarga mangsa yang terbabit (yang beragama Islam) agar tidak terlalu bersedih sebaliknya perlu banyak bersabar dan menerima ketentuan Allah seperti yang terkandung dalam Rukun Iman," katanya.
Noh turut menggesa orang ramai agar menghentikan penyebaran sebarang bentuk spekulasi atau pandangan yang boleh mengguris perasaan pihak-pihak yang terbabit dalam insiden itu.

"Bertaubatlah segera, jangan buat dosa kering. Jangan buat spekulasi atau andaian sebaliknya tunggu sehingga kotak hitam ditemui," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak malam tadi mengumumkan bahawa penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

- BERNAMA

berita harian


MH370: 'Saya cuba kuatkan hati untuknya tetapi tidak mampu' - Ibu Khairul Amri
25 Mac 2014


Normah Jaafar, 56, ibu kepada Khairul Amri Selamat, 29, iaitu seorang daripada penumpang pesawat MH370 yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing, China, 8 Mac lalu


KUANTAN: "Mak rindu adik.” Itu luahan Normah Jaafar, 56, ibu kepada Khairul Amri Selamat, 29, iaitu seorang daripada penumpang pesawat MH370 yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing, China, 8 Mac lalu tetapi perjalanannya dikesan berakhir di Selatan Lautan Hindi.

Normah yang ditemui di kediamannya di Taman Kerayong Makmur di sini berkata, dia terlalu rindukan anak bongsunya itu.
“Khairul Amri adalah seorang anak yang baik, ceria dan tidak pernah menyakiti hati saya sebagai ibu.


"Saya cuba kuatkan hati untuknya tetapi tidak mampu," katanya ketika ditemui BH di sini, sebentar tadi.

Khairul Amri, anak bongsu daripada tiga beradik dan mempunyai seorang anak berusia setahun tiga bulan adalah antara 238 penumpang dan anak kapal yang menaiki pesawat MH370, 8 Mac lalu.

Khairul yang juga jurutera MAS berlepas ke Beijing bagi menjalankan tugas membaiki sebuah pesawat di sana.

Difahamkan, Normah pengsan sebanyak dua kali malam tadi selepas mendengar pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung nasib pesawat MH370.

berita harian


Keluarga tak dapat kawal emosi
25 Mac 2014


Keluarga tak dapat kawal emosi. Ahli keluarga penumpang pesawat tidak dapat menahan kesedihan ketika disoal pemberita di Beijing semalam.


BEIJING - CHINA . Seramai 50 pegawai polis dikerah ke Hotel Lido di sini selepas kekecohan tercetus sejurus Perdana Menteri Malaysia Najib Tun Razak membuat sidang akhbar pada jam 9.45 malam di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (PWTC).

Kebanyakan ahli keluarga penumpang MH370 tidak dapat mengawal emosi mereka selepas Najib mengesahkan pesawat berkenaan berakhir di selatan Lautan Hindi.

Memetik laporan ABC, keluarga penumpang yang berada di hotel berkenaan dilaporkan menjerit dan meraung kerana tidak dapat menerima kenyataan terbaharu yang merungkai misteri kehilangan sejak 17 hari lalu.

Media tempatan melaporkan, mereka dilihat sangat tertekan hingga ada yang pengsan dan terpaksa dibawa keluar dengan pengusung.

Jeritan dan tangisan dapat didengar dari luar bilik yang dikhaskan untuk keluarga mangsa.

"Satu insiden perang mulut berlaku antara keluarga penumpang dan wakil dari kerajaan Malaysia," jelas laporan itu.

Namun, situasi tegang dapat dikawal dan dileraikan oleh pasukan perubatan serta anggota keselamatan.

Hotel berkenaan kini dikawal ketat bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini tercetus.

sinar harian



Keluarga adakan majlis bacaan Yasin
25 Mac 2014

Sebahagian daripada ahli keluarga penumpang pesawat MAS MH 370 membaca surah Yasin di Hotel Everly Putrajaya setelah lokasi pesawat berkenaan disahkan berakhir di selatan Lautan Hindi malam tadi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.- Foto Bernama

PUTRAJAYA - Anggota keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370, yang ditempatkan di Hotel Everly di sini, mengadakan majlis bacaan Yasin hari ini bagi memohon misi pencarian pesawat berkenaan dipermudahkan.

Antara yang hadir ialah anggota keluarga kepada penumpang, Mohd Razahan Zamani dan isteri Norli Akmar Hamid, Khairul Amri Selamat dan Suhaili Mustafa.

Menurut Naib Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Anak Pahang di Ibukota Datuk Mustaffa Mat Yasin yang turut serta dalam majlis, majlis itu juga diadakan untuk mendoakan agar pesawat serta penumpang dapat dijumpai segera.

"Dulu ayahnya selalu bawa anaknya ke pejabat saya dan sejak kecil lagi anaknya telah menunjukkan minat untuk menjadi jurutera," katanya yang mengenali Khairul iaitu anak kepada Selamat Omar sejak kecil, kepada pemberita di sini hari ini.

Penerbangan MH370 membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu, hilang daripada skrin radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam 8 Mac.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. - Bernama

sinar harian


MH370: INMARSAT jejak MH370 guna pendekatan unik

KUALA LUMPUR: Pendedahan bahawa pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi di barat Perth, Australia adalah berdasarkan analisis baru oleh penyiasat-penyiasat di United Kingdom dan firma satelit Britain, INMARSAT.

Menurut laporan BBC, INMARSAT mengemukakan data baru itu kepada bahagian Penyiasatan Nahas Udara United Kingdom (AAIB) supaya ia boleh diperiksa sebelum disebarkan kepada orang awam.

INMARSAT berkata pengiraan terbarunya melibatkan sejumlah besar data analisis yang memberi tumpuan kepada beberapa faktor termasuk pergerakkan pesawat lain.

Firma itu menambah bahawa ini adalah teknik terbaru dan oleh kerana itu, analisis tersebut memakan masa.

Naib Presiden Kanan INMARSAT, Chris McLaughlin berkata firma itu mengkaji “ping” elektronik yang pesawat itu hantar kepada salah satu satelitnya.

"Kami telah berurusan dengan sesuatu yang baru. Kami telah cuba untuk membantu siasatan berdasarkan hanya satu isyarat yang diterima sekali setiap jam dari sebuah pesawat yang tidak ada sebarang data GPS, masa dan jarak maklumat.

"Mereka berjaya mencari jalan untuk mengatakan hanya satu “ping” sahaja boleh digunakan untuk mengatakan pesawat itu membuat perjalanan. Kemudian, melalui proses penyingkiran dengan membandingkannya dengan pesawat-pesawat yang lain, diketahui ia terbang ke arah Selatan.

Sementara itu, dalam satu temubual di Sky News, MacLaughlin berkata pesawat yang terbang ke arah selatan itu kehabisan minyak.

Semalam, Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pesawat MH370 yang gagal dikesan sejak 8 Mac lalu, disahkan hilang di kawasan selatan Lautan Hindi di barat Perth, Australia.

Najib berkata, kedudukan terakhir penerbangan MH370 itu didasarkan kepada maklumat daripada data satelit INMARSAT dan AAIB yang mengesahkan pesawat Boeing 777-200 itu terbang ke koridor selatan isyarat terakhir yang dikesan daripada pesawat itu.

"Ini kawasan yang terpencil, jauh daripada mana-mana tapak pendaratan yang munasabah.

"Oleh itu, dengan rasa penuh dukacita dan kesal, saya memaklumkan bahawa, berdasarkan kepada data baru ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib.

Pesawat itu membawa 239 orang, termasuk 38 penumpang dan 12 anak kapal warga Malaysia.

Operasi mengesan pesawat ini digerakkan sejak ia hilang pada awal pagi 8 Mac lalu dan disertai oleh lebih 20 buah negara.

Siasatan awal mendapati pesawat yang hilang itu telah dilencongkan dengan sengaja oleh seseorang yang memandunya. Bagaimanapun, pelbagai spekulasi dan teori konspirasi timbul kerana sistem komunikasi dengan pesawat itu terputus dan tiada bukti-bukti kukuh atau petunjuk mengenai kehilangan pesawat itu.

Antara teori yang dikemukakan dalam masa pencarian sepanjang 17 hari lalu oleh pakar dan penganalisis penerbangan termasuk rampasan, sabotaj oleh juruterbang serta kemungkinan pesawat itu mengalami masalah sehingga menyebabkan semua anak kapalnya tidak sedarkan diri dan pesawat itu terbang sendiri sehingga kehabisan minyak.

Pesawat penerbangan MH370 membuat hubungan terakhir dengan pusat kawalan trafik udara semasa berada di Laut China Selatan di sebuah kawasan yang terletak antara sempadan Malaysia dan Vietnam.

Ia kemudian dikesan berpatah balik dari laluan asalnya dan terbang selama beberapa jam.

Usaha mengesan pesawat itu kemudiannya digerakkan di dua jalur di sebelah utara yang menganjur dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke utara Thailand serta dari Indonesia sampai ke selatan Lautan Hindi.


astro awani



MH370: Ramai luah rasa sedih menerusi laman sosial
25 Mac 2014

KUALA LUMPUR - Seluruh negara diselubungi perasaan sedih ekoran pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi bahawa penerbangan pesawat MAS MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu telah berakhir di Lautan Hindi.

Rakyat Malaysia menggunakan media sosial untuk meluahkan perasaan mereka dan turut berkongsi kata-kata semangat dengan keluarga penumpang pesawat.

Banyak yang menukar gambar profil di laman Twitter, Facebook dan Instagram kepada warna hitam sebagai tanda berkabung.

Antara yang menyampaikan mesej di laman Twitter ialah anak perempuan kepada ketua pramugara pesawat malang itu Andrew Nari, yang turut memuatkan gambar bapanya.

Maira Elizabeth menulis "I don't know what to say, what to think. I feel so lost, so blank. I'm just so tired. Goodnight, daddy. Sigh.. * hugs *.

"How am I so strong? How can I still smile? One answer for your questions. Because I believe in God with all my strength and faith."

Beliau juga menerima perangsang daripada pengguna laman itu di seluruh dunia.

Anak kepada juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah turut berkongsi rasa terharu dengan sokongan dan kata-kata semangat dari sahabat serta kenalan bapanya.

Di laman Facebook 'Friends of Captain Zaharie MH370', Ahmad Idris Zaharie menulis "thank you all for the doa n support....dariNya kita datang..kepadaNya kita kembali...Aku bersyukur kepadaMu Ya Allah kerana telah meminjamkan aku seorang ayah yang berdidikasi dan penyayang selama 31 tahun aku ini..Al-Fatihah."

Mohaza MohaZa yang dipercayai kenalan rapat kepada Zaharie menulis "Zaharie (Arie)..Jika ini lah suratan takdirnya..Mengerti lah saya kini apa yang diucapkan oleh mu pada saya di pagi Hari Raya Aidilfitri tahun lalu (di tanah perkuburan, Jalan Perak, Pulau Pinang). Rupa-rupanya ia adalah satu tanda kiasan dari mu yang kau akan pergi meninggalkan semua.

"Zaharie beritahu saya (secara gurauan) yang saya tidak akan jumpa kubur/pusaranya. Ini lah rupa maksudnya. Baru saya mengerti...Pusaranya di Lautan Hindi. Al-Fatihah.. Moga Allah SWT mencucuri setinggi-tinggi rahmat ke atas rohnya & juga muslimin muslimat MH370 kesemuanya & di tempatkan bersama-sama mereka yg beriman. Amin."

Tiga individu penting yang sering memberi sidang media kepada wartawan tempatan dan antarabangsa berhubung kehilangan pesawat iaitu Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Ahmad Jauhari Yahya dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman turut mendapat perhatian.

Seorang pengunjung blog tengoktvonline.blogspot.com, Ejan Zaiejan antara lain memberi penghargaan: "...tabik hormat saya untuk Datuk Seri Hishammuddin Hussin, Datuk Azaharuddin, En Ahmad Jauhari Yahya kerana telah mengharungi detik-detik dihentam dengan semua persoalan dari media dan berhadapan dengan dunia. Saya bangga dengan anda bertiga."

Hishammuddin sendiri turut membuat tweet: "Today - let us Malaysians of all race, religion, background and wherever we maybe pray for the passengers,crew and family of #MH370.

Yang turut menulis ialah Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin: "Many did not slept well, me included. Sadness. Many more unknowns. Need to remain focus to find #MH370. Our thoughts & prayers. Al-Fatehah."

Sementara itu suara-suara penyampai di corong radio yang selalunya ceria di pagi hari bertukar menjadi pilu sambil memberi kata-kata semangat untuk keluarga penumpang dan anak kapal pesawat, di samping tidak lupa memutar bacaan zikir dan ayat Al-Quran. - Bernama

sinar harian


Mak rindu adik'
Oleh Syazwan Msar

Bera: "Saya cuba kuatkan hati untuknya tetapi tidak mampu," kata Normah Jaafar, ibu kepada Khairul Amri Selamat, 29, seorang daripada penumpang Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.

Normah ketika ditemui, di rumahnya di Taman Kerayong Makmur, di sini, sebentar tadi memaklumkan dia terlalu rindukan anak bongsunya itu.

"Mak rindu adik.

“Khairul Amri adalah seorang anak yang baik, ceria dan tidak pernah menyakiti hati saya sebagai ibu," katanya.




NORMAH ditenangkan seorang ahli keluarganya dalam majlis bacaan yasin diadakan di rumahnya pagi tadi. FOTO Mustaffa Kamal


Harian Metro difahamkan, Normah pengsan dua kali malam tadi selepas mendengar pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai pesawat MH370 dinaiki Khairul.

MyMetro

Comments