31 Mar 2014

Teater Tun Siti Hasmah



Teater Tun Siti Hasmah, paparan seorang Srikandi
Syafique Shuib

KUALA LUMPUR: Peminat seni kembali berkampung di Istana Budaya, kali ini tiba pula giliran Teater Tun Siti Hasmah yang telah lama tertangguh untuk dipentaskan.

Semua sememangnya telah tahu Teater Tun Siti Hasmah berkisarkan kisah di sebalik tabir kehidupan Tun Dr. Siti Hasmah, isteri kepada negarawan ulung, mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Selama ini, ramai mungkin tidak mengenali Tun Dr. Siti Hasmah secara dekat.

Setiap kali penampilan beliau di khalayak umum pastinya dibayangi ketokohan suaminya.

Mungkin itu yang cuba diceritakan teater ini, dengan memberi fokus kepada wanita ini yang dilihat sebagai tulang belakang Dr. Mahathir atau Che Det.

Menjadi dahan tempat bergantung dan teman tempat mengadu di saat-saat karier politik beliau menghadapi cabaran.

Semuanya dipaparkan di dalam babak-babak ketika Tun Mahathir berhadapan penentangan politik dan konspirasi untuk menjatuhkan beliau.

Penonton pastinya akan dapat mendalami isi hati wanita ini ketika berhadapan detik getir ini.

Turut diselitkan detik cemas beliau berhadapan dengan keadaan kesihatan Dr. Mahathir yang harus melalui pembedahan jantung.

Ada juga babak yang memberi tumpuan kepada kerjaya Dr. Siti Hasmah seperti membantu misi kemanusiaan di Iraq ketika pencerobohan tentera luar.

Penonton turut dibuai rasa cemas ketika babak seorang askar Iraq mengiringi Dr. Siti Hasmah untuk berjumpa dengan Presiden Saddam Hussein.

Namun sayang adegan terhenti setakat itu sahaja.

Penonton mungkin ingin tahu hasil perbincangan empat mata itu namun babak ini terlalu singkat untuk memberi impak maksima.

Peranan barisan pelakon juga amat penting dalam kejayaan pementasan teater ini.

Lisa Surihani dan Nazim Othman sebagai watak Siti Hasmah dan Mahathir sewaktu muda di alam pencintaan mereka di Universiti Malaya, Singapura berjaya memberi pembukaan yang menghiburkan.

Namun ada ketikanya dialek Kedah mereka sedikit bercelaru, mungkin gementar membawa watak seorang tokoh.

Separuh berlangsung, tempat pasangan ini digantikan pula oleh Siti Shahrizah Saifuddin (lebih dikenali sebagai Eja) dan Esma Daniel.

Masing-masing membawa watak mereka dengan berjaya.

Eja kelihatan tidak kekok dengan penguasaan pentas yang amat bagus, serta ekspresi muka yang berkesan.

Esma Daniel pula tidak perlu dipertikaikan penghayatannya dalam membawa peranan Dr. M.

Suara, lenggok dan gerak tubuh beliau sahaja sudah boleh membuat penonton meremang bulu roma.

Terutama ketika adegan meletakkan jawatan sebagai Presiden Umno dan detik cemas menghadapi pembedahan jantung.

Pelakon Azizah Mahzan selaku Siti Saleha (kakak Dr. Siti Hasmah) juga memperkuatkan persembahan dengan memberi konteks kepada jalan cerita.

Kehadiran Syanie Hisham sebagai seorang wanita kampung beranak 12 yang menerima rawatan oleh Siti Hasmah juga menggamatkan suasana Istana Budaya.

Beliau juga tidak kalah menari di atas pentas.

Pujian seharus diberikan kepada pengarah dan penulis skrip Erma Fatimah.

Di bawah sutradaranya, Teater Tun Siti Hasmah berada di landasannya meskipun jalan ceritanya ada ketikanya sedikit tersasar.

Tanggungjawab yang dipikul Erma sememangnya berat.

Dengan waktu yang singkat, beliau berjaya mementaskan naskah penting ini.

Patutkah anda menonton teater ini?

Teater Tun Siti Hasmah boleh diperkuatkan dengan jalan cerita yang memberi lebih fokus kepada watak utamanya.

Mungkin penekanan harus diberikan kepada peranan beliau dan kerja-kerja yang dilakukan sebagai wanita pertama negara dan juga ibu.

Walau bagaimanapun, pihak produksi berjaya untuk mempersembahkan sisi Dr. Siti Hasmah yang berbeza.

Bukan mudah untuk mengisahkan perjalanan hidup Tun Siti Hasmah dalam masa dua jam dan pihak produksi telah mempersembahkan sesuatu yang boleh dibanggakan.

Dengan elemen nyanyian, menari, dialog dan juga kata hati, teater ini bukan sahaja memberi pengalaman yang istimewa namun memberi pengajaran tentang perjuangan wanita penting ini sebagai anak, adik, isteri, ibu, nenek dan yang paling menyerlah seorang srikandi sebenar.

Sesuai dengan pepatah di sebalik kejayaan seorang lelaki sentiasa ada seorang wanita memberi sokongan kepadanya.

Pementasan Teater Tun Siti Hasmah akan berlangsung sehingga 19hb November, jadi usah melepaskan peluang jikalau anda belum menonton teater ini.

astro awani

Secebis biografi Tun Siti Hasmah


EPISOD penting pengunduran Tun Dr. Mahathir dari kerusi penting UMNO menjadi klimaks cerita.

BERMAIN watak negarawan yang masih hidup di atas pentas teater mengundang banyak risiko. Di sebalik hakikat Teater Tun Siti Hasmah yang kini berbaki satu pementasan sebelum melabuhkan tirai, kesungguhan produksi bernilai hampir RM2 juta itu sudah dipamerkan kepada khalayak.

Teater itu berisi babak lakonan berselang tarian dan nyanyian yang dikutip daripada keratan akhbar dan video arkib. Namun perjalanan seorang negarawan itu masih gagal diceritakan dalam tempoh hanya dua jam.

Kehidupan negarawan itu diintip hidupnya dari awal usia dewasa, bermain cinta, menjadi doktor wanita Melayu kedua, berkahwin kemudian bertugas di luar kota dan seterusnya mula berdepan sang suami Tun Dr. Mahathir Mohamad dari awal bergelumang politik hingga zaman bersara yang tidak henti berbakti untuk rakyat. Semua itu dipersembahkan dalam plot yang mengikut putaran jam.

Putaran jam di tangan juga kerap dikerling sebagai riak kepada penantian untuk sampai titik pengakhiran. Jujurnya, reaksi sebegitu tidak berlaku dalam karya Badai Semalam, arahan Erma Fatima di pentas yang sama sebelum ini.

Tidak mahu mempertikaikan isi plot yang ditampilkan atas rasional kehidupan seorang negarawan, bahkan isteri kepada bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sangat disanjungi dan disayangi negara namun secara teknikalnya, belanja lebih RM2 juta untuk wajah teater yang seperti itu rasanya terlalu mahal.

Menonton teater Tun Siti Hasmah, kemegahan set, kostum, prop, efek lampu atau montaj yang sebagai nilai tambah kepada mutu sebuah teater biografi bertaraf mega seperti tidak begitu ketara. Ia banyak diselamatkan oleh keyakinan daripada jiwa dan rasa daripada mata serta kejelasan dari telinga terhadap penghayatan dan kerja kuat pelakon-pelakon terbabit. Tepukan gemuruh untuk Dr. Siti Hasmah yang ditangani penuh keibuan, kesantunan dan kelembutan seorang wanita srikandi negara oleh Eja.

Tidak lengkap Siti Hasmah tanpa kekasih yang diturunkan dari langit untuknya, pemimpin ulung negara Dr. Mahathir yang dihadam secukup rasa oleh Esma Daniel.

Tanpa meninggalkan sumbangan Lisa Surihani sebagai Siti Hasmah pada usia muda dan Nazim Othman selaku Dr. Mahathir muda, persembahan Lisa dan Nazim ibarat zaman manis kepada kelat-maung dua tokoh itu.

Benarlah mencari kesilapan itu lebih mudah daripada mendalami kekuatan sesebuah naskhah. Salah percaturan atau sudah tidak menang tangan membuat pemilihan pelakon membuatkan watak ibu kepada Siti Hasmah, lakonan salah seorang artis Istana Budaya menjadi watak itu sekadar ada.

Teater Tun Siti Hasmah - Dari Hati Seorang Perempuan; dari segi fokusnya, ia masih mencapai sasaran penulis skrip. Sekadar memasukkan babak yang dikira penting sehingga kekuatan hatinya teruji; pertama ketika suaminya dituduh miliki skandal dengan wanita lain dan kedua ketika berdepan risiko hidup dan mati untuk pembedahan jantung yang dilakukan di Hospital Kuala Lumpur, tidak terkecuali pengalaman bertugas di ceruk kampung, sebenarnya banyak lagi kisah hidup Siti Hasmah tidak diberi perhatian. Tidak harus dilupakan, episod klimaks pengunduran Dr. Mahathir sebagai presiden UMNO dan pucuk pimpinan negara juga episod penting untuk membuka rahsia antara Siti Hasmah dan Dr. Mahathir selama ini. Sesungguhnya, apa yang dipaparkan hanyalah secebis daripada garis hidup Siti Hasmah yang tidak terbayang oleh kita semua.

Monolog akhir yang diletuskan daripada jiwa teguh rasa oleh Eja, 'bermadu dengan wanita sakitnya sampai ke lulur hati, tapi saya bermadu dengan rakyat, ada sakit, ada nikmat' di hujung cerita, bagaimanapun sangat merentap jiwa. Ia jelas membayangkan reda dan ikhlasnya wanita bernama Siti Hasmah Mohamad Ali itu. Dia menemani dan menjadi pendamping yang setia di sisi sang suaminya yang dimiliki oleh rakyat tanpa sekatan usia.

Terima kasih naskhah teater Tun Siti Hasmah atas sebuah kisah wanita ikonik, isteri, ibu dan srikandi negara yang tumbuh berwarna depan mata!

kosmo

Sofia and Lisa to play Dr Siti Hasmah

By REVATHI MURUGAPPAN


KUALA LUMPUR: After a series of hiccups, the show Teater Tun Dr Siti Hasmah will take place in November with actresses Datin Sofia Jane and Lisa Surihani playing the role of the former prime minister’s wife.

Sofia will replace Erra Fazira, who stirred controversy when she pulled out at the last minute citing clashes in her filming schedule.

“Her loss is my gain,” said Sofia, whose last stage production was Natrah – the musical in 2009 and 2010.

“It’ll be interesting to see what kind of twist we can give to the role. We all grew up with Dr Siti Hasmah and felt her presence but she’s also very elusive. I couldn’t say no to the role and it’ll be my journey to discover her as a woman,” she said.

The show, which chronicles Dr Siti Hasmah’s life, was to run last month but was fraught with challenges for producers World Islamic Network Television Sdn Bhd.
 
Up close and personal: (From left) Lisa, Sofea and Dr Siti Hasmah having a light moment during the press conference on the theatre.

The original director, Adlin Aman Ramlie, also pulled out abruptly stating other commitments and the lack of confidence in shouldering the responsibility of directing the production.

“Thankfully, we got Erma Fatima to take over directing.

“With the lack of rehearsal time during Ramadan, we had to postpone the dates so we could put up a good show.

“Erma also had to rewrite the script and she worked day and night to do this,” revealed the show’s producer Datuk Khairuddin Abu Hassan at a press conference here yesterday.

According to Erma, she picked Sofia and Lisa as she felt both these actresses could carry off the role best.

Lisa will portray the younger version of Dr Siti Hasmah while Sofia will take over when she becomes the prime minister’s wife.


On the actresses playing her, Dr Siti Hasmah, 86, quipped, “They’re both much prettier than me!”

The role of Dr Siti Hasmah’s husband and former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad will be played by Isma Danial (the current Dr Mahathir) and Nazim Othman (young version). Other cast members are still being finalised.

staronline

Tun Dr Siti Hasmah Berdebar Dengan Pementasan Teater
10 November 2012
Oleh: WAHIDUZZAMAN


Siti Hasmah meluangkan masa bertemu dengan para pelakon Lisa Surihani (kiri) dan Eja (kanan) yang membawa watak beliau semasa muda dan tua di Istana Budaya di sini pada petang Jumaat. - Foto oleh SIA HONG KIAU

KUALA LUMPUR: Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali mengakui berdebar untuk menonton pementasan Tribute Teater Tun Dr Siti Hasmah yang bermula pada malam Jumaat hingga 19 November ini.

Isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata, perasaan itu timbul kerana dia berasa bahawa tiada perkara yang istimewa mengenai kisah hidupnya untuk ditonjolkan kepada khalayak.

"Saya berdebar sebenarnya dengan pementasan teater ini. Saya hanya orang biasa yang tidak mempunyai apa-apa yang istimewa untuk ditonjolkan kepada khalayak.

"Bagaimanapun, saya mengagumi kesungguhan produksi ini yang beria-ia memujuk saya lebih setahun semata-mata untuk mengangkat kisah hidup saya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi ramah mesra bersama tenaga produksi teater itu di Panggung Sari, Istana Budaya di sini, petang Jumaat.

Tokoh wanita itu meluangkan masa kira-kira satu jam bersama para pelakon sebagai pembakar semangat beberapa jam sebelum pementasan pertama pada malam Jumaat.

Beliau berkata, perkara yang paling penting untuk ditonjolkan adalah jasa dan khidmatnya kepada negara sebagai isteri pemimpin dan doktor wanita Melayu pertama di negara ini.

"Kisah hidup saya terlalu banyak dan panjang. Tentu sukar untuk mereka (produksi) memilih aspek penting untuk ditonjolkan.

"Namun, saya percaya mereka sudah lakukan terbaik dalam segenap aspek. Walaupun ada penambahan pada beberapa bahagian (untuk tujuan kesesuaian), ia boleh diterima dan tidak mengarut.

"Saya berharap mereka akan menerima apa juga kritikan atau komen mengenai pementasan ini dengan hati terbuka," katanya yang tidak dapat menyaksikan pementasan pada malam Jumaat itu kerana mempunyai urusan di luar negara.

Sebelum ini, teater arahan Erma Fatima itu berdepan pelbagai kontroversi sejak ia diumumkan beberapa bulan lalu.

Ia bermula dengan Adlin Aman Ramlie menarik diri sebagai pengarah dan digantikan Erma Fatima.

Kontroversi tercetus lagi apabila pelakon utamanya Erra Fazira dan Sofia Jane turut menarik diri kerana masalah jadual yang bercanggah dengan sesi latihan.

Tidak hanya membabitkan pelakon, tarikh asal pementasan yang sepatutnya berlangsung pada 30 Ogos lalu itu turut ditunda dua kali iaitu pada 14 September dan terbaru pada 9 hingga 19 November.

Diterbitkan oleh World Islamic Network Television, teater itu dibintangi antaranya Siti Shariza Sharifuddin (Eja), Lisa Surihani, Esma Daniel, Nazim Othman, Azizah Mahzan dan Dira Abu Zahar.

mstar


Dr Siti Hasmah Dipujuk Setahun Untuk Terlibat Dalam Teater
Rabu, 11 April 2012

Oleh: MOHD AL QAYUM AZIZI


Dari kiri: Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan dan Adlin Aman Ramli. Foto RAYMOND OOI

KUALA LUMPUR: Pihak produksi Teater Tun Dr Siti Hasmah mengambil masa setahun untuk memujuk bekas isteri Perdana Menteri ke empat itu bagi mendapat persetujuan daripadanya untuk mengadakan pementasan berkenaan.

Pengerusi World Islamic Network Television Sdn Bhd, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan berkata, kesukaran mendapat persetujuan daripada Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali itu adalah disebabkan beliau merasakan tiada perkara menarik mengenai dirinya untuk dipentaskan buat tatapan umum.

"Bukan sukar untuk mendapat kerjasama daripadanya tetapi beliau adalah seorang wanita yang cukup pemalu dan merendah diri merasakan tiada benda menarik untuk dipaparkan.

"Bagaimanapun selepas melihat kesungguhan kami di pihak produksi, beliau bersetuju. Malah beliau memberi kebenaran untuk menggunakan barang peribadi miliknya seperti baju, perhiasan untuk kegunaan pementasan itu nanti," ujarnya kepada mStar Online.

Khairuddin yang juga suami kepada pelakon Datin Umie Aida ditemui pada majlis sidang akhbar teater itu di sini pada Selasa.

Teater Tun Siti Hasmah bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 30 Ogos sehingga 8 September depan.

Dalam pada itu, Khairuddin berkata, teater itu nanti akan mengupas mengenai sisi Siti Hasmah sebagai seorang wanita, ibu dan isteri kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, tujuan pementasan ini diadakan adalah untuk menghargai jasa wanita tersebut yang turut banyak menyumbang kepada pembangunan negara terutamanya dalam bidang kebajikan.

"Sebelum ini, banyak teater yang diadakan untuk menghargai Tun Mahathir tetapi tidak kepada isterinya.

"Jadi penerbitan teater ini adalah sebagai salah satu tanda penghargaan kepadanya atas sumbangan beliau selama ini," ujarnya.

Sementara itu, pengarah dan penulis skrip teater berkenaan, Adlin Aman Ramlie berkata, pementasan itu nanti akan membawa penonton menyusuri sisi lain bekas wanita pertama negara itu dengan mengangkat pelbagai peristiwa yang tidak pernah diketahui oleh umum sebelum ini.

Adlin bagaimanapun memberitahu, dia masih di peringkat awal menghasilkan draf skrip teater itu sebelum dibentangkan kepada Siti Hasmah untuk mendapatkan persetujuannya selain melakukan penambahbaikan terhadap skrip akhir nanti.

"Banyak peristiwa menarik mengenai diri beliau yang ingin ditonjolkan dalam pementasan itu nanti dan Tun memberikan kebebasan kepada kami untuk memilih apa yang terbaik untuk teater itu.

"Bagaimanapun pihak kami akan membentangkan skrip tersebut kepadanya bagi mendapatkan restu," ujarnya.

Tambah Adlin, selain Siti Hasmah, pihaknya mendapat maklumat dan kajian mengenai diri beliau daripada ahli keluarga, sahabat karib selain fakta dari Arkib Negara.

Ditanya mengenai pemilihan pelakon, Adlin memberitahu, pihak produksi sebulat suara memilih Erra Fazira bagi mendukung watak utama.

Adlin berkata, Erra yang telah berpengalaman dalam menyelidik personaliti Siti Hasmah dilihat calon paling sesuai untuk memegang peranan itu.

"Maklum mengetahui Erra sebelum ini pernah memegang watak beliau dalam pementasan teater Tun Dr Mahathir sebelum ini dan dia adalah calon paling sesuai.

"Tambahan pula, beliau adalah seorang yang pendiam dan pemalu jadi agak sukar memahami karakternya dan untuk Erra itu tidak menjadi masalah kerana dia pernah mengkaji personaliti Tun Hasmah," katanya.

Adlin berkata mereka turut bercadang untuk mengambil pelakon, Aaron Aziz sebagai watak Dr Mahathir tetapi masih di peringkat perbincangan.

"Selain Erra, nama-nama lain masih belum diputuskan untuk terlibat sama dalam teater ini kerana pihak kami masih membuat pilihan berdasarkan watak," katanya.

Dalam perkembangan sama, Adlin berkata pihaknya yakin teater ini akan mendapat sambutan daripada para peminat yang kebanyakannya memang ternanti-nantikan kemunculan sebuah teater yang mengangkat kisah hidup wanita yang digelar 'ibu' oleh rakyat Malaysia.

mstar


1 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena