pada ketika kau luka

pada ketika kau luka
tak pernah kubiarkan kau begitu
berbekam duka menahan kesakitan
percayalah bahawa aku akan ada
menemanimu 
inilah waktu untuk bersama
merenung suram langit
dan menatap kepergian senja


tak pernah kubiarkan kau begitu
kerana kutahu bukan semua mudah
meleraikan kesungulan
tapi janganlah semua itu
memaksa kau menyerahkan nasib
pada seutas keperihan


jalan ini masih panjang
kepayahan hanya menguji hatimu
bagaimana kaumengumpul kekuatan
dan melawan kegundahan
tidak semua mudah bagimu
tetapi kau jangan terlalu membiarkan hatimu
cair bersama mengalirnya waktu
ini jalan payah yang perlu kita lalui
ini lorong sukar yang perlu kita tempuhi
ingatlah di hujung perjalanan ini
ada destinasi yang harus kita temui
kepedihan yang ada
tak bererti kau akan berhenti dan menyerah


marilah kugandeng tanganmu
tak ada sempurnanya kita
selain berada antara pinta takir dan pohon doa
kita terus berjalan dalam lelah dan lemah
kita lalui denai ujian ini bersama
bisikanlah ke dalam jiwamu
bahawa kau akan terus melangkah
mencari pelangi yang sering menjadi mainan mimpi


pada ketika kau luka
aku akan selalu ada
yang paling harus kau ingati
tuhan sentiasa ada di dekatmu
bermohonlah walau sebenar manapun duka
walau sekuat manapun kesakitan
padanya kita menyerahkan harapan



Comments