Manis Kejayaan


SPM 2013: 13,970 capai semua A
20 Mac 2014

KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof menunjukkan Laporan Pengumuman Analisis Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kementerian Pendidikan, Putrajaya, hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Seramai 13,970 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 mendapat keputusan semua A pada keputusan tu yang diumumkan di sini hari ini.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, berkata daripada jumlah itu, seramai 11,892 (2.90 peratus) calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan 2,078 (6.27 peratus) calon bukan KPM.
"Jumlah itu juga termasuk 405 (0.09 peratus) iaitu 366 calon sekolah KPM dan 39 (0.12 peratus) calon bukan KPM berjaya memperoleh semua gred A+ (cemerlang tertinggi).


"Seramai 479,395 calon mendaftar menduduki SPM tahun 2013 berbanding 472,541 pada 2012 dengan penurunan sebanyak 0.45 peratus," katanya pada majlis sidang media pengumuman keputusan SPM 2013 di sini harini.

Dr Khair berkata, pencapaian keseluruhan calon SPM 2013 bertambah baik dengan nilai Gred Purata Nasional (GPN) 4.93 berbanding 5.08 tahun 2012.

Berita Harian


SPM 2013: Bilangan gred A meningkat
20 Mac 2014


 Seramai 13,970 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2013 memperoleh Gred A bagi semua mata pelajaran berbanding 13,720 calon pada 2012. - Foto Bernama



PUTRAJAYA - Sebanyak 13,970 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas memperoleh gred A (Cemerlang) bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 13,720 calon pada 2012, iaitu peningkatan sebanyak 0.05 peratus.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata terdapat peningkatan jumlah calon yang mendapat semua A daripada sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu sebanyak 11,892 calon berbanding 11,648 calon tahun sebelumnya.

"Bagi calon bukan KPM yang memperoleh semua A adalah sebanyak 2,078 untuk semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 2,072 calon pada 2012," katanya semasa mengumumkan Analisis Keputusan SPM 2013 di sini hari ini.

Daripada jumlah itu, Khair berkata sebanyak 405 calon iaitu 366 calon sekolah KPM dan selebihnya calon bukan KPM berjaya memperoleh gred A+ (Cemerlang Tertinggi) bagi semua mata pelajaran yang diduduki.

Beliau berkata jumlah keseluruhan calon yang menduduki SPM tahun lepas adalah sebanyak 442,588.

Khair berkata 883 daripada keseluruhan calon yang menduduki SPM adalah calon berkeperluan khas sama ada buta, pekak dan mengalami kecacatan lain.

Beliau berkata lapan daripadanya mendapat sekurang-kurangnya gred A- (Cemerlang) dalam semua mata pelajaran diduduki, sekaligus menunjukkan semua calon tanpa mengira kekurangan, berpeluang untuk cemerlang dalam SPM.

Secara keseluruhan, pencapaian calon dalam SPM 2013 amat membanggakan berdasarkan indeks Gred Purata Nasional (GPN) berbanding tahun-tahun sebelumnya, katanya.

"Pencapaian keseluruhan calon SPM 2013 bertambah baik dengan nilai GPN 4.93 mata berbanding 5.08 mata pada 2012, iaitu peningkatan sebanyak 0.15 mata.Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik," jelas beliau.

Khair berkata berdasarkan GPN juga, calon bandar menunjukkan peningkatan 0.15 peratus mata iaitu daripada 4.83 mata pada 2012 kepada 4.68 mata tahun lepas, manakala calon luar bandar turut meningkat sebanyak 0.16 mata daripada 5.44 mata (2012) kepada 5.28 mata pada 2013.

Berdasarkan keputusan SPM 2013, Khair berkata enam daripada tujuh mata pelajaran teras meningkat iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sejarah dan Sains, kecuali Matematik menurun sebanyak 0.08 mata daripada Gred Purata Mata Pelajaran 4.91 mata pada 2012 kepada 4.99 mata pada 2013.

Bagi mata pelajaran elektif, 55 daripada 101 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi antaranya untuk elektif Sains seperti Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Sains Tambahan dan Sains Gunaan.

Katanya mulai tahun lepas, selain mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah turut dijadikan mata pelajaran wajib lulus untuk calon layak mendapat sijil SPM.

"Sejumlah 378,490 calon sekolah KPM dan calon bukan KPM yang pertama kali menduduki SPM pada 2013 layak mendapat sijil berbanding 402,859 calon pada tahun sebelumnya," katanya.

Sementara itu, bagi memastikan peperiksaan SPM terus mendapat pengiktirafan antarabangsa, Khair berkata Kementerian Pendidikan menggunakan khidmat pakar pentaksiran dari luar negara dan jaringan profesional antarabangsa untuk SPM 2013 iaitu Cambridge International Examinations (CIE) United Kingdom,New Zealand Qualifications Authority (NZQA) New Zealand dan dan London Chambers of Commerce and Industry (LCCI) United Kingdom.

"Pakar pentaksiran terlibat amat berpuas hati dengan proses pembinaan instrumen pentaksiran, pemeriksaan skrip jawapan calon dan penentuan standard yang telah dilaksanakan secara profesional dan berkredibiliti tinggi," katanya.

Dalam pada itu Khair mengucapkan tahniah kepada calon-calon yang berjaya dengan cemerlang dalam SPM dan berharap mereka dapat meneruskan budaya kecemerlangan dalam apa sahaja bidang yang diceburi.

"Kepada calon yang kurang berjaya, anggaplah kegagalan itu sebagai cabaran dan peluang untuk mencipta kejayaan lain pada masa akan datang," katanya.

Di KUALA LUMPUR, Pengarah Pendidikan Jabatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Abdullah Mad Yunus berkata keputusan peperiksaan SPM 2013 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyaksikan sebanyak 994 orang calon mendapat keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

"Sebanyak 12,823 (64.48%) calon lulus semua mata pelajaran manakala 126 orang (0.63%) gagal dalam semua mata pelajaran," katanya.

Di SEREMBAN, Pengarah Pendidikan negeri Datuk Kalsom Khalid berkata sebanyak 27 orang calon sekolah kerajaan di Negeri Sembilan mendapat keputusan cemerlang A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil.

"Sebanyak 693 orang calon (3.93 peratus) berjaya menjadi pelajar cemerlang di negeri ini dengan memperolehi pangkat A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran yang diambil," katanya.

Di KUALA TERENGGANU, Pengarah Pendidikan Negeri Zakaria Hussin berkata keputusan peperiksaan SPM 2013 merupakan pencapaian terbaik negeri dalam tempoh 10 tahun dari segi gred purata.

"Gred Purata Negeri tahun ini meningkat sebanyak 0.11 kepada 4.90 berbanding tahun lepas iaitu sebanyak 5.01, dan mengatasi Gred Purata Nasional iaitu 4.93, sebanyak lima calon daripada 22,480 calon keseluruhan memperoleh A+," katanya.

Di IPOH, Pemangku Pengarah Pendidikan Negeri Mohd Idris Mohd Ramli berkata pencapaian peperiksaan SPM 2013 bagi keseluruhan calon sebanyak 43,288 di Perak amat membangggakan berdasarkan indeks Gred Purata Negeri berbanding lima tahun
sebelum ini.

"Berdasarkan GPN juga, pencapaian calon luar bandar lebih tinggi iaitu 5.34 berbanding bandar sebanyak 4.93, maka dengan ini jurang pencapaian calon mengikut lokasi mengecil sebanyak 0.41 mata berbanding 0.48 mata pada 2012," katanya.

Di KUANTAN, sebanyak 401 calon SPM 2013 di Pahang memperoleh gred A (Cemerlang) bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 413 calon pada tahun sebelumnya, iaitu pengurangan sebanyak 0.32 peratus.

Timbalan Pengarah Pendidikan Pahang Rashidah Mat Aris berkata sebanyak 18,596 daripada 24,753 calon Layak Mendapat Sijil (LMS) tahun lepas yang menurun sebanyak 7.22 peratus berbanding tahun 2012, iaitu 21,006 calon (93.24 peratus).

Di MELAKA, Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Md Rashid Hussin berkata enam pelajar berjaya mencapai gred cemerlang tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran yang diduduki, merosot 15 orang berbanding tahun 2012.

"Peratusan pelajar layak memperoleh sijil pula 11,913 daripada 13,650 calon di Melaka, ia menurun sebanyak 5.9 peratus berbanding tahun lepas," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Di GEORGETOWN, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Datuk Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata pencapaian peperiksaan SPM 2013 bagi Pulau Pinang menunjukkan peningkatan berdasarkan indeks GPN berbanding tahun 2012.

"Keseluruhan gred purata negeri pada tahun ini ialah 4.73 berbanding 4.87 pada tahun 2012," katanya.

Di KOTA BHARU, sejumlah 24 buah sekolah termasuk empat buah sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) mencapai kelulusan 100 peratus berbanding 21 buah sekolah pada tahun 2012.

Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan Hussain Awang berkata pencapaian GPS bagi sekolah cemerlang 2013 kekal sebanyak enam buah sekolah.

Di KANGAR, Perlis mencatat peningkatan pencapaian dalam peperiksaan SPM berbanding keputusan tahun 2012.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Dun Kasa berkata nilai GPS mencatat perkembangan positif iaitu 5.26 berbanding 5.46 bagi tahun sebelumnya.

Di JOHOR BAHRU, Timbalan Pengarah Pendidikan Johor Hasidin Zaini berkata pencapaian keseluruhan negeri Johor ini bertambah baik dengan nilai GPN 4.87 mata berbanding tahun sebelumnya 4.99 mata.

“Sebanyak 1,582 calon bagi sekolah KPM berjaya memperoleh semua gred A dalan semua mata pelajaran yang diambil berbanding 1,391 calon pada tahun sebelumnya dengan peningkatan 0.30 peratus,” katanya.

DI SHAH ALAM, Pengarah Pendidikan Selangor Datuk Mahmud Karim berkata sebanyak 2,606 calon daripada 71,801 calon yang menduduki SPM pada 2013 di Selangor memperoleh gred cemerlang bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 2,616 calon pada 2012.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 78 calon memperoleh A+ bagi semua mata pelajaran berbanding 99 calon pada tahun sebelumnya.

Di ALOR SETAR, Pengarah Jabatan Pendidikan Kedah Datuk Mansor Lat berkata pencapaian calon SPM 2013 bagi Kedah bertambah baik dengan nilai GPN 5.04 mata berbanding 5.23 mata pada 2012, penurunan sebanyak 0.19 mata.

Katanya sebanyak 662 atau 2.01 peratus daripada 32,881 calon sekolah KPM memperoleh semua gred A bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 690 (2.11 peratus) pada 2012, iaitu penurunan 0.10 peratus atau 28 calon.

Di KUCHING, pencapaian calon negeri Sarawak dalam keputusan SPM 2013 mengikut nilai GPN adalah 5.31, pencapaian GPN terbaik dalam tempoh 10 tahun sejak 2004.

Pengarah Pendidikan negeri Datuk Abdillah Adam berkata sebanyak 41 calon SPM 2013 di Sarawak mendapat gred A+ dalam semua mata pelajaran.

Di KOTA KINABALU, Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip menyifatkan pencapaian SPM di Sabah pada tahun 2013 sebagai yang terbaik dalam tempoh lima tahun lalu dengan GPN 5.30.

Jame yang mengumumkan keputusan SPM Sabah di Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu hari ini berkata sebanyak 376 calon peperiksaan itu mendapat Gred A dalam semua mata pelajaran berbanding 199 calon pada tahun 2012.

DI LABUAN, sebanyak 44 calon mendapat gred A dalam semua mata pelajaran berbanding cuma 19 calon yang mencapai keputusan sama pada tahun 2012.

Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Mistirine Radin ketika mengumumkan keputusan peperiksaan itu bagaimanapun berkata jumlah pelajar yang layak mendapat sijil SPM menurun sebanyak 9.75 peratus.

"Sebanyak 960 orang calon sekolah kerajaan menduduki peperiksaan ini di sembilan buah pusat peperiksaan dan daripada jumlah itu sebanyak 807 orang calon layak mendapat sijil dengan jumlah peratus 84.1 peratus berbanding 93.65 peratus tahun 2012, katanya. - Bernama

Sinar harian


SPM 2013: Seramai 1,229 pelajar MRSM peroleh 'A'

20 Mac 2014


KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,229 orang daripada 7,645 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) memperolehi 'A' (A+, A atau A-) bagi semua subjek yang diambil dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 dengan mencapai Gred Purata Maktab 2.019.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Tan Sri Annuar Musa berkata MRSM Tun Ghafar Baba mencatat keputusan terbaik daripada 45 buah MRSM di negara ini diikuti MRSM Taiping dan MRSM Pengkalan Chepa.

"Sementara itu, lima subjek menunjukkan peningkatan iaitu Bahasa Melayu dengan Gred Purata Subjek (GPS) 0.967, Sejarah (GPS 0.971), Fizik (GPS 3.150), Kimia (3.847) dan Pendidikan seni Visual (0.720)," katanya dalam sidang berita di sini, hari ini.

Annuar berkata secara keseluruhan pelajar MRSM mencatat keputusan yang cemerlang, selain turut menguasai pelbagai kemahiran lain.

Menurutnya MARA juga mempelawa lepasan SPM, yang memperoleh keputusan cemerlang dan mempunyai ciri kepimpinan dan nilai positif, memohon penajaan Mara bagi melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi di dalam dan luar negara.

Mereka boleh melayari laman web www.mara.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya atau mengunjungi Jelajah Karnival Pendidikan Mara di 10 lokasi di seluruh negara yang diadakan sejak Sabtu lepas hingga 27 April ini.

Sinar Harian

Comments